Jumaat, 19 Januari 2007

HUKUM KHUTBAH RAYA, SAHABAT TERAKHIR WAFAT, BERTAYAMMUM DENGAN SALJI & JAMAAH SOLAT JUMAAT

Assalamualaikum...
1.Apakah pandangan para jumhur ulama' jika tidak berkhutbah pada kedua² hari raya??
2.Siapakah sahabat yang terawal dan terakhir wafat??
3.Bolehkah bertayammum dengan salji??
4.Apakah jawaban jumhur ulama' pada solat jumaat jika ma'mum sampai kepada 40 orang??

Dari: Hizbul-muslimin.uk

Jawapan:

Bismillahir-Rahmanir-Rahim

Bagi soalan pertama;

Khutbah bagi solat hari raya hukumnya sunat. Menurut Imam as-Syaukani; “Aku tidak menemui sebarang pandangan mewajibkannya”. (Nailul-Autar, Kitab al-‘Idain). Oleh demikian, solat hari raya adalah sah sekalipun tanpa diikuti dengan khutbah selepasnya. Namun perbuatan tersebut adalah makruh. Begitu juga, makruh –menurut mazhab Imam Syafi’ie- seorang menghadiri solat hari raya tetapi tidak mendengar khutbah hari raya atau bercakap-cakap ketika khutbah disampaikan atau meninggalkan majlis tanpa menunggu khutbah.

Bagi soalan kedua;

Saya tidak pasti siapa sahabat paling awal meninggal. Adapun sahabat yang paling akhir meninggal ialah Abu Ath-Thufail ‘Amir bin Wailah Al-Laitsi (أبو الطفيل عامر بن وائلة الليثي الكناني) yang mati pada tahun 110 hijrah mengikut pendapat yang rajih.

Bagi soalan ketiga;

Salji termasuk dalam tujuh air mutlak yang harus digunakan untuk mengambil wudhuk. Oleh demikian, tidak timbul soal hendak tayammum dengan salji kerana tayammum hanya diperlukan ketika ketiadaan air atau ketika sakit. Ketika ada salji, tidak harus tayammum kerana salji itu termasuk dalam air mutlak. Cuma sebelum berwudhuk dengannya hendaklah dicairkan terlebih dahulu. Jika bertayammum kerana darurat disebabkan tidak mampu menggunakan air (kerana sakit) atau air diperlukan untuk minum, maka tayammum hanya disyariatkan dengan tanah sahaja sebagaimana firman Allah (bermaksud); “…dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah - debu itu….”. (al-Maidah: 6)

Bagi soalan keempat;

Jumaat bermaksud perhimpunan orang ramai untuk menunaikan solat. Oleh demikian, solat jumaat wajib dilakukan secara berjamaah. Tidak sah solat jumaat dengan bilangan seorang atau dua orang. Ia wajib dengan bilangan yang dapat dikatakan ramai. Dalam menentukan berapa bilangan yang dapat dikatakan ramai itu maka para ulamak berbeza pandangan. Menurut pandangan mazhab Syafi’ie dan Hanbali; wajib tidak kurang dari 40 orang. Sebahagian Salaf berkata; wajib tidak kurang dari 12 orang. Menurut mazhab Hanafi pula; mesti tidak kurang dari tiga orang tidak termasuk imam. Menurut Imam Ibnu Hajar, pandangan yang rajih dari segi dalilnya ialah solat jumaat hendaklah dikerjakan oleh kumpulan yang ramai tanpa terikat dengan jumlah tertentu.

Wallahu A’lam.

Tiada ulasan:

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...