Rabu, 10 September 2008

KAFFARAH

Soalan; Ustaz, saya ingin bertanya apa hukum berjimak di bulan ramadhan dan kalau dikenakan kifarat macam mana saya hendak membayarnya. Contohnya memberi makan kepada 60 fakir miskin, macam mana hendak bagi makan.atau boleh kah saya kirim kan pada orang untuk beri makan pada orang miskin.

Jawapan;

Berjimak di siang hari di bulan Ramadhan adalah berdosa besar kerana ia akan merosakkan puasa yang diwajibkan Allah. Pelakunya bukan sahaja wajib menggantikan puasanya, tetapi dikenakan pula kaffarah di samping wajib bertaubat. Abu Hurairah r.a. menceritakan; “Tatkala kami sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w., datang seorang lelaki lalu berkata kepada baginda; ‘Ya Rasulullah! Aku telah musnah’. Rasulullah bertanya kepadanya; ‘Apa yang telah berlaku padamu?’. Jawabnya; ‘Aku telah mensetubuhi isteriku semasa aku sedang berpuasa (Ramadhan)’. Lalu Rasulullah bertanya; ‘Adakah kamu memiliki seorang hamba untuk dibebaskan?’. Jawabnya; ‘Tidak ada’. Baginda bertanya lagi; ‘Mampukah kamu berpuasa dua bulan berturut-turut?’. Jawabnya; ‘Tidak’. Baginda bertanya lagi; ‘Adakah kamu boleh memberi makan 60 orang miskin?’. Jawabnya; ‘Tidak’. Lalu Rasulullah mengambil satu bekas berisi kurma dan memberi kepadanya sambil berkata; ‘Ambillah kurma ini dan sedekahkannya kepada fakir miskin’. Lelaki tersebut menjawab; ‘Apakah ada orang yang lebih fakir dariku, ya Rasulullah? Demi Allah, tidak ada di Madinah ini ahli rumah yang lebih fakir dari ahli rumahku’. Rasulullah tersenyum hingga nampak jelas giginya. Kemudian baginda berkata; ‘Berilah makan kurma itu kepada ahli rumahmu’. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Merujuk kepada hadis di atas, kaffarah yang dikenakan ke atas orang yang sengaja melakukan persetubuhan di siang hari pada bulan Ramadhan terdiri dari;
1. Membebaskan seorang hamba mukmin sama ada lelaki atau wanita.
2. Berpuasa dua bulan berturut-turut.
3. Memberi makan 60 orang miskin.

Menurut jumhur ulamak (merangkumi mazhab Hanafi Syafi’ie dan Hanbali); kaffarah di atas bukanlah pilihan, akan tetapi ia wajib mengikut urutan, yakni jika seseorang itu mampu melakukan yang pertama (membebaskan hamba) maka itulah yang wajib atasnya. Jika tidak mampu yang pertama, barulah pergi kepada yang kedua dan seterusnya ketiga. Oleh kerana di zaman hari ini hamba sudah tidak ada lagi, maka yang tinggal hanyalah dua; puasa dua bulan berturut-turut atau memberi makan 60 orang miskin (jika tidak mampu berpuasa). Adapun menurut mazhab Imam Malik; kaffarah tersebut adalah pilihan, yakni tidak wajib mengikut urutan. Yang wajib ialah melakukan salah satu dari tiga tersebut. Jumhur ulamak berdalilkan hadis di atas. Adapun Imam Malik berdalilkan hadis yang lain dari Abu Hurairah r.a. yang menceritakan; “Nabi s.a.w. telah memerintahkan seorang lelaki yang membatalkan puasanya di bulan Ramadhan agar membebaskan hamba atau berpuasa dua bulan berturut-turut atau memberi makan 60 orang miskin” (HR Imam Ahmad, Malik, Muslim dan Abu Daud). Dalam hadis ini, Abu Hurairah r.a. menggunakan kalimah “….atau...” dan kalimah ini memberi makna pilihan.

Menyentuh tentang memberi makan, ia sama seperti yang ditetapkan dalam fidyah, iaitu; menurut jumhur ulamak (iaitu mazhab Maliki, Syafi’ie dan Ahmad); bagi seorang miskin kadar yang wajib diberikan ialah satu cupak makanan asasi tempatan. Di negara kita, makanan asasi itu tentunya beras. Mengikut ukuran hari ini, kadar satu cupak beras lebih kurang 650 gram. Mengikut mazhab Imam Abu Hanifah; kadar yang wajib diberikan ialah satu gantang (iaitu 2.6 KG beras) setiap seorang. Selain itu, Imam Abu Hanifah juga mengharuskan kaffarah dikeluarkan dengan wang senilai dengan harga beras itu.

Adakah harus memberi makan 60 orang miskin itu diganti dengan memberi makan kepada seorang miskin sahaja selama 60 hari? Mazhab Imam Abu Hanifah mengharuskan. Namun jumhur ulamak tidak mengharuskannya, yakni menurut mereka; wajib merangkumi 60 orang miskin kerana itu yang termaktub di dalam hadis.

Sebagaimana harus kita mewakilkan kepada orang lain untuk mengagihkan zakat kita, maka sama juga dengan kaffarah; harus kita mewakilkan orang kepercayaan kita untuk menyampaikan kaffarah kita kepada orang miskin. Yang penting wang/harta untuk kaffarah itu datang dari kita.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Fiqh al-‘Ibadat, Syeikh Hasan Ayyub, hlm. 443-445.

Tiada ulasan:

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...