Saturday, 30 April 2011

MAKSUD MUBAHALAH & PERLUKAH MUBAHALAH?

Soalan; Assalamu alaikum, ustaz. Boleh ustaz terangkan tentang Mubahalah. Pada pandangan ustaz, perlukah DS Anwar melakukannya? Terima kasih atas penjelasan ustaz.

Jawapan;

Huraian tentang maksud Mubahalah telah saya buat dalam jawapan sebelum ini. Sila baca "MUBAHALAH" dalam blog ini. 

Mengenai perlu atau tidak DS Anwar melakukan Mubahalah, maka sebagaimana yang dijelaskan dalam jawapan tersebut; Mubahalah datang setelah kedua pihak berhujjah dan masalah yang timbul ialah persoalan besar yang membabitkan agama dan ummah. Jika setelah berhujjah masing-masing bertegas dengan pendirian masing-masing, pihak yang yakin dirinya benar boleh mencabar pihak satu lagi untuk bermubahalah, namun pihak yang diajak bermubahalah tidaklah wajib menyahutnya kerana hukum Mubahalah harus sahaja, tidak wajib. Dalam kes DS Anwar, tidak ada pertikaian dan perdebatan antara kedua belah pihak, akan tetapi tuduhan yang dilemparkan oleh satu pihak kepada pihak lain dan tuduhan itu bukan bersifat anutan atau fikrah (untuk diperdebatkan bagi menentukan siapa benar dan siapa sesat atau siapa betul dan siapa salah), sebaliknya ia bersifat perlakuan (yakni tuduhan melakukan suatu maksiat atau munkar). Pendirian Syariat tentangnya cukup jelas iaitu pihak yang menuduh wajib mendatangkan keterangan/bukti dan yang tertuduh akan diminta bersumpah jika keterangan/bukti yang dikemukakan terhadapnya tidak kuat untuk mensabitkan kesalahannya.[1] Jika ia enggan bersumpah, barulah sumpah dikembalikan kepada orang yang menuduh. Jadi, sumpah orang yang menuduh hanya datang setelah keengganan tertuduh untuk bersumpah. Apa yang berlaku hari ini menyimpang dari Syariat apabila orang yang menuduh bersumpah sebelum lagi keterangan/bukti disahkan dan tertuduh pula belum diminta bersumpah oleh Qadhi atau Hakim.

Tidak harus pendakwaan bagi kes yang begitu besar hukumannya di sisi Islam (yakni kes zina dan liwat) dibuat di khalayak awam atau dalam media massa. Ia mesti di buat di hadapan Qadhi atau Hakim dengan syarat-syarat yang ditetapkan Syariat. Bagi kesalahan zina, diwajibkan si penuduh mengemukakan 4 orang saksi. Memang sukar, tetapi itulah yang ditetapkan Allah di dalam al-Quran. Tidak semestinya apabila kita mengetahui suatu maksiat yang dilakukan oleh seseorang secara pribadi (di tempat tertutup, tanpa membabitkan hak orang lain), kita akan berdosa kerana tidak mendedahkannya. Malah kita mendapat pahala apabila kita menyembunyikan kerana tidak mencukupi syarat yang ditetapkan Syariat untuk didedahkan (yakni pahala mematuhi kehendak Syariat walaupun kehendak hati kita sebaliknnya). Diceritakan; Khalifah Umar bin al-Khattab pernah melihat dengan mata kepalanya sendiri satu pasangan (lelaki dan wanita) melakukan zina, namun hanya dia seorang sahaja melihatnya (tidak ada orang lain). Maka ia menghimpunkan sahabat-sahabat yang ada pada ketika itu dan bertanya; Apa pandangan kamu semua jika Khalifah sendiri melihat satu pasangan melakukan zina? Saidina Ali yang hadir ketika itu lantas berkata; "Hendaklah Khalifah membawa 4 saksi atau Khalifah akan disebat 80 rotan (hukuman Qazaf)". Mendengar ucapan Saidina Ali itu Umar membisu dan tidak mendedahkan orang yang dilihatnya. (Tatbiq al-Hudud Fi at-Tasyri'aat al-Janaiyyah al-Hadithah, Dr Ahmad Fathi al-Bahansi, hlm. 216).

Melihat kecelaruan masyarakat hari ini amat terasa dalam hati kita betapa rendahnya nilai hukum manusia dan betapa tingginya nilai hukum Allah. Dengan hukum manusia, cukup mudah bagi seorang untuk menganiayai seorang yang lain. Namun perkara itu tidak akan berlaku dengan hukum Allah. Semoga apa yang berlaku akan menyedarkan masyarakat untuk segera mengembalikan hukum Allah.

Wallahu a'lam.

Nota hujung

[1] Merujuk kepada sabda Nabi (bermaksud); "Jika dilayan orang ramai dengan semata-mata dakwaan mereka, nescaya akan ada orang yang mendakwa (untuk merampas) harta orang lain dan (untuk menghalalkan) darah orang lain, akan tetapi (kaedah yang perlu dilaksanakan ialah); 'Keterangan/pembuktian dibebankan ke atas orang yang mendakwa dan sumpah ke atas orang yang mengingkarinya (yakni orang yang menolak dakwaan yang dikenakan ke atasnya)" (HR Imam al-Baihaqi dari Ibnu 'Abbas dengan sanad yang hasan. Lihat; Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, 6/136).

Monday, 25 April 2011

KAWASAN MASJID YANG DILARANG UNTUK WANITA HAID

Soalan; Assalamualaikum ust. Minta penjelasan. Apa hukum wanita haid duduk di serambi atau anjung masjid atau di tingkat bawah masjid yang digunakan untuk meletak dan menyimpan barang2 keperluan masjid, bukannya di tempat yang dikhaskan untuk solat? Adakah tempat2 tersebut dikira hukum masjid juga?

Jawapan;

Kawasan yang dilarang untuk diduduki oleh wanita yang sedang haid ialah kawasan disediakan sebagai ruang solat atau diwakafkan sebagai tempat solat (oleh pemberi wakafnya). Adapun tempat-tempat yang bukan disediakan sebagai ruang solat (tetapi disediakan untuk tujuan lain seperti dewan orang ramai, bilik seminar, stor dan sebagainya), tidaklah dilarang wanita haid untuk duduk di situ walaupun kedudukannya bersebelahan dengan ruang solat. 

Kalimah al-Masjid dari segi bahasa bermaksud tempat sujud. Sujud di sini adalah perkataan simbolik kepada solat kerana sujud adalah salah satu rukun utama di dalam solat. Mengikut istilah (yang sedia difahami di sisi ulamak); Masjid bermaksud tempat yang disediakan secara tetap untuk dilaksanakan solat lima waktu di situ. Jika turut dilaksanakan solat Jumaat di situ, maka ia dinamakan al-Masjid al-Jami'. Melihat kepada pengertian ini, kawasan tempat perhimpunan solat hari raya, madrasah-madrasah, tempat-tempat menghafal al-Quran dan seumpamanya tidaklah tertakluk dengan hukum masjid (walaupun sekali sekala ditunaikan solat di situ), kerana tempat-tempat tersebut tidak dibina untuk tujuan solat lima waktu. (al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah).

Berkata Imam al-Nawawi; Jika wanita turut sama hadir di tempat perhimpunan solat atau di masjid (pada hari raya), hendaklah mereka yang dalam haid menjauhi ruang solat dan hendaklah mereka duduk di pintunya sahaja. (al-Majmu', bab Solat al-'Idain). Dari penjelasan Imam Nawawi ini dapat kita fahami bahawa kawasan di luar ruang solat di masjid tidaklah dilarang wanita yang haid untuk duduk di situ sekalipun bersebelahan dengannya.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Al-Majmu', Imam an-Nawawi, 5/5. 
2. Al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (perkataan "Masjid").
3. Majmu' Fatawa Bin Bazz, 10/222.
4. Laman as-Syabakah Al-Islamiyah (no. 2979).

Saturday, 23 April 2011

BILA DIHARUSKAN MEMPERKATAKAN KEBURUKAN ORANG LAIN?

Soalan; Salam ustaz, Saya khilaf tentang satu perkara. Dewasa ini banyak fitnah kerana perbezaan fahaman politik. Ada kawan saya mengatakan ketua A itu peminum arak dan kafir. Bila saya katakan  tidak mahu mendengar kerana takutkan itu fitnah, beliau mengatakan kepada saya, menurut ustaz beliau politik adalah hak bersama. Semua orang perlu tahu tak kisah lah sama ada ianya betul atau tidak. Tapi bukan kah menyebarkan berita yang buruk tentang seseorang apatah lagi diragui kesahihannya adalah mendatangkan fitnah ? Harap ustaz dapat berikan saya penerangan.

Jawapan

1. Hukum asal memperkatakan keburukan orang lain adalah haram. Jika keburukan itu benar-benar dilakukannya lalu kita memperkatakannya -tanpa suatu desakan yang diiktiraf oleh Syariat- kita dianggap mengumpat (ghibah). Jika keburukan itu tidak dilakukannya (yakni kita yang mengada-adakannya), kita telah melakukan dosa fitnah dan juga ghibah (umpatan). Sama ada mengumpat (ghibah) atau fitnah, kedua-duanya adalah dosa besar, apatah lagi jika menggabungkan kedua-duanya. Dalam Soheh Muslim, terdapat hadis dari Abu Hurairah yang menceritakan; Nabi pernah bertanya para sahabatnya; "Tahukah kamu apa itu ghibah (umpatan)?". Mereka menjawab; "Allah dan RasulNya lah yang paling tahu". Nabi menjawab; "Ghibah (umpatan) ialah kamu menyebut tentang saudara kamu sesuatu yang ia tidak suka". Lalu seorang bertanya Nabi; "Apa pandangan kamu ya Rasulullah jika apa yang aku sebutkan tentang saudaraku benar-benar ada pada pada dirinya". Jawab Nabi; "Jika ia benar-benar ada pada dirinya, lalu kamu menyebutnya, maka kamu mengumpatinya. Namun jika ia tidak ada padanya, lalu kamu menyebutnya (dengan mereka-rekanya), maka kamu telah mengadakan suatu pembohongan terhadapnya" (HR Imam Muslim, Kitab al-Birr wa as-Silah, bab Tahrim al-Ghibah). 

2. Bagi masalah ghibah (iaitu menceritakan/mendedah keburukan orang lain atau menyebut orang lain dengan suatu nama yang buruk) dikecualikan bagi enam situasi berikut mengikut yang dijelaskan oleh para ulamak (antara Imam an-Nawawi dalam kitabnya Syarah Soheh Muslim dan Riyadhus-Salihin);

A) Apabila diri dizalimi; Harus orang yang dizalimi membuat pengaduan kepada pemerintah, qadhi atau pihak berkuasa lainnya dengan menceritakan keburukan atau kezaliman orang yang menzaliminya.

B) Memohon bantuan untuk mengubah suatu kemungkaran dan mengembalikan pelaku maksiat kepada kebenaran. Seperti seorang melaporkan kapada pihak yang berkuasa mengubah kemungkaran; "Si Fulan telah melakukan perbuatan sekian sekian, tegahlah ia".

C) Bertujuan mendapatkan fatwa (pandagan agama); Seperti Hindun yang mengadu kepada Nabi sikap kedekut suaminya. Ia berkata kepada Nabi; "Ya Rasulullah, suamiku Abu Sufyan seorang yang kedekut, bolehkah aku mengambil wangnya tanpa diketahuinya?".

D) Memberi peringatan kepada kaum muslimin agar berjaga-jaga dari suatu kejahatan; Seperti mendedahkan kepalsuan seorang yang pura-pura alim atau pembawa ajaran sesat supaya orang ramai mengetahui hakikat dirinya yang sebenar. Begitu juga, mendedahkan penyelewengan seorang pemimpin dalam mentadbir rakyat kepada orang yang berkuasa melantiknya agar mereka tidak tertipu untuk terus memberi kuasa kepadanya.
 
E) Seorang yang berterang-terangan melakukan dosa atau kesesatan seperti berterang-terang minum arak, berterang-terang menganut fahaman sesat atau seumpamanya. Orang sebegini harus disebut tentang dirinya dengan maksiat yang dilakukannya secara terang itu. Adapun maksiat yang dilakukannya secara tersembunyi, tidak harus disebut kecuali ada suatu sebab yang lain.

G) Untuk memperkenalkan seseorang; Harus menyebut seseorang dengan suatu gelaran jika ia masyhur dikenali dengan gelaran itu. Haram menyebut suatu gelaran dengan tujuan merendahkan martabat orang lain.

Dalam enam situasi di atas, dibolehkan kita memperkatakan/mendedahkan keburukan orang lain kerana ia mempunyai tujuan yang diharuskan Syariat untuk maslahah yang lebih besar dari maslahah individu yang diperkatakan keburukannya. 

3. Oleh kerana hukum mengumpat adalah haram pada hukum asalnya dan dosanya adalah besar, maka orang yang terpaksa menggunakan pengecualian di atas ia hendaklah memerhatikan perkara berikut;

A) Memerhati niat dalam hatinya; apakah ia benar-benar terpaksa memperkatakannya atau hanya lahir dari keinginan nafsunya sahaja. Jika hati benar-benar berkata; "Aku wajib mendedahkannya demi agama dan ummah", maka bertawakkallah kepada Allah dan teruskanlah apa yang diyakini. Namun jika hati berkata; "Ini hanya keinginan nafsu sahaja", batalkanlah niat untuk berkata tentang orang lain itu, kerana padah yang bakal kita terima tidak padan dengan sedikit kepuasan yang kita dapat.
 
B) Ia hendaklah mengukur natijah darinya; adakah dengan memperkatakannya akan membawa kesan lebih baik atau dengan senyap sahaja dan mencari pendekatan lain yang lebih baik untuk membetulkan orang terbabit.

C) Setiap yang dilakukan kerana darurat (kerana hukum asalnya adalah haram) tidak harus berlebihan, yakni dilakukan sekadar perlu sahaja.

D) Maksiat yang dilakukan berkait dengan orang lain, yakni pendedahan terpaksa dilakukan untuk mengelak orang lain turut terlibat atau terzalimi jika mereka tidak mengetahuinya. Adapun maksiat yang bersifat peribadi tidak harus didedahkan kerana ia adalah dosa antara pelakunya dengan Allah. Sesuatu yang ditutup Allah, tidak berhak kita membukanya kerana nanti keaiban kita pula akan dibuka Allah.

Walalhu a'lam.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, Kitab al-Birr wa as-Silah, bab Tahrim al-Ghibah.
2. Riyadhus-Salihin, Imam an-Nawawi, Bab Ma Yubahu Min al-Ghibah.

Thursday, 21 April 2011

SUAMI DAN ISTERI TIDAK SAMA MAZHAB & IMAM TIDAK MEMBACA QUNUT

Soalan: salam..saya dan suami baru mendirikan rumah tangga..suami saya sebelum ini belajar di indonesia..dia belajar agama ikut mazhab maliki mankala saya di malaysia mengikut mazhab syafie... sekarang ini saya dan suami menetap di Malaysia. terdapat 3 soalan di sini;
1. soalan pertama; antara saya dan suami..mazhab mana yang perlu diikuti?adakah saya perlu mengikut suami sedangkan kami berada di Malaysia yang mengikut Mazhab Syafie..
2. soalan kedua; suami saya selalu menyentuh saya selepas beliau megambil wuduk..padanya tidak batal kerana beliau mengikut mazhab maliki..tetapi saya selalu melarang beliau menyentuh saya apabila saya berada dalam wuduk..saya keliru..yang mana perlu saya ikut..
3. soalan ketiga; setiap kali solat subuh suami saya tidak membaca qunut..tetapi saya setiap kali subuh mesti baca qunut kerana ianya sunat yang dituntut..kalau kami solat berjemaah perlukah saya  melakukan sujud sahwi kerana suami saya tidak membaca qunut

Jawapan;

1. Mazhab-mazhab empat (Hanafi, Maliki, Syafiie dan Hanbali) merupakan mazhab-mazhab yang muktamad dalam Ahlus Sunnah wa al-Jamaah. Oleh itu, harus orang Islam melaksanakan kewajipan agamanya dengan beramal dengan mana-mana satu dari mazhab tersebut, tetapi hendaklah melalui pengajian dari guru/ustaz yang faqih tentang mazhab tersebut dan bukan hanya melalui pembacaan dari buku sahaja. 

