Wednesday, 30 June 2010

PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA

Soalan; Assalamualaikum ustaz. Saya ingin bertanya mengenai pembahagian harta dan hak kepada cucu. Sekiranya atuk masih hidup tetapi anaknya (lelaki) telah meninggal dan mempunyai anak-anak, adakah cucu-cucunya(anak kepada si mati) akan mendapat bahagian kepada hak ayah yang telah meninggal tadi. Selain itu, si mati juga mempunyai adik beradik yang lain.

Jawapan;

Anak-anak akan mewarisi harta peninggalan ayah mereka yang mati. Jika si mati masih mempunyai bapa, ibu dan isteri yang masih hidup, bahagian pusaka untuk anak-anaknya ialah yang berbaki setelah ditolak bahagian-bahagian untuk bapa, ibu dan isteri tadi. Pecahan bahagian yang ditetapkan oleh Syarak ialah seperti berikut;

1. Bapa ; 1/6
2. Ibu ; 1/6
3. Isteri ; 1/8
4. Anak-anak ; Baki.

Itu adalah dengan andaian bahawa si mati mempunyai anak lelaki. Jika si mati hanya ada anak perempuan, maka bahagian untuk anak perempuan ialah ½ atau 2/3 dan baki jika ada diberikan kepada bapa. Pecahannya akan jadi seperti berikut;

1. Bapa ; 1/6 + baki
2. Ibu ; 1/6
3. Isteri ; 1/8
4. Anak perempuan ; ½ (jika seorang) atau 2/3 (jika ramai).

Adapun saudara-saudara si mati, mereka dihijab dari mendapat pusaka oleh bapa dan anak lelaki si mati. Dalam perwarisan Islam, apabila si mati masih mempunyai bapa atau anak lelaki, saudara-saudaranya (dan begitu juga bapa-bapa saudara dan sepupu-sepupunya) akan terhalang dari mendapat pusaka. Ini kerana perwarisan semua mereka adalah sebagai ‘ashabah iaitu dengan pengambilan baki. Maka apabila baki telah diambil oleh bapa atau anak lelaki, tidak akan ada lagi peruntukan untuk saudara-saudara, bapa-bapa saudara dan sepupu-sepupu.

Wallahu a’lam.

Tuesday, 29 June 2010

MEMBAYAR ZAKAT SECARA BERPERINGKAT-PERINGKAT

Soalan; Assalamualaikum ustaz. Berikut adalah beberapa persoalan yang sering menimbulkan kemusykilan kepada saya berhubung dengan zakat;
3. Seorang yang mempunyai simpanan sebanyak rm 500,000.00 telah mengeluarkan zakat sebanyak rm 12,500.00 apabila telah cukup haulnya. Dia telah mengeluarkan semua jumlah tersebut dari simpanan banknya dan menyimpannya di dalam simpanan berasingan. Bagaimanapun wang zakat tersebut hanya dikeluarkan apabila dia bertemu dengan penerima zakat mengikut asnafnya. Jika tidak kehabisan, wang zakat tersebut mungkin dibawa ke tahun hadapan dan dicampurkan pula dengan jumlah wang zakat tahun berikutnya, tanpa diusik untuk kegunaan lain dan dengan pengurusan yang jujur. Adakah tindakan itu dibolehkan, kerana pengeluar zakat berkenaan telah menyamai fungsi badan-badan zakat yang sedia ada ? Sekian, saya mohon penjelasan dari ustaz. Terima Kasih. Wassalamualaikum Warahmatullah.

Jawapan;

Zakat apabila telah wajib hendaklah disegerakan pembayarannya. Firman Allah (bermaksud);

“…dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya” (al-An’am, ayat 141).

Di dalam ayat ini Allah menyuruh kita mengeluarkan zakat pada hari hasil tanaman dituai. Ayat ini walaupun khusus kepada zakat pertanian, namun pengajaran umumnya merangkumi semua zakat yang lain.

Hajat dan keperluan golongan yang layak menerima zakat adalah segera, terutamanya fakir-miskin dan orang-orang fi Sabilillah (yakni penuntut ilmu, guru-guru agama dan sebagainya). Apabila kita menangguh zakat kita, itu maknanya kita menafikan hak mereka pada waktunya.

Imam Ahmad pernah ditanya tentang seorang lelaki yang mengeluarkan zakat dengan memberinya peringkat demi peringkat. Ia menjawab; “Tidak harus, sebaliknya ia hendaklah mengeluarkannya keseluruhan apabila tiba haulnya (yakni tempoh tahunannya)”.

Di antara dalil lagi ialah; hadis dari seorang sahabat bernama ‘Uqbah bin al-Harith –radhiyallahu ‘anhu- menceritakan; “Suatu hari Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- menunaikan solat asar bersama kami. Habis sahaja solat baginda bergegas masuk ke dalam rumah. Tidak lama selepas itu baginda pun keluar. Apabila ditanya, baginda menjawab; ‘Di dalam rumahku ada potongan emas dari sedekah/zakat. Aku tidak mahu membiarkannya hingga malam, maka kerana itu aku ingin membahagikannya (segera kepada orang yang berhak)’”. (Riwayat Imam al-Bukhari).

Berkata Ibnu Battal –ketika mengulas hadis ini-; “Hadis ini memberi pengajaran kepada kita bahawa perkara baik hendaklah disegerakan kerana kecelakaan dan halangan boleh menimpa kita bila-bila masa, begitu juga kematian, kerana itu menangguhkan kebaikan adalah amalan yang tidak baik” (Fathul-Bari, 4/41).

Imam an-Nawawi menegaskan; “Menurut mazhab kami (yakni mazhab Syafi’ie); apabila zakat telah wajib dan tiada halangan untuk mengeluarnya, wajiblah ia dikekuarkan dengan segera. Jika ditangguhkan, akan berdosa. Pandangan ini juga disebut oleh Imam Malik, Imam Ahmad dan jumhur ulamak”. (al-Majmu’, 5/335).

Menurut Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi; dapat diterima sebagai kelonggaran jika penangguhan setakat sehari, dua hari atau beberapa hari untuk tidak memberatkan pengeluar zakat. Namun jika penangguhan mengambil masa berbulan-bulan atau hampir setahun, ia bukan lagi kelonggaran yang dapat diterima kerana ia membawa manusia meremehkan kewajipan yang dituntut agar disegerakan. (Fiqh az-Zakah, 2/830).

Namun demikian, para ulamak mengecualikan kewajipan menyegerakan pengeluaran zakat itu jika ada suatu alasan yang kuat seperti;
1. Harta zakat berada di tempat lain dan mengambil masa untuk mendatangkannya bagi diagihkan.
2. Terpaksa menunggu kedatangan orang yang berhak menerimanya
3. Menyegerakan zakat dikhuatiri akan menimbulkan mudarat kepada pemilik harta. Seperti seorang yang haul (tempoh tahunan) zakatnya tiba sebelum jadual tibanya ‘amil (pemungut zakat) pemerintah di mana jika dikeluarkan segera zakat, nanti apabila datangnya amil pemerintah akan dipungutnya zakat sekali lagi.

Ada juga ulamak hari ini mengharuskan pemberian zakat dilakukan secara berperingkat-peringkat jika difikirkan ada maslahah untuk penerima zakat. Tetapi wajib harta zakat diasingkan atau ditentukan bahagiannya (dari harta-harta lain). Antara mereka ialah Syeikh ‘Atiyah Saqar –rahimahulah- (bekas pengerusi Lujnah Fatwa al-Azhar, telahpun meninggal) di mana ia menjelaskan dalam fatwanya;

“Apabila harta zakat telah diasingkan atau telah ditentukan bahagiannya, jika seseorang individu mendapati ada maslahah untuk mengagihkannya secara berperingkat-peringkat, maka tidaklah ditegah, contohnya; kerana menunggu ketibaan orang yang berhak menerimanya atau terpaksa mengambil masa untuk musafir (perjalanan) ke tempat mereka, atau kerana difikirkan baik menjadikannya seperti gaji-gaji bulan yang diberikan secara bulanan untuk keluarga-keluarga miskin kerana didapati jika diberi sekaligus nescaya mereka akan membelanjakannya kepada yang tidak sepatutnya, kemudian memerlukan bantuan semula (kerana duit zakat telah habis).

Maka selama ia melakukannya kerana maslahah, tiada tegahan untuk ia mengagihkannya secara berperingkat-peringkat. Pada masa yang sama ia hendaklah meninggalkan wasiat kepada ahli-ahli keluarganya supaya ada dalam pengetahuan mereka kewajipan yang masih terpikul atas dirinya dan harta zakat yang masih berbaki yang belum ia agihkan supaya mereka mengambil alih tugas mengagihkannya bila perlu melakukannya”. (Fatwa Syeikh ‘Atiyah Saqar, dikeluarkan oleh Institusi Fatwa, Mesir).

Kesimpulannya, menangguhkan zakat atau membahagikannya secara berperingkat-peringkat dengan mengambil masa yang lama untuk dihabiskan, tindakan tersebut tidak harus dilakukan dengan sengaja kerana zakat apabila telah tiba tuntutannya, wajib dikeluarkan segera. Dikecualikan jika ada suatu alasan yang kuat atau ada suatu maslahah untuk penerima zakat, maka pada ketika itu haruslah menangguhnya atau memberinya secara berperingkat-peringkat kepada orang-orang yang berhak ke atasnya. Penentuannya bukan merujuk kepada keinginan pemberi zakat, akan tetapi kepada maslahah penerima zakat.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Fatawa Yas-alunaka, Syeikh Hisamuddim bin Musa ‘Afanah, laman web (www.yasaloonak.net), 3/60.
2. Fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, laman web (http://www.islamic-council.com), 9/214.
3. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 23/295.

Monday, 28 June 2010

TANDA-TANDA KEMATIAN

Soalan; Assalammualaikum, tersebar dalam internet mengenai tanda-tanda sebelum ajal menjelang bagi umat Islam seperti 100 hari sebelum mati badan akan mengalami getaran sesudah asar, 40 hari sebelum meninggal akan berdenyut pusat, juga berlaku sesudah asar. soalannya, sejauh manakah kesahihan tanda-tanda ini sedang tidak diketemui sebarang nas atau dalil dari Al-Quran atau Sunnah. Sedang ada yang mengatakan ia pandangan segelintir ulama. Dan apakah hukum jika ia dijadi iktiqad? dan apakah hukum jika menolaknya? Sekian.

Jawapan;

Sesuatu yang tidak sabit dengan nas dari al-Quran atau as-Sunnah, tidak harus dijadikan iqtiqad. Termasuklah juga perkara-perkara ghaib. Urusan aqidah dan kepercayaan adalah urusan agama. Oleh itu, tiada siapapun harus mendakwa sesuatu itu sebagai keyakinan agama atau amalan agama melainkan ia wajib mendatangkan dalil yang soheh dari al-Quran atau as-Sunnah. Sabda Nabi -sallallahu alaihi wasallam-; "Sesiapa mereka-reka dalam urusan kami ini (yakni urusan agama) apa-apa yang bukan darinya, maka ia adalah tertolak". Adapun suatu dakwaan yang dibuat atas dasar pengalaman, kajian, penelitian dan sebagainya -bukan atas dasar agama-, itu terserah kepada setiap individu sama ada untuk menerima atau menolaknya berpandukan penilaian akal masing-masing.

Kesimpulannya, orang yang mendakwa tanda-tanda kematian itu adalah dari agama, wajiblah ia mendatangkan dalil dari al-Quran atau as-Sunnah. Jika ia mendakwa ianya dari pengalaman atau penelitian, terserahlah kepada masing-masing untuk mempercayainya atau tidak.

Tanda-tanda kematian yang baik (husnul-khatimah)

Apa yang jelas terdapat nas tentangnya ialah tanda-tanda kematian yang baik (husnul-khatimah) iaitu;

1. Mati dengan mengucap kalimah syahadah

Sabda Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam-;

مَنْ كَان آخِرَ كَلامِه لا إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ دَخَلَ الجَنَّةَ
“Sesiapa yang ucapan terakhirnya (sebelum mati) ialah Lailahaillallah, maka ia akan masuk syurga”. (Riwayat Imam al-Hakim dari Mu’az bin Jabar –radhiyallahu ‘anhu-. Kata al-Hakim; Hadis ini sanadnya soheh.)

2. Berpeluh di dahi

Sabda Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam-;

اَلْمُؤْمِنُ يَمُوْتُ بِعَرَقِ الْجَبِيْنِ
“Seorang mukmin mati dengan berpeluh dahinya”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi, an-Nasai dan al-Hakim dari Buraidah –radhiyallahu ‘anhu. Kata Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan. Menurut al-Hakim; hadis ini adalah soheh. Tashih al-Hakim itu dipersetujui Imam az-Zahabi. (Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 9145))

Maksud hadis di atas ialah; jika kelihatan pada dahi si mati renik-renik peluh, maka itu tanda bahawa ia mati dalam iman. Sebab terjadinya renik-renik peluh itu menurut sebahagian ulamak ialah kerana malunya kepada Allah yang memberi rahmat kepadanya sedangkan masih ada dosanya kepada Allah. Sebahagian ulamak pula berkata; orang mukmin tidak terlepas dari merasai kepayahan ketika mati, namun kepayahan yang dihadapinya ringan sahaja iaitu hanya sekadar kepayahan yang menerbitkan peluh yang berpercikan pada dahi. (Faidhul-Qadier, hadis no. 9145)

Dalam satu hadis yang lain, Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda;

لَقِّنُوْا مَوْتَاكُمْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ فَإِنَّ نَفْسَ الْمُؤْمِنِ تَخْرُجُ رَشْحًا وَنَفْسُ الْكَافِرِ تَخْرُجُ مِنْ شِدْقِهِ كَمَا تَخْرُجُ نَفْسُ الْحِمَارِ‏
“Ajarilah orang yang hampir mati di antara kamu Lailahaillallah. Sesungguhnya ruh orang beriman akan keluar dengan bercucuran peluhnya. Adapun ruh orang kafir akan keluar dari rahangnya sebagaimana keluarnya ruh kaldai”. (Riwayat Imam at-Thabrani dari Abdullah bin Mas’ud –radhiyallahu ‘anhu-. Kata Imam al-Haithami; sanad hadis ini adalah hasan. (Lihat; al-Asas Fi as-Sunnah, Sa’id Hawa, jil. 3, hlm. 1164, hadis no. 1112)).

3. Mati ketika sedang melakukan amal soleh

Sabda Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam-;

مَنْ قَالَ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ اِبْتِغَاْءَ وَجْهِ اللهِ خُتِمَ لَهُ بِهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ صَامَ يَوْمًا اِبْتِغَاْءَ وَجْهِ اللهِ خُتِمَ لَهُ بِهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ اِبْتِغَاْءَ وَجْهِ اللهِ خُتِمَ لَهُ بِهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ
“Sesiapa mengucapkan Lailahaillallah semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah, lalu ia mati dengan kalimah itu, maka ia akan masuk syurga. Sesiapa berpuasa pada satu hari kerana mengharapkan keredhaan Allah, lalu ia mati ketika sedang berpuasa itu, maka ia akan masuk syurga. Sesiapa bersedekah dengan satu sedekah kerana mencari redha Allah, lalu ia mati sesudah bersedekah itu, maka ia akan masuk syurga”. (Riwayat Imam Ahmad dari Huzaifah –radhiyallahu ‘anhu-. Berkata Imam al-Haithami di dalam Majma’ az-Zawaid; “Para perawi hadis ini adalah tsiqah”. Menurut Syeikh al-Albani; hadis ini adalah soheh. (Lihat; Ahkam al-Janaiz)).

(Tuan-tuan/puan-puan yang ingin membaca lebih lanjut tentang kematian dan hal-hal berkait dengannya boleh dapatkan buku tulisan saya “Rahsia Kematian, Alam Barzakh dan Roh”. Ebook sila dapatkan di (http://ebook-ilmudanulamak.blogspot.com/)).

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1.Rahsia Kematian, Alam Barzakh & Roh, Ustaz Ahmad Adnan bin Fadzil.

Sunday, 27 June 2010

KELEBIHAN AMALAN DI BULAN REJAB

Soalan; Assalamualaikum Ustaz, tolong jelaskan kepada saya, apakah kelebihan2 bulan rejab dan apakah amalan-amalan khusus pada bulan Rejab yang mulia ini berdasarkan riwayah yang sahih dari Nabi SAW?

Jawapan;

Bulan Rejab termasuk dalam senarai bulan-bulan Haram. Terdapat saranan dari Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- supaya berpuasa di bulan-bulan Haram bagi orang yang ingin menambah puasa sunatnya. Diriwayatkan dari Mujibah al-Bahiliyyah dari bapanya atau bapa saudaranya yang menceritakan bahawa dia telah datang kepada Rasulullah s.a.w., kemudian ia pulang. Setelah setahun berlalu ia datang semula bertemu Rasulullah, namun keadaan tubuh-badannya telah banyak berubah (sehingga Rasulullah tidak mengecamnya). Lalu ia bertanya Rasulullah; “Tidakkah kamu mengenali saya?”. Jawab baginda; “Siapakah kamu?”. Ia menjawab; “Saya adalah al-Bahili yang datang bertemu denganmu setahun yang lalu”. Lalu baginda berkata kepadanya; “Apa yang telah mengubahmu sedangkan kamu dulunya seorang yang elok tubuh-badan/rupa-parasnya”. Jawabnya; “Saya tidak menikmati makanan semenjak selepas saya berpisah dengan kamu (setahun yang lalu) kecuali di waktu malam sahaja”. Lalu Rasulullah berkata kepadanya; “Engkau telah menyiksa diri engkau”. Kemudian baginda berkata; “Berpuasalah pada bulan sabar (yakni bulan Ramadhan) dan satu hari pada setiap bulan”. Ia menjawab; “Tambahkanlah kepadaku ya Rasulullah kerana aku sesungguhnya memiliki kemampuan”. Baginda berkata; “Puasalah dua hari (setiap bulan)”. Ia menjawab lagi; “Tambahkan lagi kepadaku”. Baginda berkata; “Puasalah tiga hari”. Ia menjawab lagi; “Tambahkanlah lagi”. Kemudian baginda bersabda kepadanya; “Puasalah pada (beberapa hari dari) bulan-bulan haram dan tinggalkanlah (beberapa hari yang lain jangan berpuasa)….(baginda menyebutnya 3 kali)”. Baginda bersabda demikian sambil ia menunjukkan tiga jarinya, kemudian ia menggenggamnya dan kemudian melepaskannya kembali”. (Riwayat Imam Abu Daud)

Hadis ini menjadi dalil bahawa disyari’atkan berpuasa pada bulan-bulan Haram (iaitu Dzul-Qaedah, Dzul-Hijjah, Muharram dan Rejab), namun demikian hendaklah jangan berpuasa pada keseluruhan hari atau sebulan penuh.

Tidak ada kelebihan khusus bagi puasa bulan Rejab selain dari kedudukannya sebagai salah satu dari bulan-bulan Haram yang dinyatakan tadi. Said bin Jubair r.a. (seorang Tabi’iin) pernah ditanya berkenaan puasa Rejab. Beliau menjawab; Aku telah mendengar Ibnu ‘Abbas r.a. berkata; “Adalah Rasulullah s.a.w. kadang-kadang terus-menerus berpuasa hingga kami menganggap beliau tidak berbuka langsung, dan kadang-kadang beliau terus-menerus berbuka hingga kami menganggap beliau tidak berpuasa langsung” (Riwayat Imam Muslim).

Dengan berdalil hadis dari Ibnu ‘Abbas tersebut, Imam Said bin Jubair ingin menjelaskan kepada kita bahawa hukum berpuasa di bulan Rejab sama seperti berpuasa di bulan-bulan yang lain iaitu tidak ada tegahan dan tidak ada galakan secara khusus. Cuma berpuasa pada asasnya memang digalakkan pada setiap bulan dan lagipun terdapat pula hadis mensunatkan kita berpuasa di bulan-bulan Haram di mana bulan Rejab tergolong di dalamnya.

Di antara ulasan para ulamak muktabar berkenaan hadis-hadis kelebihan amalan bulan Rejab ialah seperti berikut;

1. Berkata Imam Ibnu Solah; “Tidak sabit bagi puasa Rejab sebarang tegahan dan galakan (dari Syarak). Puasa pada asasnya adalah digalakkan pada bulan Rejab dan bulan lainnya”.

2. Berkata Imam an-Nawawi; “Tidak sabit bagi puasa Rejab sebarang galakan dan tegahan secara khusus (dari Syarak), namun puasa pada asasnya adalah ibadah yang digalakkan”.

3. Berkata Imam Ibnu Rejab al-Hanbali; “Tidak terdapat sebarang riwayat yang soheh dari Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- mahupun dari sahabat berkenaan kelebihan puasa Rejab secara khusus” (Faidhul-Qadier, 4/210).

4. Berkata Imam Ibnu Taimiyyah; “Hadis-hadis berkenaan kelebihan puasa dan solat di bulan Rejab semuanya adalah dusta dengan sepakat ahli ilmu (ulamak)”.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. “Puasa-Puasa Sunat dan Puasa-Puasa Dilarang”, Ustaz Ahmad Adnan bin Fadzil (dapatkan EBook percuma di (http://ebook-ilmudanulamak.blogspot.com/)).
2. Ma Shahha wa Ma Lam Yashihh Fi Rajab, Abu Anas Majid Islam al-Bankani, hlm. 4.

ZAKAT KE ATAS PENDAPATAN DARI SEWAAN BANGUNAN

Soalan; Assalamualaikum ustaz, Berikut adalah beberapa persoalan yang sering menimbulkan kemusykilan kepada saya berhubung dengan zakat;
(2). A dan B mempunyai simpanan yang sama banyak, iaitu rm 100,000.00 setiap seorang. A terus menyimpan wangnya di dalam bank, dan apabila cukup haul, dia terpaksa mengeluarkan zakat sebanyak rm 2500.00. A tidak memperolehi sebarang pendapatan hasil dari simpanannya kerana dia menolak pemberian 'faedah' dari bank yang dianggapnya sebagai riba. Sedangkan B pula telah menggunakan jumlah wang yang sama dengan membina 3 buah rumah sewa dan memperolehi pendapatan bulanan rm 900.00 sebulan. Apabila cukup setahun, B tidak perlu mengeluarkan zakat keatas wangnya yang sebanyak rm 100,000.00 kerana telah dilaburkan untuk membina rumah sewa. B hanya mengeluarkan zakat keatas hasil pendapatan sewanya apabila telah cukup haul dan nisabnya. Soalannya, apakah tindakan B tidak mengeluarkan zakat keatas jumlah nilai pelaburannya yang rm 100,000.00 itu dibenarkan oleh syarak.

Jawapan;

Kedua-dua orang di atas (yakni si A dan si B) wajib mengeluarkan zakat ke atas harta masing-masing apabila mencukupi syarat-syarat wajib zakat, iaitu;
1. Milik sempurna
2. Harta yang boleh berkembang
3. Cukup nisab
4. Lebihan dari keperluan-keperluan asasi
5. Bebas dari hutang
6. Cukup haul

Zakat yang dikenakan ke atas harta si A ialah zakat simpanan atau zakat pelaburan. Oleh kerana si A memilih untuk menyimpan/melabur wangnya dalam bank riba, maka keuntungan dari pelaburannya tidak harus dimanfaatkan termasuk tidak harus dikeluarkan zakat ke atas keuntungan tersebut. Tinggallah simpanannya sahaja yang wajib dikeluarkan zakat apabila memenuhi syarat-syarat wajib zakat ke atas harta simpanan, iaitu;
1. Wang simpanan itu adalah miliknya yang sempurna iaitu ia berkuasa ke atas wang itu di mana ia boleh menggunakannya dengan kehendaknya tanpa terikat dengan kebenaran dari orang lain.
2. Jumlah wang itu mencapai nisab (iaitu kadar minima yang ditetapkan Syarak untuk diwajibkan zakat). Nisab bagi zakat wang simpanan menyamai nisab bagi zakat emas dan perak iaitu 20 misqal yang menyamai 85 gram emas hari ini. Jika ada keperluan-keperluan asasi, hendaklah ditolak keperluan-keperluan asasi terlebih dahulu, kemudian baru dizakati. Maksud keperluan asasi ialah apa-apa yang diperlukan untuk menjamin kelangsungan hidup merangkumi makan-minum, pakaian, tempat tinggal, alat-alat pekerjaan, kemudahan-kemudahan asas rumah, kenderaan, belanja menuntut ilmu dan sebagainya.
3. Jika ada hutang yang perlu segera dibayar atau telah sampai tempoh pembayarannya, hendaklah ditolak hutang terlebih dahulu, baru dizakati.
4. Simpanan itu telah cukup haulnya iaitu genap 12 bulan dari tarikh ia mula disimpan mengikut takwim hijrah.

Kadar zakat yang wajib dikeluarkan ialah 2.5% dan wajib diberikan kepada asnaf-asnaf yang ditentukan sahaja, tidak harus kepada orang lain.

Si B pula, oleh kerana ia menggunakan wang itu untuk membeli asset tetap (bangunan/rumah), hendaklah dilihat;
1. Jika asset tetap yang dibelinya itu adalah untuk kegunaan sendiri, tidak wajib zakat ke atasnya kerana zakat hanya wajib ke atas harta yang berkembang atau mempunyai potensi untuk berkembang. Barang-barang kegunaan sendiri seperti rumah kediaman, perabot rumah, kenderaan sendiri dan seumpamanya tidak diwajibkan zakat ke atasnya kerana ia adalah harta beku (tidak berkembang).
2. Jika asset tetap itu dibelinya untuk diniagakan atau dijadikan sewaan iaitulah asset itu diperkembangkan untuk menghasilkan pendapatan, wajiblah zakat ke atasnya.

Zakat ke atas hasil bangunan sewaan tergolong dalam zakat al-mustaghallat iaitu zakat ke atas hasil dari harta tetap, yakni zakat bukan dikenakan ke atas harta tersebut akan tetapi ke atas hasil atau pendapatan dari harta tersebut. Harta itu tidak diniagakan, tetapi diperkembangkan untuk mendatangkan hasil berterusan. Ia merangkumi;
1. Pendapatan dari sewa rumah, bangunan, hotel dan seumpamanya.
2. Pendapatan dari sewa kenderaan (teksi sewaan, bus, perkapalan atau sebagainya).
3. Pendapatan dari projek hasil haiwan seperti pendapatan dari ayam telur, lembu susu dan sebagainya.

Zakat ke atas sewaan itu wajib dikeluarkan jika jumlah pendapatan dari hasil sewaan itu dalam tempoh setahun mencapai kadar nisab iaitu 20 misqal atau 85 gram emas setelah ditolak kos-kos penyelenggaraan (atau kos-kos lain yang berkait dengan bangunan), keperluan-keperluan asasi hidup dan hutang semasa yang perlu dibayar (yakni sebagaimana syarat-syarat tadi). Adapun kadar yang wajib dikeluarkan terdapat khilaf di kalangan ulamak;

a) Hasil/pendapatan itu hendaklah dicampurkan dengan harta lain (dalam hitungan nisab dan haul) seperti wang simpanan dan aset perniagaan, kemudian dikeluarkan zakat bagi harta-harta tersebut dengan kadar 2.5%. Pandangan ini merupakan pandangan jumhur ulamak mazhab empat dan dipegang oleh Bahagian Fatwa dan Pengawasan Syariah Lembaga Zakat Negara Kuwait dan yang diputuskan oleh banyak persidangan Fiqh di dunia.
b) Sebahagian ulamak berpandangan; zakat dikeluarkan dengan kadar 10% dari pendapatan bersih atau 5% dari pendapatan kasar iaitu dikiaskan dengan zakat tanaman. Antara yang mengutarakan pandangan ini ialah Syeikh Abu Zahrah, Abdul-Wahhab Khallaf dan Abdur-Rahman Hasan. Pandangan inilah yang ditarjih oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam fatwanya.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Muhasabah az-Zakah, Dr. Fuad al-Maliji.
2. Perakaunan Zakat, Muhammad Kamal ‘Atiyah.
3. Laman Dr. Yusuf al-Qaradhawi (http://www.qaradawi.net/)
4. Laman Islam Online (http://www.islamonline.net/).

Saturday, 26 June 2010

MENDAHULUKAN BAYARAN ZAKAT

Soalan; Assalamualaikum ustaz. Berikut adalah beberapa persoalan yang sering menimbulkan kemusykilan kepada saya berhubung dengan zakat;
1. Saya ada terbaca dalam buku terjemahan 'Mauizahatul-Mu'minin' bahawa dibolehkan kita mendahulukan bayaran zakat walaupun haul nya belum sampai. Contohnya, saya patut mengira dan mengeluarkan zakat pada akhir Jun 2010, tetapi kerana terdapat keperluan pada penerima zakat, maka saya telah mengeluarkan sebahagian dari jumlah zakat yang sepatutnya, lebih awal iaitu pada bulan april 2010. Adakah tindakan saya itu sah di sisi syarak ?

Jawapan;

Menyegerakan pembayaran zakat sebelum tiba masanya telah berlaku khilaf di kalangan ulamak tentang keharusannya;

1. Jumhur/majority ulamak (antaranya Imam Abu Hanifah, Syafi’ie dan Ahmad) berpandangan; harus mendahulukan pembayaran zakat sekalipun masa wajibnya belum tiba asalkan sebab wujud telah ada iaitulah apabila harta yang dimiliki telah cukup nisabnya (bagi zakat ternakan, mata wang dan zakat perniagaan) atau apabila telah keluar buahnya (bagi zakat pertanian). Mereka berdalilkan hadis dari ‘Ali –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “al-‘Abbas –radhiyallahu ‘anhu- telah meminta dari Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam utuk menyegerakan pembayaran zakatnya sebelum tiba masa wajibnya, lalu Nabi memberi kelonggaran kepadanya”. (HR Imam Ibnu Majah dan at-Tirmizi)

2. Segelintir ulamak (antaranya Ibnu Munzir, Abu Khuzaimah dan al-Asyhab) berpandangan; tidak dikira zakat yang dikeluarkan sebelum tiba masa wajibnya sebagaimana tidak harus mengerjakan solat sebelum masuk waktunya.

Ulamak-ulamak yang mengharuskannya mereka berbeza pandangan pula dalam menentukan tempoh harus mendahulukan pembayaran zakat itu;

1. Menurut mazhab Hanafi; harus didahulukan beberapa tahun sebelum tiba masa wajibnya asalkan sebab wajib telah ada iaitu memiliki harta yang mencukupi nisab dan harta itu dapat berkembang.

2. Menurut mazhab Hanbali; harus didahulukan dua tahun sebelum masa wajib zakat. Tidak harus lebih dari dua tahun.

3. Menurut mazhab Syafi’ie; harus mendahulukannya setahun sahaja. Tidak harus mendahulukannya dengan tempoh melebihi setahun sebelum masa wajib zakat.

4. Menurut mazhab Maliki; harus mendahulukannya sebulan sahaja.

Kesimpulannya, harus kita membayar zakat sebelum tiba masa wajibnya -mengikut pandangan jumhur ulamak-, terutamanya apabila ada keperluan untuk kita berbuat begitu seperti orang yang berhak menerima zakat amat memerlukan zakat kita pada ketika tersebut.

Walupun kita telah mendahulukan pembayaran zakat, namun apabila tiba masa wajibnya hendaklah kita menghitung semula zakat yang perlu kita keluarkan; jika kita dapati jumlah yang kita keluar dulu kurang dari yang sepatutnya dikeluarkan, wajib kita menambahnya. Jika melebihi dari yang sepatutnya, yang lebih itu dikira sedekah sunat.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, juz. 12, hlm. 226 dan juz. 23, hlm. 294.
2. Majmu’ al-Fatawa, Imam Ibnu Taimiyyah, juz. 25, hlm. 85 (Suila ‘an al-miskin yahtaj ila az-zakaah..)
3. Majmu’ Fatawa wa Rasail Syeikh Uthaimin, Maktabah Syamilah (18/213).

Friday, 25 June 2010

LAMBANG SALIB DI PAKAIAN

Soalan; assalamualaikum ustaz, saya adalah salah seorang peminat bola sepak dunia.. saya meminati byk pasukan eropah.. saya ragu2 apabila ingin membeli jersi pasukan portugal.. ini kerana di jersi tersebut ada lambang salib.. saya mahu tahu adakah saya sebagai seorang muslim boleh memakai jersi tersebut.. saya hanya meminati pasukan tersebut.. sekiranya tidak boleh dipakai, adakah dalil yg melarang kita memakainya.. saya ada berbincang bersama rakan - rakan, mereka beritahu saya bahawa kita boleh memakai asalkan kita tidak mengagungkan lambang tersebut.. saya memang ragu - ragu dalam hal ini.. tolonglah selesaikan masalah saya ini ustaz.. sekian, wassalam....

Jawapan;

Ada lapan syarat bagi pakaian lelaki muslim yang digariskan ulamak berdasarkan penelitian mereka dari al-Quran dan as-Sunnah;
1. Hendaklah menutup kawasan aurat
2. Tidak jarang hingga menampakkan kulit tubuh (khususnya kawasan aurat)
3. Tidak sendat hingga menampakkan bentuk kawasan aurat
4. Tidak menyerupai pakaian perempuan
4. Tidak berlebihan atau menzahirkan kesombongan
6. Bukan pakaian syuhrah
7. Bukan diperbuat dari material yang diharamkan iaitu sutera.
8. Tidak menyerupai pakaian orang kafir atau golongan fasiq.

Dalil bagi syarat yang kelapan ialah sabda Nabi s.a.w.;

من تشبه بقوم فهو منهم
“Sesiapa yang menyerupai suatu golongan, maka ia dari golongan tersebut”. (Riwayat Imam Abu Daud dari Ibnu ‘Umar r.a.).

Menurut Imam Ibnu Kathir; hadis ini merupakan larangan keras terhadap perbuatan meniru orang kafir sama ada dalam ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan, ibadah dan sebagainya yang tidak disyariatkan untuk kita (umat Islam).

Maksud meniru orang kafir dalam pakaian ialah; setiap pakaian yang memberi gambaran kepada orang lain bahawa si pemakainya adalah kafir atau menunjukkan bahawa ia adalah fasiq (tidak menjaga agama, yakni suka melakukan maksiat), maka ia termasuk dalam pengertian meniru orang kafir atau golongan fasiq. Contohnya; memakai pakaian yang mempunyai lambing salib atau lambang-lambang agama lain. Saidina ‘Ali menceritakan; aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda;

إِيَّاكُمْ وَلُبُوس الرُّهْبَان ، فَإِنَّهُ مَنْ تَزَيَّا بِهِمْ أَوْ تَشَبَّهَ فَلَيْسَ مِنِّي
“Jauhilah kamu dari memakai pakaian para Rahib. Sesiapa memakai pakaian seperti mereka atau menyerupai mereka, dia bukanlah dariku” . (Riwayat Imam ar-Thabrani dalam al-Mu’jam al-Ausat. Menurut Imam Ibnu Hajar; sanadnya adalah La Ba’sa Bihi. Lihat; Fathul-Bari, bab al-Baranis). Maksud Rahib ialah ahli-ahli ibadah dalam agama Nasrani atau Kristian.

Memakai jersi tidaklah menyerupai pakaian orang kafir secara khusus, namun kewujudan lambang salib pada jersi itulah yang menimbulkan penyerupaan kerana lambang salib itu telah sedia dikenali sebagai lambang agama Kristian. Seorang muslim amat membenci kekufuran, dosa dan maksiat. Kerana itu ia tidak akan redha sebarang lambang kufur atau lambang pelaku dosa dan kaki maksiat untuk berada pada badannya atau dilihat pada pakainnya. Di antara doa yang pernah diajar oleh Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- untuk kita ucapkan ialah;

اللهم حبب إلينا الإيمان وزينه في قلوبنا وكره إلينا الكفر والفسوق والعصيان واجعلنا من الراشدين
“Ya Allah, jadikanlah kami kasih kepada iman, hiasilah iman itu dalam hati-hati kamu, tanamkanlah dalam diri kami kebencian kepada kekufuran, kefasiqan dan maksiat. Jadikanlah kami dari kalangan orang-orang yang mendapat petunjuk” (HR Imam Ahmad dari ‘Abid bin Fifa’ah az-Zarqi).

Dalam kehidupan ini ada perkara-perkara utama dan ada perkara-perkara sampingan. Sukan dan hiburan bukanlah berada dalam senarai perkara-perkara utama, akan tetapi ia sekadar sampingan sahaja. Oleh itu, perkara sampingan janganlah diangkat menjadi perkara utama hingga kita sanggup menggadai jati diri sebagai seorang muslim sekalipun ia sekadar lambang atau penampilan zahir.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Tafsir al-Quran al-Adziem, Imam Ibnu Kathir.
2. Fiqh Al-Albisah Wa az-Zinah, Abdul Wahhab bin Abdus Salam Tawilah.
3. Risalah tentang Pakaian dan Perhiasan, Ustaz Ahmad Adnan bin Fadzil.

Monday, 21 June 2010

AURAT WANITA DI HADAPAN LELAKI BERUSIA 12 -15 TAHUN

Soalan; Assalamualaikum ustaz. Saya ada soalan: Berkenaan dengan aurat. Bolehkah seorang perempuan membuka aurat dihadapan remaja lelaki yang berusia dalam lingkungan 12-15 tahun yang bukan mahramnya?

Jawapan;

Firman Allah dalam surah an-Nur (bermaksud);“Dan janganlah mereka (yakni perempuan-perempuan beriman) memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan”. (an-Nur, ayat 31).

Di dalam ayat di atas, Allah melarang wanita-wanita beriman mendedahkan perhiasan dalaman mereka kepada kaum lelaki kecuali beberapa orang berikut;
1. Suami
2. Bapa kandung
3. Bapa mertua
4. Anak lelaki kandung
5. Anak lelaki tiri
6. Saudara kandung
7. Anak-anak saudara
8. Sama-sama wanita
9. Di hadapan hamba-hamba mereka
10. Orang gaji lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan
11. Kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan.

Perhiasan pada badan wanita ada dua jenis;

1. Perhiasan zahir; iaitu pakaian yang dipakai dan perhiasan yang ada di kawasan badan yang harus didedahkan iaitu muka dan tangan (seperti celak, cincin, inai dan sebagainya). Perhiasan zahir ini harus diperlihatkan (atau didedahkan) kepada orang lain termasuk lelaki ajnabi, namun dengan syarat aman dari fitnah.

2. Perhiasan batin/khafiy (tersembunyi); iaitu perhiasan yang berada di kawasan selain muka dan tangan seperti anting-anting, rantai, gelang kaki dan sebagainya; tidak harus diperlihatkan kecuali kepada suami, mahram dan lelaki-lelaki yang disebut oleh Allah di dalam ayat di atas. Jika perhiasan sudah tidak harus diperlihatkan, apatahlagi hendak memperlihatkan tempat beradanya perhiasan itu iaitu tubuh itu sendiri, sudah tentu lebih diharamkan. Jadi, ayat di atas sekaligus difahami darinya kewajipan wanita beriman menutup aurat mereka (iaitu seluruh badan kecuali muka dan tangan) dari dilihat oleh kaum lelaki kecuali beberapa orang yang disebut dalam ayat di atas.

Salah seorang yang dikecuali dalam ayat di atas ialah “Kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan”, iaitu kanak-kanak yang belum memahami hal-ehwal wanita dan aurat wanita dan belum nampak pada mereka keinginan seks kerana umur yang masih kecil. (Lihat; Tafsir al-Munir (Dr. Wahbah az-Zuhaili), surah an-Nur, ayat 31). Jadi, kanak-kanak ada dua jenis;

1. Kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat wanita dan belum ada keinginan kepada wanita. Kanak-kanak dalam kategori ini harus membuka aurat di hadapan mereka sebagaimana di hadapan mahram.

2. Kanak-kanak yang telah mengerti tentang aurat wanita. Kanak-kanak dalam kategori ini tidak harus wanita Islam membuka aurat di hadapan mereka iaitu sama seperti di hadapan lelaki ajnabi dewasa.

Dari sudut umur, umur mereka (yakni kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat wanita) ialah sebelum mencapai umur murahiq iaitu lingkungan umur hampir baligh. (Fathul-Qadier, Imam as-Syaukani). Menurut Dr. Wahbah az-Zuhaili dalam tafsirnya al-Wasit; “Kanak-kanak di bawah usia 10 tahun”. Jadi, kanak-kanak yang telah berusia 10 tahun ke atas, tidak harus lagi didedahkan aurat di hadapannya. Menurut Dr. Abdullah Syahatah dalam kitabnya “Tafsir Surah an-Nur”; paling jauh ialah yang berusia 12 tahun kerana menurut beliau; kanak-kanak yang telah melepasi 12 tahun telah mula bangkit dalam dirinya perasaan terhadap wanita walaupun mereka belum baligh (halaman 147). Berdasarkan pandangan ini, kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke atas –sekalipun belum baligh- tidak harus didedahkan aurat di hadapannya.

Penentuan umur di atas tidaklah mutlak kerana keadaan manusia pada setiap zaman sentiasa berubah. Pada zaman hari ini melalui pengaruh televisyen dan media-media masa yang lain, pendedahan tentang seks (hubungan lelaki dan wanita) begitu berleluasa termasuk kepada kanak-kanak. Oleh itu, tidak mustahil kanak-kanak lelaki hari ini walaupun belum berusia 10 tahun sudah ada keinginan kepada wanita. Maka ukuran yang paling tepat bagi seorang wanita –untuk mengukur sama ada harus ia membuka auratnya di hadapan kanak-kanak atau menutupnya- ialah dengan ia melihat keadaan kanak-kanak di hadapannya, bukan dengan melihat umurnya semata-mata.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Tafsir Fathul-Qadier, Imam as-Syaukani.
2. Tafsir al-Munir, Dr. Wahbah az-Zuhaili.
3. Tafsir al-Wasit, Dr. Wahbah az-Zuhaili.
4. Tafsir Surah an-Nur, Dr. Abdullah Mahmud Syahatah.
5. Fiqh al-Albisah dan az-Zinah, ‘Abdul-Wahhab Tawilah.

Sunday, 20 June 2010

BILA PERKAHWINAN AKAN BERWALIKAN HAKIM?

Soalan; Assalamualaikum Ustaz, Saya ingin bertanyakan soalan mengenai perkahwinan. Saya merupakan gadis berusia 24tahun dan Insyaallah tahun depan bakal menamatkan zaman bujang saya. Persoalannya ialah, saya merupakan anak angkat kepada keluarga saya sekarang. Ibu bapa angkat saya sudah meninggal dunia sejak ssaya berusia 4tahun. Sekarang saya tinggal bersama adik beradik angkat yang saya sudah anggap seperti adik-beradik sendiri. Saya tidak pernah jumpa dengan ibubapa angkat saya. Saya bukan anak luar nikah memandangkan saya mempunyai surat beranak berbintikan nama bapa kandung saya. Malah keluarga saya sekarang ini tidak pernah tahu dimana mereka (ibubapa). Soalan:
1. Bolehkah saya berkahwin dengan hanya berwalikan wali hakim?
2. Sah atau tidak pernikahan kami nanti?
Harap ustaz dapat jawab pertanyaan saya ini secepat mungkin memandangkan saya buntu tentang perkara ini.

Jawapan;

Seorang perempuan tidak sah nikahnya tanpa persetujuan walinya. Sabda Nabi s.a.w.; “Mana-mana wanita dikahwini tanpa keizinan walinya maka perkahwinan dengannya batal, batal, batal (Rasulullah mengulanginya tiga kali)” (Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi, al-Hakim dan sebagainya dari Aisyah r.a.).

Wali bermaksud penjaga atau pemegang urusan. Namun dalam hal perkahwinan, kalimah wali itu bermaksud; seorang yang diberi kuasa oleh Syara’ untuk meluluskan suatu akad perkahwinan. Orang yang paling berhak menjadi wali bagi seorang perempuan ialah bapanya sendiri. Jika bapanya telah meninggal, maka hak pewalian berpindah kepada datuknya dari sebelah bapa. Untuk seterusnya, hak pewalian –mengikut mazhab Syafi’ie- adalah mengikut tertib di bawah;

1. Saudaranya yang lelaki yang seibu-sebapa dengannya
2. Saudaranya yang lelaki yang sebapa dengannya
3. Anak saudara lelaki dari saudara kandungnya yang lelaki yang seibu-sebapa dengannya.
4. Anak saudara lelaki dari saudaranya yang lelaki yang sebapa dengannya.
5. Bapa saudaranya yang seibu-sebapa dengan bapanya
6. Bapa saudaranya yang sebapa dengan bapanya
7. Anak lelaki kepada bapa saudaranya yang seibu-sebapa dengan bapanya (yakni sepupunya yang lelaki dari sebelah bapanya).
8. Anak lelaki kepada bapa saudaranya yang sebapa dengan bapanya (yakni sepupunya yang lelaki dari sebelah bapanya).

