Sabtu, 5 Januari 2008

ZAKAT PERUSAHAAN/INDUSTRI

Soalan; Jika saya menjalankan satu insustri –contohnya mengeluarkan produk makanan untuk dijual-, adakah wajib saya mengeluarkan zakat dan bagaimana caranya saya hendak mengeluarkan zakatnya?

Jawapan;

Kebanyakan ulamak berpandangan; Zakat ke atas pengeluaran perusahaan atau kilang menyamai zakat perniagaan dari segi hitungannya, nisabnya (iaitu 85 gram emas mengikut harga semasa), kadarnya (iaitu 2.5%) dan syarat haulnya (iaitu genap setahun dari tarikh perusahaan mula dijalankan).

Jadi untuk membayar zakat ke atas harta perusahaan apabila genap haul (yakni tempoh setahun perusahaan dijalankan), pengusaha hendaklah menilai semua barangan perusahaan yang ada padanya (mengikut harga pasaran) termasuk bahan mentah yang belum diproses,[1] kemudian mencampurkan jumlah itu dengan wang yang ada di bank dan di tangan, serta juga jumlah hutang di tangan penghutang yang ada kemungkinan dibayar bila sampai tempohnya. Kemudian dia perlu menolak hutang yang ditanggungnya.[2] Dari jumlah itulah, dia perlu membayar 2.5% sebagai zakat jika mencukupi nisab (iaitu nilai semasa 85 gram emas).

Sebagaimana zakat perniagaan, aset tetap seperti tanah dan bangunan kilang atau pejabat, mesin, kenderaan atau sebagainya dari alat-alat dan kelengkapan-kelengkapan yang digunakan untuk aktiviti pengeluaran (yang tidak dijual bersama barang-barang keluaran) tidak termasuk dalam perhitungan zakat.

Wallahu A’lam.

Rujukan;


1. Kaifa Tuqaddir Wa Tuaddi Zakata Amwalika, Naji as-Syirbini ‘Ali.
2. Kaedah Agihan Zakat Harta, Dr. Husein Sahata.
[1] Yakni hitungan zakat perusaahaan bukan sahaja ke atas produk-produk yang telah siap, tetapi juga merangkumi bahan-bahan mentah yang belum diproses. Bahan mentah tersebut hendaklah dinilai mengikut harga semasa, kemudian dimasukkan ke dalam hitungan zakat. (Kaifa Tuqaddir Wa Tuaddi Zakata Amwalika, Naji as-Syirbini ‘Ali, hlm. 115).
[2] Begitu juga menolak belanja nafkah hidup diri dan keluarga serta cukai kerajaan.

Tiada ulasan:

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...