Sabtu, 19 April 2008

CERAI SECARA TAKLIK

Soalan :

1. seseorang lelaki bila melafazkan akad nikah dan selepas itu membaca dan mendatangani taklik maka selepas itu dia akan terikat dengan taklik tersebut.
2. Sebagai membuktikan kasih sayang pada isterinya, maka si lelaki itu melafaz taklik tambahan maksud saya dia telah menulis satu taklik diatas kertas yg lafaznya berbunyi ; sekiranya dia mempunyai kekasih lain atau melakukan zina dgn perempuan lain maka jatuhlah talak 1 ke atas isterinya" taklik tersebut dilafaz dihadapan pegawai jabatan agama dan salinan taklik itu juga ada disimpan oleh pegawai agama tersebut.
3.persoalannya apakah taklik yang telah dibuat boleh dibatalkan sewenangnya contohnya untuk taklik tambahan itu.
Jawapan :
Menurut pandangan jumhur (majoriti) ulamak termasuk imam-imam mazhab empat; Talak secara taklik (yakni secara ikatan) adalah harus dan apabila berlaku perkara atau peristiwa yang ditaklikkan (yakni yang diikat dengan talak), maka akan tertalak lah isteri jika memenuhi syarat-syarat berikut;

1. Suami ada kelayakan untuk menjatuhkan talak
2. Wanita itu adalah miliknya (yakni berstatus isterinya)
3. Perkara atau peristiwa yang ditaklikkan kepada talak itu harus berlaku, bukan yang mustahil berlaku atau digantungkan kepada kehendak Allah.
(Mabahis Fiqhiyyah Fi Masail al-Ahwal asy-Syakhsiyyah, Dr. Nasr Farid Wasil, hlm. 264).

Namun ada juga di kalangan ulamak yang berbeza pandangan dengan jumhur ulamak di atas. Di antara mereka ialah Imam Ibnu Hazm dan Abi ‘Abdurrahman (salah seorang murid Imam Syafi’ie) yang berpandangan; talak atau cerai secara taklik tidak sah dan tidak jatuh talak. Menurut mereka; talak tidak menerima taklik sebagaimana juga nikah. (Ighasah al-Lahfan, Imam Ibnul-Qayyim, jil. 2. hlm. 81).

Sebahagian ulamak (antaranya Imam Ibnu Taimiyyah, Ibnul-Qayyim al-Jauzi dan Syeikh Ahmad as-Syirbasi) membezakan antara dua keadaan;

1. Cerai/Talak secara taklik yang dilafazkan memang dengan niat untuk menceraikan, iaitu seorang lelaki mengikat talaknya terhadap isterinya dengan suatu peristiwa/perkara dan ia berniat dalam dirinya bahawa jika peristiwa/perkara itu terjadi, maka isterinya tertalak. Cerai taklik sebegini akan membawa kepada jatuhnya talak jika terjadi perkara/peristiwa yang ditaklikkan di dalam lafaz talak itu. Contohnya; seseorang berkata kepada isterinya; “Jika kamu menghalalkan baki maskawin yang tertanggung atas ku, maka kamu aku ceraikan” dengan ia berniat menceraikan isterinya jika isterinya menghalalkan maskawin itu. Ataupun, ia berkata kepada isterinya; “Jika kamu keluar dari rumah, kamu aku ceraikan” dan ia sememangnya berniat talak jika benar isterinya keluar rumah.

2. Cerai taklik yang dilafazkan semata-mata untuk memberi dorongan atau ancaman atau penegasan, bukan dengan niat menceraikan. Contohnya; seseorang itu berkata kepada isterinya; “Jika kamu pergi ke tempat itu, maka kamu tertalak” dan tatkala ia melafazkan ucapan ini, ia tidak bermaksud talak tetapi hanya sebagai ancaman terhadap isterinya untuk menegahnya dari pergi ke tempat yang dimaksudkan. Taklik sebegini lebih mirip kepada sumpah. Oleh itu, ia tidak menyebabkan jatuhnya talak, akan tetapi wajib membayar kaffarah sumpah jika taklik itu dilanggari iaitu dengan memberi makan 10 orang miskin atau memberi pakaian kepada mereka atau membebaskan seorang hamba dan jika ke semua itu tidak mampu dilakukan, hendaklah berpuasa tiga hari. Pandangan ini menjadi amalan dalam undang-undang keluarga Islam di Mesir hari ini.

Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, Dr. Wahbah az-Zuhaili, 7/447.
2. Yasalunaka Fid-Din Wal-Hayah, Dr. Syirbasi, 1/271.
3. Mukhtasar al-Fiqh al-Islami, at-Tuwaijiri, hlm. 185.

Khamis, 17 April 2008

I'TIQAD AHLUS SUNNAH & CARA MENTAUHIDKAN ALLAH

Soalan; Ustaz, bagaimana saya ingin memastikan iktiqad atau aqidah yang saya pegangi ini selari dengan iktiqad ahlus sunnah wal jamaah? Apakah ada satu kaedah supaya saya sebagai orang awam dapat melakukan muhasabah tentang itu?
Bagaimana cara untuk saya mentauhidkan Allah pada zat, sifat, nama dan perbuatan Allah Allah dalam kehidupan seharian saya?

Jawapan;

Iktiqad ahli Sunnah Wal Jamaah ialah pegangan Aqidah yang bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah di mana ia menjadi pegangan Salaf yang terdiri dari para Sahabat (yang dididik oleh Nabi s.a.w.), para Tabi’in (yang dididik oleh para sahabat), Tabi’ Tabi’in (yang dididik oleh para Tabi’in) dan ulamak-ulamak mukhlisin amilin yang menjadikan Salaf sebagai ikutan mereka. Iktiqad ahli Sunnah Wal Jamaah adalah pegangan aqidah yang asli dari al-Quran dan as-Sunnah tanpa ditokok tambah dengan sebarang pemikiran falsafah. Pada setiap zaman, teras bagi Aqidah Ahlus-Sunnah Wal Jamaah ialah sama iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Cuma penghuraian terhadapnya yang berbeza mengikut situasi zaman dan cabaran setempat. Jika zaman dahulu aqidah umat Islam menghadapi cabaran dari Muktazilah, Syi’ah, Jabariyah, Murjiah dan sebagainya, adapun hari ini, umat Islam menghadapi cabaran baru dari ideologi-ideologi yang lebih menyesatkan iaitu secular, darwinisme, sosialis (di sesetengah Negara umat Islam), pemikiran bebas, liberalisme, pluralisme, ibahiyah dan sebagainya. Jadi, huraian tentang aqidah tidak boleh statik sekalipun terasnya adalah sama iaitu al-Quran dan as-Sunnah.

Untuk mendalami ‘Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah, saudara mesti melalui jalan ilmu. Pertama, saudara mesti mempelajarinya dari guru yang benar-benar memahami Iktiqad Ahlus Sunnah. Kedua, saudara boleh menambah kefahaman dengan membaca buku-buku yang ditulis oleh ulamak-ulamak Islam dahulu dan sekarang, antaranya;
1. Al-‘Aqidah at-Tahawiyyah dan syarahnya.
2. Syarah al-‘Aqidah al-Wasitiyyah, oleh; Dr. Khalil Harras.
3. Al-Iman, oleh; Dr. Muhammad Nai’im Yasin (telah ada terjemahannya dalam Bahasa Melayu).
4. ‘Aqidatul-Muslim, oleh; Syeikh Muhammad al-Ghazali (telah ada terjemahannya).
5. Haqidatu at-Tauhid, oleh; Dr. Yusuf al-Qaradhawi (telah ada terjemahannya).
6. al-‘Aqaid al-Islamiyyah, oleh; Syeikh Sayyid Sabiq (telah ada terjemahannya).
7. Buku-buku tulisan Harun Yahya (khusus untuk menolak Darwinisme)
8. Allah Jalla Jalaluhu, oleh; Syeikh Sa’id Hawa (telah ada terjemahannya). Satu lagi tulisan Sa’id Hawa yang amat baik tentang ‘Aqidah ialah; al-Asas Fi as-Sunnah (bahagian ‘Aqidah), ada tiga jilid (rasanya belum diterjemahkan).
9. Mabadi’ al-Islam, oleh; Syeikh Abul-A’la al-Maudidi (telah diterjemahkan).

