Saturday, July 19, 2008

MENGHADIRI MAJLIS TAJAAN SYARIKAT ARAK

Soalan; Assalamualikum ustaz. saya ada baca artikel ustaz berkenaan isu majlis dihidangkan arak dlam blog ustaz. Bagaimana pula jikalau susuatu majlis ditaja oleh syarkat arak, tetapi diberi jaminan arak tidak akan dihidangkan, apa hukumnya? adakah haram kita pergi? Sekian terima kasih.

Jawapan

Seorang muslim menyukai apa yang disukai Allah dan RasulNya dan membenci apa yang dibenci Allah dan RasulNya. Di dalam hadis, Nabi s.a.w. bersabda; "Sekukuh-kukuh tali iman ialah saling membantu kerana Allah, saling bermusuhan kerana Allah, kasih kerana Allah dan benci kerana Allah" (HR at-Thabrani dari Ibnu 'Abbas r.a.. al-Jami' as-Saghier, hadis no. 4304).

Arak adalah minuman yang diharamkan Allah dan dibenciNya. Oleh demikian, kita juga -sebagai hamba Allah- wajib turut membencinya. Tanda kebencian kita kepadanya bukan setakat kita tidak meminumnya tetapi kita memulaunya secara menyeluruh termasuklah membenci Syarikat arak dan segala promosi untuknya. Sikap ini perlu menjadi pegangan umat Islam bukan sahaja terhadap arak, malah terhadap semua jenis munkar dan maksiat. Firman Allah; "Hendaklah kamu saling bantu-membantu untuk melaksanakan kebaikan dan ketakwaan, dan janganlah kamu saling bantu-membantu untuk perkara dosa dan perlanggaran (hukum Allah)" (al-Maidah, ayat 2). Sabda Nabi s.a.w.; "Sesiapa meramaikan bilangan suatu golongan, maka ia dari golongan mereka" (HR al-Khatib dari Anas r.a.. al-Jami' as-Saghier, hadis no. 8762).

Berdasarkan kepada nas-nas di atas, kita dapat menyimpulkan; tidak harus seorang muslim menghadiri majlis yang ditaja syarikat arak atau sebagainya (yang mengeluarkan barangan/produk yang bertentangan dengan Syari'at Islam) kerana itu tanda sokongannya terhadap syarikat tersebut. Para ulamak menegaskan; "Bersetuju dengan kekufuran adalah kufur dan bersetuju dengan maksiat adalah maksiat".

Wallahu a'lam.
Post a Comment