Isnin, 28 Jun 2010

TANDA-TANDA KEMATIAN

Soalan; Assalammualaikum, tersebar dalam internet mengenai tanda-tanda sebelum ajal menjelang bagi umat Islam seperti 100 hari sebelum mati badan akan mengalami getaran sesudah asar, 40 hari sebelum meninggal akan berdenyut pusat, juga berlaku sesudah asar. soalannya, sejauh manakah kesahihan tanda-tanda ini sedang tidak diketemui sebarang nas atau dalil dari Al-Quran atau Sunnah. Sedang ada yang mengatakan ia pandangan segelintir ulama. Dan apakah hukum jika ia dijadi iktiqad? dan apakah hukum jika menolaknya? Sekian.

Jawapan;

Sesuatu yang tidak sabit dengan nas dari al-Quran atau as-Sunnah, tidak harus dijadikan iqtiqad. Termasuklah juga perkara-perkara ghaib. Urusan aqidah dan kepercayaan adalah urusan agama. Oleh itu, tiada siapapun harus mendakwa sesuatu itu sebagai keyakinan agama atau amalan agama melainkan ia wajib mendatangkan dalil yang soheh dari al-Quran atau as-Sunnah. Sabda Nabi -sallallahu alaihi wasallam-; "Sesiapa mereka-reka dalam urusan kami ini (yakni urusan agama) apa-apa yang bukan darinya, maka ia adalah tertolak". Adapun suatu dakwaan yang dibuat atas dasar pengalaman, kajian, penelitian dan sebagainya -bukan atas dasar agama-, itu terserah kepada setiap individu sama ada untuk menerima atau menolaknya berpandukan penilaian akal masing-masing.

Kesimpulannya, orang yang mendakwa tanda-tanda kematian itu adalah dari agama, wajiblah ia mendatangkan dalil dari al-Quran atau as-Sunnah. Jika ia mendakwa ianya dari pengalaman atau penelitian, terserahlah kepada masing-masing untuk mempercayainya atau tidak.

Tanda-tanda kematian yang baik (husnul-khatimah)

Apa yang jelas terdapat nas tentangnya ialah tanda-tanda kematian yang baik (husnul-khatimah) iaitu;

1. Mati dengan mengucap kalimah syahadah

Sabda Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam-;

مَنْ كَان آخِرَ كَلامِه لا إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ دَخَلَ الجَنَّةَ
“Sesiapa yang ucapan terakhirnya (sebelum mati) ialah Lailahaillallah, maka ia akan masuk syurga”. (Riwayat Imam al-Hakim dari Mu’az bin Jabar –radhiyallahu ‘anhu-. Kata al-Hakim; Hadis ini sanadnya soheh.)

2. Berpeluh di dahi

Sabda Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam-;

اَلْمُؤْمِنُ يَمُوْتُ بِعَرَقِ الْجَبِيْنِ
“Seorang mukmin mati dengan berpeluh dahinya”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi, an-Nasai dan al-Hakim dari Buraidah –radhiyallahu ‘anhu. Kata Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan. Menurut al-Hakim; hadis ini adalah soheh. Tashih al-Hakim itu dipersetujui Imam az-Zahabi. (Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 9145))

Maksud hadis di atas ialah; jika kelihatan pada dahi si mati renik-renik peluh, maka itu tanda bahawa ia mati dalam iman. Sebab terjadinya renik-renik peluh itu menurut sebahagian ulamak ialah kerana malunya kepada Allah yang memberi rahmat kepadanya sedangkan masih ada dosanya kepada Allah. Sebahagian ulamak pula berkata; orang mukmin tidak terlepas dari merasai kepayahan ketika mati, namun kepayahan yang dihadapinya ringan sahaja iaitu hanya sekadar kepayahan yang menerbitkan peluh yang berpercikan pada dahi. (Faidhul-Qadier, hadis no. 9145)

Dalam satu hadis yang lain, Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda;

