Selasa, 15 Julai 2008

LEWAT SOLAT

Soalan; Assalamualaikum ustaz. saya mengalami kesukaran untuk bangun solat subuh pada waktunya dan adakalanya sehingga terlewat solat. boleh ustaz bagi nasihat dan pandangan untuk mengatasi masalah ini. dan adakah solat subuh saya yang terlewat "matahari sudah timbul" itu sah?

Jawapan;

Solat fardhu adalah kewajipan yang telah ditetapkan waktunya oleh Allah Taala. Setiap kewajipan ibadah yang ditentukan waktunya, maka setiap muslim dituntut darinya dua perkara;
1)Melaksanakan ibadah tersebut mengikut kaifiyah yang ditetapkan
2) Menjaga waktunya; yakni melaksanakan ibadah itu di dalam lingkungan waktu yang ditetapkan.

Apabila saudara melakukan solat fardhu di luar waktunya, solat saudara itu sah namun saudara berdosa kerana mengerjakannya di luar dari waktunya, yakni saudara tidak melaksanakan tuntutan yang kedua di atas (iaitu tuntutan menjaga waktu solat). Dosa melewatkan solat adalah dosa besar kerana Allah berfirman (bermaksud); “Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menunaikan solat, iaitu orang-orang yang lalai dari solat mereka” (al-Ma’un; 4-5).

Menurut ulamak Tafsir; maksud “lalai dari solat mereka” ialah mereka melewat-lewatkan solat hingga terkeluar dari waktunya.[1] Imam Ibnu Jarir at-Thabari meriwayatkan dari Sa’ad bin Abi Waqqas r.a. yang menceritakan; “Aku bertanya Rasulullah s.a.w. tentang maksud firman Allah; “…orang-orang yang lalai dari solat mereka”. Baginda menjawab; “Mereka ialah orang-orang yang melewatkan solat dari waktunya” (Lihat; Tafsir Ibnu Kathir).

Dikecualikan jika kelewatan itu berlaku tanpa disengajakan seperti tertidur, pengsan atau sebagainya. Namun hendaklah segera ditunaikan solat sebaik sahaja terbangun dari tidur atau tersedar dari pengsan, tidak harus ditangguh-tangguh lagi.

Sikap manusia berpunca dari hatinya. Di dalam hadis, Nabi s.a.w. menegaskan; “Dalam diri manusia ada segumpal daging. Jika baik daging itu, akan baiklah seluruh jasad dan jika ia rosak, akan rosaklah seluruh jasad. Segumpal daging itu ialah hati” (Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim). Apabila dalam diri kita ada rasa kemalasan untuk mengerjakan solat, tidak seronok mengerjakannya atau tidak berasa bersalah melewat-lewatkannya, maka itu berpunca dari hati kita yang kotor dan berpenyakit. Para ulamak menegaskan; “Tanda seseorang itu memiliki hati yang bersih ialah apabila ia tertinggal wiridnya atau tertinggal sesuatu dari amalan ketaatan, ia rasa kecewa dan rugi lebih dari perasaan rugi yang dirasai oleh orang yang kehilangan harta dan keluarga…” (lihat; al-Bahru ar-Raqaid Fi az-Zuhd wa ar-Raqaiq, tulisan Syeikh Ahmad Farid). Jika itu yang dirasai oleh hati yang bersih, maka perasaan sebaliknya akan dirasai oleh hati yang kotor iaitu tidak merasa kecewa dan rugi apabila tertinggal amal ibadah yang biasa dilakukan atau terlewat melakukannya.

Punca hati kita menjadi kotor ialah kerana dosa dan maksiat yang kita lakukan selama ini kepada Allah. Oleh itu, untuk mendapatkan kembali perasaan seronok di dalam hati tatkala melakukan ibadah dan berasa rugi apabila meninggalkannya atau terlewat mengerjakannya, kita hendaklah berusaha membersihkan hati kita. Langkah pertama ialah dengan kita meninggalkan dosa dan maksiat serta segala perkara lagha (sia-sia) yang biasa kita lakukan selama ini yang menjauhkan kita dari Allah. Seterusnya, kita berusaha menambah ilmu dengan mendampingi para alim-ulamak (yakni belajar dari mereka), membaca kitab-kitab agama, mendengar kaset agama dan sebagainya. Semakin bertambah ilmu, Insya Allah akan semakin teranglah hati kita dan akan semakin bertambahlah kesedaran dan penghayatan hati itu terhadap tuntutan Allah. Namun ilmu sahaja tidak mencukupi jika tidak disusuli dengan amalan. Amal adalah gandingan kepada ilmu. Menurut ulamak; kehidupan seorang muslim hendaklah berlegar antara ilmu dan amal. Beramal hendaklah bermula dari yang fardhu, kemudian disusuli dengan yang sunat. Jika kita dapat istiqamah dalam taubat, menuntut ilmu dan beramal, Insya-Allah hati kita akan sentiasa bersih dan semangat untuk mengerjakan amal soleh akan tetap utuh di dalam jiwa dan hati sanubari kita.

Wallahu a’lam.

Nota kaki;

[1] Tafsir al-Jalalain.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum ustaz. ana ingin pandangan ustaz mengenai berzanji. ada sesetengah pihak menyatakan yang banyak kesalahan pada amalan berzanji ini.

missywawan berkata...

salam ustaz...
sy banyak tinggalkan solat fardu...
sy nk tanya bgaimana hendak melaksanakan solaq qada'...
dan bagaimana melakukannya...
tq

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...