Friday, 30 July 2010

AZAN DENGAN RADIO

Soalan; Di masjid besar di tempat saya, time ramadhan waktu buka diaorang on radio untuk laungkan azan. Adakah ini harus?

Jawapan;

Azan di dalam Islam adalah ibadah. Ibadah mestilah dilaksanakan oleh ahli ibadah (yakni orang yang berkelayakan melakukan ibadah). Azan bukanlah semata-mata pemberitahuan sebagaimana orang Hindu atau Kristian yang membunyikan loceng untuk memberitahu masuknya waktu ibadah mereka. Ia adalah ibadah dan mesti dilaksanakan oleh seorang yang sah ibadahnya.

Syeikh ‘Athiyah Saqar (bekas pengerusi lujnah fatwa al-Azhar) dalam fatwanya menegaskan; Tidak memadai rakaman azan atau azan radio bagi menggantikan tuntutan melaungkan azan kerana kaum muslimin dituntut agar melaungkan azan apabila masuk waktu solat sebagaimana perintah Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-;

إذا حضرت الصلاة فليؤذن لكم أحدكم وليؤمكم أكبركم
“Apabila masuk waktu solat, hendaklah salah seorang dari kamu melaungkan azan dan hendaklah menjadi imam orang yang paling tua dari kalangan kamu” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Malik bin al-Huwairith –radhiyallahu ‘anhu-).

Sebahagian ulamak (antaranya Imam Abu Hanifah dan Syafi’ie) berkata; melaungkan azan itu adalah sunat muakkad. Sebahagian lagi (iaitu kebanyakan ulamak mazhab Hanbali dan sebahagian ulamak mazhab Maliki) berkata; ia adalah fardhu kifayah, yakni mesti ada orang yang melaungkan azan bagi sesuatu kawasan, jika tidak semua orang Islam di kawasan itu akan berdosa”.

Kesimpulannya, laungan azan adalah dituntut oleh Syarak untuk dilaksanakan dalam masyarakat Islam. Meninggalkannya adalah makruh (mengikut pandangan yang berkata ia sunat muakkad) atau berdosa (mengikut pandangan yang berkata ia adalah fardhu kifayah). Perlaksanaan azan itu mestilah dengan dilakukan oleh seorang muslim secara langsung. Maka menjadi kewajipan ke atas kaum muslimin di setiap masjid (atau tempat didirikan solat) untuk menentukan di kalangan mereka seorang yang dapat melaksanakan seruan azan dengan baik pada setiap waktu solat sebagaimana yang menjadi amalan yang diwarisi sejak dari zaman Nabi –sallalahu a’alihi wasallam- hingga ke hari ini. Tidak memadai dengan mereka hanya memutarkan rakaman azan atau dengan azan radio sahaja.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, 9/179.
2. Fatawa wa Istisyaraat al-Islam al-Yaum, 5/249.
3. Fatawa Su-al wa Jawab, no. 48990.

Wednesday, 28 July 2010

PELIHARA BURUNG DALAM SANGKAR

Soalan; apa hukumnya pelihara burung dalam sangkar untuk tujuan menikmati kemerduan suaranya atau melihat kecantikannya?

Jawapan;

Di dalam al-Quran, Allah menyebutkan bahawa segala yang ada di alam ini dijadikan untuk manusia. Di antara firmanNya (yang bermaksud);

“Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi” (Surah al-Baqarah, ayat 29).

Berdalilkan ayat ini dan ayat seumpamanya, para ulamak meletakkan satu kaedah; “Hukum asal bagi segala sesuatu yang ada di alam ini adalah harus diguna dan dimanfaatkan oleh manusia selagi tidak ada nas Syarak melarangnya”.

Di antara yang diharuskan ialah perhiasan-perhiasan yang ada di atas muka dunia ini sama ada berupa pemandangan, bunyi-bunyian, logam-logam berharga (emas, perak dan sebagainya), batu-batu permata, pakaian, binatang-binatang dan sebagainya. Ia harus dimiliki dan dinikmati selagi tidak melanggar batasan Syarak dan tidak melalaikan dari kewajipan dan tanggungjawab. Firman Allah;

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?’” (al-A’raf, ayat 32).

Khusus mengenai binatang, Allah berfirman; “Dan (Allah menjadikan) kuda dan baghal serta keldai untuk kamu menunggangnya, dan untuk menjadi perhiasan; dan ia menjadikan apa yang kamu tidak mengetahuinya” (an-Nahl, ayat 8).

Dalam ayat di atas, jelas kepada kita bahawa Allah menjadikan binatang bukan sahaja untuk makanan atau tunggangan, tetapi juga untuk perhiasan kepada manusia, iaitu keseronokan manusia melihat dan memandangnya. Oleh itu, keharusan memelihara binatang bukan sahaja untuk tujuan menjadikannya sebagai makanan dan tunggangan, tetapi juga harus memeliharanya untuk tujuan perhiasan iaitu untuk melihat kecantikannya, mendengar kemerduan suaranya dan sebagainya. Maka menurut ulamak –berdasarkan dalil-dalil di atas- hukum memelihara burung di dalam sangkar (begitu juga ikan di dalam akarium) adalah harus dengan syarat kebajikan burung atau binatang peliharaan itu dijaga dan begitu juga dengan menjaga beberapa syarat yang lain.

Syeikh ‘Ahiyah Saqar (bekas pengerusi Lujnah Fatwa al-Azhar) dalam fatwanya menegaskan; “Di antara perhiasan (yang diharuskan) ialah beberapa jenis burung dan ikan, maka harus memiliki dan menjualnya selagi ia berada dalam batasan-batasan Syarak dan syarat-syarat yang ditetapkan iaitu;

1. Tidak bertujuan untuk bermegah-megah dan berbangga-bangga dan segala amal-perbuatan bergantung kepada niat masing-masing.
2. Tidak lalai/leka dengan kerana menikmati kecantikannya atau kesibukan menjaganya dari melaksanakan kewajipan Syarak atau tanggungjawab yang lebih utama.
3. Tidak mengabaikan kebajikannya seperti memberi makannya dan sebagainya.

Anas bin Malik –radhiyallahu ‘anhu- menceritakan; Aku mempunyai seorang saudara lelaki yang masih kanak-kanak (baru putus menyusu) yang diberi gelaran Abu ‘Umair. Ia memiliki seekor burung kecil (dipanggil an-nughair). Apabila Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wa salallam- datang dan melihatnya, baginda bertanya; ‘Wahai Abu ‘Umair, apa yang burung kecil kamu lakukan?’” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). (*an-Nughair menurut ulamak ialah burung kecil menyerupai burung layang-layang dan paruhnya berwarna merah. Penduduk Madinah dahulunya memanggilnya dengan nama burung al-Bulbul. Lihat; Tuhfah al-Ahwazi, jil. 1, bab Ma Ja-a Fi as-Solah ‘Ala al-Bust).

Imam ad-Dumairi dalam kitabnya yang masyhur “Hayat al-Hayawan al-Kubra” menegaskan; “Hadis di atas menjadi dalil harus kanak-kanak bermain dengan burung kecil”. Namun berkata al-‘Allamah Abi al-Abbas al-Qurtubi; “Yang diharus oleh ulamak ialah menangkap burung itu untuk berhibur/bermain dengannya. Adapun menyiksanya dan mensia-siakannya, tidak harus kerana Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- melarang membunuh binatang kecuali untuk memakannya”.

Di dalam hadis yang lain, Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- pernah menceritakan;

عُذِّبَتْ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ حَبَسَتْهَا حَتَّى مَاتَتْ جُوعًا فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ قَالَ فَقَالَ وَاللَّهُ أَعْلَمُ لَا أَنْتِ أَطْعَمْتِهَا وَلَا سَقَيْتِهَا حِينَ حَبَسْتِيهَا وَلَا أَنْتِ أَرْسَلْتِهَا فَأَكَلَتْ مِنْ خَشَاشِ الْأَرْضِ
“Seorang wanita diazab oleh Allah kerana seekor kucing yang yang dikurungnya hingga mati kelaparan. Ia dimasukkan Allah ke dalam neraka kerana kucing tersebut. Allah berkata kepadanya; ‘Kamu tidak memberinya makan dan tidak memberinya minum tatkala kamu mengurungnya. Dan kamu tidak pula melepaskannya supaya ia dapat makan binatang-binatang kecil yang berjalan di atas bumi” (HR Imam al-Bukhari dari ‘Abdullah bin ‘Umar –radhiyallahu ‘anhu).

Hadis di atas menjadi dalil haramnya menyiksa binatang termasuk tidak memberi makan kepadanya. Maka, jika kita ingin membela binatang, wajiblah kita menjaga kebajikannya. Jika tidak, wajiblah kita melepaskannya. Satu lagi yang perlu disebutkan di sini; diharamkan menjadikan binatang sebagai bahan taruhan dalam perjudian. Begitu juga, melaga-lagakan sesama binatang. Membela binatang untuk tujuan tersebut adalah haram kerana sesuatu yang dilakukan untuk suatu tujuan yang haram, maka ia turut haram sebagaimana kaedah “Al-Umur bimaqasidiha” (setiap urusan dilihat kepada tujuannya).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Fatwa Syeikh ‘Atiyah Saqar, Dar al-Ifta’ al-Misr, 10/150.
2. Tuhfah al-Ahwazi, jil. 1, bab Ma Ja-a Fi as-Solah ‘Ala al-Bust.
3. Al-Fatawa al-Islamiyah, 4/597.

Tuesday, 27 July 2010

JAMPI/MENTERA PENGASIH

Soalan; Assalamualaikum ustaz,saya sebagai hamba Allah amat musykil dengan adanya amalan, yang tidak diketahui di bolehkan atau tidak sehingga takut menjejaskan iman saya sebagai orang muslim (SYIRIK). Oleh yang demikian saya ada pertanyaan mengenai Ilmu Pengasih. Contohnya:
Bismillahhirrohmanirrohim
Mandiku mandi air Nur amanjani
Siraman sekali mudalah kulitku
Siram kedua datang kasih sayang sekalian yang memandang
Siraman ketiga bur memancar cahyaku
karena aku memakai pemikat bidadari dari syurga
mustajab diaku
kabul berkat izin Allah
Nurun ala nurin
bolehkah ianya di amalkan dan apakah ada kaitannya dengan pertolongan daripada makhluk halus? Diminta ustaz menghuraikan apa yang berada di benak saya selama ini.Minta pendapat daripada ustaz secepat yang boleh.

Jawapan;

Adalah lebih baik saudara/saudari meninggalkan jampi/mentera yang tidak jelas maksudnya dan tidak jelas dari mana datangnya kerana dibimbangi ia membawa kepada pemujaan selain Allah (memuja iblis, syaitan, jin atau sebagainya). Sabda Nabi -sallallahu 'alaihi wasallam-; "Sesiapa menjaga dirinya dari melakukan perkara yang syubhah (yang samar antara halal atau haram), sesungguhnya ia telah menyelamatkan agama dan kehormatan dirinya. Sesiapa melakukan yang syubhah, dibimbangi ia akan terjatuh ke dalam yang haram" (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari an-Nu’man bin Basyir –radhiyallahu ‘anhu-). Dalam sebuah hadis, Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda; “Sesungguhnya jampi-jampi, tangkal-tangkal dan sihir tiwalah adalah syirik”. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Ibnu Mas’ud r.a./al-Jami’ as-Saghir, no. 2002) (*At-Tiwalah ialah sejenis sihir pengasih iaitu yang digunakan untuk menjadikan seorang perempuan dikasihi oleh seorang lelaki. Lihat Faidhul Qadier, hadis no. 2002).

Jangan terpengaruh dengan perkataan Bismillah atau nama Allah yang tertulis di awal jampi/mentera atau diakhirnya kerana perkataan tersebut tidak boleh menjadi hujjah untuk menghalalkan yang haram sekalipun manusia menulis atau melafaznya puluhan atau ratusan kali sekalipun. Ia sama seperti seorang yang bersumpah dengan nama Allah sedangkan kandungan sumpahnya adalah palsu, maka nama Allah itu tidak menjadikan sumpah palsu itu sebagai benar (malah ia berdosa di sisi Allah kerana bersumpah palsu). Begitu juga seorang yang membaca Bismillah ketika minum arak, Bismillah itu tidak akan menjadikan arak itu halal.

Adalah memadai kita memohon hajat kita terus dari Allah dengan berdoa dengan bahasa yang kita fahami (mengikut hajat kita) atau dengan kita berzikir dan berdoa dengan doa-doa yang maksur dari Allah dan RasulNya. Cukup banyak doa-doa dalam al-Quran dan as-Sunnah yang dapat kita pilih yang bersesuaian dengan hajat kita. Doa yang diambil dari al-Quran dan as-Sunnah telah jelas kebenarannya, bebas dari syirik dan diberi pahala bila kita membacanya kerana ia adalah ibadah. Di samping berdoa dengan doa-doa yang maksur, kita juga boleh memohon hajat kita dari Allah dengan melakukan solat hajat, solat istikharah, solat malam dan amalan-amalan sunat yang lain (seperti puasa, sedekah, membaca al-Quran dan sebagainya di mana setelah kita melakukan amalan-amalan soleh itu, kita mengangkat tangan berdoa kepada Allah agar hajat kita dimakbulkan. Ini dinamakan bertawassul dengan amalan-amalan soleh). Jelaslah kepada kita bahawa cara dan kaedah untuk kita memohon hajat dari Allah mengikut cara yang telah disyariatkan oleh Allah dan RasulNya di dalam al-Quran dan as-Sunnah cukup banyak, telah memadai untuk kita dan tidak perlu lagi kepada jampi-jampi, mentera-mentera atau lain-lainnya yang tidak pasti kebenaran dan manfaatnya.

