This is default featured slide 1 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 2 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 3 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 4 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

Saturday, 30 December 2006

KELEBIHAN IBADAH KORBAN DAN HUKUMNYA

Soalan; Apa kelebihan ibadah korban dan apakah hukum melakukan ibadah korban?

Jawapan;

بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد
Terdapat hadis di mana Rasulullah s.a.w. bersabda;

مَاعَمِلَ ابْنُ آدَمَ يَوْمَ النَّحْرِ عَمَلاً أَحَبَّ إِلَى الله عَزَّ وَجَلَّ مِنْ إِهْرَاقَةِ دَمٍ. وَإِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَظْلاَفِهَا وَأَشْعَارِهَا. وإِنَّ الدم لَيَقَعُ مِنَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ بِمَكَانٍ، قَبْلَ أَنْ يَقَعَ عَلَى الأَرْضِ. فَطِيبُوا بِهَا نَفْساً
“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh manusia pada hari raya korban yang lebih disukai Allah dari mengalirkan darah (yakni menyembelih korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk-tanduknya, kuku-kuku dan bulu-bulunya (dan diletakkan di atas timbangan). Dan sesungguhnya darah binatang korban itu mendapat kedudukan di sisi Allah di suatu tempat yang tinggi sebelum ia jatuh di atas bumi.[1] Oleh itu, ikhlaskanlah hati kamu ketika berkorban itu”. (Riwayat Imam at-Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Saidatina ‘Aisyah r.a.. Menurut Imam as-Suyuti; hadis ini adalah hasan. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 7949.)

Hukum korban ialah sunat muakkad (iaitu sunat yang amat-amat digalakkan oleh agama) bagi orang yang memenuhi syarat-syarat berikut;[2]
1. Muslim
2. Baligh dan berakal
3. Bebas/merdeka
4. Ada kemampuan; iaitu memiliki lebihan belanja setelah ditolak nafkah dirinya dan orang-orang di bawah tanggungannya merangkumi makanan, pakaian dan tempat tinggal sepanjang hari raya dan hari-hari tasyriq.

Ibadah ini terbuka kepada semua orang Islam yang memiliki kelapangan atau kemampuan sama ada orang badar atau orang kampung/pedalaman, orang dalam musafir atau berada dalam negeri dan termasuklah kepada jamaah haji di Mina.[3] Terdapat riwayat dalam Soheh Imam Bukhari dan Muslim yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w. melakukan korban di Mina bagi isteri baginda dengan menyembelih lembu. (Riwayat dari Saidatina Aisyah r.a.)[4]

Dimakruhkan meninggalkan ibadah korban ini bagi orang yang memenuhi syarat-syarat di atas. Berkata Imam as-Syafi’ie; “Aku tidak memberi rukhsah untuk meninggalkannya bagi sesiapa yang mampu melakukannya” (yakni Imam Syafi’ie memandang makruh meninggalkannya bagi orang yang mampu).[5]
Wallahu A'lam.
Nota kaki:

[1] Maksudnya menurut Imam al-Minawi; “binatang korban itu berada di tempat penerimaan yang tinggi iaitu ia diterima oleh Allah sejak mula diniatkan untuk dikorbankan sebelum ia disaksikan oleh orang-orang yang hadir ketika ia disembelih”. (Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 7949)
[2] Al-Iqna’, jil. 2, hlm. 816. Kifayatul-Akhyar, hlm. 528. al-Fiqhul-Manhaji, jil. 1, hlm. 233.
[3] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 276.
[4] Lihat; Soheh al-Bukhari, kitab al-Adhahi.
[5] Al-Iqna’, jil. 2, hlm. 817. Lihat juga; Fiqh Sunnah, Saiyyid Sabiq.

ADAKAH HARUS NIAT AQIQAH BERSAMA KORBAN?

Soalan; Apakah harus ibadah korban dan aqiqah diniatkan bersama?

Jawapan;

بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Menurut Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam kitanya Sabilal-Muhtadin; “Pendapat anak-anak murid Imam Syafi’ie kalau seseorang menyembelih seekor kambing diniatkan korban dan aqiqah maka keduanya tidak sah. Inilah yang disebut oleh Ibnu Hajar dalam kitab Tuhfah…. Namun menurut Syeikh Ramli di dalam kitab Nihayah, kalau seorang menyembelih seekor kambing berniat untuk dijadikan korban dan aqiqah, maka sahlah keduanya”.[1] Pandangan Syeikh Ramli itu bersamaan dengan pandangan ulama’-ulama’ mazhab Hanbali di mana mereka berpendapat; “Jika bertepatan hari korban dengan hari aqiqah, maka mencukupi satu sembelihan bagi kedua-duanya sebagaimana jika bertepatan hari raya dengan hari jumaat, maka mencukupi sekali niat mandi sunat untuk kedua-duanya”.[2]

Wallahu A'lam.

Nota:
[1] Sabilal-Muhtadin, hlm. 911-912. (Bab Aqiqah)
[2] Fiqh Sunnah, jil. 2, hlm. 41. (Bab Aqiqah)

CARA TERBAIK MENGAGIHKAN DAGING KORBAN

Soalan; Bagaimana cara pembahagian daging korban yang sebenarnya?

Jawapan;

بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Cara pengagihan daging korban tertakluk kepada status korban. Jika korban itu adalah korban wajib (yakni korban nazar), tidak harus orang yang melakukan korban dan juga keluarganya (yakni orang-orang yang berada di bawah tanggungan nafkahnya) untuk makan sedikitpun dari binatang yang dikorbannya. Wajib ia mensedekahkan ke semuanya kepada fakir miskin.[1] Kalau ia telah memakannya, wajib ia membayar ganti dengan harga daging yang dimakannya atau dengan daging seumpamanya. Tidak dituntut ia menyembelih lagi binatang korban kerana ia telahpun melakukannya.[2]

Jika korban itu adalah korban sunat, maka harus ia dan ahli keluarganya untuk makan sebanyak mana yang ia kehendaki dengan syarat sebahagian darinya hendaklah disedekahkan kepada fakir miskin. Mensedekahkan daging korban kepada faqir atau miskin dari kalangan muslimin adalah wajib sekalipun sedikit iaitu dengan kadar paling minima yang dapat dinamakan sedekah. Dan disyaratkan daging yang disedekahkan itu hendaklah dalam keadaan mentah dimana orang faqir dan miskin yang memperolehinya dapat menggunakannya mengikut kehendaknya sama ada menjualnya, memakannya atau sebagainya. Tidak memadai sekiranya disedekahkan dalam keadaan daging yang sudah dimasak atau pemilik korban memasak daging korban dan menjemput orang faqir atau miskin makan dirumahnya. Begitu juga tidak memadai sekiranya disedekahkan bahagian yang bukan daging seperti kulit, perut, limpa dan sebagainya.[3]

Disunatkan pengagihan daging binatang korban merangkumi tiga bahagian;[4]

Satu bahagian untuk dimakan oleh dirinya dan ahli keluarganya
Satu bahagian disedekahkan kepada fakir miskin
Satu bahagian dijadikan sebagai hadiah kepada rakan-rakan, para jiran atau sebagainya sekalipun mereka kaya.[5]

Pemberian sebagai hadiah tidaklah wajib. Oleh itu, harus pengagihan daging korban berlegar antara dua sahaja iaitu untuk dimakan dan untuk disedekahkan. Lebih banyak bahagian yang disedekahkan adalah lebih afdhal (umpamanya separuh atau dipertiga (2/3) darinya). Paling afdhal ialah mensedekahkan ke semua daging korban kepada fakir miskin kecuali sedikit darinya yang sunat diambil untuk dimakan bagi mendapat berkat dan beramal dengan sunnah Nabi s.a.w.. [6] Terdapat hadis menceritakan;

كان النبي(صلى الله عليه وسلم) يأكل من كبد أضحيته
“Adalah Nabi s.a.w. memakan dari hati binatang korbannya”. (Riwayat Imam al-Baihaqi)

Baginda juga bersabda;

إذا ضحى أحدكم فليأكل من أضحيته
“Apabila seseorang kamu melakukan korban, maka makanlah dari daging korbannya”. (Riwayat Imam Ahmad dari Abu Hurairah r.a./al-Jami’ al-Saghir, no. 737)

Tidak harus orang yang melakukan korban menjual apapun dari binatang korban sama ada daging, kulit, tanduk, bulu, lemak atau sebagainya. Begitu juga, tidak harus menyewanya kerana sewaan termasuk dalam pengertian menjual (yakni menjual manfaat).[7] Ketidakharusan menjual dan menyewa ini merangkumi korban wajib dan juga korban sunat.[8] Sabda Nabi(s.a.w);

من باع جلد أضحيته فلا أضحية له
“Sesiapa menjual kulit binatang korbannya, maka tiada (pahala) korban baginya”. (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi dari Abu Hurairah r.a.)

Begitu juga, tidak harus menjadikan kulit, bulu dan sebagainya sebagai upah kepada tukang sembelih. Upah hendaklah datang dari sumber lain, bukan dari binatang korban. Diriwayatkan daripada Saidina Ali(k.w) yang menceritakan;

أَمَرَنِي رَسُولُ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ- أَنْ أَقُومَ عَلَىَ بُدْنِهِ، وَأَنْ أَتَصَدَّقَ بِلَحْمِهَا وَجُلُودِهَا وَأَجِلَّتِهَا، وَأَنْ لاَ أُعْطِيَ الْجَزَّارَ مِنْهَا. قَالَ: "نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا".
“Rasulullah s.a.w. memerintahku supaya menguruskan (pengembelihan) unta baginda dan mensedekahkan daging, kulit serta kain/pakaian yang diletakkan di atas belakang unta itu (kepada orang miskin). Dan baginda juga memerintahkan supaya aku tidak memberi kepada tukang sembelih dari unta itu. Kata ‘Ali; kami memberi (upah) kepadanya dari harta yang ada pada kami”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Namun jika ia telah memberi upah kepada tukang sembelih dengan wang darinya, kemudian setelah itu ia memberi pula daging korban kepadanya atas dasar sedekah jika ia miskin ( (yakni bukan sebagai upah) atau memberinya sebagai hadiah (jika ia kaya), maka itu adalah harus.[9]

Harus bagi orang yang melakukan korban mengambil manfaat dari kulit dan tanduk binatang korbannya dengan segala bentuk manfaat seperti menjadikannya kasut, timba dan sebagainya sekiranya korbannya itu adalah korban sunat. Walau bagaimanapun, jika ia mensedekahkannya kepada fakir miskin adalah lebih baik.[10] Adapun korban wajib, tidak harus orang yang melakukan korban memanfaatkan kulit binatang korbannya. Ia wajib disedekahkan kepada fakir miskin sebagaimana daging.[11]

Tidak harus sama sekali daging korban dimusnahkan walaupun sedikit. Dinyatakan di dalam Raudhah; “Tidak harus bagi orang yang melakukan korban untuk merosak/memusnahkan sebarang apapun dari korbannya, sebaliknya ia memakannnya dan ia memberi makan (kepada orang lain)….”.[12]

Soalan; Apakah harus ibadah korban dan aqiqah diniatkan bersama?
Jawapan; Menurut Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam kitanya Sabilal-Muhtadin; “Pendapat anak-anak murid Imam Syafi’ie kalau seseorang menyembelih seekor kambing diniatkan korban dan aqiqah maka keduanya tidak sah. Inilah yang disebut oleh Ibnu Hajar dalam kitab Tuhfah…. Namun menurut Syeikh Ramli di dalam kitab Nihayah, kalau seorang menyembelih seekor kambing berniat untuk dijadikan korban dan aqiqah, maka sahlah keduanya”.[13] Pandangan Syeikh Ramli itu bersamaan dengan pandangan ulama’-ulama’ mazhab Hanbali di mana mereka berpendapat; “Jika bertepatan hari korban dengan hari aqiqah, maka mencukupi satu sembelihan bagi kedua-duanya sebagaimana jika bertepatan hari raya dengan hari jumaat, maka mencukupi sekali niat mandi sunat untuk kedua-duanya”.[14]

Wallahu A'lam.

Nota:

[1] Al-Kifayah Li Zawil-‘Inayah, hlm. 87.
[2] Kifayarul-Akhyar, hlm. 533. al-Muhazzab, jil. 2, hlm. 838. al-Fiqh al-Manhaji, juz. 1, hlm. 236.
[3] Al-Iqna’, jil. 2, hlm. 824.
[4] Al-Muhazzab (lihat dalam kitab al-Majmu’, jil. 8, hlm. 306). Fiqh Sunnah, jil. 1, hlm. 39.
[5] Perbezaan antara sedekah dan memberi hadiah ialah; niat memberi hadiah ialah untuk memuliakan (الإكرام). Adapun sedekah niatnya adalah untuk mendapat pahala.
[6] Kifayatul-Akhyar, hlm. 533. Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 365.
[7] Ini adalah pandangan Imam Syafi’ie, Malik, Ahmad, Nakha’ie dan ‘Atha’. Bagi Abu Hanifah; “Harus menjual kulit binatang korban dan kemudian mensedekahkan harga”. (Lihat Fiqh as-Sunnah, Sayyid Sabiq).
[8] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 311-312. Al-Iqna’, jil. 2, hlm. 824.
[9] Raudhah, jil. 2, hlm. 489.
[10] Malah disunatkan juga ia mensedekahkan pakaian/kain yang dipakaikan di belakang binatang korbannya dan juga ladamnya. Ini berdasarkan Diriwayatkan daripada Saidina Ali(k.w) yang menceritakan;

أَمَرَنِي رَسُولُ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ- أَنْ أَقُومَ عَلَىَ بُدْنِهِ، وَأَنْ أَتَصَدَّقَ بِلَحْمِهَا وَجُلُودِهَا وَأَجِلَّتِهَا، وَأَنْ لاَ أُعْطِيَ الْجَزَّارَ مِنْهَا. قَالَ: "نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا".
“Rasulullah s.a.w. memerintahku supaya menguruskan (pengembelihan) unta baginda dan mensedekahkan daging, kulit serta kain/pakaian yang diletakkan di atas belakang unta itu (kepada orang miskin). Dan baginda juga memerintahkan supaya aku tidak memberi kepada tukang sembelih dari unta itu. Kata ‘Ali; kami memberi (upah) kepadanya dari harta yang ada pada kami”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
(Rujuk: al-Majmu’, jil. 8, hlm. 311).
[11] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 313. al-Iqna’, jil. 2, hlm. 824.
[12] Raudhatut-Thalibin, jil. 2, hlm. 488.
[13] Sabilal-Muhtadin, hlm. 911-912. (Bab Aqiqah)
[14] Fiqh Sunnah, jil. 2, hlm. 41. (Bab Aqiqah)

HUKUM MELAKUKAN KORBAN UNTUK ORANG YANG TELAH MATI

Soalan; adakah harus kita melakukan korban untuk orang lain khususnya yang telah mati? Adakah sampai pahala kepadanya?

Jawapan;

بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد:

Dalam masalah ini, para ulama’ Syafi’ie sendiri berbeza pandangan.[1] Menurut Imam Hasan al-‘Ubadi; harus membuat korban bagi pihak orang yang telah mati kerana korban tergolong dalam jenis sedekah dan ijmak para ulama' bahawa sedekah bagi pihak si mati adalah memberi manfaat dan sampai kepadanya.[2] Imam Abu Daud, Tirmizi dan al-Baihaqi meriwayatkan hadis yang menceritakan tentang Saidina Ali bin Abi Talib;

أنه يضحي بكبشين عن النبي(صلى) و كبشين عن نفسه و قال : إن رسول الله(صلى) أمرني أن أضحي عنه أبدا فأنا أضحي عنه أبدا
“Bahawa ia (yakni Ali r.a.) menyembelih korban dengan dua ekor biri-biri bagi pihak Nabi s.a.w. dan dua ekor bagi pihak dirinya sendiri dan ia berkata; ‘Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. menyuruhku agar menyembelih korban untuknya selama-lamanya, maka akupun menyembelih korban bagi pihaknya selama-lamanya (yakni selagi aku hidup)”.

Kata Imam al-Baihaqi; jika sabit hadis ini maka ia menjadi dalil sahnya menyembelih korban bagi pihak orang yang telah mati.[3]

Imam al-Baghawi, Sahibul-‘Uddah dan Imam ar-Rafi’ie pula berpandangan; tidak sah berkorban bagi pihak orang mati kecuali dengan wasiat darinya. Jika ia mewasiatkannya, haruslah berkorban bagi pihaknya.[4] Pendapat kedua inilah yang ditegaskan dalam kitab-kitab mazhab Syafi’ie mutakhir yang masyhur seperti al-Iqna’[5], Mughni al-Muhtaj[6], Kifayatul-Akhyar[7], Sabilal-Muhtadin dan sebagainya, malah Imam Nawawi sendiri dalam matan Minhajnya menyebutkan pendapat ini.[8] Dalil pandangan ini ialah firman Allah;

وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَى
“Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya”. (an-Najm: 39)

Dalam pada itu, jika seseorang itu telah bernazar dengan menentukan binatang yang akan disembelihnya sebagai korban, lalu ia mati sebelum sempat menyembelih korbannya itu, maka dalam keadaan ini harus seseorang menyembelih bagi pihaknya sekalipun tanpa wasiat darinya.[9]