Selain di atas, banyak lagi buku-buku lain yang ditulis tentang aqidah. Di ruangan ini, tidak dapat saya senaraikan keseluruhannya. Untuk pengetahuan saudara, saya juga ada menyusun sebuah buku tentang aqidah, bertajuk; Intisari Iman dan ‘Aqidah Islam (120 m.s.), terbitan; Wawasan Ummah Enterprise (2007). Buku saya ini mengupas secara ringkas persoalan-persoalan dasar dalam ilmu ‘Aqidah yang mesti diketahui oleh setiap orang Islam.

Mengenai cara kita tauhidkan Allah dalam kehidupan, maka ia mesti merangkumi dua aspek;
1. Aspek Nazari (ilmu dan kefahaman); iaitu kita mengetahui dan memahami dalam hidup kita bahawa Allah lah satu-satunya Tuhan, tiada tuhan melainkanNya, tuhan yang memiliki nama-nama yang indah (al-Asma’ al-Husna) dan segala sifat kesempurnaan. Tidak ada satu pun dari makhlukNya yang menyerupaiNya. Dia lah yang menciptakan alam ini, mengidup dan mematikan, melimpahkan rezki, mentadbir, menyusun dan mentakdirkan segala yang berlaku di ala mini.
2. Aspek Amali; iaitu kita mentauhidkan Allah secara praktik iaitu dengan kita menyembah Allah (yakni beribadah kepadaNya), tidak mensyirikkanNya dan kita mentaati segala perintahNya kerana ketaatan juga termasuk dalam pengertian ibadah.

Di dalam surah al-Fatihah –sebagai contohnya- di awal surah kita dibentangkan dengan ilmu dan kefahaman bahawa Allah adalah Tuhan semesta alam (Rabbul-‘Alamin), memiliki sifat pengasih dan penyayang dan yang berkuasa pada hari pembalasan. Setelah kita memahami hakikat tersebut, diperintahkan pula untuk kita berikrar; “Hanya Engkau sahaja (ya Allah) Tuhan yang kami sembah dan hanya kepada Engkau sahaja kami memohon pertolongan”. Jadi, di awal surah kita mentauhidkan Allah secara nazari dan di pertengahan surah pula, kita disuruh mentauhidkanNya secara amali iaitu melalui ibadah dan doa.

Wallahu a’lam.

Ahad, 13 April 2008

MENGAMBIL WUDHUK SELEPAS MANDI WAJIB

Soalan; adakah perlu lagi untuk mengambil wudhuk selepas mandi wajib?

Jawapan;

Dalam sebuah hadis diceritakan oleh Saidatina ‘Aisyah r.a.;

أَنَّ النَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لاَ يَتَوَضَّأُ بَعْدَ الغُسْلِ
“Sesungguhnya Nabi s.a.w. tidak mengambil wudhuk selepas mandi janabah”. (Riwayat Imam at-Tirmizi, Ibnu Majah, an-Nasai dan Imam Ahmad. Hadis ini menurut Imam at-Tirmizi; hasan soheh. Ia dikeluarkan juga oleh Imam al-Baihaqi dengan sanad yang baik)

Berkata Imam at-Tirmizi; hadis ini menjadi pandangan ramai ulamak dari kalangan Sahabat dan Tabi’ie iaitu tidak perlu lagi mengambil wudhuk selepas mandi wajib; yakni memadai dengan wudhuk yang diambil sebelum mandi atau memadai dengan mandi itu sendiri.

Diriwayatkan bahawa seorang lelaki berkata kepada Abdullah bin ‘Umar r.a.; ‘Sesungguhnya saya mengambil wudhuk selepas dari mandi wajib’. Beliau berkata kepada lelaki itu; ‘Sesungguhnya engkau telah berlebih-lebihan’. Menurut Abu Bakar Ibn al-‘Arabi; “Para ulamak tidak berbeza dalam menyatakan bahawa wudhuk itu termasuk di bawah mandi. Niat bersuci dari janabah (yakni hadas besar) merangkumi bersuci dari hadas (kecil) dan sekaligus menghilangkannya (yakni hadas kecil itu) kerana tegahan-tegahan dengan sebab janabah (hadas besar) lebih banyak dari tegahan-tegahan kerana hadas kecil. Oleh demikian yang lebih sedikit telah terangkum di dalam niat (melakukan) yang lebih banyak dan berniat melakukan yang lebih besar telah mencukupi dari melakukan yang lebih kecil”.

Wallahu A’lam.

