Sabtu, 17 Februari 2007

SEJAUHMANA KELUAR NAJIS MEMBATALKAN WUDHUK?

Soalan:

Assalamualaikum...
Saya ada dua kemusykilan dan saya berharap ustaz dapat membantu saya dalam memperjelaskan permasalahan ini....
Soalan saya apakah pandangan ulama' mazhab dan kesannya terhadap wudu':

1. Sesuatu yang keluar daripada kemaluan.
2. Sesuatu yang keluar bukan melalui dua kemaluan?

Syukron....

Jawapan;

Bismillahirrahmanirrahim, wa bihi nasta’in.

Soalan pertama;

Sepakat para ulamak menegaskan –tanpa ada khilaf di kalangan mereka- bahawa batal wudhuk jika yang keluar dari kemaluan itu ialah air kencing, tahi, kentut, air mazi dan air wadi.[1] Adapun air mani, terdapat khilaf di kalangan ulamak. Mazhab Imam Malik, Abu Hanifah dan Ahmad berpendapat; ia membatalkan wudhuk. Adapun menurut mazhab Syafi’ie, ia tidak membatalkan wudhuk, akan tetapi mewajibkan mandi. Bagaimana jika yang keluar dari dua jalan itu adalah batu, darah, ulat dan sebagainya dari perkara yang jarang berlaku? Menurut mazhab Imam Syafi’ie; semua yang keluar melalui kemaluan akan membatalkan wudhuk sama ada dari benda-benda yang biasa (yakni tahi, kencing dan sebagainya tadi) atau yang luar biasa (batu, darah, ulat dan sebagainya).

Soalan kedua;

Jika yang keluar itu adalah berupa najis seperti darah (sama ada darah bekam, darah hidung atau sebagainya), nanah dan air bisa, maka mengikut mazhab Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad batallah wudhuk sekalipun tidak keluar melalui kemaluan. Adapun mengikut pandangan mazhab Imam Syafi’ie dan Malik tidak membatalkan wudhuk kecuali najis yang keluar melalui kemaluan.

Wallahu A’lam.

Nota;
[1] Lihat; Bidayatul-Mujtahid, Imam Ibnu Ruysd, Kitab al-Wudhu’, Bab Nawaqidh al-Wudhu’.

Tiada ulasan:

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...