Wallahu a'lam.

ORANG KAFIR ZIARAH KUBUR ORANG ISLAM

Soalan; Assalamualaikum ustaz..apa hukum memakai gigi emas dan perempuan kafir ziarah kubur orang Islam..syukran

Jawapan;

(*Tentang gigi emas; telah dijawab sebelum ini (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2010/07/hukum-memakai-gigi-emas.html))

1) Menurut fatwa dalam laman as-Syabakah al-Islamiyah; “Tidak ada tegahan ke atas orang bukan Islam untuk menziarahi perkuburan orang Islam untuk mengiringi jenazah kawan atau sudara mara mereka yang Islam dengan syarat yang menguruskan jenazah itu ialah orang Islam. Menurut Ibnu al-Qasim (salah seorang ulamak mazhab Maliki); “Tidak ditegah orang kafir untuk berjalan mengiringi jenazah, untuk turut mendoakannya, malah tidak ditegah jika ia ingin hadir bersama ketika jenazah dimandi dan dikafankan seperti ia membantu membawa air mandian atau sebagainya” (Mawahib al-Jalil). (Fatwa no. no. 100076).

2) Mengenai hukum perempuan menziarahi kubur, terdapat khilaf di kalangan ulamak;

a) Menurut jumhur ulamak; makruh bagi kaum wanita menziarahi kubur berdalilkan sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-;

لعن الله زوارات القبور
“Allah melaknat wanita-wanita yang menziarahi kubur” (HR Imam Ahmad dan at-Tirmizi dari Abi Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-).

b) Menurut mazhab Imam Abu Hanifah; diharuskan kaum wanita menziarahi kubur, malah ia disunatkan kepada mereka sebagaimana disunatkan kepada kaum lelaki berdalilkan sabda Nabi;

كنت نهيتكم عَن زيارة القبور، فزوروها. فإنها تزهد في الدنيا، وتذكر الآخرة
“Sesungguhnya aku dahulunya telah menegah kamu dari menziarahi kubur. Adapun sekarang ziarahilah kubur kerana ia sesungguhnya menjadikan kamu zuhud di dunia dan mengingatkan kamu kepada akhirat” (HR Imam Muslim dan at-Tirmizi dari Buraidah bin al-Hashib –radhiyallahu ‘anhu- dan Imam Ibnu Majah dari Ibnu Mas’ud –radhiyallahu ‘anhu-. Lafaz hadis adalah mengikut riwayat Ibnu Majah).

Hadis kedua ini membuka keharusan menziarahi kubur tanpa membataskannya kepada kaum lelaki sahaja. Adapun hadis pertama di atas, laknat dalam hadis tersebut hendaklah difahami kepada wanita-wanita yang menziarahi kubur dengan disertai tangisan melampau,[1] raungan atau ratapan yang ditegah oleh Nabi dalam hadis yang lain antaranya hadis Abu Musa al-Asy’ari –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan;
أن رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم برىء من الصالقة والحالقة والشاقة
“Sesungguhnya Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- berlepas diri (yakni tidak redha) dari wanita yang meraung/meratap (ketika berlaku musibah), wanita yang mencukur rambutnya (ketika musibah) dan wanita yang mengoyak-ngoyak pakaiannya (ketika musibah)” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim)

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Laman as-Syabakah al-Islamiyah, fatwa no. no. 100076.
2. Fiqh al-Janaiz, Dr. Ahmad Mahmud Karimah, hlm. 56 (an-Nauh wa as-Shiyahah ‘Ala al-Mayyit) dan hlm. 394 (Hukm Ziyarati al-Qubur).

Nota hujung;

[1] Adapun tangisan yang biasa, ia diharuskan sebagaimana kata Saidina ‘Umar –radhiyallahu ‘anhu- tatkala melihat ahli keluarga Khalid bin al-Walid mengangis pada hari kematian Khalid;
قَالَ عُمَرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ دَعْهُنَّ يَبْكِينَ عَلَى أَبِي سُلَيْمَانَ مَا لَمْ يَكُنْ نَقْعٌ أَوْ لَقْلَقَةٌ
“Biarkanlah mereka menangis Abi Sulaiman (gelaran bagi Khalid) selagi mereka tidak menabur tanah atas kepala dan selagi mereka tidak meraung/meratap” (Soheh al-Bukhari, Kitab al-Janaiz, Bab; Ma Yukrahu ‘Ala an-Niyahah ‘Alal-Mayyit).

HUKUM MEMAKAI GIGI EMAS

Soalan; Assalamualaikum ustaz..apa hukum memakai gigi emas dan perempuan kafir ziarah kubur orang Islam..syukran

Jawapan;

Bagi wanita, harus memakai gigi emas jika menjadi adat (kebiasaan) setempat wanita-wanitanya berhias dengan memakai gigi emas. Adapun bagi kaum lelaki tidak harus sama sekali memakai gigi emas –begitu juga perhiasan-perhiasan yang lain dari emas- kecuali jika ada keperluan dan desakan sahaja. Ini kerana Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda; “Dihalalkan emas dan sutera untuk kaum wanita dari umatku dan diharamkan untuk kaum lelaki” (HR Imam an-Nasai dari Abi Musa –radhiyallahu ‘anhu-).

Diriwayatkan dari ‘Arfajah bin As’ad –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan;

أُصيبَ أنفي يومَ الكُلابِ في الجاهليَّةِ فاتخذتُ أنفاً من ورقٍ فأنْتنَ عليَّ فأمرني رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وسَلَّم أنْ أتخذَ أنفاً من ذهبٍ
“Semasa peperangan al-Kulab (yang berlaku pada zaman Jahiliyah), hidungku telah rosak. Lalu aku membuat hidung dari perak. Namun hidung itu membusuk, maka Rasulullah menyuruhku agar membuat hidung dari emas” (HR Imam at-Tirmizi, Abu Daud dan Ahmad. Menurut at-Tirmizi; hadis ini hasan gharub).

Berdalilkan hadis ini, harus orang lelaki memakai emas jika ada keperluan dan desakan iaitulah untuk membaiki kecacatan di badan sekiranya tidak ada logam lain yang dapat mengambil tempat emas itu.

(*Mengenai hukum orang kafir menziarahi perkuburan orang Islam, akan dijawab dalam ruangan lain)

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Fiqh al-Albisah Wa al-Zinah, Abdul-Wahhab Abdus-Salam Tawilah, hlm. 348.
2. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 18/109, kalimah “حلي”.
3. Liqa’ al-Bab al-Maftuh, Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin, 28/10.

Monday, 26 July 2010

MASA MEMOHON HAJAT

Soalan; Assalamualaikum, Bolehkah kita melakukankan solat hajat selepas solat zohor atau selepas solat istiharah dan dhuha. Terima kasih./

Jawapan;

Memohon hajat dari Allah adalah harus pada bila-bila masa terutama pada saat-saat yang mustajab doa di antaranya ketika dalam solat dan sebaik selepas solat (sama ada solat fardhu, solat-solat sunat rawatib, solat malam, solat hajat dan sebagainya). Berdoa di dalam solat lebih baik dari berdoa selepas solat. Antara tempat yang mustajab doa dalam solat ialah ketika sujud dan sebelum memberi salam (yakni selepas habis membaca tahiyat dan selawat). Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Saat paling hampir seorang hamba dengan Tuhannya (yakni Allah) ialah ketika dia sujud. Maka banyaklah berdoa (pada ketika itu)” (HR Imam Muslim dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-). Dalam hadis mengenai bacaan tahiyyat, selepas mengajar bacaan tahiyyat kepada para sahabat, Nabi berkata; “Kemudian (yakni apabila selesai membaca tahiyyat) pilihlah pemintaan yang ia kehendaki (dari Allah)[1]” (HR Imam Muslim dari Abdullah –radhiyallahu ‘anhu-).

Adapun solat hajat, harus ia dikerjakan pada bila-bila masa kecuali waktu-waktu yang dilarang solat iaitu;
a) Selepas menunaikan solat subuh hinggalah matahari meninggi dengan kadar segalah (yakni kira-kira 15 selepas terbit matahari).
b) Selepas menunaikan solat asar hingga matahari terbenam sepenuhnya
c) Tatkala matahari berada di tengah langit hingga tergelincir darinya (yakni masuk waktu zohor).

Masa terbaik untuk solat hajat ialah selepas tengah malam atau selepas dua-pertiganya. Sabda Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Apabila malam masuk sepertiga yang akhir, Allah turun ke langit dunia dan berkata; ‘Siapakah yang meminta untuk aku berikan permintaannya? Siapakah yang berdoa untuk aku kabulkan doanya? Siapakah yang beristighfar (memohon ampun) untuk aku ampuninya?’” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-)

Wallahu a'lam.

Nota hujung;

[1] Berkata Imam an-Nawawi; hadis ini menunjukkan bahawa digalakkan berdoa ketika di hujung solat sebelum memberi salam. Harus apa sahaja doa yang dikehendaki untuk urusan akhirat mahupun urusan dunia asalkan bukan suatu yang berupa dosa. Itulah yang menjadi pegangan jumhur ulamak. Namun Imam Abu Hanifah berpendapat; tidak harus melainkan doa yang maktsur dari al-Quran atau as-Sunnah. (Syarah Soheh Muslim, juz. 14, Kitab as-Solah, bab at-Tasyahhud di as-Solah)

Friday, 23 July 2010

HAK HADHONAH

Soalan; Assalamuailaikum. Kakak saya baru meninggal 3 minggu yg lepas. Arwah meninggalkan 4 orang anak yang masih kecik berumur 13 tahun, 11 tahun , 7 tahun dan 3 tahun. Saya ingin bertanya siapa kah yang patut mengambil alih tugas menjaga anak-anaknya. Adakah suami dan ahli keluarga suaminya yg lebih berhak atau kami ahli keluarga arwah.? Sekian terima kasih

Jawapan;

1) Soalan di atas berkait dengan hak hadhonah. Hak hadhonah bermaksud; hak untuk memelihara anak yang belum mumayyiz[1] dan belum boleh berdikari, menjaga urusannya, mendidik dan memastikan pertumbuhannya –jasmani, jiwa dan akal- hinggalah ia mencapai umur dapat membezakan antara yang memberi manfaat dan mendatangkan mudarat dan dapat mengurus sendiri kehidupannya.[2]

2) Anak dalam peringkat belum mumayyiz dan belum mampu berdikari itu (–sama ada lelaki atau perempuan-), orang yang paling berhak menjaga dan menguruskan kehidupannya ialah dua ibu-bapanya jika mereka masih bersama dalam ikatan perkahwinan. Jika mereka telah berpisah –sama ada kerana kematian bapa atau berlaku penceraian-, maka hak tersebut pergi kepada ibu dengan sepakat para ulamak berdalilkan hadis dari ‘Abdullah bin ‘Amru r.a. yang menceritakan; “Seorang wanita mengadu kepada Nabi s.a.w.; “Wahai Rasulullah, anakku ini dulu perutku ini adalah bekasnya, jagaanku adalah tempat berlindungnya dan kantung susuku ini adalah minumannya. Sekarang bapanya ingin merampasnya dariku”. Nabi berkata; “Kamu lebih berhak menjaganya selagi kamu belum kahwin lain””. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, al-Baihaqi dan al-Hakim).[3]

3) Jika ibu enggan menjaga anak itu, atau ibu mati, atau ibu tidak memenuhi syarat (yang akan disebutkan nanti), hak hadhonah itu akan berpindah kepada orang lain. Terdapat khilaf di kalangan ulamak dalam menentukan siapa yang paling berhak ke atas hak hadhonah selepas ibu, namun mereka sepakat bahawa ahli keluarga si anak dari kalangan wanita didahulukan dari kalangan lelaki. Mengikut pandangan jumhur ulamak; orang yang paling berhak selepas ibu ialah nenek sebelah ibu (yakni ibu kepada ibu). Selepas nenek sebelah ibu itu, berlaku lagi khilaf di kalangan ulamak; siapa yang lebih layak? Ada yang berkata; bapa (iaitulah mengikut pandangan mazhab Syafi’ie dan Hanbali). Ada yang berkata; nenek sebelah bapa (mengikut mazhab Hanafi). Ada yang berkata; emak saudara sebelah ibu (mengikut mazhab Maliki).