Dan jika semua wali-wali di atas tiada atau mati, hak pewalian berpindah kepada Sultan (wali hakim) di mana Rasulullah s.a.w. bersabda;

السُّلطان ولِيّ مَنْ لا وَلِيّ له
“…Sultan adalah wali bagi sesiapa yang tiada wali baginya”. (Riwayat Imam Ahmad, Tirmizi, al-Hakim, Abu Daud, Ibnu Majah dari Aisyah r.a.)

Secara ringkas, sebab-sebab yang mengharuskan seorang perempuan berkahwin dengan berwalikan hakim ialah;
1. Ia tidak mempunyai wali lain selain wali hakim (seperti anak luar nikah atau orang yang telah kematian semua walinya atau para walinya tidak ditemui).
2. Kesemua wali nasabnya (yakni wali keturunan) engkar untuk mengahwinkannya.
3. Wali aqrabnya berada berjauhan darinya.
4. Wali nasabnya menjadi calon suaminya (seperti sepupunya).

Secara terperinci pula (menurut mazhab Syafi’ie) ialah;
1. Tidak ada wali nasab (wali keturunan)
2. Tidak cukup syarat-syarat wali bagi wali yang aqrab.
3. Wali yang aqrab jauh tempat tinggalnya sejauh perjalanan dua marhalah (lebih kurang 90 KM mengikut ukuran hari ini).
4. Wali yang aqrab masuk penjara dan tidak boleh berhubung dengannya.
5. Wali yang aqrab sedang dalam ihram.
6. Wali yang aqrab bersembunyi diri, kerana tidak mahu menikahkannya.
7. Wali yang aqrab berdegil tidak mahu menikahkannya.
8. Wali yang aqrab hilang tidak diketahui tempatnya dan tidak diketahui pula hidup atau mati.
9. Wali yang aqrab hendak berkahwin sendiri dengan perempuan itu, dan tidak ada wali yang lain yang sepangkat dengannya.

Wali aqrab bermaksud wali yang paling dekat hubungan kekerabatannya dengan wanita yang hendak dikahwinkan. Mengikut mazhab Syafi’ie; dalam kes wali yang paling dekat tidak cukup syarat untuk menjadi wali atau berada jauh atau masuk penjara, atau dalam ihram atau bersembunyi atau berdegil atau hilang atau menjadi calon suami, dalam kes-kes tersebut hak pewalian tidak berpindah kepada wali ab’ad (yakni wali yang lebih jauh), akan tetapi terus berpindah kepada wali hakim. Menurut pandangan mazhab lain; hak pewalian berpindah kepada wali ab’ad.

Merujuk kepada soalan saudari, oleh kerana saudari tidak dapat mengesan lagi di mana bapa saudari berada, maka perkahwinan saudari tidak ada jalan lain melainkan dengan berwalikan hakim.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. at-Tahzib Fi Fiqh al-Imam as-Syafi’ie, Imam al-Baghawi, jil. 5.
2. Ahkam al-Quran, Imam Ibnu al-‘Arabi, jil. 1.
3. Nailul-Autar
4. Subulussalam
5. 400 Soal Jawab Nikah Kahwin, Haji Said Haji Ibrahim.
6. Hukum Perkahwinan Islam, Dr. Peunoh Daly.
7. Ahkam az-Zawaj Fi Dhau’ie al-Quran wa as-Sunnah, Dr. Umar Sulaiman al-Asyqar.
8. al-Wilayah Fi an-Nikah, ‘Iwadh bin Raja’ bin Farij al-‘Aufa, hlm. 2/174-174 (al-Maktabah as-Syamilah)).

Saturday, 19 June 2010

MAHRAM-MAHRAM KERANA PENYUSUAN

Soalan; assalamualaikum ustaz. Saya ada satu persoalan di mana seorang lelaki telah berkahwin dengan Gadis A dan telah melahirkan anak tidak cukup 6 bulan qomariah. kemudian telah bercerai beberapa bulan kemudian. lelaki ini telah berkawin pula dengan gadis B dan mempunyai anak.Gadis A tadi juga telah berkahwin lain. Persoalan di sini adalah:
1. anak yang dilahirkan tadi telah menjadi anak susuan kepada lelaki tersebut, adakah anak tersebut menjadi mahram kepada anak-anak dengan Gadis B?
2. boleh ustaz terangkan siapakah lagi yang menjadi mahram bagi anak tersebut?
3. kitab atau buku apa yang boleh menjadi bahan rujukan kepada saya selain dari Kitab Hadis dan Al-Quran?

Jawapan;

1. Mahram bermaksud orang-orang yang haram dikahwini oleh seorang lelaki atau wanita buat selama-lamanya. Ada tiga faktor/sebab yang menimbulkan ikatan mahram, iaitu;
a) Keturunan
b) Perkahwinan
c) Penyusuan.
Soalan di atas menyentuh tentang mahram kerana factor ketiga iaitu penyusuan.

2. Terdapat hadis dari Nabi s.a.w. menegaskan; “Diharamkan kerana pengusuan sama seperti orang-orang yang diharamkan kerana Nasab (keturunan)”. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Ibnu 'Abbas r.a.).

Bagi seorang lelaki, mahram-mahramnya kerana nasab ada tujuh;
1. Ibu dan ke atas (yakni nenek dan seterusnya ke atas)
2. Anak perempuan dan cucu perempuannya
3. Saudara-saudara perempuannya (sama ada seibu-sebapa, sebapa atau seibu sahaja)
4. Anak-anak perempuan kepada saudara-saudara lelakinya
5. Anak-anak perempuan kepada saudara-saudara perempuannya
6. Ibu-ibu saudara dari sebelah bapanya (al-‘ammaat)
7. Ibu-ibu saudara dari sebelah ibunya (al-khalaat)

Bagi seorang wanita, mahram-mahramnya kerana nasab juga ada tujuh;
1. Bapa dan ke atas (yakni datuk dan seterusnya ke atas)
2. Anak lelakinya dan cucu lelakinya
3. Saudara-saudara lelakinya
4. Anak-anak lelaki kepada saudara-saudara lelakinya
5. Anak-anak lelaki kepada saudara-saudara perempuannya
6. Bapa-bapa saudara dari sebelah bapanya
7. Bapa-bapa saudara dari sebelah ibunya.

Berdasarkan kaedah yang ditetapkan oleh Nabi dalam hadis di atas, dapat kita tetapkan mahram-mahram kerana susuan bagi seorang lelaki sebagaimana berikut;
1. Ibu susuannya; iaitu ibu yang menyusukannya (*Suami ibu susuannya akan menjadi bapa susuannya). Turut menjadi mahramnya ialah ibu kepada perempuan tersebut yang akan menjadi neneknya kerana susuan dan begitulah seterusnya ke atas.
2. Anak perempuan susuannya; iaitu anak perempuan yang pernah disusui oleh isterinya.
3. Saudara-saudara perempuan sesusuan dengannya; iaitu anak-anak perempuan kepada ibu susuannya, perempuan-perempuan yang pernah disusui oleh ibu susuannya dan juga yang pernah disusui oleh ibunya sendiri.
4. Anak-anak perempuan kepada saudara-saudara perempuan sesusuan dengannya.
5. Anak-anak perempuan kepada saudara-saudara lelaki sesusuan dengannya.
6. Ibu-ibu saudara dari sebelah ibu susuannya; iaitulah kakak-kakak dan adik-adik perempuan kepada ibu susuannya. (خالاته)
7. Ibu-ibu saudara dari sebelah bapa susuannya (yakni suami kepada ibu susuannya); iaitulah kakak-kakak dan adik-adik perempuan kepada bapa susuannya. (عماته)

Bagi seorang wanita pula;
1. Bapa susuannya; iaitu suami kepada ibu susuannya. Turut menjadi mahramnya ialah bapa kepada bapa susuanya yang akan menjadi datuknya kerana susuan dan begitulah seterusnya ke atas.
2. Anak lelaki susuannya; iaitu lelaki yang pernah disusuinya.
3. Saudara-saudara lelaki sesusuan dengannya; iaitu anak-anak lelaki kepada ibu susuannya, lelaki-lelaki yang pernah disusui oleh ibu susuannya dan juga yang pernah disusui oleh ibunya sendiri.
4. Anak-anak lelaki kepada saudara lelaki sesusuan dengannya.
5. Anak-anak lelaki kepada saudara perempuan sesusuan dengannya.
6. Bapa-bapa saudara dari sebelah ibu susuannya; iaitu abang-abang dan adik-adik lelaki kepada ibu susuannya. (أخوالها)
7. Bapa-bapa saudara dari sebelah bapa susuannya; iaitu abang-abang dan adik-adik lelaki kepada bapa susuannya (yakni suami kepada ibu susuannya). (أعمامها)

(3) Penyusuan yang menimbulkan ikatan mahram ialah yang memenuhi dua syarat;
a) Bayi yang disusui hendaklah umurnya belum mencapai dua tahun.
b) Hendaklah jumlah penyusuan tidak kurang dari lima kali.

(4) Di antara hukum-hakam yang berkait dengan mahram kerana penyusuan adalah seperti berikut;
a) Tidak harus antara lelaki dan wanita yang ada ikatan mahram kerana susuan untuk berkahwin buat selama-lamanya.
b) Aurat antara lelaki dan wanita yang ada ikatan mahram kerana susuan adalah sama seperti aurat sesama mahram kerana nasab (keturunan).
c) Harus mereka berduaan dalam rumah atau tempat tertutup jika aman dari fitnah iaitu dorongan nafsu dan keinginan kepada jimak (zina) atau bibit-bibit pendahulu kepadanya.
d) Harus seorang wanita keluar bermusafir dengan lelaki yang menjadi mahramnya kerana susuan.
e) Walaupun ada ikatan mahram tersebut, namun antara mahram-mahram kerana susuan tidak boleh mewarisi antara satu sama lain. Ini kerana penyusuan tidak tersenarai dalam factor-faktor perwarisan dalam Islam iaitu;
i) Kerana nasab; iaitu hubungan keturunan dan kekeluargaan.
ii) Kerana perkahwinan; iaitu hubungan antara suami dan isteri.
iii) Kerana wala'; iaitu hubungan antara hamba dan bekas tuannya.

(4) Berbalik kepada soalan puan;
a) Ya, anak lelaki tersebut akan menjadi mahram kepada anak-anaknya dengan gadis B di mana hubungan beliau dengan mereka ialah sebagai saudara sesusuan.
b) Orang-orang lain yang menjadi mahram beliau kerana penyusuan itu telah pun saya terangkan di atas.
c) Adapun rujukan, puan boleh merujuknya dalam buku-buku yang mengupas tentang hukum-hakam kekeluargaan di dalam Islam.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Aun al-Ma’bud, bab Ma Yuhramu Min ar-Radhaa’h Ma Yuhramu Min an-Nasab, 6/37

Friday, 18 June 2010

AURAT WANITA ISLAM DI HADAPAN WANITA BUKAN ISLAM

Soalan; Assalamualaikum Ust, saya ada satu persoalan berkenaan aurat wanita Muslimah apabila berdepan dengan wanita bukan Muslimah. Tolong ust jelaskan. Terima kasih.

Jawapan;

Terdapat banyak khilaf di kalangan ulamak tentang aurat wanita Islam di hadapan wanita kafir;

a) Menurut sebahagian ulamak (iaitu setengah ulamak mazhab Maliki dan Syafi’ie); aurat wanita Islam di hadapan wanita kafir ialah seluruh badan kecuali muka dan tangan sahaja, yakni sama seperti aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi.

b) Menurut mazhab Hanafi, mazhab Syafi’ie (mengikut qaul yang muktamad) dan setengah ulamak mazhab Maliki; aurat seorang muslimah di hadapan wanita kafir ialah seluruh badannya kecuali bahagian yang terpaksa dizahirkan ketika bekerja kerana menjadi keperluan pada kebiasaannya untuk dizahirkan. Menurut Imam al-Qurtubi; ini merupakan pandangan kebanyakan ulamak Salaf dan menjadi pandangan Ibnu ‘Abbas, Mujahid dan Ibnu Juraij.

c) Menurut sebahagian ulamak yang lain; sama seperti auratnya di hadapan wanita Islam iaitu antara pusat dan lutut (mengikut pandangan jumhur ulamak). Pandangan ini merupakan mazhab Hanbali dan pegangan sebahagian ulamak mazhab Syafi’ie dan Maliki. Menurut Imam Fakhrurazi; inilah pandangan yang lebih mudah bagi manusia hari ini kerana hampir tidak mungkin untuk para muslimah hari ini berhijab tatkala berhadapan wanita-wanita zimmah..”.

Ada di kalangan ulamak tidak mengkategorikan aurat wanita sesama wanita dengan kategori Islam dan kafir, akan tetapi dengan kategori baik atau jahat, berakhlak atau tidak berakhlak;

a) Wanita yang dikenali berakhlak dan baik; harus membuka hijab di hadapannya sama ada ia Islam atau kafir (yakni sekadar yang harus dibuka di hadapan mahram).

b) Wanita yang dikenali sebagai jahat dan tidak berakhlak; tidak harus membuka hijab di hadapannya melainkan sekadar memperlihatkan muka dan tangan sahaja, tanpa mengira wanita itu Islam atau kafir. Begitu juga, jika berhadapan wanita yang tidak dikenali. Jadi, tatkala berhadapan dengan wanita yang jahat dan tidak berakhlak (sama ada ia Islam atau kafir) atau wanita yang tidak dikenali, tidak harus seorang muslimah mendedahkan tubuhnya melainkan sekadar muka dan tangan sahaja, iaitu sama seperti ketika ia berhadapan lelaki ajnabi.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Al-Albisah Wa az-Zinah, Abdul Wahhab bin Abdus Salam Tawilah.
2. Tafsir surah an-Nur, Dr. Abdullah Mahmud Syahatah.

Wednesday, 16 June 2010

TAYAMMUM DAN MENGAMBIL WUDHUK DALAM TANDAS

Soalan; Assalamua'laikum Ustaz. Saya ingin dapatkan pandangan Ustaz berkenaan wudhuk.
1) Rumah saya tidak mempunyai tangki air (yang biasanya terletak dibawah bumbung rumah). Bagaimanapun, saya mempunyai 2 tong air kecil didalam bilik air saya. Rumah saya juga tidak mempunyai pasir untuk dibuat tayamum. Sekiranya bekalan air ke rumah saya terputus, pada pendapat Ustaz, apakah cara yang boleh saya lakukan agar saya dapat berwudhuk / tayamum bagi membolehkan saya bersolat dirumah?
2) Apakah hukum sekiranya saya mengambil wudhuk didalam tandas (sebagai contoh, tandas awam/pejabat)?

