Ahad, 24 Ogos 2008

ZAKAT FITRAH DENGAN WANG DAN NILAI SEMASANYA

Soalan; Zakat fitrah wajib dikeluarkan dengan beras dimalaysia, tapi ada sebahagian yang mengeluarkan dgn menggunakan wang, apakah sah dalam islam? Sedangkan hadist nabi tak ada yang memenyuruh atau memerintahkan pakai wang. Dan berapakah berat beras yang mesti dikeluarkan? Yang saya lihat ada mengeluarkan dengan 2,7 kg dan ada pula dengan 2,5 kg, manakah yang betul? Saya sangat kompius dalam hal ini.

Jawapan;

Mengeluarkan zakat fitrah dengan nilai (yakni dengan wang) terdapat khilaf di kalangan ulamak tentang keharusannya;

1. Menurut jumhur ulamak (Imam Syafi’ie, Malik dan Ahmad); Zakat fitrah wajib dikeluarkan dalam bentuk makanan (yakni makanan asasi penduduk setempat). Tidak harus dikeluarkan dengan wang sekalipun menyamai harga/nilai makanan yang wajib dikeluarkan zakat. Alasan mereka ialah; mengeluarkan zakat fitrah dengan selain dari makanan asasi setempat adalah bercanggah dengan Sunnah Nabi s.a.w..

2. Menurut Imam Abu Hanifah; harus mengeluar zakat fitrah dengan wang yang seharga/senilai dengan makanan yang wajib dikeluarkan zakat. Menurut mereka; zakat fitrah adalah hak fakir-miskin. Untuk memenuhi hajat mereka boleh dengan makanan dan boleh juga dengan wang. Tidak ada beza antara kedua-duanya. Barangkali mengeluarkan dengan wang adalah lebih baik kerana dengan wang memudahkan orang fakir membeli apa sahaja barang keperluan yang mereka kehendaki (makanan, pakaian, daging, lauk-pauk dan sebagainya). Pandangan sebagaimana Abu Hanifah ini diriwayatkan juga dari Umar Abdul Aziz, al-Hasan dan as-Sauri.

3. Menurut Imam Ishaq dan Abu Tsur; mengeluarkan zakat fitrah dengan nilai (wang) hanya harus ketika darurat sahaja.

Ulamak-ulamak semasa hari ramai yang menyetujui pandangan Imam Abu Hanifah termasuk Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitab Fiqh Zakatnya. Menurut beliau; keharusan mengeluarkan zakat dengan wang lebih menepati kehendak semasa dan memberi kemudahan kepada fakir miskin.[1] Begitu juga dengan Dr. Mutafa al-Khin dan Dr. Mustafa al-Bugha yang menjelaskan dalam kitab mereka al-Fiqh al-Manhaji (sebuah kitab Fiqh mazhab Syafi’ie kontemporari); “Tidak mengapa pada zaman ini untuk kita mengikuti pandangan mazhab Hanafi dalam masalah ini iaitu keharusan membayar zakat fitrah dengan nilai wang kerana ia lebih mendatangkan manfaat kepada orang fakir dan lebih dekat kepada tujuan yang ingin dicapai…”.[2]

Menyentuh kadar zakat fitrah, mengikut hadis; kadar yang wajib dikeluarkan ialah satu Sha’ (الصاع) iaitu satu gantang. Abi Sa’id al-Khudri r.a. menceritakan; “Kami mengeluarkan zakat fitrah (pada zaman Rasulullah s.a.w.) dengan kadar satu Sha’ (gantang) dari gandum atau satu Sha’ dari barli atau satu Sha’ dari tamar atau satu Sha’ dari ‘aqt (keju) atau satu Sha’ dari kismis (anggur kering)” (Riwayat Imam Muslim).

Satu Sha’ mengikut nilaian lama menyamai 5 1/3 Ritl (الرطل) ‘Iraqi iaitu gantang Baghdad. Mengikut ukuran liter, menurut pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji, satu Sha’ menyamai 3 liter. Adapun mengikut gram, antara ulamak ada sedikit perbezaan;

1. Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menetapkan; satu Sha’ (gantang) menyamai berat hari ini 2400 gram atau 2.4 Kg.

2. Dr. Wahbah az-Zuhaili dalam kitabnya al-Fiqh Islami Wa Adillatuhu menyebutkan; menurut jumhur ulama’, satu Sha’ Iraqi menyamai ukuran semasa 2751gram atau 2.751Kg.

3. Menurut Syeikh Majid al-Hamawi (seorang ulamak dari Syria) dalam ulasannya terhadap kitab “Matn al-Ghayah wa at-Taqrieb” menegaskan; satu Sha’ menyamai ukuran semasa 2750gram atau 2.75Kg. Mengikut ukuran bekas, jika bekas adalah empat segi sama, maka panjang setiap sisinya ialah 14.6cm.

Ukuran di atas berdasarkan timbangan gandum iaitu makanan asasi penduduk Negara-negara Arab. Adapun mengikut timbangan beras, berdasarkan Majlis Fatwa Kebangsaan, satu gantang Baghdad mengikut timbangan beras semasa (beras super tempatan gred A) ialah 2600gram atau 2.6 KG. (Lihat; Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-57, bertarikh 10 Jun 2003. Rujukan; http://www.e-fatwa.gov.my/jakim/keputusan_view.asp?keyID=148)

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Majmu’, Imam an-Nawawi, jil. 6, hlm. 123.
2. al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, jil. 3, 48.
3. Fiqh az-Zakah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, jil. 2, hlm. 1004.
4. al-Fiqh al-Manhaji, jil. 1, hlm. 231.

Nota Kaki;

[1] Fiqh az-Zakah, 2/1004.
[2] Al-Fiqh al-Manhaji, Jil. 1, hlm. 231.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Terdapat perbezaan yang ketara dalam kadar zakat fitrah yang dikenakan bagi tahun 1429 Hijrah ini. Selangor dan Wilayah Persekutuan (K.L., Labuan dan Putra Jaya) mempunyai kadar terendah RM5.2 dan Perlis dan Terengganu mempunyai kadar tertinggi RM8.00. Mungkin ramai orang tidak begitu kisah dengan kadar zakat fitrah yang dikenakan oleh kerana kadarnya rendah, yang semestinya demikian kerana zakat fitrah merupakan cukai kepala yang dikenakan kepada setiap orang Muslim sekali setahun. Banyak hadith telah menjelaskan kadar zakat, walaupun terdapat sedikit perbezaan pendapat berhubung dengan masalah besarnya kadar yang harus dikenakan, negeri-negeri di Malaysia telah menetapkan kadar zakat fitrah pada satu gantang beras (yang merupakan makanan ruji orang Islam di negeri-negeri tersebut).
Pengiraan kadar zakat diasaskan kepada takaran bukan timbangan beras. Hadith menyebut segantang makanan (gandum, kurma dan sebagainya) yang menyamai empat cupak (secupak menyamai dengan ukuran kuantiti yang dapat diambil oleh dua tangan orang yang bersaiz sederhana). Timbangan dalam kilogram secupak gandum, kurma atau beras adalah tidak sama. Kita harus memutuskan berapakah berat dalam kilogram kuantiti secupak beras (setelah diputuskan masalah gred beras) kemudian didharab dengan empat untuk mendapatkan nilai wang segantang beras. Rasanya tidaklah begitu payah. MAIN Selangor, misalnya, bagi tahun 1429 hijrah menetapkan kadar zakat fitrah RM5.20 berdasarkan harga secupak beras RM1.30.
Jika kita menerima segantang beras bersamaan dengan berat 2.60 kilogram dan menggunakan harga kawalan gred beras ST15, SST10 dan SST5 sebagai asas pengiraan, kadar zakat fitrah masing-masing ialah RM4.29, RM7.02 dan RM7.28. Kadar zakat selain daripada ini menandakan bahawa pengiraan kadar zakat adalah dari gabungan harga gred-gred beras yang terdapat di pasaran, termasuk gred beras import. Pengiraan yang tepat ialah dengan mengambil kira corak pembelian beras oleh isirumah Muslim, yang menggambarkan peratusan pelbagai jenis beras dalam pembelian mereka, yang digunakan sebagai wajaran dalam pengiraan kadar zakat fitrah. Melainkan kita melakukan kajian corak pembelian beras di kalangan isirumah Muslim, maklumat sedemikian tidak akan boleh diperolehi. Jika kita mengambil kenyataan BERNAS bahawa gred ST15 adalah yang paling banyak dibeli, kadar zakat fitrah akan lebih condong kepada pengaruh harga beras gred ini.
Ada orang yang berpendapat bahawa adalah lebih baik membayar zakat dengan kadar yang lebih daripada yang sepatutnya bagi mencerminkan sifat berhati-hati dalam ibadah, justru menetapkan kadar zakat fitrah yang lebih tinggi adalah wajar. Saranan sedemikian wajar diamalkan oleh orang perseorangan tetapi bagi penguasa agama, Majlis Agama Islam Negeri, ia mesti menetapkan kadar yang tepat untuk orang ramai merasa lebih pasti untuk beribadat. Sekiranya ini dilakukan dalam menetapkan kadar zakar fitrah, rasanya perbezaan kadar zakat fitrah antara negeri-negeri tidak akan begitu ketara. Jika kadar yang ditetapkan adalah lebih tinggi daripada kadar yang sebenar, beberapa orang yang sepatutnya membayar zakat akan terkeluar sebagai pembayar zakat.

Tanpa Nama berkata...

minta izin untuk copy...jazakallahu khaira

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...