Sunday, February 20, 2011

KELUAR DARAH KETIKA MENGANDUNG

Soalan; saya mengandung tetapi sejak akhir2 ini saya keluar darah . adakah sah saya menunaikan solat?

Jawapan;

Permasalahan di atas berkait dengan masalah; apakah wanita yang mengandung ada kemungkinan didatangi haid atau tidak? Berlaku khilaf di kalangan ulamak;

1. Jumhur (kebanyakan) ulamak berpandangan; perempuan mengandung tidak boleh didatangi haid. Maka jika seorang wanita melihat darah keluar melalui farajnya semasa ia sedang mengandung, darah itu bukan darah haid, tetapi darah istihadhah. Oleh itu, ia hendaklah mengerjakan solat sebagaimana biasa.

2. Namun menurut mazhab Syafi’ie (dan juga Maliki); perempuan mengandungi boleh didatangi haid dengan syarat darah yang datang itu menepati hari-hari kebiasaan haidnya dan terdapat tanda darah haid padanya. Jika datangnya bukan pada hari-hari kebiasaan haid dan tidak nampak tanda-tanda darah haid padanya, maka ia bukan haid, akan tetapi darah istihadhah (atau fasad). Berdasarkan pandangan kedua ini, jika seorang wanita yang sedang mengandung melihat darah keluar dari farajnya dan darah itu ada tanda-tanda haid (seperti warnanya hitam atau merah kehitaman sebagaiman warna darah haid dan tempoh keluarnya tidak kurang 24 jam) dan hari keluarnya menepati hari-hari kebiasaan haid (sebelum ia hamil), wajiblah ia berhenti dari mengerjakan solat kerana darah yang keluar itu dikira darah haid.

Pandangan yang menepati ilmu kedoktoran hari ini ialah pandangan yang pertama. Kerana itu ia ditarjih oleh ramai ulamak-ulamak semasa hari ini antaranya Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Fiqh at-Toharah. Berdasarkan tarjih ini, darah yang keluar dari puan bukanlah darah haid dan puan hendaklah menunaika solat sebagaimana biasa. Mengenai cara bersuci, hendaklah dilihat;

1. Jika darah itu keluar tidak berterusan (yakni pada ketika-ketika tertentu sahaja), puan hendaklah menunggu ketika darah berhenti, kemudian bersuci dengan membersihkan faraj terlebih dahulu, kemudian mengambil wudhuk dan menunaikan solat.

2. Jika darah keluar berterusan, puan hendaklah melaksanakan kaedah bersuci sebagaimana berikut;
a) Hendaklah puan menunggu waktu solat masuk terlebih dahulu.
b) Mulai dengan membasuh faraj dengan sempurna
c) Setelah itu hendaklah puan membalut faraj dengan kain, tuala wanita atau sebagainya (untuk membendung darah dari mengalir keluar ketika solat).
d) Kemudian hendaklah puan segera mengambil wudhuk.
e) Ketika mengambil wudhuk hendaklah puan berniat bersuci untuk membolehkan solat, bacaan al-Quran atau ibadah-ibadah lain yang disyaratkan wudhuk. Contohnya; meniatkan di dalam hati; “Sahaja aku mengambil wudhuk untuk solat kerana Allah Taala”. Tidak harus semasa mengambil wudhuk puan berniat untuk mengangkat hadas kerana hadas puan tidak akan terangkat selama darah terus mengalir keluar dari faraj kerana perkara tersebut membatalkan wudhuk.
f) Setelah selesai wudhuk hendaklah puan segera menunaikan solat, tanpa menangguh lagi.
g) Jika semasa solat itu darah masih keluar, tidak perlulah puan berhenti dari solat, sebaliknya teruskan solat kerana ia dimaafkan disebabkan keuzuran yang puan alami.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 2/347 dan 2/385.
2. Fiqh at-Toharah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi.
3. Tamam al-Minnah, Syeikh ‘Adil bin Yusuf al-‘Azzazi, 1/133.

No comments: