Ahad, 6 September 2009

CARA MENGAGIHKAN ZAKAT FITRAH

Soalan;

Assalamualaikum. Bolehkah saya mengeluarkan zakat fitrah bagi isteri, 3 org. anak kepada orang cacat. Zakat itu saya terus bagi kpd.nya.Semua zakat itu sebanyak Rm50 cth.nya saya bagi kepadanya.sahkah zakat saya

Jawapan;

Soalan saudara berkait dengan cara menyalur/mengagihkan zakat fitrah. Hukumnya adalah seperti berikut;

1. Telah disepakati oleh para ulama’ bahawa pengagihan zakat fitrah adalah sebagaimana zakat-zakat yang lain iaitu kepada lapan golongan yang disebut oleh Allah dalam surah at-Taubah, ayat 60, iaitu;
a)Untuk golongan fakir
b)Untuk golongan miskin
c)Untuk golongan muallaf yang hendak dijinakkan hatinya dengan agama
d)Untuk ‘amil-amil yang dilantik menguruskan zakat
e)Untuk hamba-hamba yang ingin memerdekakan dirinya
f)Untuk orang-orang yang dibelenggu oleh hutang
g)Untuk dibelanjakan bagi kemaslahan agama Allah (Fi Sabilillah)
h)Untuk orang-orang musafir yang terputus bekalan

2. Namun hendaklah diutamakan golongan fakir dan miskin kerana terdapat arahan Rasulullah s.a.w. supaya kita membantu mencukupkan keperluan mereka pada hari raya sebagaimana yang terdapat dalam satu hadis; “Rasulullah s.a.w. telah mewajibkan zakat fitrah dan baginda berpesan; “Cukupkanlah keperluan mereka (yakni orang-orang fakir miskin) pada hari ini (yakni hari raya puasa)”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dan Daruqutni/lihat hadis ini dalam Nailul-Authar, Imam asy-Syaukani, bab Zakat al-Fitri).[1]

3. Harus bagi orang yang mengeluarkan zakat fitrah mengagihkan sendiri zakat fitrahnya kepada orang-orang yang berhak dari kalangan fakir dan miskin. Memberi zakat kepada kaum kerabat adalah lebih utama (dari memberi kepada orang lain) dengan syarat mereka miskin dan memerlukan. Maksud kaum kerabat di sini ialah saudara-mara yang tidak wajib kita menanggung nafkah mereka iaitu saudara-saudara (adik, abang atau kakak), anak-anak saudara, bapa-bapa saudara, ibu-ibu saudara, sepupu dan sebagainya. Adapun kaum kerabat (atau ahli keluarga) yang wajib kita menanggung nafkah mereka (iaitu isteri, anak, cucu, bapa, ibu dan datuk) tidak harus kita memberi zakat kita kepada mereka.

4. Dalam mengagihkan zakat, harus kita memberi zakat kita kepada seorang fakir sahaja dan harus juga kepada ramai fakir jika zakat kita itu banyak dan boleh menampung lebih dari seorang fakir. Lebih jelas; satu zakat hanya harus diberikan kepada seorang fakir sahaja. Adapun banyak zakat, ia harus sama ada hendak diberikan kepada seorang sahaja atau diberikan kepada ramai orang (dengan syarat setiap orang tidak mendapat kurang dari kadar satu zakat yang ditetapkan pada tahun tersebut).[2]

Merujuk kepada soalan saudara di atas, harus saudara memberi zakat kepada orang cacat jika mereka miskin atau sekurang-kurang berada di dalam salah satu dari lapan golongan yang berhak menerima zakat di atas. Semata-mata cacat belum tentu mereka layak menerima zakat kerana ada orang cacat yang kaya dan berada. Berhubung penerima zakat, harus saudara memberi kepada seorang penerima sahaja atau memberi kepada ramai penerima jika zakat itu banyak dan setiap orang menerima tidak kurang dari satu zakat.

Wallahu a’lam.

Rujukan;
1. al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jil. 2, hlm. 912)
2. al-Mufassal fi ahkamil-Marah wa al-Baitil-Muslim, jil. 1, hlm. 469
3. ad-Darari al-Madhiyyah syarh ad-Durari al-Bahiyyah, Imam asy-Syaukani, hlm. 221.

