Tuesday, March 1, 2011

JUAL-BELI MELALUI MESIN

Soalan; Assalamualaikum ustaz, Saya ada satu permasalahan tentang perniagaan,yakni tentang perniagaan menjual air minuman  seperti air tin dan air R.O water yang menggunakan mesin.wang dimasukkan didalam mesin untuk membeli minuman tersebut,tiada penjual dan tiada ijab kabul.Apakah hukumnya ,adakah diharuskan didalam islam.Sebab saya ingin memulakan perniagaan ini jika diharuskan oleh islam.minta ustaz jelaskan.sekian terima kasih.

Jawapan;

Tujuan ijab dan qabul ialah untuk menzahir keredhaan/persetujuan dari kedua belah pihak untuk berjual-beli. Jual-beli tidak sah tanpa keredhaan/persetujuan kedua-belah pihak iaitu penjual dan pembeli. Firman Allah; "Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu secara batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan saling meredhai antara kamu" (Surah an-Nisa', ayat 29).

Oleh kerana keredhaan asalnya berada dalam hati, maka ia perlu dizahirkan. Menurut mazhab Syafiie; menzahirkan keredhaan wajib dengan bahasa atau ucapan iaitulah ijab dari satu pihak (yakni ucapan penawaran) dan qabul dari pihak satu lagi (iaitu ucapan penerimaan). Namun menurut jumhur (majoriti) ulamak; Untuk menzahirkan keredhaan tidaklah terhad kepada ucapan sahaja. Ia juga boleh dengan perlakuan, bahasa badan, isyarat, tulisan dan sebagainya asalkan menunjukkan keredhaan/persetujuan. Kerana itu, mereka mengharuskan jual-beli secara al-muathah (المعاطاة) iaitu saling memberi dan menerima di antara penjual dan pembeli tanpa mengeluarkan sebarang ucapan (yakni pembeli memberi wang dan mengambil barang, sementara penjual pula memberi barang dan mengambil wang, kemudian mereka berdua berlalu pergi tanpa melafazkan ijab atau qabul). Ini kerana dengan adanya saling memberi dan menerima itu sudah cukup untuk membuktikan kedua mereka redha/bersetuju dengan akad jual beli yang berlaku. Pandangan kedua inilah yang rajih. Antara yang mentarjihnya ialah Imam al-Baghawi dan Imam Nawawi (kedua-duanya ulamak besar mazhab Syafiie). 

Berdasarkan pandangan kedua, jual-beli menggunakan mesin sebagaimana yang saudara sebutkan itu hukumnya adalah harus dan sah jika memenuhi syarat-syarat lain yang ditetapkan oleh Syariat ke atas jual beli (selain syarat ijab dan qabul atau saling meredhai tadi), antaranya;
1. Barang/produk yang dijual jelas ada di dalam mesin tersebut dan menepati sebagaimana iklan yang terpampang di mesin.
2. Harga bagi setiap satu produk juga jelas (tiada kesamaran atau kekeliruan).
3. Tidak menafikan hak khiyar untuk pembeli (hak mengembalikan barang) jika barang yang keluar dari mesin itu rosak atau tidak menepati sebagaimana yang diiklankan.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Tamam al-Minnah, Syeikh Adil al-'Azzazi, 3/289-290.
2. Soal-Jawab MLM Syariah, Ahmad Adnan bin Fadzil, hlm. 42.
Post a Comment