4) Menurut mazhab Syafi’ie; senarai lengkap orang-orang yang berhak terhadap hadhonah tersebut menurut urutan keutamaan ialah seperti berikut;[4]
a) Ibu
b) Nenek-nenek sebelah ibu
c) Bapa
d) Nenek-nenek sebelah bapa
e) Datuk
f) Nenek-nenek sebelah datuk
g) Saudara-saudara perempuan seibu-sebapa
h) Saudara-saudara lelaki seibu-sebapa
i) Saudara-saudara lelaki sebapa
j) Saudara-saudara lelaki seibu
k) Ibu-ibu saudara sebelah ibu
l) Anak perempuan kepada saudara lelaki seibu-sebapa (anak saudara perempuan)
m) Anak lelaki kepada saudara lelaki seibu-sebapa (anak saudara)
n) Anak perempuan kepada saudara lelaki sebapa (anak saudara)
o) Anak lelaki kepada saudara lelaki sebapa (anak saudara)
p) Anak perempuan kepada saudara lelaki seibu (anak saudara)
q) Anak lelaki kepada saudara lelaki seibu (anak saudara)
r) Ibu-ibu saudara sebelah bapa.
s) Bapa-bapa saudara sebelah bapa
t) Anak perempuan kepada ibu saudara sebelah ibu (sepupu)
u) Anak perempuan kepada ibu saudara sebelah bapa (sepupu)
v) Anak lelaki kepada bapa saudara sebelah bapa (sepupu)

5) Sekalipun seseorang itu dari segi urutan adalah layak, namun hak hadhonah tidak boleh diberikan kepadanya melainkan apabila ia memiliki syarat-syarat untuk menjadi pengasuh yang telah ditetapkan Syarak. Ada enam syarat semuanya, iaitu;
a) Berakal
b) Baligh
c) Mempunyai kemampuan (mental, fizikal dan masa) untuk bemberi khidmat kepada anak kecil, mendidik dan mengasuhnya. Jika tiada kemampuan seperti buta, sakit teruk, sakit berjangkit (yang dikhuatiri menjangkiti anak kecil) dan sebagainya gugurlah hak jagaan.
d) Amanah iaitu mempunyai akhlak yang baik. Jika berakhlak buruk, jahat, cuai terhadap tugas rumah-tangga, banyak meninggalkan rumah di mana dibimbangi akan terabainya anak kecil dan membahayakannya, gugurlah hak jagaan.
e) Seorang muslimah.[5] Tidak ada hak jagaan bagi wanita kafir kerana jagaan/hadhanah adalah penguasaan dan tidak harus penguasaan orang kafir ke atas orang Islam sebagaimana firman Allah (bermaksud); “Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman” (Surah an-Nisa’, ayat 141)
f) Ibu tidak berkahwin lain. Jika ibu berkahwin lain, gugurlah hak jagaan darinya. Ini berdasarkan hadis tadi; “Kamu lebih berhak menjaganya selagi kamu belum kahwin lain”. Sebahagian ulamak mengecualikan jika ia berkahwin dengan lelaki yang ada hubungan keluarga dengan si anak (seperti berkahwin dengan bapa saudara si anak), maka tidak hilang hak hadhonah tersebut.

Jika gugur satu syarat dari syarat-syarat di atas, akan hilang kelayakan untuk menjaga dan berpindah kepada orang lain mengikut urutan tadi.

6) Sepanjang tempoh hadhonah, siapa yang akan menanggung nafkahnya (termasuk kos hadhonah)? Ia ditanggung dari harta anak itu sendiri jika ia memiliki harta (seperti ibunya yang mati ada meninggalkan harta yang diwarisinya). Jika ia tidak memiliki harta, wajib dibiayai oleh orang yang wajib menanggung nafkahnya iaitu bapa atau datuk (jika bapa tidak ada) atau pihak berikutnya.

7) Bila tempoh hadhonah itu akan tamat? Tempoh hadhonah berakhir apabila anak tidak lagi perlu kepada khidmat jagaan yakni ia dapat melakukan sendiri keperluan-keperluan asasnya iaitu makan, memakai pakaian dan membersih diri.[6] Ia tidaklah ditentukan had masa atau umur tertentu. Namun mazhab Hanafi memberi fatwa; hak hadhonah berakhir bila anak berumur tujuh tahun bagi anak lelaki, bagi anak perempuan; sembilan tahun.

8) Selepas tamat tempoh hadhonah,[7] kepada siapa anak akan diserahkan? Menjawab persoalan ini, para ulamak khilaf juga;
a) Menurut mazhab Hanafi; diserahkan kepada bapa
b) Menurut mazhab Syafi’ie; hendaklah diserahkan kepada si anak untuk memilih bapa atau ibunya, atau memilih bapa atau orang yang mengambil tempat ibunya.
c) Menurut mazhab Hanbali; jika anak adalah lelaki, disuruh pilih. Namun jika anak adalah perempuan, hendaklah diserahkan kepada bapa untuk menjaganya hinggalah ia baligh dan dikahwinkan. [8]

9) Apabila berlaku pertikaian di antara bapa dan ahli keluarga lain yang berebut hak hadhonah, wajiblah pertikaian itu dirujuk kepada mahkamah Syari’ah untuk mendapatkan penyelesaiannya.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Al-Fiqh al-Wadhih, Dr. Muhammad Bakr Ismail, 2/161-169.
2. Ahkam al-Aulad, Zakaria Ahmad al-Barri, hlm. 39.
3. Fatwa dalam laman Fatawa Asy-Syabakah al-Islamiyah (http://www.islamweb.net), no. 6256 dan no. 102206.
4. Al-Fiqh as-Syafi’ie (Qism al-Ahwal al-Syakhsiyyah), Dr. Muhammad Sa’id al-Mujahid, hlm. 142.

Nota hujung;

[1] Yakni anak yang berada di peringkat awal umur. (Ahkam al-Aulad, Zakaria Ahmad al-Barri, hlm. 39).
[2] Al-Fiqh al-Wadhih dan Ahkam al-Aulad.
[3] Imam as-Syaukani menjelaskan dalam Nailul-Autar; Hadis ini menjadi dalil bahawa ibu lebih utama dari bapa terhadap jagaan anak selama tidak ada sebarang tegahan dari hak tersebut umpamanya apabila ia berkahwin kerana Rasulullah mengikat hak tersebut dengan ucapannya “Selama kamu belum berkahwin lain”. Inilah pandangan Imam Malik, ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie dan ulamak-ulamak mazhab Abu Hanifah. Menurut laporan Imam Ibnu al-Munzir; para ulamak telah ijmak dalam hokum tersebut. Imam Abu Hanifah menyuarat pendapat; jika ia bernikah dengan lelaki yang ada hubungan mahram dengan anak yang dijaga tidak gugur hak jagaan itu. Namun Imam Syafi’ie berpendapat; gugur secara keseluruhannya kerana nas tadi tidak membezakannya. (Dinaqal dari ‘Aunul-Ma’bud).
[4] Al-Fiqh as-Syafi’ie (Qism al-Ahwal al-Syakhsiyyah), Dr. Muhammad Sa’id al-Mujahid, hlm. 142.
[5] Itu adalah pandangan jumhur ulamak. Namun , mazhab Hanafi, Ibnul-Qasim dari mazhab Malik dan Abu Tsur berpendapat; hak jagaan adalah sabit bagi seorang wanita kafir sekalipun ia masih kafir dan anaknya Islam, kerana menurut mereka jagaan/hadhobah tidak lebih dari sekadar penyusuan dan khidmat dan keduanya harus dilakukan oleh wanita kafir asalkan bukan murtad. Adapun wanita murtad hilang hak jagaan hinggalah ia bertaubat dan kembali kepada Islam, maka kembalilah hak jagaan untuknya.
[6] Ahkam al-Aulad, hlm. 44.
[7] Jagaan selepas tempoh hadhonah tidak lagi disebut sebagai hadhonah (asuhan), tetapi dengan istilah kafalah (tanggungan). Kafalah; ialah tempoh jagaan selepas hadhonah hingga umur baligh. (Lihat; al-Fiqh as-Syafi’ie (Qism al-Ahwal al-Syakhsiyah), Dr. Muhammad Sa’id al-Mujahid, hlm. 140.
[8] Mengikut fatwa dalam laman Asy-Syabakah al-Islamiyah (http://www.islamweb.net), pandangan mazhab Hanbali inilah yang ditarjihkan dengan dikecualikan jika bapa adalah seorang fasik, maka tidaklah diserahkan kepadanya. (lihat fatwa no. 6256).

Thursday, 22 July 2010

ADAKAH BACAAN QURAN DARI KASET MEMADAI?

Soalan; Saya ada beberapa soalan ...
2. Apakah Surah Yaasin atau surah yg lain dri Al-Quran dan laungan yg dibacakan oleh Syeikh Syeikh, Ulama ulama, Ustaz2 di Media (Kaset, Radio dan umpamanya) berfadhilat yakni boleh digunakan untuk tujuan Syifa hati spt menghalau Syaitan atau seumpama dengannya? Dan adakah menjadi ubat, air yg diperdengarkan bacaan Quran di media? Jazakallah hu kharian kasiro.

Jawapan;

Bacaan al-Quran dari kaset bukanlah bacaan al-Quran pada hakikatnya. Ia adalah suara yang dirakamkan. Bacaan berlaku pada masa yang lalu, cuma suara bacaan dirakam dan diperdengar semula. Oleh itu, bagi mendapat fadhilat-fadhilat khusus dari bacaan al-Quran seperti untuk mengusir Syaitan dari rumah (dengan membaca surah al-Baqarah), mengubati penyakit (dengan surah al-Fatihah, al-Mu’awwizat dan ayat-ayat yang lain), untuk menghadiahkan bacaan kepada si mati (bagi pandangan yang mengatakan sampai pahalanya kepada si mati) dan untuk mendapat pahala membaca al-Quran, tidak cukup dengan memutarkan kaset/cd sahaja. Ia mesti dengan bacaan secara lansung kerana pahala dan kelebihan tersebut bergantung kepada niat si pembacanya dan kaset bukanlah makhluk bernyawa yang mampu menghadirkan niat bagi memenuhi tujuan tersebut.

Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin (salah seorang ulamak besar Arab Saudi), ketika ditanya tentang hadis Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- “Rumah yang dibaca didalamnya surah al-Baqarah tidak akan dimasuki oleh Syaitan”[1]; adakah dengan memutarkan bacaan surah al-Baqarah yang dirakam akan memberi hasil yang sama?. Beliau menjawab; “Bacaan kaset tidak boleh mencapai tujuan tersebut kerana ia tidak dipanggil “membaca al-Quran”, akan tetapi dipanggil “mendengar suara pembaca yang lalu (yang dirakamkan suaranya)”. Jika kita merakam suara azan dari seorang muazzin, kemudian bila masuk waktu solat kita letakkan suara itu di mikrofon dan membiarkannya melaungkan azan, adakah memadai? Jawapannya; tidak memadai. Begitu juga, jika kita merakam khutbah yang baik, kemudian pada hari jumaat kita perdengarkan rakaman itu kepada orang-orang yang hadir solat jumaat, adakah itu memadai? Jawapannya; tidak memadai. Apa sebabnya? Sebabnya ialah kerana rakaman ialah suara yang lalu. Ia sama seperti kamu menyalinnya di atas kertas. Jika kamu menulis ayat al-Quran di atas kertas atau kamu meletakkan satu mushaf al-Quran dalam rumah, adakah itu boleh menggantikan bacaan al-Quran? Sudah tentu jawapannya; tidak.” (Liqa’ Bab al-Maftuh, 14/34).

Kita tidaklah menafikan bacaan al-Quran dari kaset ada ada manfaatnya seperti untuk menceriakan suasana tempat kediaman, majlis atau sebagainya dengan bunyi ayat-ayat al-Quran (ia tentunya lebih baik dari menceriakannya dengan bunyi-bunyi yang lain), untuk memudahkan kita mengingati atau mengulangkaji ayat-ayat al-Quran yang dihafal dan manfaat-manfaat lainnya lagi. Bukan sahaja orang yang membaca al-Quran, orang yang mendengar bacaan al-Quran juga akan diberi pahala oleh Allah jika ia memberi tumpuan kepada bacaan yang dikumandangkan dan lebih berpahala lagi jika ia mendengar dengan tadabbur. Namun, untuk mendapat fadhilat-fadhilat khusus di awal tadi, tidak cukup dengan bacaan kaset sahaja, akan tetapi mesti dengan bacaan secara lansung.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Liqa’ al-Bab al-Maftuh (Fatawa Syeikh Ibnu al-‘Uthaimin), 14/34.
2. Laman al-Islam; Sual wa Jawab (http://www.islamqa.com), fatwa no. 69963.

[1] Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-.

Wednesday, 21 July 2010

PEPERANGAN INDIA

Soalan; Asalamualaikum. Apakah maksud hadis riwayat Nasaie yang mengatakan hanya satu jamaah ghazwah ke India akan diselamatkan dari jahannam (Sahih). Sekian, terima kasih.

Jawapan;

Ada dua hadis dari Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- yang menyebutkan tentang ghazwah al-Hind (peperangan India);

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ وَعَدَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ غَزْوَةَ الْهِنْدِ فَإِنْ أَدْرَكْتُهَا أُنْفِقْ فِيهَا نَفْسِي وَمَالِي فَإِنْ أُقْتَلْ كُنْتُ مِنْ أَفْضَلِ الشُّهَدَاءِ وَإِنْ أَرْجِعْ فَأَنَا أَبُو هُرَيْرَةَ الْمُحَرَّرُ
Dari Abu Hurairah –radhiyallahu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menjanjikan kepada kami akan berlaku peperangan membebaskan India. Jika aku sempat hidup pada zaman berlakunya peperangan tersebut, nescaya aku mengorbankan diri dan hartaku (untuk turut menyertainya) kerana jika aku terbunuh (dalam peperangan tersebut), aku adalah dari semua-mulia syahid dan jika aku pulang (yakni selamat), aku akan menjadi Abu Hurairah al-Muharrar (yakni Abu Hurairah yang dibebaskan dari neraka). (HR Imam an-Nasai. Menurut Syeikh al-Albani; hadis ini sanadnya adalah dhaif).

عَنْ ثَوْبَانَ مَوْلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِصَابَتَانِ مِنْ أُمَّتِي أَحْرَزَهُمَا اللَّهُ مِنْ النَّارِ عِصَابَةٌ تَغْزُو الْهِنْدَ وَعِصَابَةٌ تَكُونُ مَعَ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ عَلَيْهِمَا السَّلَام
Dari Tsauban –radhiyallahu ‘anhu- menceritakan; Rasulullah –sallallahui ‘alaihi wasallam- bersabda; “Akan muncul dua kumpulan dari umatku yang kedua-duanya dipelihara Allah dari neraka; satu kumpulan yang memerangi India dan satu kumpulan lagi yang akan bersama Nabi Isa –alaihis-salam-“. (HR Imam an-Nasai. Menurut Syeikh al-Albani; hadis ini sanadnya soheh).

