Monday, 17 December 2007

MENYUCIKAN BEKAS BERNAJIS KHINZIR

Soalan;

Saya ingin bertanya tentang daging babi; bagaimana caranya menyucikan bekas yang pernah diisi dengan daging babi? Ada pendapat yang menyatakan bahawa tanah boleh diganti dengan sabun. Adakah ini benar?

Jawapan;

Sebenarnya ulamak-ulamak berbeza pandangan tentang babi; adakah ia termasuk dalam najis berat (mughalladzah) –seperti anjing- yang perlu dibasuh tujuh kali (termasuk salah satunya dengan air bercampur tanah), atau ia terdiri dari najis biasa seperti arak, air kencing, tahi dan sebagainya yang mencukupi dibasuh dengan air seperti biasa (yakni tidak perlu dilangi hingga tujuh kali)?

Pertama; Jumhur atau majoriti ulamak berpandangan; ia sama seperti najis-najis yang lain, iaitu mencukupi dibasuh seperti biasa hingga hilang kesan-kesannya. Tidak perlu diulangi basuhan hingga tujuh kali dan tidak perlu menggunakan tanah. Bagi jumhur ulamak ini, najis berat hanya satu sahaja iaitu anjing. Dalil mereka ialah Sabda Nabi s.a.w.; “Apabila anjing menjilat bekas salah seseorang dari kamu, cara menyucikannya ialah dengan ia membasuhnya sebanyak tujuh kali, kali pertamanya dengan tanah”. (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.). Di dalam hadis ini, Nabi s.a.w. hanya menyebut anjing sahaja, tidak menyebutkan najis yang lain termasuk babi.

Kedua; mengikut mazhab Syafi’ie; babi sama seperti anjing, oleh itu ia mesti dibasuh sebanyak tujuh kali dan salah satu basuhan mesti dengan air bercampur tanah. Dalil mereka ialah dengan mengkiaskannya kepada anjing kerana babi lebih buruk keadaannya dari anjing di mana pengharaman memakannya adalah sabit dengan nas al-Quran, adapun pengharaman memakan anjing hanya sabit dengan ijtihad.

Kesimpulannya, jika kita memakai pandangan jumhur ulamak, bekas yang pernah diisi daging babi itu memadai membasuhnya sebagaimana membasuh najis yang lain; iaitu dengan menghilangkan kesan najis menggunakan air, tanpa perlu diulangi basuhan hingga tujuh kali dan tanpa perlu dicampur tanah. Namun jika kita memakai mazhab Syafi’ie, wajiblah diulangi basuhan tujuh kali dan salah satu darinya dengan air tanah.

Adakah harus tanah diganti dengan sabun atau sebarang bahan yang lain? Bagi masalah ini juga ada perbezaan pandangan di kalangan ulamak;

Pandangan pertama; tidak harus kerana cucian dengan tanah itu adalah arahan Syarak. Halnya sama seperti tayammum yang diarahkan oleh Syarak menggunakan tanah, maka tidak harus dialihkan kepada yang lain. Arahan menggunakan tanah itu bersifat ibadah, oleh itu tidak harus dinilai berdasarkan akal atau logic.

Pandangan kedua; harus tanah itu digantikan dengan sabun kerana penggunaan sabun lebih berkesan dari tanah dalam menghilangkan najis. Nabi menyebutkan tanah dalam hadis tadi bukan bertujuan membataskannya kepada tanah, tetapi untuk menegaskan perlunya penyucian najis berat itu dibantu dengan bahan lain di samping air. Masalah ini ada persamaannya dengan istinjak di mana selain dengan air, Rasulullah s.a.w. juga mengharuskan istinjak dengan batu. Menurut ulamak; walaupun nabi hanya menyebutkan batu, namun dikiaskan kepadanya bahan-bahan lain yang bersifat kesat dan berupaya menanggalkan najis seperti kertas, tisu kesat dan sebagainya. Nabi menyebut batu bukanlah bertujuan membataskannya kepada batu, tetapi untuk menjelaskan keharusan beristinjak dengan batu atau bahan-bahan lain yang mempunyai sifat yang sama.

Pandangan ketiga; Dalam keadaan terdapat tanah, wajiblah basuhan menggunakan tanah dan tidak harus berpindah kepada bahan yang lain sama ada sabun atau sebagainya. Jika tidak ada tanah, barulah harus menggunakan bahan yang lain menggantikan tanah.

Wallahu a’lam.

Rujukan;
1. At-Tahzib Fi Fiqh al-Imam asy-Syafi’ie, Imam al-Baghawi, 1/191-192.
2. al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, 1/64.
3. Rahmatul-Ummah Fi Ikhtilaf al-Aimmah, Abi ‘Abdillah Muhammad ibn Abdurrahman as-Dimasyqi, hlm. 7.

0 ulasan: