Tuesday, September 16, 2008

MASALAH PUASA

Soalan; ustaz, berikut adalah persoalan saya mengenai puasa Ramadhan:
1. Bolehkah seseorang itu menitikkan ubat ke atas bibir mulutnya yang sakit(ulcer mulut) ketika berpuasa?
2. Bolehkah seseorang itu menggosok gigi menggunakan ubat (contoh ubat gigi mukmin) pada waktu pagi sebelum pergi bekerja?
3. Apakah batal puasa dan solat seseorang yang menelan air liurnya ketika menunaikan solat dalam waktu berpuasa?
4. Seorang yang mengidap gastrik sering meludah kerana katanya air liurnya kerap keluar dan rasanya agak masam/pahit. Apakah ia boleh menelannya dan air liur yang bagaimana tidak dibenarkan ditelan ketika berpuasa?
JazakAllah.

Jawapan;

1. Menitik ubat ke bibir adalah harus dengan syarat menjaganya jangan sampai tertelan. Jika tertelan, batallah puasa.

2. Menggunakan ubat gigi semasa sedang berpuasa adalah harus. Pada zaman Nabi s.a.w., kayu siwak yang digunakan juga mempunyai rasa dan jirim dan tidak ada ulamak melarangnya ke atas orang yang berpuasa. Namun, sebagaimana syarat di atas; hendaklah dijaga jangan sampai tertelan. Jika tertelah, batal puasa.

3. Menelan air liur tidaklah membatalkan puasa, begitu juga tidak membatalkan solat, kecualilah jika air liur itu bercampur dengan makanan. Jika air liur bercampur makanan, wajib lah diluahkan. Jika ditelan, batallah puasa.

4. Jika dirasai air liur ada bercampur dengan sesuatu sama ada yang datang dari luar atau datang dari dalam (seperti air/muntah yang terbit dari perut, kahak/gelema, darah dari gusi atau sebagainya), wajiblah diluahkan. Jika tidak bercampur sesuatu (yakni semata-mata air liur) tidak mengapa ditelan.

Wallahu a’lam.

1 comment:

nad said...

ustaz, yg ustaz ckp tu "Jika dirasai air liur ada bercampur dengan sesuatu" tu,
klau kita tak pasti betul atau tak ada sesuatu tu tapi kita rasa mcm ada rasa sesuatu yg lain tu dlm mulut kita (hanya rasa seperti masam, bukan rasa ketulan makanan) slepas tu kita nak telan air liur kita tertelan skali sesuatu rasa dlm mulut kita tu, kira batal tak puasa kita?
klau batal perlu ganti puasa ke?

harap ustaz dpt memberi jawapan sbb saya rasa was2 hmpir spnjng hari hingga skrg.