Sabtu, 5 September 2009

MASALAH HARI RAYA DI DUA NEGARA BERLAINAN

Soalan;

Assalammualaikum, Saya ingin bertanya;

1.Saya berada di poland dan berpuasa awal sehari dari malaysia, kemusykilan saya apabila saya kembali ke malaysia saya sudah raya mengikut puasa di poland,jadi bila saya sampai di malaysia tinggal 2 hari lagi nak raya, dikira macam mane keadaan ini,adakah saya perlu sambung puasa mengikut di malaysia atau macam mana?

2. Saya dalam kapal terbang dalam bulan puasa sedangkan saya tidak tahu siang atau malam,makan mengikut waktu ditetapkan dalam kapal terbang,adakah dikira musafir atau macam mane?

mohon perjelasan dengan segera kemusykilan saya ini

Jawapan;

1. Hendaklah saudara menyambut hari raya mengikut negeri tempat saudara berada semasa tiba syawal (dalam kes di atas di Malaysia). Di dalam hadis Rasulullah menegaskan; “Berpuasalah (yakni mulakanlah puasa Ramadhan) apabila kamu melihat anak bulan dan berbukalah (yakni sambutlah hari raya) apabila kamu melihat anak bulan”. Apabila kita berada di satu negeri, tarikh puasa kita dan juga tarikh raya hendaklah mengikut anak bulan yang muncul di negeri tersebut.
Jika membawa kepada berkurangan bilangan puasa (yakni puasa menjadi 28 hari sahaja), hendaklah diqadha sehari selepas hari raya kerana bulan Islam (hijrah) tidak boleh kurang dari 29 hari. Adapun jika membawa kepada lebihan hari (yakni puasa menjadi 31 hari), sehari yang lebih itu akan mendapat pahala sunat, insya Allah.

2. Bagi soalan kedua, jika saudara berpuasa, saudara hendaklah berbuka apabila meyakini matahari terbenam iaitu apabila melihat malam, tanpa mengira sama ada bilangan jam saudara berpuasa menjadi lebih pendek atau menjadi lebih panjang. Jadi, yang menjadi ukuran ialah apabila terbenam matahari maka tibalah masa berbuka puasa walau di mana saudara berada. Mungkin di atas kapal terbang saudara tidak dapat memastikan secara tepat bila matahari terbenam, namun saudara dapat memastikan malam telah tiba atau tidak dengan memerhati di luar kapal terbang. Jika berpuasa mendatangkan kesulitan, saudara boleh berbuka kerana seorang yang berada dalam musafir yang jauh (yakni melebihi 2 marhalah iaitu 85-90km) diharuskan berbuka puasa oleh Syarak, namun saudara wajib mengqadhanya semula selepas Ramadhan. Untuk penjelasan lebih lanjut, sila baca jawapan saya sebelum ini; (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/09/ukuran-waktu-berbuka-bagi-orang-musafir.html).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Min Ahsanil-Kalam, Fatawa Syeikh ‘Athiyah Saqar, 2/6.
2. Fatawa Arkan al-Islam, Syeikh Muhammad bin Soleh al-Utsaimin, hlm. 302.
3. Fatawa Syeikh Dr. Ahmad al-Hija al-Kurdi (http://www.islamic-fatwa.com).

Tiada ulasan:

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...