Wednesday, October 22, 2008

PERKAHWINAN ANTARA ADIK-BERADIK

Soalan; saya pernah membaca buku soal jawab berkenaan hukum perhubungan adik beradik tiri dibolehkan syarak berkahwin kerana berlainan bapa.Setelah sekian lama, kawan saya mengutarakan perkara yang sama dan jawapan yang diberikan saya adalah sah. Berlaku perbezaan pendapat antara saya berdua. Walaupun ibu dan susu yang sama, tetapi berlainan bapa. Sila ustaz jelaskan supaya saya berada dilandasan yang sebenarnya.
Sekian, terima kasih.

Jawapan;

Tidak harus berkahwian sesama adik-beradik sama ada seibu-sebapa, sebapa sahaja atau seibu sahaja kerana antara satu sama lain adalah mahram muabbad (yakni orang yang haram dikahwini buat selama-lamanya). Firman Allah (bermaksud); “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan ibu-ibu kamu, dan anak-anak perempuan kamu, dan saudara-saudara perempuan kamu, dan ibu-ibu saudara kamu (di pihak bapa), dan ibu-ibu saudara kamu (di pihak ibu), dan anak-anak perempuan bagi saudara lelaki kamu, dan anak-anak perempuan bagi saudara perempuan kamu, dan ibu-ibu yang telah menyusukan kamu (yakni ibu susuan), dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemeliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah maha pengampun, lagi maha mengasihani” (an-Nisa’; 23).

Di dalam ayat di atas, Allah telah mengharamkan secara keseluruhan berkahwin dengan saudara-saudara perempuan, maka ia merangkumi semua saudara perempuan sama ada yang seibu-sebapa, sebapa sahaja atau seibu sahaja.

Mungkin adik-beradik tiri yang dimaksudkan oleh fatwa yang saudara baca itu bukanlah adik-beradik seibu tetapi adik-beradik sabit iaitu hubungan adik-beradik yang timbul kerana perkahwinan antara seorang duda dan seorang janda. Hubungan antara anak duda dan anak janda itu dianggap oleh adat sebagai adik-beradik, namun di sisi Syarak mereka tidaklah adik beradik. Maka kerana itu harus berlaku perkahwinan antara mereka berdua kerana tidak ada sebarang ikatan persaudaraan nasab antara keduanya. Adapun perkahwinan antara adik-beradik seibu atau sebapa telah jelah pengharamannya oleh Syarak di dalam ayat tadi.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Tafsir al-Jalalain.

2 comments:

Misz R said...

salam ustaz..pertamanya ana ucapkn berbanyak2 terima kasih kerana mewujudkn ruangan ini bagi menjawab segala kemusykilan berkaitan islam..

ana ada satu pertanyaan,ana sudah cari di mana2 tapi belum bertemu jawapan yang pasti..

bagaimana sekiranya ana mengambil seorang anak angkat(belum pasti jantinanya) tetapi ana tidak dapat menyusukannya kerana ana masih belum ada anak sendiri tetapi ana sudah lama berkahwin..ana tidak ada adik beradik kandung perempuan untuk dijadikan ibu susuan tetapi di pihak sebelah suami ana ada kakak kandung yg sedang menyusukan bayi..
persoalannya sekiranya bayi itu menjadi anak susuan kakak suami ana(iaitu kakak ipar ana) bagaimanakah hubungan antara ana dgn bayi itu nanti dari segi pergaulan dan hukaum2 lain??ana kurang pasti kerana anak itu akan menjadi anak saudara susuan ana shj..harap ustaz dapat membantu..

miswati said...

Asssalammualaikum,

Saya berusia 30 thn dan merancang ingin mendirikan rumah tangga pada awal Disember tahun ini. Bakal suami saya telah memaklumkan perkara ini kepada ibunya. Rancangan perkahwinan kami dibantah sama sekali kerana pada tahun ini juga abang kepada bakal suami saya akan melangsungkan perkahwinan dalam bulam Mac. Menurut ibunya jika kami melansungkan perkahwinan pada tahun yang sama, perkahwinan antara saya dan bakal suami @ abang bakal suami dan isterinya akan menghadapi bencana cthnya; tidak akan berkekalan(berlaku perceraian). Apakah ini ada tersurat dalam islam. Mohon penjelasan.