Menurut ulamak; peperangan India telahpun berlaku di mana India telah beberapa kali dibuka oleh tentera Islam;
1. Kali pertama; tahun 92-97 hijrah, iaitu pada zaman pemerintahan al-Walid bin Abdul-Malik (salah seorang khalifah Bani Umawi) yang menghantar rombongan tentera Islam dipimpin oleh panglima al-Qasim bin Muhammad as-Saqafi. Telah berjaya menguasai wilayah India dari daerah Sind hingga Qanuj.
2. Kali kedua; pada zaman pemerintahan Bani Abbas (al-Abbasiyah) di bawah kepimpinan panglima Mahmud bin Sabuktikin pada tahun 396 hijrah dan 406 hijrah. Telah berjaya menguasai banyak kota utama India.

Peperangan di atas menjadi dalil kebenaran nubuwwah (kenabian) Nabi Muhammad –sallallahu ‘alaihi wasallam- di mana baginda mendedahkan kepada para sahabatnya peristiwa yang akan berlaku pada zaman selepas kewafatannya. Sudah tentu yang memberitahu baginda ialah Allah kerana tidak mengetahui yang ghaib melainkan Allah sahaja.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Laman as-Su’al wa al-Jawab (http://islam-qa.com/ar/ref/148529).

ADAKAH ISTERI KEDUA BERDOSA?

Soalan; Bagaimana kedudukan isteri kedua? adakah dikira berdosa kerana menyebabkan isteri pertama sakit hati bila berkahwin dengan suaminya.

Jawapan;

Istilah dosa hanya boleh diberikan kepada perbuatan yang melanggar perintah Allah sama ada dengan mengabaikan perkara wajib atau melakukan perkara yang diharamkan. Berpoligami adalah diharuskan oleh Syarak, maka tidak boleh dikatakan berdosa orang-orang yang terlibat dengannya (sama ada suami yang berpoligami atau wanita yang menjadi isteri kedua). Kecualilah jika suami tidak berlaku adil kepada isteri pertama setelah berpoligami atau wanita yang menjadi isteri muda menghasut suaminya agar tidak berlaku adil kepada isteri pertama, ketika itu barulah dikatakan berdosa. Adapun perasaan hati isteri pertama yang marah dan terkilan, perasaan itu adalah normal bagi seorang manusia apabila berhadapan dengan situasi sebegitu. Namun sebagai hamba Allah kita dituntut agar redha dengan hukum Allah kerana Allah lebih mengetahui apa yang paling baik untuk setiap hambaNya (termasuk diri kita secara khusus). Firman Allah;

“Dan barangkali kamu membenci sesuatu sedangkan dialah yang paling baik untuk kamu, dan barangkali kamu menyukai sesuatu sedangkan dialah yang paling buruk untuk kamu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahuinya” (al-Baqarah, ayat 216).

Wallahu a'lam.

Tuesday, 20 July 2010

WARIS ENGGAN MEMBAYAR HUTANG SI MATI & MENOLAK HUTANG DARI ZAKAT

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya mohon supaya dapat ustaz memberikan penjelasan kepada kemusykilan berikut; Kawan saya mempunyai hutang dengan saya. Beliau memang berikrar untuk membayarnya dan saya memang percaya dengan ikrarnya itu. Ditakdirkan, selang tidak lama kemudian beliau telah meninggal dunia. Harta peninggalannya memang agak banyak. Para warisnya (anak dan isteri) memang tahu tentang hutang tersebut. Bagaimanapun mereka tidak menjelaskan hutang tersebut. Setelah 4 tahun berlalu, saya kini yakin bahawa para warisnya tidak akan membayarnya.Saya terfikir, bolehkah jika saya menggunakan wang zakat yang saya keluarkan setiap tahun untuk melangsaikan hutang tersebut, sedangkan saya yang keluarkan zakat dan saya juga yang menerimanya sebagai orang yang memberi hutang. Saya sebenarnya sedang cuba untuk membebaskan si mati dari beban hutang. Memang lah lebih baik dan mudah jika saya terus menghalalkannya. Bagaimanapun sehingga kini hati saya belum terbuka untuk berbuat demikian. Saya mohon pandangan ustazTerima Kasih. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Jawapan;

1) Harta peninggalan si mati wajib ditolak hutangnya terlebih dahulu (dan juga wasiatnya) sebelum diagihkan kepada ahli-ahli warisnya. Ini adalah perintah Allah di dalam al-Quran;

“Dan bagi kamu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak. Tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh satu perempat dari harta yang mereka tinggalkan. Sesudah ditunaikan wasiat yang mereka (yakni si mati) wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya”. (Surah an-Nisa’, awal ayat 12).

Di dalam ayat di atas Allah menyebutkan tentang hak/bahagian suami dari harta isterinya yang meninggal iaitu ½ atau ¼. Setelah menyebutkan hak/bahagian tersebut, Allah menegaskan “sesudah ditunaikan wasiat dan hutangnya”. Penegasan yang sama diulang oleh Allah sekali lagi di tengah dan di hujung ayat setelah menyebutkan hak/bahagian isteri (dari harta suaminya yang meninggal) dan bahagian saudara-saudara seibu. Dalam ayat sebelumnya (yakni ayat 11), juga terdapat penegasan tersebut iaitu sesepas Allah menyebutkan hak/bahagian untuk anak, bapa dan ibu.

Kewajipan melaksanakan ketetapan Syarak tersebut terletak atas bahu pemegang amanah bagi harta si mati atau waris-waris si mati. Jika mereka tidak melaksanakan kewajipan ini sedang mereka mengetahui bahawa si mati memang ada berhutang semasa hayatnya, mereka berdosa kerana merampas hak orang lain. Adapun si mati, ia tidak menanggung dosa lagi kerana ia mati dengan meninggalkan harta dan menjadi tanggungjawab ahli keluarganyalah untuk membayar hutangnya (dengan di ambil dari harta peninggalannya). Kecualilah jika si mati semasa hayatnya ada mempunyai niat untuk mengelak dari membayar hutangnya dan tidak memaklumkan kepada sesiapapun (dari kalangan warisnya) tentang hutangnya itu. Pemberi hutang pula, ia berhak menuntut hutangnya dari ahli-ahli waris si mati sebaik sahaja ia meninggal. Jika mereka engkar, ia berhak mengadu kepada orang lain yang dapat membantunya menuntut kembali hutangnya.

2) Adapun hasrat tuan untuk menolak hutangnya dari zakat tuan, perbuatan tersebut tidak harus mengikut pandangan yang rajih dari ulamak[1] dan tidak menggugurkan kewajipan zakat dari tuan (yakni tuan wajib mengeluarkannya semula). Zakat ialah dengan memberi harta (yang wajib dikeluarkan) kepada asnaf yang berhak menerimanya. Tatkala Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- hendak menghantar Mu’az bin Jabal –radhiyallahu ‘anhu- ke Yaman, antara arahan baginda kepada beliau ialah; “Ajarlah kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan ke atas mereka sedekah (zakat) yang dipungut dari orang-orang kaya dari kalangan mereka dan diberikan kepada orang-orang miskin di antara mereka” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Dari hadis ini kita dapat faham bahawa zakat adalah harta yang dipungut dan kemudian diberikan. Menolak hutang tidak dapat dikatakan sebagai "memberi" kerana sifatnya adalah "menggugurkan" atau "membebaskan", kerana itu tidak harus untuk menggantikan pembayaran zakat. Selain itu, perbuatan tersebut dilihat menjaga kepentingan pembayar zakat, seolah-olah harta zakat itu kembali semula kepadanya (yakni tidak keluar dari pemilikannya).

Dikecualikan jika tuan memberi zakat kepada seorang miskin yang berhutang dengan tuan, kemudian ia menggunakan wang zakat itu untuk membayar hutangnya kepada tuan dengan pilihan sendiri (yakni tanpa tuan mensyaratkan kepadanya ketika memberi zakat tadi), hukumnya adalah harus dan ia tidak menjejaskan zakat tuan kerana tuan telah mengeluarkanya dan menjadi hak penerima zakat untuk membelanjakannya mengikut cara yang dikehendakinya termasuk membayar hutangnya.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, kitab az-Zakah, bab bab Qism as-Sadaqat (6/210).
2. Fiqh al-‘Ibadat, Syeikh Hasan Ayyub, hlm. 394.
3. Fatawa wa Tahqiqaat, Syeikh as-Sadiq bin Abd-Rahman al-Gharyani, hlm. 84.
4. Fatwa dalam laman as-Sual wa al-Jawab (http://www.islamqa.com), no. 13901.

[1] Iaitu pandangan yang menjadi pegangan mazhab Hanafi, Syafi’ie dan Hanbali (al-Majmu’, Imam an-Nawawi, bab Qism as-Sadaqat (6/210))

WARNA KUNING; ADAKAH HAID?

Soalan; Saya telah melahirkan anak yg pertama. Haid yg ptama lps bsalin shingga kini ianya mgambil masa kitaran selama 15 hari. Hal ini kerana saya merasa was2 disebabkan warna darah tsebut. Pada hari ke 7 misalnya darah tersebut sudah kering dan berwarna jernih tp ianya akan myusul kembali pd ari berikutnya dgn wrna kekuningan. Jadi sy mgambil keputusan tidak solat krn mgikut kefahaman sy wrna kuning itu msih lagi dianggap darah haid. Saya ada menghidapi pnyakit darah beku dan mengambil ubat mencairkan darah. Adakah ini punca haid sy lmbt abis disebabkan kesan ubat tersebut atau ianya mmg pkara biasa yg dihadapi oleh kaum hawa yg lain. Jadi saya menetapkan setiap bln haid syg akan mgambil masa 15 ari kerana wrnanya blarutan shingga 15 ari dan slps itu barulah sy mndi wajib. Persoalan di sini adakah wajar tindakan sy ini sbb sy rasa was2 klu mndi wajib kerana ada cairan kuning yg keluar. Adakah ini merupakan warna keputihan kerana cairan itu bcampur warna kuning dan putih. Mohon penjelasan..

Jawapan;

Warna kuning atau keruh jika muncul pada hari-hari haid, ia dikira haid dengan syarat tempohnya tidak lebih 15 hari (iaitu tempoh haid paling lama). Jika lebih 15 hari, maka warna kuning atau keruh selepas hari ke 15 itu dikira istihadhah (darah penyakit), bukan haid. Oleh itu, puan hendaklah menunggu hingga habis warna kuning itu barulah mandi dan solat. Kecualilah jika tempoh haid puan berlanjutan hingga lebih 15 hari, maka masuk hari ke 16 puan wajiblah mandi dan mengerjakan solat walaupun warna kuning itu masih nampak (atau sebarang warna yang lain) kerana ia bukan lagi haid, tetapi istihadhah.

Untuk mendapat penjelasan lanjut, sila baca jawapan-jawapan saya sebelum ini bagi persoalan yang sama. Sila ke bahagian “Search” dan taip “kuning”.

Wallahu a'lam.

Monday, 19 July 2010

KANAK-KANAK MEMBACA BUKU SEKS

Soalan; Saya ada beberapa soalan ...
1 . Apakah Hukum membaca Buku mengenai Seks bagi mereka yang bawah umur mahupun yang sudah mencapai umur baligh tetapi belum berkahwin?
Jazakallah hu kharian kasiro

Jawapan;

Di antara perkara yang ingin dibendung oleh Islam ialah penyelewengan seks. Kerana itu, Islam mengharamkan zina dan segala perkara yang mendorong kepada zina. Islam meletakkan peraturan dan undang-undang bahawa seseorang tidak boleh melampiaskan keinginan seksnya melainkan kepada isteri atau hamba yang dimilikinya;

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya, dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan yang sia-sia, dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat), dan mereka yang menjaga kemaluan mereka kecuali kepada isteri mereka atau hamba (perempuan) yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas” (al-Mukminun, ayat 1-7).

Apabila kita ingin memperkatakan pendirian Islam tentang buku seks, pengertian buku seks itu perlu difahami dengan jelas apa maksudnya? Jika ia bermaksud buku yang memaparkan gambar-gambar lucah atau porno, maka hukumnya adalah haram bukan sahaja kepada kanak-kanak, malah kepada orang dewasa termasuk yang telah beristeri. Adalah haram di sisi agama seorang lelaki melihat aurat wanita yang bukan mahramnya dan seorang wanita melihat aurat lelaki yang bukan mahramnya. Di dalam surah an-Nur, Allah memerintahkan kedua-dua lelaki dan wanita agar menjaga pandangan mata masing-masing;

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada lelaki-lelaki beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram)” (an-Nur, ayat 30).

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram)” (an-Nur, ayat 31)

Jika ia bermaksud buku yang mengajar tentang panduan seks yang normal, adab-adab jimak atau sebagainya yang memberi panduan kepada orang-orang yang bakal menjadi suami atau isteri supaya dapat menempuh alam perkahwinan dalam keadaan saling mehamami antara satu sama lain iaitu suami dapat belajar bagaimana jiwa dan fizikal seorang perempuan dan isteri pula dapat belajar bagaiman jiwa dan fizikal seorang lelaki, buku sebegini hanya harus dibaca oleh orang-orang yang akan menempuh alam perkahwinan sahaja. Adapun kepada kanak-kanak atau remaja yang masih jauh dari alam perkahwinan, membaca buku-buku sebegini dibimbangi akan meransang nafsu seksnya dan ia melampiaskannya mengikut jalan yang diharamkan Syarak (zina, onani atau sebagainya). Jadi, atas dasar saddan lizzarai’ (yakni menutup jalan-jalan yang membawa kepada dosa dan maksiat) adalah haram bagi kanak-kanak atau remaja membaca buku-buku seperti itu dan haram ibu-bapa membiarkannya.

