Monday, November 17, 2008

BILA WAJIB TUNAI NAZAR?

Soalan; Soalan saya;
1: Berapa lamakah nazar perlu disempurnakan selepas hajat diperkenankan?
2: Apakah syarat2 untuk menukar bayaran nazar kepada sama nilai?
Huraian kes: Saya pernah bernazar dengan jelas apa yg perlu saya tunaikan sekiranya hajat saya tercapai iaitu:
1. Bayaran tambahan kepada tukang urut sebanyak RM50 (telah ditunaikan)
2. Belanja makan kepada kawan yg recommend tukang urut
3. Sedekah kepada madjid tertentu (nama masjid dirahsiakan)
4. Hasil tambah perkara ke-2 dan ke-3 ialah RMXXX. Bermakna, jika belanja makan bersamaan RM100, maka saya akan sedekahkan kepada masjid tersebut sebanyak RMXXX - RM100.
Beberapa bulan selepas berubat, sakit tu semakin sembuh. Jadi saya pun bayar laa tambahan RM50 kepada tukang urut. Tapi disebabkan kesempitan wang, saya tangguh dulu perlaksanaan perkara 2 dan 3.
Sekarang ekonomi dah stabil balik tetapi saya agak keberatan (tidak selesa) utk menunaikan perkara ke-2 disebabkan hubungan kami tidak laa terlalu rapat (ada laa kes). Jadi bolehkah saya mengabaikan perkara ke-2 dan terus menyedekahkan kesemua bahagian RMXXX kepada masjid tersebut? Bukanlah mustahil utk menyempurnakan perkara ke-2 cuma saya kurang selesa. Saya pernah dengar yg kita boleh menukar bayaran nazar dengan benda yg sama nilai.

Jawapan;

1. Bila wajib ditunaikan nazar bergantung kepada kandungan nazar saudara. Jika saudara kaitkan nazar saudara dengan hari atau tarikh tertentu, maka wajiblah saudara tunaikan pada hari tersebut. Jika saudara bernazar secara umum tanpa mengaitkannya dengan hari atau tarikh tertentu, maka masa untuk saudara tunaikan nazar itu ialah seumur hidup (yakni hendaklah saudara tunaikannya sebelum kematian saudara). Namun demikian, menyegerakannya adalah disunatkan sebagaimana disunatkan menyegerakan ibadah sebaik sahaja masuk waktunya.

2. Nazar hendaklah ditunaikan mengikut sebagaimana yang dinazarkan selagi ia tidak bercanggah dengan Syarak. Jika tidak dapat ditunaikan barulah berpindah kepada yang lain yang setara atau yang lebih baik dari yang dinazarkan.

Amru bin Syu’aib meriwayatkan dari bapanya yang meriwayatkan dari datuknya menceritakan; seorang wanita berkata kepada Nabi s.a.w.; “Ya Rasulullah, aku bernazar untuk menyembelih binatang di tempat sekian sekian di mana tempat itu dahulunya orang jahiliyah menyembelih di situ”. Rasulullah bertanya; “Adakah menyembelih untuk berhala?”. Ia menjawab; “Tidak”. Kata Nabi; “Jika begitu, tunaikanlah nazar kamu (di situ)”. (Hadis riwayat Imam Abu Daud).

Dalam menunaikan kewajipan, ketepikan kepentingan atau perasaan peribadi, sebaliknya fokuskan kepada melaksanakan kewajipan itu.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. al-Wajiz Fi al-Fiqh al-Islami, Dr. Wahbah az-Zuhaili, 1/512.
2. at-Tahzib, Imam al-Baghawi, 8/152.
3. al-Fiqh al-Wadhih, Dr. Muhammad Bakr Ismail, 2/374.
Post a Comment