Selasa, 2 September 2008

INHALER

Soalan; Apa hukum semburan Inhaler yang digunakan oleh orang yang penat. Adakah membatalkan puasa bila disembur siang hari Ramadhan?

Jawapan;

Di kalangan ulamak semasa hari ini berlaku perbezaan pendapat;

1. Sebahagian ulamak antaranya Syeikh ‘Atiyah Saqar (ulamak al-Azhar, Mesir), Majlis Fatwa Mesir (Syeikh Dr. ‘Ali Jumaah), Dr. Ahmad al-Kurdi (anggota lujnah fatwa Kuwait), Majlis Fatwa Kuwait dan beberapa ulamak lagi berpandangan; semburan itu membatalkan puasa kerana ia memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka yang bersaluran ke perut. Oleh demikian, orang yang menggunakan Inhaler batal puasanya, tetapi ia tidak berdosa kerana ada keuzuran (sakit) dan wajib ia mengganti puasanya pada hari lain selepas Ramadhan. Jika penyakitnya berpanjangan –tiada harapan sembuh di mana ia perlu berterusan menggunakan Inhaler itu-, tidak dituntut lagi ia berpuasa dan hendaklah ia mengantinya dengan membayar Fidyah kepada orang miskin.

2. Sebahagian ulamak yang lain pula berpandangan; penggunaan Inhaler itu tidak membatalkan puasa kerana semburan itu tidaklah sampai ke dalam perut, hanya sampai setakat dada sahaja. Orang yang menggunakannya tidaklah ia berniat makan dan minum, tetapi semata-mata untuk membuka rongga penafasanya. Oleh demikian, semburan Inhaler tersebut tidak termasuk dalam pengertian makan atau minum, maka tidak membatalkan puasa. Di antara ulamak yang berpandangan ini ialah Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Syeikh Bin Baz (bekas mufti Arab Saudi), Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Usaimin, Majlis Fatwa UAE (Emirate Arab Bersatu), Majlis Fatwa Arab Saudi dan beberapa lagi. Selain itu, Nadwah Ulamak Fiqh bagi hal-ehwal perubatan/rawatan dalam persidangannya kali ke 9 telah memfatwakan bahawa pengunaan Inhaler tidak membatalkan puasa.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Fatawa Min Ahsanil-Kalam, Syeikh Atiyah Saqar, 2/18.
2. Fatawa ‘Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 201.
3. al-Kalim at-Thaiyyib (Fatawa Dr. Muhammad Ali Jumah), 1/109.
4. Majlis fatwa UAE (http://www.awqaf.gov.ae/Fatwa.aspx?SectionID=9&RefID=1777).
5. Majlis Fatwa Kuwait (http://site.islam.gov.kw/eftaa/NewFatwas/Worship/Fasting/Pages/Fasting05.aspx).
6. Majlis Fatwa Saudi (http://www.alifta.net/Fatawa/FatawaChapters.aspx?View=Page&PageID=84&PageNo=1&BookID=16).
7. Fatwa OnIslam.net (http://www.onislam.net/arabic/ask-the-scholar/8240/49623-2004-08-01%2017-37-04.html).
8. Majlis Fatwa Mesir (http://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?sec=fatwa&ID=11144).

Tiada ulasan:

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...