Di dalam al-Quran dan as-Sunnah kita dapat perhatikan Allah dan RasulNya memerintahkan ibu-bapa agar mengambil langkah berjaga-jaga dari mendedahkan anak-anak kepada seks atau membukan ruang yang boleh menjebakkan mereka kepada perlakuan seks, antaranya;

1. Perintah supaya mengajar anak-anak agar meminta izin sebelum memasuki kamar ibu dan ayahnya. Anak-anak yang telah baligh, mereka hendaklah meminta izin setiap ketika sebelum masuk. Adapun anak-anak yang belum baligh dikecualikan pada tiga waktu iaitu waktu tengahari, selepas isyak dan sebelum subuh (kerana waktu-waktu ini adalah waktu biasa terdedah aurat ibu-bapa).

“Wahai orang-orang beriman, hendaklah meminta izin kepada kamu hamba-hamba yang kamu miliki dan anak-anak yang belum baligh di kalangan kamu (sebelum mereka memasuki kamar-kamar kamu) pada tiga masa; masa sebelum solat subuh, masa ketika kamu menaggalkan pakaian di waktu tengahari dan masa selepas solat isyak. Itu adalah tiga masa berlaku pendedahan aurat pada kamu” (ayat 58).

Ayat di atas berkenaan anak-anak yang belum baligh. Adapun anak-anak yang telah baligh, Allah berfirman;

“Dan jika anak-anak di kalangan kamu telah sampai umur bermimpi (yakni umur baligh), hendaklah mereka meminta izin (untuk memasuki bilik) sebagaimana meminta izin orang-orang lain sebelum mereka (yakni orang-orang yang disentuh oleh ayat sebelum ini). Begitulah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayatNya. Allah adalah maha mengetahui lagi maha bijaksana” (ayat 59).

2. Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasalallam memerintahkan; apabila anak-anak sampai umur sepuluh tahun hendaklah dipisahkan tempat tidur di antara anak lelaki dan anak perempuan.

وعن عمرو بن شعيب عن أبيه عن جده رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُم قال، قال رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم: <مروا أولادكم بالصلاة وهم أبناء سبع، واضربوهم عليها وهم أبناء عشر، وفرقوا بينهم في المضاجع> حديث حسن رواه أبو داود بإسناد حسن.
“Suruhlah anak-anak kamu mengerjakan solat apabila mereka telah berumur tujuh tahun. Pukullah mereka jika meninggalkan solat apabila mereka berumur sepuluh tahun dan pisahkanlah antara mereka (yakni antara anak lelaki dan anak perempuan) pada tempat-tempat tidur” (HR Abu Daud dari ‘Amru bin Syu’aib yang meriwayatkan dari bapanya yang meriwayatkan dari datuknya. Menurut Imam an-Nawawi; sanad hadis ini adalah hasan. Lihat; Riyadhussalihin, bab wujubi amrihi ahlahu wa auladahu al-mumayyiziin…).

Menurut ulamak; Nabi menghimpunkan antara arahan mengerjakan solat dan memisahkan tempat tidur tujuannya ialah untuk mendidik anak-anak dengan sikap menjaga perintah Allah, mengelak diri dari perkara yang mendatangkan tohmah (keraguan/tuduhan orang lain) pada dirinya dan menjauhi larangan Allah. (Faidhul-Qadier, no. 8174)

3. Allah melarang wanita-wanita beriman dari mendedahkan aurat mereka di hadapan kanak-kanak yang telah mula mengerti aurat wanita walaupun belum mencapai usia baligh. Firman Allah dalam surah an-Nur (bermaksud);“Dan janganlah mereka (yakni perempuan-perempuan beriman) memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan”. (an-Nur, ayat 31).

Dalam ayat di atas, Allah menyebutkan beberapa lelaki yang diharuskan kepada wanita untuk membuka aurat mereka. Di hadapan kanak-kanak lelaki, Allah hanya membenarkan wanita membuka aurat di hadapan kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Ini bermakna, di hadapan kanak-kanak yang telah mengerti aurat, dilarang berlaku pendedahan tersebut. (Untuk keterangan lebih lanjut tentang hal ini, sila baca jawapan saya sebelum ini tentang “Aurat wanita di hadapan kanak-kanak 12-15 tahun).

Kita perhatikan hari ini apabila arahan Allah dan Rasul diabaikan di mana pendedahan aurat dan seks kepada kanak-kanak berlaku secara terang-terangan dan berleluasa –melalui televisyen, filem, majalah dan sebagainya- akibatnya penyelewengan seks tidak dapat dibendung lagi di kalangan remaja di mana ramai remaja yang terlibat dengan zina (hingga melahirkan anak luar nikah), khalwat, onani dan sebagainya.

Peringkat kanak-kanak dan remaja ialah peringkat yang perlu disemai ilmu dan penghayatan agama secukupnya. Pepatah Arab berkata; “التعليم في الصغار كالنفش على الحجر” (Pengajaran yang diberikan ketika kecil umpama memahat di atas batu). Maksud pepatah ini ialah; ilmu yang kita ajar kepada anak-anak kita ketika ia kecil, ilmu itu tidak akan hilang buat selama-lamanya sebagaimana tidak akan hilang ukiran di atas batu walaupun masa berlalu begitu lama. Jadi, jika ilmu agama yang kita semai ke dalam jiwa anak kita, insya Allah ilmu itu akan kekal dalam dirinya hingga akhir hayatnya, malah hingga ke zuriatnya. Namun jika yang kita semai dalam jiwa anak kita ialah nafsu dan keseronokan, maka anak kita akan membesar, mendewasa (dan mungkin juga mati) dengan dibelenggu oleh nafsu dan keseronokan tersebut.

Wallahu a’lam.

UJIAN DAN LAKNAT ALLAH

Soalan; Saya ingin mengetahui sebenarnya apakah punca laknat Tuhan kepada hamba Nya? Sekiranya seseorang Islam diajak untuk mengerjakan fardu umrah, sedangkan pada permulaannya individu itu berasa keberatan kerana memikirkan fardu asas lain seperti solat zakat hutang dsb harus dikemaskinikan. Namun pada saat akhir, dia mengerjakan jua demi mengharapkan rahmat dan keberkatan yang lebih meluas dalam memperbaiki diri dia. Dan malangnya sesampainya di Mekah dia jatuh sakit, dan tak banyak ibadat dapat dilakukan selain terlantar atas katil di bilik. Sepanjang perjalanan pergi dan pulang sungguh menghampakan diri dia malah setibanya dia ke tanah air, dia ditimpa lagi dengan ujian sakit-sakit lain dan akhirnya menyebabkan dia terpaksa menganggur dan hanya duduk di rumah. Masalah dia semakin merebak sehingga dia tertekan dan goyah dalam kepercayaan kepada Tuhan. Dia mula meninggalkan kesemua syariat yang dipelajari dan diamalkan. Namun, apabila ditanya situasi individu berkenaan, dia memberitahu yang mana, dia tidak mahu dan menjangkakan semua itu berlaku dan masih menharapkan pertolongan dari Tuhan semoga dia dapat menjalani kehidupan normal.

Secara kesimpulannya, adalah amat saya mengharapkan pandangan, komen dan nasihat ustaz pada situasi dan jalan keluar untuk individu yang telah saya gambarkan di atas. Sekian, wassalam, Yang mengharapkan nasihat.

Jawapan;

Dalam sebuah hadis, Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda;

عجباً للمؤمن لا يقضي اللّه له قضاء إلا كان خيراً له، إن أصابته سراء شكر فكان خيراً له، وإن أصابته ضراء صبر فكان خيراً له
“Sungguh menakjubkanku apabila melihat orang beriman. Tidak ada suatu ketetapan yang Allah putuskan untuknya melainkan semuanya baik baginya. Tatkala ia ditimpa perkara-perkara yang menggembirakan, ia bersyukur, maka itu adalah baik baginya. Tatkala ia ditimpa perkara-perkara yang memudaratkannya, ia bersabar, maka itu juga baik baginya” (Diriwayatkan dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-. Lihat hadis ini dalam; Tafsir Ibnu Kathir, surah Saba’, ayat 19).

Berdasarkan hadis ini kita wajib meyakini kasih sayang Allah kepada kita selagimana kita beriman kepadaNya. Wajib kita bersangka baik dengan Allah. Di dalam hadis Qudsi, Allah sendiri berfirman kepada hamba-hambaNya;

قال الله تعالى: أنا عند ظن عبدي بي، إن ظن خيرا فله، وإن ظن شرا فله
“Aku adalah bergantung kepada sangkaan hambaKu terhadapKu. Jika ia bersangka baik (kepadaKu), kebaikanlah (yang akan Aku berikan) untuknya. Namun jika ia bersangka jahat (kepadaKu), kejahatanlah (yang akan Aku berikan) untuknya” (Riwayat Imam Ahmad dari Abi Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-. Menurut Imam as-Suyuti; hadis ini soheh. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 6051).

Berkata Imam Ibnu al-Qayyim; di antara sebesar-besar dosa kepada Allah ialah bersangka buruk terhadapNya, kerana seorang yang bersangka buruk terhadap Allah ia bersangka dengan sangkaan yang bercanggah dengan kesempurnaan Allah yang maha qudus (suci dan bersih dari segala kekurangan) dan sangkaan itu bertentangan dengan nama-nama dan sifat-sifat Allah. Kerana itu, Allah memberi ancaman yang berat kepadanya sebagaimana yang Ia berikan kepada orang-orang munafik dan musyrik;

“Dan supaya ia menyeksa orang-orang munafik -lelaki dan perempuan- dan orang-orang musyrik - lelaki dan perempuan- yang menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang buruk (bahawa ia akan mengecewakan RasulNya). atas merekalah tertimpanya bala bencana yang dibawa oleh peredaran zaman; dan (selain itu) Allah murkai mereka dan melaknatkan mereka serta menyediakan untuk mereka neraka Jahannam; sedang neraka jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. (al-Fath, ayat 6).
(Faidhul-Qadier, hadis no. 1933)

Kita dapat lihat dalam ayat di atas bahawa bersangka buruk berhadap Allah ialah sikap orang munafik dan musyrik. Kerana sikap itulah mereka dimurkai dan dilaknat oleh Allah. Berbalik kepada soalan saudara di atas, bukan ujian yang menandakan laknat Allah ke atas kita, akan tetapi tatkala kita berputus asa dari rahmat Allah dan bersangka buruk kepadaNya itulah sebenarnya yang akan mengundang laknat Allah kepada kita. Nasihatilah kawan saudara itu agar bersangka baik kepada Allah, bersabar menghadapi ujian Allah dan terus beribadah dan berdoa kepada Allah dengan sungguh-sungguh. Yakinlah, akan tiba saatnya segala kesakitan, kepayahan dan kesusahannya akan hilang dan digantikan Allah dengan nikmat dan kesenangan yang paling manis sebagaimana janji Allah;

“Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran akan disusuli kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran akan disusuli kemudahan. Maka apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain)” (al-Insyirah, ayat 5-7).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Faidhul-Qadier, Syarah al-Jami’ as-Saghier, Imam an-Munawi, hadis no. 1933.

Sunday, 18 July 2010

ADAKAH TAKLIK BERULANG SELEPAS AQAD BARU?

Soalan; Assalamualaikum Ustad, saya nak bertanya pasal talak taklik. Sekiranya seseorang itu bertaklik dan berlaku spt yang di sebut maka jatuhlah talak. Tapi persoalannya, tidak berlaku seperti yang di taklikkan dan telah berlaku nya perceraian secara lafaz atas sebab sebab lain. Kemudian selepas suatu
waktu pasangan setuju untuk bersatu semula, bagaimana dengan taklik yang sebelumnya dalam hubungan lalu. Apakah sudah batal? Terima Kasih.

Jawapan;

Menurut ulamak (termasuk dari mazhab Syafi’ie dan Ahmad); taklik itu akan kembali apabila berlaku aqad baru kecuali bagi dua keadaan;

1. Jika semasa isteri terpisah dari suaminya perkara yang ditaklik terjadi, maka taklik itu tidak akan kembali selepas aqad kerana apa yang telah ditaklik telahpun berlaku. Contohnya; seorang berkata kepada isterinya; “Jika engkau bercakap dengan abang engkau, dengan sendiri engkau tertalak”. Kemudian berlaku penceraian antara dia dan isterinya dan tamat eddah. Kemudian mereka berdua berkahwin semua dengan aqad baru. Jika semasa tempoh perpisahan (iaitu tempoh antara selepas iddah dan akaq semula) apa yang ditaklikkan berlaku (iaitu isterinya telah bercakap dengan abangnya), maka apabila berlaku aqad semula taklik tadi tidak akan kembali kerana apa yang ditaklikkan telahpun terjadi.

2. Jika penceraian berlaku dengan talak tiga, maka apabila wanita yang diceraikan kembali semula kepada suaminya dengan aqad baru (iaitu setelah ia berkahwin dengan lelaki lain), taklik tadi tidak akan kembali sama ada - semasa tempoh meeka berpisah- berlaku apa yang ditaklikkan atau tidak berlaku.

Kesimpulannya, taklik tidak akan terbatal sekalipun berlaku penceraian di mana ia akan kembali selepas aqad baru kecualilah jika apa yang ditaklikkan berlaku semasa tempoh perpisahan atau penceraian dengan talak tiga.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Takmilah al-Majmu’, Syeikh Dr. Mahmud Matriji, bab as-Syart fi at-Talaq, 18/347.
2. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, kitab al-Khulu’, 7/64.
3. Fatawa as-Syabakah al-Islamiyah (http://www.islamweb.net), no. 75042.

