Sunday, September 28, 2008

FADHILAT MENGHIDUPKAN MALAM HARI RAYA

Soalan; ustaz, benarkah hadis yang berbunyi lebih kurang "Barang siapa yang menghidupkan ( seperti bertasbih, bertahmid dan bertahajjud) pada dua malam hari raya (eid fitri dan eid adha) akan dihidupkan hatinya ketika mana hati-hati lain mati".

Jawapan;

Disunatkan menghidupkan malam dua hari raya (yakni hari raya fitrah dan hari raya korban) dengan ibadah sama ada mengerjakan solat-solat sunat, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya. Ini kerana terdapat hadis di mana Nabi s.a.w. bersabda;

مَنْ أَحْيَا لَيْلَةَ الْفِطْرِ وَلَيْلَةَ الأَضْحَى لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ يَوْمَ تَمُوْتُ الْقُلُوْبُ
“Sesiapa menghidupkan malam hari raya fitrah dan malam hari raya korban, nescaya tidak akan mati hatinya pada hari mati hati-hati”. (Riwayat Imam at-Thabrani dari ‘Ubadah r.a.)[1]

Terhasilnya menghidupkan malam itu ialah dengan bangun beribadah di kebanyakan malam tersebut sebagaimana bermalam di Mina. Namun menurut Ibnu ‘Abbas r.a.; sekurang-kurang yang dinamakan menghidupkan malam ialah mengerjakan solat Isyak berjamaah dan berazam untuk mengerjakan solat subuh berjamaah. Yang dimaksudkan mati hati ialah terbelenggu hati dengan dunia. Ada yang berpendapat maksudnya ialah menjadi kafir. Dan ada juga yang memberi erti; ketakutan hari kiamat.

Selain itu, digalakkan juga memperbanyakkan doa pada malam hari raya kerana doa pada malam tersebut adalah mustajab. Imam Syafi’ie berkata di dalam kitabnya al-Umm; “Telah sampai kepada kami bahawa dikatakan; ‘Sesungguhnya terdapat lima malam dimustajabkan doa iaitu; pada malam jumaat, malam hari raya korban, malam hari raya fitrah, malam pertama bulan Rejab dan malam nisfu Sya’ban’”.[2]

Wallahu a'lam.

Nota Kaki;
[1] Al-jami’ as-Saghier, hadis no. 8343 (dhaif). Hadis ini menurut Imam Nawawi dalam al-Majmu’; sanadnya adalah dhaif. Namun menurut ulamak, hadis dhaif harus diamalkan dalam fadhilat-fadhilat amalan. (Lihat; Mughni al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 426).
[2] Mughni al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 426, al-Majmu’, 5/47.
Post a Comment