Isnin, 25 Ogos 2008

TIDAK MEMBACA AL-FATIHAH DENGAN BETUL

Soalan;

Solat seseorang tidak sah jikalau tidak membaca Surah al-Fatihah.Bagaimana pula kalau seseorang itu tidak membaca Surah al-Fatihah dengan betul...? Adakah solatnya tidak sah...?

Jawapan;

Bacaan al-Fatihah adalah wajib dan rukun di dalam solat (sembahyang). Ia hendaklah dibaca dengan memenuhi syarat-syaratnya, iaitu;

1. Hendaklah dibaca pada tempatnya iaitu ketika berdiri bagi solat fardhu (bagi orang yang mampu berdiri) atau kedudukan ganti bagi berdiri (yakni duduk, mengiring dan sebagainya bagi orang yang tidak mampu berdiri atau orang yang mengerjakan solat sunat).

2. Tidak harus menggantikannya dengan surah atau ayat-ayat yang lain. Begitu juga, tidak harus menterjemahnya, yakni wajib dibaca dengan bahasa Arab. Tidak sah solat jika Fatihah dibaca dengan bahasa lain, sama ada seseorang itu memahami bahasa Arab atau tidak.

3. Hendaklah membacanya dengan memperdengarkan kepada diri sendiri. Tidak memadai membaca di dalam hati. Adapun bagi orang bisu, memadai dengan menggerakkan lidah dan dua bibirnya sekadar yang mampu.

4. Hendaklah membaca dengan keseluruhan huruf-huruf serta tasydid-tasydidnya. Jika tertinggal satu huruf atau mengabaikan tasydid (pada tempat yang ada tasydid) atau menukar satu huruf dengan huruf lain,[1] tidak sah bacaan dan rentetan dari itu tidak sahlah pula solat. Jika tersalah dalam sebutan hingga mengubah makna seperti fathah di atas huruf ta’ pada kalimah (أنعمت) dibaca dengan dhammah, tidak sah Fatihah dan solat menjadi batal jika kesalahan itu disengajakan.[2] Adapun jika tidak disengajakan, tidaklah membatalkan solat, tetapi wajib diulangi semula bacaan dengan betul.

5. Hendaklah dibaca mengikut susunan dan berturut-turut iaitu tanpa diselangi antara ayat-ayatnya dengan berhenti yang lama atau dengan bacaan yang lain.[3]

Syarat-syarat di atas wajib dipelihara ketika membaca al-Fatihah di dalam solat. Kegagalan menjaga syarat-syarat tersebut akan menyebabkan bacaan Fatihah tidak sah. Apabila bacaan Fatihah tidak sah, akan rosaklah solat kerana Nabi s.a.w. bersabda; “Tidak ada solat bagi seorang yang tidak membaca ummul-Quran (yakni surah al-Fatihah)” (Riwayat Imam Muslim dari ‘Ubadah bin as-Shamit r.a.). Maksud tidak ada solat ialah; solat tidak sah.
Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Kifayatul-Akhyar, Imam Taqiyyuddin Abi Bakr al-Husaini, hlm. 104-106.
2. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, juz. 4, hlm. 108 dan 111.
3. al-Fiqh al-Wadhih, Dr. Muhammad Bakr Ismail, jil. 1, hlm. 178.

Nota Kaki;

[1] Jika ia menukar dhad (ض) pada (الضالين) dengan dza’ (ظ) batal solatnya mengikut pandangan yang paling rajih kecuali jika ia tidak berupaya menyebut huruf dhad (ض) sekalipun selepas berusaha belajar, maka ketika itu ia dimaafkan. (Lihat; al-Azkar, Imam an-Nawawi, bab al-Qiraah Ba’da at-Ta’awwuz).

[2] Adapun jika tidak sampai mengubah makna seperti kasrah di bawah huruf ba’ pada kalimah (المغضوب) dibaca dengan fathah, tidaklah membatalkan solat, tetapi makruh hukumnya. (Lihat; Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, juz. 4, kitab as-Solah, bab Wujub Qiraatil-Fatihah…).

[3] Kecuali bacaan-bacaan yang disunatkan kepada makmum di dalam solatnya seperti mengaminkan bacaan Fatihah imamnya, membetulkan bacaan imam atau mengingatkan imam yang terlupa dalam bacaannya, memohon rahmat ketika mendengar imam membaca ayat rahmat atau meminta lindung dari azab ketika mendengar imam membaca ayat azab; maka jika bacaan Fatihah diselangi dengan bacaan-bacaan tersebut, tidaklah batal bacaan Fatihah. Adapun jika diselangi dengan perkara-perkara yang tidak disunatkan di dalam solat –sekalipun disunatkan diluar solat- seperti zikir, ayat yang lain (dari Fatihah), menjawab azan, menegur bacaan orang lain dari imam dan mentahmid orang bersin, maka batallah bacaan Fatihah. (Rujuk; Kifayatul-Akhyar, hlm. 106).

Tiada ulasan:

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...