Wednesday, 27 February 2008

HUKUM JAMPI

Soalan; Apa pandangan Syarak tentang jampi? Adakah harus berjampi dengan bomoh siam atau sebagainya yang bukan Islam?

Jawapan;

Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. telah bersabda;

إِنَّ الرُّقَي وَالتَّمَائِمَ وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ
“Sesungguhnya jampi-jampi, tangkal-tangkal dan sihir tiwalah adalah syirik”. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Ibnu Mas’ud r.a./al-Jami’ as-Saghir, no. 2002)
(*At-Tiwalah ialah sejenis sihir pengasih iaitu yang digunakan untuk menjadikan seorang perempuan dikasihi oleh seorang lelaki. Lihat Faidhul Qadier, hadis no. 2002)

Di dalam hadis di atas Rasulullah melarang jampi dan menganggapnya sebagai syirik. Namun para ulamak menjelaskan bahawa; jampi yang dilarang dalam hadis di atas dan dianggap sebagai syirik ialah yang terkandung doa atau pemujaan kepada selain Allah, atau yang menggunakan bahasa selain Arab atau bahasa yang tidak difahami yang besar kemungkinan mengandungi kalimah-kalimah kufur atau unsur-unsur syirik. Adapun jampi-jampi menggunakan ayat al-Quran dan doa-doa yang maksur dari Rasulullah s.a.w., tidaklah dilarang kerana terdapat banyak nas yang membenarkannya.

Seorang sahabat nabi bernama ‘Auf bin Malik al-Asyja’ie r.a. menceritakan; ‘Kami biasa berjampi pada zaman jahiliyah. Lalu (apabila datangnya Islam) kami bertanya Rasulullah s.a.w.; ‘Ya Rasulullah s.a.w., apa pandangan kamu tentang jampi?’. Rasulullah s.a.w. menjawab;

اعْرِضُوا عَلَيَّ رُقَاكُم، لا بَأْسَ بِالرُّقَى مَا لَمْ يَكُنْ فِيْهَا شَيء
“Tunjukkan kepadaku jampi-jampi kamu. Tidak mengapa dengan jampi-jampi selagi tidak ada syirik padanya”. (Riwayat Imam Muslim dan Abu Daud dari ‘Auf bin Malik r.a./al-Jami’ as-Saghir, no. 1152)

Terdapat riwayat menceritakan bahawa Abdullah bin Mas’ud suatu hari melihat di leher isterinya terdapat tangkal benang. Lalu ia bertanya isterinya; ‘Apa ini?’. Jawab isterinya; ‘Tangkal yang dijampi untuk berlindung dari demam/rasa panas’. Lantas Abdullah merentap tangkal tersebut dan membuangnya. Kemudian ia berkata kepada isterinya; ‘Sesungguhnya ahli keluarga Abdullah bebas dari syirik. Aku dengar Rasulullah bersabda; ‘Sesungguhnya jampi-jampi, tangkal-tangkal dan sihir tiwalah adalah syirik’. Isteri Abdullah lalu menceritakan kepadanya; ‘Suatu suatu hari aku keluar dari rumah. Aku terserempak dengan seorang lelaki yang melihat aku dengan matanya (yakni menyihir aku dengan matanya) menyebabkan mataku sentiasa berair/mengalir air mata. Maka aku pergi kepada seorang yahudi dan ia mengajar kepadaku satu jampi. Apabila aku membaca jampi itu, mataku pun berhenti berair. Namun apabila aku meninggalkan jampi itu, mataku kembali berair’. Abdullah berkata -memberi penjelasan kepada isterinya-; ‘Itulah mainan syaitan (untuk menyesatkan kamu). Apabila kamu taatinya (yakni dengan membaca jampi itu) ia biarkan kamu (yakni ia tidak menyakiti kamu), dan apabila kamu engkarinya (yakni dengan meninggalkan jampi itu), ia mencucuk mata kamu dengan jari-jarinya’. Abdullah berkata lagi; ‘Jika kamu melakukan sebagaimana yang diajar Rasulullah s.a.w. adalah lebih baik dan lebih mudah sembuh iaitu kamu merenjiskan air ke matamu sambil membaca doa;

أَذْهِبِ الْبَاسْ. رَبَّ النَّاسْ. اِشْفِ، أَنْتَ الشَّافِي. لاَشِفَاءَ إِلاَّ شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لاَيُغَادِرُ سَقَماً
“Jauhilah penyakit wahai Tuhan manusia. Sembuhkanlah kerana Engkaulah Tuhan yang maha menyembuhkan. Tidak ada sembuhan melainkan sembuhan Engkau, sembuhan yang tidak akan meninggalkan sebarang penyakit”.
(Riwayat Imam Ibnu Majah dari Zainab r.a.)


Berkata Imam Muhammad bin al-Hasan; “Diharuskan berjampi dengan jampi yang terdapat di dalam al-Quran dan yang menyebut nama Allah. Adapun dengan perkataan yang tidak diketahui (makna atau asal-usulnya), maka tidak harus berjampi dengannya”. (Lihat al-Muwattha’, bab ar-Ruqa).

Kesimpulannya, jampi diharuskan jika menggunakan ayat-ayat al-Quran atau doa-doa yang maksur dari Rasulullah s.a.w.. Lebih jelas lagi, menurut Imam as-Suyuti; para ulama’ sepakat meletakkan tiga syarat untuk mengharuskan sebarang jampi;
a) Ia hendaklah menggunakan kalam Allah, nama-nama atau sifat-sifatNya.
b) Ia hendaklah menggunakan bahasa Arab atau bahasa yang difahami maksudnya.
c) Hendaklah dengan iktikad bahawa bukan jampi-jampi itu yang menyembuhkan (atau memberi kesan) tetapi Allah.
(Haqiqatu at-Tauhid, Syeikh Yusuf al-Qaradhawi)

Berdasarkan syarat-syarat di atas, dapat kita simpulkan juga bahawa berjampi dengan bomoh siam atau mana-mana bomoh yang bukan Islam hukumnya adalah haram kerana bomoh-bomoh bukan Islam itu sudah tentunya tidak akan menyebut nama Allah ketika berjampi itu, akan tetapi mereka akan menyebut nama Tuhan mereka dan ini membawa kepada syirik.

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. Haqiqatu at-Tauhid, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, ter. Muassasah ar-Risalah, Beirut (2001)
2. Faidhul Qadier Syarh al-Jami’ as-Saghier, Imam al-Minawi, Dar al-Fikr.

Tuesday, 19 February 2008

MENGHINA PARA SAHABAT

Soalan; Saya telah membaca sebuah buku bertajuk “Akhirnya Kutemukan Kebenaran”, tulisan Muhammad al-Tijani al-Samawi, terbitan Kumpulan Pengajian Islam UIA, Kuala Lumpur (1996). Buku tersebut saya perhatikan telah mengkritik dengan hebat para sahabat termasuk sahabat-sahabat besar (seperti Abu Bakar, Umar, Aisyah) yang selama ini disanjung oleh sekelian kaum muslimin khususnya di Malaysia. Hujjah-hujjah yang digunakan oleh pengarang buku tersebut antaranya adalah ayat-ayat al-Quran. Sebagai contohnya, dalam muka surat 119 penulis tersebut telah mengemukakan ayat 144 dari surah Ali Imran;

“Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan ni’mat Islam yang tidak ada bandingannya itu)”. (Ali Imran; 144)

Kemudian beliau menegaskan; “Ayat ini dengan amat jelas menunjukkan bahawa sahabat akan berbalik ke belakang (yakni murtad) segera setelah wafatnya sang Nabi; dan hanya sedikit dari mereka yang masih tetap konsisten (kekal) seperti yang tersirat di dalam kandungan ayat tersebut”. (Lihat buku tersebut, halaman 119)

Soalan saya ialah; Benarkah dakwaan tersebut? Selama ini saya mendengar para ulamak selalu menyebutkan para sahabat merupakan generasi yang mulia dan disanjung oleh Allah. Namun apabila membaca buku tersebut, gambaran yang berbeza diberikan. Apa komen ustaz?

Jawapan;

Buku tersebut sebenarnya merupakan terjemahan dari buku berbahasa Arab bertajuk “Thumma Ihtadaitu”. Penulis buku tersebut adalah seorang Syi’ah dan bukunya itu bertujuan menyebarkan fikrah Syi’ah khususnya pegangan mereka tentang para sahabat.[1] Buku ini amat diagung-agungkan oleh peminat-peminat Syi’ah di Malaysia hari ini. Namun sebenarnya isi kandungan buku ini penuh dengan penyelewengan ilmiah dan fakta sejarah.

Perhatikan ayat di atas. Dengan meneliti terjemahannya sekali lalu sahaja kita sudah dapat membuat kesimpulan bahawa penulis tersebut berbohong terhadap maksud ayat Allah. Tidak ada di dalam ayat di atas kenyataan bahawa para sahabat akan murtad selepas wafatnya Nabi Muhammad s.a.w.. Ayat tersebut tidak berbentuk kenyataan, tetapi berbentuk peringatan iaitu peringatan kepada para sahabat agar tetap teguh berpegang dengan Islam selepas kewafatan Nabi s.a.w. sekalipun ditakdirkan baginda mati dibunuh oleh orang-orang musyrikin. Telah terbukti bahawa para sahabat telah melaksanakan peringatan Allah itu di mana selepas kewafatan baginda mereka bukan sekadar kekal berada di dalam Islam, malah juga telah meneruskan perjuangan baginda menyebarkan Islam ke seluruh pelusuk dunia. Tidak sampai seratus tahun selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w., Islam telah tersebar ke hampir dua pertiga dunia hasil dakwah dan jihad para sahabat. Jika kita membenarkan dakwaan penulis tersebut, bagaimana kita hendak memahami ayat-ayat Allah yang banyak yang memuji para sahabat dan menyatakan keredhaan Allah terhadap mereka. Apakah kita hendak berkata; “Allah telah memuji dan menyanjung orang-orang yang ternyata telah murtad dari agamaNya”. Wal’iyaZubillah…hanya orang yang tidak siuman yang akan berkata demikian.

