Friday, July 31, 2009

NAFKAH ANAK

Soalan : Assalamualaikum Ustaz, Saya sudah bercerai dengan isteri kira-kira 3 tahun lalu, kami mempunyai seorang anak perempuan berumur 8 tahun. Bekas isteri telah berkahwin dan saya masih menduda. Sepanjang penceraian saya, setiap bulan saya ada mengirim wang nafkah yang dipersetujui bersama. Tetapi, saya ada mendengar nasihat dari rakan, bahawa saya tidak perlu untuk memberi nafkah lagi, kerana bekas isteri dan anak telah ditanggung oleh suaminya. Boleh ustaz terangkan dengan lebih terperinci samada saya wajib memberi nafkah keatasnya atau tidak?

Jawapan :

Pemberian nafkah wajib kerana tiga factor;

1. Ikatan perkahwinan
2. Pertalian keluarga
3. Pemilikan (yakni hamba yang dimiliki)

Walaupun saudara telah terputus ikatan perkahwinan dengan isteri saudara kerana penceraian, namun pertalian keluarga antara saudara dengan anak-anak saudara tidak pernah putus. Kerana itu, saudara wajib memberi nafkah kepada mereka selagi mereka memerlukan dan mereka tidak mempunyai harta atau pendapatan sendiri untuk menyara hidup merangkumi makanan, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya. Telah ijmak para ulamak bahawa; wajib ke atas seorang itu menyara anak-anak (dan begitu juga dua ibu-bapanya) jika memenuhi syarat-syarat berikut;

1. Mereka adalah miskin, tidak memiliki harta dan tidak mempunyai sumber pendapatan. Jika mereka mempunyai harta atau memiliki sumber pendapatan sendiri, tidaklah wajib lagi ia menyara mereka. Namun digalakkan ia meneruskan pemberiannya kepada mereka untuk mengekal kasih sayang dan silaturrahim.

2. Ia mempunyai kemampuan untuk menanggung mereka; sama ada dengan hartanya atau dengan sumber pendapatannya. Kemampuan ini merangkumi kos saraan untuk diri sendiri dan isteri. Jika ada lebihan, barulah ia wajib menyara ahli-ahli keluarga yang lain. Para ulamak menetapkan susunan keutamaan nafkah adalah seperti berikut;

a) Diri sendiri
b) Isteri
c) Anak
d) Bapa
e) Ibu
f) Cucu
g) Datuk
h) Saudara
i) Ahli-ahli keluarga berikutnya.

Di dalam hadis, Rasulullah s.a.w. menegaskan; “Mulailah dengan diri kamu, bersedekahlah kepada diri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk isteri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk ahli keluarga kamu. Jika ada lebihan lagi, maka untuk begini dan begini; yakni untuk orang di hadapan kamu, di kanan dan kiri kamu” (Riwayat Imam Muslim dan an-Nasai dari Jabir r.a.. al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 46).

Berkata Imam an-Nawawi mengulas hadis ini; di antara kesimpulan dari hadis ini ialah; hendaklah pemberian nafkah dimulakan mengikut tertib yang tersebut (dalam hadis). (Syarah Soheh Muslim, juz 7, Kitab az-Zakah, bab al-Ibtida’ Fi an-Nafaqah Bin-Nafsi Tsumma Ahlihi Tsumma al-Qarabah)

Wallahu a’lam.

Rujukan;


1. Manar as-Sabil, 2/305.
2. al-Fiqh al-Wadhih, 2/169-171
3. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, juz. 7.
Post a Comment