Isnin, 18 Mei 2009

PENENTUAN AGAMA ANAK DAN HAK PENJAGAAN IBU/BAPA YANG MASIH KAFIR

Soalan : Assalamualaikum wbt.Saya ada satu kemusykilan berkaitan isu baru-baru ini yang dipaparkan di dalam akhbar.Bagaimanakah kedudukan sebenarnya agama anak dan hak penjagaan ibu/bapa yang masih kafir?

Jawapan ;

Imam al-Bukhari di dalam Sohehnya menaqalkan dari Hasan al-Basri, Syuraih, Ibrahim dan Qatadah yang berkata; jika telah Islam salah seorang dari dua ibu-bapa, maka anak hendaklah bersama ibu/bapanya yang Islam. Ibnu ‘Abbas (semasa kecilnya) tinggal bersama ibunya (yang Islam) berserta golongan mustadh’afin (yang menganut Islam) dan beliau tidak tinggal bersama bapanya yang masih menganut agama kaumnya (yakni agama musyrik). Dan beliau (yakni Ibnu ‘Abbas) menegaskan; “Islam adalah tinggi dan tidak ada yang boleh mengatasi ketinggian Islam”. (Soheh al-Bukhari, kitab al-Janaiz, bab Iza Aslama as-Sobiyyi Fa Ma-ta..).

Imam al-Khattabi menjelas; “Anak yang masih kecil jika ia berada di antara seorang muslim dan seorang kafir, maka yang muslim lebih berhak terhadapnya” (Ibanatul-Ahkam Syarah Bulughul-Maram, jil. 3, kitab al-Hadhonah, hlm. 467).

Dalam membahaskan; adakah harus hak penjagaan (hadhonah) diberikan kepada ibu atau bapa yang kafir jika salah seorang dari suami atau isteri memeluk Islam dan pasangannya tidak mahu memeluk Islam, para ulamak berbeza pandangan;

1. Menurut jumhur ulamak; hak penjaaan anak (hadhonah) tidak harus diberikan kepada ibu/bapa yang kafir kerana hadhonah adalah wilayah (penguasaan) dan Allah tidak membenarkan penguasaan orang kafir ke atas orang beriman (yakni orang beriman tidak harus perjalanan hidupnya dikuasai atau ditentukan oleh orang kafir). Ini sebagaimana firman Allah;

“Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman. (an-Nisa’; 141).

Ia sama seperti larangan wanita muslim dikahwini lelaki kafir kerana perkahwinan tersebut menyebabkan wanita muslim berada di bawah penguasaan orang kafir.

Menyerahkan anak untuk dijaga dan diasuh oleh orang kafir akan menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan agama anak terbabit kerana ibu atau bapa yang kafir sudah tentu cenderung untuk mendidik anak itu agar mengikut agamanya apabila besar nanti. Dalam hadis Rasulullah s.a.w. bersabda;

“Setiap anak yang lahir adalah lahir dalam fitrah. Dua ibu-bapanyalah yang menjadikannya yahudi atau nasrani atau majusi”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.).

Maksud fitrah di dalam hadis di atas menurut ulamak ialah Islam. Hadis ini menjelaskan bahawa bayi yang lahir asalnya adalah Islam, cuma dengan pengaruh ibu/bapanya maka ia berubah mengikut agama ibu/bapanya. Maka jika ibu/bapanya memeluk Islam, maka ia otomatik akan kembali kepada fitrahnya (Islam) dengan mengikuti ibu/bapanya yang memeluk Islam.

Hadis di atas juga menjelaskan pengaruh ibu/bapa ke atas anak. Oleh itu, tidak harus mana-mana individu menyerahkan anaknya untuk diasuh oleh isteri/suaminya yang bukan Islam kerana nanti anaknya itu akan dipengaruhi untuk menganut agama bukan Islam. Ia wajib memelihara masa depan agama anaknya dan kewajipan ini termasuk dalam arahan Allah;

“Wahai orang-orang beriman! Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari neraka” (at-Tahrim; 6)

2. Menurut mazhab Imam Abu Hanifah; hak penjagaan (hadhonah) harus diberikan kepada ibu yang masih kafir sehingga anak mencapai tujuh tahun. Namun keharusan tersebut terikat dengan syarat-syarat berikut;

a) Kekafiran ibu itu bukan kerana murtad (yakni ia adalah asal kafir)

b) Tidak dibimbangi ia akan menjejaskan agama anak tersebut (yakni keislamannya).

c) Tidak dibimbangi ia akan memberi makan makanan yang haram kepada anak tersebut.

Jika ada kebimbangan tersebut, maka hak penjagaan tidak harus diberikan kepada ibu yang kafir itu atau ditarik balik jika hak itu telah diberikan.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Fiqh al-Wadhih, Syeikh Dr. Muhammad Bakr Ismail, jil. 2, hlm. 164, bab al-Hadhanah.

2. al-Wajiz Fi al-Fiqh al-Islami, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, jil. 3, hlm. 226, maudhu’; al-Hadhanah.

3. Fiqh as-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, jil. 2, hlm. 220, maudhu’; al-Hadhanah.

4. Soheh al-Bukhari, Imam al-Bukhari, kitab al-Janaiz, bab Iza Aslama as-Sobiyyi Fa Ma-ta...

5. Ibanatul-Ahkam Syarah Bulughul-Maram, Syeikh Abi Abdillah Abdissalam ‘Allawish, jil. 3, hlm. 467, kitab al-Hadhonah.

6. Ahkam al-Aulad Fi al-Islam, Syeikh Zakariya Ahmad al-Barri, hlm. 43.

7. Anakku Anakmu (Siri Undang-Undang dan Masyarakat), Siti Zalikhah Md. Nor, hlm. 126-129.


Tiada ulasan:

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...