Tuesday, July 20, 2010

WARIS ENGGAN MEMBAYAR HUTANG SI MATI & MENOLAK HUTANG DARI ZAKAT

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya mohon supaya dapat ustaz memberikan penjelasan kepada kemusykilan berikut; Kawan saya mempunyai hutang dengan saya. Beliau memang berikrar untuk membayarnya dan saya memang percaya dengan ikrarnya itu. Ditakdirkan, selang tidak lama kemudian beliau telah meninggal dunia. Harta peninggalannya memang agak banyak. Para warisnya (anak dan isteri) memang tahu tentang hutang tersebut. Bagaimanapun mereka tidak menjelaskan hutang tersebut. Setelah 4 tahun berlalu, saya kini yakin bahawa para warisnya tidak akan membayarnya.Saya terfikir, bolehkah jika saya menggunakan wang zakat yang saya keluarkan setiap tahun untuk melangsaikan hutang tersebut, sedangkan saya yang keluarkan zakat dan saya juga yang menerimanya sebagai orang yang memberi hutang. Saya sebenarnya sedang cuba untuk membebaskan si mati dari beban hutang. Memang lah lebih baik dan mudah jika saya terus menghalalkannya. Bagaimanapun sehingga kini hati saya belum terbuka untuk berbuat demikian. Saya mohon pandangan ustazTerima Kasih. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Jawapan;

1) Harta peninggalan si mati wajib ditolak hutangnya terlebih dahulu (dan juga wasiatnya) sebelum diagihkan kepada ahli-ahli warisnya. Ini adalah perintah Allah di dalam al-Quran;

“Dan bagi kamu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak. Tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh satu perempat dari harta yang mereka tinggalkan. Sesudah ditunaikan wasiat yang mereka (yakni si mati) wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya”. (Surah an-Nisa’, awal ayat 12).

Di dalam ayat di atas Allah menyebutkan tentang hak/bahagian suami dari harta isterinya yang meninggal iaitu ½ atau ¼. Setelah menyebutkan hak/bahagian tersebut, Allah menegaskan “sesudah ditunaikan wasiat dan hutangnya”. Penegasan yang sama diulang oleh Allah sekali lagi di tengah dan di hujung ayat setelah menyebutkan hak/bahagian isteri (dari harta suaminya yang meninggal) dan bahagian saudara-saudara seibu. Dalam ayat sebelumnya (yakni ayat 11), juga terdapat penegasan tersebut iaitu sesepas Allah menyebutkan hak/bahagian untuk anak, bapa dan ibu.

Kewajipan melaksanakan ketetapan Syarak tersebut terletak atas bahu pemegang amanah bagi harta si mati atau waris-waris si mati. Jika mereka tidak melaksanakan kewajipan ini sedang mereka mengetahui bahawa si mati memang ada berhutang semasa hayatnya, mereka berdosa kerana merampas hak orang lain. Adapun si mati, ia tidak menanggung dosa lagi kerana ia mati dengan meninggalkan harta dan menjadi tanggungjawab ahli keluarganyalah untuk membayar hutangnya (dengan di ambil dari harta peninggalannya). Kecualilah jika si mati semasa hayatnya ada mempunyai niat untuk mengelak dari membayar hutangnya dan tidak memaklumkan kepada sesiapapun (dari kalangan warisnya) tentang hutangnya itu. Pemberi hutang pula, ia berhak menuntut hutangnya dari ahli-ahli waris si mati sebaik sahaja ia meninggal. Jika mereka engkar, ia berhak mengadu kepada orang lain yang dapat membantunya menuntut kembali hutangnya.

2) Adapun hasrat tuan untuk menolak hutangnya dari zakat tuan, perbuatan tersebut tidak harus mengikut pandangan yang rajih dari ulamak[1] dan tidak menggugurkan kewajipan zakat dari tuan (yakni tuan wajib mengeluarkannya semula). Zakat ialah dengan memberi harta (yang wajib dikeluarkan) kepada asnaf yang berhak menerimanya. Tatkala Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- hendak menghantar Mu’az bin Jabal –radhiyallahu ‘anhu- ke Yaman, antara arahan baginda kepada beliau ialah; “Ajarlah kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan ke atas mereka sedekah (zakat) yang dipungut dari orang-orang kaya dari kalangan mereka dan diberikan kepada orang-orang miskin di antara mereka” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Dari hadis ini kita dapat faham bahawa zakat adalah harta yang dipungut dan kemudian diberikan. Menolak hutang tidak dapat dikatakan sebagai "memberi" kerana sifatnya adalah "menggugurkan" atau "membebaskan", kerana itu tidak harus untuk menggantikan pembayaran zakat. Selain itu, perbuatan tersebut dilihat menjaga kepentingan pembayar zakat, seolah-olah harta zakat itu kembali semula kepadanya (yakni tidak keluar dari pemilikannya).

Dikecualikan jika tuan memberi zakat kepada seorang miskin yang berhutang dengan tuan, kemudian ia menggunakan wang zakat itu untuk membayar hutangnya kepada tuan dengan pilihan sendiri (yakni tanpa tuan mensyaratkan kepadanya ketika memberi zakat tadi), hukumnya adalah harus dan ia tidak menjejaskan zakat tuan kerana tuan telah mengeluarkanya dan menjadi hak penerima zakat untuk membelanjakannya mengikut cara yang dikehendakinya termasuk membayar hutangnya.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, kitab az-Zakah, bab bab Qism as-Sadaqat (6/210).
2. Fiqh al-‘Ibadat, Syeikh Hasan Ayyub, hlm. 394.
3. Fatawa wa Tahqiqaat, Syeikh as-Sadiq bin Abd-Rahman al-Gharyani, hlm. 84.
4. Fatwa dalam laman as-Sual wa al-Jawab (http://www.islamqa.com), no. 13901.

[1] Iaitu pandangan yang menjadi pegangan mazhab Hanafi, Syafi’ie dan Hanbali (al-Majmu’, Imam an-Nawawi, bab Qism as-Sadaqat (6/210))
Post a Comment