Rabu, 27 Jun 2007

MASALAH BERKAITAN MUZIK

Soalan :

Apakah hukum mendengar muzik tanpa nyanyian (instrumental / minus one) dimana tiada apa-apa senikata didalamnya. Ini bermakna muzik instrumental ini tidak dipengaruhi oleh perkataan-perkataan yang berunsur tahyul atau pemujaan atau memuja muja wanita dan sebagainya.

Jawapan;

Alat-alat bunyian atau muzik sama ada mengguna atau mendengarnya, terdapat khilaf di kalangan ulamak;
Jumhur (majoriti) ulamak silam –termasuklah ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie- mengharamkannya dikecualikan duff (kompang). Mereka berdalil antaranya dengan hadis Nabi s.a.w. yang menegaskan; “Akan ada di kalangan umatku orang-orang yang akan menghalalkan penzinaan, sutera dan alat-alat bunyian (muzik)”. Dalam riwayat yang lain (baginda bersabda); “Sebahagian manusia dari umatku mereka meminum arak dengan memberinya nama yang lain (yakni menukar namanya), kepala-kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian dan penyanyi-penyanyi wanita….” (Riwayat Imam Bukhari dan Ibnu Majah dari Abu Malik al-Asy’ari).

Hadis di atas menyentuh alat-alat muzik secara umumnya. Adapun secara khusus dengan menyebut alat-alat muzik, Imam Ahmad meriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a. yang telah menceritakan bahawa “Rasulullah s.a.w. telah mengharamkan arak, judi, gendang, biola dan setiap yang mengkhayalkan adalah haram”. Dalam satu lafaz yang lain, Rasulullah bersabda; “Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas umatku arak, judi, tuak gandum, gendang dan biola”. (Riwayat Imam Ahmad)

Menurut mazhab Syafi’ie; “Diharamkan mengguna dan mendengar alat-alat bunyian seperti biola, gambus, shonji (iaitu dua piring tembaga yang dilagakan keduanya untuk menghasilkan bunyi), gendang, serunai, dan sebagainya. Setiap alat muzik yang bertali adalah haram tanpa khilaf. Diharuskan duff bagi majlis kenduri kahwin, berkhatan atau sebagainya. Nyanyian jika tanpa alat bunyian, hukumnya makruh dan jika disertai alat-alat bunyian, hukumnya adalah haram”. (Lihat Mughni al-Muhtaj, Kitab asy-Syahadat).

Selain itu dalil-dalil di atas, mengguna dan mendengar alat-alat bunyian (muzik) juga telah menjadi adat atau kebiasaan orang-orang fasik (yakni suka melakukan maksiat dan tidak menjaga agama).

Namun sebahagian ulamak mengharuskan alat-alat bunyian atau muzik dalam sebarang bentuk dan bunyi selagi ia tidak bercampur dengan perlakuan-perlakuan yang haram seperti minum arak, percampuran lelaki dan wanita, nyanyian-nyanyian yang bercanggah dengan agama (spt. memuja wanita, yang membangkitkan syahwat dsbnya) dan selagi tidak melalaikan ibadah dan tanggungjawabnya. Di antara mereka ialah sahabat Nabi s.a.w. Abdullah bin Jaafar dan Abdullah bin az-Zubair, Imam Malik, Towus, Sa’ad bin Ibrahim az-Zuhri (seorang Tabi’in), Abdul-‘Aziz bin Salamah al-Majisyun, Imam Abu Bakar Ibnu ‘Arabi, Imam Ibnu Hazm dan sebagainya. Imam ar-Ruyani menaqalkan dari al-Qaffal bahawa; mengikut mazhab Imam Malik nyanyian dengan alat-alat muzik adalah harus.

Hujah mereka ialah; tidak ada dalil yang benar-benar terang dan nyata yang menyebutkan pengharaman alat-alat bunyian atau muzik tersebut. Jika ada sekalipun, umpamanya hadis riwayat Imam Bukhari di atas (yang dikemukakan oleh jumhur tadi), ia kerana bercampur dengan arak, zina atau sebagainya yang jelas dilarang, bukan semata-mata kerana alat bunyian/muzik. Maka jika alat-alat bunyian/muzik tersebut bebas dari unsur-unsur haram tersebut, maka ia kembali kepada hukum asalnya iaitu harus. Sekalipun banyak hadis yang dikemukakan oleh ulamak-ulamak yang berhujjah melarang alat-alat bunyian, namun hadis-hadis tersebut tidak sunyi dari kecacatan. Ia berlegar antara dhaif atau maudhuk (palsu) dan tidak harus dijadikan hujjah terutama untuk mengharamkan sesuatu di mana telah disepakati ulamak bahawa pengharaman mesti berdasarkan dalil yang soheh. Sebagai contohnya, hadis riwayat Imam Ahmad di atas; di dalam sanadnya (yakni rangkaian periwayatnya) terdapat seorang bernama Al-Walid bin ‘Abadah di mana ia adalah majhul (tidak dikenali). Berkata Imam Ibnu Hazm; “Tidak ada sebarang hadis yang soheh yang mengharamkan nyanyian dan alat-alat bunyian. Semuanya adalah maudhuk (hadis-hadis palsu)”.

