Tuesday, March 29, 2011

MENGHIBAH HARTA KEPADA ANAK-ANAK SEBELUM MATI

Soalan; Assalamualaikum wbt. Bapa saya yg masih lagi hidup telah membahagikan hartanya kepada kami adik-beradik seramai 8 orang ( 6 lelaki dan 2 perempuan). Masing2 telah diperuntukkannya dgn hartanya yg berupa tanah dan rumah. Semuanya mendapat bahagian masing2. Soalan saya ialah, adakah pembahagian ini dipanggil hibah atau wasiat dan adakah ianya sah disegi syarak. Jika ianya tidak sah, bagaimanakah caranya yg sah?

Jawapan;

Harus pemilik harta ketika ia sihat dan berakal waras menghibahkan hartanya kepada sesiapa yang ia kehendaki, tanpa berniat menganiayai waris-warisnya. Jika dengan niat tersebut, ia berdosa kerana niat jahat tersebut sekalipun hibah tersebut terlaksana kerana seseorang berhak membelanjakan harta miliknya mengikut keputusannya. Adapun menghibahkan harta kepada anak-anak, wajib berlaku adil kepada semua anak-anak, yakni; tanpa mengecualikan seorangpun dari mereka. Ini sebagaimana terdapat dalam Soheh Imam al-Bukhari riwayat dari an-Nukman bin Basyir yang menceritakan bahawa bapanya memberi kepadanya satu pemberian, lalu ia berjumpa Nabi supaya Nabi menjadi saksi terhadap pemberian tersebut. Maka Nabi bertanya kepadanya; "Adakah semua anak-anak kamu kamu berikan pemberian yang sama?". Jawab bapaku; "Tidak". Lantas Nabi berkata; "Bertakwalah kepada Allah dan berlaku adillah sesama anak-anak kamu". Lalu bapaku pulang dan dan mengambil kembali pemberian tersebut. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Dalam riwayat yang lain, Nabi berkata; "Jangan bersaksikan aku, kerana sesungguhnya aku tidak akan menjadi saksi atas suatu kezaliman".  

Berdasarkan hadis tersebut, adalah dituntut oleh Syariat hibah (pemberian) kepada anak-anak dilakukan sama rata, tanpa pilih kasih termasuk antara lelaki dan perempuan. Sebahagian ulamak berkata; diberikan kepada anak lelaki sekali ganda dari yang diberikan kepada anak perempuan (iaitu sebagaimana dalam faraid). 

Jika seorang bapa melakukan pilih kasih, apakah hibahnya itu sah? Terdapat beza pandangan di kalangan ulamak;
1. Sebahagian ulamak (antaranya as-Sauri, Imam Ahmad dan Daud az-Zahiri) menyatakan; hibah tersebut haram, tidak sah (batal) dan wajib ditarik kembali. Dikecualikan jika ada suatu sebab tertentu seperti ada anak yang kurang upaya, ketika itu harus ia dilebihkan dari anak-anak lain mengikut pandangan Imam Ahmad.  
2. Menurut jumhur ulamak (merangkumi mazhab Imam Abu Hanifah, Malik dan Syafiie); hibah tersebut makruh (tidak haram) dan ianya sah (yakni tidak batal dan tidak wajib ditarik kembali).  Hanya disunatkan sahaja bapa mengambil kembali hibah tersebut dan membahaginya sama rata kepada semua anaknya. Jumhur ulamak memahami tegahan Nabi dalam hadis di atas sebagai tegahan makruh, bukan tegahan haram berbeza dengan golongan pertama tadi.

Adapun perbezaan antara hibah dan wasiat; hibah ialah pemberian yang diberikan ketika masih hidup. Adapun wasiat, ia adalah pemberian yang diikat dengan selepas mati, seperti seorang berkata; "Bila aku mati nanti, tanahku di tempat sekian sekian hendaklah diwakafkan kepada pihak sekian sekian". Hibah harus diberikan kepada anak-anak atau waris-waris lain dengan syarat berlaku adil tadi. Adapun wasiat tidak harus diberikan kepada orang akan mewarisi harta selepas mati termasuk anak-anak. Ini sebagaimana sabda Nabi; "Sesungguhnya Allah telah memberikan kepada setiap yang berhak akan haknya. Oleh demikian, tidak ada wasiat untuk orang yang bakal mewarisi" (HR Imam Abu Daud dan at-Tirmizi dari Abi Umamah. Menurut at-Tirmizi; hadis ini hasan).     

Wallahu a'lam.        

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, Kitab al-Hibaat, bab Karahati Tafdhil Baina al-Aulad Fi al-Hibah.
2. Fathul-Bari, Imam Ibnu Hajar, Kitab al-Hibah..., bab al-Hibah Lil-Walad.  
Post a Comment