Khamis, 30 Oktober 2008

WITIR SEBELUM TIDUR

Soalan; ustaz..saya nak tanya tentang solat witir..adakah kita perlu lakukan solat witir sebelum tidur?

Jawapan;

Waktu solat witir ialah selepas solat Isyak hinggalah azan subuh. Ia harus dilakukan di awal malam (sebelum tidur) atau di hujungnya (selepas bangun dari tidur). Bagi orang yang khuatir tidak terbangun di hujung malam, disunatkan ia menyegerakan witir di awal malam. Bagi orang yang yakin akan bangun, sunat ia menangguhkan witirnya ke hujung malam. Abi Qatadah r.a. menceritakan; Nabi s.a.w. bertanya Abu Bakar r.a.; “Bila masanya kamu melakukan solat witir?”. Jawab Abu Bakar; “Sebelum saya tidur”. Baginda bertanya pula kepada Umar; “Bila kamu melakukan witir?”. Jawab Umar; “Saya tidur terlebih dulu, kemudian baru saya lakukan witir (yakni selepas bangun)”. Lalu baginda berkata kepada Abu Bakar; “Kamu telah melakukannya dengan mengambil kepastian (yakni berjaga-jaga takut tidak terbangun)”. Kepada Umar pula, baginda berkata; “Kamu telah melakukannya dengan kekuatan (yakni dengan keyakinan bahawa kamu akan bangun)” (Riwayat Imam al-Hakim dan Abu Daud).

Jabir r.a. menceritakan; Nabi s.a.w. bersabda; “Sesiapa dari kamu bimbang tidak terbangun di akhir malam, hendaklah ia melakukan witir sebelum tidur. Sesiapa yang yakin ia akan terbangun di hujung malam, lakukanlah witir di hujung malam. Sesungguhnya bacaan di hujung malam dihadiri oleh malaikat dan ia adalah paling afdhal” (Riwayat Imam Ahmad, Muslim, at-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Dalam hadis yang lain, Abu Hurairah r.a. menceriakan; “Kekasihku (yakni Nabi Muhammad s.a.w.) telah mewasiatkan kepadaku tiga amalan agar aku tidak meninggalkannya hinga aku mati;
1. Puasa (sunat) tiga hari pada setiap bulan
2. Solat dhuha
3. Melakukan solat witir sebelum tidur”
(Riwayat Imam al-Bukhari).

Kemudian, orang yang telah melakukan witir di awal malam (sebelum tidur), jika ia bangun melakukan solat sunat (tahajjud atau sebagainya) di hujung malam, tidak perlu lagi ia melakukan witir kerana Nabi s.a.w. bersabda; “Tidak ada dua witir pada satu malam” (Riwayat Imam Abu Daud dari Thulq bin ‘Ali r.a.). Ini adalah pandangan jumhur ulamak termasuk Imam Syafi’ie, Malik, Ahmad dan sebagainya. Namun ada segelintir ulamak berpandangan; hendaklah ia menggenapkan solat witirnya terlebih dahulu dengan melakukan solat sunat satu rakaat, setelah itu baru ia lakukan solat tahajjud atau sebagainya sebanyak yang ia kehendaki dan kemudian menutupnya dengan melakukan semula solat witir. Pandangan kedua ini datang dari Ibnu ‘Umar r.a. dan disokong oleh Imam Ishaq.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Syarh as-Sunnah, Imam al-Baghawi, 53-57.
2. Nailul-Autar, Imam asy-Syaukani, 3/45.
3. Fiqh al-‘Ibadat, Syeikh Hasan Ayyub, hlm. 293-297.

Tiada ulasan:

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...