Nota Hujung;

[1] Berkata Imam asy-Syaukani; “…Adapun pengagihan zakat fitrah adalah sebagaimana pengagihan zakat yang lain kerana Rasulullah menamakannya dengan zakat… Akan tetapi, hendaklah didahulukan orang-orang fakir kerana terdapat arahan dari baginda supaya mencukupkan mereka pada hari raya. Kemudian, yang selebihnya dari keperluan mereka barulah dibelanjakan untuk golongan-golongan yang lain”. (Lihat; ad-Darari al-Madhiyyah syarh ad-Durari al-Bahiyyah, Imam asy-Syaukani, hlm. 221) Pandangan Imam asy-Syaukani ini dipersetujui oleh ulama’-ulama’ semasa hari ini antaranya Syeikh Dr. Yusuf al-Qradhawi (dalam Fiqhu az-Zakahnya) dan juga Syeikh Abu Bakar al-Jazairi (dalam Minhajul-Muslim).

[2] Cara pengagihan hendaklah bergantung kepada keperluan, maslahah, kecukupan serta kadar zakat. Dalam memberi zakat, pemberi zakat hendaklah mencari orang yang paling berhak menerima zakatnya berbanding orang lain. Namun ia tidak dituntut supaya menyama-ratakan semua orang yang berhak dari kalangan fakir dan miskin yang ada dalam negeri atau kampungnya kerana pada zaman Sahabat sendiri, orang Islam biasa membayar zakat fitrah bagi diri dan keluarganya kepada seorang fakir sahaja. (Rujuk; al-Mufassal fi ahkamil-Marah wa al-Baitil-Muslim, jil. 1, hlm. 469).

7 ulasan:

ayub berkata...

Assalamualikum,

Ustaz, bagaimana dengan seorang isteri yang suaminya telah meninggal dunia, Siapakah yang bertanggungjawab diatas zakat fitrah sekiranya ia(siisteri) mempunyai beberapa orang anak lelaki ?

Terima kasih.

Ceria Sayang berkata...

salam..
ustaz adakah salah seorang ketua ( muslimat) sambut hari lahir rakan exconya ( muslimin ) bersama ahli-ahli organisasinya ( ada muslimin dan muslimat )? tujuannya untuk rapatkan ukhwah..

Unknown berkata...

Assalamualaikum…Ustaz, sya ada kemusykilan tentang tasbih yg sya miliki skrng…, tasbih itu sya beli kerana tertarik kerana kelihatan antik dan sya gunakan untuk berzikir , kemudian timbul keraguan dalam diri kerana jumlahnya 108 butir. sya selidiki rupa2nya iadalah kegunaan bagi sami hindu atau sami buddha kerana jumlahnya 108 butir..lalu saya ubah menjadi 100.jadi apa perlu sya buat…bolehkah sya menggunakannya untuk berzikir kerana Allah…?!!!

dukun berkata...

Asslamualaikum.

Saya ada soalan nak tanya dan minta pendapat dari ustaz.

Saya berusia 28thn dan masih bujang.
Seorang kawan saya baru meninggal dunia pada sebulan yg lalu meninggalkan seorang balu dan 5 org anak perempuan.
Anak perempuan yang sulung baru berusia 16thn dan yang bongsu dalam lingkungan 8thn.
Sehari sebelum meninggal arwah ada berpesan kepada anak perempuan sulungnya selepas habis belajar supaya bernikah dgn saya.
Itu yg di beritahu kepada saya oleh isteri arwah sehari selepas arwah meniggal.
Disini saya ada keraguan samada info yg diberikan benar ataupun tidak. Apa yg pasti hati saya berkata ianya tidak benar.
Setiap hari persoalan ini bermain di fikiran saya sampai dah buntu.
Secara jujurnya saya kurang percaya dgn keluarga arwah.

Soalanya :

Adakah wajib bagi saya menunaikannya walaupun dalam keraguan dan tanpa kerelaan hati?
Berdosakan saya kalau tidak menunaikannya?
Apakah hukumnya kalau info yang di sampaikan kepada saya adalah tidak benar?


Harap ustaz dpt memberi penjelasan,pendapat dan nasihat.

Sekian,
Wassalam.

Tanpa Nama berkata...

Well I to but I dream the list inform should have more info then it has.

ibnuyusop berkata...

adakah judi itu halal

ibnuyusop berkata...

adakah judi itu halal

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...