Sunday, 6 September 2009

MEMASUKKAN JARI KE DALAM PUSAT; ADAKAH BATAL PUASA?

Soalan;

assalamualaikum ustaz, saya musykil dgn satu perkara; adakah memasukkan jari ke dalam pusat badan termasuk di dalam perkara yg membatalkan puasa dan jika ianya tergolong di dalam memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan? terima kasih

Jawapan;

Tidak membatalkan puasa kerana pusat bukanlah rongga terbuka yang mempunyai saliran yang sampai ke perut. Kecualilah jika pusat itu mengalami luka atau tertusuk menembusi ke perut maka ketika itu batallah puasa jika dimasukkan sesuatu (menurut mazhab Syafi'ie).

Wallahu a'lam.

WANG SEDEKAH KEMATIAN, ADAKAH RUH PERGI KE RUMAH ANAK-ANAK?

Soalan;

Ibu saya baru saja meninggal dunia,sementara bapa saya telah meninggal dunia 17 tahun lepas..ibu saya tinggal dengan adik lelaki saya yang telah berumahtangga,tapi belum mendapat anak..Apakah yang harus dibuat dengan wang sedekah tersebut?Abang saya ada mencadangkan disedekahkan wang itu dengan membelanjakannya membeli kitab alquraan kemasjid2 .Saya pula menerima wang sedekah itu dari jiran2 dan teman dan sedara mara..bolehkah saya sedekahkan wang itu atas nama ibu dan bapa saya kemasjid2 atau kesaluran2 yang lain,dan tidak menyerahkan kapada adik saya yang menjaga ibu saya,kerana kami tidak serumah.kakak saya yang tua mencadangkan supaya berbuat begitu.Boleh ke sebutkan sekali nama aruah bapa saya sekali?sedangkan wang itu diberi untuk aruah ibu saya..

2)Apakah maknanya ruh akan pergi dari rumah kita sateklah 40 hari..berkaitan sekali dengan kenduri tahlil,banyak yang mengatakan ruhnya pergi kerumah anak2 selama itu..adakah ini bidaah?Tolong terangkan ustaz,banyak yang masih keliru dalam hal ini..terimakaseh

Jawapan;

1. Jika sedekah disalurkan melalui wakil atau orang tengah, sedekah itu hendaklah disalurkan mengikut niat pemberi sedekah. Biasanya sedekah pada hari kematian bukanlah untuk si mati, akan tetapi diberikan untuk membantu keluarga si mati bagi menguruskan jenazah si mati atau sebagai tanda simpati kepada mereka atas kehilangan orang tersayang. Pada zaman Nabi s.a.w., tatkala Jaafar terkorban syahid di medan perang, Nabi s.a.w. menyuruh para sahabatnya untuk memasak makanan dan memberikan kepada keluarga Jaafar bagi mengurangkan kesedihan mereka.[1] Oleh itu, sebaiknya wang sedekah itu digunakan bagi untuk pengurusan jenazah si mati dan jika berbaki hendaklah diberikan kepada keluarga si mati tertutamanya orang yang tinggal bersama si mati dan menjaganya. Namun jika keluarga sepakat untuk menggunakan wang itu bagi disedekahkan kembali bagi pihak si mati (atau orang lain besamanya), tidaklah menjadi halangan Insya Allah. Apa yang penting perlu diingat ialah; janganlah kerana wang yang tidak seberapa itu adik-beradik bermasam muka dan tidak bertegur sapa sebagaimana biasa berlaku dalam masyarakat kita.

2. Kepercayaan bahawa ruh masih tinggal di dunia selepas mati kepercayaan tersebut bukanlah dari Islam. Ia adalah warisan Hindu lama. Dalam Islam, apabila seseorang itu meninggal ruhnya akan berpindah ke alam Barzakh iaitu alam lain dari alam dunia ini. Tahlil yang dibuat tiada kaitan dengan kepercayaan salah itu. Ia tidak lain hanyalah tawassul kita kepada Allah (dengan bacaan al-Quran, zikir, selawat dan sebagainya) untuk memohon dari Allah agar Ia mengurniakan rahmat dan keampunan untuk si mati di alam Barzakh.

Wallahu a'lam.

Nota hujung;

[1] Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi dan lain-lain dari Abdullah bin Jaafar r.a.. (Menurut as-Suyuti; hadis ini soheh. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 1091).

MASALAH DENGAN IBU MERTUA, SUAMI DIDESAK MENCERAIKAN ISTERI, MENCACI DI BULAN RAMADHAN

Soalan;

Assalamualaikum ustaz. Saya ingin mengutarakan beberapa persoalan.
i) Berdosakan /anak derhakakah seorang anak lelaki yang mengambil berat akan ibu bapanya. Tetapi ibu tersalah faham akan apa yang dicakapkan oleh anak terhadapnya. (ibu terlalu mendengar kata anak-anak yang lain)
ii) Patutkah suami saya menceraikan saya atas desakan adik perempuannya dengan berkata " isteri boleh dicari tetapi mak seorang sahaja", demi menjaga keluarganya.
iii) Apakah hukumnya pula kalau anak perempuan yang sudah berkahwin tinggal bersama maknya dan berjauhan dengan suami, serta menyusahkan emaknya dengan tidak membantu membuat kerja-kerja rumah.
iv) Apakah pula hukum orang yang mencaci dan memaki di bulan puasa yang mulia ini ustaz.
- ustaz saya harap ustaz dapat menjawab semua persoalan saya ini. saya dan suami buntu. sekian terima kasih.

Jawapan;

1. Anak wajib berlaku baik kepada dua ibu-bapanya. Jika mereka miskin, wajib anak menafkahi mereka. Hendaklah sentiasa bertutur dengan baik di hadapan mereka, menjaga hati mereka dan menggunakan bahasa yang lunak jika ingin menegur mereka. Apabila ibu-bapa telah tua mereka kadangkala terlalu sensitive dan mudah tersentuh hati, maka ketika itu anak hendaklah banyak bersabar dan bertolak ansur. Jika berlaku situasi bermasam muka –mungkin kerana salah faham atau hasutan orang lain- anak hendaklah terlebih dahulu memohon maaf dan cuba membetulkan keadaan walaupun pada hakikatnya dia tidak bersalah. Di dalam hadis Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya); “Sesiapa merendah diri kerana Allah, Allah akan mengangkat darjatnya” (Riwayat Abu Nu'aim di dalam al-Hilyah dari Abu Hurairah r.a. Menurut as-Suyuti; hadis ini hasan. Lihat; al-Jami' as-Saghier, hadis no. 8605).

2. Manusia –termasuk ibu atau bapa atau ahli keluarga- hanya boleh ditaati jika mereka menyuruh kepada kebaikan. Tidak harus suami mentaati mana-mana orang yang mendesaknya untuk menceraikan isterinya yang soleh yang tidak pernah nusyuz sama ada orang itu ibu, bapa atau sebagainya. Ada setengah ulamak mengharuskan suami menceraikan isterinya atas permintaan bapanya tetapi dengan syarat bapa adalah orang soleh dan menjadi tabiat orang soleh tidak akan menganiayai sesiapa tanpa sebab. Adapun jika bapa tidak soleh, tidak wajib mentaati kehendaknya itu. Menurut ulamak; tidak masuk dalam kategori kebaikan kepada ibu-bapa dengan mentaati mereka supaya menceraikan isteri yang baik dan tidak dinamakan anak durhaka jika si anak tidak mentaati ibu atau bapa supaya menceraikan isterinya tanpa sebab yang munasabah.

3. Isteri tidak harus tinggal di luar rumah suaminya kecuali dengan izin suaminya. Tanpa keizinan suami, ia berdosa dan dikira isteri yang nusyuz. Mengenai menyusahkan ibu, tidak seharusnya seorang anak menyusahkan ibunya. Di antara pengertian berbuat baik kepada ibu-bapa yang dituntut di dalam al-Quran dan hadis ialah membantu mereka jika dalam kesusahan dan tidak melakukan perkara yang menyusahkan mereka.

4. Di antara kewajipan seorang muslim ialah mernjaga lidah. Di dalam hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, hendaklah ia bercakap yang baik-baik atau ia senyap sahaja”. Mencaci-maki adalah dosa. Jika dilakukan di bulan Ramadhan akan mengurangkan pahala puasa. Jadi, ia akan mendapat dua kerugian; (pertama) dosanya makin bertimbun kerana caci-maki itu, dan (kedua) pahala puasanya berkurangan. Bagi orang yang dicaci atau dimaki pula, ia hendaklah bersabar dan jangan membalas cacian atau makian itu dengan cacian atau makian pula. Dalam hadis, Nabi s.a.w. menasihatkan kepada orang berpuasa; “Apabila ada orang datang kepada kamu mencaci dan mengherdik kamu, katakan kepadanya; ‘Aku sedang berpuasa’ (yakni jangan pula membalasnya dengan mencaci pula)” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.).

Wallahu a'lam.

CARA MENGAGIHKAN ZAKAT FITRAH

Soalan;

Assalamualaikum. Bolehkah saya mengeluarkan zakat fitrah bagi isteri, 3 org. anak kepada orang cacat. Zakat itu saya terus bagi kpd.nya.Semua zakat itu sebanyak Rm50 cth.nya saya bagi kepadanya.sahkah zakat saya

Jawapan;

Soalan saudara berkait dengan cara menyalur/mengagihkan zakat fitrah. Hukumnya adalah seperti berikut;

1. Telah disepakati oleh para ulama’ bahawa pengagihan zakat fitrah adalah sebagaimana zakat-zakat yang lain iaitu kepada lapan golongan yang disebut oleh Allah dalam surah at-Taubah, ayat 60, iaitu;
a)Untuk golongan fakir
b)Untuk golongan miskin
c)Untuk golongan muallaf yang hendak dijinakkan hatinya dengan agama
d)Untuk ‘amil-amil yang dilantik menguruskan zakat
e)Untuk hamba-hamba yang ingin memerdekakan dirinya
f)Untuk orang-orang yang dibelenggu oleh hutang
g)Untuk dibelanjakan bagi kemaslahan agama Allah (Fi Sabilillah)
h)Untuk orang-orang musafir yang terputus bekalan

2. Namun hendaklah diutamakan golongan fakir dan miskin kerana terdapat arahan Rasulullah s.a.w. supaya kita membantu mencukupkan keperluan mereka pada hari raya sebagaimana yang terdapat dalam satu hadis; “Rasulullah s.a.w. telah mewajibkan zakat fitrah dan baginda berpesan; “Cukupkanlah keperluan mereka (yakni orang-orang fakir miskin) pada hari ini (yakni hari raya puasa)”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dan Daruqutni/lihat hadis ini dalam Nailul-Authar, Imam asy-Syaukani, bab Zakat al-Fitri).[1]

3. Harus bagi orang yang mengeluarkan zakat fitrah mengagihkan sendiri zakat fitrahnya kepada orang-orang yang berhak dari kalangan fakir dan miskin. Memberi zakat kepada kaum kerabat adalah lebih utama (dari memberi kepada orang lain) dengan syarat mereka miskin dan memerlukan. Maksud kaum kerabat di sini ialah saudara-mara yang tidak wajib kita menanggung nafkah mereka iaitu saudara-saudara (adik, abang atau kakak), anak-anak saudara, bapa-bapa saudara, ibu-ibu saudara, sepupu dan sebagainya. Adapun kaum kerabat (atau ahli keluarga) yang wajib kita menanggung nafkah mereka (iaitu isteri, anak, cucu, bapa, ibu dan datuk) tidak harus kita memberi zakat kita kepada mereka.

4. Dalam mengagihkan zakat, harus kita memberi zakat kita kepada seorang fakir sahaja dan harus juga kepada ramai fakir jika zakat kita itu banyak dan boleh menampung lebih dari seorang fakir. Lebih jelas; satu zakat hanya harus diberikan kepada seorang fakir sahaja. Adapun banyak zakat, ia harus sama ada hendak diberikan kepada seorang sahaja atau diberikan kepada ramai orang (dengan syarat setiap orang tidak mendapat kurang dari kadar satu zakat yang ditetapkan pada tahun tersebut).[2]

Merujuk kepada soalan saudara di atas, harus saudara memberi zakat kepada orang cacat jika mereka miskin atau sekurang-kurang berada di dalam salah satu dari lapan golongan yang berhak menerima zakat di atas. Semata-mata cacat belum tentu mereka layak menerima zakat kerana ada orang cacat yang kaya dan berada. Berhubung penerima zakat, harus saudara memberi kepada seorang penerima sahaja atau memberi kepada ramai penerima jika zakat itu banyak dan setiap orang menerima tidak kurang dari satu zakat.

