Khamis, 26 Jun 2008

FIDYAH BAGI PUASA-PUASA YANG LALU

Soalan; Bagaimana caranya untuk qadha puasa yang ditinggalkan untuk beberapa tahun yang lepas? Apakah perlu dibayar fidyah sahaja atau perlu juga puasa?

Jawapan;

Puasa yang ditinggalkan pada masa yang lalu, tiada khilaf di kalangan ulamak bahawa ia wajib diqadha; satu hari ditinggalkan diganti satu hari juga. Kecuali jika seseorang itu tidak mampu berpuasa, barulah digantikan dengan fidyah. Hukum ini tidak ada khilaf di kalangan ulamak. Yang ada khilaf ialah jika puasa yang dtinggalkan itu telah melepasi tahun (yakni telah memasuki Ramadhan baru) namun masih belum diqadha lagi; adakah diwajibkan qadha puasa sahaja atau diwajibkan juga fidyah bersama puasa. Ada dua pandangan ulamak;

Pertama; menurut mazhab Imam Abu Hanifah; memadai dengan qadha/ganti dan mohon ampun sahaja. Tidak ada sebarang denda dalam bentuk fidyah sekalipun telah menjangkau tahun kerana tidak ada nas al-Quran mahu pun as-Sunnah yang soheh menyebutnya. Pandangan inilah yang saya kemukakan dalam jawapan yang lalu (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/06/mengganti-puasa-lampau.html) dan ia ditarjihkan oleh Mufti Mesir sekarang ini (Dr. Ali Jum'ah Muhammad). Pandangan inilah lebih ringan diamalkan berbanding pandangan kedua nanti.

Kedua; menurut jumhur ulamak (mazhab Imam Malik, Syafi'ie dan Ahmad); puasa yang masih belum diganti sedangkan telah masuk ramadhan yang baru, hendaklah dibayar fidyah di samping qadha puasa. Bagi sehari puasa yang belum diganti, maka satu fidyah yang mesti dikeluarkan. Itu bagi orang yang sengaja melewat-lewatkan qadha puasanya tanpa sebarang keuzuran hingga tiba Ramadhan yang baru. Fidyah itu adalah sebagai kaffarah ke atas kelalaiannya. Adapun jika kerana keuzuran –seperti ia terlantar di hospital selama 11 bulan dan tidak mampu berpuasa sepanjang tempoh sakit itu-, tidaklah wajib atasnya membayar fidyah. Memadai dengan ia mengqadha puasa sahaja.

Menurut mazhab Syafi'ie; jumlah fidyah bertambah dengan bertambahnya tahun yang dijangkaui. Jika menjangkaui setahun sahaja, hanya satu fidyah yang perlu dikeluarkan bagi satu hari puasa yang belum diganti. Jika menjangkau tahun kedua, dua fidyah yang perlu dikeluarkan. Dan begitulah seterusnya. Adapun jumlah puasa yang perlu diqadha tidak bertambah. Sebagai contoh; seorang ada puasa yang ditinggalnya 10 tahun lalu selama 5 hari, lalu hari ini baru nak diqadhanya. Maka jumlah hari puasa yang perlu diqadha ialah 5 juga. Adapun fidyah, bagi satu hari perlu dikeluarkan 9 fidyah. Bagi keseluruhan 5 hari ialah 45 fidyah (5 x 9). Namun menurut mazhab Imam Malik dan Ahmad; jumlah itu tidaklah bertambah. Hanya satu fidyah sahaja yang wajib dikeluarkan bagi satu hari puasa walaupun berbilang tahun telah dijangkaui.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. al-Fiqh al-Islami Wa Adilatuhu, Dr. Wahbah az-Zuhaili, jil. 2, hlm. 688-689.
2. al-Fatawa Min Ahsanil-Kalam, Syeikh 'Atiyah Saqar, jil. 2, hlm. 16.
3. Fatawa Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 206.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

saya mempunyai kemushkilan pasal pembayaran fidyah.

soalan:

berapakah fidyah yang dikenakan ke atas saya sekiranya pada tahun 2003 saya tidak sempat menggantikan 3 hari puasa kerana ramadhan yang baru telah tiba.bagaimana pun pada tahun 2004 saya telah menggantikan atau mengqadakan puasa saya yang tertinggal 3 hari itu pada awal tahun 2004 iaitu beberapa bulan selepas raya.bagaimana pun sampai sekarang saya masih tidak membayar fidyah walaupun puasa saya sudah qada.soalan saya adakah fidyah saya berganda walaupun saya sudah qada puasa..dan sekiranya saya fidyah saya berganda..

2008-2003= 5tahun.
5tahun x 3hari= 15 cupak beras

dan sekiranya fidyah saya tidak berganda..

saya hanya perlu membayar 3 cupak beras sahaja..

saya sekarang keliru samada fidyah saya berganda atau tidak dan samada saya perlu membayar 15 cupak beras ataupun 3 cupak beras sahaja.

Ibnu Ali berkata...

Assalamualaikum ustaz.

Minta ustaz perasa dengan pertanyaan ini.

Pada pendapat ana, ana boleh faham dan boleh terima apa yang ustaz sebutkan. Tetapi bagaimana dengan yang lain? Maksud ana yang tiada ilmu agama yang mendalam tentang perbahasan mazhab. Ana bimbang mereka yang rasa keliru.

sekian.

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...