Friday, 30 January 2009

ZAKAT KEPADA SAUDARA MARA

Assalamualaikum ust
Saya ada dua soalan:
1- Bolehkah bayar zakat kepada sanak saudara yang hampir seperti adik beradik sendiri?
2- Bolehkah ister bayar zakat kepada suami atau sebaliknya?

JAWAPAN

Menurut pandangan yang paling masyhur di kalangan ulamak; orang-orang yang wajib kita menanggung nafkah mereka, tidak harus kita memberi zakat kita kepada mereka. Menurut mazhab Syafi’ie; orang-orang yang wajib dinafkahi terdiri dari;
1. Zuriat kita; merangkumi anak, cucu dan cicit.
2. Asal kita; merangkumi bapa, ibu, datuk, nenek dan sebagainya
3. Isteri
Ahli-ahli keluarga di atas tidak harus kita memberi zakat kepada mereka. Adapun ahli-ahli keluarga yang lain yang tidak wajib kita menanggung nafkah mereka seperti saudara-saudara (yakni adik, abang atau kakak), bapa saudara, ibu saudara, anak saudara dan sebagainya harus kita memberi zakat kita kepada mereka dengan syarat mereka termasuk dalam lapan golongan yang layak terima zakat. Sila baca juga jawapan saya sebelum ini; (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/08/zakat-kepada-adik-beradik-yang.html) dan (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/07/bayar-zakat-kepada-ibubapa.html).
Adapun seorang wanita memberi zakat kepada suaminya (yang fakir atau miskin), terdapat tiga pandangan dari ulamak;
1. Menurut mazhab Syafi’ie, Ibnu al-Munzir dan as-Sauri; harus kerana isteri tidak wajib menanggung nafkah suaminya. Malah pahala yang ia perolehi dengan memberi zakat kepada suami lebih besar dari ia memberinya kepada orang lain berdalilkan hadis dari Abu Sa’id al-Khudri r.a. yang menceritakan; “Zainab isteri Ibnu Mas’ud r.a. datang kepada Nabi s.a.w. dan berkata; ‘Wahai Nabi Allah, engkau telah memerintahkan hari ini agar kami bersedekah. Aku mempunyai satu perhiasan milikku, maka aku ingin bersedekah dengannya’. Ibnu Mas’ud (suaminya) mengadu kepada Rasulullah s.a.w. bahawa dia dan anaknya paling layak untuk memberi sedekah isterinya itu. Lalu Nabi berkata kepada Zainab; “Benarlah Ibnu Mas’id. Suami kamu dan anak kamu lebih berhak dengan sedekah kamu itu”. (HR Imam al-Bukhari).
2. Imam Abu Hanifah berpandangan; tidak harus kerana besar kemungkinan zakat itu akan kembali kepadanya apabila suaminya menggunakan wang zakat itu untuk membeli makanan, pakaian atau sebagainya lagi dari perbelanjaan keluarga. Berkenaan hadis tadi, Imam Abu Hanifah menganggap sedekah yang dimaksudkan dalam hadis itu ialah sedekah sunat, bukan zakat yang diwajib.
3. Menurut kebanyakan ulamak mazhab Maliki pula; membayar zakat kepada suami adalah makruh.
Walahu a’lam.
Rujukan;
1. al-Fiqh al-Wadhih, Dr. Muhammad Bakr Ismail, 1/512.
2. Fiqh az-Zakah, Syeikh ‘Abdurrazzaq Nashir Muhammad, hlm. 150.

HUKUM MENGUCAP SELAMAT KEPADA PERAYAAN AGAMA LAIN

Soalan:

Assalamualaikum Ustaz,

Saya pernah terbaca bahawa haram bagi orang Muslim mengucapkan 'selamat menyambut' hari perayaan kepada orang kafir sempena perayaan mereka seperti 'Selamat Menyambut Hari Depavali' atau ' Selamat Menyambut Hari Krismas' kerana seolah-olah kita mendoakan mereka selamat dengan kekufuran mereka. Bagaimana jika hanya menyebut 'Happy Deepavali' atau 'Merry Christmas' kerana pada saya ianya bukan doa untuk mereka tetapi hanyalah ucapan.

