This is default featured slide 1 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 2 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 3 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 4 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

Sunday, 31 August 2008

MENYAPU STOKIN

Soalan; saya telah rujuk artikel ust dalam blog (Laman Fiqh Anda; http://fiqh-am.blogspot.com/). Saya ingin kepastian bagi asalah berikut; setakat mana stokin boleh diterima sebagai khuf atau jaurab? Daripada artikel ust, ianya mestilah1. Ianya hendaklah tebal, tidak nipis.2. Hendaklah berlapik dengan kulit dibawahnya (yakni di bahagian tapaknya).sudah pasti, stokin yang ada skrg... tidak berlapik dengan kulit di bawah....adakah stokin yang ada hari ini termasuk sebagai khuf atau jaurab?.

Jawapan;

Segolongan ulamak mengharuskan menyapu jaurab (sarung kaki) sekalipun nipis. Menurut Imam Nawawi; pandangan ini diceritakan dari Saidina ‘Umar r.a., Ali r.a., Abu Yusuf, Muhammad, Ishaq dan Daud az-Dzahiri. Mereka berdalilkan hadis dari Nabi s.a.w. yang menjadi dalil keharusan menyapu jaurab (sarung kaki) di mana baginda tidak membezakan antara jaurab yang nipis atau yang tebal. Hadis tersebut ialah dari Mughirah bin Syu’bah r.a. yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w. mengambil wudhuk dan baginda menyapu atas dua jaurab (sarung kaki) dan dua kasutnya” (Riwayat Imam at-Tirmizi. Menurut beliau, hadis ini hasan soheh).

Antara ulamak semasa hari yang cenderung kepada pandangan di atas ialah Syeikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi, Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan beberapa lagi. Dr. Yusuf al-Qaradhawi menegaskan dalam Fatawa Mu’asarahnya; “Harus menyapu atas dua stokin jika seseorang memakainya dalam keadaan suci.[1] Apabila wudhuknya terbatal selepas itu dan ia ingin mengambil wudhuk semula, harus ketika itu untuk ia menyapu atas dua stokinnya (yakni sebagai ganti membasuh kaki). Jika ia muqim (yakni berada dalam negeri, tidak musafir) keharusan itu untuk tempoh 24 jam sahaja (yakni sehari semalam). Adapun jika ia musafir, keharusan itu untuk tempoh tiga hari tiga malam. Keharusan ini memberi kemudahan kepada orang ramai untuk mengambil wudhuk terutamanya ketika musim sejuk di mana sejuknya bersangatan dan sukar bagi seseorang untuk menanggalkan stokinnya dan untuk membasuh kaki dengan air yang sejuk. Islam sebagaimana sedia dimaklumi merupakan agama yang mudah dan tidak memayahkan. Keharusan tersebut telah dinaqalkan dari lebih sepuluh orang sahabat di mana mereka semuanya memberi fatwa harus menyapu atas dua stokin. Sebahagian fuqahak (ahli-ahli Fiqh) telah meletakkan untuk keharusan itu beberapa syarat yang diberat-beratkan seperti; hendaklah jaurab (stokin) itu tahan dibawa berjalan, tidak ada koyakan padanya yang melebihi luas tiga jari dan sebagainya. Syarat-syarat ini sebenarnya tidak ada di dalam sunnah (yakni tidak pernah disebut oleh Nabi s.a.w. di dalam hadisnya). Segalanya terbina atas asas untuk memberi kemudahan (kepada manusia). Maka apabila ada para sahabat yang telah memberi fatwa keharusan tersebut, haruslah bagi seorang muslim untuk mengambil rukhsah (kelonggaran) itu…” (Min Huda al-Islam (Fatawa Mu’ashirah), Dr. Yusuf al-Qaradhawi, jil. 1, hlm. 215).

Namun pandangan di atas menyalahi pendapat jumhur ulamak termasuk imam-imam mazhab empat. Jumhur ulamak tidak mengharuskan menyapu jaurab (stokin) melainkan yang tebal, tidak nipis, tahan dibawa berjalan dan menutupi kawasan kaki yang wajib dibasuh dalam wudhuk, yakni yang mempunyai ciri-ciri yang sama seperti khuf. (Sila baca kembali keterangan tentang menyapu khuf di dalam blog Laman Fiqh Anda; (http://fiqh-am.blogspot.com/2008/06/menyapu-khuf.html)).

Pada khilaf ulamak ada keluasan bagi umat Islam. Berkata Umar bin Abdul-‘Aziz; “Aku tidak gembira jika sahabat-sahabat Nabi tidak berbeza pandangan, kerana jika mereka semua sepakat atas satu pandangan, sesiapa menyalahinya, ia akan sesat. Namun jika mereka berbeza pandangan, lalu seorang memakai satu pandangan (dari sahabat) dan seorang yang lain memakai satu pandangan lain (dari sahabat juga), maka terdapat keluasan/kelonggaran bagi urusan tersebut”.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Lihat; al-Majmu’, jil. 1, hlm. 565. 2. Min Huda al-Islam (Fatawa Mu’ashirah), Dr. Yusuf al-Qaradhawi, jil. 1, hlm. 215.
3. Al-Wajiz Fi al-Fiqh as-Sunnah Wa al-Kitab al-‘Aziz, Dr. Abdul Adziem Badawi, hlm. 48.
4. Fahmul-Islam, Syeikh Jum-‘ah Amin Abdul-‘Aziz, hlm. 134.

Nota kaki;

[1] Yakni mengambil wudhuk terlebih dahulu sebelum memakainya.

AQIQAH DAN KORBAN SERENTAK PADA SEEKOR LEMBU

Soalan; adakah ibadah korban dan aqiqah blh dilakukan serentak? Contohnya seekor lembu ada 7 bahagian, sebahagian utk korban dan sebahagian lagi utk aqiqah?

Jawapan;

Aqiqah, sebahagimana harus dengan kambing, ia juga harus dengan lembu, kerbau dan unta. Sepertujuh (1/7) bahagian lembu/kerbau/unta menyamai seekor kambing. Oleh itu, seekor lembu/kerbau/unta boleh dijadikan aqiqah untuk tujuh orang anak. Dan harus seorang yang ingin melakukan aqiqah berkongsi lembu/kerbau/unta dengan orang lain yang tidak berniat melakukan aqiqah seperti ia mengingini 1/7 atau 2/7 dari bahagian unta/lembu itu untuk aqiqah dan adapun bahagian selebihnya diingini oleh orang lain untuk korban atau untuk dagingnya sahaja. Berkata Imam an-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’; “Jika disembelih seekor lembu atau unta untuk tujuh orang anak/bayi atau berkongsi pada lembu/unta itu sekumpulan orang, harus hukumnya sama ada semua mereka mengingini aqiqah atau sebahagian mengingini aqiqah dan sebahagian lagi inginkan dagingnya sahaja”.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Al-Fiqhul-Manhaji, jil. 3, hlm. 56.
2. Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 321.

Saturday, 30 August 2008

ADAKAH DARAH NAJIS?

Soalan; Ustaz, adakah darah itu najis...? Adakah sah ibadat seseorang apabila ada setitik darah pada baju yang dipakainya ketika melakukan ibadat...? Saya berharap ustaz dapat jelaskan kemusykilan saya ini...Sekian

Jawapan;

Jumhur ulamak termasuk mazhab empat (Hanafi, Maliki, Syafi’ie dan Hanbali) berpandangan; darah adalah najis. Mereka berdalilkan firman Allah (bermaksud); “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah kotor -……”. (al-An’am; 145)

Menurut jumhur ulamak; ungkapan “sesungguhnya ia adalah kotor” adalah merujuk kepada semua benda-benda yang disebut sebelumya iaitulah bangkai, darah yang mengalir dan daging babi.

Namun Imam as-Syaukani menyanggahi pendapat jumhur, di mana menurut beliau; darah tidaklah najis kecuali darah haid sahaja. Najisnya darah haid adalah berdalilkan hadis Nabi s.a.w. yang menyuruh agar dicuci darah haid. Asma’ binti Abu Bakar r.a. menceritakan; Seorang wanita datang kepada Nabi s.a.w. dan bertanya; “Ya Rasulullah s.a.w.. Jika salah seorang dari kami pakaiannya terkena darah haid, apa yang perlu ia lakukan?”. Nabi menjawab; “Keriklah, gosok dengan air dan basuhlah/cucilah, kemudian pakailah ia untuk mengerjakan solat” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim). Darah-darah lain tidak ada dalil yang menunjukkan kenajisannya, maka ia kekal atas hukum asalnya iaitu suci. Adapun ayat di atas, Imam Syaukani berpendapat; ungkapan “..sesungguhnya ia adalah kotor..” hanya merujuk kepada daging babi sahaja, bukan merujuk kepada semua benda haram yang disebut sebelumnya. Ini kerana dhamir (gantinama) yang digunakan ialah dhamir mufrad (satu) bukan jama’ (banyak). Sekalipun benda-benda yang disebut dalam ayat di atas haram dimakan, tetapi –menurut beliau- yang haram tidak semestinya najis. Haram atau halal sesuatu adalah berdasarkan nas. Begitu juga, najis atau tidaknya sesuatu juga perlu berdasarkan nas. Jika tidak ada nas, ia kekal atas sifat asalnya iaitu suci. Yang disebut oleh nas (ayat) di atas sebagai najis (kotor) secara jelas ialah daging babi sahaja berpandukan dhamir mufrad tersebut.[1]

Mengenai soalan kedua, -iaitu adakah sah ibadah (solat) seseorang jika di pakaiannya terdapat setitik darah-, para ulamak juga ada perbezaan pandangan;

1. Ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie dan Hanbali menegaskan; batal solatnya dan wajib diulangi kerana ia menunaikan solat dalam keadaan tidak memenuhi syarat sahnya iaitu bersuci. Adapun sangkaannya semasa sedang solat –bahawa ia bersih dari najis-, maka sangkaan itu tidak dikira kerana telah terbukti salah. Kaedah Fiqh menyebutkan; “Tidak diambil kira sangkaan yag telah ternyata salahnya”.

2. Menurut mazhab Imam Malik dan Abu Hanifah; tidak batal solatnya jika najis (darah) itu sedikit iaitu kurang dari kadar keluasan satu dirham (duit 10 sen). Jika najis itu banyak (iaitu melebihi keluasan satu dirham), batallah solat dan wajib diulangi semula.

3. Ada ulamak berpandangan; tidak batal solatnya secara keseluruhannya sama ada najis itu sedikit atau banyak jika kewujudan najis (darah) pada pakaian itu tanpa disedari. Mereka berdalilkan hadis dari Abu Sa’id al-Khudri –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Suatu hari kami mengerjakan solat bersama Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-. Di tengah solat, Nabi menanggalkan dua kasutnya dan meletaknya di sebelah kirinya. Melihat berbuatan Nabi itu, kami pun turut melakukannya. Selesai solat, Nabi bertanya; “Kenapa kamu semua menanggalkan kasut?”. Kami menjawab; “Kami melihat kamu melakukannya, maka kami pun turut melakukannya”. Nabi berkata; “Di tengah solat tadi, Jibril datang kepadaku dan memberitahu bahawa di kasutku terdapat najis/kekotoran, maka kerana itulah aku menanggalkannya. Jika seseorang kamu datang ke masjid, hendaklah ia menterbalikkan dua kasutnya dan memerhatikannya; jika ia nampak ada najis, hendaklah ia menggosoknya ke tanah, kemudian bolehlah ia menunaikan solat dengan memakai kasutnya itu” (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud). Berkata Imam al-Khattabi; hadis ini menjadi dalil bahawa sesiapa menunaikan solat sedang di pakaiannya terdapat najis yang tidak diketahuinya, maka solatnya adalah sah dan tidak perlu ia mengulanginya”. Selain Imam al-Khattabi, ulamak yang berpandangan serupa ialah Imam Ibnu Taimiyyah. Di dalam al-Fatawa al-Kubra, Imam Ibnu Taimiyyah menegaskan; “Sesiapa menunaikan solat dengan ada najis (di pakainnya) kerana lupa atau tidak tahu, tidak perlu ia ulangi solatnya”.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Ad-Darari al-Madhiyyah, Imam as-Syaukani, halaman 18.
2. Bidayatul-Mujtahid, Imam Ibnu Rusyd, 1/100.
3. Al-Fatawa al-Kubra, Imam Ibnu Taimiyyah, 5/327.
4. Fiqh at-Toharah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 20.

Nota Kaki;

[1] Menurut Imam as-Syaukani, perkara-perkara yang ada dalil Syarak menyebutnya sebagai najis ialah;
1. Tahi dan air kencing manusia
2. Air liur anjing
3. Tahi binatang (khusus kepada tahi kuda, baghal dan kaldai sahaja menurut beliau)
4. Darah haid (lain dari darah haid (iaitu darah biasa) tidak najis menurut beliau).
5. Daging babi
Hanya lima di atas sahaja –menurut Imam Syaukani- yang mempunyai dalil yang jelas dari Syarak tentang kenajisannya. Selain darinya adalah khilaf di kalangan ulamak” (Ad-Darari al-Madhiyyah, halaman 18).

MANDI JUNUB SELEPAS IMSAK

Soalan; Berkenaan dgn mandi junub, di dalam bln ramadhan ini adakah kita perlu mandi junub sebelum imsak ataupun blh mandi junub selepas imsak?

