Saturday, May 21, 2011

TALAK MELALUI TELEFON BIMBIT (SMS)

Soalan; Assalamualaikum. Saya ada satu pertanyaan. Kalau seorang suami telah menulis mesej di telefon bimbit untuk menjatuhkan talak kepada isterinya tetapi belum dihantar kepada isterinya, maka talak itu sudah jatuh atau belum. Sekian.

Jawapan;

Menurut jumhur Fuqhak (antaranya Imam Abu Hanifah, Malik dan Syafiie); menulis ucapan talak tidak dikira jatuh talak melainkan dengan niat, yakni ada niat mentalak isteri ketika menulis ucapan talak tersebut. Ini kerana orang yang menulis boleh jadi ia menulis kerana ingin merekodkan atau bertujuan penceritaan atau ingin mencuba pen/pensil, ingin melihat tulisannya atau seumpamanya, maka kerana itu dalam kes talak ia memerlukan niat talak supaya tulisan talak itu tidak bertujuan lain.

Talak dengan SMS termasuk dalam kategori talak dengan tulisan di atas. Jika SMS yang mengandungi ucapan talak itu ditulis oleh suami berserta dengan niat untuk menujukan ucapan talak itu kepada isterinya, jatuhlah talak.

Ucapan talak tidak disyaratkan dilafazkan di hadapan isteri. Sekalipun isteri tidak mengetahui suaminya ada melafazkan talak ke atasnya, talak akan tetap berlaku dengan semata-mata keluar ucapan tersebut dari suami (sama ada dengan lafaz mulut atau dengan tulisan berserta niat tadi).

Oleh demikian, merujuk kepada soalan di atas, jika ketika menulis ucapan talak dengan SMS itu ada niat untuk menceraikan isteri, jatuhlah talak walaupun SMS itu belum dihantar. Dikecualikan jika dalam tulisan itu ada dikaitkan dengan syarat sampai seperti dituliskan “Jika SMS ini sampai kepada kamu (yakni isterinya), maka kamu aku ceraikan”, maka tidak jatuh talak melainkan setelah SMS itu sampai kepada isteri.
Wallahu a’lam.

Rujukan;

1.Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, 16/480.
2.Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, perkataan ‘Kitaabun’.
3.Raudhatu at-Thalibin, Imam an-Nawawi, 6/42.
4.Mugni al-Muhtaj, Imam al-Khatib as-Syirbini, Kitab at-Thalaq.
5.Fatwa asy-Syabakah al-Islamiyah, no. 8656, 125399, 120148,
6.Fatwa Syeikh al-Munajjid (Islamqa.com), no. 36761, 31778, 5225.
Post a Comment