Jawapan;

1. Bila kita keputusan air untuk mengambil wudhuk, kita diharuskan untuk bertayammum. Namun sebelum diharuskan bertayammum itu, kita wajib berusaha mencari air terlebih dahulu di kawasan sekitar kita. Mungkin di rumah tidak ada air, namun di kawasan sekitar kita ada air termasuk dengan kita pergi ke surau atau masjid berdekatan. Setelah dipastikan benar-benar tidak ada air, barulah diharuskan tayammum. Tayammum dilakukan dengan debu tanah mengikut jumhur ulamak (termasuk mazhab Syafi’ie). Ada ulamak mengharuskan bertayammum dengan segala yang ada di atas permukaan bumi; tidak hanya tanah, tetapi juga pasir, kapur, batu dan seumpamanya. Anggota tayammum ialah muka dan dua tangan sahaja, iaitu dengan menyapukan debu tanah ke muka dan dua tangan. Jika ditakdirkan tidak ada kedua-duanya (yakni air dan debu) setelah diusaha mencarinya, wajib ditunaikan juga solat fardhu sebelum habis waktunya walaupun dalam keadaan tidak bersuci. Menurut mazhab Syafi’ie; solat yang ditunaikan tanpa bersuci itu tidaklah sah, cuma sebagai menghormati waktu solat sahaja. Kerana itu, ia wajib diulangi apabila bertemu air atau debu nanti. Sebahagian ulamak berpandangan; tidak perlu diulangi semula kerana solat yang dilakukan itu sudah dikira sekalipun tanpa berwudhuk atau bertayammum kerana hal tersebut dilakukannya kerana terpaksa. Antara yang menyokong pandangan kedua ini ialah Imam al-Muzani dan Imam an-Nawawi (dalam kitabnya Syarah Soheh Muslim). Berkata Imam al-Muzani; “Solat yang diperintah agar dilaksanakan di dalam waktunya sekalipun ada suatu kekurangan, tidak wajib mengqadhanya (apabila telah dilakukan)”.

2. Mengenai mengambil wudhuk di dalam tandas (iaitu tempat yang dikhaskan untuk manusia kencing dan berak), tidaklah terdapat larangan khusus dari Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-. Namun menurut ulamak; hukumnya adalah makruh kerana tandas itu merupakan tempat yang disediakan untuk najis dan menjadi tempat berlindung Syaitan (kerana itu kita disuruh oleh Nabi supaya memohon perlindungan dari Allah dari Syaitan syaitan jantan dan betina sebelum memasuki tandas). Ketika hendak mengambil wudhuk kita disunatkan membaca Bismillah, namun di dalam tandas kita dilarang menyebut nama Allah. Berdasarkan factor-faktor tersebut, tidak digalakkan mengambil wudhuk di dalam tandas. Namun demikian, wudhuk yang diambil di dalam itu tandas itu tetap sah jika memenuhi syarat-syarat dan rukun-rukunnya, cuma perbuatan/tindakan mengambil wudhuk dalam tandas itu sahaja yang makruh. Satu perkara lagi perlu diperhatikan; hendaklah berjaga-jaga dari terkena percikan najis pada pakaian atau badan kerana kemungkinan untuk berlaku perkara tersebut adalah ada terutama jika kita mengambil wudhuk dalam tandas awam.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Siri Soal-Jawab Fiqh (siri 1); Pengenalan Tentang Fiqh & Fiqh Toharah (Bersuci), Ustaz Ahmad Adnan bin Fadzil.
2. Fatwa dalam laman as-Syabakah al-Islamiyyah (http://www.islamweb.net), no. 115863 dan 14269.

MASALAH KELIRU WARNA HAID DAN UBAT PENAHAN HAID

Soalan; assalamualaikum ustaz,harap ustaz dapat jawab secepat mungkin kerana saya amat tertekan sama ada mahu mengganti puasa atau tidak,memandangkan ramadan bakal tiba tidak lama lagi tapi saya masih tdk mengganti puasa.saya harap ustaz dapat beri jawapan di email saya secepat mungkin,sy mengharap sgt pertolongan ustaz. masalah saya begini, saya telah makan ubat penahan darah haid ketika bulan ramadan lepas. jadi selepas beberapa makan(saya tidak ingat berapa lama saya makan, saya tidak datan haid tapi warna kuning, kecoklatan sedikit, ada keluar.tapi saya tetap teruskan puasa sbb sy baca dalam artikel mengatakan warna kuning,coklat selepas suci tidak dikira haid cuma saya konfius warna kuning, coklat itu ada selepas 15 hari suci maknanya dalam hari ke 17 suci(saya tak pasti cuma anggapan saya ,kerana betul2 sudah lupa), yang sepatutnya saya piriet,keluar darah tapi tak keluar darah cuma keluar warna kuning, coklat..dan tidak berterusan,..seperti piriet adakah saya perlu ganti puasa2 selama 30 hari sbb sy mmg tak mandi wajib walaupun kuning,coklat itu,saya juga teruskan puasa saya.saya mahu puasa 30 hari sebb mmg piriet sy dah 14 hari kemudian diikuti masalah ini,saya jadi was2. harap ustaz bantu saya

Jawapan;

Warna kuning dan keruh (atau kelabu dan sebagainya) jika ia muncul pada hari-hari haid atau hari-hari kebiasaan haid atau hari-hari harus berlaku haid, ia dikira sebagai haid. Adapun jika ia datang semasa tempoh suci iaitu tempoh selepas tamatnya hari-hari haid, ia bukanlah haid. Ada dua hadis yang menjadi rujukan tentang cairan kuning dan keruh ini, iaitu;

Pertama; Hadis Saidatina ‘Aisyah –radhiyallahu ‘anha- menceritakan; “Wanita-wanita sahabat menghantar kepadanya satu bekas kecil berisi kapas yang terdapat padanya kesan kuning dan keruh dari haid. (*Tujuan mereka ialah meminta penjelasan darinya apakah mereka telah suci dari haid atau belum apabila yang masih tinggal pada faraj mereka hanyalah kesan kuning dan keruh). Lalu ‘Aisyah menjawab; “Janganlah kamu kamu tergesa-gesa (mandi wajib) sehinggalah kamu melihat seperti kapur putih” (HR Imam al-Bukhari dan Imam Malik).

Kedua; Hadis Ummu ‘Athiyyah –radhiyallahu ‘anha- (salah seorang wanita sahabat Nabi) menceritakan; “Kami (yakni wanita-wanita sahabat Nabi) tidak menghitung warna keruh dan juga kuning ketika suci sebagai suatu tanda haid” (HR Imam Bukhari dan Abu Daud).

Hadis Aisyah menunjukkan bahawa warna kuning dan keruh yang keluar dari faraj wanita dalam tempoh hari-hari haidnya adalah dianggap haid, yakni ia belum lagi suci dan belum dibolehkan mandi, yakni wanita hendaklah menunggu hingga habis segala warna barulah boleh mandi.

Hadis Ummu ‘Atiyah pula menunjukkan bahawa jika warna kuning dan keruh itu muncul pada masa suci, tidaklah ia dikira sebagai haid. Contohnya, seorang wanita telah kering darah haidnya dan telah mandi, namun setelah beberapa hari keluar cairan kuning dan keruh dari farajnya. Cairan kuning dan keruh itu tidak dianggap sebagai haid kerana keluarnya adalah pada masa suci, bukan pada hari-hari haid atau hari-hari kebiasaan haid.

Walaupun puan telah memakan ubat penahan haid, namun kemungkinan untuk haid puan keluar masih ada. Oleh itu, jika warna kuning dan keruh itu muncul menepati hari-hari kebiasaan haid puan pada setiap bulan (mengikut bulan Islam), ia dikira haid. Jika ia muncul bukan pada hari-hari kebiasaan haid puan, ia tidaklah dikira darah haid kerana keluarnya adalah ketika puan telah suci berpandukan hadis Ummu ‘Atiyah tadi.[1] Ini adalah mengikut pandangan mazhab Hanbali. Merujuk kepada pandangan ini, puan hendaklah memerhatikan; adakah warna kuning dan keruh yang keluar itu menepati hari-hari kebiasaan haid puan atau tidak?

Adapun menurut mazhab Syafi’ie; jika warna kuning dan keruh itu keluar dalam tempoh harus berlaku haid iaitu keluarnya selepas melalui tempoh suci paling pendek (iaitu 15 hari), maka ia dikira haid walaupun tidak menepati hari-hari kebiasaan haid.[2] Dalam ungkapan lain; jika warna kuning itu keluar sebelum genap 15 hari tempoh suci (selepas haid yang lalu), ia bukanlah haid kerana tempoh suci tidak boleh kurang dari 15 hari. Adapun jika selepas genap 15 hari tempoh suci, ia adalah haid kerana tempoh selepas 15 hari suci itu merupakan tempoh harus berlakunya haid. Merujuk kepada pandangan ini, warna kuning dan keruh yang dilihat oleh puan pada hari ke 17 suci itu adalah haid. Puan hendaklah menggantikan puasa pada hari-hari kedatangan haid sahaja, tidak perlu menggantikan keseluruhan 30 hari dalam bulan Ramadhan itu.

Mengenai hukum memakan ubat penahan haid, para ulamak mengharuskannya jika tidak mendatangkan mudarat. Bagi yang bersuami, ia hendaklah mendapat keizinan suami. Namun demikian, ia tidaklah digalakkan kerana kedatangan haid adalah ketetapan Allah untuk kaum wanita. Menahannya dari keluar dibimbangi akan mendatangkan mudarat di kemudian hari di samping ia juga mungkin mengubah kitaran haid wanita dan menimbulkan keraguan/kecelaruan sebagaimana yang dihadapi oleh puan.[3]

Semasa haji perpisahan (Hajjatul-Wada’), Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- masuk bertemu ‘Aisyah –radhiyallahu ‘anha- dan baginda melihat beliau sedang menangis. Ketika itu ‘Aisyah telah pun berihram umrah. Baginda bertanya; “Kenapa engkau menangis? Barangkali engkau kedatangan haid?”. Jawab ‘Aisyah; “Ya”. Lalu baginda berkata; “Ini (yakni kedatangan haid) adalah suatu ketetapan Allah untuk anak-anak perempuan Adam”. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari ‘Aisyah –radhiyallahu ‘anhu-).

Kaum wanita hendaklah bersabar dan menerima ketetapan Allah. Sekalipun semasa haid ia tidak dapat mengerjakan solat dan puasa, ruang untuk ia ingat kepada Allah masih ada. Ia masih boleh beribadah kepada Allah dengan zikir, tasbih, tahmid, bersedekah, berbuat kebajikan/kebaikan kepada manusia melalui ucapan dan perbuatan di mana semua itu juga merupakan amalan-amalan terbaik atau al-afdhal di sisi Allah.[4]

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Al-Haidh wa an-Nifas, Abi ‘Umar Dibyan, hlm. 298.
2. al-Mugni, Imam Ibnu Qudamah, 1/243.
3. al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 2/396.
3. Fatawa Arkan al-Islam, Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin, hlm. 176.

Nota hujung;

[1] Ada kemungkinan kitaran haid puan akan berubah kesan pil tersebut iaitu ia mungkin keluar awal dari kebiasaan atau lewat atau mungkin hari-hari haid akan bertambah dan mungkin juga berkurang dari biasa. Maka jika kuning dan keruh itu keluar dengan disertai rasa-rasa sakit yang biasa dihadapi kaum wanita semasa haid dan keluarnya bersambungan dengan hari-hari kebiasaan haid -contohnya pada hari pertama dan kedua keluar warna kuning dan keruh dan pada hari ketiga keluar darah haid berwarna hitam, merah kehitaman atau sebagainya-, maka warna kuning dan keruh itu dikira haid sekalipun keluarnya awal dari hari yang biasa kedatangan haid. Adapun jika kuning dan keruh itu tidak disertai oleh rasa-rasa sakit dan tidak diikuti dengan keluar darah haid –yakni setelah keluar warna kuning dan keruh itu ia berhenti dan tidak ada darah yang keluar-, maka warna kuning dan keruh yang keluar itu tidak dikira haid. (Al-Haidh wa an-Nifas, Abi ‘Umar Dibyan (hlm. 274 dan 275).

[2] Berkata Imam an-Nawawi dalam al-Majmu’; “Jika seorang wanita melihat darah hitam selama lima hari, kemudian ia suci selama 15 hari, kemudian ia melihat warna kuning selama lima hari, maka mengikut pandangan yang dipakai dalam mazhab Syafi’ie; warna kuning itu dikira haid yang kedua dan tempoh antara haid pertama (iaitu 5 hari darah hitam) dan haid kedua (lima hari warna kuning) merupakan tempoh suci yang genap”. (al-Majmu’, 2/395).

[3] Al-Haidh wa an-Nifas, Abi ‘Umar Dibyan (hlm. 274 dan 275) dan Fatawa Arkan al-Islam, Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin (hlm. 176).

[4] Fatwa Arkan al-Islam (hlm. 176).

Monday, 14 June 2010

PENDAPATAN MELALUI MLM

Soalan; Apakah hukum bagi pendapatan yang diperolehi hasil daripada MLM. Ia diniagakan dengan cara yang halal, produk yang halal tetapi menggunakan sistem piramid? Yang mana seseorang itu mendapat pendapatan melalui usaha orang yang berada di bawahnya?

Jawapan;

MLM sebagaimana juga sistem perbankan, saham, insurans dan sebagainya lagi dari muamalah-muamalah baru yang wujud hari ini, tidak boleh kita hukum sebagai haram secara borong kerana hukum asal bagi segala muamalah duniawi adalah harus hinggalah kita dapat membuktikan sebaliknya. Para ulamak menjelaskan; “Hukum asal bagi segala mu’amalah di dalam Islam adalah harus hinggalah ada dalil menunjukkan kepada pengharamannya” (Majmu’ al-Fatawa (Ibnu Tamiyyah) (28/386), al-Fawaid al-Bahiyyah (m.s. 115), al-Jawahir al-Mudhiah (2/519-520)).

Tatkala Rasulullah tiba di Madinah (selepas peristiwa hijrah) baginda mendapati penduduk Madinah biasa bermu’amalah dengan satu sistem perniagaan yang diberi nama as-Salam (yakni jual-beli secara tempahan). Baginda tidak melarangnya (dengan alasan ia bukan berasal dari Islam), sebaliknya baginda memberi garis panduan kepada mereka yang ingin menggunakannya (agar mu’amalah itu berjalan tanpa melanggari Syariat) dengan sabda baginda;

مَنْ أَسْلَفَ فِي تَمْرٍ، فَلْيُسْلِفْ فِي كَيْلٍ مَعْلُومٍ، وَوَزْنٍ مَعْلُومٍ، إلَىَ أَجَلٍ مَعْلُومٍ
“Sesiapa ingin melakukan akad tempahan, hendaklah ia melakukan akad dengan sukatan yang diketahui, dengan timbangan yang diketahui dan dengan tempoh yang diketahui.
(Riwayat Imam al-Bukhari, Muslim dan lain-lain dari Ibnu ‘Abbas r.a.. Lafaz adalah dari Muslim).

Darul-Ifta’ (Majlis Fatwa) Mesir (yang diketuai oleh Muftinya Syeikh Dr. ‘Ali Jumaah) dalam fatwanya tahun 2007 telah memutuskan tentang MLM sebagaimana berikut;

1. MLM adalah satu bentuk akad baru yang menggabungkan dua akad, iaitu;
a) Akad jual-beli; iaitu akad jual-beli antara Syarikat dan pembeli yang bakal menjadi pengedarnya dengan memenuhi syarat-syarat tambahan (yang ditetapkan oleh Syarikat).
b) Akad al-Ju’alah (yakni akad pemberian yang diikat dengan suatu kerja/peranan); di mana al-Ja’il (yakni orang yang menawarkan pemberian) adalah Syarikat, al-Maj’ul lahu (yakni orang yang ditawarkan pemberian kepadanya) ialah pengedar-pengedarnya, al-‘Amal (yakni kerja/peranan yang menjadi syarat untuk mendapat pemberian) ialah menjalankan pemasaran/penjualan produk dan mendatangkan pembeli/pengedar baru untuk syarikat dan al-Ju’l (yakni pemberian) ialah hadiah/bonus mengikut peratus tertentu kepada harga barangan/produk.