2. Berpegang dengan satu-satu mazhab tertentu tidaklah wajib. Namun bagi orang awam yang tidak mampu memahami sendiri al-Quran dan as-Sunnah, berpegang dengan satu mazhab adalah langkah terbaik baginya untuk mengelak dari kesukaran dalam melaksanakan agama dan risiko pemahaman yang terlalu menyimpang dari kehendak agama (jika ia cuba memahami sendiri nas al-Quran atau as-Sunnah sedang ia tidak ada kemampuan). Berpegang kepada mazhab bukan bermakna meninggalkan al-Quran dan as-Sunnah, tetapi ia masuk dalam pengertian bertanya orang yang mengetahui bagi masalah/persoalan yang kita tidak tahu, iaitu sebagaimana yang diperintahkan Allah; "Maka hendaklah kamu bertanya kepada orang yang mengetahui jika kamu tidak mengetahui" (an-Nahl; 43)

Apabila kita tidak dapat memahami sendiri hukum dari al-Quran dan as-Sunnah kerana tidak mampu, lalu kita bertanya orang yang memahaminya dan kita berpegang/beramal dengan pandangannya, maka itu bermakna kita bermazhab dengan mazhabnya. Sebaik-baiknya ialah kita berpegang dengan mazhab dengan mengetahui dalil-dalilnya. Kerana itu, sebahagian ulamak membahagikan ikutan kepada mazhab ini kepada dua bentuk;
A) Taklid; iaitu mengikut tanpa mengetahui dalil atau tanpa bertanya tentangnya.
B) Ittiba'; iaitu mengikut dengan mengetahui dalil.
Antara dua di atas, sudah tentu yang kedua lebih baik dari yang pertama.

3. Apabila seorang itu beramal dengan mana-mana satu dari mazhab empat yang diakui tadi, amalannya adalah sah. Orang yang berbeza mazhab dengannya tidak harus mempertikainya selama amalannya mengikut mazhab yang diyakininya. Jika ia menjadi imam, harus orang-orang Islam lain menjadi makmum di belakangnya sekalipun berbeza mazhab dengannya. Ini kerana sah atau tidaknya solat kita bukan bergantung kepada mazhab apa yang kita pegang, tetapi bergantung kepapa "adakah solat kita menepati al-Quran dan as-Sunnah atau tidak?". Orang yang tidak dapat memahami sendiri al-Quran dan as-Sunnah, ia dikira mengerjakan solat mengikut al-Quran dan as-Sunnah apabila ia bertaklid atau berittiba' kepada orang yang memahaminya. 

4. Dalam masalah berbeza mazhab antara suami dan isteri, tidaklah isteri dituntut mengikuti mazhab suami apabila berkahwin dan begitu juga sebaliknya. Beramal mesti dengan keyakinan, bukan dengan mengambil hati orang lain. Keyakinan orang yang bertaklid dan berittiba' ialah kepada mazhab yang diikutinya. Oleh itu, apabila berlaku perkahwinan antara suami isteri yang tidak sama mazhab, antara suami dan isteri hendaklah saling memahami dan saling bertolak ansur. Dalam masalah batal wudhuk tadi sebagai contoh; apabila suami mengetahui isterinya berpegang dengan mazhab Syafiie, janganlah ia dengan sengaja menyentuh kulit isterinya apabila telah berwudhuk dan sedang bersiap untuk solat. Namun sebagaimana kita sebutkan tadi iaitu berpegang dengan sesuatu mazhab tidaklah wajib, maka tidak menjadi kesalahan jika suami dan isteri mengkaji pandangan yang paling rajih bagi masalah tersebut (dan masalah-masalah lain yang diiktilafkan oleh ulamak) dengan merujuk pandangan dan ulasan ulamak-ulamak semasa, kemudian beramal dengan pandangan yang rajih itu secara bersama suami dan isteri. Di sini tidaklah menjadi larangan kerana persepakatan bukan atas dasar ingin mengambil hati pasangan, tetapi kerana keyakinan bersama.

5. Mengenai qunut subuh, dalam mazhab Syafiie sendiri qunut subuh tidaklah wajib. Oleh itu, jika imam meninggalkan qunut sama ada kerana terlupa atau kerana bermazhab lain, makmum hendaklah mengikut imam (yakni turut tidak membaca qunut) kerana Nabi bersabda; “Sesungguh Imam itu dilantik untuk diikuti" (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Anas r.a.). Kemudian apabila imam memberi salam, makmum disunatkan sujud sahwi bagi menggantikan qunut subuh yang ditinggalkan tadi. Dalam hal ini, makmum tidaklah dikatakan menyalahi imam kerana ikatannya dengan imam telah terputus apabila imam memberi salam.

Dikecuali jika makmum hanya mengambil masa yang singkat sahaja untuk membaca qunut iaitu ia merasakan akan masih sempat sujud bersama imam walaupun dengan membaca qunut, pada ketika itu masih disunatkan makmum membaca qunut secara sendirian apabila imamnya tidak membacanya. Namun jika ia merasakan akan ketinggalan sujud pertama dengan imam jika membaca qunut (yakni hanya akan kembali bersama bila imam duduk antara dua sujud), makruh ia membaca qunut ketika itu (yakni tidak dilarang, cuma tidak digalakkan). Namun jika ia merasakan dengan membaca qunut akan menyebabkan ketinggalan jauh dari imam hingga melepasi sujud pertama dan duduk antara dua sujud (yakni hanya akan kembali bersama imam setelah imam turun untuk sujud kedua), wajib ia meninggalkan qunut, melainkan ia mufaraqah dari imamnya dan meneruskan solat sendirian (haruslah ia membaca qunut). 

Walallahu a'lam.

Rujukan;

1. Al-Majmuk, Imam an-Nawawi, Kitab as-Solah, bab Solati al-Jamaah, 4/208.
3. Hasyiah al-Baijuri Ala Ibnu al-Qasim, 1/194.

Monday, 18 April 2011

DOA DALAM SOLAT; BENARKAH TIDAK HARUS BERDOA URUSAN DUNIA?

Soalan; slm ust, menurut apa yg sy pelajari, berdoa didalam solat itu hendaklah doa yang bangsa akhirat. adapun doa bangsa dunia adalah batal sembahyang.

Jawapan;

Terdapat hadis di dalam Soheh Muslim menceritakan; Setelah Nabi mengajar bacaan tasyahhud, baginda berkata; "Kemudian setelah itu (yakni setelah membaca tasyahhud) hendaklah dia (yakni orang yang mengerjakan solat) memohon dari Allah apa sahaja yang ia kehendaki" (Soheh Muslim, Kitab as-Solah, bab at-Tasyahhud fi as-Solah).

Berkata Imam an-Nawawi -mengulas hadis ini-; Antara yang dapat disimpul dari hadis ini ialah keharusan berdoa di dalam solat dengan apa sahaja doa yang dikehendaki dari urusan-urusan akhirat dan urusan dunia selagi ia bukan suatu dosa. Inilah pandangan mazhab kami (Syafiie) dan mazhab Jumhur (majoriti ulamak). Menurut Imam Abu Hanifah; Tidak harus melainkan doa-doa yang ada di dalam al-Quran dan as-Sunnah. (Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi).

Jadi menurut hadis dan ulasan ulamak di atas, tidaklah benar anggapan bahawa berdoa perkara dunia di dalam solat akan membatalkan solat. Malah jika kita berpegang dengan pandangan Imam Abu Hanifah sekalipun, tidak menghalang kita dari memohon urusan dunia kerana doa-doa di dalam al-Quran dan as-Sunnah di antaranya ada yang berupa permintaan untuk urusan dunia kita; kesihatan, kebahagiaan hidup, kemenangan terhadap orang kafir, kesejahteraan tubuh, kekayaan yang halal dan sebagainya.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, Kitab as-Solah, bab at-Tasyahhud fi as-Solah.

BERDOA KETIKA SUJUD & SOLAT BERMAKMUMKAN KANAK-KANAK

Soalan; Assalamualaikum ustaz, saya ada dua soalan;
1. Mengenai doa dalam solat , sujud rakaat keberapakah doa itu di minta, adakah yang awal atau yang akhir dan bolehkah doa itu ditutur dalam bahasa melayu.
2. Soalan saya yang kedua,bolehkah kita niat menjadi imam kepada anak yang belum balih atau niat sembahyang sendiri.
Sekian terima kasih assalamualaikum

Jawapan;

Berdoa ketika sujud

1. Mengenai doa di dalam sujud, terdapat hadis di mana Nabi bersabda; "Saat paling hampir seorang hamba dengan Allah ialah ketika dia sujud. Maka banyaklah berdoa ketika sujud" (HR Imam Muslim, Abu Daud dan an-Nasai dari Abu Hurairah). Oleh kerana Nabi s.a.w. menyebutkan sujud di dalam hadis di atas secara umum (tanpa menghadkan pada mana-mana sujud) maka galakan membaca doa ketika sujud itu merangkumi semua sujud di dalam solat.

Ketika sujud itu harus berdoa dengan apa sahaja doa asalkan yang dipohon adalah perkara yang tidak dilarang oleh Syarak. Jika doa itu dalam bahasa Arab, harus ia dilafazkan oleh lidah sekalipun doa itu bukan yang maksur (yakni bukan dari al-Quran atau hadis Nabi). Cuma hendaklah lafaz itu diperlahankan kerana bacaan ketika sujud tidak sunat dikuatkan. Adapun dalam bahasa lain tidak harus dilafazkan oleh lidah. Memadai dengan berdoa di dalam hati sahaja kerana bahasa yang diharuskan di dalam solat hanyalah bahasa Arab sahaja.

Solat bermakmumkan kanak-kanak

2. Mengenai makmum kanak-kanak, harus kita berniat menjadi imam (dan mendapat pahala berjamaah) jika makmum di belakang kita orang yang sah solatnya termasuk kanak-kanak yang belum baligh asalkan ia telah mumayyiz dan tahu tentang toharah (wudhuk) dan solat. Ini berdalilkan hadis dari Ibnu ‘Abbas yang menceritakan; “Aku bermalam di rumah ibu saudaraku Maimunah (isteri Nabi s.a.w.). Tiba tengah malam, Rasulullah s.a.w. bangun lalu mengambil wudhuk dengan wudhuk yang ringkas, kemudian mengerjakan solat malam. Aku pun turut bangun, mengambil wudhuk seumpama Nabi mengambil wudhuk, kemudian mengerjakan solat bersama beliau dengan berdiri di sebelah kirinya. Lalu baginda memegang kepalaku dan mengalihkanku ke sebelah kanannya” (Riwayat Imam al-Bukhari (Kitab as-Solah, bab Wudhu’ as-Shibyan), Muslim dan ulamak-ulamak lain). Dalam satu riwayat terdapat lafaz tambahan; “Aku pada ketika itu berusia 10 tahun” (Riwayat Imam Ahmad, soheh).

Berkata Imam Ibnu Rajab –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil bahawa sahnya toharah kanak-kanak, solatnya, ikutannya terhadap imam dan safnya untuk imam. Ini kerana Ibnu ‘Abbas pada ketika itu masih kanak-kanak. Begitu juga, hadis ini menjadi dalil dikiranya solat berjamaah dengan bermakmumkan kanak-kanak dan orang yang berada di saf bersama kanak-kanak tidaklah dianggap berseorangan dalam saf. (Fathul-Bari, Imam Ibnu Rajab).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Faidhul-Qadier, Imam al-Munawi, hadis no. 1348.
2. Fathul-Bari, Imam Ibnu Jajab, Kitab as-Solah (jilid 6, hlm. 132 dan jilid 5, hlm. 105)
3. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, perkataan “saghr”.

Sunday, 17 April 2011

MEMAKAI SELUAR PENDEK

Soalan; Assalamualaikum ustaz. Saya ada satu soalan. Apakah hukum memakai seluar pendek bagi lelaki dihadapan adik beradik atau mahram?

Jawapan;

Sekiranya seluar pendek itu menutupi hingga keseluruhan paha, haruslah dipakai. Menurut jumhur (majoriti) ulamak; Aurat yang wajib ditutup oleh lelaki sama ada di hadapan wanita-wanita mahramnya atau bukan mahramnya (kecuali isteri) ialah dari pusat hingga lutut, berdalilkan hadis dari Jarhad al-Aslami r.a. yang menceritakan; “Rasulullah duduk bersama kami sedang pahaku ketika itu terbuka. Lalu Rasulullah berkata kepadaku; “Apakah kamu tidak mengetahui bahawa paha adalah aurat?”. (Riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi dan Malik. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan).

Namun hendaklah dipastikan selamat dari timbulnya fitnah. Maksud fitnah di sini ialah timbulnya syahwat (keinginan) yang mendorong kepada zina sesama mahram. Jika dikhuatiri perkara tersebut, wajiblah lelaki memakai pakain yang lebih sempurna dari seluar pendek itu. Dalam suasana hari ini di mana banyak faktor-faktor pendorong kepada syahwat (melalui TV, internet, majalah dan sebagainya), pergaulan antara lelaki dan perempuan termasuk sesama mahram perlu mengambil sikap dan pendekatan menutup segala ruang yang membawa kepada zina dan maksiat. Hal ini perlu diambil berat oleh ibu-bapa atau penjaga dalam memastikan agama anak-anak sentiasa terjaga. 

Wallahu a'lam.

Thursday, 14 April 2011

KEDUDUKAN DARA DALAM PERKAHWINAN?

Soalan; assalaamualaikum,.. saya mahu bertanya, pentingkah dara dalam mendirikan rumahtangga? berdosakah perempuan yang melakukan zina dengan paksaan??

Jawapan;

1. Apa sahaja kesalahan yang dilakukan dengan paksaan, orang yang melakukannya kerana dipaksa itu tidak dianggap berdosa di sisi Syariat sebagaimana sabda Nabi -sallallahu 'alaihi wasallam-; "Sesungguhnya Allah menggugurkan dari umatku (dosa yang mereka lakukan kerana) tersalah, terlupa dan yang dipaksa ke atas mereka" (HR Ibnu Majah dari Ibnu 'Abbas -radhiyallahu 'anhu-). Tetapi hendaklah paksaan itu yang benar-benar paksaan iaitu yang menafikan kehendak diri, iaitu orang yang melakukannya tidak redha dengan apa yang berlaku ke atas dirinya.