PUASA TAPI TIDAK SOLAT

Soalan; salam....ust apakah hukum bagi puasa seseorang yg telah baligh jika dia tidak melalukan solat?? kerna sya rasa tidak solat bukan perkara yg menyebabkan batalnya puasa ? adakah puasa nya diterima ALLAH Taala ?

Jawapan;

Soalan ini telahpun saya jawab sebelum ini. Sila baca di (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/09/berpuasa-tapi-tak-solat.html).

Wallahu a’lam.

ZAKAT PAKAIAN

Soalan; assalamualaikum...saya ada kemusykilan sedikit yang ingin diutarakan mengenai zakat pakaian. sebelum ini saya hanya pernah mendengar tentang zakat pendapatan,zakat harta, zakat emas dsb....tetapi tidak pernah mendengar tentang zakat pakaian. soalan : adakah pakaian berlebihan yang tidak dipakai lebih 40hari kena hisab? memndangkan saya berkerjaya, koleksi pakaian akan sentiasa bertambah dari masa ke masa. harap sudi menjawab..sekian...

Jawapan;

1) Pakaian hanya dikenakan zakat jika diperniagakan. Orang yang berniaga menjual pakaian, apabila cukup setahun ia hendaklah menghitung nilai pakaian yang ada dalam kedainya, dicampur dengan duit yang ada dalam tangan serta di bank dan hutang-hutang yang dapat dipungut, kemudian ditolak hutang semasa dan tanggungan, jika cukup nisab wajib ia membayar zakat dengan kadar 2.5%.

2) Adapun pakaian yang hanya dibeli untuk kegunaan sendiri, bukan untuk diperniagakan, tidaklah wajib zakat. Zakat hanya diwajibkan ke atas harta yang berkembang (iaitu binatang ternak, barang perniagaan, bangunan sewaan dan sebagainya) atau mempunyai potensi semulajadi untuk berkembang (iaitu emas, perak dan mata wang).[1] Barang-barang kegunaan sendiri seperti kereta persendirian, rumah, perabot-perabut rumah, pakaian dan sebagainya bukanlah harta berkembang, maka tidak wajib zakat. Namun demikian, adalah amat baik jika pakaian kita yang berlebihan kita sedekahkan kepada fakir miskin, anak yatim dan sebagainya. Sedekah lebih luas dari zakat. Jika zakat hanya khusus kepada harta-harta tertentu, adapun sedekah harus dengan apa sahaja yang kita miliki -walaupun nilainya kecil- asalkan ada manfaat untuk penerima sedekah.

Wallahu a'lam.

Nota hujung;

[1] Maksud berkembang ialah; mempunyai potensi untuk mendatangkan hasil atau pendapatan.

JAHIL KEWAJIPAN MANDI JUNUB

Soalan; Asalamualaikum.Saya ada sedikit kemusykilan.Menurut kefahaman saya dikira baligh sesorang apabila keluar air mani. Sepanjang ingatan, saya mengetahui tentang mandi wajib lewat beberapa ketika selepas saya baligh. Soalannya adakah saya wajib menqadha solat dan ibadat yang saya lakukan dalam keadaan berhadas yang saya yakin tidak sah kerana masa itu saya tidak mengetahui tentang mandi wajib. Jika wajib qadha` bagaimana cara menganggar waktu yang saya sembahyang dalam keadaan berhadas itu kerana tidak dapat mengingati secara tepat. Harap dapat penjelasan.Terima kasih.

Jawapan;

Wajib saudara mengqadha solat yang dilakukan tanpa bersuci (sama ada dari hadas atau najis) selepas saudara telah masuk ke dalam usia baligh. Kejahilan menggugurkan dosa, namun tidak menggugurkan perintah Allah (yakni walaupun saudara tidak berdosa kerana mengerjakan solat tanpa bersuci disebabkan jahil, namun kewajipan bersuci dan menggantikan solat yang batal itu tidak gugur dari saudara).[1] Cuba ingati semula; bilakah saudara mula baligh dan bila pula saudara mula mengetahui tentang kewajipan mandi. Setelah menentukan berapa hari yang terlibat -walaupun secara agakan-, lakukanlah solat qadha mengikut jumlah hari tersebut. Untuk lebih meyakinkan, lakukan dengan melebihi dari yang dianggarkan dan hanya berhenti setelah hati berasa yakin bahawa semua solat yang tidak sah itu telah diganti. Apabila saudara telah melakukan apa yang terdaya, berserahlah kepada Allah. Kita tidak dibebani Allah melainkan dengan kadar yang kita mampu. Firman Allah (bermaksud); “Maka bertaqwa kamu kepada Allah sedaya yang kamu mampu” (at-Taghabun, ayat 16).

Wallahu a’lam.

Nota hujung;

[1] Menurut mazhab Syafi’ie; jahil dan lupa kedua-dua factor tersebut menggugurkan dosa di akhirat. Adapun hukum di dunia, jika jahil dan lupa itu berlaku kepada sesuatu yang diperintahkan, tidak gugur perintah tersebut (yang ditinggalkan kerana jahil atau lupa itu), akan tetapi wajib ditunaikan semula (yakni diqadha). Jika jahil dan lupa itu berlaku kepada sesuatu yang ditegah, hendaklah diperhatikan;
a) Jika tidak membabitkan kerosakan (al-itlaf), tidak ada sebarang denda/hukuman ke atasnya. Contohnya; seorang yang bercakap ketika solat kerana jahil atau lupa, tidak batal solatnya. Seorang yang minum arak kerana jahil, tidak dikenakan hukuman atasnya sama ada hudud atau takzir.
b) Jika membabitkan kerosakan, wajiblah ia menggantikan kerosakan itu (yakni walaupun berlaku kerana lupa atau jahil, tetap wajib mengganti kerosakan yang berlaku). Contoh; seorang mengambil satu makanan milik orang lain, kemudian ia menjamu makanan itu kepada seorang tetamunya dan tetamu itu makan dalam keadaan jahil bahawa makanan itu milik orang lain, wajib tetamu itu membayarnya (kepada pemilik makanan tersebut) walaupun ia makan itu dalam keadaan jahil (tidak tahu). Adapun orang yang mengambil tadi, ia bebas dari tanggungan untuk menggantikannya. Seorang yang melakukan larangan-larangan Ihram yang berupakan itlaf seperti membuang rambut dan kuku atau membunuh buruan, ia tidak berdosa jka larangan tersebut dilakukan kerana jahil atau lupa, namun tidak gugur fidyah darinya.
c) Jika jahil dan lupa berlaku kepada larangan-larangan yang membabitkan hukuman (‘uqubah) iaitu qisas, hudud dan sebagainya, factor jahil dan lupa dikira syubhah yang menggugurkan hukuman, namun jika membabitkan kerosakan wajiblah ia menggantinya. Seorang yang membunuh kerana jahil pengharaman membunuh (atau seorang kafir yang baru masuk Islam telah melakukan pembunuhan kerana tidak tahu membunuh dalam Islam akan dikenakan hukuman qisas), ia terlepas dari hukuman qisas, namun tidak terlepas dari bayaran diyat.
(Lihat; al-Madkhal Fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah wa Atsaruha Fi al-Ahkam as-Syar’iyyah, Dr. Nasr Farid Muhammad Wasil dan Dr. Abdul-Aziz Muhammad ‘Azzam, hlm. 157-160).

Saturday, 17 July 2010

BAHAGIAN PUSAKA UNTUK ANAK LELAKI DAN ANAK PEREMPUAN

Soalan; Assalamualaikum ustaz,sy nk bertanya tentang pembahagian harta pusaka iaitu tanah, arwah meninggalkan 8 orang anak 3 daripadanya lelaki nilai tanah tersebut rm150,000 berapa setiap seorang akan dapat? terima kasih.

Jawapan;

Dengan andaian bahawa jika si mati (arwah) tidak mempunyai isteri atau suami dan tidak mempunyai ibu dan bapa, maka seluruh hartanya akan diwarisi oleh anak-anaknya dengan nisbah pembahagian untuk anak lelaki dan anak perempuan; “2:1”, iaitu setiap anak lelaki akan mendapat sekaliganda dari bahagian yang diperolehi setiap anak perempuan berdasarkan ketetapan Allah di dalam al-Quran;

“Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu; bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan” (an-Nisa’, ayat 11).

Bagi kes di atas (si mati meninggalkan harta RM 150 000 dan beliau mempunyai 3 anak lelaki dan 5 anak perempuan), setiap anak lelakinya akan mendapat (RM 27 272.727) dan setiap anak perempuannya akan mendapat (RM 13 636.364). Jumlah keseluruhan yang diwarisi oleh anak-anak lelakinya ialah; (RM 81 818.181). Sementara anak-anak perempuannya; (RM 68 181.820).

Pembahagian di atas adalah dengan andaian si mati tidak mempunyai hutang dan tidak meninggalkan sebarang wasiat. Jika tidak, perlulah ditolak terlebih dahulu hutang-hutangnya (sama ada hutang dengan Allah atau hutang dengan manusia) dan wasiatnya (dengan tidak melebihi 1/3 hartanya), barulah -yang selebihnya- diagihkan kepada waris-warisnya yang layak.

Wallahu a’lam.

Friday, 16 July 2010

HUKUM MEMATUHI UNDANG-UNDANG NEGARA

Soalan; Assalamualaikum uztad. Saya ada dua soalan untuk bertanya.
1. Adakah kita akan mendapat doa jika kita melanggar undang-undang yang telah ditetapkan oleh negara ? Bolehkah terangkan pada saya.

Jawapan;

Mematuhi undang-undang Negara termasuk dalam pengertian mentaati pemerintah. Allah berfirman (maksudnya);

“Wahai orang-orang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” dari kalangan kamu” (an-Nisa’, ayat 59).

Ulil-Amri dalam ayat di atas bermaksud orang-orang yang bertanggungjawab mengurus urusan kaum muslimin. Mereka merangkumi ulamak dan pemerintah. Ulamak bertanggungjawab tentang urusan agama dan pemerintah (umara’) pula bertanggungjawab tentang urusan duniawi dan maslahah hidup rakyat. (Tafsir Ibnu Kathir)

Para zaman Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- dan khulafak rasyidin, kedua-dua urusan (agama dan dunia) diuruskan oleh seorang ketua/pemimpin yang dipanggil Khalifah atau Amir al-Mukminin. Itulah yang sebaik-baiknya bagi kaum muslimin supaya urusan agama dan dunia dapat diselarikan tanpa wujud pertembungan antara ulamak dan umarak. Namun, selepas zaman Khulafak Rasyidin kedaan berubah di mana urusan agama ditangani oleh ulamak dan urusan dunia pula ditangani oleh umarak. Bagi keadaan kedua ini, wajiblah umarak merujuk kepada ulamak dan wajib pula ulamak menasihati umarak apabila ada keputusan umarak yang bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah.

Kedua-dua ulamak dan pemerintah dalam Islam terikat dengan ketetapan al-Quran dan as-Sunnah. Kerana itu didahului perintah taat dalam ayat di atas dengan ketaatan kepada Allah (yakni al-Quran) dan ketaatan kepada Rasul (yakni as-Sunnah). Apabila wujud sebarang masalah atau pertikaian (yang berkait dengan urusan pemerintahan atau yang berkait dengan rakyat), mereka wajib merujuk kepada Allah dan Rasul (yakni al-Quran dan as-Sunnah) sebagaimana ditegaskan Allah dalam sambungan ayat di atas;

“Kemudian jika kamu berselisihan dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (al-Quran) dan RasulNya (as-Sunnah) jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Itu lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya” (Surah an-Nisa’, hujung ayat 59).

Dari segi sikap rakyat pula, mereka wajib mentaati pemerintah selama pemerintah berpegang-teguh dengan agama Allah dan tidak menyuruh rakyatnya melakukan dosa, maksiat dan munkar. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-;

السمع والطاعة على المرء المسلم فيما أحب وكره، ما لم يؤمر بمعصية، فإذا أمر بمعصية فلا سمع ولا طاعة
“Wajib ke atas seorang muslim untuk dengar dan taat (kepada pemerintah) dalam perkara yang ia suka atau ia benci selama ia tidak disuruh melakukan maksiat. Namun bila dia disuruh melakukan maksiat, tidak harus lagi ia dengar dan taat”. (HR Abu Daud dari Abdullah bin Umar –radhiyallahu ‘anhu-).

Kesimpulannya, selama undang-undang yang digubal tidak menyalahi al-Quran dan as-Sunnah, wajiblah kita mematuhinya sama ada undang-undang itu berkait dengan peraturan jalan raya, percukaian, keselamatan, kekeluargaan, kontrak dan sebagainya. Perkara yang wajib jika dilaksanakan akan diberi pahala dan jika dilanggari akan berdosa.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Tafsir al-Quran an-Adziem, Imam Ibnu Kathir, surah an-Nisa’, ayat 59.

Thursday, 15 July 2010

HUKUM ONANI DAN NAZAR UNTUK TINGGALKAN MAKSIAT

Soalan; salam...sy ingin bertanyakan ttg nazar. sy tlh membuat nazar utk tidak beronani selama sebulan.tp sampai sekarang sy gagal utk melakukannya. persoalan sy di sini;
(1) adakah sah nazar saya?kerana mmg wajib bg saya utk meninggalkan maksiat tersebut.
(2) kalau sah,adakah blh sy buat kifarah kerana sy rasa tidak mampu utk meneruskan nazar ini.
(3) kalau perlu buat kifarah, apakah ciri2 makanan dan ciri org miskin seperti mana yg tertulis spt di bwh?:
1. Memberi makan sepuluh orang miskin, atau;
2. Memberi pakaian untuk mereka, atau;
3. Membebaskan seorang hamba.
Jika tidak berupaya melakukan satupun darinya, hendaklah berpuasa selama 3hari.
di harap ustaz reply emel ni kerna sy dh lma memikirkan akan hal ini.
syukran.