Wallahu a’lam.

Rujukan;
1. al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jil. 2, hlm. 912)
2. al-Mufassal fi ahkamil-Marah wa al-Baitil-Muslim, jil. 1, hlm. 469
3. ad-Darari al-Madhiyyah syarh ad-Durari al-Bahiyyah, Imam asy-Syaukani, hlm. 221.

Nota Hujung;

[1] Berkata Imam asy-Syaukani; “…Adapun pengagihan zakat fitrah adalah sebagaimana pengagihan zakat yang lain kerana Rasulullah menamakannya dengan zakat… Akan tetapi, hendaklah didahulukan orang-orang fakir kerana terdapat arahan dari baginda supaya mencukupkan mereka pada hari raya. Kemudian, yang selebihnya dari keperluan mereka barulah dibelanjakan untuk golongan-golongan yang lain”. (Lihat; ad-Darari al-Madhiyyah syarh ad-Durari al-Bahiyyah, Imam asy-Syaukani, hlm. 221) Pandangan Imam asy-Syaukani ini dipersetujui oleh ulama’-ulama’ semasa hari ini antaranya Syeikh Dr. Yusuf al-Qradhawi (dalam Fiqhu az-Zakahnya) dan juga Syeikh Abu Bakar al-Jazairi (dalam Minhajul-Muslim).

[2] Cara pengagihan hendaklah bergantung kepada keperluan, maslahah, kecukupan serta kadar zakat. Dalam memberi zakat, pemberi zakat hendaklah mencari orang yang paling berhak menerima zakatnya berbanding orang lain. Namun ia tidak dituntut supaya menyama-ratakan semua orang yang berhak dari kalangan fakir dan miskin yang ada dalam negeri atau kampungnya kerana pada zaman Sahabat sendiri, orang Islam biasa membayar zakat fitrah bagi diri dan keluarganya kepada seorang fakir sahaja. (Rujuk; al-Mufassal fi ahkamil-Marah wa al-Baitil-Muslim, jil. 1, hlm. 469).

Saturday, 5 September 2009

BANTUAN KITA UNTUK SI MATI

Soalan;

Salam, ustaz. suami saya baru meninggal sebulan yang lalu. Selain berdoa, apakah lagi perkara-perkara yang dapat saya lakukan untuk membantu arwah di alam barzakh? Sekian , terima kasih.

Jawapan;

a) Berdoa dan memohon ampun untuknya
b) Memberi infak dan bersedekah untuknya; termasuk infak jariah, wakaf dan sebagainya.
c) Berpuasa ganti untuknya atau membayar fidyah.
d) Melunasi hutangnya
e) Melakukan haji untuknya

Perkara di atas telah disepakati oleh sekelian ulamak bahawa ia akan sampai kepada si mati dan memberi manfaat kepadanya di alam barzakh jika dilakukan dengan ikhlas dan penuh harap kepada Allah. Adapun membaca al-Quran dan berzikir untuk si mati, para ulamak berikhtilaf. Jumhur ulamak berpendapat; ia sampai kepada si mati terutama jika diikuti dengan berdoa selepasnya. Ada sebahagian ulamak berpendapat; ia tidak sampai.

Untuk tambahan, sila baca ulasan/jawapan saya sebelum ini;
1. Amalan untuk si arwah (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2009/02/amalan-untuk-si-arwah.html).
2. Qadha puasa dan fidyah untuk si mati (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/10/qadha-puasa-dan-fidyah-untuk-si-mati.html).
3. Amalan orang hidup untuk si mati (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/09/amalan-orang-hidup-untuk-orang-mati.html) dan (http://koleksi-alqalam.blogspot.com/2008/09/amalan-orang-hidup-untuk-si-mati.html).

Wallahu a’lam.