2. Mengenai dara, tidaklah seorang wanita (atau walinya) wajib mendedahkan keadaan dirinya kepada lelaki yang meminangnya apakah ia masih mempunyai dara atau tidak. Dan apabila seorang lelaki mengahwini seorang perempuan, kemudian ia mensyaki isterinya telah tidak mempunyai dara, apabila ia bertanya isterinya, tidaklah wajib isteri menjawab soalan itu (dalam kata lain; tidaklah perlu ia mendedahkan kisah silamnya kepada suami). Jika suami ingin menceraikannya kerana sebab tersebut terpulanglah kepada suami (kerana kuasa talak/cerai ada pada suami), tetapi itu bukanlah akhlak yang baik. Suami hendaklah berbaik sangka terhadap isterinya kerana hilang dara tidak semestinya kerana berzina, ia mungkin terjadi dengan sebab lain (kerana terjatuh, darah haid terlalu banyak, kerana tertusuk sesuatu atau sebagainya). Malah sekalipun isterinya pernah berzina pada masa silamnya, tidak perlu suami mencungkil masa silam isterinya apabila isterinya telah menampakkan kesolehannya pada pandangan zahirnya (kerana itu menunjukkan ia telah bertaubat kepada Allah). Keaiban yang telah ditutup Allah tidak perlulah kita membukanya. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesiapa menutup keaiban seorang muslim yang lain, Allah akan menutup keaibannya di hari kiamat” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Ibnu ‘Umar).

Nabi juga pernah bersabda; “Jauhilah oleh kamu sekelian perbuatan keji (zina, minum arak dan sebagainya). Sesiapa yang pernah melakukan sesuatu darinya, hendaklah ia menutup diri dengan tutupan Allah (yakni jangan ia mendedahkan apa yang disembunyikan Allah) dan hendaklah ia bertaubat kepada Allah, kerana sesiapa membuka perihal dosanya kepada kami (pemerintah) kami pasti akan melaksanakan ke atasnya hukuman yang ditetapkan oleh Kitab Allah” (HR al-Hakim dan al-Baihaqi dari Ibnu ‘Umar. Hadis ini menurut Imam as-Suyuti; soheh. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 175).

Berkata Imam al-Munawi –mengulas hadis ini-; “Difahami dari hadis ini; sesiapa telah melakukan sesuatu dari maksiat, hendaklah ia menyembunyikannya (yakni tidak mendedahkannya kepada orang lain). Dari itu, adalah ditegah perbuatan mengintip orang yang melakukan maksiat kerana itu membawa kepada melubangi/mengoyak tutupan Allah (kepada hambaNya)..Terdapat syair menyebutkan;
Jangan kamu mencari keaiban manusia yang tersembunyi,
Nanti Allah akan membuka tirai yang menutup keaibanmu.

(Faidhul-Qadier)

3. Dikecualikan jika bakal suami telah mensyaratkan (kepada bakal isterinya atau kepada walinya); hendaklah bakal isterinya itu seorang yang masih dara, pada ketika itu -jika bakal isteri telah tidak mempunyai dara- hendaklah berterus terang, tetapi tidaklah wajib memberitahu punca ketiadaan dara itu. Keaiban diri kita (atau orang lain), jika perlu diberitahu kepada orang lain, kita hanya harus memberitahu sekadar perlu sahaja, bukan menceritakan segala-galanya. Jika bakal isteri atau walinya menipu dalam masalah ini -sedang bakal suami telah meletakkan syarat sebegitu-, menurut sebahagian ulamak; setelah berlaku akad, suami mempunyai hak khiyar (hak memilih) antara meneruskan akad atau membatalkannya (yakni memohon agar dibatalkan perkahwinan dan menuntut gantirugi maskahwin dari orang yang menipunya).[1]

4. Apabila seorang lelaki ingin memilih seorang wanita untuk menjadi isterinya, apa yang disuruh oleh Nabi untuk diperhatikan ialah agamanya. Sabda Nabi; “Dikahwini seorang perempuan itu kerana empat sebab; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Kamu pilihlah perempuan yang patuh kepada agama. Jika tidak kamu akan rugi/kecewa”. (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, an-Nasai dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-)

Maksud memerhati agama bukanlah dengan bertanya ia ada dara atau tidak?, tetapi dengan melihat kesolehannya; cara berpakaiannya, akhlaknya, ibadahnya, pergaulannya dan sebagainya. Sekalipun seorang wanita pernah terlanjur pada masa silamnya, namun pada masa kini ia telah berubah menjadi wanita yang solehah dan menjaga agama (menutup aurat, menjaga akhlak dan pergaulan, menjaga ibadah), ia termasuk dalam wanita yang menjaga agama yang dimaksudkan oleh Nabi. Dalam keadaan lain pula, jika seorang wanita belum pernah terlanjur, tetapi keadaan semasanya tidak menampakkan kesolehan (tidak perpakaian secara Islam, tidak menjaga ibadah dan pergaulan) ia bukanlah wanita yang menjaga agama sekalipun mungkin daranya masih ada.

3. Kesimpulannya, ketiadaan dara tidaklah menjejaskan akad perkahwinan, cuma ia dianggap suatu kekurangan. Wujudnya kekurangan sebegitu pada pasangan tidaklah menjejaskan akad kecualilah jika disyaratkan sebagaimana dijelaskan tadi.

Jawapan berkaitan; (BEZA DARA DAN JANDA), (MEMOHON MAAF KERANA MELAKUKAN ZINA).

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. at-Talaq, Dr. Muhammad Ibrahim al-Hifnawi, hlm. 190
2. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, perkataan; Bikarah.
3. Faidhul-Qadier, Imam al-Munawi, hadis no. 175 dan 2114, 3372.

Nota hujung;

[1] Iaitu pandangan mazhab Maliki dan sebahagian ulamak mazhab Syafiie dan Hanbali. Pandangan lain (iaitu mazhab Hanafi); perkahwinan tetap sah sekalipun syarat yang dipersetujui itu dilanggari. Dalam mazhab Syafiie terdapat dua pandangan bagi masalah seperti di atas (yakni masalah pelanggaran terhadap suatu sifat yang disyaratkan oleh suami bagi bakal isterinya);
Pertama; perkahwinan adalah terbatal. Jika isteri belum disetubuhi, tidak wajib ia membayar sebarang maskahwin kepadanya. Jika telah disetubuhi, wajiblah ia membayar maskahwin misil kepada isterinya, kemudian ia menuntut ganti rugi maskahwin itu dari orang yang terlibat menipunya.
Pandangan kedua; perkahwinan tetap sah, kemudian bagi sifat yang dilanggari itu hendaklah dilihat; jika sifat yang dilanggari itu lebih baik dari yang disyaratkan, tidak ada pilihan bagi suami untuk membatalkan akad. Namun jika didapati ia lebih bawah dari sifat yang disyaratkan, suami mempunyai pilihan untuk membatalkan akad. Sebahagian ulamak berkata; tidak perlu hak memilih kepada suami kerana ia mempunyai kuasa talak. Ia berbeza dengan pihak perempuan yang tidak mempunyai kuasa talak, maka diberi kepadanya hak memilih bagi kes sebegini. (Takmilah al-Majmu’, 16/287, 16/289).
(Lihat; at-Talaq, Dr. Muhammad Ibrahim al-Hifnawi, hlm. 190).

REZKI HARAM; ADAKAH DARI ALLAH?

Soalan; Assalamualaikum Ustaz, Saya ada pertanyaan Adakah rezeki yang diperoleh secara haram seperti ragut, rompak, rasuah dan sbg datang dari Allah s.w.t?

Jawapan;

Rezki, perbuatan, ucapan dan segala tindak-tanduk yang lahir dari manusia semuanya tidak terlepas dari takdir (ketentuan Allah) kerana tidak ada yang berlaku di alam ini melainkan dengan kehendak Allah dan diketahui oleh Allah sejak azali lagi. Namun tidak semua yang dikehendaki Allah atau ditakdirkannya turut diredhaiNya. Apabila seorang melakukan dosa, perbuatan dosanya itu berlaku dengan kehendak Allah, namun Allah tidak meredhainya, cuma Allah membenarkan/mengizinkan sahaja ia berlaku (setelah ia memberi hak ikhtiar (kuasa memilih) kepada mereka untuk menguji mereka setelah diberiNya akal dan petunjuk agama). Sebaliknya pula, apabila seseorang melakukan ketaatan, perbuatan taatnya itu berlaku dengan kehendak Allah dan turut diredhaiNya. Seorang gagal ujian dan seorang lagi lulus ujian. Persoalan rezki pun sama seperti itu.

Sabda Nabi –sallalahu ‘alaihi wasallam-; “Ruh al-Qudus (Jibril) telah meniupkan wahyu ke dalam hatiku; Sesungguhnya seorang manusia itu sekali-kali tidak akan mati hinggalah sempurna ajalnya dan meliputi semua rezkinya (yang ditentukan untuknya), maka bertakwalah kepada Allah dan perelokkanlah mata pencarian kamu. Janganlah perasaan lambatnya datang rezki memaksa kamu mencarinya dengan jalan melakukan maksiat kepada Allah kerana apa yang ada di sisi Allah tidak akan diperolehi melainkan dengan mentaatiNya” (HR Imam Abu Nu’aim dari Abu Umamah. Lihat hadis ini dalam; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 3848. Menurut Syeikh al-Albani; hadis ini soheh).

Berkata Imam al-Munawi –menjelaskan hadis di atas-; Hadis ini menunjukkan bahawa rezki telah ditentukan dan telah diagihkan dan ia pasti akan sampai kepada hamba Allah (mengikut kadar yang ditentukan). Jika seorang hamba Allah itu berusaha mencarinya dengan cara yang disyariatkan, rezki itu akan menjadi rezki yang halal, namun jika ia mencarinya dengan cara yang tidak disyariatkan, ia akan menjadi rezki yang haram. Hadis ini menjadi dalil yang cukup jelas bagi Ahlus-Sunnah yang berpandangan; yang haram juga dinamakan sebagai rezki dan kesemua rezki –sama ada yang halal atau yang haram- datangnya dari Allah. (Faidhul-Qadier)

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Faidhul-Qadier, Imam an-Munawi, hadis no. 3848.

Tuesday, 12 April 2011

AURAT WANITA TUA KETIKA SAKIT & EDDAH WANITA YANG PUTUS HAID

Soalan; Assalamualaikum Ustaz.

1. Adakah pengecualian aurat kepada wanita yang sakit dan tua (terlantar atas katil), kawan2 yang bukan mahram selalu ziarah beliau. Atau sama sahaja seperti wanita yang sihat?

2. adakah terdapat pandangan ulama (daripada mana2 mazhab) yang menyatakan iddah bagi wanita putus haid yang kematian suami adalah 3 bulan sahaja?

Jawapan;

Aurat wanita ketika sakit

Bahagian badan yang wajib ditutup (yakni aurat), tidak harus didedahkan kepada orang lain yang haram melihatnya melainkan ketika darurat, antaranya ketika rawatan yang tidak dapat dielakkan dari membuka bahagian yang sakit untuk dirawat oleh doktor. Hukum ini tidak ada beza antara wanita yang telah tua atau masih muda, yang sihat atau yang sakit. Yang harus melihatnya hanyalah doctor atau jururawat yang menjalankan rawatan sahaja. Adapun pelawat, tidaklah harus melihatnya. Oleh kerana si pesakit mungkin tidak berdaya melaksanakan kewajipan menutup aurat tersebut atau ia tidak sedarkan diri, orang yang menjaganya (sama ada anak-anak atau orang lain) yang wajib memastikan ditutup auratnya. Jika tidak boleh ditutup auratnya atas nasihat doctor, hendaklah dibuka kepada kaum wanita dan lelaki-lelaki mahramnya sahaja untuk menziarahinya. Adapun lelaki yang bukan mahram hendaklah dihalang menziarahinya kerana menjaga hukum tadi.

Eddah wanita yang putus haid

Maksud eddah ialah tempoh menunggu yang diwajibkan Syariat ke atas wanita apabila berlaku perpisahan dengan suaminya di mana dalam tempoh menunggu tersebut tidak harus ia berkahwin lain higgalah tamat tempoh yang ditetapkan. Sebab eddah ada dua;
1. Kerana penceraian
2. Kerana kematian suami

Bagi wanita yang diceraikan suami ketika ia telah terputus haid (yakni sampai umur putus haid)[1] atau belum didatangi haid (kerana masih kecil); eddahnya ialah 3 bulan berdalilkan ayat (yang bermaksud); “Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid jika kamu keliru (yakni kamu jahil tentang hukum eddahnya), maka eddahnya ialah tiga bulan dan (demikian juga) perempuan-perempuan yang belum kedatangan haid (kerana masih kecil, eddahnya juga tiga bulan)” (Surah at-Talaq, ayat 4). Menurut mazhab Syafiie dan Hanbali; termasuk juga yang perlu bereddah tiga bulan ialah wanita yang berterusan keluar darah dari farajnya di mana ia tidak dapat membezakan lagi bila ia haid dan bila ia istihadhah.[2] (Tafsir al-Munir).

Adapun jika ia kematian suami; eddahnya ialah 4 bulan 10 hari berdalilkan ayat (yang bermaksud); “Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri, hendaklah isteri-isteri itu bereddah selama empat bulan sepuluh hari” (Surah al-Baqarah, ayat 234). Hukum ini telah disepakati oleh para ulamak.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Tafsir al-Jalalain, surah at-Talaq, ayat 4.
2. Tafsir Ibnu Kathir, surah al-Baqarah, ayat 228 dan surah at-Talaq, ayat 4.
3. Tafsir al-Munir, Dr. Wahbah az-Zuhaili, surah at-Talaq, ayat 4.
4. At-Talaq, Dr. Muhammad Ibrahim Hafnawi, hlm.377.
5. Tamam al-Minnah, Syeikh Adil al-‘Azzazi, 3/19.

Nota hujung;

[1] Menurut mazhab Syafiie; umur putus haid ialah 62 tahun. Menurut mazhab Maliki; 60 tahun, mazhab Hanbali; 50 tahun dan Hanafi; 55 tahun. (Tafsir al-Munir)

[2] (A) Bagi wanita yang tidak didatangi haid dan tidak diketahui sebabnya –sedang umurnya belum lagi masuk umur putus haid dan ia juga telah dewasa-, bagi kes sebegini berdasarkan fatwa Saidina Umar; hendaklah ia bereddah (menunggu) hingga setahun iaitu; 9 bulan untuk hamil (yakni kemungkinan hamil) dan 3 bulan sebagai eddah yang ditetapkan dalam ayat tadi.
(B) Jika terputus haid dengan sebab yang diketahui seperti kerana menyusui anak, kerana suatu penyakit atau kerana lainnya (yang diketahui puncanya), hendaklah ditunggu hingga hilang sebab atau punca tersebut, kemudian hendaklah bereddah sebagaimana wanita normal (yang kedatangan haid, iaitu bereddah 3 kali suci) atau jika ia masuk umur putus haid hendaklah ia bereddah tiga bulan. Adapun jika sebab/punca tidak datang haid tadi telah hilang, namun haid masih belum datang juga sedang umurnya belum mencapai umur putus haid, dalam kes ini ia hendaklah mengikut fatwa Saidina Umar tadi iaitu menunggu hingga setahun.
(C) Wanita yang dibuang rahimnya, hukumnya sama seperti wanita yang mencapai umur putus haid kerana tidak ada kemungkinan lagi ia didatangi haid. Jadi eddahnya juga 3 bulan.
(Rujuk; Tamam al-Minnah, Syeikh al-Azzazi, 3/224).

Sunday, 10 April 2011

HUKUM MELIHAT VIDEO SEKS

Soalan; Assalamu alaikum ustaz. Apa hukum kita menonton video seks yang dikatakan seorang pemimpin yang hangat diperkatakan sekarang ini. Sekarang sudah ada di internet. Haruskah kita melihatnya dengan niat untuk mengetahui benar atau tidak orang yang dimaksudkan itu?

Jawapan;

Sama ada benar atau tidak, haram melihat/menontonnya. Ia tetap dengan hukum asal iaitu seorang tidak harus melihat aurat orang lain (selain suami-isteri) kecuali jika darurat seperti tujuan perawatan, mudim yang menguruskan khitan, hakim yang menghakimi kes, polis yang menjalankan siasatan dan seumpamanya. Adapun orang lain tetap dengan hukum asal iaitu haram melihat aurat orang lain. Firman Allah; "Katakanlah kepada orang-orang beriman; hendaklah mereka menyekat pandangan mata mereka (dari memandang kepada yang haram).." (Surah an-Nur, ayat 30). Orang yang upload video sebegitu ia melakukan dosa menyebarkan kejahatan dan ia turut menanggung dosa orang lain yang melihat video tersebut.

Hendaklah kita sentiasa menjaga maruah diri dan jangan terpengaruh dengan dorongan sekeliling. Orang yang suka menyebarkan kejahatan dan tuduhan-tuduhan buruk kepada orang lain tanpa menggunakan saluran yang ditetap Syariat, mereka adalah orang-orang fasik yang diancam Allah dengan siksaan yang berat oleh Allah sebagaimana  firmanNya (bermaksud);   "Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)" (Surah an-Nur, ayat 19).   

Wallahu a'lam. 

MEMBUANG JARI LEBIH

Soalan: Assalammualikum...Anak lelaki saya dilahirkan dengan mempunyai jari lebih di setiap tangan dan kaki. Sekarang dia berumur 14bulan. Doktor menyarankan semua jari lebih itu dibuang, supaya besar nanti dia tak merasa rendah diri atau malu di ejek kawan-kawan. Apa pendapat ustaz tentang masalah saya ini.

Jawapan:

Melakukan pembedahan untuk memperelokkan tubuh ada dua jenis;

1. Pembedahan yang dilakukan untuk tujuan membaiki kecacatan di badan sama ada kecacatan itu timbul kerana kekurangan suatu anggota atau kerana ada lebihan pada anggota di luar dari kebiasaan. Pembedahan sebegini diharuskan kerana ia bukan bertujuan mengubah ciptaan Allah, akan tetapi mengembalikan ciptaan Allah kepada keadaan normalnya. Namun hendaklah dipastikan pembedahan itu tidak menimbulkan mudarat lebih besar (perlu nasihat doktor). Bagi anggota lebih, jika tidak menimbulkan mudarat atau kesulitan pada diri, eloklah dibiarkan sahaja. Namun jika boleh menimbulkan mudarat atau kesukaran pada diri termasuk menyebabkan rasa rendah diri si anak bila besar nanti, eloklah dibuang.

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan; “Jika pada diri seorang insan itu terdapat kecacatan yang boleh menyakitinya sama ada dirasai secara fizikal atau secara mental (iaitu menimbulkan rasa rendah diri) setiap kali berada di dalam majlis atau singgah di satu tempat, diharuskan ia membaiki kecacatan tersebut selama niatnya ialah untuk menghilangkan kepayahan yang dihadapinya. Allah tidak menjadikan di dalam agama ini sebarang kepayahan ke atas kita”. (Al-Halam Wa al-Haram Fi al-Islam)   

2. Pembedahan dari jenis kedua ialah untuk tujuan menambah kecantikan semata-mata sedangkan tiada sebarang kecacatan pada tubuh. Pembedahan dari jenis ini tidak harus dengan sepakat ulamak kerana ia termasuk dalam pengertian mengubah ciptaan Allah yang dilarang. Sabda Nabi -sallallahu alaihi wasallam-;

“Allah melaknat perempuan-perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu pada badannya, perempuan-perempuan yang minta dicukur alis (bulu keningnya) dan perempuan-perempuan yang menjarangkan giginya untuk kelihatan cantik iaitu perempuan-perempuan yang merubah ciptaan Allah”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Mas’ud r.a.)

Imam Nawawi semasa mensyarahkan hadis di atas, beliau menegaskan; sabda Nabi s.a.w. “perempuan-perempuan yang menjarangkan giginya untuk kelihatan cantik” menunjukkan bahawa yang diharamkan ialah bagi orang-orang yang melakukan perkara tersebut (yakni mengubah gigi) untuk tujuan kecantikan semata-mata. Adapun kerana keperluan iaitu untuk mengubati atau untuk membaiki kecacatan pada gigi dan seumpamanya, maka diharuskan”. (Syarah Soheh Muslim, juz. 14, Kitab al-Libas Wa az-Zinah).

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. al-Halal Wa al-Haram, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 87-88.
2. Soheh Muslim, Bisyarhi al-Imam an-Nawawi, juz. 14, Kitab al-Libas Wa az-Zinah, Bab Tahrim Fi’li al-Washilah Wa al-Mustaushilah….
3. Fatwa as-Syabakah al-Islamiyah (islamweb.net), no. 1509. 

Saturday, 9 April 2011

HUKUM MENOLAK PEMBERIAN TANPA SEBAB

Soalan; Assalamualaikum ustaz…Saya ingin bertanya, apakah hukumnya menolak pemberian orang lain tanpa jelas alasannya, contohnya seperti hadiah? Terima kasih.

Jawapan;

Hadiah atau pemberian jika sekiranya berupa suatu yang halal dan tidak berselindung di sebalik tujuan yang haram seperti rasuah, menggadai prinsip dan sebagainya, sunat kita menerimanya kerana Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- sentiasa menerima hadiah yang diberikan kepadanya termasuk dari orang bukan Islam, di samping terdapat hadis secara khusus Rasulullah menggalakkan kita menerima pemberian orang lain kepada kita. Di bawah ini kita kemukakan sebahagian hadis tentangnya;

1. Dari Anas bin Malik menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda; “Jika aku dihadiahkan kaki (kambing atau sebagainya) nescaya akan aku terimanya dan jika aku dijemput ke jamuan yang menghidangkannya nescaya akan aku penuhi” (Riwayat Imam Ahmad dan at-Tirmizi. Kata at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh).

2. Abu Hurairah r.a. menceritakan dari Nabi s.a.w. yang bersabda; “Jika aku diajak kepada hidangan betis (kambing) atau kakinya nescaya akan aku penuhinya dan jika dihadiahkan kepadaku betis (kambing) atau kakinya nescaya akan aku terimanya” (Riwayat Imam al-Bukhari).

Nilai kaki kambing tidaklah seberapa, namun Rasulullah tetap menghargainya dan tidak keberatan untuk menerimanya sebagai hadiah dari orang lain. Berkata Imam Ibnu Battal –mengulas hadis di atas-; Hadis ini merupakan galakan dari Nabi kepada umatnya supaya mereka saling memberi hadiah, menghubung silaturrahim, menjinak-jinakkan dan saling berkasih sayang. Baginda menjelaskan bahawa beliau tidak menganggap remeh/kecil sesuatu apapun yang dihadiahkan kepadanya atau dijemput beliau menghadirinya. Tujuan baginda ialah agar tiada sesiapa pun yang keberatan memberi hadiah kerana merasa kecil hadiah yang ingin diberikan. Baginda memberi contoh dengan kaki kambing sebagai galakan yang sungguh-sungguh supaya kita menerima hadiah sekalipun kecil”. (Syarah Soheh al-Bukhari, oleh Ibnu Battal).

3. Imam Ahmad dan a-Bazzar meriwayatkan dari Saidina ‘Ali yang menceritakan; “Kisra (Raja Parsi) pernah memberi hadiah kepada Rasulullah dan baginda menerimanya. Raja-raja yang lain juga memberi hadiah kepadanya dan baginda menerima”. Terdapat dalam Sunan an-Nasai; riwayat dari Abdurrahman bin ‘Alqamah as-Saqafi yang menceritakan; Rombongan Tsaqif datang untuk bertemu Nabi. Mereka tiba dengan membawa hadiah. Nabi bertanya mereka; “Hadiah atau sedekah?”. Mereka menjawab; “Hadiah”. Nabi lalu menerimanya. (Lihat hadis-hadis ini dalam; Tuhfah al-Ahwazi).

Hadis di atas menunjukkan kepada keharusan menerima hadiah dari orang bukan Islam jika hadiah itu berupa suatu yang halal dan tidak bertujuan jahat.

4. Abdullah bin Umar menceritakan; Aku telah mendengar bapaku (iaitu Umar bin al-Khattab) menceritakan; Rasulullah pernah memberiku satu hadiah/pemberian, lalu aku berkata; “Ya Rasulullah, berilah ia kepada orang yang lebih fakir dariku”. Lalu Rasulullah berkata kepadaku; “Wahai Umar, ambillah. Jika datang kepadamu suatu harta tanpa engkau mengharap-harapnya dan tanpa engkau memintanya, terimalah. Namun jika sebaliknya, janganlah engkau menggantung hati padanya” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim).

Berkata Imam an-Nawawi; Menurut pandangan yang soheh dan masyhur yang menjadi pegangan jumhur ulamak; menerima pemberian harta dari orang lain adalah sunat kecuali pemberian dari sultan (pemeintah) di mana sebahagian ulamak mengharamkannya, sebahagian memakruhkannya dan sebahagian lagi mengharuskannya. Pandangan yang soheh ialah; jika harta yang menjadi milik sultan itu kebanyakannya datang dari sumber yang haram, haram menerima pemberiannya. Begitu juga, haram menerimanya orang yang tidak berhak mendapatnya. Adapun jika kebanyakan hartanya datang dari sumber yang tidak haram, harus menerima pemberiannya kecualilah jika orang yang ingin menerima itu padanya terdapat suatu tegahan yang tidak melayakkannya untuk mengambil pemberian itu. Ada juga segolongan ulamak berpandangan; Menerima pemberian adalah wajib sama ada dari sultan atau orang lain. (Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi).

Dari penjelasan di atas dapatlah kita simpulkan bahawa menolak pemberian atau hadiah orang lain tanpa alasan hukumnya adalah makruh kerana ia bertentangan dengan sikap Nabi, lebih-lebih lagi jika pemberian itu datang dari saudara mara dan orang baik-baik. Berkata Imam Ibnu Jarir; “Menolak pemberian dari orang soleh bercanggah dengan adab yang diajar oleh agama” (Faudhul-Qadier).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Syarah al-Bukhari, oleh Ibnu Battal, Kitab al-Hibah wa Fadhliha wa at-Tharidh ‘Alaiha.
2. Tuhfah al-Ahwazi, Abwab al-Ahkam, bab Ma Ja-a Fi Qabul al-Hadiyyah wa Ijabati ad-Da’wah.
3. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, Juzuk 9, Kitab az-Zakah, bab Ibahat al-Akhzi Liman U’tiya min Ghairi Masalatin wa la Israafin.
4. Faidhul-Qadier, hadis no. 7768 dan no. 7769.

Friday, 8 April 2011

PERHIASAN; BILA WAJIB DIKELUARKAN ZAKAT?

Soalan; Assalammualaikum ustaz, saya ada soalan tentang perhiasan;
1. Adakah wajib kita keluarkan zakat bagi perhiasan emas yang kita pakai?
2. Sekiranya kita wajib keluarkan zakat, adakah untuk sekali sahaja atau setiap tahun untuk barang kemas perhiasan yang sama.
terima kasih.

Jawapan;

1. Perhiasan yang membabitkan logam berharga ada yang harus dan ada yang diharamkan oleh Syariat. Perhiasan yang haram ialah;

a) Perhiasan emas yang dipakai atau dimiliki oleh lelaki untuk dirinya[1] (*Adapun yang dimiliki oleh lelaki bukan untuk dirinya, tetapi untuk dipakai oleh isterinya atau anak perempuannya, hukumnya harus –tidak haram-).

b) Perhiasan perak yang dipakai oleh lelaki melebihi kadar yang diharuskan untuk lelaki iaitu sekadar cincin sahaja.[2]

c) Bekas-bekas atau perkakas-perkakas yang dibuat dari emas dan perak seperti cawan emas atau perak, pinggan emas atau perak dan sebagainya.[3]

d) Patung-patung manusia atau binatang yang dibuat dari emas atau perak.[4]

Adapun perhiasan-perhiasan yang diharuskan ialah seperti;

a) Perhiasan emas dan perak yang dipakai oleh perempuan

b) Logam-logam lain selain emas (seperti dari tembaga, besi, nikel, platinum atau sebagainya) yang dipakai oleh lelaki atau perempuan. Adapun perak, ia hanya diharuskan kepada lelaki sekadar cincin sahaja. Bagi wanita, ia sama seperti emas.

2. Mengenai kewajipan zakat, telah disepakati oleh sekelian ulamak bahawa; perhiasan yang haram tadi wajib dikeluarkan zakat. Jadi, sesiapa yang memiliki perkakas-perakas emas dan perak, lelaki yang ada memiliki perhiasan emas untuk dirinya atau sesiapa memiliki patung dari emas atau pereka, mereka berdosa kerana melakukan larangan Allah dan pada masa yang sama wajib mengeluarkan zakat ke atas perkakasan dan perhiasan emas dan perak yang dimiliki itu sebagaimana cara mengeluarkan zakat emas dan perak.

Mengenai perhiasan yang harus, telah disepakati juga oleh ulamak bahawa perhiasan yang dibuat dari logam yang lain dari emas dan perak sekalipun harganya lebih mahal dari emas dan perak (seperti nikel, platinum, tembaga dan sebagainya, begitu juga perhiasan dari batu-batu berharga seperti permata, zamrud dan sebagainya) tidak wajib dikeluarkan zakat sama ada yang dipakai oleh lelaki atau wanita.

Khilaf hanya berlaku kepada perhiasan yang diperbuat dari emas dan perak yang dipakai oleh wanita; apakah wajib dikeluarkan zakat atau tidak? Terdapat dua pandangan di sana;

a) Menurut Imam Abu Hanifah; zakat diwajibkan ke atas semua jenis emas dan perak sekalipun yang dijadikan perhiasan yang harus dipakai oleh wanita (gelang, rantai, anting-anting dan sebagainya). Mereka berdalilkan keumuman ayat-ayat al-Quran dan hadis Nabi yang mewajibkan zakat ke atas emas dan perak di mana ayat-ayat dan hadis tersebut tidak mengecualikan mana-mana jenis emas dan perak.

b) Menurut jumhur ulamak (Imam Malik, Syafiie dan Ahmad); zakat tidak diwajibkan ke atas emas dan perak yang dijadikan perhiasan oleh wanita. Hujjah mereka ialah tiada dalil yang memerintah supaya para wanita mengeluarkan zakat bagi perhiasan yang mereka pakai, di samping isteri-isteri Nabi dan isteri para sahabat sendiri tidak pernah mengeluarkan zakat ke atas barang perhiasan mereka. Dalam kitab Muwatta’ Imam Malik, terdapat riwayat dari al-Qasim bin Muhammad yang menceritakan; Saidatina ‘Aisyah –isteri Nabi- membela beberapa orang anak yatim di rumahnya (iaitu anak-anak saudaranya). Mereka memakai perhiasan-perhiasan dan Aisyah tidak pernah mengeluarkan zakat untuk perhiasan-perhiasan tersebut”. Diceritakan juga oleh Nafi’; Abdullah bin Umar –seorang sahabat terkenal- memberi pakai perhiasan-perhiasan emas kepada anak-anak perempuan dan hamba-hamba perempuannya, namun ia tidak pernah mengeluarkan zakat untuk perhiasan-perhiasan tersebut”. (al-Muwatta’, bab Ma La Zakaata Fihi min al-Huliyyi wa at-Tibr wa al-‘Anbar).

Pandangan yang rajih (kuat) ialah pandangan jumhur fuqahak dan pandangan ini yang ditarjih oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam buku Fiqh Zakatnya, Majlis Fatwa Mesir dan Fatwa negeri-negeri di Malaysia.[5] Jadi, emas dan perak yang dipakai oleh kaum wanita sebagai perhiasan tidak wajib dikeluarkan zakat. Namun dikecuali dalam dua keadaan;

a) Perhiasan emas dan perak yang dibuat bukan untuk dipakai, tetapi untuk disimpan (yakni dijadikan aset simpanan), wajib dikeluarkan zakat ke atasnya kerana tujuannya telah beralih dari perhiasan kepada simpanan. Berkata Said bin al-Musayyib (seorang Tabiin); “Perhiasan (emas dan perak) jika dipakai dan digunakan, tidak wajib zakat. Namun jika tidak dipakai dan tidak digunakan, wajib zakat” (Kitab al-Amwal). Berkata Imam an-Nawawi; Menurut mazhab Syafiie; Jika dibuat perhiasan (emas dan perak) bukan untuk tujuan digunakan…akan tetapi untuk dijadikan simpanan, maka mengikut mazhab yang soheh; wajib dikeluarkan zakat. Pandangan inilah yang diputuskan pegangan jumhur Ulamak. (al-Majmu’, Imam an-Nawawi).

b) Jika perhiasan yang dimiliki itu terlalu banyak sehingga masuk dalam kategori berlebihan (israf) dan melampaui kadar yang biasa dipakai oleh wanita-wanita setempat (yakni kadar uruf setempat), wajiblah dikeluarkan zakat. Ini kerana kadar yang berlebihan itu dilarang oleh Syariat dan sebagaimana kita nyatakan di awal tadi bahawa; perhiasan emas dan perak yang dilarang tidak menggugurkan kewajipan zakat.

Persoalan; di negara kita Malaysia ini berapa kadar yang boleh dianggap berlebihan dan melebihi kebiasaan (uruf) tersebut? Berdasarkan fatwa dari Jawatankuasa Fatwa Selangor, kadarnya ialah 800 gram emas.[6] Jadi, berdasarkan fatwa ini; mana-mana wanita (khususnya di negeri Selangor) yang memiliki perhiasan emas yang menyamai atau melebihi 800 gram emas, wajiblah ia mengeluarkan zakat. Sesiapa yang memiliki kurang dari itu, tidaklah wajib ia mengeluarkan zakat.

3. Mengenai bila masanya untuk mengeluarkan zakat ke atas perhiasan emas dan perak tersebut (jika ia wajib)? Jawapannya; ia sama sebagaimana mengeluarkan zakat emas dan perak yang lain (jongkong emas, dinar emas dan dirham perak yang dibaru diperkenalkan akhir-akhir ini dan sebagainya), iaitu wajib dikeluarkan setiap tahun apabila genap haulnya (yakni genap tempoh setahun perhiasan itu dimiliki atau berada dalam simpanan). Kadar yang wajib dikeluarkan ialah 2.5% dan disalurkan kepada mana-mana asnaf yang layak menerima zakat. Apabila zakat telah dikeluarkan tahun ini, kemudian apabila tiba tahun baru dan jumlah perhiasan yang dimiliki masih melebihi kadar yang dianggap berlebihan atau melampaui kebiasaan tadi, wajiblah dikeluarkan lagi zakat apabila genap haulnya.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Fiqh az-Zakah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Jilid 1, halaman 306-336.
2. Fiqh az-Zakah, Syeikh Abdurrazzaq Nasir Muhammad, hlm. 42.
3. Portal rasmi fatwa Malaysia, JAKIM (http://www.e-fatwa.gov.my/).

Nota hujung;

[1] Sabda Nabi; “Diharamkan memakai sutera dan emas ke atas lelaki-lelaki umatku dan dihalalkan bagi wanita-wanita mereka”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Abi Musa al-Asy’ari r.a.. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh)

[2] Harus lelaki memakai cincin perak. Hukum ini disepakati oleh sekelian ulamak. Adapun gelang perak, rantai perak, anting-anting dan sebagainya, tidak harus lelaki memakainya kerana ia adalah perhiasan-perhiasan yang khusus untuk wanitanya sahaja. Jika lelaki memakainya, ia adalah perbuatan menyerupai perempuan di mana ia dilaknat oleh Nabi dalam hadisnya. (Lihat; al-Majmu’, Imam an-Nawawi, Kitab as-Solah, bab Ma Yukrahu Labsuhu).

[3] Sabda Nabi; “Janganlah kamu minum di dalam bekas dari emas dan perak dan jangan kamu makan di dalam talam dari keduanya kerana ia adalah untuk mereka (yakni orang-orang kafir) di dunia”. (Riwayat Imam Muslim dari Huzaifah r.a.)

[4] Telah sepakat sekelian ulamak atas hukum haram membuat patung bagi makhluk bernyawa iaitu manusia dan binatang, begitu juga haram menyimpannya, menjual dan membelinya. Pengharaman ini berdalilkan banyak hadis, antaranya sabda Nabi; “Manusia yang paling berat siksaannya di hari kiamat ialah al-musawwirun” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Ibnu Mas’ud). Maksud al-musawwirun ialah orang-orang yang melakarkan penyerupaan kepada makhluk-makhluk bernyawa termasuklah yang membuat patung. (Rujuk; Fiqh al-Albisah wa az-Zinah, Abdul-Wahhab Tawilah, hlm. 375).

[5] Fatwa Dar al-Ifta’ Mesir; oleh Syeikh Hasan Makmun, jan. 1958 (lihat; al-Maktabah as-Syamilah, 1/147, tajuk; Zakat Huliyyi al-Mar-ah). Adapun fatwa beberapa negeri di Malaysia (Trengganu, Melaka, Selangor), lihat dalam portal rasmi fatwa Malaysia oleh JAKIM (http://www.e-fatwa.gov.my/).

[6] Jawatankuasa Fatwa Trengganu menetapkan; 850 gram emas (200 misqal). Jawatankuasa Fatwa Melaka pula menetapkan; 200 gram emas sahaja. Lihat; portal rasmi fatwa Malaysia oleh JAKIM (http://www.e-fatwa.gov.my/).

Thursday, 7 April 2011

BERUBAT DENGAN BOMOH SIAM

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Apakah salah dan dianggap syirik jika seseorang itu telah berusaha banyak kali dengan cara Islam untuk berubat membuang sihir  tetapi tidak sembuh. Dia ambil keputusan untuk melalui cara Siam untuk membuang sihir tersebut dan mendapatkan bantuan seorang yang bukan Islam yang berubat dengan cara Siam setelah dia mengetahui sihir ke atasnya adalah menggunakan cara Siam TETAPI yakin dan percaya sepenuh hati  perawatan yang beliau akan lalui dan alami adalah Allah yang akan membantu dan mengizinkan. 
 
Jawapan;
 
Keyakinan kepada Allah mesti diterjemahkan melalui keyakinan hati, lidah dan juga anggota (yakni amalan, perbuatan dan tindakan). Yakinlah kepada Allah dan berikhtiarlah tanpa mendatangkan kemurkaan Allah dengan bertandang ke tempat yang tidak diredhaiNya.
 
Rasulullah pernah ditanya tentang hukum berubat dengan arak. Lalu baginda menjawab; “Arak bukan ubat, tetapi penyakit” (HR Imam Muslim dari Wail al-Hadrami). Perhatikan, walaupun di sisi manusia arak mungkin boleh menjadi ubat menyembuhkan setengah penyakit, namun kerana ia di sisi Allah adalah haram, maka Rasulullah bertegas mengatakan; Ia bukan ibat tetapi penyakit.
 
Jika benar kita yakin kepada Allah, kita perlu yakin juga bahawa Allah tidak akan menjadikan penyembuhan ada pada perkara yang Ia murkai apatahlagi yang mensyirikkanNya. Berikhtiyarlah dengan cara yang halal, jangan berputus asa, Insya Allah kesembuhan akan diberi Allah; kesembuhan badan dan pada masa yang sama aqidah juga selamat. Tiada guna tubuh sihat tetapi aqidah kita sakit.
 
Wallahu a'lam.

SOLAT TAUBAT; BOLEHKAH DILAKUKAN SETIAP MALAM?

Soalan; Assalamualaikum Ustaz...saya ada persoalan berkaitan solat taubat...Bolehkah melakukan solat sunat taubat setiap malam walaupun kita telah yakin Allah mengampunkan dosa - dosa kita pada solat sunat taubat yang lepas? saya amat berharap penjelasan dari ustaz....semoga ustaz dapat membantu saya. terima kasih.

Jawapan;

1. Telah sepakat para ulamak bahawa solat Taubat adalah solat sunat yang disyariatkan. Ia termasuk dalam solat sunat bersebab, kerana itu harus ditunaikan bila-bila masa -termasuk pada waktu-waktu dilarang solat- apabila sebabnya ada iaitu melakukan dosa -sama ada dosa besar atau kecil-. Dalil bagi solat Taubat ini ialah hadis dari Saidina Abu Bakar -radhiyallahu anhu- yang menceritakan; Aku telah mendengar Rasulullah -sallalahu 'alaihi wasallam-bersabda; "Tidak ada seorang hamba yang melakukan suatu dosa, lalu ia mengambil wudhuk dengan elok, kemudian ia bangun mengerjakan solat dua rakaat dan beristighfar kepada Allah selepasnya melainkan Allah akan mengampunkannya". Kemudian Rasulullah membaca ayat Allah (bermaksud);

"Dan orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa mereka -dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah-, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)" (Surah Ali Imran, ayat 135). (HR Imam Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan).

Diriwayatkan dari Buraidah menceritakan; Suatu hari di pagi hari Rasulullah memanggil Bilal, lalu bertanya beliau; "Wahai Bilal, apa yang menjadikanmu mendahuluiku masuk ke syurga? Sesungguhnya aku masuk ke dalam Syurga kelmarin, lalu aku mendengar bunyi kamu berjalan di hadapanku". Bilal lalu menjawab: "Ya Rasulullah, tidak aku melakukan suatu dosa melainkan aku akan solat dua rakaat selepasnya, dan tidak menimpaku akan hadas (yakni berlaku perkara yang membatalkan wudhuk) melainkan aku akan mengambil wudhuk dan menunaikan solat dua rakaat" (HR Imam Ibnu Khuzaimah dalam Sohehnya. Lihat hadis ini dalam; Tuhfah al-Ahwazi).

2. Oleh kerana solat Taubat merupakan solat bersebab, maka tidaklah disyariatkan untuk dilakukan sentiasa tanpa didahului sebabnya iaitu melakukan dosa. Jika kita melakukan dosa, kita wajib segera bertaubat (dengan melaksanakan rukun-rukun taubat), kemudian kita disunatkan melakukan solat Taubat dan banyak beristighfar selepasnya sebagaimana dalam hadis tadi.

Selain solat Taubat, banyak lagi solat-solat sunat yang lain yang disyariatkan untuk kita mendekatkan diri dengan Allah, maka tidak perlulah kita terikat dengan solat Taubat sahaja. Sebenarnya dalam seharian, pada waktu-waktu yang kita lalui terdapat solat sunat yang paling baik kita tunaikan pada waktu tersebut. Sebagai contohnya;
- Waktu dhuha hingga sebelum matahari di tengah langit; Disyariatkan solat Dhuha. Maka pada waktu tersebut solat sunat terbaik ialah Solat Dhuha.
- Setiap kali masuk waktu solat fardhu (selepas azan); Disyariat solat Qabliyah.
- Selepas solat fardhu; Disyariatkan solat Ba'diyah (kecuali selepas Subuh dan Asar).
- Sebelum tidur; Disyariatkan solat witir.
- Di tengah malam atau dua pertiga malam hingga sebelum subuh; Disyariatkan solat Tahajjud.
- Apabila masuk ke masjid; Disyariatkan solat Tahiyyatul-Masjid.
- Setiap kali mengambil wudhuk; Disyariatkan solat sunat Wudhuk selepasnya.

3. Mengenai cara melakukan solat taubat;
a) Mulai dengan mengambil wudhuk dengan sempurna.
b) Niat di dalam hati ketika takbiratul-ihram bahawa solat yang hendak dilakukan itu adalah solat sunat taubat (yakni untuk memohon ampun kepada Allah). Contohnya menghadirkan dalam hati; “Sahaja aku menunaikan solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah”.
b) Tiada ayat atau surah tertentu yang ditentukan oleh Nabi yang mesti dibaca selepas al-Fatihah. Oleh itu, harus dibaca mana-mana ayat atau surah dari al-Quran. Membaca surah secara penuh walaupun pendek lebih baik dari membaca potongan ayat al-Quran.
c) Selesai solat, hendaklah beristighfar sebanyak mungkin kepada Allah dengan menghadirkan penyesalan di dalam hati atas dosa yang dilakukan. Istighfar yang terbaik ialah penghulu istighfar yang diajar oleh Nabi.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. 'Aunul-Ma'bud, Kitab as-Solah, Abwab al-Witr, bab al-Istighfar.
2. Tuhfah al-Ahwazi, Kitab as-Solah, bab Ma Ja-a Fi as-Solah 'Inda at-Taubah.
3. Fatwa Syeikh Soleh al-Munajjid (islamqa.com), no. 98030.
4. Fatwa as-Syabakah al-Islamiyah (islamweb.net), no. 133099.

KEDUDUKAN UNTUNG YANG DIAMBIL OLEH BROKER/AGEN/ORANG TENGAH

Soalan; Assalamu'alaikum w.b.t. Soalan saya...Contoh: Seorang pemilik tanah ingin menjual tanahnya yg berkeluasan 100ekar dgn harga RM30000/ekar. Dia telah melantik seorang broker/agen utk mencari pembeli bagi tanah tersebut.
Kes 1 : Jika broker dpt mencari pembeli bg tanah tersebut maka pemilik tanah akan memberi komisyen spt 1% kpd broker tersebut.Pada saya ini tiada masalah.
Kes 2 : Jika broker dpt mencari pembeli bg tanah tersebut, sedangkan pemilik tanah tidak berjanji utk memberi sebarang upah kpd broker, maka jika broker menaikan harga tanah tersebut kpd RM31000/ekar dgn alasan ingin mengambil upah iaitu RM1000/ekar dan hal ini telah dipersetujui oleh pemilik...apakah hukumnya? Perlukah broker/agen memberitahu harga sebenar pemilik (RM30000/ekar) kpd pembeli? Jika diberitahu dikhuatiri broker/agen tidak akan mendapat sebarang upah....
Harap ustaz dpt memberi jawapan yg memuaskan...Terima kasih.

Jawapan;

1. Soalan di atas berkait dengan hukum menjadi orang tengah di antara penjual dan pembeli dan mendapat upah atau komisyen dari khidmat jualan atau khidmat runding yang diberikan. Dalam bahasa Arab diistilahkan sebagai as-Samsarah. Secara asasnya, ia tertakluk kepada persepakatan atau persetujuan kedua belah pihak iaitu antara pemilik barang dan juga orang tengah yang menjadi wakil jualannya. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-;

“Orang-orang Islam terikat dengan syarat-syarat sesama mereka selama mana syarat itu menepati kebenaran (yakni Kitab Allah)”. (Riwayat al-Hakim dari ‘Aisyah dan Anas –radhiyallahu ‘anhuma- (al-Jami’ as-Saghier, Imam as-Suyuti, hadis no. 9214, soheh).

Dalam riwayat yang lain; Dan orang-orang Islam terikat dengan syarat-syarat sesama mereka kecuali syarat yang mengharamkan yang halal dan yang menghalalkan yang haram”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari ‘Amru bin ‘Auf al-Muzani r.a. Menurut at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh).

Berdalil kepada hadis tersebut, Imam al-Bukhari dalam Sohehnya (bab as-Samsarah) mengemukakan beberapa bentuk akad as-Samsarah (orang tengah) yang diharuskan oleh para salafus-soleh, iaitu;

a) Imam Ibnu Sirin, ‘Ata’, Ibrahim dan al-Hasan berpandangan; upah/komisyen as-Samsarah adalah harus.

b) Berkata Ibnu ‘Abbas –radhiyallahu ‘anhu-; Adalah harus seorang berkata kepada seorang yang lain; “Juallah pakaian ini. Bayaran yang lebih dari harga sekian adalah milik kamu”. (*Akad ini mirip kepada yang ditanya dalam soalan di atas)

c) Berkata Imam Ibnu Sirin; Jika seorang berkata; “Juallah barang ini dengan harga sekian. Untungnya adalah milik kamu atau kita bahagi bersama”, hukumnya adalah harus.
(Soheh Imam al-Bukhari, Kitab al-Ijarah, bab Ajr as-Samsarah)

Keharusan aktiviti orang tengah dengan akad seperti di atas menjadi pegangan Imam Ahmad. Namun di sisi Mazhab Syafiie dan Hanafi; akad seperti itu tidak harus kerana terdapat unsur gharar dan jahalah (yakni unsur ketidakpastian atau ketidakjelasan dalam akad) di mana orang tengah tidak pasti berapa upah/komisyen yang bakal diperolehinya kerana ia bergantung kepada terjual atau tidaknya barang tersebut. Ini kerana mazhab Syafiie meletakkan aktiviti as-Samsarah (orang tengah) sebagai akad ijarah (upah) dan dalam akad ijarah (upah), tidak harus berlaku gharar dan jahalah dengan sepakat para ulamak.

Adapun Imam Ahmad, akad di atas tidak dianggap sebagai akad ijarah (upah), akan tetapi akad yang mirip kepada mudharabah iaitu persepakatan antara pemodal dan orang yang menguruskan modal di mana untung yang diperolehi akan sama-sama dikecapi dan jika ditakdirkan rugi akan sama-sama ditanggung. Menyokong pandangan Imam Ahmad ini, Imam Ibnu Qudamah menegaskan dalam kitabnya al-Mughni; Jika seorang berkata kepada seorang yang lain; “Juallah pakaian ini (untukku) dengan harga 10. Jika kamu menjual lebih dari harga itu, yang lebih itu adalah milikmu”, akad ini adalah sah dan orang yang menjual itu berhak terhadap lebihan tersebut…Dalil keharusan akad ini ialah; (pertama) Ibnu ‘Abbas berpandangan ia adalah harus, (kedua) penjual menjual dengan keizinan pemiliknya, maka sahlah syarat keuntungan tersebut untuknya sebagaimana sahnya keuntungan yang diperolehi oleh mudharib (pengurus modal) dan ‘amil (pekerja) dalam akad musaqah” . (al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, Kitab al-Wakalah).

2. Namun sebagaimana dijelaskan oleh hadis tadi, persepakatan hanya harus jika tidak melanggar Kitab Allah dan hukum halal dan haram yang ditetapkan oleh Syariat. Kerana itu dalam aktiviti as-Samsarah (orang tengah), bukan persepakatan antara pemilik dan orang tengah sahaja yang perlu diperhatikan –untuk menentukan harus atau tidaknya aktiviti tersebut- tetapi juga kepatuhan kepada rukun dan syarat-syarat jual-beli dan memastikan tiada sebarang unsur yang ditegah Syarak dilakukan, antara yang utama ialah;
a) Barang yang dijual adalah halal. Tidak harus menjadi orang tengah untuk menjual atau mempromosi barang yang haram.
b) Tidak menipu pembeli dengan memberi maklumat palsu tentang barang yang dijual.
c) Tidak menjual dengan harga yang terlalu tinggi berbanding dengan harga di pasaran bagi barang yang sama atau hampir sama. Sebahagian ulamak menetapkan beza harga di pasaran itu jangan melebihi 1/3 (atau 34%). Contohnya; jika suatu barang di pasaran biasa dijual dengan harga RM1000, jika kita menjualnya dengan harga RM1200 atau RM1300, tidak dianggap harga terlalu tinggi. Namun jika kita menjualnya lebih dari RM1340 –seperti menjualnya hingga RM1500 atau RM2000-, jualan kita dianggap terlalu tinggi.
d) Tidak melibatkan riba, perjudian, gharar, khidmat-khidmat yang haram dan sebagainya lagi yang ditegah Syarak.

3. Mengenai harga barang, tidaklah wajib kita memberi tahu pembeli berapa modal kita mendapatkan barang yang dijual (atau berapa untung yang kita ambil) sekalipun pembeli bertanya. Namun jika kita bersetuju memberitahunya, tidak harus kita memberi tahu melainkan yang sebenar. Menurut jumhur ulamak; tidak wajib penjual memberitahu pembeli kadar untung yang diambilnya. Sekalipun untung yang diambilnya tinggi dan pembeli tidak mengetahuinya, jual-beli atau perniagaan adalah sah selama tidak terdapat penipuan atau pemalsuan dalam aqad.

Berkata Imam al-Ghazali; “Selama tidak terdapat penipuan atau pemalsuan, maka mengambil untung tambahan tidaklah dikatakan zalim” (Ihya’ Ulumiddin). Berkata al-Jazairi; “Syarak tidak menegah dari mengambil untuk dalam jual-beli dan tidak menghadkan kadar tertentu bagi untung. Apa yang ditegah oleh Syarak ialah penipuan, pemalsuan, memuji barang/produk dengan keistimewaan yang sebenarnya tidak ada, menyembunyikan kecacatan barang dan sebagainya” (al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah).

Walaupun tiada batasan tertentu bagi untung yang harus diambil, hendaklah diraikan harga pasaran sebagaimana di atas tadi.

4. Merujuk kepada soalan di atas, bentuk akad yang ditanya itu adalah harus jika memenuhi syarat-syarat di bawah;
a) Dengan persetujuan pemilik tanah
b) Tidak ada sebarang penipuan dilakukan seperti menambah-nambah keterangan palsu tentang tanah tersebut supaya pembeli tertarik membelinya dengan harga tinggi.
c) Harga yang dijual tidak terlalu tinggi berbanding harga tanah di sekitarnya atau yang sebanding dengannya.
c) Jika ditanya tentang harga asal tanah, broker (orang tengah) boleh memilih sama ada ingin memberitahu atau tidak. Namun jika ia ingin memberitahu, hendaklah dengan maklumat sebenar, tidak harus menipu. Jika tidak, lebih baik ia senyap sahaja dan terserah kepada pembeli ingin meneruskan belian atau tidak.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Soheh Imam al-Bukhari, juzuk 8, Kitab al-Ijarah, bab Ajr as-Samsarah.
2. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, juzuk 10, Kitab al-Wakalah.
3. Soal-Jawab MLM Syariah, Ustaz Ahmad Adnan bin Fadzil.
4. Fatwa Syeikh Soleh al-Munajjid (islamqa.com), no. 121386.

Wednesday, 6 April 2011

PERWARISAN CUCU DARI HARTA NENEK

Soalan; Assalamualaikum ustaz. Saya ingin bertanya mengenai pembahagian harta dan hak kepada cucu. Sekiranya nenek masih hidup dan anaknya (lelaki) telah meninggal dunia, adakah cucu-cucunya(anak kepada anak lelakinya yang meninggal dunia) akan mendapat bahagian kepada hak ayah yang telah meninggal dunia setelah nenek meninggal.Sekarang nenek hanya mempunyai seorang anak perempuan sahaja dan suami dan ibubapanya telah lama meninggal dunia dan nenek tidak mempunyai adik beradik yang lain.

Jawapan;

Harta seseorang tidak harus dibahagikan kepada waris-warisnya melainkan setelah ia disahkan meninggalkan dunia. Ini kerana dalam perwarisan Islam, ada dua syarat yang mesti dipenuhi sebelum pengagihan harta pusaka dibuat;
1. Telah benar-benar dipastikan kematian orang yang akan diwarisi hartanya.
2. Orang yang bakal mewarisi ia masih hidup pada ketika berlaku kematian tersebut. Jika ia telah meninggal, ia tidak akan mewarisi dari orang yang mati kemudian darinya.

Dalam kes di atas, oleh kerana nenek saudara masih hidup hartanya tidak harus dibahagikan. Yang perlu dibahagikan ialah harta bapa saudara kerana ia telah sah meninggal dunia. Harta milik ayah saudara itu hendaklah dibahagikan segera sebaik kematiannya, bukan dengan menunggu hingga ibunya (yakni nenek saudara) meninggal. 

Adapun apabila nenek saudara meninggal nanti, apakah saudara adik-beradik (iaitu cucu-cucunya) akan mewarisi? Jawapannya; Syariat telah menetapkan hukum perwarisan cucu adalah seperti berikut;

1. Cucu yang berhak mewarisi ialah cucu kepada anak lelaki sahaja (cucu lelaki dan cucu perempuan), yakni; anak lelaki kepada anak lelaki dan anak perempuan kepada anak lelaki.[1]

2. Cucu-cucu hanya akan mewarisi jika si mati tidak mempunyai anak lelaki yang masih hidup. Jika ia mempunyai anak lelaki yang masih hidup, anak lelaki itu akan menghadang cucu-cucu dari mewarisi harta kerana ia lebih hampir dengan si mati dari mereka.

3. Jika si mati hanya mempunyai anak perempuan sahaja, hendaklah diperhatikan keadaan berikut;
A) Jika cucu-cucu yang ada terdiri dari lelaki sahaja atau lelaki dan perempuan, mereka (yakni cucu-cucu) akan mewarisi baki harta setelah ditolak bahagian-bahagian orang lain yang diberi hak mewarisi oleh Syariat. (*Cucu lelaki akan mendapat sekali ganda dari bahagian cucu perempuan) 
B) Jika cucu yang ada itu perempuan sahaja, ia akan mewarisi 1/6 harta jika si mati hanya mempunyai seorang sahaja anak perempuan. Jika si mati mempunyai ramai anak perempuan, tidak ada bahagian untuk cucu perempuan.

4. Jika si mati tidak mempunyai anak langsung (sama ada anak lelaki atau anak perempuan), mereka akan mengambil tempat anak-anak si mati, iaitu mewarisi sebagaimana berikut;
A) Jika semua mereka lelaki sahaja atau lelaki dan perempuan, mereka akan mewarisi  baki harta setelah ditolak bahagian-bahagian orang lain. (Cucu lelaki mendapat sekali ganda dari bahagian cucu perempuan).
B) Jika perempuan sahaja (yakni cucu perempuan sahaja yang ada, tiada cucu lelaki); sekiranya seorang sahaja, ia akan mendapat 1/2 dan jika ramai, akan mendapat 2/3 (iaitu dikongsi bersama).

Merujuk kepada soalan di atas, jika waris-waris nenek saudara kekal seperti sekarang jika ia mati nanti, maka pembahagiannya adalah seperti berikut;
- Suaminya; mendapat 1/4
- Anak perempuannya; 1/2
- Saudara adik-beradik (cucu-cucunya; lelaki dan perempuan); mendapat baki setelah ditolak bahagian-bahagian di atas. Cucu lelaki diberi bahagian sekali ganda dari bahagian cucu perempuan.
(Sebagai contoh, jika harta yang ditinggalkan RM 40 000; Suami mendapat RM 10 000, anak perempuan mendapat RM 20 000. Baki iaitu RM 10 000 diberikan kepada cucu-cucu dengan cucu lelaki mendapat sekaliganda dari yang diperolehi cucu perempuan).

Wallahu a'lam.

Tuesday, 5 April 2011

MUSAFIR KE TEMPAT KERJA; HARUSKAH JAMAK DAN QASAR?

Soalan: Assalamualaikum wbt..saya ingin mengutarakan satu persoalan berkaitan dengan solat jamak.Sebagaimana kita maklum bahawa solat jamak merupakan satu kemudahan kepada umat islam dalam melakukan ibadat solat.Permasalahan saya ialah saya melakukan tugas harian saya dengan membawa kenderaan sekitar 200 km satu hari iaitu dari pejabat saya sehingga ke satu tempat dalam satu hala dan berpatah balik ke pejabat saya.Disini saya ingin mengatahui adakah saya dikira sebagai musafir untuk membolehkan saya menjamak solat saya.sekian terima kasih.

Jawapan;
 
Jika jarak perjalanan di antara kawasan penempatan saudara dengan tempat kerja saudara melebihi dua marhalah (85-90 KM), haruslah saudara melakukan solat jamak dan qasar di tempat kerja dan juga di sepanjang perjalanan menuju ke tempat kerja. Keharusan jamak dan qasar itu hanya bermula apabila saudara telah keluar dari rumah dan melepasi kawasan penempatan saudara (kampung, taman perumahan atau seumpamanya). Tidak harus sebelum itu menurut jumhur ulamak. Begitu juga, harus saudara melakukan jamak dan qasar dalam perjalanan pulang selagi belum memasuki kawasan penempatan saaudara itu. Jika telah memasukinya tidak harus lagi saudara melakukan jamak dan qasar walaupun belum sampai di rumah.  

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, juzuk 1, Kitab as-Solah, bab Solat al-Musafir.
2. Fatwa as-Syabakah al-Islamiyah (islamweb.com), no. 15367.
3. Fatwa Syeikh Soleh al-Munajjid (islamqa.com), no. 69816. 

TEMPOH HARUS JAMAK DAN QASAR SOLAT DI SUATU TEMPAT

Soalan; Saya ada beberapa soalan :
1)Berapa harikah tempoh dikira mukim ?
2) Jika saya mengambil pandangan tempoh dikira musafir ke suatu tempat yang melebihi 2 marhalah, adalah 5 hari termasuk hari pergi dan balik, dan dalam tempoh itu, saya mengerjakan solat jamak qasar. Adakah saya perlu bergegas keluar dari kawasan tersebut pada hari ke 6 ? (kerana ada pandangan mengatakan jika kita tidak keluar, maka batallah/ tidak sahlah solat2 yang kita lakukan dalam tempoh musafir tersebut kerana telah di kira bermukim.
Terima kasih.

Jawapan;

1. Mukim bermaksud menetap di sesuatu tempat. Orang yang dianggap bermukim tidak lagi diharuskan melakukan solat secara qasar dan jamak kerana keduanya itu hanya diharuskan untuk orang yang musafir sahaja.

2. Menurut mazhab Syafiie, apabila seseorang itu berniat untuk menetap di sesuatu tempat melebihi empat (4) hari, maka ia menjadi mukim dan tidak harus ia melakukan jamak dan qasar sebaik ia tiba di tempat tersebut sehinggalah ia keluar darinya nanti.

Sebagai contohnya, saudara bermastautin di Perlis, kemudian bermusafir ke Kuala Lumpur. Sepanjang perjalanan dari Perlis ke Kuala Lumpur, harus saudara melakukan solat secara jamak dan qasar. Apabila tiba di Kuala Lumpur, sekiranya saudara berniat untuk menetap di Kuala Lumpur melebihi 4 hari (tidak termasuk hari masuk dan hari keluar), saudara tidak harus lagi melakukan jamak dan qasar. Maksudnya, sepanjang tempoh saudara di Kuala Lumpur itu, saudara hendaklah mengerjakan solat fardhu secara sempurna dan mengikut waktunya. Hinggalah apabila saudara keluar dari Kuala Lumpur untuk pulang atau meneruskan perjalanan ke tempat lain, barulah boleh melakukan qasar dan jamak semula.

3. Sekiranya saudara berniat untuk menetap di Kuala Lumpur itu dalam tempoh kurang 4 hari, contohnya 2 hari atau 3 hari (tidak termasuk hari tiba dan hari akan keluar), harus saudara melakukan jamak dan qasar sepanjang 2 atau 3 hari tersebut.

4. Sekiranya saudara tidak mengetahui berapa lama akan tinggal di Kuala Lumpur itu, tetapi berniat akan segera pulang sebagai sebaik urusan selesai (yakni saudara menunggu-menunggu urusan selesai untuk segera pulang), menurut mazhab Syafiie; saudara harus melakukan jamak dan qasar hingga 18 hari (tidak termasuk hari tiba dan hari akan keluar). Ini jika saudara tidak mengetahui urusan itu akan mengambil masa lebih 4 hari. Sekiranya saudara sememangnya mengetahui urusan itu akan mengambil masa lebih 4 hari, maka ia kembali kepada yang pertama tadi iaitu tidak harus saudara melakukan qasar dan jamak kecuali hari tiba dan hari keluar sahaja.

5. Sekiranya saudara tiba di Kuala Lumpur dan saudara tinggal tanpa berniat berapa hari dan tidak pula menunggu-nunggu urusan selesai, saudara boleh melakukan jamak dan qasar, namun bila genap 4 hari saudara di situ, tidak harus lagi melakukan jamak dan qasar. Maksudnya, status saudara sebagai musafir tamat apabila genap 4 hari saudara tinggal di Kuala Lumpur itu.

5. Jika pada peringkat awal saudara berniat untuk tinggal kurang dari 4 hari, kemudian mengubah niat untuk tinggal lebih 4 hari, dengan berubah sahaja niat itu tidak harus lagi saudara melakukan jamak dan qasar. Begitu juga, jika setelah beberapa hari tinggal di Kuala Lumpur itu saudara teragak-agak antara terus tinggal atau pulang, tidak harus lagi melakukan jamak dan qasar.  

Maksud niat dalam kupasan di atas ialah apa yang ada dalam hati kita sebaik kita tiba di suatu tempat. Bagi program yang berjadual sebagai contohnya, apabila saudara memutuskan dalam hati untuk mengikuti jadual itu, itu menunjukkan niat saudara untuk tinggal di situ dengan mengikut jadual yang diatur. Sebagai contohnya, saudara menghadiri suatu kursus di Kuala Lumpur dan saudara mengetahui kursus itu akan memakan masa hingga 1 minggu, maka dengan memutuskan untuk mengikuti jadual kursus tersebut saudara telah berniat untuk bermukim di Kuala Lumpur selama seminggu. Dengan niat itu, saudara tidak harus lagi melakukan jamak dan qasar sepanjang kursus tersebut kecuali pada hari saudara tiba dan hari pulang nanti.

Merujuk kepada soalan kedua di atas, apakah perlu bergegas keluar apabila tamat tempoh keharusan melakukan jamak dan qasar? Dan benarkah jika tidak keluar semua solat yang dilakukan tidak sah?. Jawapannya; Berdasarkan penelitian saya, tidaklah begitu. Saudara hanya perlu menyedari/mengetahui berapa hari yang diharuskan saudara melakukan jamak dan qasar berdasarkan kaedah yang dijelaskan tadi. Selepas hari tersebut jika saudara terus tinggal di tempat tersebut, saudara tidak boleh lagi melakukan qasar dan jamak. Saudara tidaklah dituntut keluar dari tempat itu, hanya jangan lagi melakukan jamak dan qasar kerana tempohnya telah habis bagi saudara. Adapun jamak dan qasar yang lalu ia tetap sah kerana dilakukan ketika saudara masih dianggap musafir.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Mugni al-Muhtaj, jilid 1, hlm. 361-363.
2. Al-Majmu', jilid 4, hlm. 361-362.

Monday, 4 April 2011

JAM TANGAN; PERHIASAN ATAU KEPERLUAN?

Soalan; Apa ulasan ustaz tentang dakwaan berikut;
Haram hukumnya memakai jam jika di anggap sebagai perhiasan kerna perhiasan utk org lelaki hanya cincin sahaja. Oleh itu pemakaian jam perlulah di anggap sebagai keperluan, bukannya hiasan. Manakala setiap keperluan dipakai di sebelah kiri spt contohnya jam dan poket baju. wallahu aklam. Wassalam.

Jawapan;

Perhiasan bermaksud sesuatu yang dipakai untuk tujuan berhias. Jika tidak dipakai tidaklah menimbulkan sebarang masalah bagi hidup. Adapun keperluan, ia merupakan suatu yang diperlukan dalam hidup. Jika tidak ada atau tidak dilakukan boleh membawa kerosakan dakam hidup atau menimbukkan kesukaran. Mendakwa perhiasan bagi kelaki hanya cincin sahaja dan perhiasan lain adalah haram dipakai oleh lelaki, dakwaan itu perlu disokong oleh dalil al-Quran dan as-Sunnah. Bagaimana dengan tengkolok yang dipakai, songkok hitam, pingat-pingat, pin-pin, kopiah berwarna warni dan bermacam perhiasan lagi (yang bukan cincin) yang dipakai oleh kaum lelaki hari ini? Jika benar ada dalil mengharamkan segala perhiasan bagi lelaki kecuali cincin sahaja, semua itu haram dipakai dan setakat hari ini belum ada ulamak memfatwakan sedemikian.

Menurut ulamak; semua jenis perhiasan adalah harus selagi tidak melanggar batasan yang ditetapkan Syariat, di antaranya; bagi lelaki, perhiasan janganlah hingga meniru kaum wanita. Ini kerana terdapat hadis melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki. Diriwayatkan dari Ibnu 'Abbas yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w. telah melaknat lelaki-lelaki yang meniru-niru perempuan dan wanita-wanita yang meniru-niru lelaki” (Riwayat Imam Bukhari). Rasulullah tidak menghadkan bentuk-bentuk penyerupaan yang dilarang dalam hadis ini. Kerana itu, menurut ulamak ia hendaklah dirujuk kepada uruf (kebiasaan) manusia setempat atau sejagat. Pada hari ini, kita melihat antara perhiasan yang khusus bagi wanita ialah gelang, rantai dan anting-anting. Kerana itu haram lelaki memakainya kerana apabila ia memakainya, masyarakat sekeliling akan menganggap ia meniru/menyerupai kaum wanita. Adapun perhiasan seperti jam tangan, ia tidaklah khusus kepada kaum wanita atau kaum lelaki kerana ia dipakai oleh kedua-dua golongan hari ini. Kerana itu, tidak ada penyerupaan di situ. Walaupun jam tangan menyerupai gelang, namun masyakat telah menerima bahawa ia bukan lagi gelang dan tidak lagi dianggap perhiasan khusus untuk kaum wanita sahaja.

Jam secara umumnya merupakan keperluan kerana ia diperlukan untuk melihat masa/waktu (termasuk waktu solat). Namun jam tangan adalah perhiasan kerana untuk mengetahui masa tidak semestinya dengan jam di tangan. Malah kita boleh berpada dengan jam yang ada di handset, di dinding dan sebagainya untuk melihat waktu. Hari ini jam tangan ada bermacam-macam jenis dan harga; ada yang harganya puluhan ringgit sahaja, ada yang ratusan ringgit dan ada yang hingga ribuan ringgit. Kalau sekadar keperluan, tidak perlu hingga ratusan atau ribuan ringgit. Namun oleh kerana telah menjadi perhiasan (di samping keperluan), orang sanggup berbelanja lebih untuk berhias kerana tujuan berhias adalah untuk kelihatan cantik dan elok. Syariat mengharuskannya selagi tidak melanggar batasan yang ditetapkan. (Sila baca tajuk tentang "Pakaian dan Perhiasan" dalam blog saya  (http://fiqh-am.blogspot.com/)).

Sekalipun kita menganggap jam tangan satu keperluan, bukan perhiasan, apakah benar suatu yang dibuat atas dasar keperluan perlu didahulukan yang kiri atau diletakkan di sebelah kiri? Dakwaan yang dikemukan dalam soalan diatas "...setiap keperluan dipakai di sebelah kiri spt contohnya jam dan poket baju. wallahu aklam...", dakwaan ini agak pelik dan luar biasa. Apa yang menjadi amalan Nabi ialah urusan yang baik-baik didahulukan atau diutamakan anggota sebelah kanan. Adapun urusan yang kotor atau tidak baik berbanding yang baik (seperti membasuh kencing dan berak, masuk tandas, keluar dari masjid) Nabi melakukannya dengan tangan kiri atau dengan mendahulukan anggota kiri. Kerana itu, saya menyebutkan dalam jawapan sebelum ini; oleh kerana memakai jam tangan merupakan perhiasan dan perhiasan adalah suatu yang baik, maka sebaiknya ia dipakai di tangan kanan, namun jika hendak dipakai di tangan kiri tidaklah dilarang kerana tiada dalil melarangnya dan lagipun, Nabi sendiri pernah memakai cincin di sebelah tangan kirinya (sekalipun yang kerapnya baginda memakai di sebelah kanan). Kecualilah jika orang yang membuat dakwaan di atas baginya memakai jam tangan merupakan suatu yang kotor dan keji, namun saya yakin orang lain tidak menanggap seperti itu.

Jawapan berkaitan; (MEMAKAI JAM TANGAN DI KIRI, MAKAN DENGAN TANGAN KIRI.....)

Wallahu a'lam.

Sunday, 3 April 2011

KADAR NAFKAH SUAMI KEPADA ISTERI

Soalan; Assalamualaikum..Saya ingin bertanya.Apakah maksud terperinci nafkah suami kepada isterinya? Adakah kerana dia telah membeli barangan keperluan seperti makanan sudah cukup dinamakan nafkah? Adakah salah jika isteri meminta wang kepada suaminya untuk dirinya sendiri sedangkan suaminya tidak pernah memberi wang,asalannya dia telah membeli barangan keperluan semua. Adakah wajib suami memberi keluarga mertua sedikit sumbangan seperti wang ringgit atau sebagainya?Dan apakah hukumnya jikalau keperluan yang dibeli oleh si suami menjadi ungkitannya semula.Disini saya terlalu musykil, harap dapatlah memberi penjelasan. 
Sekian terima kasih...

Jawapan;

Wajib suami memberi nafkah[1] kepada isteri mengikut kemampuannya dan juga dengan meraikan keperluan isteri. Firman Allah (bermaksud); "Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan" (Surah at-Thalaq, ayat 7).

Di dalam hadis yang menceritakan Hindun (isteri Abu Sufyan) yang mengadu kepada Rasulullah tentang suaminya (Abu Sufyan) yang kedekut (tidak memberi belanja yang mencukupi untuk isteri dan anaknya), Rasulullah berkata kepada Hindun; "Kamu ambillah dari hartanya kadar yang mencukupi untuk kamu dan anak kamu mengikut kebiasaannya"[2] (HR al-Jamaah kecuali Imam at-Tirmizi. Lihat hadis ini dalam Nailul-Autar, Kitab an-Nafaqaat, bab al-Mar,ah Tunfiqu Min Mali az-Zauji min Ghair 'ilmihi...). Hadis ini menunjukkan bahawa keperluan isteri juga diambil kira dalam kewajipan memberi nafkah kerana Nabi menyebutkan "ambillah kadar yang mencukupi". Kecualilah jika suami miskin, maka ia dituntut memberi nafkah mengikut kemampuannya dan isteri hendaklah redha dengan keadaan suami dan berpada dengan apa yang diberikan.

Ada ulamak menetapkan kadar tetap harian bagi nafkah yang wajib disempurnakan oleh suami untuk isterinya. Antaranya Imam Syafiie yang menetapkan; jika suami kaya; ia hendaklah memberikan 2 cupak sehari untuk makanan isterinya, suami sederhana; 1 1/2 cupak dan suami miskin; 1 cupak. Adapun jumhur (majoriti) ulamak, mereka tidaklah menentukan kadar tetap, akan tetapi dirujuk kepada kemampuan suami dan juga keperluan isteri.[3] Kemampuan suami boleh berubah, begitu juga keperluan isteri. Pada ketika suami melihat keadaanya lebih senang, ia hendaklah melebihkan sedikit belanjanya untuk isteri dan isteri pula berhak menuntut peruntukan yang lebih. Begitu juga jika keperluan isteri bertambah kerana sesuatu sebab, pertambahan itu juga perlu berada dalam penilaian suami jika ia mampu meraikannya. Di dalam al-Quran, Allah amat menekan para suami agar melayani isteri dengan baik untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga. Firman Allah (bermaksud); "Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik" (Surah an-Nisa', ayat 19). 

Mungkin kita boleh meletakkan tahap-tahap bagi perbelanjaan dengan merujuk kepada tahap-tahap maslahah manusia yang diputuskan ulamak iaitu tiga peringkat;
Pertama; (tahap keperluan paling atas); iaitu keperluan daruriyat.
Kedua; keperluan hajiyat.
Ketiga; keperluan tahsiniyat.

Keperluan daruriyat ialah yang boleh menyebabkan kerosakan hidup jika tidak diberikan. Ini merangkumi makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal yang asas. termasuk juga keperluan ilmu khususnya ilmu agama kerana tanpanya akan rosak kehidupan di akhirat. Keperluan hajiyat ialah yang bawah dari daruriyat, iaitu yang jika tidak ada tidaklah membawa kerosakan hidup, tetapi membawa kepada kehidupan yang susah, sukar dan menderita. Contohnya; perabot-perabot rumah yang asas, peralatan dapur, pakaian yang lebih sedikit dari keperluan daruriyat tadi dan sebagainya. keperluan Tahsiniyat ialah yang jika tidak ada tidaklah membawa kerosakan dan tidak juga membawa kesusahan hidup, cuma kewujudannya boleh menambah keselesaan hidup. 

Balik kepada soalan yang ditanya, jika suami puan miskin, puan hendaklah berpada dengan apa yang diberinya untuk keperluan pertama (daruriyat) atau keperluan kedua (hajiyat). Jika suami puan berada, bolehlah puan meminta lebih dari itu. Suami pula hendaklah meraikan isteri jika ia mampu demi mengekalkan keharmonian rumah tangga. Di dalam hadis, Rasulullah bersabda (bermaksud); "Allah mengasihi seorang lelaki yang bertolak ansur bila menjual, bila membeli dan bila menuntut (hutangnya)" (HR Imam al-Bukhari dari Jabir). Dalam riwayat lain; "...bertolak ansur ketika membayar hutang dan menuntut hutan" (HR Imam at-Thabrani dari Jabir). Walaupu hadis ini menyentuh jual-beli dan hutang-piutang, tetapi ruh tolak ansur yang disarankan Nabi tidak ada salahnya untuk kita amalkan di mana-mana sahaja dalam kehidupan terutamanya dalam perkongsian hidup suami isteri. Maksudnya, suami bertolak ansur dalam melayani permintaan isteri dan isteri pula bertolak ansur dalam menuntut haknya.  

