Rabu, 18 Mac 2009

DADAH DAN BAHAN YANG MENGKHAYALKAN

Soalan: Assalamualaikum ustaz.Saya ada satu persoalan.Apakah pandangan Islam berkaitan dadah dan bahan-bahan yang mengkhayalkan?

Jawapan ;

Diantara benda yang dilarang keras oleh Islam memakan atau mengambilnya ialah al-mukhaddirat iaitu bahan-bahan yang boleh menyebabkan khayal atau tidak sedarkan diri seperti dadah, candu (opium), ganja, pil-pil khayal dan sebagainya. Larangan ini adalah kerana ia mendatangkan mudarat kepada aqal dan badan serta boleh mendatangkan pelbagai jenis penyakit dan kesan-kesan negatif yang lain.[1]

Semua jenis bahan yang mengkhayalkan di atas diharamkan oleh Syara’ dalam apa saja bentuk atau cara pengambilannya (sama ada melalui suntikan, menghisap, meminum dan sebagainya). Pengharamannya termasuk dalam hukum benda-benda yang memabukkan (المسكرات) yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya tadi iaitu;

كُلُّ مُسْكِرٍ خَمْرٌ ، وَ كُلُّ مُسْكِرٍ حَرَاْمٌ

“Setiap yang memabukkan adalah khamar (arak) dan setiap yang memabukkan adalah haram”. (Riwayat Imam Muslim dari Ibn Umar r.a.)[2]

Saidina Umar r.a. tatkala menjelas tentang hakikat khamar (arak) yang diharamkan Syara’, beliau menyatakan;

اَلْخَمْرُ مَاْ خَاْمَرَ الْعَقْلَ

“Khamar itu ialah semua bahan yang dapat menutupi aqal”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)[3]

Dalam kitab Subulussalam, pengarangnya iaitu Imam As-Sonani menjelaskan; “Dan diharamkan apa yang boleh memabukkan dari apa jenis sekalipun, walaupun ia bukan dari minuman, contohnya ialah al-hasyisyah (ganja)”.[4]

Terdapat riwayat dari isteri Nabi s.a.w. iaitu Ummu Salamah r.a. yang menyatakan;

نَهَى رَسُوْلُ اللهِ عَنْ كُلِّ مُسْكِرٍ مُفْتِرٍ

“Rasulullah s.a.w. menegah daripada semua yang memabukkan lagi melemahkan”. (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)

Menurut Imam al-Khathabi; maksud al-Mufthir dalam hadis ini ialah segala jenis minuman yang boleh melesukan dan melemahkan anggota badan. Imam al-‘Iraqi dan Ibnu Taimiah telah menyatakan bahawa para ulama’ telah ijma’ (sepakat) atas haramnya al-hasyisyah (sejenis tumbuhan yang memabukkan) dan sesiapa yang menganggapnya halal adalah kafir.[5]

Berkata Imam Ibnul-Qayyim dalam kitabnya “زاد المعاد”; “Sesungguhnya pengharaman khamar tergolong di dalam pengertiannya setiap yang boleh memabukkan (menghilangkan aqal) sama ada ianya cair atau pejal, perahan atau dimasak….”.[6]


Wallahualam



[1] Al-Halal Wa al-Haram, Dr. Yusof al-Qardhawi, hlm. 76-77 dan al-Fiqhul Manhaji a’la Mazhab al-Imam asy-Syafi’ie,Dr. Musthafa al-Bugha, Dr. Musthafa al-Khin dan ‘Ali Syarbaji, jil. 3, hlm. 84.

[2] Bulughul Maram, Ibnu Hajar al-‘Asqalani, bab Haddu asy-Syarib wa bayan al-muskir, hadis no. 1160.

[3] Al-Halal wa al-Haram, Dr. Yusof al-Qaradhawi, hlm. 72.

[4] Subulussalam, Imam Muhammad Ibn. Ismail an-Son’ani, jil. 4, hlm. 46.

[5] Subulussalam, Imam Muhammad Ibn. Ismail an-Son’ani, jil. 4, hlm. 46.

[6] Zadul Ma’ad, Imam Ibnul Qayyim al-Jauziah, jil. 5, hlm. 747.

Tiada ulasan:

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...