Rabu, 2 Jun 2010

SOLAT TANPA MEMBACA SURAH ATAU AYAT LAIN SELEPAS AL-FATIHAH

Soalan; assalamualaikum ustaz.. saya musykil dalam sembahyang.. jika kita solat berjemaah.. rakaat pertama hingga terakhir hanya membaca al fatihah.. adakah cara itu betul.. jika saya sembahyang berseorangan, saya akan membaca al fatihah dan surah lain pada rakaat pertama dan kedua.. pada rakaat ketiga dan keempat saya hanya membaca al fatihah.. adakah cara saya itu betul.. adakah jika saya sembahyang setiap rakaat saya perlu membaca al fatihah beserta dengan surah lain.? saya betul2 musykil sehinggakan saya rasa sembahyang saya tidak diterima oleh allah.. tolong la saya ustaz..

Jawapan;

Mengenai membaca surah atau ayat (di dalam solat) selepas al-Fatihah, perincian tentangnya adalah seperti berikut;

1. Hukumnya adalah sunat, tidak wajib. Bacaan al-Quran yang wajib di dalam solat hanyalah surah al-Fatihah sahaja. Adapun membaca surah atau ayat selepasnya, hukumnya adalah sunat. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesiapa yang membaca ummul-Kitab (surah al-Fatihah), maka mencukupi ummul-Kitab itu baginya (sebagai bacaan al-Quran yang diwajibkan di dalam solat). Dan sesiapa yang menambah (dengan membaca ayat atau surah lain), maka ia adalah paling baik” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-). Walaupun sunat, akan tetapi tidak digalakkan meninggalkannya dengan sengaja kerana akan mengurangkan pahala solat kita.

2. Membaca surah atau ayat selepas al-Fatihah hanya disunatkan pada rakaat pertama dan kedua sahaja. Adapun pada rakaat ketiga atau keempat, tidak disunatkan. Ini berdalilkan hadis dari Abi Qatadah yang menceritakan; “Nabi membaca pada dua rakaat yang awal (yakni rakaat pertama dan kedua) di dalam solat Zohor dan Asar; al-Fatihah dan satu surah yang lain. Kadang-kadang baginda memperdengarkan kepada kami bacaan ayatnya. Pada dua rakaat yang akhir (yakni rakaat ketiga dan keempat), baginda hanya membaca al-Fatihah sahaja”. (Riwayat Imam Muslim).

3. Bagi orang yang solat berjamaah, jika solat yang dikerjakan adalah solat jahriyah (iaitu solat yang sunat diperdengarkan bacaan al-Quran di dalamnya), memadai ia hanya mendengar bacaan surah atau ayat oleh imamnya sahaja. Tidak perlu lagi ia membaca surah atau ayat selepas al-Fatihah. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesungguhnya dilantik imam itu adalah untuk diikuti. Maka apabila ia bertakbir, hendaklah kamu turut bertakbir dan apabila ia membaca (al-Quran) hendaklah kamu senyap (dan mendengarnya)” (riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-). Dikecualikan jika makmum berada berjauhan dengan imam dan tidak dapat mendengar bacaan imamnya, pada ketika itu sunat ia membaca sendiri.

Adapun jika solat yang dikerjakan ialah solat sirriyyah (iaitu solat yang tidak sunat diperdengarkan bacaan al-Quran di dalamnya), makmum disunatkan membaca sendiri surah atau ayat selepas al-Fatihah itu, yakni tidak memadai dengan bacaan imamnya sahaja. Ini berdalilkan hadis dari Jabir –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Kami membaca di dalam solat Zohor dan Asar di belakang imam pada dua rakaat yang pertama surah al-Fatihah dan satu surah yang lain. Pada dua rakaat yang lain (yakni rakaat ke tiga dan ke empat), kami hanya membaca al-Fatihah sahaja” (Riwayat Imam Ibnu Majah dengan sanad yang soheh).
Wallahu a’lam.

4. Membaca satu surah pendek lebih afdhal dari membaca ayat-ayat dengan kadarnya dari surah-surah panjang. Ini berdasarkan hadis-hadis tadi yang menyebutkan; “Nabi membaca al-Fatihah dan surah”.

Rujukan;

1. 60 hadis sifat solat Nabi, tulisan; Ustaz Ahmad Adnan Fadzil.

Tiada ulasan:

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...