Rujukan;


1. Nailul-Autar, jil. 1, Kitab at-Thaharah, Bab Sifat al-Ghusl.
2. Yas-alunaka ‘An ad-Din Wa al-Hayah, Dr. Ahmad as-Syirbasi, jil. 6, hlm. 20.

Khamis, 10 April 2008

MANDI WAJIB

Soalan; Bilakah seorang muslim dituntut untuk mandi? Bagaimana cara mandi yang sempurna?

Jawapan;

Seorang muslim diwajibkan mandi kerana enam sebab iaitu;

1.Kerana melakukan persetubuhan sekalipun tidak keluar mani.
2.Keluar mani sama ada kerana berkhayal, bermimpi, mengeluarkan dengan tangan dan sebagainya.
3.Kematian; seorang muslim yang mati wajib dimandikan sebelum dikafan kecuali orang yang mati syahid.[1]
4.Haid; wanita yang kedatangan haid apabila kering darah haidnya, wajib ia mandi sebelum menunaikan solat atau sebelum diharuskan suaminya mensetubuhinya.
5.Nifas; wanita yang nifas apabila kering darah nifasnya, wajib ia mandi sebelum menunaikan solat atau sebelum harus disetubuhi oleh suaminya.
6.Wiladah; iaitu wanita yang melahirkan anak atau keguguran wajib mandi jika ditakdirkan tiada darah nifas yang keluar.[2] Jika ada nifas, hendaklah ia menunggu hingga nifasnya kering barulah ia mandi.

Selain itu, seorang muslim disunatkan untuk mandi bagi perkara-perkara berikut;
1.Mandi hari jumaat bagi orang yang hendak menghadiri solat jumaat.
2.Mandi pada dua hari raya.
3.Mandi untuk menunaikan solat Istisqa’ (minta hujan).
4.Mandi untuk menunaikan solat gerhana
5.Mandi setelah memandikan jenazah
6.Orang kafir yang baru masuk Islam
7.Orang gila atau pengsan setelah tersedar dari gila atau pengsannya.
8.Mandi ketika ihram haji atau umrah.
9.Mandi ketika hendak memasuki Mekah
10.Mandi untuk wuquf di ‘Arafah
11.Mandi untuk bermalam di Muzdalifah.
12.Mandi umtuk melontar
13.Mandi untuk tawaf

Adapun cara mandi yang sempurna ialah dengan mengikuti setiap langkah berikut;

Langkah pertama

Mulai dengan membaca Bismillah dan membasuh kedua tangan sebanyak tiga kali.

Langkah ke dua

Dengan menggunakan tangan kiri, basuh kemaluan dan bersihkan najis atau kekotoran di badan jika ada.

Langkah ke tiga

Ambil wudhuk dengan sempurna sebagaimana wudhuk untuk mengerjakan solat. Jika ingin menangguhkan basuhan kaki ke hujung mandi diharuskan. Namun yang afdhal ialah menyempurnakannya.

Langkah ke empat

Sambil memasang niat untuk menghilangkan hadas besar, mulakan mandian dibahagian kepala terlebih dahulu. Mula-mula, ambilkan air dan selati celah-celah rambut dengan jari-jari tangan hingga rata air di kulit kepala dan akar-akar rambut. Setelah itu jiruskan air ke atas kepala dan ulanginya sebanyak tiga kali cebukan.

Langkah ke lima

Berikutnya, lakukan pula mandian di bahagian badan dengan menjirus air ke sebelah kanan terlebih dahulu, kemudian baru ke sebelah kiri. Semasa mandi, tangan hendaklah menggosok-gosok badan terutamanya bahagian-bahagian yang berlipat yang dikhuatiri tidak sampai air jika tidak digosok.

Langkah ke enam

Akhiri mandian dengan membasuh kedua kaki dan menggosok dicelah-celah jarinya. Apabila selesai mandian, bacalah doa sebagaimana doa yang sunat dibaca selepas mengambil wudhuk .