BERADA DALAM HADAS HINGGA SELEPAS SUBUH; ADAKAH BATAL PUASA?

Soalan;

salam, ustaz saya ada satu kemuskilan tetang bab puasa, sah atau tidak puasa seseorang sekiranya dia tidak mandi hadas setelah melakukan jimak di malam hari?? dia hanya mandi hadas setelah masuk waktu subuh keesokannya??? sekian,

Jawapan;

Tidak menjadi masalah mandi selepas subuh. Yang membatalkan puasa ialah jika jimak dilakukan selepas subuh. Adapun jika jimak berlaku sebelum subuh, cuma mandi sahaja yang dilakukan selepas subuh, itu tidak menjejaskan puasa kerana puasa tidak disyaratkan suci dari hadas. Ramai yang bertanya soalan ini. Sebenarnya telah saya jawab sebelum ini. Sila baca di; (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/08/mandi-junub-selepas-imsak.html).

Wallahu a'lam.

MASALAH HARI RAYA DI DUA NEGARA BERLAINAN

Soalan;

Assalammualaikum, Saya ingin bertanya;

1.Saya berada di poland dan berpuasa awal sehari dari malaysia, kemusykilan saya apabila saya kembali ke malaysia saya sudah raya mengikut puasa di poland,jadi bila saya sampai di malaysia tinggal 2 hari lagi nak raya, dikira macam mane keadaan ini,adakah saya perlu sambung puasa mengikut di malaysia atau macam mana?

2. Saya dalam kapal terbang dalam bulan puasa sedangkan saya tidak tahu siang atau malam,makan mengikut waktu ditetapkan dalam kapal terbang,adakah dikira musafir atau macam mane?

mohon perjelasan dengan segera kemusykilan saya ini

Jawapan;

1. Hendaklah saudara menyambut hari raya mengikut negeri tempat saudara berada semasa tiba syawal (dalam kes di atas di Malaysia). Di dalam hadis Rasulullah menegaskan; “Berpuasalah (yakni mulakanlah puasa Ramadhan) apabila kamu melihat anak bulan dan berbukalah (yakni sambutlah hari raya) apabila kamu melihat anak bulan”. Apabila kita berada di satu negeri, tarikh puasa kita dan juga tarikh raya hendaklah mengikut anak bulan yang muncul di negeri tersebut.
Jika membawa kepada berkurangan bilangan puasa (yakni puasa menjadi 28 hari sahaja), hendaklah diqadha sehari selepas hari raya kerana bulan Islam (hijrah) tidak boleh kurang dari 29 hari. Adapun jika membawa kepada lebihan hari (yakni puasa menjadi 31 hari), sehari yang lebih itu akan mendapat pahala sunat, insya Allah.

2. Bagi soalan kedua, jika saudara berpuasa, saudara hendaklah berbuka apabila meyakini matahari terbenam iaitu apabila melihat malam, tanpa mengira sama ada bilangan jam saudara berpuasa menjadi lebih pendek atau menjadi lebih panjang. Jadi, yang menjadi ukuran ialah apabila terbenam matahari maka tibalah masa berbuka puasa walau di mana saudara berada. Mungkin di atas kapal terbang saudara tidak dapat memastikan secara tepat bila matahari terbenam, namun saudara dapat memastikan malam telah tiba atau tidak dengan memerhati di luar kapal terbang. Jika berpuasa mendatangkan kesulitan, saudara boleh berbuka kerana seorang yang berada dalam musafir yang jauh (yakni melebihi 2 marhalah iaitu 85-90km) diharuskan berbuka puasa oleh Syarak, namun saudara wajib mengqadhanya semula selepas Ramadhan. Untuk penjelasan lebih lanjut, sila baca jawapan saya sebelum ini; (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/09/ukuran-waktu-berbuka-bagi-orang-musafir.html).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Min Ahsanil-Kalam, Fatawa Syeikh ‘Athiyah Saqar, 2/6.
2. Fatawa Arkan al-Islam, Syeikh Muhammad bin Soleh al-Utsaimin, hlm. 302.
3. Fatawa Syeikh Dr. Ahmad al-Hija al-Kurdi (http://www.islamic-fatwa.com).