Jawapan;

Tidak menjadi masalah mandi junub selepas imsak, malah selepas masuk waktu subuh. Ia tidak memberi sebarang kesan kepada puasa. Yang perlu dijaga ialah jangan bersetubuh selepas masuk waktu subuh kerana ia membatalkan puasa. Adapun bersetubuh sebelum masuknya subuh, ia tidak membatalkan puasa sekalipun mandi junub dilakukan selepas subuh. Saidatinia ‘Aisyah r.a. dan Ummu Salamah r.a. pernah menceritakan bahawa; “Nabi s.a.w. pernah bangun pagi dalam bulan Ramadhan dalam keadaan berjunub kerana bersetubuh dengan isterinya. Baginda mandi dan kemudiannya berpuasa tanpa mengqadhanya” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Jadi bagi orang yang bersetubuh dengan isterinya, harus melewatkan mandi junub sehingga selepas masuk waktu subuh. Begitu juga, bagi wanita yang terputus haidnya pada sebelah malamnya, tidak batal puasanya jika ia menangguh mandinya hingga selepas subuh. Namun demikian, menyegerakan mandi dalam semua keadaan ini adalah disunatkan.

Wallahu a’lam.

TEMPOH AQIQAH

Soalan; saya ada soalan mengenai aqiqah; Saya belum lagi melakukan aqiqah utk anak yg kedua. Bolehkan aqiqah tersebut dilakukan serentak bg anak yg ke-2 dan ke-3? Sampai umur berapakah anak tersebut masih layak dibuat aqiqah ke atasnya?

Jawapan

Bermula masa/waktu melakukan aqiqah ialah apabila bayi telah sempurna lahir dari perut ibunya. Maka jika dilakukan sembelihan sebelum bayi lahir dengan sempurna, tidak dikira sebagai aqiqah. Ia hanya menjadi sembelihan biasa dan tidak akan mendapat pahala aqiqah. Waktu aqiqah berterusan hingga bayi baligh. Apabila ia telah baligh, gugur tuntutan aqiqah ke atas bapa atau wali/penjaganya jika belum melaksanakannya. Namun digalakkan orang yang tidak diaqiqahkan sebelum balighnya melakukan sendiri aqiqahnya. Dalam kitab Kifayatul-Akhyar, pengarangnya (Syeikh Taqiyuddin al-Husaini) menjelaskan dengan lebih terperinci; “Sebaik-baiknya aqiqah dilakukan pada hari yang ke tujuh.[1] Jika tidak dilakukan pada hari ke tujuh, disunatkan dilakukan sebelum habis tempoh nifas. Jika selepas selesai nifas masih belum dilakukan, maka disunatkan sebelum putus menyusu. Jika belum dilakukan juga, maka disunatkan sebelum berumur tujuh tahun. Jika masih juga belum dilakukan, maka disunatkan sebelum mencapai umur baligh. Jika setelah sampai umur baligh masih belum lagi diaqiqahkan, maka gugur sunat tersebut dari wali/penjaga dan ketika itu diberi pilihan kepada bayi untuk melakukan aqiqah bagi dirinya (apabila ia dewasa nanti)” (Halaman 534).

Menyentuh soalan; adakah harus melakukan aqiqah bersama bagi anak kedua dan anak ketiga, jawapannya adalah harus dengan syarat bagi setiap anak sekurang-kurangnya seekor kambing dan disunatkan dua ekor jika anak lelaki. Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan; “Rasulullah melakukan aqiqah bagi Hasan dan Husin dengan (menyembelih) seekor kibas (untuk Hasan) dan seekor kibas lagi (untuk Husin)” (Riwayat Imam Abu Daud). Ummu Kurzin r.a. menceritakan; “Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda (berkenaan Aqiqah); “Bagi anak lelaki dua ekor kambing yang sekufu dan bagi anak perempuan seekor kambing” (Riwayat Abu Daud).

Rujukan;

1. Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, jil. 8, hlm. 323.
2. Kifayatul-Akhyar, hlm. 534

Nota Kaki;

[1] Iaitu bersama dengan mencukur rambut dan memberi nama bayi. Saidatina ‘Aisyah r.a. menceritakan; “Rasulullah s.a.w. melakukan aqiqah untuk Hasan dan Husin pada hari ketujuh, baginda memberi nama kepada mereka berdua dan baginda menyuruh supaya dibuang kekotoran dari kepala mereka berdua (yakni mencukur kepala mereka berdua)”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dan al-Hakim dengan sanad yang baik menurut Imam Nawawi).

JARAK DUA MARHALAH

Soalan; Saya ingin bertanya; salah satu syarat melakukan solat jamak dan qasar ialah perjalanan melebihi 2 marhalah. Boleh ustaz terangkan berapakh jauhnya dlm km dan adakah 2 marhalah itu dikira utk perjalanan pergi-balik @ satu hala sahaja?

Jawapan;

Dua marhalah bersamaan empat Barid. Satu Barid bersamaan empat Farsakh. Satu Farsakh pula bersamaan tiga Mil. Jadi, dua marhalah bersamaan 48 Mil. Itu adalah ukuran lama. Adapun mengikut ukuran baru (yakni KM), menurut Dr. Muhammad Bakr Ismail dalam kitabnya al-Fiqh al-Wadhih; dua marhalah menyamai kira-kira 89 KM. Jarak dua marhalah itu di hitung secara sehala iaitu jarak perjalanan pergi dari rumah/kediaman ke tempat musafir, bukan berdasarkan jarak pergi dan balik (yakni dua hala).

Wallahu a'lam.

Rujukan;

al-Fiqh al-Wadhih, jil. 1, hlm. 221.

Friday, 29 August 2008

SIAPA WALI?

Soalan; soalan saya masalah aqidah. Saya dapat tahu dari kawan baik saya, bahawa di Terengganu ada seorang wali. Apakah ustaz boleh senaraikan nama-nama wali yang terkenal di Malaysia. Saya teramat ragu dengan penjelasan kawan saye tersebut.dan saye pun sangat takut kalau kalau-kalau kawan saye itu berkata benar dan saye tak mempercayainya. Macan ni ustaz; menurut keterangan kawan saye wali tersebut memang berilmu yang sangat tinggi,dan mempunyai kelebihan ( perkara luar biasa ). Tapi yang buat saya tak paham; apakah seorang wali dengan sengaja boleh menunjukkan kelebihannya dikhalayak ramai, dengan alasan agar manusia yakin yang ia adalah seorang wali, sebab dia kata; di zaman sekarang orang susah nak terima kebenaran, sbb tu dia tunjukkan berbagai kebolehannya, seperti menunjukkan aib atau kesalahan orang di khalayak ramai ( pandai membaca hati seseorang ) atau pun dia panggil angin supaya angin dekat dengan wali tersebut agar dia sentiasa tak kepanasan. Mohon sangat penjelasan...terima kasih...

Jawapan;

Wali ada dua; wali Allah dan wali Syaitan. Asas untuk mengenali wali Allah bukan terletak pada kebolehan luar biasa yang mampu ia tunjukkan kepada orang lain, tetapi pada keteguhan imannya kepada Allah, pegangannya dengan Syari’at dan pada perjuangannya (yakni perjuangannya untuk Allah dan agama Allah, bukan untuk menonjolkan kehebatan diri). Perhatikan firman Allah tentang wali-walinya (yang bermaksud);

“Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada sebarang perubahan pada janji-janji Allah, yang demikian itulah kejayaan yang besar”. (Yunus; ayat 62-64).

Perhatikan di dalam ayat di atas dua ciri Wali Allah yang disebut sendiri oleh Allah; (1) Iman, (2) Takwa. Berkata Imam Ibnu Kathir –mengulas ayat di atas-; “Setiap orang yang bertakwa kepada Allah, ia adalah wali Allah”. Ibnu Mas’ud r.a. berkata; “Wali-wali Allah ialah orang-orang yang apabila dilihat mereka akan mengingatkan (orang yang melihat mereka) kepada Allah”. (Lihat; tafsir Ibnu Kathir; surah Yunus, ayat 62-64).

Memang wali-wali Allah diberi karamah, tetapi karamah mesti difahamai apa makna sebenarnya dan kepada siapa ia dikurniakan Allah. Ramai wali-wali palsu mendakwa mereka ada karamah, walhal sebenarnya bukan karamah tetapi sihir, istidraj, atau ihanah. Jika semata-mata benda pelik atau luar biasa, bukan karamah sahaja yang luar biasa, tetapi sihir, istidraj dan ihanah juga luar biasa.[1] Menurut ulamak; Karamah ialah perkara luar biasa yang dizahirkan Allah untuk orang-orang soleh yang menjadi pengikut RasulNya, yang beriltizam dengan hukum-hakam Syari’at Allah tanpa sebarang kekeliruan dan percanggahan dengannya. Contoh Karamah yang ada di dalam al-Quran ialah;
1. Karamah Allah kepada Ashabil-Kahfi
2. Karamah Allah kepada Maryam (Ibu Nabi Isa a.s.).
3. Karamah Allah untuk Ashif (seorang soleh pengikut Nabi Sulaiman a.s. yang dapat memindahkan singgahsana Balkis dalam sekelip mata, iaitu lebih pantas dari kemampuan Ifrit. Lihat; surah an-Naml; ayat 38-40).

Menurut Syeikh Abdurrahman Habannakah dalam kitab ‘Aqidahnya; “Jika cerita/berita karamah disandarkan kepada satu peribadi yang jelas percanggahannya dengan Syarak, memejamkan mata apabila berdepan dengan maksiat dan munkar dan redha terhadap perbuatan yang meruntuhkan hukum-hakam Allah, maka ia bukan karamah pada makna sebenarnya tetapi yang nyatanya ia adalah satu kesesatan dari kesesatan-kesesatan Syaitan” (al-‘Aqidah al-Islamiyyah, Abdurrahman Habannakah, hlm. 349).

Lebih tegas lagi, Imam Ibnu Taimiyyah berkata; “Jika seseorang itu melakukan zikrullah siang dan malam, di samping menjalani hidup secara zuhud dan sentiasa bersungguh-sungguh beribadah padahal (dalam keadaan begitu) orang itu tidak mahu mengikuti ajaran al-Quran yang diturunkan oleh Allah, maka orang tersebut ialah wali Syaitan, sekalipun ia boleh terbang di udara dan berjalan di atas air. Kerana sesungguhnya Syaitanlah yang membawanya terbang di udara” (al-Furqan, Ibnu Taimiyyah, hlm. 12).

Pengalaman saya membaca biodata-biaodata para ulamak termasuk tokoh-tokoh sufi, tidak pernah saya berjumpa ada ulamak atau ahli sufi yang mencanang di depan orang ramai; aku adalah wali Allah. Begitu juga, tidak ada yang menunjuk-nunjukkan kehebatan mereka di depan orang lain. Yang menyebut dia adalah wali Allah ialah ulamak-ulamak sezaman dengannya atau orang ramai yang mengenalinya; dari keperibadiannya, perwatakannya, perjuangannya, jasanya kepada Islam dan sebagainya. Jika berlaku karamah, bukan dengan kehendak dirinya, tetapi kehendak Allah yang ingin memuliakannya di hadapan orang ramai kerana kesolehannya dan perjuangannya. Alangkah bezanya Auliya’ Allah (wali-wali Allah) dari Auliya’ Syaitan yang suka mengangkat diri dan menunjuk-nunjuk kehebatan diri sendiri, tetapi perjuangan untuk Allah tidak setara mana dan masa depan diri juga belum tahu (sama akan ke syurga atau ke neraka). Sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa yang tawadhuk (merendah diri) kerana Allah, Allah akan mengangkat darjatnya” (HR Abu Nu’aim dari Abu Hurairah r.a.).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Tafsir Ibnu Kathir
2. Al-‘Aqidah al-Islamiyyah, Syeikh Abdurrahman Habannakah.
3. al-Furqan Baina Auliyaillah Wa Auliyaish-Syaitan, Imam Ibnu Taimiyyah.
4. Intisari Iman dan Aqidah Islam, Us. Ahmad Adnan Fadzil.

Nota Kaki;

[1] Istidraj ialah suatu perkara luar biasa yang diberikan kepada orang fasik untuk menipunya. Ihanah pula ialah perkara luar biasa yang bertujuan untuk menghina seperti yang berlaku kepada Musailamah al-Kazzab (yang mengaku Nabi) di mana ia mendakwa dapat menyembuhkan penyakit buta, lalu dibawa kepadanya seorang yang buta sebelah matanya. Musailamah meludah ke mata orang itu (yakni ke sebelah yang buta), namun apa yang jadi ialah; bukan mata yang buta menjadi celik tetapi yang celik turut menjadi buta.

Thursday, 28 August 2008

HADIS ATAU TIDAK?

Soalan; saya harap ustaz dapat meluangkan sedikit masa untuk memperbetulkan permasalahan ini. Berikut adalah email yang saya terima dah kalangan kawan - kawan saya. Buat pengetahuan ustaz, saya dah menerima beberapa kali email berkaitan perkara ini untuk beberapa Ramadhan. Dan tak dapat saya pastikan samada yg dimaksudkan dibawah adalah samada Hadis atau Cerita/Riwayat dari Sahabat atau sama ada rekaan musuh-musuh Islam. Saya rasa ia satu cerita pembohongan kerana tiada dinyatakan perawi dan sumbernya.

“Do'a malaikat Jibril menjelang Ramadhan; "Ya Allah tolong abaikan puasaumat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukanhal-hal yang berikut:
* Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada)
* Tidak berma'afan terlebih dahulu antara suami isteri
* Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya.
Maka Rasulullah pun mengatakan Amin sebanyak 3 kali. Dapatkah kita bayangkan, yang berdo'a adalah Malaikat dan yang meng-aminkan adalahRasullullah dan para sahabat, dan dilakukan pada hari Jumaat.
Oleh itu saya terlebih dahulu memohon ampun dan maaf jika saya ada berbuatkesalahan, baik yang tidak di sengaja maupun yang di sengajakan, semoga kitadapat menjalani ibadah puasa dengan khusyuk, diberkati dan dirahmati AllahS.W.T, Insya-Allah. SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA".


Saya menerima cerita ini sejak beberapa kali Ramadhan dan saya rasa ia telah menular di kalangan pengguna - pengguna internet beragama Islam. Harap ustaz dapat Respons dengan segera atau sebarkan atau letakkan di blog ustaz kerana jika perkara ini betul riwayat sahih, maka semua Umat Islam masih sempat melakukannya sebelum Ramadhan tahun ini menjelma.

Jawapan;

Setakat ini saya belum pernah mendengar hadis tersebut. Saya juga ada menyemak dalam beberapa kitab, tapi tak berjumpa hadis itu. Wallahu a'lam, ia benar hadis atau tidak. Sebaiknya, saudara minta maklumat dari orang yang memberi kepada saudara hadis itu; dari mana ia ambil, siapa sahabat yang menyampainya dan siapa perawinya atau di dalam kitab hadis mana hadis itu berada. Dilarang sama sekali kita menyandarkan kepada Rasulullah s.a.w. sesuatu yang kita tidak pasti sama ada benar atau tidak ia dari baginda. Kata ulamak; "Jika tanpa isnad (susur-galur periwayatan), akan berkatalah sesiapa sahaja apa yang ingin dikatanya". Kata Ibnu Sirin; "Ilmu adalah agama. Maka hendaklah kamu perhati dari siapa kamu mengambil ilmu agama kamu".

Wallahu a'lam.

Wednesday, 27 August 2008

HAID BERULANG

Soalan; apa hukum puasa dan solat bagi wanita yang telah kering haidnya dalam tempoh 3 waktu solat, kemudiannya mandi hadas dan mengerjakan puasa/ solat. Selang sehari atau 2 hari, haid datang semula. Bagaimana puasa yang telah dikerjakan? Perlukah diQadha atau sebaliknya? Bagaimana status solat yang dikerjakan? Mohon penjelasan ustaz. T.kasih.

Jawapan;

Dalam masalah tersebut terdapat khilaf di kalangan ulamak;

a) Mazhab Syafi’ie dan Abu Hanifah berpendapat; suci yang berlaku pada hari-hari kebiasaan haid dikira sebagai haid. Oleh demikian, jika seorang wanita mendapati satu hari keluar darah dan satu hari berikutnya suci (di mana ia mengetahui suci itu sama ada dengan keringnya darah atau dengan ia meletakkan kapas dan tiada kesan darah haid pada kapas), kemudian hari berikutnya datang semula darah, maka menurut pandangan ini keseluruhan hari itu adalah haid.
Berkata Imam Khatib as-Syirbini dalam al-Iqna’; “Suci antara darah-darah sama ada dalam tempoh minima haid (iaitu sehari semalam) atau lebih adalah dikira haid kerana mengikutinya (yakni mengikuti haid), tetapi dengan beberapa syarat, iaitu;
a) Tempoh suci itu tidak melebihi 15 hari.
b) Darah-darah haid (yang keluar secara keseluruhannya) tidak kurang dari tempoh minima haid iaitu sehari semalam.
c) Suci itu hendaklah dikelilingi antara dua darah haid”.

b) Mazhab Maliki dan Hanbali pula berpandangan; hari suci antara hari-hari kebiasaan haid adalah dikira suci. Oleh demikian, seorang wanita pada hari suci tersebut hendaklah mandi dan menunaikan solat, harus ia berpuasa, beriktikaf, membaca al-Quran dan tidak ditegah suaminya mensetubuhinya.

Merujuk kepada soalan saudara, jika pandangan pertama dipakai, puasa yang dilakukan pada hari-hari suci antara dua darah haid itu adalah batal dan perlulah diqadha pada hari lain selepas Ramadhan, kerana mengikut pandangan pertama tersebut; suci antara dua darah haid adalah dikira haid apabila terdapat tiga syarat di atas. Adapun jika pandangan kedua dipakai, puasa pada hari-hari suci itu adalah sah kerana mengikut pandangan kedua itu; hari-hari suci antara dua darah haid adalah dikira suci.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Haidh Wa an-Nifas Wa Ahkam at-Toharah Lin-Nisa’, Ibrahim Muhammad al-Jamal, hlm. 42-43.

Tuesday, 26 August 2008

MENINGGAL TANPA SEMPAT GANTI PUASA

Soalan; Nak tanya, kalau arwah ayah saya ada puasa yang tidak sempat diganti, apa tindakan yang harus dilakukan oleh waris?

Jawapan;

Seseorang yang mati sebelum sempat menggantikan puasanya yang tertinggal, maka hukumnya tertakluk kepada perincian di bawah;

a) Jika sebelum kematiannya ia tidak berkesempatan langsung atau tidak berkemampuan sepanjang hayatnya untuk menggantikan puasa yang tertinggal kerana ditimpa sakit yang berterusan atau keuzuran lain, maka ia tidaklah berdosa dan gugurlah tuntutan ganti itu darinya kerana kegagalan mengganti itu bukanlah dari kelalaiannya.

b) Namun jika sebelum kematiannya ia mempunyai cukup masa dan kemampuan untuk mengganti puasa yang tertinggal, tetapi ia tidak menggantinya –kerana lalai atau menangguh-nangguh-, maka dalam hal ini disunatkan ahli keluarganya berpuasa bagi pihaknya. Sabda Nabi s.a.w. (bermaksud); “Sesiapa mati dan tertanggung atas dirinya qadha puasa, maka walinya (ahli keluarganya) hendaklah berpuasa untuknya” (Riwayat Imam Ahmad, Bukhari, Muslim dan Abu Daud dari Aisyah r.a.).

Dan harus orang lain (yang bukan ahli keluarganya) seperti kawannya untuk berpuasa bagi pihaknya dengan syarat mendapat izin dari ahli keluarganya atau dengan wasiat darinya sebelum kematiannya. Jika kawannya itu berpuasa bagi pihaknya tanpa izin dari ahli keluarganya atau tanpa wasiat darinya, maka tidak diterima oleh Syara’ puasa tersebut sebagai gantian baginya.

c) Jika tidak ada yang berpuasa bagi pihaknya, hendaklah dikeluarkan fidyah (iaitu dengan memberi makan orang miskin dengan kadar secupak beras) bagi setiap hari yang ia tinggalkan. Fidyah ini wajib dikeluarkan dari harta peninggalannya dan merupakan hutang Allah yang tertanggung ke atasnya selagi belum dikeluarkan. Jika ia tidak meninggalkan harta, harus dikeluarkan oleh orang lain yang bersimpati dengannya. Sabda Rasulullah s.a.w. (bermaksud); “Sesiapa mati dan tertanggung atas dirinya qadha puasa bulan Ramadhan maka hendaklah diberi makan bagi pihaknya seorang miskin bagi setiap hari (yang ditinggalkannya)” (Riwayat Imam Tirmizi dari Ibnu Umar r.a.). Berkata Ibnu 'Abbas r.a.; “Jika seorang lelaki sakit dalam bulan Ramadhan, kemudian mati tanpa sempat menggantikan puasanya, maka hendaklah diberi makan (kepada orang miskin) bagi pihaknya dan tidak wajib qadha atasnya. Jika tertanggung atasnya nazar, maka hendaklah nazar itu dibayar/ditunaikan oleh wali (keluarganya)” (Riwayat Imam Abu Daud).

Wallahu a’lam.

Tambahan;

1. Hukum bagi puasa nazar dan kaffarah adalah sama dengan puasa Ramadhan. Jadi seorang yang mati meninggalkan puasa nazar atau puasa kaffarah, walinya boleh memilih sama ada membayar fidyah atau berpuasa bagi pihaknya. (Lihat; al-Majmu’, jil. 6, hlm. 394)

2. Jika seorang itu meninggalkan puasa selama sebulan Ramadhan (yakni 30 hari) dan ia mati tanpa sempat mengqadha’nya, lalu walinya memberi keizinan kepada 30 orang untuk berpuasa bagi pihaknya dan mereka berpuasa serentak pada satu hari, adakah ia dikira? Menurut Imam al-Hasan al-Basri –sebagaimana yang disebut oleh Imam Bukhari dalam sohehnya-; ia adalah dikira. Pendapat ini dipersetujui oleh Imam Nawawi. (Lihat; al-Majmu’, jil. 6, hlm. 394)

3. Orang yang masih hidup tidak harus sesiapa pun berpuasa untuknya sama ada ia lemah (tidak berdaya berpuasa) atau kuat (yakni mampu berpuasa) (Lihat; al-Majmu’, jil. 6, hlm. 394)

4. Orang yang mati dengan menanggung solat atau iktikaf, tidak boleh walinya melakukan solat atau iktikaf itu bagi pihaknya. Begitu juga, fidyah tidak akan menggugurkan solat atau iktikaf yang tertanggung atas dirinya itu. Inilah pendapat yang masyhur dalam mazhab Syafi’ie. (Lihat; al-Majmu’, jil. 6, hlm. 394)

Rujukan;

1. al-Majmu’, Imam an-Nawawi, jil. 6, hlm. 389-395.

Monday, 25 August 2008

TIDAK MEMBACA AL-FATIHAH DENGAN BETUL

Soalan;

Solat seseorang tidak sah jikalau tidak membaca Surah al-Fatihah.Bagaimana pula kalau seseorang itu tidak membaca Surah al-Fatihah dengan betul...? Adakah solatnya tidak sah...?

Jawapan;

Bacaan al-Fatihah adalah wajib dan rukun di dalam solat (sembahyang). Ia hendaklah dibaca dengan memenuhi syarat-syaratnya, iaitu;

1. Hendaklah dibaca pada tempatnya iaitu ketika berdiri bagi solat fardhu (bagi orang yang mampu berdiri) atau kedudukan ganti bagi berdiri (yakni duduk, mengiring dan sebagainya bagi orang yang tidak mampu berdiri atau orang yang mengerjakan solat sunat).

2. Tidak harus menggantikannya dengan surah atau ayat-ayat yang lain. Begitu juga, tidak harus menterjemahnya, yakni wajib dibaca dengan bahasa Arab. Tidak sah solat jika Fatihah dibaca dengan bahasa lain, sama ada seseorang itu memahami bahasa Arab atau tidak.

3. Hendaklah membacanya dengan memperdengarkan kepada diri sendiri. Tidak memadai membaca di dalam hati. Adapun bagi orang bisu, memadai dengan menggerakkan lidah dan dua bibirnya sekadar yang mampu.

4. Hendaklah membaca dengan keseluruhan huruf-huruf serta tasydid-tasydidnya. Jika tertinggal satu huruf atau mengabaikan tasydid (pada tempat yang ada tasydid) atau menukar satu huruf dengan huruf lain,[1] tidak sah bacaan dan rentetan dari itu tidak sahlah pula solat. Jika tersalah dalam sebutan hingga mengubah makna seperti fathah di atas huruf ta’ pada kalimah (أنعمت) dibaca dengan dhammah, tidak sah Fatihah dan solat menjadi batal jika kesalahan itu disengajakan.[2] Adapun jika tidak disengajakan, tidaklah membatalkan solat, tetapi wajib diulangi semula bacaan dengan betul.

5. Hendaklah dibaca mengikut susunan dan berturut-turut iaitu tanpa diselangi antara ayat-ayatnya dengan berhenti yang lama atau dengan bacaan yang lain.[3]

Syarat-syarat di atas wajib dipelihara ketika membaca al-Fatihah di dalam solat. Kegagalan menjaga syarat-syarat tersebut akan menyebabkan bacaan Fatihah tidak sah. Apabila bacaan Fatihah tidak sah, akan rosaklah solat kerana Nabi s.a.w. bersabda; “Tidak ada solat bagi seorang yang tidak membaca ummul-Quran (yakni surah al-Fatihah)” (Riwayat Imam Muslim dari ‘Ubadah bin as-Shamit r.a.). Maksud tidak ada solat ialah; solat tidak sah.
Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Kifayatul-Akhyar, Imam Taqiyyuddin Abi Bakr al-Husaini, hlm. 104-106.
2. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, juz. 4, hlm. 108 dan 111.
3. al-Fiqh al-Wadhih, Dr. Muhammad Bakr Ismail, jil. 1, hlm. 178.

Nota Kaki;

[1] Jika ia menukar dhad (ض) pada (الضالين) dengan dza’ (ظ) batal solatnya mengikut pandangan yang paling rajih kecuali jika ia tidak berupaya menyebut huruf dhad (ض) sekalipun selepas berusaha belajar, maka ketika itu ia dimaafkan. (Lihat; al-Azkar, Imam an-Nawawi, bab al-Qiraah Ba’da at-Ta’awwuz).

[2] Adapun jika tidak sampai mengubah makna seperti kasrah di bawah huruf ba’ pada kalimah (المغضوب) dibaca dengan fathah, tidaklah membatalkan solat, tetapi makruh hukumnya. (Lihat; Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, juz. 4, kitab as-Solah, bab Wujub Qiraatil-Fatihah…).

[3] Kecuali bacaan-bacaan yang disunatkan kepada makmum di dalam solatnya seperti mengaminkan bacaan Fatihah imamnya, membetulkan bacaan imam atau mengingatkan imam yang terlupa dalam bacaannya, memohon rahmat ketika mendengar imam membaca ayat rahmat atau meminta lindung dari azab ketika mendengar imam membaca ayat azab; maka jika bacaan Fatihah diselangi dengan bacaan-bacaan tersebut, tidaklah batal bacaan Fatihah. Adapun jika diselangi dengan perkara-perkara yang tidak disunatkan di dalam solat –sekalipun disunatkan diluar solat- seperti zikir, ayat yang lain (dari Fatihah), menjawab azan, menegur bacaan orang lain dari imam dan mentahmid orang bersin, maka batallah bacaan Fatihah. (Rujuk; Kifayatul-Akhyar, hlm. 106).

Sunday, 24 August 2008

BERZINA DI BULAN RAMADHAN

Soalan; saya ada beberapa kemusykilan agama. Soalan di bawah ini daripada seorang sahabat saya, pening saya nak menjawabnya. Harap sangat ustaz dapat bantu saya mencari jawapan kepada sahabat saya ini.
1- Kalau berzina di bulan puasa, apakah hukumnya dan bagaimana cara hendak ganti puasa? adakah kena kifarat? kalau kena, bagaimana nak lakukannya? Adakah diqiaskan macam jimak di siang hari bulan Ramadhan?
2- kalau berzina 4 hari berturut-turut di bulan puasa, bagaimana nak ganti puasa itu?
3- Bagaimana pula kalau berzina di bulan Ramadhan, tetapi penzina itu memang tidak berpuasa. Adakah dia kena ganti sebab zina ke atau sebab tak puasa tu?
4- hukum bernikah dengan perempuan mengandung, tidak kiralah sama ada anak dalam kandungan itu anak dia atau anak orang lain.
Terima kasih atas bantuan ustaz, semoga mendapat rahmat Allah.

Jawapan;

1. Berzina hukumnya haram dan dosa besar bukan sahaja di bulan Ramadhan, tetapi juga di bulan-bulan lain. Cuma melakukan zina di bulan Ramadhan lebih dikeji kerana pelakunya tidak menghormati bulan Ramadhan. Orang yang berzina di siang hari di bulan Ramadhan, batal puasanya dan ia bukan sahaja wajib mengqadha puasa hari itu, tetapi juga diwajib Kaffarah atasnya. Kaffarah ialah denda yang dikenakan ke atas seorang yang membatalkan puasanya dengan bersetubuh di siang hari di bulan Ramadhan dengan sengaja. Orang yang sengaja melakukan persetubuhan di siang hari pada bulan Ramadhan di samping ia wajib menggantikan puasanya yang terbatal itu, ia dikenakan pula denda berat oleh Syara’ iaitu mengikut urutan di bawah;
a) Membebaskan seorang hamba mukmin sama ada lelaki atau wanita
b) Jika tidak didapati atau tidak mampu, hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut (yakni tanpa selang)
c) Jika tidak mampu, hendaklah ia memberi makan 60 orang miskin dengan setiap orang satu cupak makanan asasi penduduk setempat. Bagi penduduk Malaysia, makanan asasinya ialah beras.

Menurut ulamak; termasuk dalam erti persetubuhan yang mewajibkan kaffarah ialah; mensetubuhi faraj, dubur (iaitu meliwat), persetubuhan melalui zina atau syubhah atau dalam nikah yang fasid, sama ada mensetubuhi lelaki atau perempuan, manusia atau binatang. Persetubuhan-persetubuhan ini memberi kesan yang sama kepada puasa jika cukup syarat-syaratnya iaitu; (1) Wajib diganti puasa, dan (2) Wajib kaffarah atasnya.

2. Apabila berbilang hari berlaku persetubuhan maka berbilang jugalah kaffarah yang mesti ditunaikan. Contohnya, jika persetubuhan belaku pada empat hari, maka kaffarah yang mesti ditunaikan ialah empat juga.[1] Adapun jika persetubuhan berlaku berulang-kali pada hari yang sama, maka kaffarah yang dikira hanya sekali sahaja.[2]

3. Jika seseorang itu membatalkan puasa dengan perkara lain selain persetubuhan (seperti dengan makan, minum atau sebagainya), kemudian setelah puasanya batal barulah ia bersetubuh dengan isterinya, menurut mazhab Syafi’ie; ia tidak dikenakan kaffarah kerana kafffarah diwajibkan ke atas orang yang membatalkan puasanya dengan jima’ (persetubuhan). Dalam masalah ini, puasa itu batal dengan sebab makan atau minum, adapun persetubuhan ia berlaku setelah terbatalnya puasa.

4. Bagi soalan keempat, telah saya ulas dalam jawapan sebelum ini. Sila baca; (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2007/06/mengahwini-wanita-hamil.html) dan (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2007/07/perlukah-akad-nikah-kali-kedua.html).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Majmu’, Imam an-Nawawi, jil. 6, kitab as-Shiyam.
2. al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, jil. 3, kitab as-Shiyam.
3. al-Wajiz Fi al-Fiqh al-Islami, Dr. Wahbah az-Zuhaili, jil. 1, Bab as-Shiyam.
4. al-Fiqh al-Wadhih, Dr. Muhammad Bakr Ismail, jil. 1, Ahkam as-Shaum.
5. al-Iqna’, Imam al-Khatib as-Syirbini, jil. 1, kitab as-Shiyam.

Nota Kaki;

[1] Ini adalah pandangan jumhur ulamak. Menurut mazhab Hanafi; hanya satu kaffarah sahaja bagi satu Ramadhan sekalipun persetubuhan berlaku pada berbilang-bilang hari di bulan Ramadhan. (al-Wajib, Wahbah az-Zuhaili, 1/345).
[2] Hanya persetubuhan yang membatalkan puasa sahaja yang mewajibkan kaffarah. Jadi apabila persetubuhan berlaku berulang-kali pada hari yang sama, sudah tentunya persetubuhan kali pertama yang membatalkan puasa. Adapun persetubuhan-persetubuhan yang lain, maka ia berlaku setelah puasa telahpun batal.

ZAKAT FITRAH DENGAN WANG DAN NILAI SEMASANYA

Soalan; Zakat fitrah wajib dikeluarkan dengan beras dimalaysia, tapi ada sebahagian yang mengeluarkan dgn menggunakan wang, apakah sah dalam islam? Sedangkan hadist nabi tak ada yang memenyuruh atau memerintahkan pakai wang. Dan berapakah berat beras yang mesti dikeluarkan? Yang saya lihat ada mengeluarkan dengan 2,7 kg dan ada pula dengan 2,5 kg, manakah yang betul? Saya sangat kompius dalam hal ini.

Jawapan;

Mengeluarkan zakat fitrah dengan nilai (yakni dengan wang) terdapat khilaf di kalangan ulamak tentang keharusannya;

1. Menurut jumhur ulamak (Imam Syafi’ie, Malik dan Ahmad); Zakat fitrah wajib dikeluarkan dalam bentuk makanan (yakni makanan asasi penduduk setempat). Tidak harus dikeluarkan dengan wang sekalipun menyamai harga/nilai makanan yang wajib dikeluarkan zakat. Alasan mereka ialah; mengeluarkan zakat fitrah dengan selain dari makanan asasi setempat adalah bercanggah dengan Sunnah Nabi s.a.w..

2. Menurut Imam Abu Hanifah; harus mengeluar zakat fitrah dengan wang yang seharga/senilai dengan makanan yang wajib dikeluarkan zakat. Menurut mereka; zakat fitrah adalah hak fakir-miskin. Untuk memenuhi hajat mereka boleh dengan makanan dan boleh juga dengan wang. Tidak ada beza antara kedua-duanya. Barangkali mengeluarkan dengan wang adalah lebih baik kerana dengan wang memudahkan orang fakir membeli apa sahaja barang keperluan yang mereka kehendaki (makanan, pakaian, daging, lauk-pauk dan sebagainya). Pandangan sebagaimana Abu Hanifah ini diriwayatkan juga dari Umar Abdul Aziz, al-Hasan dan as-Sauri.

3. Menurut Imam Ishaq dan Abu Tsur; mengeluarkan zakat fitrah dengan nilai (wang) hanya harus ketika darurat sahaja.

Ulamak-ulamak semasa hari ramai yang menyetujui pandangan Imam Abu Hanifah termasuk Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitab Fiqh Zakatnya. Menurut beliau; keharusan mengeluarkan zakat dengan wang lebih menepati kehendak semasa dan memberi kemudahan kepada fakir miskin.[1] Begitu juga dengan Dr. Mutafa al-Khin dan Dr. Mustafa al-Bugha yang menjelaskan dalam kitab mereka al-Fiqh al-Manhaji (sebuah kitab Fiqh mazhab Syafi’ie kontemporari); “Tidak mengapa pada zaman ini untuk kita mengikuti pandangan mazhab Hanafi dalam masalah ini iaitu keharusan membayar zakat fitrah dengan nilai wang kerana ia lebih mendatangkan manfaat kepada orang fakir dan lebih dekat kepada tujuan yang ingin dicapai…”.[2]

Menyentuh kadar zakat fitrah, mengikut hadis; kadar yang wajib dikeluarkan ialah satu Sha’ (الصاع) iaitu satu gantang. Abi Sa’id al-Khudri r.a. menceritakan; “Kami mengeluarkan zakat fitrah (pada zaman Rasulullah s.a.w.) dengan kadar satu Sha’ (gantang) dari gandum atau satu Sha’ dari barli atau satu Sha’ dari tamar atau satu Sha’ dari ‘aqt (keju) atau satu Sha’ dari kismis (anggur kering)” (Riwayat Imam Muslim).

Satu Sha’ mengikut nilaian lama menyamai 5 1/3 Ritl (الرطل) ‘Iraqi iaitu gantang Baghdad. Mengikut ukuran liter, menurut pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji, satu Sha’ menyamai 3 liter. Adapun mengikut gram, antara ulamak ada sedikit perbezaan;

1. Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menetapkan; satu Sha’ (gantang) menyamai berat hari ini 2400 gram atau 2.4 Kg.

2. Dr. Wahbah az-Zuhaili dalam kitabnya al-Fiqh Islami Wa Adillatuhu menyebutkan; menurut jumhur ulama’, satu Sha’ Iraqi menyamai ukuran semasa 2751gram atau 2.751Kg.

3. Menurut Syeikh Majid al-Hamawi (seorang ulamak dari Syria) dalam ulasannya terhadap kitab “Matn al-Ghayah wa at-Taqrieb” menegaskan; satu Sha’ menyamai ukuran semasa 2750gram atau 2.75Kg. Mengikut ukuran bekas, jika bekas adalah empat segi sama, maka panjang setiap sisinya ialah 14.6cm.

Ukuran di atas berdasarkan timbangan gandum iaitu makanan asasi penduduk Negara-negara Arab. Adapun mengikut timbangan beras, berdasarkan Majlis Fatwa Kebangsaan, satu gantang Baghdad mengikut timbangan beras semasa (beras super tempatan gred A) ialah 2600gram atau 2.6 KG. (Lihat; Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-57, bertarikh 10 Jun 2003. Rujukan; http://www.e-fatwa.gov.my/jakim/keputusan_view.asp?keyID=148)

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Majmu’, Imam an-Nawawi, jil. 6, hlm. 123.
2. al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, jil. 3, 48.
3. Fiqh az-Zakah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, jil. 2, hlm. 1004.
4. al-Fiqh al-Manhaji, jil. 1, hlm. 231.

Nota Kaki;

[1] Fiqh az-Zakah, 2/1004.
[2] Al-Fiqh al-Manhaji, Jil. 1, hlm. 231.

ANGGOTA TERPISAH DARI BADAN; MASIHKAH AURAT?

Soalan; Aurat wanita kalau telah terlepas atau berpisah dari jasad,apakah masih termasuk aurat? Contohnya rambut yang terlepas dari kepala dan terbang dibawa angin?bagaimanakah hukumnya?

Jawapan;

Para ulamak berbeza pandangan tentang bahagian aurat yang telah terpisah dari badan; adakah harus atau tidak dilihat dan disentuh seperti rambut wanita ajnabi yang terpisah darinya atau kulitnya atau dagingnya yang terpisah darinya?;

1. Menurut mazhab Hanafi dan Syafi’ie; haram ia dilihat dan disentuh sama seperti ketika ia masih berada di badannya. Walaupun ia telah terpisah dari badan, kedudukannya sebagai aurat tetap kekal. Oleh itu, haram melihat dan menyentuhnya. Wajiblah ia ditutup supaya tidak dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya. Sekiranya seorang wanita memakai rambut wanita lain di kepalanya (yakni menyambung rambut atau memakai rambut palsu), haram rambut itu dilihat oleh suaminya kerana rambut itu adalah aurat wanita lain.

2. Sebahagian ulamak berpandangan sebaliknya; iaitu apa yang terpisah dari badan tidak lagi dianggap aurat. Oleh demikian, tidak haram melihatnya kerana kehormatannya telah hilang dengan terpisahnya dari badan. Antara yang berpandangan sebegini ialah ulamak-ulamak mazhab Maliki dan Hanbali.

Walllahu a’lam.

Rujukan;

1. Fiqh al-Albisah Wa az-Zinah, Abdul-Wahhab bin Abdus-Salam Tawilah, hlm. 102.

SOLAT IKUT IMAM YANG SOLAT QASAR

Soalan; Ustaz, bolehkah ikut orang yang buat solat qasar sedangkan saya buat solat penuh. Contohnya si polan buat qasar dan saya ikut di sampai rakaat akhir, jadi saya terpaksa menambah bilangan rakaat yang baki atau macam mana?

Jawapan;

Harus seorang yang menunaikan solat tamam (yakni solat penuh) untuk menjadi makmum kepada seorang musafir yang menunaikan solat qasar (pendek).[1] Apabila imam memberi salam, hendaklah ia bangun untuk melengkapkan baki rakaat solatnya. Imran bin Hushain r.a. menceritakan; "Aku menyertai peperangan dengan Nabi s.a.w. semasa pembukaan Mekah. Baginda tinggal di Mekah selama 18 hari di mana baginda tidak menunaikan solat melainkan dua rakaat (yakni baginda mengqasarkan (memendekkan) solatnya). Apabila selesai solat (yakni memberi salam), baginda berkata kepada makmum di belakangnya; “Wahai penduduk negeri (Mekah), sempurnakanlah solat kamu hingga empat rakaat kerana kami adalah golongan musafir” (HR Imam Ahmad dan Abu Daud).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. at-Tahzib, Imam al-Baghawi, 2/309.
2. Fiqh al-‘Ibadah, Syeikh Hasan Ayyub, hlm. 261.

Nota kaki;

[1] Keharusan ini adalah ijmak ulamak (Fiqh al-Ibadat, Hasan Ayyub, hlm. 261).

IQAMAH OLEH WANITA

Soalan; Ustaz, nak buat solat berjamaah dalam keluarga; perlukah diiqamah sebelum solat jika sama-sama makmum (adik beradik) adalah perempuan?

Jawapan;

Iqamah disunatkan bagi sesiapa saja yang ingin mengerjakan solat fardhu sama ada tunai atau qadha, sama ada solat dilakukan berjamaah atau bersendirian, sama ada yang mengerjakan solat itu lelaki atau wanita. Berkata Imam al-Baghawi dalam kitabnya at-Tahzib; “Disunatkan bagi wanita untuk mengucapkan iqamah, akan tetapi tidak disunatkan ia melaungkan azan kerana azan tujuannya ialah memberitahu manusia dan dibimbangi suaranya akan mendatangkan fitnah” (2/47). Kesimpulannya, disunatkan wanita yang megerjakan solat fardhu bersendirian atau berjamaah sesama wanita untuk mengucapkan iqamah sebelum menunaikan solat.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. at-Tahzib Fi Fiqh al-Imam as-Syafi’ie, jil. 2, hlm. 47.
2. Fiqh al-‘Ibadah, Syeikh Hasan Ayyub, hlm. 121.

Saturday, 23 August 2008

MEMUAT-TURUN FILEM DAN LAGU BUKAN DARI SUMBER ASLI

Soalan; ustaz adakah HALAL memuat turun lagu atau filem yang tidak bercanggah dengan syariat tetapi bukan dari sumber yang asli?

Jawapan;

Islam menjaga hak milik manusia. Termasuk hak milik ialah hak penulisan, hak rekaan/ciptaan dan hak kreativiti. Tidak harus kita mengambil atau mencuri hak orang lain tanpa keizinan/kerelaannya. Sabda Nabi s.a.w.; “Tidak halal harta seorang muslim melainkan dengan kerelaan hatinya” (HR Imam Daruqutni dari Anas r.a.). Baginda juga bersabda; “Sesungguhnya harta-harta dan darah-darah (yakni naywa-nyawa) semasa kamu adalah haram ke atas kamu (merampas dan mencerobohinya)” (HR Imam Ahmad dari Abi Sa’id al-Khudri r.a.).

Hak-hak tersebut walaupun tidak dinamakan harta pada bahasa pertuturan biasa, namun dari segi makna ia juga adalah harta melihat kepada nilai dan manfaatnya. Kerana itu, dalam istilah sekarang ini ia dinamakan harta intelek. Kesimpulannya, filem-filem dan lagu-lagu yang tidak bercanggah dengan Syari’at tidak harus dijual, dibeli atau dimiliki kecuali dengan keizinan atau kerelaan pemiliknya atau orang yang dilantik menjadi wakil atau orang tengah oleh pemiliknya.

Baca fatwa ulamak dalam jawapan saya yang lalu tentang hukum membeli barang cetak rompak; (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/08/membeli-barangan-cetak-rompak.html).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Qawaid al-Fiqhiyyah, Dr. Muhammad Bakr Ismail, hlm. 288.
2. Al-Wajiz Fi Syarhi al-Qawaid al-Fiqhiyyah, Dr. Abdul Karim Zaidan, hlm. 162.

AIR YANG KELUAR DARI KEMALUAN

Soalan; Ustaz, saya baru melangsungkan perkahwinan. Beberapa persoalan timbul semasa melakukan hubungan seks dengan isteri di antaranya:-
1) Adakah air yang keluar dari kemaluan isteri hukumnya najis?
2) Sekiranya air tersebut keluar perlu kah si isteri mandi wajib?
Sekian, Tkasih

Jawapan;

Air yang keluar dari kemaluan kebiasaannya tidak lari dari empat jenis;
1. Air kencing
2. Air Mazi
3. Air Madi
4. Air Mani

Dari empat air di atas, tiga darinya adalah najis iaitu air kencing, air madi dan air mazi. Adapun air mani ia tidaklah najis kerana ia adalah asal kejadian. Adapun ciri-ciri setiap air di atas -untuk memudahkan kita mengenalinya-, maka berdasarkan keterangan ulamak;
- Air kencing; cirinya sebagaimana sedia maklum
- Air Mazi; cirinya adalah melekit dan keluar dari kemaluan (zakar atau faraj) biasanya tatkala naik syahwat.
- Air Wadi; cirinya ialah kental, berwarna putih dan keluar dari kemaluan sesudah buang air kecil atau ketika memikul benda berat.
- Air Mani pula; air mani lelaki, cirinya; berwarna putih dan tebal/kental. Adapun air mani perempuan; warnanya kuning dan nipis/cair (yakni tidak kental). Kedua-dua air mani lelaki dan perempuan itu ada ciri kebersamaannya, iaitu;
a) Bau air mani perempuan sama seperti bau air mani lelaki iaitu seperti bau tepung diuli,
b) Dirasai kelazatan ketika keluarnya dan selepas keluarnya badan merasai keletihan dan syahwat menjadi reda.

Menyentuh tentang mandi, dari empat air di atas, hanya keluar air mani sahaja yang mewajibkan mandi. Adapun keluar kencing, mazi dan wadi, tidakah mewajibkan mandi, akan tetapi ia adalah najis dan membatalkan wudhuk dengan keluarnya. Oleh demikian, apabila keluar air-air selain mani itu, yang wajib dilakukan sebelum solat ialah membasuhnya dan mengambil wudhuk.

Perlu diperjelaskan; apabila seorang lelaki mensetubuhi isterinya, kedua-dua suami-isteri wajib mandi walaupun tidak keluar mani. Ini kerana persetubuhan itu sendiri telah mewajibkan mandi tanpa mengira keluar mani atau tidak. Yang dimaksudkan persetubuhan ialah memasukkan zakar ke dalam faraj.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, jil. 2 (juz. 3), bab Wujub al-Ghasl ‘Alal-Mar,ah.
2. Fiqh at-Thoharah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 226.
3. al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/374.

TAUHID RUBUBIYYAH DAN ULUHIYYAH

Soalan; ustaz yang dirahmati allah, apakah sebenarnya perbezaan antara tauhid uluhiyah dan tauhid rububiyah dari segi pengenalan dan ta'rif? Terima kasih. Wassallam.

Jawapan;

Ar-Rububiyyah berasal dari kalimah ar-Rabb. Ar-Rabb (الرّبّ) bermaksud yang memiliki, yang menguasai dan yang mentadbir. Tauhid Rububiyyah bermaksud mengesakan Allah sebagai ar-Rabb, iaitu meyakini bahawa Allahlah satu-satunya Tuhan yang mencipta alam ini, yang memilikinya, yang mengatur perjalanannya, yang menghidup dan mematikan, yang menurunkan rezki kepada makhluk, yang berkuasa mendatangkan manfaat dan menimpakan mudharat, yang mengabulkan doa dan permintaan hamba tatkala mereka terdesak, yang berkuasa melaksanakan apa yang dikehendakinya, yang memberi dan menegah, di tanganNya segala kebaikan dan bagiNya penciptaan dan juga segala urusan, sebagaimana Ia berfirman tentang diriNya (yang bermaksud);

“Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”. (al-Fatihah: 3)

“Ingatlah, bagiNya (yakni Allah) jualah urusan penciptaan dan segala urusan. Maha tinggi Allah, Rabb bagi semesta alam”. Al-A’raf: 54)

“..maka bagi Allah jualah tertentu segala pujian, Tuhan yang mentadbirkan langit, dan Tuhan yang mentadbirkan bumi, - Tuhan sekalian alam. Dan bagiNyalah keagungan dan kekuasaan di langit dan di bumi; dan dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”. (al-Jathiyah: 36-37)

Termasuk juga dalam pengertian tauhid Rububiyyah ialah beriman dengan Qadarullah (yakni ketentuan dan ketetapan Allah) iaitu meyakini bahawa setiap yang berlaku di alam ini adalah terbit dari ilmu Allah, iradah (kehendak)Nya dan juga qudrah (kekuasaan)Nya.

Al-Uluhiyyah pula berasal dari kalimah al-Ilah. Al-Ilah (الإله) bermaksud yang berhak disembah di mana kepadanya ditujukan segala ibadah (pengabdian diri). Jadi, Tauhid al-Uluhiyyah bermaksud mengesakan Allah sebagai Ilah, iaitu meyakini bahawa Allahlah satu-satunya Tuhan yang berhak disembah dan diqasadkan segala ibadah, tidak harus ditunaikan ibadah melainkan kepadaNya sahaja dan tidak harus mensyirikkanNya dengan sesuatu apapun di langit mahupun di bumi. Firman Allah (bermaksud);

“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus, dan supaya mereka mendirikan shalat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus”. (al-Bayyinah: 5)

“Katakanlah: ‘Sesungguhnya shalatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam”. (al-An’am: 162)

Tauhid al-Uluhiyyah (yakni mengesakan Allah sebabai Ilah) adalah kemuncak Tauhid. Tidak sah iman kepada Allah melainkan dengan kukuhnya tauhid ini di dalam hati di samping tauhid pertama tadi (yakni tauhid Rububiyyah iaitu mengakui Allah sebagai Rabb). Tauhid inilah yang menjadi penekanan para Nabi dan Rasul di mana mereka diutuskan bukan sekadar untuk memaklumkan kepada manusia adanya Allah, tetapi lebih besar dari itu untuk mengajak manusia menyembah Allah dan meninggalkan segala perbuatan yang menyengutukanNya. Allah menjelaskan matlamat pengutusan semua Rasul di mana Ia berfirman (yang bermaksud);

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): "Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut itu", maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul)”. (an-Nahl: 36)
(Menurut ulama’ tafsir; yang dimaksudkan dengan Taghut dalam ayat di atas ialah segala yang disembah selain dari Allah sama ada berhala-berhala, Iblis, Syaitan dan sebagainya. (Lihat tafsir al-Qurthubi)).

Demikianlah keterangan ringkas tentang Tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah yang dapat saya berikan dalam ruangan yang ringkas ini. Harapan saya agar saudara dapat meneroka dengan lebih mendalam ilmu tentang kedua-dua jenis tauhid ini. Keimanan kita kepada Allah tidak akan sempurna melainkan dengan kita memahami dan menghayati dengan sempurna kedua-dua Tauhid tersebut di samping satu lagi Tauhid iaitu Tauhid al-Asma’ Wa as-Sifat iaitu mengesakan Allah dengan meyakini sekelian nama-nama dan sifat-sifatNya yang terdapat di dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Syarh al-‘Aqidah at-Thahawiyyah, Imam Abil-Izzi al-Hanafi.
2. Taisir al-‘Azizil Hamid, Syeikh Sulaiman bin Abdillah.
3. Haqiqatu at-Tauhid, Dr. Yusuf al-Qaradhawi.
4. Al-Iman, Dr. Naeem Yasin.

Friday, 22 August 2008

CARA MELUAHKAN CINTA

Soalan; saya menyukai seorang wanita dan dia juga menyukai saya. tetapi saya tidak bercinta sebagaimana yg dilakukan oleh golongan remaja sekarang. masing-masing tahu akan isi hati tetapi tidak pernah meluahkannya..mengikut pandangan islam bagaimana islam menetapkan perhubungan antara seorang lelaki dan wanita yang saling menyukai?