Selain itu, jika seseorang menyembelih korban untuk dirinya dan mensyaratkan pahala korban itu untuk orang lain (yakni memasukkan orang lain dalam pahalanya), maka ini adalah harus.[10] Inilah yang dapat difahami dari hadis Saidatina ‘Aisyah r.a. tadi yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w. menyembelih binatang korban dan mendoakan koran itu untuk dirinya, ahli keluarganya dan umatnya di mana baginda berkata tatkala menyembelih binatang korban itu;

بِاسْمِ اللهِ، اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ، وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ
“Dengan nama Allah. Ya Allah, terimalah ini dari Muhammad dan ahli keluarga Muhammad serta dari umat Muhammad”.
(Riwayat Imam Muslim)

Adapun menyembelih korban bagi pihak orang lain yang masih hidup, maka tidak harus (atau tidak terhasil) melainkan dengan izinnya tanpa khilaf di kalangan ulama’ mazhab Syafi’ie. Jika tanpa inzinnya, tidak terhasil korban itu untuknya.[11] Korban tersebut, jika merupakan yang ditentukan dengan suatu nazar, ia terhasil untuk orang yang melakukan korban. Jika bukan yang ditentukan dengan suatu nazar, maka tidak terhasil untuknya. Namun Syeikh Ibrahim al-Marwaruzi berpendapat; korban yang dilakukan untuk orang lain tanpa izinnya terhasil secara mutlak (yakni secara keseluruhan) untuk orang yang melakukan korban (sama ada korban itu korban nazar atau bukan).[12]

Namun ketidakharusan (atau ketidakhasilan) korban bagi pihak orang hidup tanpa izin itu dikecualikan bagi keadaan-keadaan berikut;
1. Seorang yang berkorban bagi pihak ahli keluarganya, maka terhasil dengannya sunat kifayah untuk mereka sekalipun tanda ada keizinan dari mereka –atau dari sebahagian mereka- terlebih dahulu. Begitu juga dengan seorang yang menyembelih korban untuk dirinya dan memasukkan orang lain dalam pahala korbannya.
2. Seekor binatang yang ditentukan dengan nazar, jika disembelih oleh orang lain (yakni bukan oleh orang yang bernazar) pada waktu korban, maka ianya sah kerana binatang korban yang telah ditentukan dalam nazar tidak perlu lagi kepada niat tatkala menyembelihnya, maka jika ia dilakukan oleh orang lain adalah dikira (yakni dianggap sah korban itu).
3. Imam/Pemimpin melakukan korban bagi pihak kaum muslimin dengan wang dari Baitul-Mal –ketika kewangan Baitul-Mal mengizinkan-, maka ia harus.
4. Wali melakukan korban dengan hartanya sendiri bagi pihak orang-orang dibawah jagaannya yang ditegah menggunakan harta (seperti kanak-kanak, orang gila, bodoh dan al-mahjur), hukumnya adalah harus. Adapun jika ia ingin menggunakan harta/wang dari milik mereka, maka tidak harus.[13]

Tidak sah dilakukan korban bagi janin yang berada dalam kandungan sebagaimana tidak dikeluarkan zakat fitrah baginya.[14]

Wallahu A'lam.

Nota:

[1] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 299. Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 368.
[2] Syeikh Muhammad bin Ishaq as-Siraj an-Naisaburi salah seorang syeikh Imam Bukhari, beliau mengkhatam al-Quran untuk Nabi s.a.w. lebih dari 10 ribu kali dan ia menyembelih korban bagi pihak baginda seumpama itu juga. (Rujuk; Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 368)
[3] Al-Majmu’, hlm. 300.
[4] Al-Majmu’, hlm. 300.
[5] Lihat jil. 2, hlm. 825.
[6] Jil. 4, hlm. 378.
[7] Hlm. 528.
[8] Rujuk matan tersebut dalam kitab Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 368.
[9] Kifayatul-Akhyar, hlm. 528.
[10] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 299. Raudhah, jil. 2, hlm. 469.
[11] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 299. Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 368.
[12] Raudhah, jil. 2, hlm. 469. Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 368. Berkata Imam Khatib Syirbini;
وحيث امتنعت، فإن كانت الشاة معينة وقعت عن المضحي و إلا فلا
(Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 368)
[13] Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 368.
[14] Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 368.
[15] Maksudnya menurut Imam al-Minawi; “binatang korban itu berada di tempat penerimaan yang tinggi iaitu ia diterima oleh Allah sejak mula diniatkan untuk dikorbankan sebelum ia disaksikan oleh orang-orang yang hadir ketika ia disembelih”. (Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 7949)
[16] Al-Iqna’, jil. 2, hlm. 816. Kifayatul-Akhyar, hlm. 528. al-Fiqhul-Manhaji, jil. 1, hlm. 233.
[17] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 276.
[18] Lihat; Soheh al-Bukhari, kitab al-Adhahi.
[19] Al-Iqna’, jil. 2, hlm. 817. Lihat juga; Fiqh Sunnah, Saiyyid Sabiq.

Friday, 22 December 2006

KOMEN ISU SIASATAN DAN TANGKAPAN KHALWAT

Soalan: Apa pandangan Ustaz berkenaan kenyataan Dr. Asri (Mufti baru Perlis) sebagaimana disiarkan dalam New Straits Times, 15hb Disember2006, mukasurat 11 yang bertajuk: STOP SNOOPING AROUND FOR KHALWAT COUPLES (HENTIKAN TINDAKAN MENGENDAP PASANGAN KHALWAT)

Jawapan

Saya telah membaca pandangan beliau tersebut sebagaimana yang tersiar dalam akhbar berkenaan. Kesimpulan yang dapat saya buat adalah seperti berikut;
(*Mohon maaf kepada para pembaca yang tidak suka artikel panjang. Bagi isu ini saya rasa perlu mengulas dengan panjang lebar. Bacalah dengan sabar.)

“Banyak kenyataan di dalam artikel tersebut mengelirukan. Saya tidak tahu kenyataan-kenyataan tersebut terbit dari mulut Dr. Asri sendiri atau hanya olahan pengarang berita. Jika ia benar-benar terbit dari mulut Dr. Asri sendiri, maka amat mengecewakan kita kenyataan-kenyataan sebegitu dibuat.

Pertama; Ia boleh menimbulkan tanggapan buruk masyarakat terhadap nama baik Jabatan Agama dan pegawai-pegawai agama. Seolah-olah mereka merupakan orang-orang yang suka mengintai dan mengendap untuk mencari salah dan ‘aib orang lain. Walhal mereka melakukan tugas atas nama jawatan dan tanggungjawab rasmi yang diperakui oleh undang-undang. Sepatutnya, jika ada kesilapan yang berlaku, beliau sepatutnya mengemukakan teguran mengikut saluran yang betul, bukan membuat kenyataan di dada akhbar yang dibaca oleh khalayak ramai dan akan menimbulkan salah-tanggapan orang ramai.

Kedua; Ia jelas berniat jahat kepada pegawai-pegawai agama yang bertugas membenteras maksiat. Penggunaan bahasa “mengintip, mengendap atau mencari-cari pasangan….”, jelas merupakan suatu penghinaan yang ditujukan kepada mereka. Amat mengecewakan jika bahasa sebegitu keluar dari mulut seorang mufti. Bahasa yang sepatutnya ialah “menyiasat, membuat tinjauan, menyelidik…”.

Adakah apabila pegawai-pegawai agama tersebut memperolehi maklumat atau mendapat laporan tentang su kes di mana dua orang (lelaki dan wanita) yang meragukan di dalam sebuah bilik (di mana orang yang melapor mengkhuatiri mereka berdua bukan pasangan suami-isteri), lalu pegawai agama datang untuk menyiasat, ia mengetuk pintu bilik, apabila dibuka ia meminta dari mereka berdua surat atau sijil pengesahan perkahwinan, maka apakah perbuatannya itu dapat dikatakan sebagai mengintip atau mengendap.

Jika hendak dikatakan ‘aib, apa yang aibnya bagi kedua pasangan tersebut untuk mengemukakan surat atau sijil pengesahan nikah jika mereka benar-benar pasangan suami isteri. Apabila polis meminta kad pengenalan dari kita, kemudian kita memberinya, adakah itu suatu yang mendatangka ‘aib bagi kita? Jika memberi surat/sijil pengesahan nikah apabila diminta merupakan suatu yang ‘aib, maka tidak ada gunanya undang-undang memperkenalkan sijil tersebut, begitu juga tiada guna masing-masing ada kad pengenalan kerana ia mengaibkan orang dan melanggar hak individu.