Jawapan;

1) Beronani hukumnya adalah haram kerana seorang muslim tidak harus melampiaskan nafsu sexnya melainkan kepada isterinya atau kepada hamba perempuan yang ia miliki sebagaimana firman Allah tentang sifat orang beriman (bermaksud);

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya, dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan yang sia-sia, dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat), dan mereka yang menjaga kemaluan mereka kecuali kepada isteri mereka atau hamba (perempuan) yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas” (al-Mukminun, ayat 1-7).

2) Oleh kerana beronani adalah haram dan wajib ditinggalkan, maka nazar saudara adalah tidak sah kerana sekalipun saudara tidak bernazar, saudara tetap diwajibkan untuk meninggalkan perbuatan tersebut, maka tidak ada guna saudara mewajibkannya lagi atas diri saudara dengan nazar kerana ia telah sedia wajib. Jadi, saudara wajib meninggalkan perbuatan onani itu atas dasar ia adalah perbuatan haram yang wajib ditinggalkan, bukan atas dasar ia dinazarkan oleh saudara.

Dalam pada itu, jika saudara menyanggahi apa yang saudara nazarkan itu para ulamak berbeza pandangan; adakah diwajibkan saudara membayar kaffarah sumpah atau tidak? Ada dua pandangan di sana;

Pandangan pertama; diwajibkan kaffarah sumpah. Pandangan ini merupakan mazhab Imam Ahmad dan yang ditarjihkan oleh Imam al-Baghawi (salah seorang ulamak mazhab Syafi’ie). Kaffarah sumpah ialah dengan memilih salah satu dari tiga perkara di bawah;
1. Memberi makan sepuluh orang miskin, atau;
2. Memberi pakaian untuk mereka, atau;
3. Membebaskan seorang hamba.
Jika tidak berupaya melakukan satupun darinya, hendaklah berpuasa tiga hari. Sila rujuk surah al-Maidah, ayat 89.

Memberi makan 10 orang miskin; maksud orang miskin ialah orang-orang fakir yang berhajat kepada bantuan orang lain dan orang-orang mempunyai pendapatan yang tidak mencukupi untuk menampung keperluan dirinya dan orang-orang yang berada di bawah tanggungannya. Kadar yang wajib diberikan untuk setiap orang miskin itu terdapat khilaf di kalangan ulamak;

a) Menurut Imam al-Hasan dan Muhammad Ibnu Sirin; untuk setiap orang diberikan makanan untuk sekali makan yang mengenyangkan merangkumi makanan asas (beras, gandum dan sebagainya) dan lauknya.
b) Menurut Saidina ‘Ali; untuk setiap orang dua kali makan yang mengenyangkan iaitu makan tengahari dan makan malam (merangkumi makanan asas dan lauknya).
c) Menurut mazhab Syafi’ie; diberikan kepada setiap orang 1 cupak makanan asas setempat tanpa perlu lauknya. Bagi penduduk Malaysia, makanan asas ialah beras. Mengikut timbangan hari ini ialah 650 gram (diambil dari gred pertengahan, bukan gred yang paling bawah atau paling tinggi).
d) Menurut mazhab Imam Abu Hanifah; untuk setiap orang ½ gantang jika diberikan gandum atau 1 gantang jika diberikan makanan asas yang lain (dari gandum). Satu gantang bersamaan 4 cupak, setengah gantang bersamaan 2 cupak. Imam Abu Hanifah juga mengharuskan makanan itu digantikan dengan pemberian duit yang senilai dengannya. Adapun ulamak-ulamak lain, mereka tidak mengharuskannya.
(Tafsir Ibnu Kathir dan Tafsir al-Munir, surah al-Maidah, ayat 89).

Memberi pakaian pula; menurut Imam Syafi’ie; dengan memberi kepada setiap orang apa sahaja yang dinamakan pakaian sama ada jubah atau serban atau baju atau seluar atau kain sarung atau kain tudung kepala wanita. Namun menurut mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali; wajib bagi setiap orang pakaian yang menutup aurat seluruh badannya iaitu yang dapat digunakan untuk solat sama ada orang miskin itu lelaki atau wanita. (Tafsir Ibnu Kathir dan Tafsir al-Munir, surah al-Maidah, ayat 89).

Membebaskan seorang hamba; menurut Imam Abu Hanifah; harus sama ada hamba beriman atau hamba yang kafir. Namun menurut Imam Syafi’ie; wajib hamba beriman. Jika membebaskan hamba kafir, tidak dikira.

Pandangan kedua; tidak diwajibkan ia membayar kaffarah sumpah. Pandangan ini merupakan yang muktamad dalam mazhab Syafi’ie sebagaimana dinyatakan oleh Imam an-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Al-Mugni, Imam Ibnu Qudamah, kitab an-Nuzur.
2. Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, Bab an-Nazr.
3. Tafsir Imam Ibnu Kathir, surah al-Maidah, ayat 89.
4. Tafsir al-Munir, Dr. Wahbah az-Zuhaili, surah dan ayat yang sama.
5. Al-Aiman wa an-Nuzur (terjemahan), Dr. Muhammad Abdul-Qadier Abu Faris.

Wednesday, 14 July 2010

SOLAT JAMAAH DI MASJID LUAR QARIAH

Soalan; Surau dikawasan rumah saya sering tiada jemaah waktu Zuhur dan Asar...Apakah berdosa jika saya melakukan solat berjemaah di Masjid lain semata mata untuk mendapatkan pahala Jemaah? Saya dah berulang kali menasihatkan qariah termasuk Nazir sendiri untuk berjemaah bersama Zuhur asar..tetapi....hanya masuk telinga kanan keluar telinga kiri ...

Jawapan;

Menurut mazhab as-Syafi’ie; Jika seseorang itu berdekatan rumahnya ada masjid dan berjauhan juga ada masjid, namun masjid jauh lebih ramai bilangan ahli jamaahnya, menunaikan solat di masjid jauh adalah lebih baik (afdhal) dari di masjid dekat kecuali bagi dua keadaan;

1. Jika dikhuatiri akan gagal solat jamaah di masjid dekat tanpa kehadirannya seperti ia adalah imam atau orang ramai hanya akan hadir jika dia hadir, maka ketika itu lebih baik baginya menunaikan solat jamaah di masjid dekat walaupun kurang bilangan ahli jamaahnya berbanding masjid jauh.

2. Jika imam masjid jauh adalah ahli bid’ah atau seorang fasiq atau tidak mengiktiqadkan kewajipan beberapa rukun solat, maka lebih baik ia menunaikan solat di masjid dekat sekalipun bilangan ahli jamaahnya kurang.

Jika masjid berhampiran rumahnya tiada didirikan jamaah (yakni jika dia hadir sekalipun tiada jamaah yang dapat didirikan kerana orang lain tidak hadir), menunaikan solat di masjid yang ada didirikan jamaah adalah lebih baik dengan disepakati para ulamak.

Merujuk kepada soalan saudara, jika benar sebagaimana yang saudara katakan iaitu tiada jamaah ketika dua waktu tersebut, adalah lebih baik bagi saudara untuk pergi ke masjid lain yang ada didirikan solat jamaah. Namun saudara tidak boleh membiarkan keadaan berterusan begitu kerana solat jamaah adalah Syiar yang besar dalam Islam yang dituntut oleh Syarak untuk dihidupkan di tengah masyarakat Islam. Sebahagian ulamak menyatakan; ia adalah wajib (yakni berdosa mana-mana lelaki muslim yang meninggalkan solat berjamaah dengan sengaja). Sebahagian menyatakan; ia adalah fardhu kifayah (yakni jika tidak ada langsung orang yang mendirikan solat jamaah dalam satu kawasan, akan berdosalah semua orang Islam di kawasan tersebut). Paling ringan ialah golongan ulamak yang berpendapat; ia adalah sunat muakkad (yakni yang amat-amat dituntut untuk dikerjakan).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Kifayatul-Akhyar, Syeikh Taqiyyuddin al-Hisni, Kitab as-Solah.
2. Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, Kitab as-Solah, bab Solah al-Jamaah.

MEMPERLEKEH AGAMA LAIN

Soalan; Assalamualaikum uztad. Saya ada dua soalan untuk bertanya.
2. Apakah hukum seseorang memperlekehkan agama orang lain. ?
* harap ustad dapat menjawab pertanyaan saya dalam waktu yang singkat. Terima kasih.

Jawapan;

Kita wajib meyakini bahawa Islamlah satu-satunya agama yang benar dan direstui Allah untuk dianuti oleh sekelian manusia. Firman Allah (bermaksud); “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam” (Ali Imran, ayat 19).

Agama-agama lain adalah batil dan palsu. Kerana itu Allah tidak menerimanya dan penganutnya akan menjadi manusia-manusia yang rugi di akhirat (kerana mereka akan dihumbankan ke dalam neraka); Firman Allah (bermaksud); “Dan sesiapa mencari agama selain Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi” (Ali Imran, ayat 85).

Merasakan dalam diri bahawa agama lain adalah lekeh dan hanya Islam sahaja yang hebat, itu adalah tanda iman dalam hati seorang mukmin. Perasaan itu wajib ada dalam hati setiap dari kita yang beriman kepada Allah dan agama Allah. Namun tidak semestinya kita perlu meluahkan perasaan itu di hadapan penganut-penganut agama lain. Dalam erti kata lain; kita memperlekehkan agama mereka di hadapan mereka. Sudah tentunya perbuatan kita itu akan mengundang balasan balik dari mereka terhadap agama kita dan juga terhadap Allah. Kerana itu, Allah melarang kita dalam ayatnya (bermaksud);

“Dan janganlah kamu mencerca berhala-berhala yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan”. (al-An’am, ayat 108).

Apa yang disuruh oleh Allah ialah kita berusaha mendekatkan orang-orang bukan Islam kepada agama Allah dengan hujjah dan perdebatan yang baik sebagaimana firman Allah;

“Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berbuat zalim dari mereka. Katakanlah (kepada mereka): ‘Kami beriman kepada (Al-Quran) Yang diturunkan kepada Kami dan kepada (Taurat dan Injil) Yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah satu; dan kepadaNyalah, Kami patuh Dengan berserah diri’” (al-Ankabut, ayat 46).

Maksud berbahas dengan cara yang baik ialah menyeru mereka kepada agama Allah dengan membentangkan ayat-ayat Allah dan hujjah-hujjah. (Lihat; al-Jalalain). Allah mengecualikan dalam ayat di atas orang-orang kafir yang bertindak zalim terhadap agama Allah atau kaum muslimin, maka mereka perlu kita hadapi dengan tindakan yang bersesuaian dengan kebiadapan mereka.

Berkata Imam al-Hakim (mengulas ayat pertama tadi, iaitu ayat 108 dari surah al-An’am); “Kita dilarang mencerca berhala-berhala kerana dua sebab;
1. Berhala itu hanyalah makhluk yang tidak bernyawa dan tidak berdosa (yakni yang berdosa ialah penganutnya).
2. Cercaan terhadapnya akan membawa kepada kejahatan yang lebih besar iaitu celaan penganutnya terhadap Allah.
Beliau menegaskan; apa yang wajib kita lakukan ialah kita membentangkan kepada penganutnya bahawa berhala itu sendiri tidak redha ia disembah dan berhala itu tidak selayaknya disembah kerana ia tidak berupaya menimpakan mudaraat dan memberi manfaat kepada sesiapa kerana ia hanyalah batu yang tidak bernyawa. Pendekatan ini tidaklah dinamakan cercaan. Kerana itu Saidina ‘Ali –radhiyallahu ‘anhu- pernah berkata; “Janganlah mencerca mereka, akan tetapi sebutlah kejelekan/keburukan amalan-amalan mereka”. (Tafsir Mahasin at-Takwil)

Berkata Imam ar-Razi; Ayat tersebut merupakan satu pendidikan kepada orang yang ingin berdakwah kepada agama Allah, iaitulah mereka janganlah menyibukkan diri dengan tindakan yang tidak ada faedah dalam mencapai tujuan dakwah. Menyebutkan berhala sebagai makhluk kaku tidak bernyawa yang tidak berkuasa menimpakan mudarat dan tidak mampu mendatangkan manfaat sudah memadai untuk meragukan penganutnya tentang ketuhanan berhala itu. Tidak perlu untuk kita mencerca atau mencacinya. (Mahasin at-Takwil)

Kesimpulannya, merasakan Islam adalah agama yang hebat dan semua agama lain adalah lekeh merupakan perasaan yang wajib ada dalam setiap hati/jiwa orang Islam. Namun, ketika berhadapan dengan orang-orang bukan Islam, uslub dan pendekatan terbaik ialah dengan kita membentangkan hujah-hujah yang baik dan bernas untuk meyakinkan mereka kepada agama Allah dan kebenarannya, bukan dengan kita memperlekeh-lekeh agama mereka kerana akan mengundang mereka memperlekehkan pula agama kita. Kecualilah pada ketika kita berhadapan dengan orang-orang kafir yang terlebih dahulu mencerca dan menghina agama kita atau Nabi Muhammad atau mana-mana ajaran Islam, maka ketika itu kita perlu memberi reaksi yang bersesuaian dengan sikap atau tindakan mereka.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Tafsir Mahasin an-Takwil, Syeikh Jamaluddin al-Qasimi, surah al-An’am, ayat 108.
2. Tafsir al-Wasit, Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi, ayat 46, surah al-Ankabut.
3. Al-Muqtataf min ‘Uyun at-Tafasir, Syeikh Mustafa al-Khairi, surah dan ayat yang sama.