Di antara ayat yang akan kita temui di dalam al-Quran ialah;

“Orang-orang terdahulu yang mula-mula (memeluk Islam) dari kalangan Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti jejak-langkah mereka dalam melakukan kebaikan (iaitu beriman dan taat), Allah telah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepadaNya. Dan Allah telah menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar”. (at-Taubah; 100)

Allah menyebutkan di dalam ayat di atas tiga thabaqat (tingkatan) para sahabat di mana ke semua mereka berada dalam keredhaan Allah dan dianugerahkan syurga;

Pertama; Orang-orang yang terdahulu memeluk Islam dari kalangan muhajirin (السابقون الأولون من المهاجرين).

Kedua; Orang-orang terdahulu memeluk Islam dari kalangan Ansar (السابقون الأولون من الأنصار).

Ketiga; Orang-orang yang memeluk Islam selepas mereka.

Menurut As-Syahid Sayyid Qutb dalam tafsirnya Fi Dzilalil Quran, tiga golongan inilah yang menjadi teras (القاعدة الصلبة) bagi masyarakat Islam di Tanah Arab selepas berlakunya pembukaan Mekah. Merekalah yang mempertahankan masyarakat Islam sepenuhnya pada setiap ketika semasa susah dan semasa senang. (Sayyid Qutb, Fi Dzilalil-Quran, jil. 3, hlm. 1702 (surah at-Taubah, ayat 100).

Amat jelas di dalam ayat tersebut bahawa keseluruhan para sahabat sama ada orang-orang terdahulu atau yang terkemudian, semua mereka diredhai Allah dan dikurniakan syurga. Berkata Imam Ibnu Kathir; “Sesungguhnya Allah telah memberitahu kita di dalam ayat itu bahawa Ia telah meredhai golongan awal Islam dari kalangan Muhajirin dan Ansar serta orang-orang yang mengikut jejak-langkah mereka dalam melakukan kebaikan (dengan beriman dan taat). Maka alangkah celaka orang yang membenci dan mengeji mereka atau sebahagian dari mereka terutama penghulu para sahabat selepas Rasulullah, sahabat terbaik serta paling mulia iaitulah Saidina Abu Bakar. Kelompok Syi’ah Rafidhah telah menentang sahabat-sahabat yang paling mulia, membenci serta mencaci mereka. Kita berlindung dengan Allah dari sikap mereka itu. Perbuatan mereka itu menunjukkan bahawa akal-akal mereka adalah songsang dan hati-hati mereka adalah terbalik. Dimanakah keimanan mereka dengan al-Quran apabila mereka tergamak mengutuk dan mengeji orang-orang yang Allah telah menyatakan keredhaanNya kepada mereka. Adapun golongan Ahli Sunnah, maka mereka meredhai orang-orang yang diredhai Allah dan mengeji orang-orang yang dikeji Allah. Mereka mengasihi orang yang mengasihi Allah dan menentang orang yang menentang Allah. Mereka (yakni kelompok ahli Sunnah) mengikuti (Allah dan RasulNya) dan tidak melakukan bid’ah, mereka mematuhi (arahan Allah dan RasulNya)…Oleh demikian, merekalah golongan Allah yang akan dikurniakan kejayaan dan merekalah hamba-hamba Allah yang beriman”. (Al-Hafidz Imam Ibnu Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Adziem, (ayat 100, surah at-Taubah).

Antara lagi ayat yang menjelaskan kemuliaan para sahabat ialah firman Allah;

“Muhammad itu adalah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir, dan sebaliknya berkasih-sayang sesama mereka. Engkau lihat mereka rukuk dan sujud serta mengharap kurniaan dari Allah serta keredaanNya. Tanda (kesolehan) mereka tampak pada muka mereka kesan dari sujud. Itulah contoh sifat mereka di dalam Kitab Taurat. Dan contoh sifat mereka di dalam Injil pula ialah seperti pokok yang mengeluarkan tunas dan rantingnya, lalu tunas dan ranting itu menguatkan pokok itu sehingga ia menjadi tegap dan keras, lalu tegak lurus di atas batangnya dengan keadaan menakjubkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad s.a.w dan pengikut-pengikutnya berkembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dengan kekuatan mereka itu. (Dan selain itu) Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka (untuk memberikan) keampunan dan pahala yang besar”.
(al-Fath: 29)

Ayat di atas memuatkan pengakuan dari Allah terhadap generasi awal Islam yang beriman dan berjuang bersama Nabi Muhammad s.a.w.. Mereka tidak lain adalah sahabat-sahabat baginda. Sifat-sifat mereka sebagaimana yang dinyatakan Allah dalam ayat itu ialah;
a) Bersikap tegas terhadap orang-orang kafir yang memusuhi Islam.
b) Bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama mereka (yang menganut Islam).
c) Mereka rukuk dan sujud kepada Allah (yakni beribadah kepadanya) dengan mengharapkan kurniaan (pahala) serta keredaanNya.
d) Tanda kesolehan mereka tampak pada wajah-wajah mereka kesan dari sujud dan ibadat mereka yang ikhlas.

Di dalam ayat di atas juga Allah mengumpamakan para sahabat seperti tunas dan ranting pokok yang kehadirannya menguatkan pokok. Kehadiran para sahabat menguatkan Nabi Muhammad s.a.w. kerana merekalah generasi awal yang beriman dengan baginda, mempertahankan dakwah baginda dan berjuang bermati-matian bersama baginda.