Ramai ulamak semasa hari ini cenderung kepada pandangan kedua di atas, yakni; muzik adalah harus selagi tidak bercampur dengan perkara-perkara haram dan tidak melalaikan dari ibadah dan tanggungjawab. Begitu juga hukumnya dengan nyanyian yang hari ini tidak dapat dipisahkan dengan muzik. Di antara mereka ialah Dr. Yusuf al-Qaradhawi (rujuk kitab beliau; al-Halal Wa al-Haram Fil-Islam), Syeikh Muhamad al-Ghazali dan Mufti Mesir sekarang ini Dr. Ali Jum’ah (lihat buku Himpunan Fatwanya bertajuk; al-Kalimu at-Thayyib; Fatawa ‘Asyriyyah, hlm. 452).

Wallahu A’lam.

Rujukan;

Nailul-Autar, Imam as-Syaukani, juz. 8, bab Ma Ja-a Fi Alati al-Lahwi, hlm. 96-105.
Al-Halal Wa al-Haram, Dr. Yusuf al-Qaradhwi.
Al-Kalimu at-Thayyib, Dr. Ali Jumaah.
Mughni al-Muhtaj, Syeikh Khatib asy-Syirbini.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

jika boleh, saya minta ustaz beri kan dalil-dalil yang mengharuskan alat muzik...

Unknown berkata...

Assalamualaikum,

Tentang niat bermain alat muzik itu untuk kebaikan atau ia bermanfaatkan, itu adalah salah kerana banyak lagi hiburan yang terang-terang Halal dan tidak samar atau tidak jelas status hukumnya. Seperti, street soccer, sepak takraw, main game Playstation yang baik2 seperti game bola, banyak lagi hiburan yang jelas sekali Halal. Semua hiburan yang jelas Halal boleh menjadi Haram jika berlebih-lebihan, bukan hiburan sahaja tetapi dalam banyak perkara yang lain. Pokoknya, mesti pandai memilih nikmat2 yang baik dan jelas Halal untuk kita. Mengapa masih memilih perkara yang khilaf. Elakkan perkara yang khilaf.

Bukti-bukti tentang permainan alat muzik dalah berikut:

Di dalam Sahih Al-Bukhari:
Abu Malik Al-Asyaari (RA) meriwayatkan bahawa Rasulullah (SAW) bersabda, "Akan ada beberapa kaum dari umatku yang menghalalkan zina, sutera (bagi lelaki), khamar dan alat muzik dan beberapa kamu akan turun/berhenti di sudut sebuah bukit yang tinggi. Para penternak datang kepada mereka di waktu petang dengan membawa haiwan-haiwan ternakan mereka kerana sesuatu keperluan, lalu merka berkata: Datanglah semua menemui kami esok. Lantas Allah (SWT) memusnahkan mereka pada waktu malam dan menjatuhkan bukit yang tinggi itu ke atas mereka dan sebahagian yang lain lagi Allah mengubah rupa mereka menjadi seperti kera dan babi sampailah ke hari kiamat."

Di dalam Sunan An-Nasa'i:
Telah mengabarkan kepada kami 'Amr bin Yahya, ia berkata; telah menceritakan kepada kami Mahbub yaitu Ibnu Musa, ia berkata; telah memberitakan kepada kami Abu Ishaq yaitu Al Fazari dari Al Auza'I, ia berkata; Umar bin Abdul Aziz mengirim surat kepada Umar bin Walid yang isinya adalah: “Dan pembagian ayahmu kepadamu seperlima seluruhnya, sesungguhnya bagian ayahmu seperti bagian seseorang dari kaum muslimin dan didalamnya ada haq Allah dan haq rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, dan Ibn Sabil, maka betapa banyak penuntut ayahmu pada hari kiamat kelak, dan bagaimana ia bisa selamat orang yang banyak penututnya, dan engkau menampakkan alat muzik dan seruling adalah bid'ah didalam Islam dan sungguh aku ingin mengirim seseorang kepadamu untuk memotong rambutmu yaitu rambut yang buruk.”

