Sunday, 24 June 2007

Nyawa diambil berdasarkan amalan?

Soalan 1; Adakah Allah swt ada alasan-alasan tertentu untuk mencabut nyawa seseorang berdasarkan kepada amalan-alasan seseorang manusia atau tidak.
Adakah Allah swt telah tetapkan ajal seseorang tanpa mengira siapa orang itu. Panjang & pendek umur bukan bergantung kepada amalan seseorang?

Jawapan;

Segala yang berlaku di alam ini semuanya dengan takdir Allah sama ada yang berkait dengan kejadian atau kelansungan kejadian iaitu usia atau umurnya. Kejadian kita adalah dengan takdir Allah, begitu juga kelansungan hidup kita adalah dengan takdir Allah. Apabila membicarakan soal takdir, kebanyakan kita merasakan takdir hanyalah iradah Allah atau kehendaknya. Sebenarnya persoalan takdir merangkumi pemahaman terhadap tiga sifat Allah;

1. Ilmu Allah (ilmu)
2. IradahNya (kehendak)
3. QudrahNya (kuasa)

Setiap kejadian yang bakal berlaku di alam ini berada di dalam ilmu Allah, terikat dengan kehendakNya dan hanya akan terlaksana dengan kuasa dariNya. Berkait dengan usia atau umur, usia kita di dalam ilmu Allah adalah tetap. Allah mengetahui bilakah kita akan dilahirkan dan berapa lamakah kita akan hidup. Apabila di dalam ilmu Allah kita hanya hidup 100 tahun, jumlah ini tidak akan berubah kerana ilmu Allah adalah tetap, tidak berubah. Namun sifat ilmu bukan menjadikan atau meniadakan, ia hanyalah mengetahui atau mendapat makluman. Apabila saudara berkata; “Saya mengetahui bahawa Muhammad lah yang mencuri”, tidak bermakna saudara yang menjadi Muhammad mencuri. Saudara hanya memberitahui berdasarkan ilmu saudara bahawa Muhammad mencuri, adapun perbuatan mencuri itu berlaku dengan kehendak Muhammad sendiri. Jadi, dalam ilmu Allah umur kita 100 tahun. Namun bagaimana boleh berlaku 100 tahun itu ia bergantung kepada iradah dan qudrah Allah. Allah dengan iradah dan qudrahNya boleh mengurang atau menambah umur hambanya sama ada melalui ikhtiar mereka atau tidak. Misalnya, seorang manusia ditetapkan Allah usianya 90 tahun, kemudian apabila dia hidup ia berdoa kepada Allah agar dipanjangkan usia atau ia melakukan amalan yang disebut Rasulullah boleh memanjangkan usia, lalu Allah –dengan iradah dan qudrahNya- menambah 10 tahun lagi ke atas umurnya, maka hal tersebut tidak mustahil bagi Allah.
Apabila kita membaca ayat Allah (yang bermaksud) “Apabila datang ajal mereka, tidak dapat mereka mengkemudiankannya walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka mendahulukannya” (al-A’raf; 34), maksud ayat ialah ajal dalam ilmu Allah. Adapun dalam ilmu kita, ajal tersebut tidak kita ketahui. Oleh demikian, selama usia masih ada haruslah kita berikhtiar agar dipanjangkan umur termasuklah berdoa dan sebagainya. Berikhtiar agar dipanjang umur tidaklah menyalahi Syarak, malah digalakkan oleh Rasulullah sebagaimana sabdanya;

من أحب أن يبسط له في رزقه، وينسأ له في أثره، فليصل رحمه
“Sesiapa ingin Allah melapangkan rezkinya dan memanjangkan umurnya, hendaklah ia menghubungkan silaturrahimnya”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Wallahu A’lam.

0 ulasan: