Isnin, 25 Mei 2009

POLITIK

Soalan : Assalamualaikum ustaz.Saya ada beberapa kemuskilan berkaitan politik.Saya harap penjelasan dari ustaz.

1. Apakah ada ajaran politik di dalam al-quran dan as-sunnah?
2. Apa hukum orang yang berkata; ”politik suku, agama suku”?
3. Kenapakah perlu kuasa politik untuk melaksanakan syariat allah?
4. Benarkah allah memerintahkan nabi muhammad s..a.w. supaya berdoa memohon kuasa politik?

Sekian,terima kasih.

Jawapan :

1.APAKAH ADA AJARAN POLITIK DI DALAM AL-QURAN DAN AS-SUNNAH?

Ya. (Pertama) kerana kitab al-Quran adalah kitab yang syumul. Firman Allah; ”Dan Kami turunkan kepadamu al-Quran sebagai penjelasan bagi segala perkara”. (Surah an-Nahl, ayat 89). Maksud syumul ialah lengkap, menyeluruh dan sempurna. Jika kita beriktiqad bahawa tidak ada politik di dalam al-Quran, maka kita telah menafikan kesyumulan al-Quran dan iktiqad ini bertentangan dengan ayat tersebut. (Kedua) Jika kita membuka al-Quran, kita akan berjumpa dengan ayat-ayat Allah yang mewajibkan kita melaksanakan Syari’at Allah sepenuhnya, menjauhi kezaliman, menegakkan keadilan, melaksanakan hukum-hukum Jenayah Islam (hudud), membenteras riba, judi, arak dan maksiat, mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran di mana semua tuntutan ini tidak akan dapat dilaksanakan tanpa kuasa politik atau pemerintahan. (Ketiga) Berpolitik adalah sunnah Nabi s.a.w.. Nabi Muhammad s.a.w. telah menjadi Ketua Negara selama 11 tahun di Madinah. Sepanjang 11 tahun tersebut, baginda tidak memerintah rakyatnya melainkan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Selepas kewafatannya, kepimpinan baginda diganti pula oleh Khulafak Rasyidin. Mereka mengganti baginda sebagai Ketua Negara, bukan sebagai Ketua Agama. Jika politik bukan dari agama, sudah tentu Nabi Muhammad s.a.w. dan Khulafak Rasyidin tidak akan melibatkan diri dengan politik, sebaliknya menumpukan hal-hal agama dan kerohanian sahaja.

2.APA HUKUM ORANG YANG BERKATA; ”POLITIK SUKU, AGAMA SUKU”?

Ucapan tersebut bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Ucapan itu cuba menafikan kesyumulan ajaran Islam yang meliputi segenap aspek kehidupan manusia termasuklah aspek politik. Ia juga bercanggah dengan Sunnah Nabi s.a.w. yang berpolitik semasa hayatnya. Orang yang mengeluarkan ucapan tersebut adalah jelas berfahaman Sekular. Jika ia seorang pemimpin, wajib umat Islam menolak pemimpin sepertinya. Dalam pengundian, haram ke atas umat Islam mengundinya. Jika ucapan tersebut menjadi pegangan sebuah Parti Politik, haram umat Islam menyertai Parti tersebut dan menyokongnya. Fahaman Sekular (termasuklah dalam aspek politik) telah disepakati oleh sekelian ulamak Islam hari ini sebagai haram, sesat bertentangan dengan Aqidah Ahlus-Sunnah Wal-Jamaah.

3.KENAPAKAH PERLU KUASA POLITIK UNTUK MELAKSANAKAN SYARIAT ALLAH?

Kerana Syari’at Islam bukan sahaja menyentuh hal-ehwal peribadi dan rohani (seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya), tetapi juga menyentuh hal-ehwal masyarakat, kerajaan dan negara seperti membenteras kezaliman dan penindasan terhadap rakyat, pengharaman riba, arak, judi, penzinaan, perlaksanaan hudud (hukuman bagi pencuri, penzina, perompak yang disebut di dalam al-Quran dan sebagainya) dan mencegah maksiat dan kemungkaran yang amat dititik-beratkan oleh al-Quran dan as-Sunnah.

Hukum-hakam yang menyentuh hal-ehwal masyarakat, kerajaan dan negara di atas mustahil dapat dilaksanakan tanpa kuasa politik. Hari ini kita melihat dalam negara kita maksiat dan munkar berleluasa (ada di antaranya diluluskan oleh undang-undang), tv dan media masa tidak terkawal mengikut Syariat Islam, perlembagaan negara tidak mengikut prinsip al-Quran, undang-undang negara juga tidak berdasarkan Syari’at Islam (termasuk dalam hal jenayah) dan pemimpin-pemimpin juga tidak mengikut akhlak Islam (rasuah, pecah amanah, hidup bermewah-mewah, membazir). Kenapa hal ini berlaku? Jawapannya kerana pemerintahan negara kita hari ini tidak tertegak atas dasar politik Islam, iaitu politik yang bermatlamatkan untuk menegakkan Syari’at Allah dan tuntutan agama Islam.

4.BENARKAH ALLAH MEMERINTAHKAN NABI MUHAMMAD S..A.W. SUPAYA BERDOA MEMOHON KUASA POLITIK?

Ya. Kerana pentingnya kuasa politik untuk melaksanakan Syari’at Allah dan tuntutan agama Islam, maka Allah memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w. agar berdoa memohon diberikan kuasa. Allah berfirman;

“Dan pohonkanlah (wahai Muhammad dengan berdoa): wahai Tuhanku! Masukkanlah aku ke tempat masuk yang benar dan keluarkan (pula) aku ke tempat keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan yang dapat menolongku”. (al-Isra’; 80)

Menurut ulamak-ulamak Tafsir (antaranya Imam Qatadah, Ibnu Jarir dan Ibnu Katsir), Allah menyuruh Nabi Muhammad memohon kekuasaan kerana hanya dengan kekuasaan baginda akan dapat melaksanakan Kitab Allah, hudud-hududNya, perkara-perkara yang difardhukanNya dan membantu menegakkan agama Allah. (Lihat; Tafsir Ibnu Kathir, surah al-Isra’, ayat 80)

Isnin, 18 Mei 2009

PENENTUAN AGAMA ANAK DAN HAK PENJAGAAN IBU/BAPA YANG MASIH KAFIR

Soalan : Assalamualaikum wbt.Saya ada satu kemusykilan berkaitan isu baru-baru ini yang dipaparkan di dalam akhbar.Bagaimanakah kedudukan sebenarnya agama anak dan hak penjagaan ibu/bapa yang masih kafir?

Jawapan ;

Imam al-Bukhari di dalam Sohehnya menaqalkan dari Hasan al-Basri, Syuraih, Ibrahim dan Qatadah yang berkata; jika telah Islam salah seorang dari dua ibu-bapa, maka anak hendaklah bersama ibu/bapanya yang Islam. Ibnu ‘Abbas (semasa kecilnya) tinggal bersama ibunya (yang Islam) berserta golongan mustadh’afin (yang menganut Islam) dan beliau tidak tinggal bersama bapanya yang masih menganut agama kaumnya (yakni agama musyrik). Dan beliau (yakni Ibnu ‘Abbas) menegaskan; “Islam adalah tinggi dan tidak ada yang boleh mengatasi ketinggian Islam”. (Soheh al-Bukhari, kitab al-Janaiz, bab Iza Aslama as-Sobiyyi Fa Ma-ta..).

Imam al-Khattabi menjelas; “Anak yang masih kecil jika ia berada di antara seorang muslim dan seorang kafir, maka yang muslim lebih berhak terhadapnya” (Ibanatul-Ahkam Syarah Bulughul-Maram, jil. 3, kitab al-Hadhonah, hlm. 467).

Dalam membahaskan; adakah harus hak penjagaan (hadhonah) diberikan kepada ibu atau bapa yang kafir jika salah seorang dari suami atau isteri memeluk Islam dan pasangannya tidak mahu memeluk Islam, para ulamak berbeza pandangan;

1. Menurut jumhur ulamak; hak penjaaan anak (hadhonah) tidak harus diberikan kepada ibu/bapa yang kafir kerana hadhonah adalah wilayah (penguasaan) dan Allah tidak membenarkan penguasaan orang kafir ke atas orang beriman (yakni orang beriman tidak harus perjalanan hidupnya dikuasai atau ditentukan oleh orang kafir). Ini sebagaimana firman Allah;

“Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman. (an-Nisa’; 141).

Ia sama seperti larangan wanita muslim dikahwini lelaki kafir kerana perkahwinan tersebut menyebabkan wanita muslim berada di bawah penguasaan orang kafir.

Menyerahkan anak untuk dijaga dan diasuh oleh orang kafir akan menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan agama anak terbabit kerana ibu atau bapa yang kafir sudah tentu cenderung untuk mendidik anak itu agar mengikut agamanya apabila besar nanti. Dalam hadis Rasulullah s.a.w. bersabda;

“Setiap anak yang lahir adalah lahir dalam fitrah. Dua ibu-bapanyalah yang menjadikannya yahudi atau nasrani atau majusi”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.).

Maksud fitrah di dalam hadis di atas menurut ulamak ialah Islam. Hadis ini menjelaskan bahawa bayi yang lahir asalnya adalah Islam, cuma dengan pengaruh ibu/bapanya maka ia berubah mengikut agama ibu/bapanya. Maka jika ibu/bapanya memeluk Islam, maka ia otomatik akan kembali kepada fitrahnya (Islam) dengan mengikuti ibu/bapanya yang memeluk Islam.

