Friday, February 11, 2011

MAKSUD DAKWAAN ATAS NAMA AGAMA

Soalan; Boleh tak ustaz beri contoh dakwaan yang dibuat atas nama agama? Saya kurang jelas..
(*Pertanyaan merujuk kepada jawapan; “LARANGAN HARI SELASA”)

Jawapan;

1. Kayu kokka; dakwaan bahawa ia adalah kayu tongkat Nabi Musa, Kapal Nabi Nuh dan sebagainya yang ada kaitan dengan agama, dakwaan tersebut wajib disandarkan kepada nas-nas agama (al-Quran atau as-Sunnah). Jika tidak, orang yang mendakwanya adalah berdusta. Adapun khasiat atau kelebihannyanya, jika didakwa berdasarkan pengalaman atau bukti saintifik, terserah kepada kita untuk mempercayainya atau tidak bergantung kepada sejauhmana keyakinan kita kepada pengalaman dan kepakaran orang yang mendakwa khasiat dan kelebihan tersebut. Adapun jika khasiat atau kelebihannya didakwa atas dasar agama (seperti ia boleh mengusir jin, menjadi pendinding diri dan sebagainya), wajiblah orang yang mendakwa mendatangkan nas-nas yang soheh dari al-Quran atau as-Sunnah untuk membenarkan dakwaannya.

2. Herba-herba dan makanan tertentu; jika khasiatnya didakwa berdasarkan pengalaman atau kajian, terserah kepada kita untuk mempercayainya atau tidak, bergantung kepada keyakinan kita kepada orang yang mendakwanya. Namun jika didakwa atas dasar agama, wajiblah orang yang mendakwanya mendatangkan nas-nas al-Quran atau as-Sunnah. Contohnya; habbatus-sauda’, madu lebah, kam-ah dan kurma ‘ajwah (*sekadar menyebut beberapa contoh). Herba-herba atau makanan ini harus kita dakwa khasiatnya atas nama agama kerana sememangnya terdapat nas-nas dari al-Quran dan as-Sunnah yang menyebutnya. Oleh kerana herba-herba dan makanan ini telah masyhur diketahui kewujudannya dalam al-Quran dan as-Sunnah, tidak perlulah lagi kita meminta nas dari orang yang mendakwa khasiatnya (yang disebut dalam nas). Namun herba-herba lain yang jarang kita dengar, hendaklah kita meminta dibawakan nas jika ada orang mendakwa khasiatnya atas nama agama.

Selalu juga kita mendengar larangan mencampur susu dan ikan. Larangan ini jika dibuat atas dasar pengalaman atau kajian saintifik, terserah kepada kita untuk menerimanya atau tidak mengikut pertimbangan akal kita. Namun jika didakwa larangan itu adalah larangan agama, wajiblah orang yang mendakwa membawa nas dari al-Quran atau as-Sunnah.

4. Tanda-tanda sebelum kematian; 100 hari sebelum mati, 40 hari sebelum mati dan sebagainya; jika dakwaan tentang tanda-tanda itu berdasarkan pengalaman atau penilitian, terserah kepada kita untuk mempercayainya atau tidak bergantung kepada keyakinan kita kepada orang yang mendakwa itu. Namun jika dakwaan itu dibuat atas nama agama, tidak harus kita mempercayainya melainkan orang yang mendakwanya membawa hujah-hujah al-Quran atau as-Sunnah/al-Hadis. (Sila baca lebih lanjut; TANDA-TANDA KEMATIAN)

Sumber ilmu yang diakui di dalam Islam ada empat;
1. Melalui pancaindera
2. Melalui aqal
3. Melalui Wahyu; iaitu al-Quran dan as-Sunnah
4. Melalui pancaran rohani
Bagi ilmu tentang agama (ad-Din), sumber yang muktamad ialah wahyu (al-Quran dan as-Sunnah). Sumber-sumber lain (iaitu pancaindera, aqal dan pancaran rohani) dilihat dari sudut agama fungsinya hanyalah sebagai alat untuk memahami agama, menganalisis nas-nasnya, mengistinbat hukum-hakam darinya, mengkaji hikmah-hikmahnya dan mengatur perlaksaan dan penerapannya. Sumber-sumber lain itu tidak harus untuk menambah agama kerana agama telah lengkap dan sempurna. Nabi dalam sabdanya telah memperingatkan; “Sesiapa mereka-reka dalam urusan kami ini (yakni urusan agama) apa-apa yang bukan darinya, maka ia adalah tertolak" (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Saidatina ‘Aisyah).

Umat Islam ialah umat yang diajar oleh Allah dan Rasulnya untuk sentiasa mementingkan dalil dan hujjah. Ketika berdepan dengan orang-orang kafir, Allah berkata kepada Nabi Muhammad (bermaksud); “Katakanlah (wahai Muhammad) (kepada orang-orang Yahudi dan Nasrani): ‘Bawalah hujah-hujah yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar’” (Surah al-Baqarah, ayat 111. Ayat seumpamanya diulang oleh Allah beberapa kali dalam al-Quran; surah al-Anbiya’ 9ayat 24), surah an-Naml (ayat 64), surah al-Qasas (ayat 75)).

Dalam surah al-Isra’, Allah berfirman (bermaksud); “Dan janganlah engkau berkata (atau mengikut) apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya” (ayat 36). Imam Qatadah ketika mengulas ayat ini beliau menegaskan; “Jangan kamu berkata; ‘Aku telah melihat’, padahal kamu tidakpun melihatnya. Atau kamu berkata; ‘Aku telah mendengarnya’, padahal kamu tidakpun mendengarnya. Atau kamu mendakwa; ‘Aku mengetahuinya’, padahal kamu tidakpun mengetahuinya”. Menurut Imam Ibnu Kathir; Apa yang dapat disimpulkan dari ulasan-ulasan para ahli tafsir berkenaan ayat ini ialah; Tegahan Allah dari berkata tanpa ilmu atau dengan semata-mata sangkaan yang bersifat waham dan khayalan sebagaimana firmanNya dalam ayat yang lain (bermaksud); “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah banyak dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa” (Surah al-Hujuraat, ayat 12) dan sabda RasulNya dalam hadis; “Jauhilah kamu dari sangkaan, kerana sesungguhnya sangkaan ialah sedusta-dusta ungkapan” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah). (Rujuk; Tafsir Ibnu Kathir, surah al-Isra’, ayat 36).

Dalam disiplin ilmu Islam, para ulamak mengajar kita kaedah; “Jika kamu menaqal (yakni memindahkan ucapan orang lain), wajib ke atas kamu membuat kepastian (benar atau tidak ucapan itu darinya). Dan jika kamu mendakwa, wajib ke atas kamu membawa dalil/bukti”.

Dengan mematuhi arahan Allah dan Rasul di atas dan melaksanakan disiplin ilmu yang diberikan ulamak itu, kita dapat menjaga pengamalan agama kita dari diserapi kepalsuan dan dapat menjaga akal dan fikiran kita dari khufarat, tahayul dan segala jenis kepercayaan yang karut-marut.

(Untuk tambahan, sila baca di laman AL-QALAM tulisan bertajuk “PERSOALAN GHAIB; Bagaimana sikap kita?”)

Wallahu a’lam.
Post a Comment