لَقِّنُوْا مَوْتَاكُمْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ فَإِنَّ نَفْسَ الْمُؤْمِنِ تَخْرُجُ رَشْحًا وَنَفْسُ الْكَافِرِ تَخْرُجُ مِنْ شِدْقِهِ كَمَا تَخْرُجُ نَفْسُ الْحِمَارِ‏
“Ajarilah orang yang hampir mati di antara kamu Lailahaillallah. Sesungguhnya ruh orang beriman akan keluar dengan bercucuran peluhnya. Adapun ruh orang kafir akan keluar dari rahangnya sebagaimana keluarnya ruh kaldai”. (Riwayat Imam at-Thabrani dari Abdullah bin Mas’ud –radhiyallahu ‘anhu-. Kata Imam al-Haithami; sanad hadis ini adalah hasan. (Lihat; al-Asas Fi as-Sunnah, Sa’id Hawa, jil. 3, hlm. 1164, hadis no. 1112)).

3. Mati ketika sedang melakukan amal soleh

Sabda Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam-;

مَنْ قَالَ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ اِبْتِغَاْءَ وَجْهِ اللهِ خُتِمَ لَهُ بِهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ صَامَ يَوْمًا اِبْتِغَاْءَ وَجْهِ اللهِ خُتِمَ لَهُ بِهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ اِبْتِغَاْءَ وَجْهِ اللهِ خُتِمَ لَهُ بِهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ
“Sesiapa mengucapkan Lailahaillallah semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah, lalu ia mati dengan kalimah itu, maka ia akan masuk syurga. Sesiapa berpuasa pada satu hari kerana mengharapkan keredhaan Allah, lalu ia mati ketika sedang berpuasa itu, maka ia akan masuk syurga. Sesiapa bersedekah dengan satu sedekah kerana mencari redha Allah, lalu ia mati sesudah bersedekah itu, maka ia akan masuk syurga”. (Riwayat Imam Ahmad dari Huzaifah –radhiyallahu ‘anhu-. Berkata Imam al-Haithami di dalam Majma’ az-Zawaid; “Para perawi hadis ini adalah tsiqah”. Menurut Syeikh al-Albani; hadis ini adalah soheh. (Lihat; Ahkam al-Janaiz)).

(Tuan-tuan/puan-puan yang ingin membaca lebih lanjut tentang kematian dan hal-hal berkait dengannya boleh dapatkan buku tulisan saya “Rahsia Kematian, Alam Barzakh dan Roh”. Ebook sila dapatkan di (http://ebook-ilmudanulamak.blogspot.com/)).

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1.Rahsia Kematian, Alam Barzakh & Roh, Ustaz Ahmad Adnan bin Fadzil.

4 ulasan:

Ayah Zain berkata...

salam usta,

salam ziarah. kali pertama saya masuk blog ustaz ni.

boleh tak kalau saya ambil bahan2 ni dan saya masukkan dalam blog saya?
bukan apa untuk dikongsi bersama pembaca blog saya.

iqbal berkata...

Assalamualaikum ustaz,

Benar apa yg ustaz tulis. Untuk makluman pembaca ustaz, saya pernah menerima email tanda2 kematian dulu. Saya juga pernah beberapa kali mengalami tanda2 kematian iaitu dahi terasa bergerak2. Walau bagaimanapun, setelah saya selidik, dahi saya mmg terasa bergerak apabila kurang tidur. Kalau selepas ini dahi saya terasa bergerak2 dan saya meninggal, tentu sekali itu kebetulan yang telah ditakdirkan Allah.
Wallahu a'lam.

Umi Sakinah Jamian berkata...

apakah 100 tanda sebelum kmatian itu ada dalilnya yg termaktub dlm al-quran atau sunnah?..mohon penjelasan

Tanpa Nama berkata...

assalamualaikum ustaz.....
mengenai ebook "Rahsia Kematian, Alam Barzakh dan Roh” tiada di laman http://ebook-ilmudanulamak.blogspot.com/

terima kasih

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...