Jawapan;

Perasaan sayang, kasih dan menyukai adalah lumlah dalam diri setiap manusia. Namun perasaan itu hendaklah diterjemah mengikut saluran yang diizinkan Syarak. Apabila seorang lelaki menyukai seorang perempuan (yang bukan mahramnya), hendaklah perasaan itu diterjemahkan melalui akad perkahwinan. Jadi, berjumpalah dengan wali wanita yang saudara sukai itu dan pinanglah ia untuk dijadikan isteri yang sah. Jangan terjemahkan perasaan suka/cinta itu melalui hubungan percintaan (sebelum berkahwin) sebagaimana yang dilakukan oleh ramai orang hari ini kerana ia akan mendatangkan fitnah iaitu merosakkan hati, menjauhkan diri dari agama, membangkitkan nafsu dan mendorong kepada zina. Ingatlah pesanan Rasulullah s.a.w. (bermaksud); “Tidak aku tinggalkan selepasku fitnah yang paling merbahaya ke atas lelaki melebihi fitnah dari wanita” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Usamah r.a.)

Di dalam satu hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda (bermaksud); “Tidak terlihat oleh dua orang yang saling menyintai seumpama (cinta yang lahir dari) perkahwinan” (HR Imam Ibnu Majah dan al-Hakim dari Ibnu ‘Abbas r.a.. Menurut Imam as-Suyuti; hadis ini soheh. Al-Jami’ as-Saghier; hadis no. 7361)

Menurut Imam at-Thibi; hadis ini bermaksud; apabila seorang lelaki melihat kepada seorang wanita dan hatinya menyintainya, lalu ia mengahwini wanita itu, maka dengan perkahwinan akan bertambah kuatlah perasaan kasih itu. Ulamak-ulamak lain berkata; ubat paling besar yang dapat mengubati perasaan cinta ialah berkahwin. (Faidhul-Qadier, hadis no. 7361)

Wallahu a’lam.

Thursday, 21 August 2008

MEMBELI BARANGAN CETAK ROMPAK

Soalan; ustaz , apakah hukum memuat turun lagu - lagu , filem dari internet atau membeli barang - barang cetak rompak yang bukan dari sumber yang asli?

Jawapan;

Dalam soalan saudara itu ada dua perkara yang perlu penjelasan;

1. Kedudukan lagu, filem dan barang-barang itu sendiri; adalah harus di sisi Syarak atau tidak? Jika tidak harus (yakni lagu yang hendak dimuat-turun itu senikata atau liriknya bercanggah dengan Syari'at dan begitu juga dengan filem dan barangan/produk), haramlah ia didownloadkan sekalipun dari sumber yang asli/sah. Ini kerana seorang muslim dilarang Syarak mengguna, menyimpan dan memiliki barang-barang yang haram, apatahlagi menjualnya.

2. Hukum membeli barang cetak rompak; para ulamak dalam Persidangan Fiqh Islam ke 6 yang diadakan di negara Kuwait (1 hingga 6 Jamadil-Awwal 1409 Hijrah) telah memutuskan bahawa; "Hak penulisan, hak cipta dan hak kreativiti adalah terpelihara mengikut Syari'at Islam. Hak-hak itu adalah kepunyaan pemilik-pemiliknya dan tidak harus ia dicerobohi". Oleh demikian, berdasarkan fatwa ini; tidak harus seseorang menjual barang/produk cetak rompak kerana ia dikira menjual barang milik orang lain tanpa keizinannya. Begitu juga tidak harus kita membeli barang cetak rompak kerana hukumnya sama seperti kita membeli barang curi.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, Dr. Wahbah az-Zuhaili, jil. 9, hlm. 559.

Wednesday, 20 August 2008

BAYARAN UNTUK MEMANCING

Soalan; Ustaz sudah dijelaskan bahawa sebarang pertandingan yang menggunakan wang penyertaan untuk hadiah adalah berjudi dan haram, antaranya adalah pertandingan memancing. Ditempat saya terdapat sebuah kolam ikan yang menjalankan perniagaan dimana setiap pemancing dikenakan bayaran sebanyak RM20.00 dan ianya seperti kebanyakan kolam lain. Tetapi pemilik kolam ini akan memberi hadiah kepada pemancing yang memancing ikan terberat dan teringan iaitu beberapa peratus dari kutipan yang diperolehi pada hari tersebut. Keadaan ini adalah bagi setiap hari dan tidak dihadkan pada hari tertentu. Peratus hadiah juga tetap dan tidak berubah mengikut hari atau keramaian. Waktu memancing hanya di sebelah malam iaitu pada pukul 8.00pm - 12.00pm dan ini dapat memastikan semua yang memancing berhak ke atas hadiah tersebut. Ikan yang dapat dipanjing adalah milik pemancing. Operasi pemberian hadiah ini tidaklah saya ketahui samada sejak kolam ini dibuka atau selepas menghadapi masalah kehadiran pemancing kerana sejak saya tahu ujudnya kolam ini operasinya sedemikian rupa. Soalannya :
1. Adakah hasil hadiah ini termasuk dalam kategori judi?
2. Adakah dengan niat saya masuk untuk dapatkan hadiah tersebut dengan memilih hari orang ramai memancing sebagai judi? Jazakallah dan maaf atas panjangnye cerita sebab tak tau nak ringkaskan.

Jawapan;

Bayaran RM20 itu yang menjadi persoalan;

1. Jika tujuannya sebagai bayaran sewa tempat dan perkhidmatan, insya Allah ia adalah harus. Harus seseorang menyewakan rumah, tanah dan benda-benda lain miliknya untuk orang lain bagi tujuan yang diharuskan Syarak seperti untuk kediaman, pejabat, kilang, tempat riadhah dan reakresi dan sebagainya.

2. Jika RM20 itu adalah sebagai bayaran kepada ikan yang mungkin diperolehi pengail dari kolamnya, maka muamalat tersebut terbabit dengan gharar yang diharamkan Syarak. Menurut hadis dari Abu Hurairah r.a.; “Rasulullah s.a.w. menegah daripada jualan secara gharar” (HR Imam Ahmad dan Muslim). Gharar ialah menjalankan urus-niaga dalam kesamaran iaitu tanpa kepastian barang/produk yang terlibat dan harganya sama ada oleh penjual atau pembeli. Dalam kes di atas, orang yang membayar RM 20 itu belum pasti jumlah ikan yang bakal diperolehinya; banyak atau sikit atau mungkin juga tidak dapat langsung. Menurut Imam Ibnu Qaiyim; “Gharar ialah suatu yang tidak dapat dipastikan sama ada ia wujud atau tidak. Maka ditegah jualan gharar (yakni jualan suatu yang tidak pasti) kerana ia tergolong dalam jenis qimar (pertaruhan) yang merupakan perjudian...di mana terjadinya qimar (pertaruhan) itu kerana satu pihak sudah pasti akan memperolehi harta tukarannya, sementara satu pihak lagi belum pasti sama ada akan memperolehi harta tukarannya atau tidak. (Lihat; Mu’jam Al-Mustalahat Al-Iqtisadiyyah Fi Lughatil Fuqahak, Dr. Nazih Hamad)

3. Jika RM 20 itu tujuannya ialah untuk hadiah, yakni diambil darinya (keseluruhan atau sebahagiannya) untuk pemberian hadiah kepada pemenang, maka ia adalah pertaruhan atau perjudian yang dilarang Syarak sebagaimana dijelaskan sebelum ini (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/07/hadiah-pertandingan.html).

Wallahu a’lam.

SYARAT PENERIMAAN DALAM HIBAH

Soalan; Saya telah difahamkan bahawa pemberian secara hibah hanya sah jika pemberi hibah memaklumkan berkenaan hibah tersebut kepada si penerima dan penerima tersebut telah menyatakan persetujuannya untuk menerima hibah tersebut. Ertinya, hibah tidak boleh dirahsiakan daripada si penerimanya. Benarkah begitu ustaz?

Jawapan;

Hibah dari segi Syara’ bermaksud; memberi milik sesuatu kepada orang lain tanpa melibatkan tukaran dan pemberian milik itu dilakukan semasa hidup. Jika ia dilakukan selepas mati, maka ia dinamakan wasiat, bukan hibah.

Menurut jumhur ulamak, proses hibah tidak sempurna melainkan dengan memenuhi tiga perkara;
1. Ijab (penawaran/pelawaan dari pemberi hibah)
2. Qabul (persetujuan dari penerima hibah)
3. Qabdh (القبض) (pegangan/pengambilan oleh penerima hibah)

Jadi, hibah menurut jumhur ulamak memerlukan akad iaitu ijab dan qabul, berbeza dengan sedekah (yang tidak memerlukan ijab dan qabul). Hibah tidak sah kecuali dengan pelawaan dari orang yang memberi dan dengan penerimaan/persetujuan dari orang yang diberi kepadanya hibah (yakni ia menyatakan kesudian menerimanya). Dan hibah itu hanya menjadi milik apabila ia telah diambil/dipegang (القبض) oleh si penerimanya dengan izin dari pemberi.[1] Jadi, hibah bukan menjadi milik dengan semata-mata akad, tetapi dengan pengambilan (القبض).[2] Sebelum berlakunya pengambilan, si pemberi hibah berpeluang lagi menarik kembali hibahnya. Namun jika barang hibah telah diambil/dipegang oleh si penerimanya, maka tidak harus lagi dibatalkan oleh pemberi kecuali jika hibah itu kepada anak.[3]

Dalil pandangan jumhur itu ialah hadis dari Ummi Kalthum binti Abi Salamah r.a. menceritakan; tatkala Rasulullah mengahwini Ummu Salamah, baginda berkata kepadanya; “Aku sesungguhnya telah menghadiahkan Najasyi pakaian dan beberapa uqiyah kasturi. Aku tidak mendapati Najasyi melainkan telah mati dan aku tidak mendapati hadiahku melainkan akan dipulangkan kepadaku. Jika ia benar dipulangkan maka ia akan ku berikan kepadamu”. Berkata Ummu Kalthum; “Benar bagai dikata Rasulullah. Telah dikembalikan kepada baginda hadiahnya itu, lalu baginda memberikan kepada setiap isterinya satu uqiyah kasturi dan diberinya kepada Ummu Salamah kasturi yang selebihnya berserta pakaian” (HR Imam Ahmad)

Hadis di atas menunjukkan bahawa suatu hibah atau hadiah tidak dimiliki dengan semata-mata pemberian (الإهداء), tetapi hendaklah disusuli dengan penerimaan (قبول) oleh orang yang diberi hadiah kepadanya. Jika penerimaan tidak disyaratkan sudah tentunya Rasulullah tidak akan mengambil kembali hadiah yang telah diberinya kepada Najasyi itu kerana ia menjadi milik Najasyi atau ahli-ahli warisnya.

Namun sebahagian ulamak dalam mazhab Hanafi menyanggahi pendapat jumhur di atas di mana menurut mereka; hibah hanya mempunyai satu syarat sahaja iaitu pelawaan/pemberian dari pemberi hibah. Tidak perlu penerimaan atau persetujuan dari penerima hibah dan begitu juga, tidak disyaratkan ia mengambil atau memegangnya untuk menjadikan hibah itu terlaksana dan di ambil kira.

Walahu a’lam.

Rujukan;

1. Mughni al-Muhtaj, 2/541-542,
2. Kifayatul-Akhyar, 308-309.
3. Fiqh al-Mu’amalat al-Maliyah al-Muqaran, Dr. Alauddin az-Za’tari, hlm. 409-415.
4. Al-Mughni, Ibnu Qudamah, 5/389.

Nota Kaki;

[1] Syarat pengambilan ialah mesti dengan izin pemberi hibah. Jika penerima hibah mengambilnya tanpa keizinan pemberi hibah, wajib ia memulangkannya. Sekiranya sebelum sempat memberi keizinan, pemberi hibah meninggal, maka hak keizinan itu kembali kepada waris. Warisnya boleh memilih sama ingin meneruskan hibah atau tidak dengan memberi keizinan kepada penerima hibah mengambilnya atau menyekatnya. Jadi akad hibah tidak terfasakh (terbatal) dengan kematian, akan tetapi terserah kepada waris untuk meneruskannya atau tidak. (Kifayatul-Akhyar, hlm. 309, al-Mughni, 5/389)
[2] Aqad hibah ialah aqad irfaq (yakni pemberian atas ihsan/simpati) yang menghendaki adanya penerimaan dari orang yang diberi (القبول), maka ia perlu pula kepada pengambilannya (القبض). Kedudukannya sama seperti aqad hutang (القرض). Malah jika seseorang menghantar suatu hadiah, kemudian ia menarik kembali hadiahnya (yakni membatalnya) sebelum hadiah itu sampai (kepada orang yang bakal menerimanya) atau ia mati sebelum hadiah itu sampai, maka hadiah itu tidak menjadi miliki orang yang akan diberi kepadanya hadiah itu. (Kifayatul-Akhyar, hlm. 309).
[3] Mughni al-Muhtaj, 2/541-542, Kifayatul-Akhyar, 308.

Tuesday, 19 August 2008

UMUR KAMBING AQIQAH

Soalan; Ustaz, kambing aqiqah kena umur berapa? Haruskah aqiqah dengan kambing betina?

Jawapan;

Syarat binatang untuk aqiqah sama seperti yang disyaratkan untuk korban dari segi jenis, umur, bebas dari kecacatan dan sebagainya.[1] Kambing ada dua jenis iaitu; [2]

(1) Biri-biri (الضأن): iaitu jenis kambing berbulu tebal (termasuklah kibas, kharuf dan sebagainya). Yang sah dibuat korban dan aqiqah darinya ialah al-Jaza’ah (الجذعة) iaitu biri-biri yang genap setahun umurnya (yakni masuk tahun kedua) atau telah gugur gigi hadapannya sekalipun belum genap setahun.