Telah mengabarkan kepada kami Mujahid bin Musa, ia berkata; telah menceritakan kepada kami Husyaim dari Abu Balj dari Muhammad bin Hathib, ia berkata; Rasulullah (SAW) bersabda, “Pemisah antara halal dan haram adalah rebana dan suara dalam pernikahan." (Nabi Muhamad SAW tidak menyebut alat muzik selain dari rebana. Hanya rebana dan suara sahaja dibolehkan dalam pernikahan)

Di dalam Sunan Ibn Majah:
Telah menceritakan kepada kami 'Amru bin Rafi' berkata; telah menceritakan kepada kami Husyaim dari Abu Balj dari Muhammad bin Hathib ia berkata, "Rasulullah (SAW) bersabdam, “Pembatas antara yang halal dan haram adalah rebana dan suara dalam pernikahan."

Di dalam Sunan At-Tirmidzi:
Telah menceritakan kepada kami Ahmad bin Mani', telah menceritakan kepada kami Husyaim, telah menceritakan kepada kami Abu Balj dari Muhammad bin Hatib Al Jumahi berkata; Rasulullah (SAW)bersabda, "Perbedaan antara yang diharamkan (zina) dan yang dihalalkan (pernikahan) ialah dengan memukul rebana dan suara." (Abu Isa At Tirmidzi) berkata, "Hadits semakna diriwayatkan dari Aisyah, Jabir dan Ar Rubayyi' binti Mu'awwidz." Abu Isa berkata, "Hadits Muhammad bin Hatib merupakan hadits hasan. Abu Balj bernama Yahya bin Abu Sulaim, juga terkadang disebut Ibnu Sulaim. Muhammad bin Hatib telah melihat Nabi (SAW) pada saat masih kecil." (Di sini sekali lagi, Nabi Muhammad (SAW) hanya menyebut rebana dan suara sahaja)

Unknown berkata...

Ada juga pihak yang berbeza atau berselisih pendapat tentang derajat hadis-hadis diatas walaupun ulama telah mensahihkan atau menghasankannya. Oleh sebab ada pihak yang tidak setuju tentang derahat hadis-hadis diatas, ini bermaksud perkara tentang permainan alat muzik itu telah menjadi perkara khilaf; ada yang menghalalkan dan ada yang mengharamkan. Oleh itu, mari kita lihat dan patuh kepada ajaran Nabi Muhammad SAW yang berikut tentang isu yang dikatakan khilaf ini.

Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Abdullah bin Numair Al Hamdani telah menceritakan kepada kami Ayahku telah menceritakan kepada kami Zakaria dari As Sya'bi dari An Nu'man bin Basyir dia berkata, "Saya mendengar dia berkata, "Saya pernah mendengar Rasulullah (SAW) bersabda, Nu'man sambil menujukkan dengan dua jarinya kearah telinganya: "Sesungguhnya yang halal telah nyata (jelas) dan yang haram telah nyata. Dan di antara keduanya ada perkara yang syubat (samar, tidak jelas), yang tidak diketahui kebanyakan orang, maka barangsiapa menjaga dirinya dari melakukan perkara yang meragukan, maka selamatlah agama dan harga dirinya, tetapi siapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia terjatuh kepada keharaman. Tak ubahnya seperti gembala yang menggembala di tepi pekarangan, dikhawatirkan ternaknya akan masuk ke dalamnya. Ketahuilah, setiap raja itu memiliki larangan, dan larangan Allah adalah sesuatu yang diharamkannya. Ketahuilah, bahwa dalam setiap tubuh manusia terdapat segumpal daging, jika segumpal daging itu baik maka baik pula seluruh badannya, namun jika segumpal daging tersebut rusak, maka rusaklah seluruh tubuhnya. Ketahuilah, gumpalan daging itu adalah hati." [Sahih Muslim dan Sahih Al-Bukhari]

Jika ada pula yang mengatakan isu ini bukan isu samar (tidak jelas), yakni ia adalah perkara yang jelas dan seterang-terangnya Halal, mengapakah ada perbezaan pendapat yang tidak sudah-sudahnya tentang perkara ini? Oleh kerana ada yang menghalalkan dan ada yang mengharamkan, isu permainan alat muzik ini menjadi perkara yang diantara Halal dan Haram. Kita disuruh mengelak perkara ini, maksudnya, mengelakkan diri daripada bermain alat muzik supaya kita menyelamatkan dan memelihara Islam. Jika tidak, kita tergolong dari orang-orang yang selain atau berlawanan dengan penyelamat Islam. Di akhir hadis itu, Nabi Muhammad SAW membicarakan tentang Hati. Kenapa dibicarakan tentang Hati? Mungkin kerana dengan Hati yang suci dan bersih, InsyaAllah kita dapat menyelamatkan Islam dan seluruh dunia.

Niat saya hanya untuk mengongsi ilmu dan membetulkan apa yang salah, hanya untuk Allah (SWT). Jika saya salah, tolong buktikan dengan Al-Quran dan As-Sunnah yang saya ini salah.

Berpeganglah dengan teguh kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Semoga Allah SWT memberi kita kefahaman dan sentiasa membimbing kita ke jalan yang lurus. Amin Ya Rabbal Alamin.

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...