Dengan memiliki sifat-sifat sedemikian, tidak dapat diragui lagi bahawa para sahabat adalah generasi unggul umat ini yang mesti dijadikan contoh oleh kaum muslimin, bukan sekadar dihormati dan disanjung. Inilah yang menjadi pendirian Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Adapun bagi golongan Syi’ah, para sahabat amat keji di mata mereka. Kerana itu mereka keberatan untuk menghormati dan menyanjung para sahabat, apatahlagi untuk mengambil mereka sebagai contoh. Tidak syak lagi bahawa pendirian mereka amat menyeleweng dari petunjuk al-Quran.

Berkata Imam Malik; “Telah sampai kepadaku bahawa orang-orang Nasrani tatkala mereka melihat sahabat-sahabat Nabi s.a.w. semasa membuka negeri Syam, mereka berkata; ‘Demi Allah, sesungguhnya mereka (yakni sahabat-sahabat Nabi Muhammad s.a.w.) lebih baik dari al-Hawariyyin (sahabat-sahabat Nabi Isa a.s.) mengikut khabar atau cerita yang sampai kepada kami’. Anggapan mereka itu adalah benar kerana umat ini merupakan umat yang diagungkan di dalam kitab-kitab terdahulu dan generasi yang paling agung dan paling baik di kalangan umat ini ialah para sahabat Rasulullah s.a.w. di mana Allah telah memuji dan menyanjung mereka dengan Ia menyebut tentang mereka di dalam kitab-kitab yang diturunkan dan di dalam berita-berita atau riwayat-riwayat yang berlegar. Maka kerana itu Ia berfirman di sini (yakni ayat di atas); ‘Itulah contoh sifat mereka di dalam Kitab Taurat’. Kemudian Ia berfirman pula; ‘Dan contoh sifat mereka di dalam Injil pula ialah…’”. (Al-Hafidz Imam Ibnu Kathir, Tafsir al-Quranul-Adziem, jil. 4, hlm. 215 (surah al-Fath, ayat 29))

Menurut penjelasan Imam Ibnu Kathir, berdasarkan ayat ini, Imam Malik rhm –dalam satu riwayat darinya- telah menghukum kafir kelompok-kelompok Syiah Rafidhah kerana kebencian mereka kepada para sahabat. Beliau berkata; ‘Sesiapa membenci para sahabat maka ia adalah kafir berdalilkan ayat ini (yakni ayat di atas)’. Pandangan Imam Malik itu dipersetujui oleh sekumpulan ulamak. Hadis-hadis Nabi s.a.w. yang memperkatakan tentang kelebihan para Sahabat dan larangan dari membicarakan keburukan-keburukan mereka adalah banyak. Namun memadai bagi kita untuk memuliakan mereka dengan pujian Allah ke atas mereka dan keredhaanNya kepada mereka.[2]

Demikianlah secara ringkas kemuliaan para sahabat yang disaksikan sendiri oleh ayat-ayat al-Quran. Selain dua ayat di atas, pembaca boleh juga merujuk kepada surah al-Fath (ayat 18), surah al-Hadid (ayat 10) surah al-Haysr, (ayat 8-10).

Wallahu A’lam

Rujukan;

1. Fi Dzilalil-Quran, Sayyid Qutb, jil. 3, hlm. 1702 (surah at-Taubah, ayat 100).
2. Tafsir al-Quranul-Adziem, Al-Hafidz Imam Ibnu Kathir, jil. 4, hlm. 215 (surah al-Fath, ayat 29))
3. Penyaksian al-Quran dan as-Sunnah Terhadap Kemuliaan Para Sahabat; benteng ummah berdepan Syi’ah Rafidhah, Us. Ahmad Adnan Fadzil.

[1] Selain pengarang di atas, terdapat banyak lagi pengarang-pengarang Syi’ah lain yang menyebutkan kenyataan yang serupa tentang sahabat, malah ada yang lebih teruk lagi. Antaranya, ‘Ali bin Ibrahim al-Qumi di dalam kitab Tafsirnya iaitu “تفسير القمي” (hlm. 259) telah menyebutkan; “Tidak tinggal dari sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. melainkan semuanya telah menjadi munafik kecuali sebilangan kecil sahaja”. (Lihat; Butlan ‘Aqaid as-Syi’ah, hlm. 63). Al-‘Allamah Muhammad al-Baqir al-Majlisi dalam kitabnya Haqqu al-Yaqin (حق اليقين) (hlm. 367) menyebut; “Sesungguhnya Abu Bakar dan Umar kedua-duanya adalah Fir’aun dan Haman”. (Lihat; kitab yang sama, hlm. 60). Termasuk yang mempunyai pandangan yang serupa tentang sahabat ialah Imam Khomaini sendiri. Dalam satu kitabnya iaitu Kasyfu al-Asrar (كشف الأسرار) beliau mentohmah para sahabat sebagai orang-orang yang cintakan dunia. Beliau menyebutkan dalam kitab tersebut (hlm. 114); “Mereka itu (yakni para sahabat) yang keinginan mereka tidak lain hanyalah dunia dan untuk mendapatkan kuasa pemerintahan, bukan untuk Islam dan juga al-Quran dan mereka menjadikan al-Quran semata-mata batu loncatan untuk mencapai niat-niat mereka yang jahat, maka (mereka yang sebegini) adalah mudah bagi mereka untuk mengeluarkan ayat-ayat (yang menunjukkan kekhalifahan Ali) dari al-Quran, begitu juga (mudah bagi mereka) untuk meminda Kitab yang turun dari langit…”. (Lihat; Suratan Mutadhodatan ‘inda Ahlis-Sunnah wa as-Syi’ah al-Imamiyyah, Syeikh Abu al-Hasan ‘Ali an-Nadawi, hlm. 56).
[2]Al-Hafidz Imam Ibnu Kathir, Tafsir al-Quranul-Adziem, jil. 4, hlm. 216 (surah al-Fath, ayat 29).