(2) Kambing biasa: iaitulah dari jenis kambing berbulu rambut. Yang sah dijadikan korban darinya ialah ath-Thaniyyah (الثنية) iaitu yang genap dua tahun umurnya (yakni masuk tahun ketiga) mengikut pendapat yang paling kuat. Ada juga pendapat menyatakan; yang dikatakan at-Thaniyyah bagi kambing biasa ini ialah yang genap setahun sebagai mana biri-biri di atas.

Jabir r.a. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda; “Jangan kamu menyembelih (untuk korban dan aqiqah) melainkan Musinnah kecuali jika susah bagi kamu memperolehinya, maka kamu sembelihlah Jazaah dari biri-biri” (Riwayat Imam Muslim). Menurut ulamak, Musinnah ialah unta, lembu dan kambing biasa (yang bukan biri-biri) yang telah mencapai umur Thaniyyah dan yang lebih tua darinya. Thaniyyah bagi unta ialah yang genap lima tahun, Thaniyyah bagi lembu ialah yang genap dua tahun. Thaniyah bagi kambing biasa ialah yang berumur genap dua tahun mengikut yang rajih (dan ada ulamak berpandangan; yang berumur genap setahun). Jaza’ah pula ialah binatang-binatang tadi yang umurnya kurang setahun dari umur Thaniyyah.[3] Jazaah bagi unta ialah yang berumur genap empat tahun, bagi lembu dan kambing yang berumur genap setahun dan bagi biri-biri juga yang genap setahun mengikut yang rajah (ada yang berpandangan; yang mencapai umur 6 bulan). Hadis tersebut menunjukkan dengan jelas bahawa tidak harus disembelih binatang korban dan aqiqah dari Jaza’ah kecuali biri-biri sahaja (yakni (الضأن)).[4]

Mengenai jantina, sah korban (begitu juga aqiqah) sama ada dengan binatang jantan atau binatang betina dengan sepakat para ulama’.[5] Berkorban dengan binatang jantan lebih afdhal dari binatang betina. Dan berkorban dengan binatang jantan yang belum pernah berkahwin (yakni berjima’) lebih baik dari yang pernah berkahwin. Begitu juga, berkorban dengan binatang betina yang belum pernah beranak lebih baik dari yang pernah beranak.[6]

Wallahu a’lam.

Nota kaki;

[1] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 321. Al-Fiqhul-Manhaji, jil. 3, hlm. 88-89.
[2] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 287.
[3] Syarah Soheh Muslim, juz. 13, kitab al-Udhiyyah.
[4] Syarah Soheh Muslim, juz. 13, kitab al-Udhhiyah dan al-Majmu’, jil. 8, hlm. 286.
[5] Begitu juga, sah dibuat korban binatang khunsa. (al-Iqna’, jil. 2, hlm. 818)
[6] al-Majmu’, jil. 8, hlm. 290.

ZAKAT KEPADA ADIK-BERADIK YANG BERHUTANG

Soalan; Ustaz, adakah layak diberi zakat kpd adik2 beradik sendiri yg terbelenggu dgn masalah hutang (hutang pinjaman).

Jawapan;

Harus memberi zakat kepada saudara-saudara sendiri (begitu juga kepada anak-anak saudara, bapa-bapa saudara dan sepupu-sepupu serta sanak sauadara yang lain) jika mereka tergolong dalam lapan asnaf yang layak menerima zakat iaitu;
1.Untuk golongan fakir
2.Untuk golongan miskin
3.Untuk golongan muallaf yang hendak dijinakkan hatinya dengan agama
4.Untuk ‘amil-amil yang dilantik menguruskan zakat
5.Untuk hamba-hamba yang ingin memerdekakan dirinya
6.Untuk orang-orang yang dibelenggu oleh hutang
7.Untuk dibelanjakan bagi kemaslahan agama Allah (Fi Sabilillah)
8.Untuk orang-orang musafir yang terputus bekalan

Malah memberi zakat kepada mereka lebih diutamakan dari memberinya kepada orang lain yang tiada hubungan kekeluargaan. Ini kerana Nabi s.a.w. bersabda; “Sedekah kepada orang miskin sahaja (yang tiada pertalian keluarga) akan mendapat satu pahala iaitu pahala sedekah. Adapun memberi sedekah kepada orang miskin yang mempunyai pertalian keluarga akan mendapat dua pahala iaitu; pahala sedekah dan pahala menghubungkan tali persaudaraan” (HR Imam Ahmad, at-Tirmizi dan an-Nasai dari Salman bin ‘Amir r.a.)

Namun untuk orang yang dibelenggu hutang (gharimin), keharusan ia menerima zakat tertakluk kepada syarat-syarat berikut;

1. Ia memerlukan bantuan orang lain untuk membayar hutangnya. Jika ia tidak memerlukan bantuan orang lain kerana ia kaya dan boleh membayar sendiri hutangnya, tidak harus diberi zakat kepadanya. Sekiranya ia mampu membayar separuh sahaja hutangnya dan separuh lagi tidak mampu ia membayarnya, maka diberikan kepadanya dari harta zakat untuk membayar separuh lagi hutangnya yang berbaki.

2. Hutangnya adalah untuk tujuan ketaatan atau untuk keperluan hidup (tanpa bermewah-mewah) seperti ia terpaksa berhutang untuk pakaian, makanan dan minuman, rumah/tempat tinggal, perkahwinan, pengubatan, saraan keluarga dan sebagainya. Jika ia berhutang untuk maksiat, tidak harus diberi zakat untuknya. Begitu juga, seorang yang berhutang untuk belanja mewah dan pembaziran, tidak harus diberi zakat untuk membayar hutangnya kerana pembaziran dan bermewah-mewah adalah diharamkan di dalam Islam (rujuk; al-A’raf, ayat 31)

3. Hutang itu adalah hutang yang perlu dibayar segera. Adapun hutang yang tidak dituntut bayaran segera, maka ulamak berikhtilaf;
a) Ada ulamak berpendapat; harus juga diberi zakat kepadanya kerana ia termasuk dalam pengertian umum gharimin.
b) Ada ulamak berpandangan; tidak harus diberi zakat kepadanya kerana ia bukanlah orang yang memerlukan pada masa sekarang.
c) Pendapat lain; jika hutang dituntut pada tahun semasa haruslah diberi zakat kepadanya. Jika tidak, tidak haruslah diberi zakat kepadanya untuk tahun itu.

Syeikh Abdurraziq Nasir Muhammad dalam bukunya “Fiqh az-Zakah” mencadang agar ketiga-tiga pandangan tersebut diguna-pakai melihat kepada kedudukan hasil zakat; Jika hasil zakat adalah sedikit dan orang-orang yang layak menerimanya adalah ramai, maka kita memakai pendapat yang kedua iaitu tidak diberikan zakat kepada orang berhutang yang hutangnya tidak dituntut segera supaya harta zakat dapat diutamakan kepada asnaf-asnaf yang lain yang memerlukan segera. Jika hasil zakat adalah banyak dan orang-orang yang layak menerimanya sedikit, maka kita memakai pandangan pertama iaitu memberi peluang kepadanya untuk menerima zakat. Jika hasil zakat adalah sederhana, maka kita memakai pandangan ketiga iaitu memberi zakat untuk orang berhutang bagi membayar hutangnya bagi tahun semasa sahaja. (Lihat; halaman 125. Terjemahan secara mafhum).

4. Hutang itu adalah hutang kepada manusia. Adapun hutang kepada Allah seperti kaffarah, zakat, fidyah dan sebagainya, tidak harus diberi zakat kepadanya untuk membayar hutang tersebut. Syarat ini hanya diletakkan oleh ulamak-ulamak mazhab Malik sahaja. Adapun ulamak-ulamak lain, mereka tidaklah mensyaratkannya.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 6/219.
2. Fiqh al-‘Ibadah, Syeikh Hasan Ayyub, hlm. 393.
3. Fiqh az-Zakah Fi al-Mal Wa al-Badan, Syeikh Abdurraziq Nasir Muhammad, hlm. 123-125.

Sunday, 17 August 2008

PERNIAGAAN DALAM INTERNET

Soalan; ustaz, soalan saya adalah: apakah hukumnya menjalankan perniagaan internet dan menerima upah dari perniagaan itu seperti menjual e-book yang sedang hangat diperkatakan sekarang?

Jawapan;

Jika perniagaan yang dijalankan memenuhi syarat-syarat jual-beli yang ditetapkan Syarak (al-Quran dan as-Sunnah) dan bebas dari unsur-unsur yang diharamkan oleh Syarak (seperti gharar, riba, penipuan, menjual barangan/produk haram dan sebagainya), Insya Allah haruslah perniagaan internet itu. Untuk mendapat gambaran ringkas tentang ciri-ciri perniagaan yang sah menurut Syari’at Islam, sila baca dalam kupasan saya tentang MLM; (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/06/mlm-yang-halal-dan-yang-haram.html).

Komisyen dari hasil jualan atau dengan menjadi orang tengah -antara penjual dan pembeli- adalah harus dan halal jika produk yang dijual adalah halal dan bermanfaat dan urus-niaga yang dijalankan juga halal. Khusus bagi yang terlibat menjadi orang tengah, ada tiga syarat yang perlu diberi perhatian;

1. Hendaklah ia memberi syor (kepada penjual atau pembeli) berdasarkan pengalaman, pengetahuan atau kajiannya, bukan hanya memandai-mandai atau mereka-reka (yakni berlagak pandai) hingga merugikan penjual/pembeli yang berurusan dengannya.

2. Hendaklah ia jujur dan amanah; tidak menipu penjual atau pembeli yang menaruh kepercayaan kepadanya. Ia hendaklah memberi maklumat tentang barangan/produk yang dijual dengan benar, tanpa menipu dan tanpa melebih-lebih.

3. Ia tidak menjadi orang tengah dalam perkara/benda yang tidak halal dijual, dimiliki dan dimanfaatkan mengikut hukum Syarak.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Baina as-Sail Wa al-Faqih, Dr. Muhammad Bakr Ismail, hlm. 22.

HARTA AMANAH DAN WASIAT

Soalan; Ustaz, saya ingin mendapatkan pandangan ustaz berkenaan hukum harta amanah dalam keadaan yang akan saya terangkan di bawah ini :-

Seorang hamba Allah yang dinamakan sebagai "G" tidak mahu harta pesakanya dibahagikan kepada salah seorang warisnya (saya namakan sebagai D) yang berhak atas sebab-sebab peribadi. Jadi, semasa hidupnya, G telah memindahmilik harta tersebut kepada "H" untuk dipegang oleh "H" sebagai amanah bagi waris-waris G yang lain, iaitu A, B dan C. Pindahmilik tersebut telah didaftarkan di pejabat tanah dan dalam geran jelas menunjukkan H sebagai penerima pindahmilik dan Pemegang Amanah kepada A,B dan C.

Soalan saya, sekiranya G meninggal dunia, adakah harta tersebut dikira termasuk dalam harta pesaka G yang wajib dibahagikan mengikut hukum faraid?

Wassalam.

Jawapan;

Jika pindahmilik itu dibuat atas dasar hibah (hadiah), maka ia tidak lagi menjadi harta warisan kerana tanah itu telah menjadi milik orang lain melalui hibah itu. Adalah menjadi hak seseorang semasa hayatnya untuk menghibahkan benda/barang/tanah miliknya kepada sesiapa yang dikehendakinya dengan kerelaannya -tanpa dipaksa-. Cuma jika ia mempunyai tujuan tidak baik di sebalik hibah itu -antaranya untuk menafikan hak sebahagian ahli warisnya dengan sengaja apabila ia mati kelak tanpa sebab yang mengharuskan- atau berlaku pilih kasih antara anak-anak dalam hibah itu, maka ia berdosa kerana niat itu. Adapun hibahnya itu adalah sah menurut jumhur ulamak -termasuk mazhab Syafie-. Untuk tambahan, sila baca;
(http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/03/pilih-kasih-antara-anak-anak-dalam.html)
(http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/03/wasiat-kepada-waris.html).

Wallahu a'lam.

UKIRAN INAI DI TANGAN

Soalan; ustaz, saya ada kemusykilan berkaitan dengan hukum meletakkan inai berukir di tangan. Adakah ianya dilaknat Allah? Mohon penjelasan dari ustaz. Terima kasih ya ustaz.

Jawapan;

Digalakkan bagi wanita yang telah berkahwin berhias untuk suaminya. Antara cara berhias itu ialah dengan mewarnai tangan dan kakinya dengan inai atau bahan lainnya.[1] Menurut ulamak; mewarnai tangan dan kaki dengan inai adalah disunatkan bagi wanita-wanita yang telah berkahwin dengan syarat mendapat keizinan suaminya. Jika tanpa keizinan beliau (yakni beliau tidak menyukainya) tidaklah harus. Bagi wanita yang belum berkahwin; hukumnya adalah makruh mengikut kebanyakan ulamak kerana tidak ada keperluan dan juga bimbang timbulnya fitnah.[2] Namun ada juga ulamak yang berpendapat; diharuskan bagi wanita secara umumnya untuk berinai sama ada telah berkahwin atau belum berkahwin kecuali wanita yang kematian suami dan masih dalam eddah.[3] Adapun bagi kaum lelaki, diharamkan mewarnai tangan dan kakinya dengan inai atau bahan lainnya kerana perbuatan tersebut meniru/menyerupai wanita yang dilaknat di dalam hadis Nabi s.a.w.; “Allah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki” (HR Imam al-Bukhari dari Ibnu ‘Abbas r.a.). Namun dikecualikan jika tujuan memakai inai itu adalah untuk pengubatan.

