Tuesday, June 29, 2010

MEMBAYAR ZAKAT SECARA BERPERINGKAT-PERINGKAT

Soalan; Assalamualaikum ustaz. Berikut adalah beberapa persoalan yang sering menimbulkan kemusykilan kepada saya berhubung dengan zakat;
3. Seorang yang mempunyai simpanan sebanyak rm 500,000.00 telah mengeluarkan zakat sebanyak rm 12,500.00 apabila telah cukup haulnya. Dia telah mengeluarkan semua jumlah tersebut dari simpanan banknya dan menyimpannya di dalam simpanan berasingan. Bagaimanapun wang zakat tersebut hanya dikeluarkan apabila dia bertemu dengan penerima zakat mengikut asnafnya. Jika tidak kehabisan, wang zakat tersebut mungkin dibawa ke tahun hadapan dan dicampurkan pula dengan jumlah wang zakat tahun berikutnya, tanpa diusik untuk kegunaan lain dan dengan pengurusan yang jujur. Adakah tindakan itu dibolehkan, kerana pengeluar zakat berkenaan telah menyamai fungsi badan-badan zakat yang sedia ada ? Sekian, saya mohon penjelasan dari ustaz. Terima Kasih. Wassalamualaikum Warahmatullah.

Jawapan;

Zakat apabila telah wajib hendaklah disegerakan pembayarannya. Firman Allah (bermaksud);

“…dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya” (al-An’am, ayat 141).

Di dalam ayat ini Allah menyuruh kita mengeluarkan zakat pada hari hasil tanaman dituai. Ayat ini walaupun khusus kepada zakat pertanian, namun pengajaran umumnya merangkumi semua zakat yang lain.

Hajat dan keperluan golongan yang layak menerima zakat adalah segera, terutamanya fakir-miskin dan orang-orang fi Sabilillah (yakni penuntut ilmu, guru-guru agama dan sebagainya). Apabila kita menangguh zakat kita, itu maknanya kita menafikan hak mereka pada waktunya.

Imam Ahmad pernah ditanya tentang seorang lelaki yang mengeluarkan zakat dengan memberinya peringkat demi peringkat. Ia menjawab; “Tidak harus, sebaliknya ia hendaklah mengeluarkannya keseluruhan apabila tiba haulnya (yakni tempoh tahunannya)”.

Di antara dalil lagi ialah; hadis dari seorang sahabat bernama ‘Uqbah bin al-Harith –radhiyallahu ‘anhu- menceritakan; “Suatu hari Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- menunaikan solat asar bersama kami. Habis sahaja solat baginda bergegas masuk ke dalam rumah. Tidak lama selepas itu baginda pun keluar. Apabila ditanya, baginda menjawab; ‘Di dalam rumahku ada potongan emas dari sedekah/zakat. Aku tidak mahu membiarkannya hingga malam, maka kerana itu aku ingin membahagikannya (segera kepada orang yang berhak)’”. (Riwayat Imam al-Bukhari).

Berkata Ibnu Battal –ketika mengulas hadis ini-; “Hadis ini memberi pengajaran kepada kita bahawa perkara baik hendaklah disegerakan kerana kecelakaan dan halangan boleh menimpa kita bila-bila masa, begitu juga kematian, kerana itu menangguhkan kebaikan adalah amalan yang tidak baik” (Fathul-Bari, 4/41).

Imam an-Nawawi menegaskan; “Menurut mazhab kami (yakni mazhab Syafi’ie); apabila zakat telah wajib dan tiada halangan untuk mengeluarnya, wajiblah ia dikekuarkan dengan segera. Jika ditangguhkan, akan berdosa. Pandangan ini juga disebut oleh Imam Malik, Imam Ahmad dan jumhur ulamak”. (al-Majmu’, 5/335).

Menurut Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi; dapat diterima sebagai kelonggaran jika penangguhan setakat sehari, dua hari atau beberapa hari untuk tidak memberatkan pengeluar zakat. Namun jika penangguhan mengambil masa berbulan-bulan atau hampir setahun, ia bukan lagi kelonggaran yang dapat diterima kerana ia membawa manusia meremehkan kewajipan yang dituntut agar disegerakan. (Fiqh az-Zakah, 2/830).

Namun demikian, para ulamak mengecualikan kewajipan menyegerakan pengeluaran zakat itu jika ada suatu alasan yang kuat seperti;
1. Harta zakat berada di tempat lain dan mengambil masa untuk mendatangkannya bagi diagihkan.
2. Terpaksa menunggu kedatangan orang yang berhak menerimanya
3. Menyegerakan zakat dikhuatiri akan menimbulkan mudarat kepada pemilik harta. Seperti seorang yang haul (tempoh tahunan) zakatnya tiba sebelum jadual tibanya ‘amil (pemungut zakat) pemerintah di mana jika dikeluarkan segera zakat, nanti apabila datangnya amil pemerintah akan dipungutnya zakat sekali lagi.

Ada juga ulamak hari ini mengharuskan pemberian zakat dilakukan secara berperingkat-peringkat jika difikirkan ada maslahah untuk penerima zakat. Tetapi wajib harta zakat diasingkan atau ditentukan bahagiannya (dari harta-harta lain). Antara mereka ialah Syeikh ‘Atiyah Saqar –rahimahulah- (bekas pengerusi Lujnah Fatwa al-Azhar, telahpun meninggal) di mana ia menjelaskan dalam fatwanya;

“Apabila harta zakat telah diasingkan atau telah ditentukan bahagiannya, jika seseorang individu mendapati ada maslahah untuk mengagihkannya secara berperingkat-peringkat, maka tidaklah ditegah, contohnya; kerana menunggu ketibaan orang yang berhak menerimanya atau terpaksa mengambil masa untuk musafir (perjalanan) ke tempat mereka, atau kerana difikirkan baik menjadikannya seperti gaji-gaji bulan yang diberikan secara bulanan untuk keluarga-keluarga miskin kerana didapati jika diberi sekaligus nescaya mereka akan membelanjakannya kepada yang tidak sepatutnya, kemudian memerlukan bantuan semula (kerana duit zakat telah habis).

Maka selama ia melakukannya kerana maslahah, tiada tegahan untuk ia mengagihkannya secara berperingkat-peringkat. Pada masa yang sama ia hendaklah meninggalkan wasiat kepada ahli-ahli keluarganya supaya ada dalam pengetahuan mereka kewajipan yang masih terpikul atas dirinya dan harta zakat yang masih berbaki yang belum ia agihkan supaya mereka mengambil alih tugas mengagihkannya bila perlu melakukannya”. (Fatwa Syeikh ‘Atiyah Saqar, dikeluarkan oleh Institusi Fatwa, Mesir).

Kesimpulannya, menangguhkan zakat atau membahagikannya secara berperingkat-peringkat dengan mengambil masa yang lama untuk dihabiskan, tindakan tersebut tidak harus dilakukan dengan sengaja kerana zakat apabila telah tiba tuntutannya, wajib dikeluarkan segera. Dikecualikan jika ada suatu alasan yang kuat atau ada suatu maslahah untuk penerima zakat, maka pada ketika itu haruslah menangguhnya atau memberinya secara berperingkat-peringkat kepada orang-orang yang berhak ke atasnya. Penentuannya bukan merujuk kepada keinginan pemberi zakat, akan tetapi kepada maslahah penerima zakat.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Fatawa Yas-alunaka, Syeikh Hisamuddim bin Musa ‘Afanah, laman web (www.yasaloonak.net), 3/60.
2. Fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, laman web (http://www.islamic-council.com), 9/214.
3. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 23/295.
Post a Comment