Jumaat, 11 Februari 2011

MENINGGAL TANPA ADA ANAK DAN IBU-BAPA

Soalan; Assalamualaikum, macamana pembahagian mengikut hukum faraid untuk harta kakak saya. Dia belum berkahwin. Ibu bapa dah meninggal. Ada abang tiri lain bapa ada 2 orang. Ada abang kandung 1 orang, adik perempuan 1 orang dan adik lelaki 2 orang.

Jawapan;

Oleh kerana si mati tidak mempunyai anak dan bapa yang masih hidup, hartanya akan diwarisi oleh saudara-saudaranya. Di dalam kes di atas, kadar perwarisan adalah seperti berikut;

a) Saudara-saudara seibu; mendapat 1/3 dari harta peninggalan kerana lebih dari seorang (*jika si mati mempunyai seorang sahaja saudara seibu, ia hanya mendapat 1/6 sahaja). Bahagian itu dibahagi sama rata antara mereka berdua.

b) Saudara-saudara seibu-sebapa; mendapat baki setelah ditolak bahagian saudara-saudara seibu tadi (yakni 2/3). Cara pembahagian ialah; saudara lelaki diberi bahagian sekali ganda dari bahagian saudara perempuan.

Contoh; katakanlah si mati meninggalkan wang RM 30 000. Pembahagiannya adalah seperti berikut;

a) Saudara-saudara seibu; mendapat RM 10 000 (iaitu 1/3 dari wang tadi). Wang RM 10 000 ini dibahagikan sama rata antara mereka berdua, iaitu setiap orang mendapat; RM 5000.

b) Baki wang iaitu RM 20 000 dibahagikan di antara saudara-saudara seibu-sebapa dengan pembahagian; setiap saudara lelaki mendapat sekali ganda bahagian saudara perempuan. Oleh kerana saudara lelaki ada 3 orang dan saudara perempuan ada 1 orang, jumlah tersebut (RM 20 000) dibahagikan 7 (mendapat; RM 2 857). Diberikan kepada saudara perempuan; RM 2 857, dan kepada setiap saudara lelaki; RM 5714.

Wallahu a’lam.

Tiada ulasan:

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...