Itu adalah hukum berinai secara umumnya. Adapun berinai dengan cara mengukirnya di tangan atau kaki (yakni bukan dengan mewarnai keseluruhan tangan atau jari-jarinya), maka perbuatan itu menurut ulamak adalah makruh. Berkata Syeikh Yusuf al-Ardibili dalam kitabnya “al-Anwar li A’mal al-Abrar”; “Jika seorang wanita hendak mewarnai dua tangannya, hendaklah ia mewarnai keseluruhan dua tangannya dengan pewarna. Tidak disunatkan baginya membuat lukisan/ukiran, begitu juga mewarnakan dengan hitam, mewarnakan sebahagian jari sahaja dan memerahkan pipi. Malah diharamkan setiap satu dari perbuatan-perbuatan tersebut ke atas wanita bujang (yakni tidak bersuami) dan juga wanita bersuami jika tidak diizinkan suaminya” (2/332).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Fiqh al-Albisah Wa az-Zinah, Abdul-Wahhab Abdussalam Tawilah, hlm. 294-295.

Nota kaki;

[1] Hendaklah dipastikan bahan itu bersih dan tidak menghalang air dari sampai ke kulit semasa mengambil wudhuk.
[2] Hukum makruh ini menjadi pegangan ulamak-ulamak mazhab Hanafi, Maliki dan Syafi’ie.
[3] Antara yang mengharuskannya ialah ulamak-ulamak mazhab Hanbali.

Saturday, 16 August 2008

HAJI DENGAN BERHUTANG

Soalan; Adakah di bolehkan membuat pinjaman wang daripada Bank untuk menunaikan Haji dan apakah pendapat ulama' (syafie, hanafi, hanbali dan maliki) berdasarkan masalah tersebut.

Jawapan;

Haji hanya diwajibkan apabila ada kemampuan. Firman Allah (bermaksud); “…Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu bagi orang yang mampu mengadakan perjalanan ke sana” (Ali Imran; 97). Antara kemampuan yang diambil kira oleh Syarak ialah dari sudut kewangan. Tidak wajib haji jika seseorang itu tidak memiliki belanja yang cukup merangkumi belanja perjalanan, sara hidup untuk dirinya dan juga keluarga yang ditinggalkannya. Oleh itu, tidak perlu seseorang berhutang atau membuat pinjaman untuk mengerjakan haji.[1] Malah terdapat hadis melarang seseorang berhutang untuk tujuan mengerjakan haji. Ibnu Abi Aufa r.a. menceritakan; Aku bertanya Rasulullah s.a.w. berkenaan seorang lelaki yang belum menunaikan haji; “Adakah harus ia berhutang bagi membolehkannya mengerjakan haji?”. Baginda menjawab; “Tidak” (HR Imam as-Syafi’ie dan al-Baihaqi)[2].

Walaupun tidak digalakkan berhutang untuk mengerjakan haji, namun haji yang dikerjakan dengan duit hutang itu adalah sah jika memenuhi segala rukun dan syarat yang ditetapkan dalam ibadah haji dan gugur kewajipan haji sepanjang hidup.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Fatawa; Min Ahsan al-Kalam, Syeikh ‘Atiyah Saqar, jil. 2, hlm. 126.
2. Fatawa Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 227.

Nota kaki;

[1] Apatahlagi jika hutang secara riba yang membawa kepada dosa besar. Seorang yang meminjam secara faedah dan mengerjakan haji dengan wang pinjaman itu, hukumnya berdosa kerana ia telah melakukan sesuatu yang haram. Haji dan umrah yang dilakukannya tidak berpahala. Tetapi jika haji itu haji fardhu, gugur kewajipan untuk untuk melaksanakan fardhu haji sepanjang hayatnya. Wajib ke atasnya bertaubat dan beristighfar kerana melakukan dosa dalam bentuk membuat pinjaman secara faedah itu. (Himpunan Fatwa Semasa, Syeikh Kamil ‘Uwaidah, terjemahan oleh; Dr. Basri Ibrahim, hlm. 264).
[2] Hadis ini menurut Dr. Rif’at Fauzi dalam terhadap tahqiqnya terhadap Musnad Imam as-Syafi’ie; jalan periwayatannya adalah sahih. (Lihat; Musnad Imam as-Syafi’ie, tahqiq Dr. Rif’at Fauzi, jil. 1, hlm. 667).

Thursday, 14 August 2008

PERSIAPAN MENJELANG RAMADHAN

Soalan; Ustaz, Apakah persiapan yang perlu dilakukan untuk menyambut ketibaan Ramadhan Al-Mubarak dan apakah Kesilapan Amal yang sering dilakukan oleh umat Islam di bulan Ramadhan? JazakAllah.

Jawapan;

Bulan Ramadhan yang besar dan penuh keberkatan serta banyak kelebihannya haruslah disambut dengan penuh perasaan ta’zim (membesarkan) dan mengalu-alukannya. Antara persiapan yang dapat kita lakukan –malah perlu kita lakukan- sebelum menjelang Ramadhan ialah;

1. Banyak berpuasa di bulan Sya’ban; menjadi sunnah Nabi s.a.w. banyak berpuasa di bulan Sya’ban. Untuk penjelasan lanjut tentang puasa di bulan Sya’ban, sila baca di blog Laman Fiqh Anda (http://fiqh-am.blogspot.com/2008/07/puasa-sunat-bulan-syaban.html) atau blog Artikel al-Qalam (http://koleksi-alqalam.blogspot.com/2008/08/persiapan-menjelang-ramadhan-siri-2.html).

2. Mengulangkaji ilmu tentang puasa; amalan yang paling utama di bulan Ramadhan ialah puasa. Puasa difardhukan pada siang hari sepanjang bulan Ramadhan. Untuk mencapai puasa yang sempurna kita hendaklah memiliki ilmu tentang bagaimana melaksanakan puasa yang sebenarnya sebagaimana yang dituntut oleh Syara’. Oleh itu, ada baiknya sebelum menjelang Ramadhan kita mengulangkaji ilmu-ilmu tentang puasa merangkumi;
1. Rukun-rukun puasa serta sunat-sunatnya
2. Perkara-perkara yang membatalkan puasa
3. Perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa
4. Dan segala yang berkaitan dengan ibadah puasa

Untuk membaca tentang hukum-hakam puasa, sila baca di; Laman Fiqh Anda (http://fiqh-am.blogspot.com/2008/07/puasa-mukadimah.html).

3. Membaca kembali hadis-hadis Nabi s.a.w. tentang fadhilat (kelebihan) puasa dan bulan Ramadhan; Ada di kalangan kita tidak merasa apa-apa dengan kedatangan Ramadhan. Bagi mereka, Ramadhan sama seperti bulan-bulan yang lain; tiba masanya ia datang dan tiba masanya ia berlalu pergi. Punca sikap ini adalah kerana mereka tidak mengetahui kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan atau kerana mereka melupainya. Kerana itu amat perlulah hadis-hadis Nabi s.a.w. tentang fadhilat dan kelebihan Ramadhan dibaca dan diulangkaji kembali sebagai persiapan sebelum memasuki bulan Ramadhan. Untuk menetahui sebahagian fadhilat puasa dan bulan Ramadhan, sila baca di blog Artikel al-Qalam; (http://koleksi-alqalam.blogspot.com/2008/08/persiapan-menjelang-ramadhan-siri-4.html).

4. Mengetahui amalan-amalan utama dan besar pahalanya di bulan Ramadhan; supaya kita dapat memasuki bulan Ramadhan dengan penuh bersedia untuk memperbanyakkan amalan di bulan keberkatan yang banyak kelebihannya itu, kita hendaklah mengetahui apakah amal-amal ibadah atau amal-amal kebaikan yang digalakkan oleh Allah dalam bulan Ramadhan di mana pahalanya amatlah besar dan berlipat-ganda. Sila baca amalan-amalan utama ini dalam blog Artikel al-Qalam; (http://koleksi-alqalam.blogspot.com/2008/08/persiapan-menjelang-ramadhan-siri-5.html).

Wallahu a’lam.

Wednesday, 13 August 2008

ANAK SUSUAN; PERWARISAN DAN HUBUNGANNYA DENGAN KELUARGA SUAMI

Soalan; saya ada satu persoalan yg ingin saya ajukan pada Ustaz; saya pernah menyusukan anak saudara saya (bayi lelaki) yg pd ketika itu berumur 11 bulan sebanyak 6 kali kenyang (iaitu sehingga bayi itu sendiri berhenti menyusu). Adakah bayi tersebut menjadi anak susuan saya? Dan adakah dia berhak mewarisi harta atau sebagainya sama seperti anak2 saya? Dan bagaimanakah pula hubungan bayi tersebut dgn keluarga suami saya?

Jawapan;

Apabila seorang wanita menyusui seorang bayi dengan lima kali susuan yang mengenyangkan dan bayi itu belum berumur dua tahun, maka bayi itu menjadi anak susuannya. Anak susuan menjadi mahram ibu susuannya, namun tidaklah ia mewarisi harta darinya kerana hak perwarisan dalam Islam hanya sabit dengan tiga faktor sahaja iaitu;
1. Kerana nasab; iaitu hubungan keturunan dan kekeluargaan.
2. Kerana perkahwinan; iaitu hubungan antara suami dan isteri.
3. Kerana wala'; iaitu hubungan antara hamba dan bekas tuannya.

Dalam kes puan, anak susuan puan itu tidak lah akan mewarisi dari puan atas dasar anak susuan (kerana ia tidak termasuk dalam faktor perwarisan di atas), akan tetapi atas dasar nasab (kekeluargaan) kerana ia adalah anak saudara puan. Dalam perwarisan Islam, anak saudara akan mewarisi sekiranya si mati tidak mempunyai bapa (atau datuk), anak lelaki (atau cucu lelaki) dan saudara-saudara lelaki.

Adapun hubungannya dengan suami puan, Syarak telah menetapkan kaedah berdasarkan hadis Nabi s.a.w.; "Diharamkan kerana pengusuan sama seperti orang-orang yang diharamkan kerana Nasab" (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Ibnu 'Abbas r.a.). Kerana itu, suami puan adalah bapanya (yakni bapa kerana penyusuan). Ibu suami puan adalah neneknya. Kakak suami puan adalah ibu saudaranya. Dan anak perempuan suami puan adalah saudara perempuannya. Ke semua mereka menjadi mahramnya (yakni mahram kerana penyusuan). Harus ia berduaan dengan mereka jika aman fitnah dan haram ke atasnya mengahwini mereka. Aurat mereka di hadapannya sama seperti aurat mereka di hadapan mahram-mahram yang lain.

Wallahu a'lam.

Tuesday, 12 August 2008

ZAKAT FITRAH UNTUK GURU QURAN SUKARELA

Soalan; mak saya merupakan seorang guru quran sukarela yang mengajar anak kampung dan telah mengajar lebih kurang 40 tahun. Setiap tahun beliau menerima zakat fitrah atas asnaf fisabiliillah. Baru-baru ini saya terbaca ada fatwa dari majlis fatwa kebangsaan bahawa sesiapa yang membayar fitrah selain dari amil kerajaan yang dilantik dia berdosa tetapi sah zakatnya. Masalahnya ustaz adakah patut mak saya menerima zakat fitrah pada tahun ini sedangkan mungkin ramai yang tidak tahu ada fatwa ini. Adakah mak saya berdosa dalam hal ini ( sumber fatwa dari majalah al-Islam). Wassalam( jazakallah khairul jazak).

Jawapan;

Sila baca jawapan saya sebelum ini tentang "Mengagih sendiri zakat" (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/02/mengagih-sendiri-zakat.html). Begitu juga, baca penjelasan saya tentang makna "Fisabilillah"; (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/06/makna-sabilillah.html). Jika benar seperti yang saudara katakan itu bahawa ibu saudara mengajar al-Quran secara sukarela (tanpa sebarang gaji atau peruntukan dari Baitul-Mal), ia layak menerima zakat atas sifatnya sebagai orang-orang yang berada di jalan Allah kerana sumbangannya untuk Islam dan umat Islam. Menurut mazhab Syafi’ie, zakat fitrah sama seperti zakat harta; hendaklah diagihkan mengikut lapan asnaf yang layak menerima zakat (salah satu darinya ialah asnaf Fisabilillah).[1] Tentang kedudukan orang-orang yang memberi zakat kepada ibu saudara (yakni mereka mengagih sendiri zakat mereka tanpa melalui amil yang dilantik), saudara boleh membaca pandangan ulamak tentangnya dalam jawapan saya itu. Saya tidak berniat menyanggah fatwa majlis fatwa kebangsaan itu. Namun selama ada kepelbagaian pandangan ulamak/fuqahak dalam sesuatu masalah, kita berhak untuk membaca kesemuanya dan beramal dengan yang mana paling kita yakini.

Wallahu a'lam.

Nota kaki;

[1] Ada ulamak mengkhususkan zakat fitrah untuk golongan fakir miskin sahaja.

ADAKAH SYURGA KEMBALI KE BAWAH TAPAK KAKI IBU SETELAH KEMATIAN SUAMI?

Soalan;  ustaz, se pertimana yang saya tahu, syurga seorang isteri di bawah telapak kaki suaminya. Tapi ustaz, macam mana pula jikalau suami...