Monday, September 22, 2008

BAITIL-MAQDIS

Soalan; ustaz, saya ada kemusykilan iaitu seorang rakan non muslim saya bertanya mengapa Baitul Muqaddis (Jerusalem) di anggap bandar suci bagi umat Islam? Harap ustaz dapat memberi penjelasan lanjut agar saya dapat menjelaskan dengan kawan tersebut.
sekian, terima kasih.

Jawapan;

1. Ia adalah Kiblat pertama kaum muslimin. Sebelum di arah mengadap ke Kaabah, Rasulullah s.a.w. dan para sahabat menunaikan solat lima waktu di Madinah dengan mengadap ke arah Baitil-Maqdis. Menurut cerita al-Barra’ (salah seorang sahabat Nabi s.a.w.); “Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya menunaikan solat mengadap ke arah Baitil-Maqdis selama lebih kurang 16 atau 17 bulan” (Tafsir Ibnu Kathir, surah al-Baqarah, ayat 142)

2. Kemudian, setelah tidak lagi mengadap ke arah Baitil-Maqdis, Rasulullah s.a.w. tetap menganggapnya sebagai masjid utama, iaitu yang kedua utama selepas Masidil-Haram. Ini dapat diperhatikan pada kelebihan solat di situ di mana baginda bersabda;

صلاة في المسجد الحرام مائة ألف صلاة، وصلاة في مسجدي ألف صلاة، وفي بيت المقدس خمسمائة صلاة
“Menunaikan solat di Masjidil-Haram menyamai 100 ribu solat (di masjid yang lain). Solat di masjidku menyamai 1 ribu solat. Solat di Baitil-Maqdis menyamai 500 ribu solat” (HR al-Baihaqi dari Jabir r.a.. Menurut Imam Ibnu Hajar; sanad hadis ini hasan. Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 5109)

3. Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda;

لا تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلاَّ إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ: مسْجِدِ الحَرَامِ، وَمَسْجِدِي هَذَا، وَمسْجِدِ الأَقصَى
“Janganlah mengembara (semata-mata untuk menunaikan solat di suatu masjid) melainkan ke tiga masjid sahaja; Masjidil-Haram, Masjid ku ini (yakni masjid Nabawi di Madinah) dan Masjidil-Aqsa (Baitil-Maqdis)” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w. menggalakkan kita mengembara bukan sahaja ke Masjidil-Haram dan Masjidnya, tetapi juga ke Masjidil-Aqsa (Baitil-Maqdis). Namun pengembaraan ke Masjidil-Aqsa (Baitil-Maqdis) tidak dapat kaum muslimin lakukan hari ini kerana dikuasai Yahudi.

Menurut ulamak; kelebihan Masjidil-Haram adalah kerana di situ dilakukan ibadah haji dan di situ juga terletak qiblat. Kelebihan masjid Nabi ialah kerana ia di atas atas takwa dan kelebihan Masjidil-Aqsa (Baitil-Maqdis) kerana ia adalah qiblat umat-umat terdahulu. (Faidhul-Qadier, hadis no. 9802).

4. Ketika peristiwa Isra’ dan Mikraj, Nabi s.a.w. tidak terus naik ke langit dari Mekah, akan tetapi baginda di bawa terlebih dahulu ke Palestin dan memasuki Masjidil-Aqsa (Baitil-Maqdis). Perjalanan dari Mekah ke Masjidil-Aqsa (Baitil-Maqdis) ini bukan hanya diceritakan oleh sejarah, tetapi direkodkan oleh Allah di dalam al-Quran. Sila baca; surah al-Isra’, ayat 1. Ini menunjukkan bahawa Palestin (termasuk Baitil-Maqdis) adalah milik umat Islam. Bumi ini adalah warisan dari para Nabi yang diamanahkan kepada Nabi Muhammad dan umat baginda.

5. Dakwaan orang Yahudi bahawa mereka adalah penduduk asal Palestin adalah bohong dan palsu. Penduduk asal Palestin ialah bangsa pribumi Palstin sendiri yang berketurunan Kan’an yang mendiami di situ sejak 4500 tahun lalu. Bangsa Palestin ini terus tinggal di situ hinggalah apabila datangnya Islam, majoriti mereka telah memeluk Islam dan menjadi Bahasa Arab sebagai bahasa utama kerana pengaruh Islam.

6. Bangsa Yahudi hanya pernah memerintah bumi Palestin iaitu selama 4 kurun; dari tahun 1000 hinga 586 S.M.. Setelah itu, kerajaan mereka dihancurkan empayar Assyria, Fir’aun, Greek dan Roman. Mereka lari keluar dari Palestin. Adapun penduduk asal palestin terus tinggal di situ. Kemudian, bermula tahun 636M pemerintahan Palestin dipegang oleh umat Islam secara terus menerus (selama lebih kurang 1200 tahun, iaitu hingga 1917). Hakikatnya, dari segi sejarah hubungan Yahudi dan Palestin telah sekian lama terputus iaitu lebih 2000 tahun. Hinggalah pada pertengahan kurun ke 20 (tahun 1946), mereka merampas Palestin dari penduduk Palestin dengan bantuan kuasa-kuasa besar dunia ketika itu dan mengasaskan Negara Haram Israel.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Tafsir al-Quran al-Adziem, Imam Ibnu Kathir.
2. Faidhul-Qadier; syarah al-Jami’ as-Saghier, Imam al-Minawi.
3. Konflik Palestin & Israel, Maszlee Malik.
Post a Comment