Wednesday, 13 February 2008

AGAMA SEMUA PARA NABI A.S.

Soalan; Umum mengetahui bahawa terdapat pelbagai agama didunia pada ketika ini seperti Islam, kristian, yahudi, budha, hindu dan lain-lain lagi. Ada sesetengah pendapat mengatakan bahawa agama Islam, kristian dan yahudi mempunyai sedikit sebanyak persamaan iaitu agama dari ALLAH swt yang dipimpin oleh rasul-rasulnya. Sememangnya, agama Islam adalah agama yang benar dari ALLAH swt yang dipimpin oleh Rasullalah saw. Adakah agama seperti kristian dan yahudi itu boleh dianggap sebagai agama dari Allah juga ataupun agama-agama yang direka oleh manusia-manusia yang mungkar dan kafir akan perintah Allah swt yang telah merubah dan menokok-tambah perintah ALLAH didalam kitab-kitab mereka? Mintak nasihat dari ustaz tentang persoalan ini. Ada juga sahabat muslim yang menyatakan bahawa Islam ini sudah lama wujud, iaitu ketika nabi- nabi yang terdahulu sebelum Nabi Muhammad saw lagi.Sememangnya saya percaya bahawa agama ALLAH itu sudah lama wujud, Cuma adakah ia juga dipanggil agama Islam? Bolehkah ustaz juga terangkan, apakah itu Islam dari segi bahasa? Apakah ajaran yang dibawa oleh rasul-rasul yang terdahulu sebelum Nabi Muhammad saw juga boleh di panggil agama Islam atau lain.?

Jawapan;

Sememangnya agama Yahudi dan Kristian mempunyai sedikit sebanyak persamaan dengan agama Islam kerana dua agama tersebut asalnya adalah wahyu Allah yang diturunkan kepada nabi-nabi terdahulu khususnya Nabi Musa a.s. dan Nabi Isa a.s.. Namun demikian, kedua-dua agama tersebut –sebagaimana didedahkan oleh Allah sendiri di dalam al-Quran- telah dipinda dari ajaran asalnya oleh tangan-tangan jahat pengikutnya. Termasuklah yang dipinda itu ialah perkara yang menjadi teras mana-mana ajaran para Nabi iaitu Tauhid. Allah berfirman di dalam al-Quran;

“Tidak kami utuskan seorang rasulpun sebelum engkau (wahai Muhammad) melainkan kami wahyukan kepadanya bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan melainkan Aku (yakni Allah), maka oleh demikian hendaklah kamu sekelian menyembahKu”. (an-Anbiyak; 25)

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa setiap Nabi yang diutuskan oleh Allah –termasuklah Nabi Musa dan Nabi Isa- datang dengan membawa ajaran yang mentauhidkan Allah, iaitu ajaran yang berteraskan kalimah Syahadah “Tiada Tuhan melainkan Allah”. Maka bagaimana di dalam ajaran agama Kristian hari ini, Tuhan dikatakan tiga. Nyatalah bahawa agama tersebut telah mengalami pindaan dari yang asal kerana mustahil Nabi Isa mengajar umatnya Tuhan itu tiga dan ia pula adalah salah satu dari yang tiga itu.

Malah jika dilihat pada nama pun sudah menggambarkan penyelewengan yang berlaku kerana nama agama tersebut diberi bersempena nama manusia atau kelompok tertentu. Kristian adalah nama diambil dari Jesus Christ. Yahudi pula diambil dari Juda (Judea) iaitu negara orang-orang Yahudi dahulunya. Mana mungkin agama Allah diberi nama bersempena nama orang tertentu atau negara tertentu. Berbeza dengan Islam, sekalipun dibawa oleh Nabi Muhammad, ia tidak diberi nama sempena baginda, akan tetapi diberi nama oleh Allah sendiri di dalam al-Quran iaitu dengan nama “al-Islam” yang bermaksud tunduk, patuh dan menyerah diri. Imam al-Jurjani dalam kitabnya “at-Ta’rifat” menjelaskan; “Islam ialah ketundukan dan kepatuhan kepada segala yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w.”. Menurut Abul-Ala al-Maududi; “Dinamakan agama kita ini dengan Islam kerana ia adalah ketaatan kepada Allah, ketundukan dan kepatuhan kepada segala perintah dan arahanNya tanpa bangkangan sedikitpun”. (lihat bukunya; Mabadi al-Islam). Terdapat usaha jahat dari Orientalis Barat hendak menamakan Islam dengan nama “Agama Muhammad” supaya Islam ini dapat disamakan dengan agama yang lain, namun usaha mereka setakat ini gagal.

