Sabtu, 16 Jun 2007

PERBEZAAN AHLI SUNNAH, JABARIYAH & MUKTAZILLAH

Soalan;

Saya sebenarnya keliru dalam beberape perkara agama.Alhamdulillah, Saya ada belajar sedikit ilmu tauhid dari seorang ust di johor.Kami belajar kitab akidatun najim. Di samping itu, ust ada jugak bukak beberape kitab laen seperti kiyafatul awam, faridah an dll.Ape pendapat ust tentang kitab2 tersebut?Ape perbezaan antara ahli sunnah, jabariyah dan muktazillah.Saye harap ust dapat menerangkan kepada saye. Terima kasih, jazakawwah.

Jawapan;

Assalamu ‘Alaikum,
Al-Hamdulillah, Wassalatu ‘ala Rasulillah wa ala alihi wasahbihi,

Kitab-kitab yang saudara sebut itu adalah kitab-kitab pengajian aqidah Ahlu Sunnah wal Jamaah mengikut mazhab Imam Abul-Hasan al-Asy’ari. Pengajian aqidah mengikut tariq atau mazhab ini dilalui oleh kebanyakan ulamak muktabar seperti Imam al-Ghazali, Imam Nawawi, As-Suyuti, Ibnu Hajar dan sebagainya.

Selain itu, ada dua lagi tariq atau mazhab yang masyhur dalam pengajian aqidah Ahlu Sunnah wal Jamaah, iaitu;
a) Tariq atau mazhab Imam Abu Hanifah yang dikenali dengan al-Fiqh al-Akbar. Terdapat kitab Aqidah yang ditulis oleh Imam Abu Hanifah sendiri bertajuk sedemikian (yakni “al-Fiqh al-Akbar”) yang disyarah oleh Mulla ‘Ali al-Qari. Namun kitab yang masyhur yang dipelajari hingga hari ini dalam pengajian aqidah mengikut tariq ini ialah Matan ‘Aqidah at-Thahawiyyah yang ditulis oleh Imam Abu Jaafar at-Thahawi.
b) Tariq Imam Ahmad bin Hambal yang iaitu tariq Ahlul Hadis. Tariq ini lah yang melahirkan aliran Salafi hari ini.
Antara perkara yang menjadi dasar dalam Aqidah Ahlus Sunnah ialah;

1. Mengambil jalan tengah dalam persoalan ikhtiyar manusia (yakni adakah manusia mempunyai pilihan atau tidak?) iaitu dengan mengiktiqadkan bahawa manusia diberi kuasa memilih oleh Allah tetapi ia tetap tertakluk dengan taqdir Allah, yakni kuasa memilih manusia tidaklah mutlak, sebaliknya terikat dengan qudrah dan iradah Allah. Iktiqad ini menyalahi mazhab Qadariyah (yakni golongan yang menolak taqdir) yang menyebutkan manusia bebas memilih sepenuhnya tanpa terikat dengan taqdir Allah dan begitu juga, menyalahi mazhab Jabariyah atau Murjiah yang menyebutkan manusia terikat sepenuhnya tanpa ada kebebasan memilih sedikitpun.

2. Merujuk ilmu Aqidah kepada al-Quran dan as-Sunnah. Ini berbeza dengan mazhab Muktazilah yang merujuk ilmu aqidah kepada akal rasional.

3. Mendahulukan Nas (yakni wahyu) ke atas akal. Berbeza dengan mazhab Muktazilah yang mendahulukan akal ke atas nas.

4. Menurut Ahlu Sunnah al-Quran bukan makhluk, namun menurut Muktazilah al-Quran adalah makhluk.

5. Menghormati sekelian para sahabat dengan mengiktiqadkan semua mereka adalah adil. Adapun pertikaian yang berlaku antara mereka diserahkan kepada Allah. Iktiqad ini berbeza dengan Syiah yang menganggap sebahagian sahabat adalah fasiq, malah dikalangan sahabat yang dikafirkan mereka.

6. Menolak fahaman Wehdatul-Wujud yang dianuti oleh sebahagian ahli Falsafah Islam silam dan sebahagian tarekat kesufian.

Di zaman moden hari ini, fahaman yang jelas bercanggah dengan Aqidah Ahlu Sunnah ialah ideologi-ideologi seperti Sekularisme, Komunisme, Pluranisme, Libralisme dan sebagainya yang bercanggah dengan Aqidah dan Syari’at Islam.

Wallahu A’lam.

Tiada ulasan:

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...