Begitu juga, apabila pihak jabatan agama mendapat laporan ada tempat-tempat awam (taman-taman, kawasan-kawasan reakreasi) yang menjadi sarang maksiat dari orang ramai, lalu mereka melakukan operasi tinjauan dengan pergi menyiasat tempat-tempat tersebut, maka apakah mereka dapat kita katakana mengintai dan mengintip. Kemudian, dalam siasatan tersebut mereka menangkap pasangan yang sedang bercumbu-cumbuan (beromen), apakah tangkapan tersebut salah di sisi Syarak. Apa yang ingin kita tegaskan, sekalipun suami-isteri, bercumbu-cumbuan di tempat terbuka yang terdedah kepada khalayak ramai atau ada kemungkinan besar akan dilihat oleh orang lain merupakan suatu dosa di sisi Syarak. Di dalam hadis Rasulullah menegah si suami menceritakan kisah hubungan (seks) antaranya dengan isterinya kepada orang lain, begitu juga ditegah si isteri menceritakan kisah hubungannya dengan suaminya. Jika menceritakan sudah dilarang, maka lebih-lebih lagilah dilarang jika hubungan itu dilakukan di hadapan orang lain.

Ketiga; ada kenyataan-kenyataan beliau –sebagaimana tulisan akhbar tersebut- bercanggah dengan prinsip dan pendirian Islam yang sebenar;

(1) Menyalah-tafsirkan makna hak peribadi menurut Islam.

Artikel akhbar tersebut menyebutkan; “Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin mengatakan amalan tersebut adalah bertentangan dengan prinsip hak peribadi menurut ajaran Islam dan juga terjumlah kepada suatu tindakan pencerobohan”.

Penjelasan: Di dalam Islam, hak peribadi diiktiraf selagi ia tidak bercanggah dengan hukum Syarak. Tidak ada di dalam Islam apa yang dinamakan hak atau kebebasan untuk melakukan maksiat atau kemungkaran. Seorang muslim tidak hanya diseru menjauhi munkar dan maksiat, malah diseru agar mengelak dari tempat-tempat yang meragukan, yakni menimbulkan salah tanggap orang lain terhadap dirinya. Sabda Rasulullah s.a.w.;

دَعْ ما يَرِيبُكَ إلى ما لا يَرِيبُكَ
“Elakkanlah dari yang meragukan kepada yang tidak meragukan”.
(Riwayat Imam at-Tirmizi dan an-Nasai. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini soheh)

Berkata Imam al-Mawardi di dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah (Hukum-Hakam Pemerintahan) dalam bab berkenaan al-Hisbah (Tugas menjalan amar makruf nahi munkar); “Jika orang yang bertanggungjawab menjalankan tugas amar makruf nahi munkar (yakni al-Muhtasib) telah melihat seorang lelaki bersama seorang wanita di satu jalan yang sunyi, maka kedududukan jalan yang sunyi itu merupakan suatu yang menimbulkan keraguan (terhadap pasangan tersebut), maka hendaklah ia menegah mereka, namun janganlah tergesa-gesa mengenakan hukuman/denda ke atas mereka berdua kerana dibimbangi wanita itu adalah mahramnya. Jika ia dapati wanita itu adalah mahramnya, maka hendaklah ia berkata kepada lelaki tersebut; ‘Jagalah wanita kamu itu dari tempat-tempat yang mendatangkan keraguan’. Adapun jika ia mendapati wanita itu bukan mahramnya, maka hendaklah ia berkata kepada lelaki itu; ‘Takutlah kepada Allah dari bersunyian (dengan wanita yang bukan mahram) yang akan membawa kamu kepada melakukan maksiat kepada Allah’. Dan cara ia bertindak mencegah perkara tersebut hendaklah bergantung kepada tanda-tanda yang dilihatnya”. (Halaman 376)

Jika berada di satu jalan yang sunyi sudah dianggap meragukan, maka bagaimana jika seorang lelaki dan wanita yang diketahui bukan muhrim dilihat oleh orang yang mengenali mereka telah menyewa bilik yang sama, tidakkah itu lebih meragukan? Adakah hal sedemikian perlu dibiarkan dengan alasan menjaga hak peribadi?

(2) Terdapat kenyataan beliau di dalam akhbar tersebut; “Islam tidak menggalakkan manusia untuk pergi mendedahkan perbuatan maksiat”.

Penjelasan; Sememangnya Islam tidak menggalakkan pendedahan maksiat, namun harus diingat bahawa Islam juga mewajibkan maksiat dicegah apabila ia berlaku atau diketahui akan berlaku. Pencegahan terhadap munkar menjadi tanggungjawab yang amat besar di dalam Islam. Ini dibukti dengan banyaknya ayat di dalam al-Quran yang mewajibkan umat Islam melaksanakan tugas al-Amru Bil-Makruf Wa an-Nahyu ‘Anil-Munkar (Mengajak kepada makruf dan mencegah dari Munkar). Mengikut banciannya, sebanyak sembilan kali perintah tersebut diulang oleh Allah di dalam al-Quran.

Apabila dua orang yang bukan mahram dilihat atau diketahui berada dalam satu bilik yang tertutup, adakah mereka tidak perlu diselidiki atau dicegah dengan alasan Islam tidak membenarkan pendedahan maksiat atau munkar? Apakah apabila telah berlakunya zina dan perempuan yang terlibat dilihat mengandungkan anak haram, ketika itu barulah pencegahan boleh dibuat?

Kita meyakini bahawa para pegawai agama yang menjalankan operasi pencegahan maksiat, niat dan tujuan mereka pergi ke sarang maksiat atau ke tempat-tempat yang dikhuatiri berlaku maksiat bukan untuk mendedah maksiat tetapi untuk menyelidik dan melakukan pencegahan jika didapati maksiat/munkar benar-benar berlaku. Tugas ini menepati peranan Hisbah yang telah lama dihuraikan oleh ulamak-ulamak Islam dalam kitab-kitab karangan mereka. Malah menurut ulamak, peranan Hisbah ini merupakan salah satu cabang tugas atau tanggungjawab yang wajib dilaksanakan dalam sebuah pemerintahan Islam. Huraian lebih terperinci tentang Hisbah ini akan kita kemukakan di depan nanti.

(3) Antara kenyataan beliau dalam akhbar tersebut; “Prinsip amr makruf nahi munkar hanya boleh dilaksanakan apabila sesuatu perbuatan maksiat dan jenayah dilakukan secara terbuka”.

Penjelasan; Kenyataan tersebut pada amnya benar, namun ia memerlukan penjelasan lanjut untuk mengelak kekeliruan.

Dalam Sistem Pemerintahan Islam terdapat satu jawatan khusus yang dinamakan al-Hisbah. Orang yang menjawatnya dinamakan dengan al-Muhtasib. Jawatan Hisbah tersebut berperanan secara rasmi bagi menangani tugas dalam negara untuk mengajak orang ramai kepada makruf (melaksana perintah Allah) dan mencegah munkar dan maksiat.

Menurut ulamak, antaranya Imam al-Mawardi; Al-Muhtasib (orang yang menjawat jawatan Hisbah tersebut) hendaklah benar-benar menjalankan peranannya tersebut. Tidak harus ia meninggalkan peranan tersebut kerana urusan-urusan yang lain. Atas dirinya tugas amar makruf nahi munkar adalah fardhu ‘ain yang tidak boleh diabaikannya. Kenyataan tersebut menggambarkan kepada kita bahawa betapa pentingnya tugas amar makruf dan nahi munkar dalam sebuah negara dan masyarakat Islam pada pandangan ulamak. (al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 363)

Dalam hal berkaitan dengan perbahasan kita, Imam al-Mawardi menjelaskan; “Harus al-Muhtasib untuk menyelidik kemungkaran-kemungkaran yang diketahui secara zahir dengan tujuan untuk mencegahnya dan juga menyemak jika ada perkara makruf (perintah Allah) yang diabaikan dengan tujuan untuk mengajak orang ramai melaksanakannya…”.

Sememangnya munkar yang menjadi tanggungjawab al-Muhtasib menurut ulamak ialah munkar yang dzahir. Lebih jelas, para ulamak meletakkan tiga syarat bagi munkar yang hendak dicegah oleh al-Muhtasib;

a) Munkar itu adalah munkar yang zahir.
b) Munkar itu ialah munkar yang sedang berlaku atau dikhuatiri berlaku, yakni bukan munkar yang telah berlalu (kerana munkar yang telah berlalu menjadi tanggungjawab pemerintah untuk mengenakan hukuman).
c) Munkar itu bukanlah yang diiktilafkan terhadap hukum munkarnya.

Namun demikian, perlu difahami bahawa syarat pertama (iaitu “Hendaklah munkar itu zahir”), bukan bermaksud hanya munkar yang berlaku terang-terangan atau di depan mata sahaja yang perlu diselidiki dan dicegah. Secara tepatnya, syarat tersebut bermaksud; “Hendaklah munkar itu terdedah kepada al-Muhtasib atau sampai ke pengetahuannya, bukan melalui intipannya”. Menurut penjelasan Dr. Abdul-Karim Zaidan; “Termasuk dalam pengertian munkar yang zahir (nyata) ialah mana-mana tempat yang dirasai oleh al-Muhtasib dengan sangkaan yang ghalib bahawa terjadi munkar di situ, maka wajib atasnya untuk keluar ke tempat tersebut dan melakukan pemeriksaan serta pencegahan. Tidak harus ia mengabaikan perkara tersebut dengan duduk di rumahnya dengan alasan munkar itu belum berlaku atau belum diketahui…”. (Usul ad-Dakwah, hlm. 190).

Berhubung dengan hukum melakukan intipan oleh al-Muhtasib, menurut Imam al-Mawardi dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah; larangan-larangan Allah (maksiat atau munkar) yang tidak zahir (yakni yang tidak terdedah atau tidak sampai ke pengetahuan al-Muhtasib), tidak harus ia membuat intipan terhadapnya.

Oleh demikian, tidak harus al-Muhtasib mengintai-ngintai ke dalam rumah seseorang untuk melihat ada berlaku munkar atau tidak.

Namun dalam pada itu, beliau (yakni Imam al-Mawardi) menegaskan; jika al-Muhtasib merasai dengan sangkaan yang ghalib bahawa ada kumpulan atau pasangan sedang merancang secara rahsia untuk melakukan munkar berdasarkan tanda-tanda atau kesan-kesan yang dapat dilihat atau menjadi petunjuk, maka dalam hal ini, hendaklah diperhatikan jenis munkar tersebut;

Pertama; Munkar dari jenis yang boleh membawa kepada rosaknya kehormatan jika dibiarkan seperti pembunuhan atau penzinaan. Contohnya; al-Muhtasib telah diberi tahu oleh seorang yang siqah (dapat dipercayai) bahawa seorang lelaki sedang bersunyian dengan seorang wanita (yang bukan mahram) untuk berzina dengannya. Dalam kes ini menurut Imam al-Mawardi, harus al-Muhtasib membuat intipan dan melakukan tinjauan atau siasatan.

Kedua; Munkar dari jenis yang tidak sampai pada tahap tersebut, maka tidaklah harus dilakukan intipan oleh al-Muhtasib.
(Rujuk; Halaman 379-380)

Itu adalah ulasan Imam al-Mawardi tentang munkar yang berlaku secara tertutup. Adapun munkar atau maksiat yang dilakukan di tempat terbuka (di taman, di tepi jalan, tempat-tempat reakreasi dan sebagainya), apa yang dapat kita fahami dari tulisan beliau dalam kitab tersebut ialah; munkar-munkar yang berlaku secara terang-terangan tidak harus dibiarkan sama sekali. Menjadi kewajipan al-Muhtasib (atau pegawai agama yang bertangjawab hari ini) untuk melakukan tindakan mencegahnya sama ada dengan amaran atau disusuli dengan denda/hukuman jika perlu. Malah beliau menyebutkan; “Jika seorang lelaki terang-terangan meminum arak di khalayak ramai, jika ia seorang muslim, maka hendaklah dicurahkan araknya dan dikenakan hukuman ke atasnya. Jika ia seorang kafir zimmi, hendaklah didenda atas kesalahan meminum arak secara terang-terangan (bukan atas kesalahaan meminumnya)”. (al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 377).
Wallahu-a’lam

Monday, 18 December 2006

MENYAPU MUKA SELEPAS HABIS SOLAT

Soalan: Saya ada mendengar mufti baru Perlis memfatwakan bahawa menyapu muka selepas selesai solat adalah bid’ah yang menyesatkan.

Jawapan;

Terdapat dalam kitab al-Azkar karya Imam Nawawi sebuah hadis riwayat Ibnu Sunni dari Anas r.a. yang berbunyi;

كانَ رسولُ اللَّه صلى اللّه عليه وسلم إذا قَضى صلاتَه مسحَ جبهتَه بيده اليمنى، ثم قال: "أشْهَدُ أنْ لا إلهَ إِلاَّ اللَّهُ الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ، اللَّهُمَّ أذْهِبْ عَنِّي الهَمَّ والحزنَ"

“Adalah Rasulullah s.a.w. apabila selesai dari mengerjakan solat, baginda akan menyapu dahinya dengan tangan kanannya, kemudian baginda membaca doa;

أشْهَدُ أنْ لا إلهَ إِلاَّ اللَّهُ الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ، اللَّهُمَّ أذْهِبْ عَنِّي الهَمَّ والحزنَ
“Aku bersaksi bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah, Yang maha pengasih lagi maha penyayang. Ya Allah! Hilangkanlah dari diriku kedukaaan dan kesedihan”.
(Rujuk: al-Azkar, Bab al-Azkar Ba’da as-Solah).

Wallahu a'lam.

MENGANGKAT TANGAN KETIKA BERDOA DAN MENYAPU MUKA

Soalan: saya sering melihat orang ramai mengangkat tangannya ketika berdoa, kemudian selepas selesai berdoa mereka menyapu tangan ke muka. Ada segelintir ustaz berkata perkara tersebut Bid’ah. Benarkah demikian?

Jawapan:

Terdapat hadis menceritakan:
كان رسولُ الله صَلّى الله عَلَيْهِ وَسَلّم إذا مدَّ يديه في الدُّعاءِ لمْ يردّهُما حتى يمسَحَ بهما وَجْهَهُ"
“Adalah Rasulullah s.a.w. apabila mengangkat dua tangannya ketika berdoa, baginda tidak menjatuhkannya melainkan setelah menyapu dua tangannya ke muka”.
(Hadis riwayat Imam at-Tirmizi dari Saidina Umar r.a.).

Menurut Imam as-Son’ani dalam kitabnya Subulus-Salam; hadis ini terdapat hadis-hadis yang lain yang dapat memperkuatkannya, antaranya hadis Ibnu ‘Abbas yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan ulamak hadis lainnya. Jika dihimpunkan semua hadis yang berkaitan maka akan memberi keputusan bahawa hadis tersebut adalah hadis hasan.

Beliau menegaskan juga; hadis tersebut menjadi dalil bahawa disyariatkan menyapu muka dengan dua tangan setelah selesai dari berdoa. (Rujuk: Subulus-Salam, Kitab al-Jami’, Bab az-Zikr wa ad-Du’a)

Wallahu a’lam.

Friday, 8 December 2006

KONGSI RAYA; HARUS ATAU TIDAK?

Oleh: Us. Ahmad Adnan bin Fadzil

Tidak harus orang Islam menghadiri perayaan agama orang bukan Islam. Hukum ini menurut Imam Ibnul-Qayyim -dalam kitabnya Ahkam Ahlil-Zimmah- disepakati oleh sekelian ulamak.[1] Firman Allah;

وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا
“Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya”. (al-Furqan: 72)

Menurut Imam Ibnu ‘Abbas, Abu al-‘Aliyah, Thawus, Ibnu Sirin, ad-Dhahhak, Said bin Jubair dan ar-Rabi’ bin Anas; maksud (لا يشهدون الزور) dalam ayat di atas ialah “mereka tidak menghadiri perayaan-perayaan orang-orang musyrikin (أعياد المشركين).[2]

‘Atha’ bin Dinar telah menceritakan bahawa Saidina Umar r.a. berkata;

لا تعلموا رطانة الأعاجم ولا تدخلوا على المشركين في كنائسهم يوم عيدهم فإن السخطة تنزل عليهم
“Janganlah kamu mempelajari mentera-mentera orang asing dan janganlah kamu bersama-sama orang musyrikin dalam gereja-gereja/tempat-tempat ibadat mereka pada hari raya mereka, kerana sesungguhnya kemurkaan (Allah) akan turun menimpa ke atas mereka”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dengan sanad yang soheh).[3]

Berkata Abul-Qasim Hibatullah bin al-Hasan at-Thabari (faqih mazhab Syafi’ie); Tidak harus bagi kaum muslimin menghadiri hari-hari raya orang kafir kerana mereka berada di atas munkar dan zur (agama palsu). Jika ahli-ahli makruf bergaul dengan ahli-ahli munkar tanpa mengingkari perbuatan mereka, mereka (yakni ahli-ahli makruf) seolah-olah seperti orang-orang yang meredhai munkar dan melebihkannya. Maka kita khuatiri apabila turunnya kemurkaan Allah ke atas kumpulan mereka nescaya akan menimpa keseluruhan manusia (termasuk ahli makruf). Kita berlindung dengan Allah dari kemurkaanNya”.[4]

Imam Abul-Hasan al-Amidi juga ada berkata; “Tidak harus menghadiri hari-hari raya penganut Nasrani (Kristian) dan Yahudi. Hukum ini menjadi pegangan Imam Ahmad dan beliau berhujjah dengan ayat di atas.