Antara hadis yang dijadikan rujukan cara mandi wajib ialah yang diceritakan oleh Saidatina ‘Aisyah r.a.;

كَانَ رَسُولُ اللّهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- إِذَا اغْتَسَلَ مِنَ الْجَنَابَةِ، يَبْدَأُ فَيَغْسِلُ يَدَيْهِ، ثُمَّ يُفْرِغُ بِيَمِينِهِ عَلَى شِمَالِهِ، فَيَغْسِلُ فَرْجَهُ، ثُمَّ يَتَوَضَّأُ وُضُوءهُ لِلصَّلاَةِ. ثُمَّ يَأْخُذُ الْمَاءَ، فَيُدْخِلُ أَصَابِعَهُ فِي أُصُولِ الشَّعْرِ، حَتَّى إِذَا رَأَى أَن قد اسْتَبْرَأَ، حَفَنَ عَلَى رَأْسِهِ ثَلاَثَ حَفَنَاتٍ، ثُمَّ أَفَاضَ عَلَى سَائِرِ جَسَدِهِ، ثُمَّ غَسَلَ رِجْلَيْهِ
“Adalah Rasulullah s.a.w. apabila baginda mandi janabah, baginda mula dengan membasuh dua tangannya. Kemudian baginda menuangkan air ke tangan kirinya dengan menggunakan tangan kanannya, lalu (dengan tangan kiri itu) baginda membasuh kemaluannya. Kemudian baginda mengambil wudhuk sebagaimana wudhuk untuk mengerjakan solat. Kemudian baginda mengambil air, lalu memasukkan jari-jarinya ke akar rambutnya hingga apabila melihat air telah membasahi seluruh (kulit kepala dan akar-akar rambutnya), baginda mencebuk air (dan menjirus) ke kepalanya sebanyak tiga cebukan. Kemudian baginda menyiram air ke seluruh badannya. Kemudian baginda membasuh kedua kakinya”. (Riwayat Muslim)

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. Kifayatul-Akhyar, hlm. 40-49.
2. Syarh Soheh Muslim, juz. 3, Kitab al-haidh, Bab Sifat Ghasl al-Janabah.
3. Al-Fiqh al-Manhaji, jil. 1, hlm. 71-91.

[1] Selain orang mati syahid, ada dua lagi jenazah muslim yang tidak perlu dimandikan;
1. Mayat yang tidak dapat dimandikan kerana dibimbangi akan terlerai. Sebagai ganti ia hendaklah ditayammumkan.
2. Seorang lelaki mati dan tidak ada orang untuk memandikannya melainkan seorang wanita ajnabi dan begitu juga sebaliknya.
(al-Asybah Wa an-Nadzair, Imam as-Suyuti, hlm. 545-546)
[2] Hukumnya ketika itu sama seperti orang berjunub kerana anak yang lahir terbentuk dari air mani lelaki dan air mani perempuan, jadi lahirnya anak dari faraj itu diumpamakan seperti keluarnya mani dari faraj, maka wajiblah mandi.

Sabtu, 5 April 2008

KENDURI DAN PUASA

Soalan; Saya telah berpuasa sunat pada satu hari. Kemudian saya menerima jemputan kenduri kahwin dari seorang rakan saya. Adakah wajib saya memenuhi jemputan tersebut? Dan adakah saya perlu membatalkan puasa?

Jawapan;

Memenuhi jemputan kenduri adalah dituntut oleh agama. Jika jemputan adalah kepada kenduri kahwin (walimatul-urs), hukum memenuhi jemputan itu adalah wajib kecuali jika ada keuzuran. Adapun kenduri-kenduri yang lain (dari kenduri kahwin), hukum memenuhi jemputan kepadanya adalah sunat (yakni digalakkan dan diberi pahala oleh Allah). Dalil tuntutan memenuhi jemputan kenduri (terutamanya kenduri kahwin) ialah sabda Nabi s.a.w.;

إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْوَلِيمَةِ فَلْيَأْتِهَا
“Jika seseorang kamu dijemput kepada walimah (kenduri), maka hendaklah ia menghadirinya”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Jika sedang berpuasa, mintalah keuzuran dari orang yang menjemput itu (untuk tidak menghadirinya) dan berdoalah untuknya dengan keberkatan dan keampunan Allah. Ini sebagaimana diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w.;

إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَىَ طَعَامٍ وَهُوَ صَائِمٌ فَلْيَقُلْ: إِنِّي صَائِمٌ
“Jika seseorang dari kamu diajak kepada jamuan makanan (yakni kenduri) sedang ia berpuasa, hendaklah ia berkata; ‘Saya berpuasa’”. (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Imam an-Nawawi menjelaskan; ucapan “Saya berpuasa” dapat difahami bahawa orang yang dijemput mengucapkannya kepada orang menjemputnya sebagai memohon keuzuran dan sebagai memaklumkan keadaannya (yang sedang berpuasa). Jika orang yang menjemputnya memberi kelonggaran kepadanya dan tidak menuntutnya hadir, gugurlah kewajipan hadir itu darinya. Namun jika ia tidak memberi kelonggaran dan tetap menuntut kehadirannya, wajiblah ia menghadirinya. Puasa tidak boleh menjadi alasan untuk tidak memenuhi jemputan kenduri. Namun demikian, apabila ia menghadirinya, tidaklah dituntut ia makan kerana puasa menjadi keuzuran baginya untuk meninggalkan makan….”.[1] (Syarah Soheh Muslim, juz. 8, Kitab as-Siyam, bab as-Shaim Du’iya Li Tha’amin…)

Adapun berdoa untuknya, maka ia berdasarkan sabda Nabi s.a.w.;

إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ فَلْيُجِبْ، فَإِنْ كَانَ صَائِماً فَلْيُصَلِّ، وَإِنْ كَانَ مُفْطِراً فَلْيَطْعَمْ
“Jika seseorang dari kamu diajak kepada suatu jamuan kenduri, hendaklah ia memenuhinya. Jika ia berpuasa, hendaklah ia mendoakannya dan jika ia tidak berpuasa, hendaklah makan”. (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.).

Manakah yang lebih afdhal; meneruskan puasa atau berbuka? Jawapannya; Jika ia berpuasa wajib (sama ada puasa qadha’ Ramadhan, puasa nazar atau puasa kifarat), haram ia berbuka sama sekali. Jika ia berpuasa sunat, hendaklah dilihat; jika ia merasakan dengan meneruskan puasa tidak mengecilkan hati tuan kenduri (yakni orang yang menjemputnya), maka sunat ia meneruskan puasa. Namun jika ia merasakan tuan kenduri akan berkecil hati jika tidak menjamah kendurinya, maka sunatlah ia berbuka.

Orang yang berpuasa sunat, harus baginya untuk membatalkan puasanya pada bila-bila masa. Saidatina ‘Aisyah r.a. menceritakan;

دَخَلَ عَلَيَّ النَّبِيُّ -صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- ذَاتَ يَوْمٍ، فَقَالَ: هَلْ عِنْدَكُمْ شَيْءٌ؟ فَقُلْنَا: لاَ. قَالَ: فَإِنِّي إِذَنْ صَائِمٌ. ثُمَّ أَتَانَا يَوْماً آخَرَ فَقُلْنَا: يَا رَسُولَ اللهِ أُهْدِيَ لَنَا حَيْسٌ. فَقَالَ: أَرِينِيهِ فَلَقَدْ أَصْبَحْتُ صَائِماً، فَأَكَلَ

“Rasulullah s.a.w. datang kepadaku pada suatu hari, lalu ia bertanya; ‘Adakah kamu sekelian memiliki sesuatu (untuk dimakan)?’. Kami (yakni isteri-isteri baginda) menjawab; ‘Tidak ada”. Baginda berkata; ‘Oleh demikian, aku akan berpuasa’. Kemudian baginda datang lagi kepada kami pada hari yang lain. Lalu kami berkata kepadanya; ‘Ya Rasulullah! Kita telah dihadiahkan haisun (sejenis makanan campuran buah tamar dengan lemak dan susu kering)’. Maka baginda berkata; ‘Tunjukkan kepadaku. Sesungguhnya aku pagi ini berpuasa’, kemudian baginda makan makanan tersebut”. (Riwayat Imam Muslim)

Di dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda;

اَلصَّائِمُ الْمُتَطَوِّعُ أَمِيْرُ نَفْسِهِ: إِنْ شَاْءَ صَاْمَ وَإِنْ شَاءَ أَفْطَرَ
“Orang yang berpuasa sunat adalah pemimpin dirinya. Kalau dia mahu ia boleh meneruskan puasanya dan jika ia mahu ia boleh berbuka”. (Riwayat Imam Ahmad, Tirmizi, Hakim, an-Nasai dan Abu Daud dari Ummu Hani r.a.)[2]

Namun demikian, membatalkannya dengan sengaja tanpa ada sebarang desakan atau keuzuran hukumnya adalah makruh. Dan puasa sunat yang telah dimulai kemudian dibatalkan (sama ada dengan sengaja atau tidak), sunat digantikan semula pada hari yang lain.

