Khamis, 8 Julai 2010

AQAD DUA KALI DAN NIKAH DI LUAR NEGARA

Soalan; assalamualaikum...sy ada 1 pertanyaan mengenai akad nikah. adakah akad nikah boleh dilakukan dua kali dengan pasangan yang sama. contohnya begini; jika saya dan pasangan telah bernikah di luar negara dan perkara ini tidak diketahui oleh keluarga kami akan pernikahan kami dan masih anggap yang kami masih lagi single. jd, kami telah bernikah sekali lagi di tanah air agar rahsia kami tidak diketahui oleh keluarga kami. adakah kami boleh melakukan akad nikah dua kali. sy amat berharap agar pertanyaan ini dpt dijawab. sekian terima kasih.

Jawapan;

1. Menurut fatwa ulamak; tidak ada tegahan untuk mengulangi aqad yang telah sah sama ada untuk tujuan pengisytiharan, memenuhi prosedur rasmi atau sebagainya. Para fuqahak dalam kitab-kitab Fiqh, dalam bab mahar; mereka membahaskan mahar yang mana yang akan dipakai jika ada dua mahar berbeza yang disebut; satu dalam aqad yang dibuat secara tertutup dan satu dalam dalam aqad secara terbuka. Sebagai contohnya, pandangan dalam mazhab Syafi’ie; jika kali pertama ‘aqad dijalankan secara tertutup dengan menyebut mahar RM1000 dan kemudian diulangi aqad secara terbuka (untuk pengisytiharan) dengan menyebut mahar RM2000, mahar yang dipakai ialah yang disebut dalam aqad pertama iaitu RM1000”. (al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah, 4/161). Para fuqahak dalam perbahasan tersebut tidak mempersoalkan tentang pengulangan aqad, tetapi mempersoalkan tentang mahar mana yang hendak dipakai. Seolah-olah mereka mensepakati bahawa pengulangan aqad tidak dilarang atau ditegah oleh Syarak.

2. Mengenai pernikahan di luar Negara, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan; “Hukum nikah di luar negara adalah sah dengan syarat:
a) Pernikahan itu mengikut rukun nikah
b) Pernikahan itu melebihi dua marhalah
c) Tiada keputusan mahkamah yang menghalang perempuan itu berkahwin atas alasan syarak ditempat dia bermastautin.
d) Pernikahan itu dilakukan oleh wali hakim yang diiktiraf oleh wilayah negara berkenaan dan diakad nikahkan di wilayah berkenaan di mana ia ditauliahkan sebagai wali hakim”.
(http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/kahwin-lari-di-selatan-thailand-0)

3. Walaupun sah dengan berwalikan hakim, namun sebaik-baiknya pasangan yang ingin berkahwin janganlah mengenepikan keluarga kedua-dua belah pihak tertutamanya ibu-bapa kerana akan mengundang banyak masalah di belakang hari. Perkara-perkara penting dalam hidup memerlukan restu dua ibu apatah lagi ikatan perkahwinan yang natijahnya akan menghasilkan zuriat yang merupakan kesinambungan keluarga kedua-dua belah pihak. Maka tidak wajarlah ibu-bapa diketepikan. Di dalam hadis, Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda;

رضا الرب في رضا الوالدين و سخطه في سخطهما
“Redha Tuhan (Allah) berada pada redha dua ibu-bapa dan kemarahan Tuhan berada pada kemarahan mereka berdua” (HR Imam at-Thabrani dari Abdullah bin ‘Amru –radhiyallahu ‘anhu-).

Pada hari ini, kemudahan perhubungan (telefon, internet dan sebagainya) memungkinkan anak-anak untuk menghubungi ibu-bapa walau jauh mana sekalipun mereka berada. Oleh itu, berada berjauhan tidak lagi boleh menjadi alasan untuk anak-anak tidak memohon keizinan dan restu dua ibu-bapa untuk berkahwin. Jika bapa si wanita tidak dapat hadir untuk mengaqadkan perkahwinan anaknya, ia boleh mewakilkan kepada seseorang di luar Negara (wakil kedutaan atau sebagainya). Walaupun tanpa kehadirannya, akad berlaku dengan restu dan persetujuannya dan tidak akan menimbulkan sebarang masalah keluarga di belakang hari.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Fatawa as-Syabakah al-Islamiyyah (http://www.islamweb.net), no. 58340, 79768, 54620.
2. E-FATWA, JAKIM (http://www.e-fatwa.gov.my/ ).
3. Fatawa Wa Istisyaraat al-Islam al-Yaum (http://www.islamtoday.net), no. 11/250
4. Al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah, Abdurrahman al-Jazairi, kitab an-Nikah, 4/161.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam,Ustaz.
Saya ada pertanyaan,saya dah bakal suami saya bercadang untuk bernikah berwalikan hakim kerana hubungan kami tidak diketahui oleh keluarga.Saya pula tidak tahu di mana wali saya kerana kali terakhir saya dapat tahu dia di buang daerah kerana kesalahan jenayah yang pelbagai.Tapi bolehkah andai saya menggunakan wali hakim sehingga saya menemui wali saya dan apabila saya menemui wali saya nnti saya ingin akad nikah sekali lagi bersama keluarga saya..apakah sah akad nikah dua kali di dalam negara yang sama dan pasangan yang sama..??

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum...sy nak bertanya pendapat mengenai beberapa hal.
1 pasangan ingin mendirikan rumah tangga.si lelaki sudah bekerja.manakala si perempuan masih lagi belajar.keluarga perempuan bukanlah dr golongan yang berada begitu juga dengan si lelaki.mereka bercadang utk berkahwin di siam tanpa pengetahuan kedua ibu bapa mereka.untuk mengelakkan daripada berlakunya maksiat kerana mereka jarang berjumpa kerana si perempuan belajar di luar negara.setiap kali si perempuan pulang ke malaysia mereka akan berjumpa.dan dikhuatiri mereka akan melakukan maksiat.jd mereka mengambil keputusan utk menikah di siam kerana kekurangan sumber kewangan dan bg mereka bernikah di siam menjimatkan kos.dan bernikah skali lg setelah si perempuan habis belajar.
apakah pendapat pihak tuan dalam hal ini dan apakah hukum-hukum yang terlibat?

keliru? berkata...

salam maaf la..kalau kata sya ni mcm org tak berilmu..cma bla bca artikal ni..sya jd pelik..mcm kahwin ni boleh di permainkan..seoalh2 kesanye ramai yg blh suka hti nak kawin 2 kali..adakah perbuatan ni tak permainkan hukum allah? dah pernikahan pertama sah npe perlu di akad lg? minta mf sy mmg betul musykil....harap perlu di perjelas degan perkataan yang jelas..mohon maaf..

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...