2. Di antara prinsip-prinsip am bagi muamalah Islam ialah;
a) Jujur dan amanah; iaitu pihak Syarikat dan para pengedarnya hendaklah sentiasa jujur dalam menerangkan ciri-ciri produk/barangan yang dijual kepada pengguna.
b) Muamalah hendaklah bebas dari sebarang bentuk penganiayaan; oleh itu diharamkan menjual produk/barangan yang tiada sebarang faedah kepada pengguna/pembeli kerana ia termasuk dalam memakan harta orang lain secara batil dan merupakan pembohongan dan penipuan. Apatahlagi jika yang dijual adalah produk yang mendatangkan mudarat, maka ia lebih-lebih lagi diharamkan.

c) Muamalah juga hendaklah bebas dari gharar, riba dan juga pertaruhan/perjudian.

d) Khusus bagi akad jual-beli, disyaratkan;
i) Barangan/produk yang dijual hendaklah wujud semasa akad, diketahui oleh kedua pihak yang berakad, merupakan harta yang diakui oleh Syarak, dimiliki oleh penjual dan mampu diserah.
ii) Bagi sighah (pernyataan akad); hendaklah lahir (dari dua pihak yang berakad) tanda atau reaksi mereka yang menunjukkan persetujuan untuk melakukan akad dan memberi milik kepada pihak lain dengan mendapat tukaran.
iii) Bagi dua pihak yang berakad; disyaratkan mereka hendaklah mempunyai keahlian untuk menjalankan akad, redha/bersetuju dengan akad yang dijalankan dan memiliki kuasa ke atas barang yang diakadkan sama ada sebagai pemiliknya atau wakil kepada pemilik.

e) Khusus bagi akad al-Ju’alah pula, disyaratkan;
i) Orang yang menawarkan al-ju’l (pemberian/bonus); ia hendaklah membuat penawaran dengan pilihan sendiri (tanpa dipaksa) dan memiliki hak terhadap pemberian tersebut.
ii) Orang yang berkerja/berperanan untuk mendapat pemberian tersebut; ia hendaklah seorang yang mampu untuk melakukan kerja/peranan yang menjadi syarat kepada pemberian tersebut.
iii) al-Ju’l (pemberian/bonus) yang ditawarkan; hendaklah ia diketahui (yakni bukan suatu yang majhul atau samar-samar), bersih dan halal, mampu diserahkan dan dimiliki oleh al-Ja’il (orang yang menawarkan pemberian/bonus).

f) Telah menjadi ketetapan dalam Qawaid Syarak (prinsip-prinsip Syariat Islam) bahawa hukum asal bagi segala muamalat –mengikut Islam- adalah harus. Segala muamalah yang tidak dinyatakan oleh Allah dan Rasulnya sebagai haram tidaklah ia haram.

g) Setelah membuat penjelasan (yang diringkaskan) di atas, Majlis Fatwa Mesir menegaskan; “Berdasarkan keterangan yang lalu, kami berpandangan tidak ada sebarang tegahan untuk menjalankan muamalah tersebut (yakni MLM) dan tidak ada tegahan juga untuk memberi (hadiah/bonus) dengan peratusan tertentu kepada seorang yang ia telah menjadi sebab kepada pengedaran (barang/produk) sekalipun secara tidak langsung kerana sebab yang melayakkannya untuk mendapat hadiah/bonus masih kekal dan itu mencukupi untuk mengharuskan pemberian (hadiah/bonus) kepadanya”. (Ulasan saya; apa yang ingin dijelaskan oleh fatwa di atas ialah; Tidak ada larangan (dari Syarak) untuk syarikat memberi bonus kepada pengedarnya dengan persen dari belian oleh pembeli-pembeli di bawahnya sekalipun belian itu bukan melaluinya akan tetapi melalui orang-orang yang didatangkannya (kepada syarikat). Ini kerana sebab/faktor (yang melayakkannya mendapat bonus) masih kekal dan dengan kekalnya sebab/faktor itu mencukupi (untuk ia terus diberi bonus oleh syarikat). Tidak ada dalam qaedah-qaedah Syariat yang menghalang syarikat untuk memberi bonus kepadanya. Malah bonus itu boleh menjadi pendorong kepadanya untuk terus membantu ahli-ahli di bawahnya sehingga perolehan mereka menjadi semakin besar).

Begitulah ringkasan Fatwa dari Majlis Fatwa Mesir berkenaan MLM. Sebenarnya banyak lagi penjelasan yang terdapat dalam fatwa tersebut, namun kita tidak dapat menurunkan kesemuanya dalam ruang ini kerana tidak bersesuaian. Pembaca boleh mengikutinya di; (http://www.dar-alifta.com/ViewFatwa.aspx?ID=5158).

Berbeza dengan pendekatan Majlis Fatwa Mesir di atas -yang tidak menghukum semua MLM sebagai haram, sebaliknya memberi garis panduan -, terdapat di sana fatwa-fatwa lain yang cenderung menghukum semua MLM sebagai haram antaranya fatwa dari Majlid Fatwa Arab Saudi. Bila dibaca dan diteliti fatwa-fatwa ulamak yang mengharamkan semua jenis MLM itu, kita akan dapati bahawa ia sebenarnya bukan ditujukan kepada MLM, akan tetapi kepada Money Game atau Skim Piramid. Tidak mustahil ramai yang terkeliru antara MLM dan Money Game berpunca dari terdapatnya syarikat yang menjalankan Money Game tetapi berselindung disebalik MLM. Di bawah ini saya turunkan dua perbezaan asas antara MLM dan Money Game/Skim Piramid;

1. MLM ialah pemasaran dengan system jualan lansung dari pengeluar produk (syarikat) ke pengguna melalui multi (banyak) level (tingkat) jaringan. Jadi, inti MLM ialah pada kata “marketing” (pemasaran) bukan multi levelnya. Adapun money game intinya ialah game (permainan wang). Ia sama sekali tidak masuk dalam kategori marketing (pemasaran).

2. Dalam MLM, keuntungan atau hasil yang bakal diperolehi para pengedar (atas nama bonus, insentif atau sebagainya) bergantung kepada jumlah produk yang berjaya dijual kepada pengguna melalui kerja dan peranan yang dimainkan oleh para pengedar. Adapun dalam money game, keuntungan ditentukan oleh sejauh mana orang yang terbabit berjaya merekrut orang lain yang memasukkan sejumlah wang hingga terbentuk satu format pyramid. Kesimpulannya, keuntungan dalam MLM diperolehi dari usaha penjualan produk, adapun dalam money game atau skim pyramid ia diperolehi dari merekrut orang sahaja.

Money Game/Skim Piramid yang berselindung di sebalik MLM

Tidak dinafikan hari ini banyak syarikat yang menjalankan Money Game atau Skim Piramid tetapi berselindung di sebalik MLM menyebabkan orang ramai yang pernah ditipu oleh Skim Piramid dan Money Game menganggap MLM sama saja dengan Money Game/Skim Piramid. Mereka mengisytiharkan perniagaan secara MLM, tetapi sebenarnya yang mereka jalankan ialah permainan wang (money game). Kewujudan barang/produk bukanlah menjadi tujuan, akan tetapi hanya sebagai lapik untuk mengelabui mata masyarakat dan untuk mengelak dari dikenakan tindakan oleh pohak berkuasa. Sebagai panduan kepada pembaca untuk mengenali MLM jenis ini, di bawah ini saya turunkan ciri-cirinya;
1. Menjanjikan keuntungan besar dalam waktu singkat tanpa usaha berarti.
2. Tidak memiliki produk yang bermanfaat untuk dipasarkan kepada pengguna.
3. Kalau ada produk sekalipun, nilainya murah dan tidak berkualiti, tetapi dijual dengan harganya amat tinggi (tidak masuk akal) -berbanding harga sebenar dan harga pasaran- kerana niat sebenar bukan perniagaan, tetapi money game (permainan wang).
4. Pendapatan/bonus utama diperolehi dari rekrut orang, bukan dari usaha menjual produk.
5. Menggunakan prinsip gali lubang tutup lubang, iaitu menggunakan wang pendaftaran untuk membayar bonus ahli yang masuk terdahulu.
6. Perniagaan akan runtuh jika ahli baru yang direkrut tidak berimbang dengan dana yang harus dibayar kepada ahli lama.
7. Berorientasi jangka pendek dan mengaut dana sebanyak-banyaknya selagi ada kesempatan.
8. Selalu menyatakan bahawa sesiapa yang masuk dulu dalam bisnes ia akan mengaut keuntungan besar.
9. Yuran penyertaan ahli baru yang mahal serta komisyen tinggi kepada peserta yang dapat menarik ahli baru.
10. Paksaan simpanan stok barangan kepada ahli dengan alasan komisyen dan sebagainya tanpa mempedulikan kepuasan jangka panjang pengguna.
12. Penjualan besar-besaran kepada ahli barunya yang membeli barangan semata-mata untuk menjadi peserta/pengedar. Mereka tidak menghiraukan mutu atau usaha untuk pemasaran barangan kepada pengguna.

MLM yang mengamalkan money game di atas terdapat bermacam unsur yang dilarang Syarak iaitu gharar, riba, perjudian, penipuan, kezalimanan dan sebagainya.

MLM yang menepati Syariat

Kepada pembaca yang berminat untuk menyertai MLM, pastikan MLM yang ingin anda ceburi memiliki ciri-ciri berikut;

1. Produk yang dipasarkan hendaklah dipastikan benar-benar halal, Thayyib (berkualiti) dari semua aspek dan terhindar dari Syubhah.

2. Akad antara pihak penjual (al-ba'i) dan pembeli (al-musytari) dilakukan atas dasar suka sama suka (at-taradhi), tidak ada paksaan dan manipulasi.

3. Sistem urusniaganya hendaklah memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat jual-beli sebagaimana yang terdapat di dalam hukum Fiqh.

4. Produk/barangan tersebut diperjualbelikan dengan harga yang wajar (yang tidak lari jauh dari harga pasaran mengikut kualiti sebenar).

5. Sistem perniagaan yang dijalankan benar-benar memperdagangkan barangan/produk (yakni menjalankan perniagaan sebenar), bukan menjalankan skim piramid atau money game dengan berlapikkan barangan/produk.

6. Sistem pemasaran yang dijalankan hendaklah menepati Syarak (tidak ada penipuan, gimik yang melampau, manupulasi).

7. Pihak syarikat yang menjalankan MLM hendaklah memastikan para pengedarnya sentiasa beriltizam dengan adab-adab atau etika pengedar (penjual) yang memenuhi tuntutan Syariat Islam.

8. Struktur pengurusan Syarikat hendaklah memiliki Jawatankuasa Pengawasan Syariah yang terdiri dari para ulamak yang memahami masalah ekonomi.

9. Bonus yang diberikan hendaklah di ambil dari keuntungan jualan (produk) dan/atau sumbangan syarikat yang berdasarkan kepada perniagaan yang bersih dan memenuhi ciri-ciri di atas khususnya dari sudut status produk dan juga harga.

10. Pemberian bonus itu hendaklah berdasarkan prinsip “Perkongsian Untung” antara syarikat dan orang-orang yang menyumbang kepada syarikat.

11. Pemberian bonus hendaklah dilakukan mengikut kaedah yang diharuskan oleh Syariat iaitu atas dasar Hibah, komisyen Simsarah, Ijarah (upah), al-Ju’alah atau sebagainya.

Apabila MLM yang disertai adalah MLM yang menepati prinsip-prinsip Mu’amalah Syariah dan bebas dari sebarang unsur yang ditegah Syarak dalam aktiviti jual-beli atau perniagaan (gharar, riba, dzulm, penipuan dan sebagainya), pendapatan yang diperolehi darinya sama ada dalam bentuk bonus, hadiah, insentif dan sebagainya adalah halal.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Fatwa Darul-Iftak, Mesir, Laman Web; http://www.dar-alifta.com.
2. Mengenal MLM Syariah, Kuswara (Indonesia)
3. Soal-Jawab MLM Syariah, Ustaz Ahmad Adnan bin Fadzil.
4. Garis Panduan MLM Syariah, terbitan; Panel Syariah HPA Ind. Sdn. Bhd..

Sunday, 13 June 2010

CARA MENANGKIS BISIKAN JAHAT

Soalan; Assalamualaikum wbt, terima kasih dengan jawapan ustaz . Adakah saya berdosa sekiranya terdengar bisikan itu? selain berisghtifar, saya juga menunaikan solat sunat taubat, disamping membaca al-Quran, dan tidak tinggal solat lima waktu dan alhamdulillah hati saya tenang. namun ada kadangkala, bisikan tersebut dtg semula, saya tidak percya dgn bisikan itu, tapi ia menganggu dan menyakitkan hati.

Jawapan;

Bisikan-bisikan yang masuk dalam hati kita tidaklah kita berdosa kerananya kerana ia di luar kehendak kita. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesungguhnya Allah tidak mengambil kira dari umatku apa yang dibisikkan oleh dirinya selagi ia tidak menuturkannya atau tidak melakukannya” . (HR Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-). Dari hadis dapat kita fahami bahawa; suatu kejahatan yang dibisikkan oleh hati kita belumlah dikira dosa ke atas kita selagi kita tidak menzahirkannya sama ada dalam bentuk ucapan atau amalan/perbuatan.

Bisikan-bisikan jahat itu janganlah dihiraukan atau diambil peduli. Sabda Rasulullah; “Syaitan akan datang kepada salah seorang dari kamu dan bertanya kepadanya (untuk menimbulkan kesangsian); ‘Siapakah yang mencipta makhluk sekian dan sekian? Hingga akhirnya ia bertanya; ‘Siapa pula yang mencipta Tuhan kamu?’. Maka apabila sampai ke tahap itu, hendaklah ia memohon perlindungan Allah (dari bisikan Syaitan itu) dan hendaklah ia berhenti”. (HR Imam Muslim dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-).

Dalam hadis ini Rasulullah mengajar kita bagaimana menghadapi bisikan keraguan dari Syaitan khususnya yang menyentuh tentang zat Tuhan, iaitu dengan kita segera menohon perlindungan dari Allah dan berhenti dari melayani bisikan itu. Berkata Imam an-Nawawi; maksud ungkapan baginda “…hendaklah ia memohon perlindungan Allah (dari bisikan Syaitan itu) dan hendaklah ia berhenti…” ialah; “Apabila Syaitan membentangkan bisikan tersebut kepadanya, hendaklah ia segera berlindung kepada Allah untuk menangkis kejahatan Syaitan itu dan hendaklah ia berpaling dari memikirkan bisikan itu. Hendaklah ia menyedari bahawa itu adalah bisikan Syaitan dan Syaitan sentiasa mencari jalan untuk merosakkan manusia dan menyesatkannya. Maka hendaklah ia berpaling dari memberi perhatian kepada bisikan Syaitan itu dan segera memutuskannya dengan menyibukkan diri dengan perkara lain” (Imam an-Nawawi, Syarah Soheh Muslim, juz. 2, kitab al-Iman, bab Bayan al-Waswasah fi al-Iman wa ma yaquluhu man wajadaha).