Jawapan :

Waalaikumussalam

Kita tidak diharuskan bersama-sama mereka menyambut perayaan mereka sebagaimana kita menyambut hari raya kita. Adapun sekadar memberi ucapan selamat atau menziarahi mereka di rumah -bukan di kuil atau dalam majlis khusus yang diadakan sempena perayaan mereka- insya Allah harus. Memberi ucapan selamat tidak semestinya kita mendoakan selamat untuk agama mereka atau untuk kekufuran mereka. Kita boleh niatkan doa untuk mereka "agar mereka diselamatkan Allah dari kesesatan mereka dan masuk Islam". Ada riwayat menceritakan; seorang Majusi memberi salam kepada Ibnu Abbas r.a. (seorang sahabat Nabi); "Assalamu 'alaikum". Lalu Ibnu 'Abbas menjawab; "Wa alaikumussalam Wa Rahmatullah". Maka sahabat-sahabatnya (yang ada bersamanya) berkata kepadanya; adakah kamu mendoakan rahmat Allah untuknya. Ibnu 'Abbas menjawab; "Tidakkah dia hidup sekarang ini dengan rahmat Allah". Maksud Ibnu 'Abbas; rahmat Allah tidak semestinya bermaksud rahmat di akhirat (yang khusus untuk orang beriman), ia juga bermaksud rahmat di dunia yang dianugerah Allah bukan sahaja untuk orang Islam, tetapi juga untuk orang kafir.
Di dalam al-Quran, Allah hanya melarang kita untuk berbaik-baik dengan orang kafir yang memusuhi Islam dan umat Islam. Adapun orang kafir yang menghormati Islam dan umat Islam, Allah tidak menegah kita untuk berbaik-baik dengan mereka. Dari kebaikan kita itulah akan menjadi contoh kepada mereka dan menjadi pendorong kepada mereka untuk menerima Islam, Insya Allah. Perhatikan firman Allah (bermaksud);
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang (kafir) yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengusir kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengusir kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim” (al-Mumtahanah, ayat 8-9)
Wallahu a'lam.

DOA DALAM SUJUD

Soalan:
Assalamualaikum
BAGAIMANAKAH CARANYA KITA BERDOA DIDALAM MASA SUJUD? ADAKAH BULEH KITA MENGELUARKAN SUARA ATAU HANYA BACA DALAM HATI?Apakah contoh doa?

Jawapan :

Sabda Nabi s.a.w.; "Saat paling hampir seorang hamba dengan Allah ialah ketika dia sujud. Maka banyaklah berdoa ketika sujud" (HR Imam Muslim)
1. Ketika sujud itu harus berdoa dengan apa sahaja doa asalkan yang pohon adalah perkara yang tidak dilarang oleh Syarak. Jika doa itu dalam bahasa Arab, harus ia dilafazkan oleh lidah sekalipun doa itu bukan yang maksur. Cuma hendaklah lafaz itu diperlahankan kerana bacaan ketika sujud tidak sunat diperdengarkan. Adapun dalam bahasa lain tidak harus dilafazkan oleh lidah. Memadai dengan berdoa di dalam hati sahaja kerana bahasa yang diharuskan di dalam solat hanyalah bahasa Arab sahaja.
2. Oleh kerana Nabi s.a.w. menyebutkan sujud di dalam hadis di atas secara umum (tanpa menghadkan pada mana-mana sujud) maka galakan membaca doa ketika sujud itu merangkumi semua sujud di dalam solat.
3. Di antara Doa yang pernah dibaca oleh Nabi s.a.w. di dalam sujudnya ialah;
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي ذَنْبِي كُلَّهُ دِقَّهُ وَجِلَّهُ، وَأَوَّلَهُ وَآخِرَهُ، وَعَلاَنِيَتَهُ وَسِرَّهُ
"Ya Allah, ampunilah dosaku semuanya sama ada yang kecil dan yang besar, yang awal dan yang akhir, yang terang dan yang tersembunyi" (HR Imam Muslim).
اللَّهُمَّ أَعُوذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ، وَبِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوبَتِكَ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْكَ، لاَ أُحْصِي ثَنَاءً عَلَيْكَ، أَنْتَ كَمَا أَثْنَيْتَ عَلَى نَفْسِكَ
"Ya Allah, aku berlindung dengan keredhaanMu dari kemurkaanMu, aku berlindung dengan keampunanMu dari balasanMu. Aku berlindung denganMu dariMu. Tidak terhitung olehku akan pujian yang sepatutnya aku ucapkan untukMu. Engkau adalah sebagaimana yang Engkau sanjungi ke atas diriMU sendiri" (HR Imam Muslim).
Wallahu a'lam.