Kesimpulannya, agama Kristian dan Yahudi ajaran asalnya adalah dari wahyu Allah iaitu melalui kitab Taurat dan kitab Injil yang banyak disebut tentang keduanya di dalam al-Quran. Namun agama tersebut telah banyak mengalami penyelewengan dan pindaan termasuklah kitab Taurat dan kitab Injil sendiri yang ada di tangan penganut-penganut Kristian dan Yahudi hari ini. Adapun agama-agama lain seperti Hindu, Budha dan sebagainya tidak ada keterangan dari Allah sama ada di dalam al-Quran atau hadis Nabi bahawa ia mempunyai kaitan dengan mana-mana wahyu atau ajaran dari Nabi terdahulu. Oleh demikian kita menganggapnya sebagai agama rekaan semata-mata, yang tidak ada kaitan langsung dengan wahyu Allah sama ada dari sudut prinsip atau amalannya. Malahan, jika dilihat dari segi penyembahan patung atau tokong yang berlaku dalam agama-agama rekaan tersebut, ia menyamai sepenuhnya dengan agama kafir Musyrikin di Mekah pada masa diutuskan Nabi Muhammad s.a.w..

Islam memberi kebebasan beragama untuk manusia. Kebebasan ini dapat kita fahami dari ayat al-Quran yang menjelaskan “Tidak ada paksaan di dalam agama”. Namun dari segi prinsip aqidah, Islam dengan tegas menyatakan; “Agama yang hak hanya satu iaitu Islam”. Firman Allah;

“Sesungguhnya agama di sisi Allah adalah Islam”. (Ali Imran: 19)

“Sesiapa yang mencari selain Islam sebagai agama, sekali-kali tidak akan diterima darinya dan dia diakhirat akan tergolong dari kalangan orang-oraang yang rugi”. (Ali Imran: 85)

Oleh demikian, idea “Semua agama adalah benar, Cuma jalan berbeza” atau Pluranisme jelas bercanggah dengan aqidah Islam. Setiap muslim wajib mengiktiqadkan bahawa agama yang benar hanya satu iaitu Islam.

Adakah Nabi-Nabi terdahulu agama mereka juga Islam? Jawapannya adalah “Ya”. Di dalam ayat diatas Allah menyatakan bahawa “Agama di sisi Allah adalah Islam” dan para Nabi adalah orang-orang yang dipilih untuk menyampaikan kepada manusia agamaNya. Orang-orang yang menganut agama Allah sejak dahulu lagi dipanggil oleh Allah dengan nama “Muslimin”. Ini sebagaimana dinyakan Allah dalam firmanNya;

“Ia (yakni Allah) yang menamakan kamu “orang-orang Islam” semenjak dahulu dan di dalam al-Quran ini”. (al-Hajj; 78)

Nabi Muhammad adalah penerus kepada agama Islam yang dibawa oleh para Nabi terdahulu. Islam yang dibawa baginda melengkapkan batu-bata ajaran Allah yang memimpin manusia-manusia beriman sejak dari manusia pertama iaitu Adam hinggalah ke hari ini. Kesatuan agama para Nabi dijelaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dalam sabdanya; “Para Nabi merupakan saudara-saudara yang tidak seibu. Ibu-ibu mereka berbagai-bagai, tetapi agama mereka adalah satu”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.).

Manusia yang hidup hari ini jika ingin berada di dalam agama yang benar dari Allah, tidak ada pilihan lain melainkan menerima ajaran agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad kerana beliau adalah Nabi terakhir yang diutuskan membawa Islam. Sabda baginda; “Demi Tuhan yang diri Muhammad berada dalam genggamanNya, tidak mendengar tentangku seorang pun dari manusia yang hidup selepas kedatanganku sama ada ia Yahudi atau Nasrani, kemudian dia mati tanpa beriman dengan Syari’at yang aku diutus membawanya melainkan dia tergolong dari kalangan ahli neraka”. (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.).

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. Islam; Suatu Pengenalan, Us. Ahmad Adnan Fadzil, terbitan; Gigi Wise Network Sdn. Bhd. (2004).

Sunday, 10 February 2008

TABARRUJ

Soalan; Apa yang termasuk dalam pengertian tabarruj?

Jawapan;


Hukum tabarruj adalah haram. Wanita yang bertabarruj adalah berdosa kerana ia melanggar arahan Allah di dalam al-Quran iaitu firmanNya;

وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى
“…dan janganlah kamu bertabarruj (yakni berhias dan bertingkah laku) seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu ….”. (al-Ahzab: 33)

Adapun makna tabbaruj; dari sudut bahasa ia bermaksud membuka dan menampakkan sesuatu untuk dilihat mata. Imam Zamakhsyari berkata; hakikat tabarruj ialah sengaja membuka/mendedahkan apa yang sepatutnya disembunyikan. Namun tabarruj dalam ayat di atas adalah khusus untuk perempuan terhadap para lelaki iaitu ia menampakkan perhiasannya dan kecantikannya kepada mereka. (al-Halal wa al-Haram, Dr. al-Qaradhawi, hlm. 238). Menurut Imam an-Nasafi, tabarruj ialah berjalan melenggang-lengguk dan mendedahkan perhiasan. (Tafsir an-Nasafi, surah al-Ahzab, ayat 33)

Secara terperinci, perkara yang tergolong di dalam pengertian tabarruj ialah;[1]

1. Mendedahkan aurat yang sepatutnya ditutup
2. Mendedahkan perhiasan pada badan yang tidak sepatutnya diperlihatkan melainkan kepada suami atau mahram sahaja
3. Bertingkah-laku dan bercakap dengan gaya yang boleh menggairahkan lelaki.
4. Bergaul bebas dengan para lelaki
5. Tidak memakai tudung kepala dengan sempurna hingga menampakkan rambut dan perhiasan-perhiasan di leher, telinga dan sebagainya.
6. Bersolek dengan solekan yang boleh menimbulkan perasaan ghairah kepada kaum lelaki. Ini termasuklah memakai gincu bibir, memakai pipi merah, berwangi-wangian di luar rumah dan sebagainya.