Di antara doa yang amat baik untuk dibaca untuk memohon perlindungan dari Allah bagi diri –selain dari lafaz al-Isti’azah- ialah doa di akhir surah al-Baqarah;

رَبَّنَا لاَ تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا رَبَّنَا وَلاَ تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْراً كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا رَبَّنَا وَلاَ تُحَمِّلْنَا مَا لاَ طَاقَةَ لَنَا بِهِ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا أَنتَ مَوْلاَنَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
“Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau menghukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau pikulkan ke atas Kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau pikulkan ke atas orang-orang yang terdahulu dari kami. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau bebani kami dengan apa yang Kami tidak terdaya menanggungnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah penjaga kami, oleh itu, bantulah kami untuk mencapai kemenangan terhadap orang-orang kafir”. (Surah al-Baqarah, ayat 286).

Wallahu a’lam.

Rujukan;
1. Tafsir al-Quran al-Adziem, Imam Ibnu Kathir, surah al-Baqarah ayat 284.
2. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, juz. 2, kitab al-Iman.

Saturday, 12 June 2010

CIRI-CIRI PAKAIAN WANITA ISLAM

Soalan; Asslamualaikum Ustaz/ Ustazah, Saya ingin bertanya tentang adab berpakaian. Saya (perempuan) ada membeli baju Punjabi untuk dipakai sebagai pakaian harian tetapi ditentang oleh adik saya yang mengatakan pakaian Punjabi itu adalah HARAM disisi agama Islam. Dia turut mengemukakan bukti dan menyuruh saya menyemaknya didalam Al-Quran didalam surah Al Imran. Saya keliru kerana setahu saya selagi pakaian itu menutup aurat, menjolok mata dan tidak menyerupai lelaki atau perempuan dibolehkan dalam agama. bolehkah Ustaz menjelaskan perkara ini secara terperinci. Hamba Allah yang musykil.

Jawapan;

Ciri-ciri yang ditetapkan oleh Islam bagi pakain wanita ia sebagaimana berikut;
1. Hendaklah menutup kawasan aurat. Aurat wanita ialah seluruh badannya kecuali muka dan tangan sahaja yang harus didedahkan mengikut jumhur ulamak).
2. Tidak jarang atau nipis yang menampakkan kulit badan
3. Tidak ketat atau sendat hingga menampakkan bentuk tubuh
4. Tidak menyerupai pakaian lelaki
5. Tidak menyerupai pakaian orang kafir atau golongan fasiq
6. Tidak berlebihan dan menzahirkan kesombongan
7. Bukan pakaian syuhrah (iaitu pakaian yang dipakai untuk dikenali oleh orang lain, yakni untuk menunjulkan perbezaan diri dengan orang lain)
8. Tidak mempunyai hiasan atau corak yang menarik pandangan lelaki.

Adapun fesyen pakaian, tidak ada fesyen tertentu yang ditetapkan Islam bagi pakaian. Ia terserah kepada manusia untuk menentukannya mengikut pengalaman dan kebiasaan masing-masing kerana hal ini termasuk dalam perkara-perkara duniawi yang diberi kebebasan kepada manusia untuk menentukannya. Syarak hanya menetapkan pakaian hendaklah menutupi aurat, tidak jarang, tidak ketat/sendat dan sebagainya tadi. Adapun bentuk, fesyen dan cara pemakaiannya, maka terserah kepada kebiasaan atau kehendak manusia selagi tidak bercanggah dengan ciri-ciri pakaian yang ditetapkan tadi. Oleh itu, adalah harus wanita Islam memakai baju kurung, jubah, baju Punjabi atau jenis-jenis lainnya selagi ia memenuhi ciri-ciri di atas.

Rujukan;

1. Risalah tentang Pakaian, Ustaz Ahmad Adnan bin Fadzil.
2. Fatwa mufti Mesir tahun 1981 iaitu Syeikh Jadul-Haq ‘Ali Jadul-Haq. (Rujukan; Mausu’ah Fatawa Dar al-Iftak al-Mishriyyah, ter. Majlis al’A’la Li asy-Syuun al-Islamiyyah, Mesir).

Thursday, 10 June 2010

MUSAFIR KE TEMPAT KERJA

Soalan; Ustaz. Saya ingin bertanya adakah boleh saya melakukan solat jama' dan qasar. Situasinya begini: Saya tinggal di Melaka.bekerja pula di Petaling Jaya. Setiap hari saya akan berulang ke tempat kerja dari Melaka. Jika diikutkan kepada hukum, jarak ini telah lebih daripada 2 marhalah. Soalan saya,
1. Adakah saya dikira musafir?kerana setiap hari saya akan berulang dari Melaka ke Petaling Jaya.
2. Layakkah saya untuk melakukan solat jama' dan qasar? kerana, saya akan terlepas solat maghrib tiap2 hari disebabkan sampai sahaja di rumah, sudah masuk waktu isya'..
apa yang perlu saya lakukan..
Harap ustaz dapat menjawab soalan saya ini.

Jawapan;

1. Jika jarak antara tempat tinggal saudara dengan tempat kerja melebihi dua marhalah (iaitu 85 KM) haruslah saudara menjamak dan mengqasarkan solat sekalipun saudara berulang-alik setiap hari antara rumah dan tempat kerja itu.

2. Saudara boleh memilih sama ada hendak melakukan jamak taqdim atau ta'khir. Jamak taqdim ialah menyegerakan solat isyak dengan melakukannya dalam waktu maghrib (iaitu melakukannya sebaik sahaja selesai menunaikan solat maghrib). Jamak ta'khir pula ialah dengan menangguhkan solat maghrib ke dalam waktu isyak (yakni melakukannya bersama solat isyak). Namun jika saudara berniat jamak ta'khir dan meneruskan perjalanan hingga sampai ke tempat tinggal saudara, tidak harus lagi saudara mengqasarkan/memendekkan solat kerana saudara tidak lagi dinamakan musafir (kerana telahpun sampai di kawasan tempat menetap). Maknanya; saudara hendaklah melakukan solat isyak secara sempurna (4 rakaat) berserta solat maghrib (3 rakaat). Tidak harus lagi saudara mengqasarkan isyak (yakni melakukannya 2 rakaat) kerana saudara tidak lagi berada dalam safar (permusafiran).

Wallahu a'lam.

MASALAH QADHA SOLAT YANG DITINGGALKAN DENGAN SENGAJA

Soalan; Assalamualaikum ustaz. Saya ada satu persoalan. Seseorang hamba Allah yang telah banyak meninggalkan solat-solat fardhu sebelum ini tetapi telah kembali ke jalan yang benar dan beliau benar-benar amat menyesal akan perbuatan yang meninggalkan solat-solat fardhu sebelum ini sehingga setiap kali selepas berdoa pasti hamba Allah ini menitiskan air mata kerana menyesali perbuatannya. Maka hamba Allah ini telah mengerjakan solat sunat taubat dan berjanji tidak akan mengulangi solat-solat fardhu. Banyak amalan-amalan lain yang dilakukan seperti melakukan solat2 sunat, bersedekah dan melakukan amalan-amalan baik diredhai oleh Allah.

Apakah perlu hamba Allah ini mengqadha semua solat-solat fardhu ini (jika ia telah meninggalkan solat2 fardhu selama 10 tahun)? Saya ada mendengar 3 pendapat:
1) Bahawa solat-solat ini tidak perlu diqadha kerana hamba Allah ini telah benar-benar menyesal tetapi jangan meninggalkan solat fardhu
2) Satu pendapat yang menyatakan solat boleh diqadha tetapi tujuan tersebut untuk menyatakan kita benar-benar ingin bertaubat.
3) Saya juga ada membaca mengenai tugas kita sebagai hamba Allah menunaikan hak Allah swt dimana mesti mengqadhakan solat yang ditinggalkan. (Buku tersebut bertajuk Bimbingan Taubat, pengarang Mohd. abdul Wahab, keluaran Jasmin Enterprise)

Mohon ustaz menjawab persoalan ini.

Jawapan;

Saya telah menjawab persoalan tersebut sebelum ini. Sila baca di alamat berikut; (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2010/06/taubat-qadha-solat-dan-puasa-syirik.html). Kesimpulan yang dapat dibuat ialah; dalam masalah qadha solat yang ditinggalkan dengan sengaja para ulamak berbeza pandangan;

1) Jumhur ulamak (merangkumi mazhab Hanafi, Maliki dan Syafi'ie) berpandangan; wajib diqadha sebanyak mana solat yang ditinggalkan. Tidak memadai dengan taubat sahaja. Jika hutang dengan manusia dituntut kita membayarnya, maka hutang dengan Allah adalah lebih-lebih lagi dituntut.

2) Sebahagian ulamak -antaranya Imam Ibnu Hazm, Imam Ibnu Taimiyyah dan sebagainya- berpandangannya; solat yang ditinggalkan dengan sengaja tidak perlu diqadha kerana tidak ada nas yang menyuruh kita mengqadhanya dan lagipun jika kita mengqadhanya sebanyak mana sekalipun nescaya tidak akan mampu menampungnya kerana tidak akan sama solat dalam waktu dengan solat di luar waktu. Kerana itu, menurut mereka; orang yang meninggalkan solat dengan sengaja itu ia hendaklah bertaubat sungguh-sungguh kepada Allah, banyak beristighfar dan memperbanyakkan solat-solat sunat serta amalan-amalan kebaikan yang lain semoga akan memberatkan timbangannya di akhirat dan dapat menampung kekurangan kerana mengabaikan solat fardhu tersebut.

Wallahu a'lam.

Wednesday, 9 June 2010

TAUBAT, QADHA SOLAT DAN PUASA, SYIRIK

Soalan; Apabila seseorang itu benar-benar telah bertaubat atas dosa-dosanya,apakah yang mesti dia lakukan?sekiranya sebelum ini dia seorang yang tidak solat dan puasa,adakah dia wajib mengqada solat dan puasa selama mana yang dia tinggalkan itu? dan sekiranya dia adalah pengamal syirik, apakah yang perlu dilakukan terlebih dahulu olehnya?

Jawapan;

1. Taubat adalah wajib ke atas setiap dosa yang kita lakukan. Bertaubat tidak cukup dengan beristighfar atau melakukan solat sunat taubat sahaja. Ia mesti dengan kita melaksanakan rukun-rukun taubat, iaitu;
a) Meninggalkan maksiat yang dilakukan
b) Melahirkan penyesalan dalam diri kerana terlanjur melakukan maksiat tersebut
c) Berazam tidak akan mengulangi lagi maksiat tersebut
d) Jika berkait dengan orang lain, hendaklah kita membebaskan diri dari haknya, iaitu memulangkan hartanya jika berkait dengan harta, atau menyerah diri untuk dihukum jika berkait dengan qazaf (menuduh orang lain berzina) atau memohon maaf darinya, dan jika kita mengumpatinya hendaklah memohon maaf dan meminta halal darinya.
(Riradhus-Salihin, Imam an-Nawawi, bab at-Taubah).

Setelah memenuhi rukun-rukun taubat di atas, barulah selepas itu kita susuli dengan solat sunat taubat dan banyak beristighfar. Menurut ulamak; tanda benar atau tidaknya taubat seseorang dapat dilihat kepada perubahan hidupnya selepas ia bertaubat. Dari seorang yang tidak suka beribadah ia berubah menjadi orang yang gemar beribadah, dari seorang yang tidak pernah menghadiri majlis ilmu ia menjadi seorang yang amat cintakan ilmu dan majlis ilmu. Kalau dahulu ia suka berkawan dengan orang-orang kaki maksiat, setelah bertaubat kawan-kawannya ialah orang-orang soleh dan para ulamak. Jika kehidupannnya sama seperti dulu, tiada sebarang perubahan, itu tandanya ia belum benar-benar bertaubat.

2. Solat dan puasa adalah kewajipan yang telah ditentukan waktunya oleh Allah. Firman Allah (bermaksud); “Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya” (Surah an-Nisa’, ayat 103). Setiap waktu solat yang kita lalui tanpa mengerjakan solat, maka kita telah berhutang dengan Allah. Begitu juga dengan puasa ramadhan. Oleh itu, orang yang meninggalkan solat fardhu dan juga puasa fardhu, wajib ia mengqadhanya mengikut bilangan yang ditinggalkan. Jika bilangan tersebut tidak dapat dipastikan, hendaklah ditentukan dengan andaian dan diusahakan menggantinya hingga hati benar-benar berpuas hati bahawa semua yang ditinggalkan telah diqadha. Ada ulamak mengsyorkan; seorang yang tidak ingat berapa banyak solat yang telah ia tinggalkan, hendaklah ia melakukan solat qadha pada setiap kali selepas menunaikan solat ada’ (tunai) dan hanya berhenti bila diyakini telah menyamai atau melebihi bilangan solat yang ditinggalkan.[1] Di samping qadha, wajib juga bertaubat nasuha jika solat fardhu itu –dan begitu juga puasa- ditinggalkan dengan sengaja (tanpa sebarang keuzuran). Tidak cukup dengan qadha sahaja tanpa taubat.

3. Bertaubat dari amalan syirik pun sama syarat-syaratnya seperti di atas. Orang yang terlibat, (pertama) ia wajib meninggalkan amalan syirik yang dilakukannya. Jika syirik itu membabitkan pemakaian tangkal, azimat dan sebagainya, hendaklah tangkal dan azimat itu dibuang. (Kedua) ia hendaklah menyesali keterlanjurannya beramal dengan syirik itu dan, (ketiga) ia hendaklah bertekad untuk tidak mengulangi lagi amalan syirik yang dilakukan itu termasuk tidak akan bertandang lagi ke tempat-tempat dilakukan amalan syirik itu dan tidak akan berjumpa/bertemu lagi pengamal-pengamal amalan syirik. Selain itu ia hendaklah banyak beristighfar kepada Allah, berzikir dengan kalimah Tauhid, mengerjakan solat, membanyak al-Quran dan menuntut ilmu agama terutamanya ilmu Aqidah atau iman untuk membuang fahaman-fahaman syirik yang menguasai pemikirannya sebelum ini. Ibadah-badah dan amal-amal ketaatan tersebut insya Allah akan menghapuskan kejahatan-kejahatan syirik dan kejahatan-kejahatan lain yang dilakukan sebelum ini sebagaimana sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Bertakwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada, ikutilah kejahatan dengan kebaikan yang akan menghapuskannya dan berakhlaklah dengan manusia lain dengan akhlak yang baik”. (HR Imam Ahmad dan at-Tirmizi dari Abi Zarr –radhiyallahu ‘anhu-).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Riyadhus-Salihin, Imam an-Nawawi, bab at-Taubah.
2. Fatwa-Fatwa Semasa, Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili, hlm. 15.