Hadis di atas juga menjelaskan pengaruh ibu/bapa ke atas anak. Oleh itu, tidak harus mana-mana individu menyerahkan anaknya untuk diasuh oleh isteri/suaminya yang bukan Islam kerana nanti anaknya itu akan dipengaruhi untuk menganut agama bukan Islam. Ia wajib memelihara masa depan agama anaknya dan kewajipan ini termasuk dalam arahan Allah;

“Wahai orang-orang beriman! Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari neraka” (at-Tahrim; 6)

2. Menurut mazhab Imam Abu Hanifah; hak penjagaan (hadhonah) harus diberikan kepada ibu yang masih kafir sehingga anak mencapai tujuh tahun. Namun keharusan tersebut terikat dengan syarat-syarat berikut;

a) Kekafiran ibu itu bukan kerana murtad (yakni ia adalah asal kafir)

b) Tidak dibimbangi ia akan menjejaskan agama anak tersebut (yakni keislamannya).

c) Tidak dibimbangi ia akan memberi makan makanan yang haram kepada anak tersebut.

Jika ada kebimbangan tersebut, maka hak penjagaan tidak harus diberikan kepada ibu yang kafir itu atau ditarik balik jika hak itu telah diberikan.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Fiqh al-Wadhih, Syeikh Dr. Muhammad Bakr Ismail, jil. 2, hlm. 164, bab al-Hadhanah.

2. al-Wajiz Fi al-Fiqh al-Islami, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, jil. 3, hlm. 226, maudhu’; al-Hadhanah.

3. Fiqh as-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, jil. 2, hlm. 220, maudhu’; al-Hadhanah.

4. Soheh al-Bukhari, Imam al-Bukhari, kitab al-Janaiz, bab Iza Aslama as-Sobiyyi Fa Ma-ta...

5. Ibanatul-Ahkam Syarah Bulughul-Maram, Syeikh Abi Abdillah Abdissalam ‘Allawish, jil. 3, hlm. 467, kitab al-Hadhonah.

6. Ahkam al-Aulad Fi al-Islam, Syeikh Zakariya Ahmad al-Barri, hlm. 43.

7. Anakku Anakmu (Siri Undang-Undang dan Masyarakat), Siti Zalikhah Md. Nor, hlm. 126-129.


Ahad, 17 Mei 2009

MATAN HADIS BERKAITAN MELIHAT HIBURAN

Soalan :
nak tanya ustaz pasal hadis nabi SAW tentang org yg pergi utk lihat penyanyi wanita disitu ada mkn minum,hiburan,permainan dgn kpla mrka bergoyang2 kerana melayan nyanyian tersebut dan keesokkan harinya bertukar menjadi kera dan babi.
boleh tak ustaz bagi hadis yg lengkap tentang hadis ni disertakan dgn perawi serta sanadnya.

Jawapan :

Matan hadis ialah;

عَنْ أَبِي مَالِكٍ الأَشْعَرِيِّ؛ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم (لَيَشَرَبَنَّ نَاسٌ مِنْ أُمَّتِي الْخَمْرَ. يُسَمُّونَهَا بِغَيْرِ اسْمِهَا. يُعْزَفُ عَلَى رُءُوِسِهِمْ بِالْمَعَازِفِ وَالْمُغَنّيَاتِ، يَخْسِفُ اللهُ بِهِمُ الأَرْضَ. وَيَجْعَلُ مِنْهُمُ الْقِرَدَةَ وَالْخَنَازِيِرَ

Dari Abi Musa al-Asy’ari r.a. menceritakan; Rasulullah s.a.w. bersabda; “Akan ada dari umatku segolongan manusia yang meminum arak dengan mereka menamakannya dengan nama lain, kepala mereka dilalaikan dengan bunyi-bunyian dan penyanyi-penyani wanita. Allah akan membenamkan mereka ke dalam bumi dan menjadikan sebahagian mereka kera dan babi.

(Riwayat Imam Ibnu Majah, Ibnu Hibban, at-Tabrani dan al-Baihaqi. Lihat; al-Jami’ as-Saghier (Imam as-Suyuti), hadis no. 7706).

Menurut Imam as-Syaukani dalam Nailul-Autar; hadis di atas diriwayatkan juga oleh Imam Abu Daud dan disohehkan oleh Imam Ibnu Hibban, di samping terdapat hadis-hadis lain menguatkannya. (Nailul-Autar, juz. 8, Kitab al-Jihad Wa as-Siyar, bab Ma Ja-a Fi Alati al-Lahwi). Menurut Imam as-Suyuti; hadis di atas adalah soheh. (al-Jami’ as-Saghier, no. 7706). Menurut Imam Ibnul-Qayyim; isnad (yakni jalan periwayatan) hadis ini adalah soheh. (Lihat; ‘Aunul-Ma’bud, juz 13, bab Karahiyatul-Ghina’.., m.s. 185 dan Faidhul-Qadier, syarah hadis no. 7706).

Dalam Soheh Imam al-Bukhari, lafaznya ialah;

ليكونن من أمتي قوم يستحلون الحر والحرير والخمر والمعازف

“Akan ada di kalangan umatku satu kaum yang akan menghalalkan penzinaan, sutera, arak dan bunyi-bunyian” (Riwayat Imam al-Bukhari dari Abi Musa al-Asy’ari, kitab al-Asyribah, bab Ma Ja-a Fi Man Yastahill al-Khamr wa Yusammiihi bi Ghair Ismihi, no. 5268).

Wallahu a’lam.

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...