Jumaat, 24 Oktober 2008

NIAT KORBAN

Soalan; Saya telah niat untuk memberi korban selagi saya mampu untuk keluarga saya(iaitu anak-anak saya suami dan juga diri saya sendiri). Soalan saya bagaimana cara untuk saya niat...dan ketika melakukan korban saya selalu diminta memberikan nama orang yang kita nak bagi korban itu. Nama siapakah yang harus saya bagi sebab mereka cuma minta nama seorang saja ketika hendak menyembelih.

Jawapan;

Dinisbahkan kepada sebuah rumah/keluarga, korban adalah sunat kifayah dengan pengertian kalau seorang daripada anggota rumah/keluarga telah menjalankan korban maka terhasillah sunat korban tadi bagi semua anggota keluarga. Berkata Imam ar-Rafi’ie; “Seekor kambing tidak boleh dijadikan korban melainkan untuk seorang sahaja. Namun jika seseorang melakukan korban dengannya bagi pihak ahli keluarganya, maka terhasillah syi’ar dan sunnah bagi sekelian mereka”.[1] Ini berdalil kepada hadis dari ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Nabi s.a.w. menyembelih korban dengan dua ekor biri-biri dan baginda berkata; ‘Ya Allah, terimalah korban ini dari Muhammad serta ahli keluarga Muhammad” (Riwayat Imam Muslim dari Aisyah r.a.).

Begitu hadis dari Abu Ayyub al-Ansari r.a. yang menceritakan; “Kami pada mulanya (di zaman Nabi s.a.w.) melakukan korban dengan seekor kambing yang disembelih oleh seorang lelaki bagi dirinya dan bagi ahli keluarganya. Kemudian setelah itu, orang ramai saling berbangga (dengan binatang korban mereka), maka jadilah ia suatu kebanggaan (di mana disembelih bagi setiap orang seekor kambing atau lebih)” (Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’).

Itu jika dalam sebuah rumah ada beberapa orang. Adapun jika penghuni rumah seorang sahaja maka sunat ain ke atasnya melakukan korban.[2] Adalah makruh bagi sebuah rumah/keluarga sengaja meninggalkan sunat ibadah korban sedangkan ada di kalangan mereka orang yang mampu melakukannya.[3]

Mengenai niat, dalam setiap ibadah niat adalah wajib kerana Nabi s.a.w. bersabda; “Sesungguhnya segala amalan adalah dengan niat”. Sebaik-baik niat bagi ibadah korban ialah ketika binatang korban itu disembelih. Maksud niat ialah kita menghadirkan di dalam hati bahawa binatang yang sedang disembelih itu ialah ibadah korban kita kerana Allah. Disunatkan kita melafazkan semasa sedang disembelih itu sebagaimana ucapan yang dilafazkan oleh Nabi s.a.w.;

“Dengan nama Allah. Ya Allah, terimalah korban ini dari ______ dan ahli keluarga ___________(sebutkan nama kita diruang kosong)”.

Jika kita tidak dapat hadir semasa binatang korban itu disembelih, harus kita mewakilkan niat kepada orang lain yang akan menyembelihnya. Mengenai nama yang hendak diserahkan, tidak menjadi masalah kita menyerahkan nama kita sendiri kerana pahalanya nanti akan diperolehi juga oleh keluarga kita bergantung niat kita. Namun jika kita hendak melakukan korban bagi pihak orang lain (yakni melakukan korban atas namanya, bukan sekadar meniatkan pahala untuknya), wajib memaklumkan kepadanya terlebih dahulu untuk mendapatkan keizinan darinya. Jika tidak dimaklumkan kepadanya atau tidak mendapat keizinan darinya, tidak terhasil ibadah korban itu untuknya.[4]

Wallahu a’lam.

Nota kaki;

[1] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 276.
[2] Al-Iqna’, jil. 2, hlm. 816.
[3] Kifayatul-Akhyar, hlm. 528.
[4] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 299. Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 368.

Tiada ulasan:

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...