Nota;

[1] Kewajipan mengqadha semua solat fardhu yang ditinggalkan –sama ada dengan sengaja atau tanpa sengaja (seperti kerana tertidur, terlupa dan sebagainya) adalah pandangan jumhur ulamak (merangkumi mazhab Hanafi, Maliki dan Syafi’ie). Sebahagian ulamak berpandangan –antaranya Imam Ibnu Hazm dan Imam Ibnu Taimiyyah- berpandangan; hanya solat yang ditinggalkan tanpa sengaja sahaja yang dituntut supaya diqadha. Contohnya; seorang yang tertidur hingga terlepas waktu subuh, ia wajib mengqadha segera solat subuh itu sebaik sahaja ia bangun. Adapun orang yang meninggalkan solat dengan sengaja, tidak ada qadha untuknya. Menurut Imam Ibnu Taimiyyah; tidak disyariatkan qadha untuk orang yang meninggalkan solat dengan sengaja, malah tidak sah solat qadhanya itu, sebaliknya ia hendaklah memperbanyakkan solat-solat sunat (semoga dapat menampung solat-solat fardhu yang ditinggalnya). Berkata Imam Ibnu Hazm pula; Orang yang sengaja meninggalkan solat hingga keluar waktunya, selama-lamanya ia tidak akan mampu mengqadha/menggantinya. Oleh itu, ia hendaklah memperbanyakkan amalan-amalan kebaikan dan solat-solat sunat semoga akan memberatkan timbangannya di akhirat, di samping ia hendaklah bertaubat dan beristighfar kepada Allah. (Rujukan; Fiqh as-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, 1/196 dan Fatawa Arkan al-Islam, Syeikh Muhammad Soleh Uthaimin, hlm. 190 dan 197).

Monday, 7 June 2010

KHITAN ANAK KURANG UPAYA

Soalan; Wajib ke kanak-kanak lelaki 12 tahun bersunat sedangkan dia seorang yang cacat (orang kurang upaya) masih pakai pampers, bila masa dia jadi wajib kalau bukan masa sekarang.

Jawapan;

Menurut mazhab Imam Syafi’ie dan Imam Ahmad; khitan adalah wajib ke atas kedua-dua lelaki dan wanita. Menurut mazhab Syafi’ie; tiba masa wajib berkhitan ialah apabila kanak-kanak mencapai umur baligh dan wajib dilaksanakan segera. Namun disunatkan kepada wali/penjaga untuk melaksanakannya ketika kanak-kanak masih kecil kerana itu lebih mengasihinya. Sunat dilakukan pada hari ketujuh (selepas kelahiran) jika bayi mampu menhadapinya. Jika bayi tidak mampu menghadapinya kerana lemah, hendaklah ditangguhkan hingga ia mampu. Jika tidak dikhitankan hari ketujuh, sunat pada hari ke empat puluh. Jika ditagguhkan lagi, sunat dilakukan ketika berumur tujuh tahun. Adalah makruh melakukan khitan sebelum umur tujuh hari. (al-Majmu’)

Bagi anak yang menghadapi masalah mental atau yang kurang upaya, tuntutan berkhitan masih tetap dituntut untuk dilaksanakan oleh wali/penjaganya jika keadaan mental dan fizikal anak itu mengizinkan dan tidak dibimbangi akan memudaratkannya. Jika dikhuatiri akan memudaratkannya, gugurlah kewajipan khitan tersebut. Wali/penjaga hendaklah menunggu ketika yang sesuai untuk mengkhitankannya. Jika keadaan anak berterusan lemah, gugurlah kewajipan khitan itu darinya.

Begitu juga dengan orang dewasa yang belum berkhitan khususnya yang baru masuk Islam. Ia tetap dituntut untuk berkhitan jika tidak membahayakannya. Jika membahayakan dirinya, hendaklah dibiarkan tanpa dikhitankan. Berkata Imam Ibnu Qudamah; jika seorang lelaki dewasa memeluk Islam dan ia bimbang (akan timbul bahaya) pada dirinya jika berkhitan, gugur kewajipan berkhitan darinya. (Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, 1/84).

Rujukan;

1. Fiqh Toharah (Bersuci), Ustaz Ahmad Adnan bin Fadzil, hlm. 125-126.
2. Fatwa dalam laman as-Syabakah al-Islamiyah (http://www.islamweb.net), no. 49375.

Saturday, 5 June 2010

WANG INSURANS KEMATIAN

Soalan;

Assalammualaikum Ustaz, Saya ingin bertanya beberapa soalan dan harap ustaz dapat memberi penjelasan:-
1. Kakak saya telah mendapat wang insuran diatas kematian anak lelakinya, soalan saya ialah :
a. Adakah duit itu perlu dibahagikan secara faraid kepada ayah dan adik-adik simati.
b. Bolehkah siibu menggunakan wang tersebut untuk perbelanjaan harian dan apakah hukumnya.
c. Bolehkah siibu memberi wang tersebut kepada anak-anaknya (adik-adik simati) dan apakah hukumnya.
Sekian, terima kasih.

Jawapan;

1. Wang Insurans jika sepenuhnya pemberian dari pihak syarikat Insurans, ia tidaklah termasuk dalam harta pusaka. Oleh itu, ia diberikan kepada orang yang ditentukan oleh si mati (semasa hayatnya) atau orang yang ditentukan oleh pihak yang menaja Insuran itu (majikan, persatuan khairat dan sebagainya). Jika si mati tidak menentukannya atau pihak yang menajanya juga tidak menentukannya, barulah ketika itu diserahkan kepada ahli-ahli waris untuk dibahagikan mengikut bahagian perwarisan.

2. Jika wang insuran yang diberikan adalah bersama simpanan si mati di mana hari ini ada syarikat-syarikat Insurans yang menawarkan pakej insuran dan simpanan, maka bahagian simpanan adalah dikira harta pusaka dan mesti diagihkan kepada ahli-ahli waris mengikut bahagian masing-masing yang ditentukan Syarak. Adapun bahagian insuran, ia diberikan/diagihkan sebagaimana di atas.

3. Orang yang berhak mendapat wang dari insuran itu, harus ia membelanjanya mengikut kehendaknya (sama ada menggunanya untuk diri sendiri, memberinya kepada orang lain atau sebagainya) asalkan bentuk perbelanjaan tidak ditegah Syarak.

3. Adalah perlu diingatkan di sini bahawa Insurans yang Halal dan bebas dari syubhah ialah Insuran yang berlandaskan Islam iaitulah yang dijalankan di atas prinsip takaful atau ta’awun. Adapun Insuran konvensional iaitu yang dijalankan oleh syarikat-syarikat perniagaan insuran yang tidak berlandaskan Islam, ia telah difatwakan oleh jumhur ulamak hari ini sebagai haram. Oleh itu, umat Islam hendaklah peka tentang masalah ini. Ambillah polisi insuran dari syarikat-syarikat Insuran Islam seperti Takaful Malaysia, Takaful Ikhlas, Takaful Etika dan sebagainya supaya wang insuran yang diperolehi nanti tiada pertikaian di sisi ulamak.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. at-Ta’min ‘Alal-Hayah, Dr. Muhammad Sulaiman al-Asyqar (Buhuth Fiqhiyyah Fi Qadhaya Iqtishadiyah Mu’asharah, hlm. 11-27).
2. Fatwa-fatwa tentang Insuran dalam islamweb.com, islamqa.com dan e-fatwa.gov.my..

Friday, 4 June 2010

TERMAKAN DAGING BABI

Soalan; Assalamualaikum, saya ada soalan tentang sahabat saya dulu masa kami dibangku sekolah rendah dia pernah mengikut Ibunya bekerja "Catering" dimana taukeh nyer adalah kaum Cina. Tapi taukeh tu kalau dia sediakan makanan tidak Halal dia akan uruskan sendiri , cuma makanan-makanan lain baru org Melayu yg uruskan.Sahabat saya itu telah mengikut Ibunya dimana majlis Perkahwinan di buat di sebuah Gereja, dan ketika itu sedang dia memerhatikan Taukeh tu menyiapkan makanan tiba-tiba dia terambil sedikit makanan itu ketika taukeh tiada disitu..dia makan dan bila sampai dirumah baru dia tahu bahwa itu adalah daging babi.Sehingga kini dia tidak beritahu sesiapa kecuali saya.Harap ustaz dapat memberi tunjuk ajar apa harus sahabat buat.Saya pernah suruh dia samak atau tanya Ustaz/Ustazah untuk keterangan lanjut.

Jawapan;

1. Apabila kita termakan benda yang haram, jika makanan masih di dalam mulut, hendaklah diluahkan segera. Adapun jika makanan telah masuk ke dalam perut, apatahlagi jika telah mendarah-daging, tidak ada yang dapat kita lakukan melainkan memohon ampun dan beristighfar kepada Allah.

2. Perbuatan dosa yang kita lakukan kerana terlupa, tidak tahu atau dipaksa dimaafkan oleh Syarak. Sabda Nabi -sallallahu 'alaihi wasallam-; "Sesungguhnya Allah menggugurkan dari umatku (dosa yang mereka lakukan kerana) tersalah, terlupa dan yang dipaksa ke atas mereka" (HR Ibnu Majah dari Ibnu 'Abbas -radhiyallahu 'anhu-).

3. Untuk mengelak kejadian serupa berulang, adalah dinasihatkan kepada kawan puan/saudari itu (malah kepada kita semua) agar mengelak dari makan di restoran-restoran atau tempat-tempat yang meragukan (terutama milik orang bukan Islam) walaupun ada tertulis tanda halal di situ. Sabda Nabi -sallallahu 'alaihi wasallam-; "Sesiapa menjauhi perkara syubhah, maka ia telah mengambil langkah menyelamatkan agama dan kehormatan dirinya" (HR Imam al-Bukhari dari an-Nu'man bin al-Basyir -radhiyallahu 'anhu). Baginda juga bersabda; "Tinggallah apa yang meragukan (dengan berpindah) kepada apa yang tidak meragukan" (HR Imam at-Tirmizi dari al-Hasan bin 'Ali -radhiyallahu 'anhu-). Ada riwayat menyebutkan; "Janganlah kamu makan melainkan makanan orang bertakwa" (Ihya' Ulumiddin).

Wallahu a'lam.

MASALAH NAMA

Soalan; Assalamualaikum ustaz, baru-baru ini seorang teman bertanya kepada saya apakah hukum nama seseorg dalam islam? teman saya ini sedikit musykil dgn nama beliau skrg ini. dia bertanya kepada saya "sekiranya dia meninggal dunia, adakah kubur beliau nanti tidak akan menerimanya hanya kerna nama beliau bukan nama/ciri2 umat islam? adakah dia berdosa hanya kerana nama beliau bukannya nama islam? sebab dulu seorang ustaz pernah memberitahu kepada teman saya ini nama beliau menunjukkan bukan seorang muslim. nama beliau. nama teman saya ini "Bryan Arthur Sarmeinto". orang tua teman saya ini dahulunya non muslim tetapi sudah memeluk islam dan teman saya ini dilahirkan dalam islam. jadi dia inginkan kepastian tentang status namanya ini harus ditukar @ tidak?

Jawapan;

Asal hukum bagi sebarang nama ialah harus selagi tidak terkandung dalam kategori nama-nama yang ditegah Syarak, iaitu;

1. Nama yang menunjukkan penghambaan kepada selain Allah. Contohnya memberi nama “Abdul Amir” (hamba pemimpin), “Abdun-Nabi” (hamba Nabi) dan sebagainya. Imam al-Hakim meriwayatkan dari Abdurrahman bin ‘Auf (seorang sahabat) yang menceritakan; “Namun aku asalnya ialah ‘Abdu ‘Amrin (Hamba Amar), namun selepas aku memeluk Islam Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- menukar namaku kepada ‘Abdurrahman (Hamba Tuhan yang maha pengasih)”. (Riwayat al-Hakim, dipersetujui oleh Imam az-Zahabi, 3/306).

2. Memberi nama dengan nama-nama yang khusus untuk Allah seperti nama ar-Rahman, ar-Razzaq, al-Khaliq, ar-Rab dan sebagainya. Jika hendak menggunakan nama-nama dalam kategori ini hendaklah diletakkan ‘Abd di hadapannya yang memberi makna “Hamba…”.

3. Nama-nama yang khusus bagi orang-orang kafir seperti Boutrus, Jarjis, ‘Abdul-Masih dan seumpamanya (yang menunjukkan kepada penganut agama tertentu).

4. Nama-nama yang diambil sempena berhala atau orang-orang yang disembah selain Allah seperti nama Syaitan dan sebagainya.
(*Nama-nama di atas haram digunakan atau dipakai oleh seorang muslim. Seorang yang menyedari nama yang diberikan kepada beliau menunjukkan kepada pengertian-pengertian di atas, wajib ia menukarnya).

5. Dimakruhkan nama-nama yang tidak memberi pengertian yang elok, iaitu nama-nama yang buruk dan jelik maknanya atau tidak menggambarkan keperibadian seorang muslim. Nama-nama dalam kategori ini sunat ditukar.
Selagi tidak terbabit dengan larangan di atas, harus memberi nama dengan nama apa sahaja asalkan pengertiannya adalah baik dan elok. Adalah digalakkan memberi nama dengan menggunakan kalimah Arab kerana ia lebih menggambarkan keislaman di samping senang dirujuk maknanya kepada ulamak-ulamak Islam.
Secara urutannya, nama yang terbaik digunakan ialah mengikut susunan berikut;

1) Menggunakan nama-nama yang menunjukkan penghambaan kepada Allah seperti ‘Abdullah (Hamba Allah), ‘Abdurrahman (Hamba kepada Tuhan penyayang), Abdul-Aziz (Hamba kepada Tuhan yang perkasa), ‘Abdur-Razzaq (Hamba kepada Tuhan pemberi rezki) dan seumpamanya.

2) Memberi nama sempena para Nabi dan Rasul. Nama terbaik tentunya nama Nabi kita “Muhammad”, diikuti dengan Rasul-Rasul Ulul-Azmi iaitu Ibrahim, Musa, Nuh dan Isa, seterusnya nama-nama Nabi-Nabi yang lain.

3) Memberi nama sempena orang-orang Soleh di antaranya nama-nama para sahabat, para Syuhadak, para ulamak dan sebagainya.

4. Semua nama yang memberi nama yang baik dan elok.

Kesimpulannya, jika nama kawan saudara itu tidak memberi makna yang tidak baik berdasarkan garis panduan di atas, tidaklah wajib beliau menukar namanya. Namun demikian, adalah baik jika ia dapat menukarnya kepada nama menggunakan kalimah Arab. Paling elok ialah jika ia menukarnya kepada nama-nama terbaik dalam susunan di atas. Jika ada keperluan untuk mengekalkan nama asal seperti untuk menjaga keturunan, meraikan keadaan setempat dan seumpamanya, mungkin boleh digabungkan antara nama asal (jika nama itu memberi pengertian yang elok) dengan nama-nama yang disyorkan tadi. Contohnya ialah; “Ann Wang Seng Abdullah”.

Adapun di alam kubur nanti, penerimaan terhadap seseorang tidaklah bergantung kepada namanya, akan tetapi bergantung kepada iman dan amalannya.
Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Fatwa Syeikh Soleh al-Munajjid, laman as-Sual wa al-Jawab (islamqa.com), lihat fatwa no. 7180 dan 135961.