Tuesday, 13 July 2010

MENGENDALI AL-QURAN LAMA

Soalan; salam...ingin bertanya andai Al-quran yang lama sudah tidak digunakan kerana sudah digantikan dengan yang baru..bagaimana cara terbaik untuk mengendalikannya...tq

Jawapan;

Mushaf al-Quran (dan begitu juga kertas-kertas yang bertulis ayat al-Quran, nama-nama Allah, zikir-zikir, hadis-hadis Nabi dan seumpamanya) wajib dijaga kemuliaan dan kehormatannya. Hendaklah disimpan ditempat yang baik dan bersih. Jika dijumpai terjatuh di atas lantai atau berada di tempat yang tidak sepatutnya, wajiblah dipungut. Jika sudah tidak dapat digunakan lagi, hendaklah dilupuskan sama ada dengan menanamnya di tempat yang bersih dan jauh dari laluan manusia (untuk mengelak dari ia dipijak atau dilangkahi) atau boleh juga dibakar dan kemudian abunya ditanam di tempat yang bersih. Ini sebagai mengambil contoh dari tindakan yang dilakukan oleh para sahabat.

Dalam kitab Soheh al-Bukhari, terdapat hadis dari Anas bin Malik –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Saidina Usman bin ‘Affan –radhiyallahi ‘anhu- telah mengarahkan beberapa orang sahabat supaya menyalin beberapa mushaf al-Quran, kemudian ia menghantar ke setiap pelusuk (negara umat Islam) satu salinan. Dan ia memerintahkan semua lembaran dan mushaf yang lain hendaklah dibakar”. (Juz. 15, bab jam’ie al-Quran, hadis no. 4604).

Berkata Ibnu Battal; hadis ini menunjukkan bahawa diharuskan membakar kitab-kitab/buku-buku yang terdapat di dalamnya nama-nama Allah (yang tidak digunakan lagi). Tindakan itu sebagai memuliakannya dan menjaganya dari dipijak oleh kaki-kaki manusia. Ada diceritakan bahawa Tawus membakar kertas-kertasnya yang terdapat tulisan Bismillah, begitu juga yang dilakukan oleh Urwah. (Fathul-Bari, juz 14, bab Jam’ie al-Quran. Lihat juga; Tuhfah al-Ahwazi, juz. 7, bab wa min surati at-taubah).

Diharamkan sama sekali mushaf al-Quran yang lama itu dibuang ke tempat sampah atau dibiarkan tanpa terurus di tempat yang tidak sepatutnya. Begitu juga, tidak harus kertas al-Quran lama di kitar semula untuk kegunaan lain dari al-Quran (seperti menjadi kertas biasa, tisu atau sebagainya) kerana itu juga satu jenis penghinaan kepada al-Quran. Ini sebagaiman fatwa yang yang pernah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Arab Saudi (Fatawa al-Lujnah ad-Daimah, al-Majmu’at al-Ula, 4/80. Lihat; al-Maktabah asy-Syamilah) dan beberapa fatwa yang lain. Jadi, jalan yang ada ialah sama ada menanamnya atau membakarnya atau terus menyimpannya dengan baik.

Rujukan;

1. Fathul-Bari, juz 14, bab Jam’ie al-Quran.
2. Tuhfah al-Ahwazi, juz. 7, bab wa min surati at-taubah.
3. Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid (http://www.islamqa.com), no. 126206.
4. Fatawa al-Lujnah ad-Daimah, al-Majmu’at al-Ula, 4/80, al-Maktabah asy-Syamilah.

MEMBUAT BINAAN DI ATAS KUBUR DAN TULISAN DI KUBUR

Soalan; Assalamualaikum ustaz, saya ingin bertanyakan perkara2 berikut yang berkaitan dgn kubur dan kematian;
1- hukum membina petak kubur dengan menggunakan simen
2- hukum menulis nama si mati, tarikh kematiannya pada petak simen tersebut
3- hukum menulis al-fatihah di atasnya dan doa semoga allah mengampunkan dosa si mati
Sekian, terima kasih.

Jawapan;

1) Terdapat khilaf di kalangan ulamak tentang hukum membuat binaan di atas kubur di antara haram dan makruh;

a) Pandangan pertama; ia haram secara mutlaknya. Antara ulamak yang berpandangan sebegini ialah Imam al-Hafidz al-‘Iraqi, asy-Syaukani dan as-Shon’ani. Mereka berpegang dengan makna zahir dari arahan Nabi supaya meratakan kubur dan larangan baginda dari membuat binaan di atas kubur.

Diriwayatkan dari Abi Sa’id al-Khudri –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan;

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى أَنْ يُبْنَى عَلَى الْقَبْرِ
“Sesungguhnya Nabi–sallallahu ‘alaihi wasallam- menegah dari membuat binaan di atas kubur” (Riwayat Imam Ibnu Majah dengan sanad yang soheh).

عن جابر رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قال: نهى رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم أن يجصص القبر وأن يقعد عليه وأن يبنى عليه. رَوَاهُ مُسْلِمٌ.
“Rasulullah menegah dari melapisi kubur dengan kapur putih, dari duduk di atasnya dan dari membuat binaan di atasnya” (Riwayat Imam Muslim dari Jabir –radhiyallahu ‘anhu-).

Dalam kitab Soheh Muslim, Sunan at-Tirmizi, Abu Daud dan sebagainya; terdapat hadis dari Saidina ‘Ali –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan bahawa beliau telah disuruh oleh Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- agar memusnahkan semua patung-patung dan meratakan semua kubur-kubur yang ditinggikan. (Soheh Muslim, Kitab al-Janaiz, bab al-Amr bitaswiyati al-Qabr (hadis no. 969)).

b) Pandangan jumhur ulamak (termasuk mazhab-mazhab empat); membuat binaan di atas kubur adalah makruh. Mereka memahami larangan Nabi dalam hadis di atas sebagai larangan makruh, bukan larangan haram. Kecualilah jika tanah perkuburan tersebut adalah tanah wakaf awam (yakni bukan milik persendirian), maka haramlah membuat binaan di atas kubur kerana akan menghalang orang lain dari menggunakannya di kemudian hari sedangkan tanah perkuburan itu adalah milik bersama. Begitu juga, haram membuat binaan jika dengan tujuan berbangga-bangga dan menghias-hias kubur. Hukum haram ini telah disepakati oleh ulamak. Jadi, hukum makruh yang dimaksudkan oleh jumhur itu ialah apabila binaan dibuat hanya bertujuan memperkemaskan kubur atau memperelokkannya.

Bagi kubur milik persendirian, sebahagian ulamak (iaitulah ulamak-ulamak mazhab Malik) mengharuskan membuat binaan sederhana di keliling kubur (bukan di atasnya) iaitu sekadar untuk membezakan satu kubur dari satu kubur yang lain. Adapun kubur wakaf tidak diharuskan sebarang binaan (sama ada di atasnya atau di sekelilingnya) atas alasan tadi.

Apa yang menjadi Sunnah Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- ialah kubur tidak ditinggikan melainkan sekadar satu hasta sahaja iaitu untuk dikenali bahawa itu adalah kubur supaya dijaga kehormatannya dari dipijak, dibuang najis atau sebagainya. Dalam kitab Soheh Imam al-Bukhari, terdapat riwayat dari Sufyan at-Tammar yang menceritakan;

أنه رأى قبر النبي صلى الله عليه وسلم مسنما.
“Ia melihat kubur Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- tingginya hanya sekadar tinggi bonggol unta sahaja” (Soheh al-Bukhari, Kitab al-Janaiz, bab Ma Ja-a Fi Qabr an-Nabiy wa Abi Bakr wa ‘Umar).

Ketika Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- mengkebumikan jenazah seorang sahabat bernama Usman bin Madz’un –radhiyallahu ‘anhu-, baginda hanya meletakkan tanda di kuburnya dengan seketul batu sahaja di bahagian kepalanya dan baginda bersabda;

"أتعلم بها قبر أخي، وأدفن إليه من مات من أهلي"
“Supaya aku mengenali dengan tanda batu ini kubur saudaraku dan agar aku dapat mengkebumikan di tepinya sesiapa yang mati dari ahli keluargaku” (Sunan Abi Daud, kitab al-Janaiz, bab Fi Jam’ie al-Mauta Fi al-Qabr wa al-Qabr yu’allam).

Berkata Imam as-Syafi’ie; bagi aku makruh meninggikan kubur melainkan sekadar untuk diketahui bahawa itu adalah kubur yakni supaya ia tidak dilangkahi dan tidak diduduki di atasnya. (Sunan at-Tirmizi, Abwab al-Janaiz ‘an Rasulullah, bab Ma Ja-a Fi Taswiyati al-Qabr).

2) Mengenai tulisan di kubur, pandangan ulamak juga sebagaimana di atas iaitu ada ulamak yang mengharamkannya dan jumhur ulamak memakruhkannya. Terdapat hadis dari Jabir bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- menceritakan;

نهى رَسُول اللَّهِ صَلَى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسلَّمْ أن يكتب على القبر شيء.
“Rasulullah menegah dari menulis sesuatu di atas kubur” (Riwayat Imam Ibnu Majah)

Di dalam hadis yang lain;

نهى رسول الله - صلى الله عليه وسلم - عن تجصيص القبور، والكتابة فيها، والبناء عليها، والجلوس عليها
“Rasulullah menegah dari melapisi kubur dengan kapur putih, membuat tulisan padanya, membuat binaan di atasnya dan duduk di atasnya” (Riwayat al-Hakim darim Jabir).

Menurut jumhur; larangan (yakni makruh) menulis sebarang tulisan atas kubur itu merangkumi semua tulisan termasuklah menulis nama si mati, ukiran-ukiran dan sebagainya. Dalam kitab al-Majmu’, pengarangnya (Imam an-Nawawi) menegaskan; menurut Imam as-Syafi’ie dan ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie; ‘Dimakruhkan melapisi kubur dengan kapur putih, menulis di atas kubur nama penghuni kubur atau tulisan lainnya dan membuat binaan di atas kubur’. Hukum ini tidak ada khilaf di sisi kami (mazhab Syaf’ie). (al-Majmu’, 5/163).

Namun demikian, ulamak-ulamak mazhab al-Hadawiyah mengecualikan larangan tersebut dari nama si mati (yakni menurut mereka; diharuskan menulis nama si mati di atas kubur). Mereka mengkiaskannya dengan tindakan Nabi meletakkan batu tanda di atas kubur sahabat bernama Usman bin Madzun tadi untuk mengenali kuburnya. Pandangan ini ditarjih oleh Dr. Sa’aduddin Hilali (Pensyarah di Universiti al-Azhar) dalam bukunya “Ahkam Dafn al-Mauta wa Ahkam Quburihim” di mana beliau menegaskan; “Pandangan yang terpilih ialah pandangan jumhur ulamak –iaitu makruh membuat tulisan di kubur- kerana kekuatan hujah mereka dan dikecuali dari hukum makruh itu tulisan nama khususnya bagi kubur-kubur milik persendirian supaya tidak ada sesiapa mencerobohnya” (halaman 216).

Adapun menulis ayat-ayat al-Quran di kubur, ulamak-ulamak mazhab Malik menegaskan; selayaknya perbuatan tersebut diharamkan kerana ia membawa kepada merendah-rendahkan al-Quran lama kelamaan dan terjatuh ayat-ayat al-Quran ke tempat berpijak kaki manusia.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Ahkam Dafn al-Mauta wa Ahkam Quburihim, Dr. Saaduddin Mus’ad Hilali (hlm. 215-233).
2. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, Kitab al-Janaiz, bab an-Nahyi ‘an Tajsis al-Qabr, wa al-Bina’ ‘Alaihi wa al-Julus ‘alaihi.
3. Ahkam al-Mayyit wa ‘Adaat al-Maatim, as-Sadiq bin ‘Abd Rahman al-Gharyani, hlm. 44.
4. Nailul-Autar, juz. 4, Tabi’ Kitab as-Solah, bab Taslim al-Qabr wa rasysyihi bil-Ma-a wa ta’limuhu li yu’rafa…

Monday, 12 July 2010

MENELAN SISA MAKANAN; ADAKAH MEMBATALKAN PUASA?

Soalan; Assalamualaikum. Saya ingin bertanya : Adakah batal puasa seseorang sekiranya tertelan sisa makanan atau sesuatu yang dah ada dalam mulut? Sekian.TQ

Jawapan;

Wajib sisa-sisa makanan itu diluahkan. Jika ditelan dengan sengaja, akan batal puasa. Jika tertelan tanpa sengaja, tidaklah batal puasa. Begitu juga, jika sisa itu amat sedikit di mana ia telah bercampur dengan air liur dan sukar untuk dipisahkan dari air liur, jika tertelan bersama air liur dimaafkan (yakni tidak batal puasa) sebagaimana menelan air liur itu sendiri tidak membatalkan puasa.

Itu adalah pandangan jumhur ulamak (termasuk mazhab Imam as-Syafi’ie). Adapun menurut Mazhab Hanafi; batal puasa jika sisa itu besarnya melebihi sebiji kacang putih. Jika kurang darinya, menelannya tidaklah membatalkan puasa sekalipun dengan sengaja, namun makruh hukumnya.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Rahmatul-Ummah, Syeikh Abi ‘Abdillah as-Syafi’ie, hlm. 92,
2. Fiqh al-Ibadat, Syeikh Hasan Ayyub, hlm. 436.