Isnin, 12 Julai 2010

PUASA PADA HARI SABTU

Soalan; assalam mualaikum, ana ingin bertanya, pada 27 rejab (sabtu) ana telah berpuasa sunat. Adakah memadai ana berpuasa hari sabtu tersebut saja atau ana kena buat / sambung pada hari ahad pula. Syukran.

Jawapan;

Terdapat larangan dari Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- dalam hadisnya;

لا تصُومُوا يومَ السَّبتِ إِلاَّ فِيمَا افتُرِضَ عَلَيكُمْ
“Janganlah kamu berpuasa pada hari Sabtu kecuali yang difardhukan ke atas kamu”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Abdullah bin Busr dari saudara perempuannya. Berkata Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan)

Maksud larangan dalam hadis di atas ialah mengkhususkan hari sabtu untuk berpuasa. Menurut ulamak; larangan dalam hadis di atas ialah larangan makruh, bukan larangan haram. Hikmah larangan tersebut ialah kerana hari Sabtu merupakan hari kebesaran orang Yahudi. Dengan alasan ini, dimakruhkan juga mengkhususkan puasa pada hari Ahad kerana ia merupakan hari kebesaran orang Nasara (Kristian).

Larangan tersebut ternafi apabila kita menggabung puasa hari sabtu itu dengan sehari sebelumnya atau selepasnya iaitu berpuasa pada hari Jumaat dan Sabtu atau pada hari Sabtu dan Ahad. Ini kerana tidak ada penganut agama yang mengagungkan hari-hari tersebut serentak, maka tidak ada penyerupaan di situ. Malah terdapat riwayat dari isteri Nabi Ummu Salamah –radhiyallahu ‘anha- yang menceritakan;

كَانَ أَكْثَرَ صَوْمِهِ السَّبْتُ وَالأَحَدُ، وَيَقُوْلُ: هُمَا يَوْمَا عَيْْدِ الْمُشْرِكِيْنَ، فَأُحِبُّ أَنْ أُخَاْلِفَهُمْ
“Kebanyakan puasa Rasulullah ialah pada hari Sabtu dan Ahad. Baginda berkata; ‘Dua hari itu adalah hari perayaan orang-orang Musyrikin, maka aku ingin menyalahi (yakni berbeza dengan) mereka’”. (Riwayat Imam Ahmad, Thabrani dan al-Hakim)

Begitu juga, larangan tersebut ternafi jika seseorang berpuasa pada hari sabtu kerana berbetulan dengan kebiasaannya (bukan dengan niat mengkhususkannya) seperti ia biasa berpuasa dengan puasa Nabi Daud –alaihi salam- (iaitu sehari berpuasa dan sehari berbuka) lalu puasanya jatuh pada hari sabtu secara kebetulan.

Sebagaimana yang terkandung dalam hadis, larangan berpuasa pada hari sabtu secara khusus itu dikecualikan jika puasa yang hendak dilakukan itu adalah puasa fardhu (wajib) sama ada puasa Qadha Ramadhan, puasa nazar atau puasa kaffarah. Para ulamak mengecualikan juga dari larangan tersebut jika hari sabtu itu menepati kedatangan hari-hari yang amat digalakkan berpuasa (yakni sunnat muakkad) seperti hari ‘Arafah, ‘Asyura’ dan hari-hari awal Dzul-Hijjah. Maka jika hari ‘Arafah atau sebagainya itu jatuh pada hari sabtu, tidaklah dimakruhkan kita berpuasa kerana niat kita bukan hendak mengkhususkan hari sabtu itu dengan puasa tetapi kerana ingin merebut pahala berpuasa pada hari ‘Arafah yang kebetulan jatuh pada hari Sabtu. (Dapatkan ebook tentang puasa-puasa sunat di; http://ebook-ilmudanulamak.blogspot.com/).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Risalah “PUASA-PUASA SUNAT & HARI-HARI DILARANG BERPUASA”, Ustaz Ahmad Adnan bin Fadzil (Dapat ebook di; http://ebook-ilmudanulamak.blogspot.com/)
2. Tuhfah al-Ahwazi Tuhfah al-Ahwazi, Syarah Jami’ at-Tirmizi, juz 2 (Ma Ja-a Fi Syaum Yaum as-Sabt).

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam....ust apakah hukum bagi puasa seseorang yg telah baligh jika dia tidak melalukan solat??
kerna sya rasa tidak solat bukan perkara yg menyebabkan batalnya puasa ? adakah puasa nya diterima ALLAH Taala ?

Tanpa Nama berkata...

salam....ust apakah hukum bagi puasa seseorang yg telah baligh jika dia tidak melalukan solat??
kerna sya rasa tidak solat bukan perkara yg menyebabkan batalnya puasa ? adakah puasa nya diterima ALLAH Taala ?

Unknown berkata...

Perkara pertama yang akan dihisab adalah solat...

Unknown berkata...

Saya bukan ustaz tapi ada hadis menyatakan bahawa perkara pertama yang akan dihisab adalah solat.

Berfikirlah dari situ sama ada puasa itu diterima atau tidak.

Unknown berkata...

Perkara pertama yang akan dihisab adalah solat...

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...