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. Kifayatul-Akhyar, Imam Abu Bakar al-Husni, hlm. 372-377.
2. Syarh Soheh Muslim, Juz. 9, Kitab an-Nikah, bab al-Amr bi Ijabati ad-Da’ie Ila Da’wati at-Ta’am).
3. Syarah Soheh Muslim, juz. 8, Kitab as-Siyam, bab Jawazu Shaumi an-Nafilah Bi Niyyatin Min an-Nahar….
4. Syarah Soheh Muslim, juz. 8, Kitab as-Siyam, bab as-Shaim Du’iya Li Tha’amin…
5. Dalail al-Ahkam, juz. 1, hlm. 633-634.
[1] Adakah orang yang tidak berpuasa apabila ia menghadiri jemputan kenduri diwajibkan ia menjamah makanan kenduri? Mengikut pandangan yang terkuat dalam mazhab Syafi’ie; tidak wajib makan sama ada dalam kenduri kahwin atau kenduri-kenduri lainnya, yakni orang yang menghadiri kenduri boleh memilih sama ada hendak menikmati makanan atau tidak. Ini berdalilkan sabda Nabi s.a.w;
عَنْ جَابِرٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ-: "إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى طَعَامٍ فَلْيُجِبْ فَإِنْ شَاءَ طَعِمَ، وَإِنْ شَاءَ تَرَكَ
“Jika seseorang dari kamu dijemput kepada makanan kenduri, maka hendaklah ia memenuhinya. Jika ia mahu ia boleh makan dan jika ia mahu ia boleh meninggalkan makan”. (Riwayat Imam Muslim dari Jabir r.a.)
(Rujuk; Syarh Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, Kitab an-Nikah, bab al-Amr Bi Ijabati ad-Da’ie Ila Da’wati at-Tha’am).
[2] Menurut Imam as-Suyuti, hadis ini adalah soheh (Lihat; al-Jami’ as-Saghier; hadis no. 5122). Namun menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini dalam sanadnya terdapat pertikaian. Imam an-Nasai pula berkata; terdapat banyak perbezaan ulamak mengenai sanadnya. (Lihat; Faidhul-Qadier; hadis no. 5122)

Selasa, 1 April 2008

BURUAN YANG HAMPIR MATI

Soalan; Bagaimana jika sekiranya binatang buruan hampir mati?

Jawapan;

Seorang yang memburu binatang, hendaklah ia memerhatikan dua keadaan;
Pertama; sekiranya binatang yang ditembak atau dipanahnya ditemui masih bernyawa dengan nyawa yang tetap (hayah mustaqirrah), maka wajiblah ia menyembelih binatang itu. Jika ia gagal menyembelihnya, haramlah ia memakannya.

Kedua; jika ia menemui binatang buruan itu telah mati atau masih bernyawa tetapi dengan nyawa yang tidak tetap (iaitu nyawa seumpama binatang yang telah disembelih), maka tidak perlu lagi ia menyembelihnya. Binatang buruan itu halal dimakannya asalkan ia berniat memburu binatang untuk dimakan dan tatkala melepaskan anak panah atau peluru ia melafazkan Bismillah. Terdapat hadis dari ‘Adiyy bin Hatim r.a. yang menceritakan bahawa ia bertanya Rasulullah s.a.w.; “Ya Rasulullah! Kami adalah kaum yang berburu. Apakah yang halal bagi kami?”. Baginda menjawab; “Halal bagi kamu setiap binatang yang telah kamu sembelih. Begitu juga, binatang yang kamu menyebut nama Allah terhadapnya, lalu kamu menusuknya (dengan alat buruan kamu), maka kamu makanlah”. (Riwayat Imam Ahmad. Lihat hadis ini dalam Nailul-Autar, Imam as-Syaukani, juz. 9, Abwab as-Soid).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Fiqhul-Wadhih, jil. 2, hlm. 407.
2. Nailul-Autar, jil. 9, Kitab al-At’imah, as-Soid Wa az-Zabaih.

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...