Mengenai pemberian kepada mertua, tidaklah wajib suami memberi nafkah atau belanja untuk mertua sekalipun mertua miskin, kecualilah atas ihsan darinya sahaja. Jika ia mampu, eloklah ia memberinya kerana itu juga boleh mengukuhkan lagi kasih-sayang dengan isteri. Mertua yang miskin dan tidak mampu berkerja, ia wajib dinafkahi oleh keluarganya sendiri (iaitu bapa atau anak-anaknya), bukan menantunya. Jika mertua terpaksa bergantung hidup dengan anak perempuannya yang telah berkahwin, suami hendaklah memberi izin kepada isteri untuk menziarahi dan berkhidmat kepada ibu-bapanya (tanpa menjejaskan hak suami) dan begitu juga untuk menafkahi mereka. Jika ia tidak memberi izin tanpa sebab yang munasabah, ia berdosa dan jika isteri melanggarnya sebahagian ulamak berpandangan isteri tidak dikira nusyuz ketika itu. Adalah harus isteri memberi belanja dari duitnya sendiri kepada ibu-bapanya sekalipun tanpa izin suami, namun eloklah ia meminta izin sebagai tanda menghormati suami. Jika suami menghalang tanpa sebab, tidak dikira nusyuz jika isteri melanggarinya.

Mengenai suami mengungkit pemberiannya kepada isteri, jika dengan niat yang baik seperti untuk memperingatkan isteri supaya taat kepadanya kerana ia telah pun melaksanakan tanggungjawabnya sebagai suami (iaitu memberi nafkah mengikut yang termampu) supaya isteri membalasnya dengan melaksanakan tanggungjawabnya pula (iaitu taat dan melayani suami), ungkitan sebegitu tidaklah dilarang, malah ada ketikanya perlu dilakukan. Adapun jika ungkitan semata-mata untuk menyakiti hati isteri, tidaklah harus dilakukan kerana ia menyalahi pergaulan yang yang disuruh oleh Allah dalam ayat tadi.

Wallahu a'lam.

Nota;

[1] Memberi nafkah bermaksud mencukupkan keperluan hidup merangkumi makanan, pakaian dan keperluan-keperluan lain (at-Tahwir wa an-Tanwir).
[2] Lafaz bahasa Arabnya ialah "Bil-Ma'ruf", al-makruf bermaksud; mengikut kebiasaan masyarakat setempat iaitu berdasarkan pengamalan yang diterima oleh orang ramai di sesuatu tempat selama ia tidak bercanggah dengan ketetapan Syariat (at-Tahwir wa an-Tanwir).
[3] Sebenarnya terdapat tiga pandangan ulamak dalam menetapkan ukuran yang hendak dipakai bagi menentukan kadar nafkah yang sewajarnya bagi isteri;
A) Pandangan pertama; hendaklah dilihat kepada keadaan suami (kaya, miskin atau sederhana). Pandangan ini diutarakan oleh Imam Syafiie dengan berdalilkan ayat di atas.
B) Pandangan kedua; dengan melihat keperluan isteri. Pandangan ini diutarakan oleh Imam Abu Hanifah dan Imam Malik dengan berdalilkan hadis Hindun di atas.
C) Pandangan ketiga; dengan mengambil kira kedua-dua sekali iaitu keadaan suami dan juga keperluan isteri. Pandangan ini diutarakan oleh Imam Ahmad berdalilkan ayat dan juga hadis di atas iaitu dengan memadankan kedua-duanya. Pandangan inilah yang kita pilih di atas kerana ia meraikan kedua-dua dalil di atas.
(al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, juzuk 8, kitab an-Nafaqaat).        

Rujukan;

1. Tafsir al-Qurtubi, Surah at-Talaq, ayat 7.
2. At-Tahwir wa at-Tanwir, Syeikh Muhammad at-Tahir ibnu Asyur, Surah at-Talaq, ayat 7.
3. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, juzuk 8, kitab an-Nafaqaat.
4. Nailul-Autar, Kitab an-Nafaqaat, bab al-Mar,ah Tunfiqu Min Mali az-Zauji min Ghair 'ilmihi..

Saturday, 2 April 2011

MEMAKAI JAM DI TANGAN KIRI, MAKAN DENGAN TANGAN KIRI & BEZA ANTARA SUNAT DAN SUNNAH

Soalan; Assalamualaikum. Saya ada beberapa soalan yang ingin mengetahui dengan lebih mendalam.
1. Ada pendapat yang mengatakan pemakaian jam atau gelang pada tangan kiri tak boleh mengikut Islam.
2. Seseorang itu mengunakan tangan kiri untuk mengambil makanan apakah perkara tersebut dikira BERDOSA atau sebaliknya?
3. Apakah perbezaan yang dimaksudkan mengikut sunnah Nabi s.a.w dengan perkara sunat.
Mohon Ustaz huraikan maksud soalan di atas. Ini kerana ada setengah orang menyatakan ianya adalah TIDAK BAIK . Sekian terima kasih.

Jawapan;

Makan dengan tangan kiri

1. Bagi makan dan minum, kita amat dituntut untuk makan dengan tangan kanan. Makan menggunakan kiri adalah dilarang kerana ia menyalahi arahan Nabi dan terdapat ancaman baginda terhadap orang yang melakukannya. Di antara hadisnya ialah;

Dari bin Abi Salamah -yang merupakan anak kepada Ummu Salamah iaitu isteri Nabi- menceritakan; “Aku adalah kanak-kanak yang tinggal serumah dengan Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam-. (Suatu hari aku makan bersama beliau) dan ketika makan itu tanganku bergerak ke segenap dulang (untuk mengambil makanan). Lalu beliau berkata kepadaku; “Wahai anak! Mulakanlah makan dengan menyebut nama Allah, makanlah dengan tangan kanan dan makanlah makanan yang hampir denganmu”. Sejak selepas itu, berterusan adab tersebut menjadi cara makanku. (Soheh al-Bukhari, kitab at-At’imah)

Berkata Imam as-San’ani (mengulas hadis di atas); Hadis ini menjadi dalil bahawa wajib makan dengan tangan kanan kerana Nabi mengarahkannya[1] di samping ditegaskan lagi oleh Nabi bahawa Syaitan makan dan minum dengan tangan kiri[2] dan perbuatan Syaitan diharamkan ke atas manusia untuk mengikutinya. Begitu juga, diceritakan; Seorang lelaki makan dengan tangan kiri di hadapan Nabi, lalu baginda berkata kepadanya; “Makanlah dengan tangan kanan kamu”. Lalu lelaki itu menjawab; “Aku tidak boleh”. Nabi lalu berkata (mendoakan); “Semoga kamu akan benar-benar tidak boleh” kerana tidak menghalangnya dari mematuhi arahan Nabi itu melainkan kerana sombong. Setelah itu lelaki tersebut tidak dapat lagi mengangkat tangannya ke mulut” (HR Imam Muslim). Nabi tidak akan mendoakan yang tidak baik melainkan ke atas orang yang meninggalkan perkara wajib (menunjukkan makan dengan tangan kanan itu adalah wajib). (Subulussalam, Imam as-Son’ani, kitab an-Nikah, bab al-Walimah)

Dikecualikan jika seseorang itu tidak berdaya, seperi tangan kanannya terpotong, lumpuh, sakit atau sebagainya, maka ketika itu haruslah ia makan dengan tangan kiri kerana seseorang tidak disuruh lebih dari kemampuannya.

Maksud makan ialah kita menyuap makanan ke dalam mulut. Itu yang dituntut dengan tangan kanan. Adapun memindahkan makanan dari hidangan ke dalam pinggan kita (seperti menceduk makanan dari bekas di hadapan kita ke dalam pinggan kita), itu tidaklah dinamakan makan. Jika kita dapat menggunakan tangan kanan, itulah yang sebaik-baiknya. Namun jika kita merasakan memegang sudu dengan tangan kanan yang telah dicemari makanan akan menimbulkan perasaan tidak enak orang lain yang makan bersama kita, tidak mengapa kita menceduk dengan tangan kiri. Ini kerana adat dan pandangan manusia setempat juga di ambil kira oleh Islam selagi ia tidak bertentangan dengan Syariat.

Urusan-urusan yang disunatkan dengan tangan kanan

2. Adapun urusan-urusan yang lain, para ulamak membahagikannya kepada dua jenis;
a) Urusan-urusan yang mulia
b) Urusan-urusan yang tidak mulia atau kurang mulia berbanding yang pertama.

Urusan-urusan yang mulia, disunatkan kita menggunakan tangan kanan atau mendahulukan tangan kanan. Contohnya ; mengambil wudhuk (sunat mendahulukan anggota kanan dari yang kiri), mandi wajib atau mandi sunat (sunat memandikan sebelah kanan badan terlebih dahulu), memakai pakaian, kasut dan selipar, memakai seluar, memasuki masjid, bersugi (memberus gigi), bercelak, memotong kuku, menipiskan misai, mencabut bulu ketiak, mencukur rambut, memberi salam di hujung solat, keluar dari tandas, makan, minum, berjabat tangan, melambai Hajar Aswad, mengambil sesuatu dari orang lain dan memberi sesuatu dan urusan-urusan lain yang semakna.

Adapun urusan-urusan yang tidak mulia atau kurang mulia berbanding di atas, disunatkan kita menggunakan tangan kiri atau mendahulukan yang kiri dari yang kanan. Contohnya; membuang hingus, beristinjak (membasuh kencing dan berak), memasuki tandas, keluar dari masjid, ketika menanggalkan sepatu/kasut, seluar, pakaian dan selipar, melakukan perkara-perkara yang kotor dan yang seumpamanya lagi.

Dalil bagi kaedah atau ukuran di atas ialah hadis-hadis yang banyak, antaranya;

a) Dari ‘Aisyah menceritakan; “Rasulullah menyukai (mendahulukan) sebelah kanan bagi semua urusannya; ketika bersuci, ketika menyisir rambut dan ketika memakai sepatu” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Sebahagian ulamak mengulas; Rasulullah suka mendahukan sebelah kanan adalah untuk membina harapan baik kerana ahli syurga adalah dari golongan kanan (Ashabil-Yamin). (Fathul-Bari)

b) Aisyah menceritakan juga; “Adalah tangan kanan Rasulullah beliau gunakan untuk bersuci (wudhuk) dan makan. Adapun tangan kirinya beliau gunakan untuk membasuh kencing dan berak dan urusan yang kotor/jijik” (HR Imam Abu Daud. Menurut Imam an-Nawawi; sanad hadis ini adalah soheh. Lihat dalam al-Majmu’).

c) Dari Hafsah menceritakan; “Rasulullah menggunakan tangan kanannya untuk makanannya, minumannya dan pakaiannya dan tangan kirinya untuk urusan-urusan selainnya” (HR Imam Abu Daud. Menurut Imam an-Nawawi; sanad hadis ini jayyid. Lihat dalam al-Majmu’).

d) Dari Ummu ‘Atiyah menceritakan; Rasulullah memerintahkan kepada perempuan-perempuan yang memandikan jenazah anak perempuannya; “Mulakan dengan memandikan sebelah kanannya dan dari anggota-anggota wudhuknya” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim)

e) Dari Abu Hurairah menceritakan; Rasulullah bersabda; “Apabila kamu memakai pakaian dan apabila kamu mengambil wudhuk, mulailah dari sebelah kanan kamu” (HR Imam Abu Daud dan at-Tirmizi dengan sanad yang soheh).

f) Dari Abu Hurairah juga; Rasulullah bersabda; “Apabila kamu memakai sepatu/kasut, mulailah dengan kaki sebelah kanan dan apabila kamu menanggalnya, mulailah dengan kaki sebelah kiri supaya yang kanan menjadi yang paling awal kamu pakai dan yang paling akhir kamu tanggalkan” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim).

g) Dari Anas yang berkata; “Menjadi sunnah Nabi apabila kamu ingin memasuki masjid, mulailah dengan kaki kanan dan apabila kamu keluar darinya, mulailah dengan kaki kiri” (HR Imam al-Hakim. Hadis soheh mengikut syarat Imam Muslim).

Memakai jam dan gelang di tangan kiri

3. Berbalik kepada soalan di atas, iaitu mengenai memakai jam dan gelang tangan, oleh kerana ia adalah perhiasan, melihat kepada ukuran dan kaedah di atas; disunatkan di sebelah kanan kerana memakai perhiasan termasuk dalam kategori urusan-urusan yang mulia. Ia tidaklah wajib kerana tiada nas yang mewajibkannya tidak sepertimana wajib makan dengan tangan kanan tadi kerana ada nas yang mewajibkannya. Malah jika kita melihat kepada pemakaian cincin oleh Rasulullah, ada hadis menceritakan Rasulullah memakai cincin di sebelah kanan dan ada juga hadis baginda memakainya di sebelah kiri (Sila baca dalam blog ini; Bagaimana Rasulullah memakai cincin?).

Perbezaan Sunat dan Sunnah

2. Mengenai perbezaan Sunat dan Sunnah;

a) Sunat merujuk kepada hukum iaitu perbuatan atau percakapan yang disunatkan iaitu jika dilakukan akan mendapat pahala dan jika ditinggalkan tidaklah berdosa. Ia adalah salah satu dari lima hukum taklifi (yakni hukum Syariat yang ditetapkan ke atas perbutan-perbuatan manusia) iaitu; wajib, sunat, harus, haram dan makruh.

b) Adapun sunnah atau as-Sunnah, ia bermaksud cara hidup Nabi atau apa yang datang dari Nabi. Pengertian Sunnah lebih luas dari sunat kerana Sunnah terangkum di dalamnya semua yang diwarisi dari Nabi meliputi perbuatan Nabi, percakapan Nabi, pengakuan Nabi, sifat-sifat Nabi (sama ada sifat kejadian atau sifat akhlak) dan seerah hidup baginda (dari mula kelahiran hingga kewafatannya). Sunnah ada yang wajib kita amalkan, ada yang sunat diamalkan dan ada yang elok untuk diikuti. Sebagai contoh tadi; makan dengan tangan kanan, ia termasuk dalam sunnah yang wajib diamalkan. Adapun yang lain-lainnya (berwudhuk mulai dari anggota kanan, memakai pakaian, sepatu bermula dari kanan dulu, melangkah kaki kanan dulu untuk masuk masjid dan sebagainya tadi) ia adalah sunnah yang termasuk dalam kategori sunat.
(*Untuk membaca kupasan lebih terperinci tentang as-Sunnah, sila baca di blog al-Qalam, tajuk; “Kedudukan Serban Mengikut Penilaian Ulamak Islam”).

Wallahu a’lam.

Nota;

[1] Sebahagian ulamak berkata arahan Nabi dalam hadis-hadis di atas adalah arahan sunat. Orang yang melanggarnya tidaklah melakukan perbuatan yang haram, akan tetapi makruh kerana meninggalkan perbuatan yang disunatkan. Inilah yang menjadi pegangan kebanyakan ulamak-ulamak mazhab Syafiie. Namun mengikut pandangan Imam Syafiie sendiri –sebagaimana yang diriwayatkan darinya-; arahan dalam hadis tersebut adalah arahan wajib. (Fathul-Bari, 9/522, bab at-Tasmiah ‘ala at-Tha’am aw al-Akl bi al-Yamin).

[2] Merujuk kepada hadis dari Ibnu Umar yang menceritakan; Rasulullah bersabda; “Janganlah sesiapa dari kamu makan dan minum dengan tangan kirinya kerana Syaitan makan dan minum dengan tangan kirinya” (HR Imam al-Bukhari).

Rujukan;

1. Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 1/384, Kitab at-Toharah, Bab as-Siwak.
2. Fathul-Bari, Imam Ibnu Hajar, 1/273, Kitab al-Wudhu’, Bab at-Tayammun fi al-Wudhu’ wa al-Ghusl.
3. Subulussalam, Imam as-Son’ani, kitab an-Nikah, bab al-Walimah.
4. Al-Madkhal Lid-Dirasah as-Sunnah an-Nabawiyyah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi.
5. Buhus Fi as-Sunnah al-Mutahharah, Dr. Muhammad Muhammad Mahmud Farghali.