Dalam hadis yang kita kemukakan di bahagian muqadimah tadi, Rasulullah s.a.w. bersabda (setelah melihat kaum Ansar menyambut dua hari perayaan yang mereka warisi dari zaman jahiliyah);

قَدْ أَبْدلَكمُ الله بِهِمَا خَيْراً منهما: يومَ الأضحْى ويوْمَ الْفِطْر
“Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik dari dua hari (yang kamu sambut) itu iaitu; hari raya korban dan hari raya fitrah”. (Riwayat Imam Abu Daud dan an-Nasai dari Anas r.a. dengan sanad yang soheh)[5]

Berkata Imam as-Shon’ani; berdasarkan hadis ini, sebahagian ulamak telah menyimpulkan hukum bahawa dilarang kaum muslimin bergembira/bersuka-ria di dalam perayaan-perayaan orang musyrikin dan meniru-niru mereka. Malah Syeikh Abu Hafs al-Musti (dari mazhab Hanafi) amat tegas dalam hal ini sehingga ia berkata; “Sesiapa memberi hadiah kepada seorang musyrik sekalipun dengan sebiji telur sebagai membesarkan hari mereka, maka sesungguhnya ia kufur dengan Allah”.[6]

Imam al-Minawi ketika mensyarahkan hadis yang serupa telah menaqal pandangan al-Muzhir (المظهر) yang berkata; hadis ini menjadi dalil bahawa membesarkan hari an-Niruz dan al-Mahrajan[7] dan seumpamanya adalah dilarang oleh agama.[8]
[1] Ahkam ahlil-Zimmah, juz. 2, hlm. 156.
[2] Tafsir Ibnu Kathir dan Ahkam Ahlil-Zimmah.
[3] Lihat hadis ini dalam Ahkam Ahlil-Zimmah.
[4] Ahkam Ahlil-Zimmah.
[5] Lihat hadis ini dalam Subulus-Salam, jil. 1, bab. Solaul-Idaian.
(Di dalam kitab Subulus-salam itu dijelaskan bahawa hadis ini menjadi dalil bahawa menzahirkan kegembiraan-kegembiraan ketika hari raya adalah disunatkan dan ia antara syari’at Allah kepada hambaNya. Ini kerana yang digantikan hanyalah hari raya. Adapun adat sambutan yang dilakukan oleh mereka iaitu mengadakan permainan-permainan (untuk menzahirkan keseronokan dan kegembiraan) tidak disentuh oleh Rasulullah s.a.w.. Ini menunjukkan ia adalah harus pada hari raya. Namun hendaklah dipastikan tidak ada unsur yang dilarang oleh Syarak dan tidak memalingkan dari ketaatan).
[6] Subulus-Salam, bab Solatil-Idain.
[7] Iaitu dua hari yang disambut oleh Ansar yang ditegah oleh Nabi s.a.w. dalam hadis di atas.
[8] Al-Faidhul-Qadier, hadis no. 6106.

MERUNGKAI MASALAH KHILAFIYAH DAN BID'AH

بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد:

Berkata Syeikh Hasan al-Banna; “Khilaf Fiqh dalam masalah-masalah cabang hendaklah jangan menjadi sebab berlakunya perpecahan dalam agama dan membawa kepada permusuhan dan kebencian kerana setiap mujtahid akan mendapat pahalanya….”.[1]

Taujihat Hasan al-Banna tersebut sewajarnya menjadi ingatan setiap muslim hari ini kerana di depan kita ada matlamat perjuangan yang perlu kita capai. Kalau kita asyik bergaduh sesama sendiri dalam masalah furu’, sudah tentu penumpuan tidak dapat kita berikan kepada agenda yang lebih besar dan utama.

Islam membenarkan berlakunya khilaf di kalangan para mujtahid dalam perkara-perkara furu’ yang tidak berkait dengan usul. Apabila berlaku khilaf tidak semestinya yang satu benar dan yang satu lagi salah, yang satu hak dan yang satu batil.

Abu Sa’id al-Khudri r.a. menceritakan; “Dua orang lelaki keluar bermusafir (pada zaman Rasulullah s.a.w.). Apabila masuk waktu solat, mereka tidak memiliki air untuk mengambil wudhuk, lalu mereka bertayammum dan mengerjakan solat. Namun setelah itu mereka menemui air dan waktu solat masih ada. Maka salah seorang dari mereka mengambil wudhuk dan mengulangi solatnya, adapun yang seorang lagi tidak mengulangi solatnya. Tiba di Madinah, mereka datang merujuk kepada Rasulullah s.a.w.. dan menceritakan apa yang berlaku itu. Lalu Rasulullah berkata kepada lelaki yang tidak mengulangi solatnya; “Apa yang kamu lakukan menepati sunnah dan solat kamu adalah sah/dikira bagi kamu”. Kepada seorang lagi pula Rasulullah berkata kepadanya; “Bagi kamu pahala/ganjaran dua kali”. (Riwayat Imam Abu Daud dan an-Nasai. Lihat hadis ini dalam Subulus-Salam, bab at-Tayammum)

Kerana itu bagi Imam as-Suyuti, khilaf yang berlaku di antara mazhab-mazhab berlegar antara yang paling benar dan yang benar, bukan di antara yang benar dan yang salah.[2] Oleh demikian, berdasarkan pandangan ini, apabila kita berpegang dengan suatu pandangan mazhab –dalam masalah khilaf-, kita hanya layak untuk berkata; ‘Pada hemat saya inilah pandangan yang paling benar, adapun pandangan lain adalah benar’. Tidak harus kita berkata; “Bagi saya inilah sahaja pandangan yang benar, adapun pandangan lain adalah batil, munkar, bid’ah atau salah”.

Perbezaan pendapat di antara para ulamak mujtahid mendatangkan rahmat kepada umat. Hal ini ditegaskan oleh banyak ulamak. Antaranya Imam Ahmad yang berkata; “Perbezaan pendapat itu adalah kelapangan (bagi umat)”. Berkata Umar Abdul ‘Aziz; “Aku tidak gembira jika para sahabat tidak berbeza pendapat. Kerana jika mereka tidak berbeza pendapat tidak akan ada kelapangan bagi umat…”. Berkata Imam as-Syatibi; “Ikhtilaf antara ulamak adalah rahmat bagi umat”.[3]

Oleh demikian, setiap orang Islam hendaklah berlapang dada dan menerima kepelbagaian pandangan dalam Islam yang dikeluarkan oleh para ulamak mujtahid. Tidak menjadi kesalahan jika ia hendak mengkaji di antara semua pandangan ulamak dalam suatu masalah, mana yang paling tepat. Namun hendaklah ia benar-benar memiliki kemampuan untuk berbuat demikian, di samping menjaga adab dengan para ulamak terdahulu serta meraikan adab-adab khilaf.

Khilaf yang tidak diizinkan

Namun, harus difahami juga bahawa bukan semua perkara harus berlaku khilaf. Khilaf hanya harus dalam masalah furu’. Adapun dalam masalah aqidah atau usul, tidak harus berlaku khilaf. Oleh demikian, apabila berlaku pertembungan antara aqidah Ahlus-Sunnah dengan Muktazilah, Qadariah, Syi’ah dan seumpamanya, orang Islam wajib berpegang dengan aqidah Ahlus-Sunnah kerana ia adalah satu-satunya fahaman aqidah yang menepati al-Quran dan as-Sunnah. Dalam suasana hari ini, umat Islam wajib menolak segala bentuk ideologi yang bertentangan dengan aqidah Islam seperti Sekular, Komunis, Sosialis, Liberalisme dan sebagainya kerana tidak harus berlaku perbezaan dalam pegangan aqidah di kalangan umat Islam.

Berkata Imam al-Khattabi; Khilaf dalam agama ada tiga bahagian;
Pertama; dalam mengisbatkan Pencipta dan keesaanNya. Mengengkari yang demikian adalah kufur.
Kedua; Dalam masalah sifat-sifat Allah dan kehendaknya. Mengengkarinya adalah bid’ah.
Ketiga; Dalam masalah furu’ yang diihtimalkan pelbagai pandangan. Hal ini dijadikan Allah sebagai rahmat dan kemuliaan bagi para ulamak. Khilaf jenis inilah yang dimaksudkan dalam hadis “Ikhtilaf (ulamak mujtahid) umatku adalah rahmat”.[4]

Berkata Imam as-Subki; “Tiada syak bahawa khilaf dalam usul adalah sesat dan menjadi penyebab kepada segenap kefasadan sebagaimana ditunjuki al-Quran”.[5]

Tidak harus mengingkari masalah khilaf

Dalam senarai kaedah-kaedah fiqh, terdapat satu kaedah yang menegaskan;

لا ينكر المختلف فيه وإنما ينكر المجمع عليه
“Tidak diingkari perkara yang diikhtilafkan, akan tetapi diingkari perkara yang telah diijmakkan”.[6]

Berkata al-Hafidz Ibnu Rajab; “Munkar yang wajib diingkari ialah yang telah diijmakkan oleh para ulamak ke atasnya. Adapun perkara yang diikhtilafkan berkenaannya, maka di antara pandangan sahabat-sahabat kami (yakni ulamak-ulamak mazhab Hanbali); tidak wajib mengingkari orang yang melakukannya kerana ijtihadnya atau kerana ia bertaklid kepada seorang mujtahid dengan taklid yang harus”.[7]

Imam al-Ghazali menegaskan di dalam Ihya’nya; Tidak harus bagi seorang bermazhab Hanafi mengingkari seorang bermazhab Syafi’ie yang memakna dhab, dubu’ dan yang tidak dibacakan Basmalah (ketika disembelih). Begitu juga, tidak harus seorang bermazhab Syafi’ie mengingkari seorang yang bermazhab Hanafi yang meminum nabiz yang tidak memabukkan…”.

Berkata Imam Nawawi; “Amalan-amalan dan ucapan-ucapan yang rumit yang tertakluk dengan ijtihad, tidak harus orang-orang awam menceburinya dan tidak harus mereka mengingkarinya. Hal demikian hendaklah diserahkan kepada para ulamak. Para ulamak pula mereka hanya mengingkari/menegah perkara yang telah diijmakkan. Adapun perkara yang diiktilafkan, tidak ada keingkaran terhadapnya kerana menurut salah satu dari dua mazhab (berkenaan ijtihad); setiap mujtahid adalah benar. Pandangan ini adalah yang terpilih di sisi ramai para muhaqqiqin (penganalisis) atau kebanyakan mereka. Adapun menurut satu pandangan/mazhab lagi; yang benar satu sahaja dan yang salah tidak tertentu bagi kita dan dosa terangkat darinya…”.

Berkata Imam Ibnu Taimiyyah; “Jika suatu masalah itu harus ijtihad padanya maka tidak dipertikaikan orang yang berbeza pandangan sama ada ia seorang mujtahid atau yang bertaklid”.

Berpegang dengan mazhab

Kaum muslimin terdiri dari dua golongan;

1. Golongan yang memiliki kemampuan untuk berijtihad. Golongan ini dikenali sebagai mujtahid dan bilangan mereka amat sedikit kerana para ulamak silam meletakkan syarat yang cukup ketat bagi ijtihad demi menjaga agama dari diseleweng atau disalahtafsirkan. Golongan ini tidak harus bertaklid. Mereka wajib mencungkil sendiri hukum hakam dari al-Quran dan as-Sunnah.

2. Golongan yang tidak memiliki kemampuan untuk berijtihad. Golongan ini adalah kebanyakan penganut Islam. Mereka dituntut merujuk kepada alim-ulamak berdasarkan perintah Allah;

“…dan bertanyalah kamu kepada orang-orang Yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui”. (an-Nahl: 43)

فإنما شِفَاء العِيّ السُّؤالُ
“Sesungguhnya ubat bagi orang yang jahil ialah bertanya”. (Riwayat Imam Abu Daud dan ad-Daruqutni)

Berkata Imam Ibnul-Qayyim; “Harus bertaklid bagi orang yang tidak sampai darjah ijtihad. Wajib atasnya mengikuti seorang imam yang dapat ia mengambil panduan darinya dan bertaklid kepadanya dalam mengenali hukum-halam halal dan haram. Tidak harus bagi orang sepertinya untuk memberi fatwa kepada orang lain sekalipun ia memiliki keseluruhan kitab-kitab hadis”.[8]

Berkata Imam as-Syatibi; “Fatwa-fatwa para mujtahidin dinisbah kepada orang-orang awam umpama dalil-dalil Syarak dinisbah kepada para mujtahid”. [9]

Dr. Abdul Karim Zaidan menjelaskan; Seorang mujtahid hendaklah memperolehi hukum-hakam dari sumber-sumbernya yang asli dengan cara pemerhatian dan ijtihad. Tidak harus taklid baginya. Adapun orang yang tidak mampu berijtihad, wajib atasnya bertanya ahli ilmu (ulamak). Bertanyakan ahli ilmu sama ada secara musyafahah atau dengan merujuk kepada pandangan-pandangan mereka yang termuat di dalam kitab-kitab yang dipercayai yang menceritakan tentang pandangan-pandangan mereka dan menaqalkan dengan penaqalan yang soheh. Oleh demikian, harus bagi orang awam untuk mengikuti satu mazhab tertentu dari mazhab-mazhab yang makruf dan wujud hari ini dan dinaqalkan kepada kita dengan penaqalan yang soheh….”.[10]

Masalah Bid’ah

Bid’ah akhir-akhir ini telah menggoncang kesatuan para pendokong Islam dalam menghadapi musuh-musuh mereka yang semakin hebat dan semakin licik mengatur serangan. Melakukan bid’ah sememangnya suatu kesalahan atau dosa dalam Islam. Tetapi harus diingat bahawa bukan bid’ah sahaja satu-satunya penyakit yang bakal merosakkan umat Islam dan kekuatan mereka. Di sana terdapat penyakit kufur, syirik, nifaq, munkar, dosa dan maksiat yang di mana penyakit-penyakit ini diulangi berpuluh kali oleh Allah di dalam al-Quran (malah juga as-Sunnah) berbanding dengan bid’ah yang disebut dalam beberapa hadis sahaja.

Malah dewasa ini munkar dan maksiat menjadi masalah besar dalam masyarakat kita, namun terdapat sesetengah pihak cuba memalingkan perhatian kita dari memikirkan masalah besar tersebut kepada memikirkan persoalan bid’ah dalam hal-hal furu’.

Para ulamak sepakat bahawa istilah bid’ah mengikut Syarak hanya berlaku dalam masalah agama. Secara khususnya ia merangkumi tiga persoalan;

1. Aqidah
2. Ibadah
3. Halal dan haram

Begitu juga, mereka mensepakati bahawa perkara baru dalam agama yang direka-reka tanpa mempunyai sebarang asas atau asal-usul dari Syarak (sama ada dari al-Quran, as-Sunnah, Ijmak atau sebarang bentuk pendalilan yang muktabar di sisi ulamak), maka ia adalah bid’ah yang sesat. Ia dinamakan sebagai bid’ah haqiqiyah yang disepakati ulamak bahawa ia haram dan tercela. Contohnya ialah;

1. Dalam masalah aqidah; bid’ah Muktazilah, Jabariyah, Qadariah. Pada hari ini dapat kita masukkan dalam bid’ah jenis ini; Islam liberal, Sekular, Sosialis dan sebagainya.
2. Dalam masalah ibadah; memuja dan berdoa kepada kubur-kubur yang dianggap keramat, bernazar kepada selain Allah.
3. Dalam masalah halal-haram; menghalalkan riba, arak, judi, pelacuran, pendedahan aurat dan sebagainya.

Di sana terdapat bentuk bid’ah yang diikhtilafkan antara ulamak iaitu bid’ah yang dinamakan sebagai bid’ah idhafiyyah. Bid’ah Idhafiyyah ialah suatu amalan yang terdapat asal-usulnya dalam syarak, cuma kaifiyat dan cara pengamalannya sahaja yang ditambah dari yang disebutkan Syarak. Kerana itu ia dinamakan Idhafiyah yang bermaksud sandaran/tambahan. Contoh amalan yang termasuk dalam kategori bid’ah idhafiyah ini ialah;

1. Berzikir dan berdoa selepas solat beramai-ramai (secara berjamaah).
2. Bersalaman selepas solat fardhu.
3. Membaca tahlil beramai-ramai.
4. Muazzin membaca selawat dengan suara yang kuat selepas melaungkan azan.
5. Tambahan Saidina dalam selawat.
6. Membaca Yaasin malam jumaat.
7. Berpuasa nisfu Syaban
8. Himpunan maksurat yang dibaca di waktu pagi dan petang.

Para ulamak dalam mentafsirkan bid’ah terdapat dua kecenderungan;[11]

Pertama; Meletakkan semua jenis bid’ah adalah haram dan sesat tanpa membahagikannnya kepada bid’ah hasanah dan bid’ah saiyyiah atau mazmumah. Antara ulamak yang mempunyai kecenderungan ini ialah Imam Ibnu Taimiyyah, Ibnul-Qayyim, as-Syatibi dan aliran Salafi hari ini. Bagi kumpulan ini, bid’ah idhafiyah juga tergolong dalam bid’ah yang diharamkan. Bagi mereka, bukan hanya amalan perlu ada dalil, malah kaifiyat dan cara mengamalkan juga perlu ada dalil.