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. Al-Halal wa al-Haram, Dr. al-Qaradhawi.
2. Tafsir an-Nasafi, surah al-Ahzab, ayat 33.
3. Mu’jam Tafsir Kalimaatil-Quran (Muhammad ‘Adnan Salim dan Muhammad Wahbi Sulaiman).
[1] Lihat; al-Halal wa al-Haram, hlm. 160, Mu’jam Tafsir Kalimaatil-Quran (Muhammad ‘Adnan Salim dan Muhammad Wahbi Sulaiman).

Wednesday, 6 February 2008

MENGAGIH SENDIRI ZAKAT

Soalan: Adakah harus pemilik harta zakat mengagih sendiri zakatnya?

Jawapan;

Menentukan ke pihak mana hendak disalurkan zakat adalah menjadi hak pemilik harta yang wajib atasnya zakat menurut pendapat jumhur ulama’. Ulama-ulama’ mazhab Hanbali mengharuskan kesemua jenis zakat untuk diagihkan sendiri oleh pemilik harta. Berkata Imam Ibnu Qudamah dalam kitabnya al-Mughni; “Digalakkan bagi seorang itu menangani sendiri pembahagian zakat hartanya supaya ia sendiri dapat memastikan dengan yakin bahawa zakatnya sampai kepada orang-orang yang berhak, sama ada zakatnya itu dari harta zahir (yakni pertanian, ternakan..) atau harta batin (yakni mata-wang, perniagaan dan zakat fitrah)”. (al-Mughni, Ibnu Qudamah, jil. 4, hlm. 69)

Ulama’-ulama’ mazhab Syafi’ie dan Hanafi juga berpandangan demikian, cuma mereka mengkhususkannya bagi zakat mata-wang, perniagaan, rikaz dan zakat fitrah sahaja iaitu harta-harta yang diistilahkan sebagai al-Amwal al-Bathinah. Adapun zakat bagi pertanian, galian dan penternakan yang diistilahkan sebagai al-Amwal az-Dzahirah, maka mesti diserahkan kepada pemerintah Islam untuk mengagihkannya. Dari Imam Syafi’ie terdapat dua pandangan dalam masalah ini. Menurut pendapat lamanya (qaul qadim), zakat al-Amwal az-Dzahirah wajib diberikan kepada pemerintah jika ia adil. Namun dalam pendapat barunya (qaul jadid), Imam Syafi’ie mengharuskan untuk diagihkan sendiri oleh pemilik harta. (al-Muhazzab, Imam asy-Syirazi, jil. 2, hlm. 552-554, al-Majmu’, Imam an-Nawawi, jil. 6, hlm. 107, al-Bada’I, Imam al-Kasani, jil. 2, hlm. 35).

Ulama’-ulama’ mazhab Maliki mewajibkan keseluruhan zakat diserahkan kepada pemerintah. Hak untuk memungut dan mengagihkan harta zakat adalah bagi pemerintah. Ini jika sekiranya pemerintah itu adil dan diyakini akan mengagihkannya kepada yang berhak, yakni tidak menyelewengkan harta zakat. Berkata Imam al-Qurthubi; “Jika sekiranya Imam atau pemerintah berlaku adil (yakni tidak menyeleweng) dalam pungutan dan pengagihan zakat, maka tidak harus bagi pemilik harta untuk menangani sendiri pengagihan zakatnya sama ada bagi zakat mata-wang atau zakat harta-harta yang lainnya”. (Fiqhu az-Zakah, jil. 2, hlm. 807)

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam Fiqh Zakatnya dengan terang menegaskan bahawa kerajaan yang berhak memungut zakat atau umat Islam wajib memberikan zakat mereka kepadanya ialah Kerajaan Islam iaitu kerajaan yang beriltizam dengan Islam sebagai asas pemerintahannya, sebagai perlembagaan Negara dan sebagai manhaj bagi segenap urusan negara merangkumi pendidikan dan kebudayaan, social, ekonomi dan politiknya…. Beliau menegaskan lagi; adapun kerajaan yang menolak Islam sebagai asas Negara dan sebagai perlembagaan bagi pemerintahannya dan berhukum dengan hokum-hakam yang lain dari yang diturunkan Allah yang dibawa masuk dari ideology-ideologi (asing sama ada dari) timur atau barat, maka kerajaan sebegini tidak harus baginya mengambil zakat….(Fiqhu az- Zakah, jil. 2, hlm. 824)

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. Fiqhu az-Zakah (فقه الزكاة), Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, cet. Maktabah Wahbah/Kaherah, Mesir (1994).
2. Al-Muhazzab (المهذب), Imam asy-Syirazi, cet. Dar al-Qalam/Damsyik, Syria (1992).
4. Al-Mughni (المغني), Imam Ibnu Qudamah, cet. Dar al-Hadith/Kaherah, Mesir (1995).
5. Al-Majmu’ (المجموع), Imam an-Nawawi, cet. Matba’ah al-Madani/Kaherah, Mesir (1973).
6. Bada’I as-Shana’I (بدائع الصنائع), Imam al-Kasani, cet. Maktabah al-‘Ilmiyyah/Beirut, Lubnan (tanpa tahun).

Tuesday, 5 February 2008

ZAKAT HUTANG dan KWSP

Soalan: Wang yang dipinjamkan kepada orang lain adakah wajib dikeluarkan zakat atau tidak? Adakah wang caruman KWSP wajib dikeluarkan zakat?

Jawapan
;

Wang yang kita pinjamkan kepada orang lain tidak wajib dikeluarkan zakat selama wang itu berada dalam tangan peminjamnya. Apabila wang itu diperolehi kembali, barulah wajib dikeluarkan zakat jika cukup nisabnya. Zakat dikeluarkan sebaik sahaja diterima dari peminjamnya dan tidak perlu menunggu genap haul (tempoh setahun) kerana ia tergolong halam al-Mal al-Mustafad yang telah dijelaskan tadi. Selain itu, tidak dituntut mengqadha bayaran bagi tahun-tahun yang lepas. (Fiqh az-Zakah, 1/157).

Sebenarnya terdapat pelbagai pandangan ulamak bagi masalah di atas. Pandangan yang kita kemukakan di atas merujuk kepada pendapat sebahagian ulamak semasa hari ini terutamanya Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam Fiqh Zakatnya. Jika masalah ini dirujuk kepada mazhab Syafi’ie, maka penyelesaiannya adalah seperti berikut;

“Jika wang yang dipinjamkan itu ada kemungkinan untuk diperolehi kembali seperti hutang yang berada di tangan seorang kaya dan berusaha membayarnya atau berada di tangan seorang yang mengingkari bahawa ia berhutang tetapi pemilik hutang mempunyai saksi/bukti untuk mensabitkan hutangnya, maka (bagi hutang jenis ini) hendaklah dilihat;
a) Jika hutang itu bersifat segera (yakni bukan bertangguh), maka wajib zakat padanya dengan disegerakan.
b) Jika hutang itu bertangguh, maka menurut pandangan yang asah; wajib zakat tetapi tidak wajib disegerakan pembayarannya.

Adapun hutang yang berat kemungkinan untuk mendapatkannya kembali kerana kesusahan orang yang berhutang atau ia mengingkari hutang tersebut dan pemberi hutang tidak memiliki bukti untuk mensabitkan hutangnya atau orang yang berhutang hilang/lenyap, maka bagi hutang jenis ini para ulamak mazhab Syafi’ie sendiri berbeza pendapat. Namun pandangan yang soheh ialah; tetap diwajibkan zakat, akan tetapi tidak wajib dikeluarkan kecuali apabila mendapat kembali hutang itu dan dikeluarkan zakat untuk tahun semasa dan tahun-tahun yang lalu”.

Zakat ke atas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Melihat kepada realiti yang ada pada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini, kita dapati ia tidak ada beza dengan masalah hutang atau pinjaman tadi iaitu harta milik kita yang berada di tangan orang lain yang tidak dapat kita gunakan selagi harta itu belum dikembalikan kepada kita.

Oleh demikian, jika kita merujuk kepada pandangan pertama, zakat ke atas wang simpanan KWSP hanya wajib dikeluarkan apabila wang tersebut diterima kelak. Sebaik sahaja diterima, pemiliknya hendaklah terus mengeluarkan zakat ke atasnya jika mencukupi nisab (iaitu nilai semasa 85 gram emas) tanpa perlu menunggu hingga tempoh setahun kerana ia tergolong dalam al-Mal al-Mustafad. Begitu juga, tidak dituntut mengqadha bayaran bagi tahun-tahun yang lepas.

Adapun jika dirujuk kepada mazhab Syafi’ie, zakat ke atas simpanan KWSP juga dikeluarkan apabila diterima kelak, namun bayarannya merangkumi tahun semasa dan juga tahun-tahun lepas. Dalam pengertian lain; dituntut mengqadha bayaran bagi tahun-tahun lepas. Dalam buku Nubzatul-Ikhtisar yang membincangkan nas-nas serta dalil-dalil pungutan dan pengagihan zakat dan fitrah yang telah disahkan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak pada 21hb. Zulhijjah 1298 menjelaskan bahawa; “Wang Simpanan Pekerja (EPF) juga wajib dikeluarkan zakat apabila diterima pembayarannya kelak, dikira daripada masa cukup kadar nisabnya. Wajib dizakatkan pada tiap-tiap tahun mengikut hitungannya pada wang carumannya sahaja”. (Sahibus Samahah Datok Haji Muhammad Ghazali bin Abdullah, Nabzatul Ikhtisar, Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Negeri Perak, 1398, hlm. 18)

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. Fiqhu az-Zakah, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, cet. Maktabah Wahbah/Kaherah, Mesir (1994).
2. Nabzatul Ikhtisar, Sahibus Samahah Datok Haji Muhammad Ghazali bin Abdullah, Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Negeri Perak, 1398.