Rabu, 7 Mei 2008

PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN IMAN

Soalan; Apakah kaedah yang ringkas dan mudah untuk saya menilai perkara-perkara yang boleh membatalkan aqidah atau iman, yakni menjadikan seorang muslim itu murtad atau kafir?

Jawapan;

Imam Abu Jaafar at-Thahawi(الطحاوي) dalam kitabnya matan al-‘Aqidah at-Thahawiyyahnya mengungkapkan;

لاَ يَخْرُجُ الْعَبْدُ مِنَ الإِيْمَانِ إِلاَّ بِجُحُوْدِ مَا أَدْخَلَهُ فِيْهِ
“Seseorang hamba tidak terkeluar dari lingkungan iman melainkan dengan mengingkari (yakni menolak) perkara yang memasukkannya ke dalam iman”. (Lihat; Syarh al-‘Aqidah at-Thahawiyyah, oleh Ibnu Abil-‘Izzi al-Hanafi, hlm. 331)

Ungkapan di atas menerangkan satu kaedah umum kepada kita iaitu seseorang itu akan menjadi kafir (yakni batal imannya) apabila ia menolak perkara yang memasukkannya ke dalam iman. Apakah perkara yang memasukkan seseorang ke dalam iman? Dan apa pula yang dimaksudkan dengan menolaknya?

Iman bermaksud at-Tasdiq iaitu membenarkan. Maksud membenarkan di sini ialah membenarkan Nabi Muhammad s.a.w., yakni meyakini dengan sepenuh hati segala ilmu dan ajaran agama yang disampaikan oleh beliau. Jadi perkara yang memasukkan seseorang ke dalam iman ialah keyakinannya kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan kepada ajaran yang dibawanya. Apabila ia menolak keyakinan tersebut, akan berubahlah ia menjadi seorang kafir atau murtad. Penolakan itu berlaku apabila ia mengambil sikap mentakzib Nabi Muhammad s.a.w., iaitu mendustakannya dengan tidak lagi meyakini beliau dan ajaran yang beliau bawa.

Jelasnya, iman dan aqidah seseorang itu dianggap terbatal apabila ia mengingkari Nabi Muhammad s.a.w. iaitu tidak lagi percaya dan yakin kepada khabar-berita dan ketetapan-ketepan hukum yang datang dari baginda sama ada yang bersangkutan dengan aqidah (kepercayaan), ajaran atau syari’at (yakni hukum-hakam dan peraturan). Keingkaran itu lahir sama ada dari pengakuannya sendiri atau dari sebarang ucapan, tindakan dan sikapnya yang jelas menunjukkan penolakannya terhadap ajaran yang dibawa oleh baginda seperti bercakap menghina Allah dan Rasul, memperolok-olokkan al-Quran atau as-Sunnah, memijak al-Quran, sujud kepada berhala, engkar kewajipan solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya.

Demikianlah kaedah asas untuk memahami perkara-perkara yang membatalkan aqidah atau iman. Penyenaraian yang dibuat oleh para ulamak terhadap perkara-perkara yang membatalkan aqidah –ada yang menyenaraikan 10 perkara, ada yang 20 perkara dan sebagainya- adalah bertitik tolak dari kaedah asas ini.

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. Syarh al-‘Aqidah at-Thahawiyyah, oleh Ibnu Abil-‘Izzi al-Hanafi, hlm. 316-325 dan juga hlm. 331.
2. Mutiara ‘Aqidah Islam, Bah. 2, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil.

Tiada ulasan:

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...