Kedua; Membahagikan bid’ah kepada dua kategori iaitu bida’h hasanah dan bid’ah saiyyiah. Bid’ah hasanah ialah amalan-amalan yang menepati dalil-dalil Syarak. Adapun bid’ah saiyiah ialah yang bercanggah dengan dalil-dalil Syarak. Pandangan ini menjadi pegangan jumhur ulamak termasuk Imam Syafi’ie, Imam Ibnu Hazm, Imam al-Ghazali, Imam Ibnu al-Athir, Imam Nawawi, Imam Ibnu Hajar, Imam al-Zarkasyi, Imam al-Qarafi dan sebagainya. Bagi pandangan ini, jika suatu amalan itu terdapat asal-usulnya dari Syarak, maka tidak boleh dinamakan bid’ah yang sesat jika dilakukan dengan kaifiyat yang ditambah asalkan kaifiyat itu tidak bertentangan dengan Syarak. Kecualilah jika terdapat dalil yang menegaskan suatu amalan itu wajib dilakukan dengan kaifiyat tertentu, maka tidak harus berpaling kepada kaifiyat yang lain seperti solat lima waktu dan sebagainya.

Berkata Imam Syafi’ie; “Perkara-perkara baru dalam urusan agama ada dua jenis;
Pertama; Perkara baru yang menyalahi al-Quran, as-Sunnah, atsar (kata-kata sahabat) atau ijmak, maka ia adalah bid’ah yang sesat.
Kedua; Perkara baru yang berbentuk kebaikan yang tidak ada seorang ulamak pun yang mempertikainya, maka ia adalah perkara baru yang tidak tercela.

Saidina Umar r.a. pernah berkata mengenai solat Terawikh (yang dilakukan berjamaah di belakang seorang imam); “Sebaik-baik bid’ah ialah ini”. Ianya membawa erti bahawa ianya benda baru dan belum pernah dilakukan sebelumnya…”.[12]

Berkata Imam Ibnu Rajab; “Yang dimaksudkan dengan bid’ah itu ialah perkara yang baru diwujudkan yang tidak ada dalil yang membuktikannya di dalam Syariat. Manakala sesuatu yang mempunyai dalil yang menunjukkannya, maka ia bukanlah bid’ah dari segi Syarak walaupun ia bid’ah dari segi bahasa”.[13]

Dalam apa keadaan sekalipun, setiap muslim harus menerima hakikat bahawa amalan-amalan dalam bid’ah idhafiyah tersebut menjadi medan khilaf di kalangan ulamak. Sebagaimana ditegaskan tadi, dalam masalah khilafiah kaum muslimin hendaklah berlapang dada sesama sendiri demi menjaga kesatuan sesama mereka. Adalah lebih baik memberi tumpuan kepada membasmi gejala murtad, maksiat, munkar dan bid’ah haqiqiyah dari menyebukkan diri dengan bid’ah idhafiyah yang pastinya tiada penyudahnya. Hal tersebut telah diperingatkan oleh Syeikh Hasan al-Banna sejak 50 tahun yang lalu di mana beliau menulis dalam risalah Usul al-‘Isyrinnya;

“Setiap bid’ah di dalam agama yang tiada asal-usulnya (dari nas Syarak), hanya semata-mata dipandang elok oleh hawa-nafsu manusia sama ada dengan menambah atau mengurangnya, ia adalah sesat dan wajib diperangi. Namun untuk membasminya hendaklah dengan jalan terbaik yang tidak membawa kepada keburukan yang lebih besar”. (Usul ke 11)

“Bid’ah Idhafiyyah dan at-Tarkiyyah dan melazimi ibadah-ibadah yang mutlak merupakan khilaf fiqh di mana setiap ulamak terdapat pandangannya tersendiri. Namun tidak menjadi kesalahan untuk mencari kebenaran berdasarkan dalil dan bukti”. (Usul ke 12).

Syeikh Said Hawa juga menegaskan; “Tidak harus kita menghukum suatu amalan sebagai bih’ah yang diharamkan kecuali apabila telah disepakati oleh imam-imam mujtahid atau imam-imam fatwa bahawa ia adalah bid’ah. Adapun jika mereka berikhtilaf dalam membid’ah atau mengharamkannya, maka perkara terbabit adalah luas (yakni diberi kelonggaran) dinisbah kepada orang awam. Adapun bagi orang yang mengetahui jalan-jalan dalil, maka perkara tersebut baginya lebih sempit di mana jika yang rajih baginya ialah dalil terkuat yang membid’ahkannya, maka wajib atasnya menjauhi perkara tersebut. Namun tidak ada hak baginya untuk berkeras mengingkari orang yang mengikuti imam-imam mujtahid atau imam-imam fatwa dalam hal atau masalah seumpama itu…”.[14]

*** والله أعلم بالصواب***

Akhukum,
Us. Ahmad Adnan Fadzil,
Pusat Bimbingan Wawasan Ummah,
Changlun, Kedah.
18 Sya’ban 1427, 11 Sept. 2006.

Bacaan dan rujukan

1. Ikhtilaf al-Mazahib, Imam as-Suyuti, Dar al-I’tisham, Qaherah-Mesir (1989)
2. Fahmul-Islam Fi Dzilali al-Usul al-‘Isyrin, Syeikh Jum’ah Amin Abdul-Aziz, Dar ad-Da’wah, Iskandariyah-Mesir (1990).
3. Soheh Muslim Bisyarhi an-Nawawi, Imam an-Nawawi, Muassasah al-Mukhtar, Qaherah-Mesir (2001)
4. Faidhul-Qadier Syarh al-Jami’ as-Saghier, al-‘Allamah al-Minawi, Dar al-Fikr (tanpa tarikh).
5. Al-Asybah wa An-Nazair Fi Qawa’id wa Furu’ Fiqh asy-Syafi’iyyah, Imam as-Suyuti, Dar al-Fikr, Beirut-Lubnan.
6. Taghyir an-Munkar Baina al-Ifrat wa at-Tafrit, al-Hafidz Ibn Rajab al-Hanbali, Dar al-Kitab al-‘Arabi, Syirbin-Mesir (1991).
7. Al-Wajiz Fi Usul al-Fiqh, Dr. Abdul Karim Zaidan, Dar at-Tauzi’ wa an-Naysr al-Islami, Qaherah-Mesir (1993).
8. Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, Imam an-Nawawi, Dar al-Fikr, Beirut-Lubnan (1996)
9. Al-Asas fi As-Sunnah wa Fiqhhuha, Syeikh Said Hawa, Dar as-Salam, Qaherah-Mesir (1992).Fahmu Usul al-Islam, Dr. Ali Abdul Halim Mahmud, Dar at-Tauzi’ wa an-Naysr al-Islami, Qaherah-Mesir (1993).
[1] Usul ke 8 dari Usul Isyrin, Syeikh Hasan al-Banna.
[2] Ikhtilaf al-Mazahib, Imam as-Suyuti, hlm. 34.
[3] Fahmul-Islam, hlm. 134.
[4] Soheh Muslim Bisyarhi an-Nawawi.
[5] Faidhul-Qadier, hadis no. 288.
[6] Al-Asybah wa An-Nazair, Imam as-Suyuti, hlm. 202.
Dikecualikan khilaf yang lemah dan boleh menjadi faktor pendorong kepada larangan yang telah disepakati. Contohnya; Khilaf dalam masalah riba an-Fadl. Sekalipun terdapat pandangan Ibnu ‘Abbas dan Ibnu ‘Umar mengharuskannya, tetapi pandangan mereka amat lemah kerana terdapat hadis soheh yang banyak yang menegaskan pengharamannya. Malah terdapat keterangan bahawa mereka berdua telah menarik kembali pandangan mereka itu. Begitu juga, khilaf dalam masalah nikah Mut’ah. Khilaf tersebut adalah lemah dan boleh membawa kepada penzinaan. (Rujuk; Taghyir an-Munkar, al-Hafidz Ibn Rajab al-Hanbali, hlm. 64. Lihat juga; Al-Asybah wa An-Nazair, Imam as-Suyuti, hlm. 202.).
[7] Taghyir an-Munkar, al-Hafidz Ibn Rajab al-Hanbali, hlm. 63-64.
[8] Fahmul-Islam, hlm. 111.
[9] Fahmul-Islam, hlm. 111.
[10] Al-Wajiz Fi Usul al-Fiqh, hlm. 409.
[11] Fahmu Usul al-Islam, Dr. Ali Abdul Halim Mahmud, hlm. 123.
[12] Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, Imam an-Nawawi, jil. 3, hlm. 21.
[13] Jami’ al-Ulum wa al-Hikam (dinaqalkan dari kitab Al-Asas fi As-Sunnah wa Fiqhhuha, Syeikh Said Hawa, jil. 1, hlm. 361).
[14] Al-Asas fi As-Sunnah wa Fiqhhuha, Syeikh Said Hawa, jil. 1, hlm. 341-342.

ADAKAH SYURGA KEMBALI KE BAWAH TAPAK KAKI IBU SETELAH KEMATIAN SUAMI?

Soalan;  ustaz, se pertimana yang saya tahu, syurga seorang isteri di bawah telapak kaki suaminya. Tapi ustaz, macam mana pula jikalau suami...