Tuesday, 7 June 2011

WASIAT DAN PEMBAHAGIAN HARTA PENINGGALAN ISTERI YANG TIADA ANAK DAN IBU-BAPA

Soalan; ISTERI SUDAH MENINGGAL . SAYA TIDAK ADA ANAK. KEDUA MERTUA PUN SUDAH MENINGGAL. IPAR-IPAR SERAMAI 7 ORANG; 6 LELAKI DAN SEORANG PEREMPUAN. SEBELUM MENINGGAL ISTERI SAYA TELAH BERPESAN KEPADA SAYA. JIKA DIA MENINGGAL, SEMUA BARANG KEMAS NYA BERI KEPADA MASJID, DAN JANGAN BAGI KEPADA SESIAPA. SOALAN SAYA: MACAMMANA SAYA NAK BUAT BAGI MENYELESAIKAN PERKARA ITU. MINTA TOLONG PERINCIKAN KAN SATU PERSATU MENGIKUT MANA YANG MESTI DIDAHULUKAN . CONTOH SAPERTI BERIKUT;
1. JUAL SEMUA BARANG KEMAS
2. BERI KEPADA MANA MANA MASJID SEMUA SEKALI.
3. ?
4. ?
5. ?
MINTA TOLONG SENARAIKAN .
SEKIAN TERIMA KASIH.

Jawapan;

Harta peninggalan si mati hendaklah dibahagikan mengikut urutan berikut;

1. Diambil darinya untuk pengurusan jenazahnya; kos mandi, kafan dan pengkebumian. Jika telah ada peruntukan dari khairat kematian atau keluarga sudi menanggungnya, tidak perlu lagi ditolak.

2. Ditolak hutangnya sama ada hutang dengan Allah atau hutang dengan manusia. Hutang dengan Allah seperti zakat, fidyah, kaffarah dan sebagainya.

3. Yang berbaki, ditolak wasiatnya jika ada. Dalam kes di atas, si mati ada memberi wasiat hartanya untuk masjid, maka hendaklah dilaksanakan wasiatnya. Namun wasiat tidak boleh lebih 1/3 dari baki harta itu (yakni baki harta setelah ditolak kos pengurusan jenazah dan hutang si mati tadi). Jika lebih 1/3, maka yang lebih itu adalah hak waris-waris dan hanya boleh dilaksanakan dengan persetujuan mereka.

4. Selebihnya diagihkan kepada waris-waris si mati.

Merujuk kepada kes di atas, jika nilai barang kemas itu berada dalam lingkungan 1/3 harta si mati, harus disedekah kesemuanya kepada masjid. Namun jika barang kemas itu sahaja harta si mati, hanya 1/3 dari nilai barang kemas itu disedekahkan kepada masjid dan yang selebihnya diagihkan kepada waris-warisnya.

Berdasarkan maklumat saudara, pembahagian harta kepada waris-waris si mati ialah seperti berikut;
1. Suami; ½ (kerana si mati tidak mempunyai zuriat).
2. Saudara-saudara si mati; harta yang berbaki setelah ditolak bahagian suami di atas. Saudara lelaki mendapat sekali ganda dari bahagian saudara perempuan.

Wallahu a'lam.

2 ulasan:

Zuwairi Aiman said...

Salam kunjungan.. blog menarik.. senang2 singgah la ke blog saya ;)

http://www.zuwairiaiman.com

mutallib said...

Assalamualaikum ustaz,sy juga ingin bertanya tentang pembahgian wasiat.Dahulu arwah ayah saya telah berkawin dengan ibu tiri saya tetapi jodoh mereka tidak kekal.Setelah bercerai,arwah ayah saya telah meninggalkan semua harta pencarian dengan bekas isteri beliau.Selang beberapa tahun kemudian,arwah ayah saya telah berkahwin dengan ibu kandung saya ats persetujuan orang tua dan ketika diawal perkahwinan dengan ibu kandung saya,arwah ayah saya tiada pekerjaan dan tidak mempunyai sebarang harta dan ibu saya yang menampung kehidupan kesemua keperluan rumahtangga mereka selama tiga tahun.Sertelah beberapa tahun hidup bersama,arwah ayah telah menjalankan perniagaan dan alhamdulillah rezeki keluarga saya semakin bertambah dengan hasil perniagaan yang dijalankan oleh arwah ayah.Sebelum meninggal dunia,arwah telah meninggalkan beberapa wasiat kepada ibu saya serta saya sendiri tentang harta yang dimiliki oleh beliau tetapi wasiat itu dinyatakan secara pesanan dan amanah tetapi tidak dilakukan melalui hitam putih(surat).Jadi saya ada beberapa soalan yang ingin saya lontarkan kepada ustaz.

1.adakah sah wasiat yang dinyatakan oleh arwah ayah kepada ibu dan saya melalui peasanan tetapi tiada wasiat bersurat??

2.adakah anak-anak bekas perkahwinan arwah ayah saya dahulu berhak untuk mencampuri urusan pencarian bersama dengan ibu saya??Sedangkan arwah ayah pernah berpesan jika beliau meninggal dunia,anak-anak beliau(perkahwinan dahulu)tiada hak untuk mengambil harta pencarian beliau dengan ibu saya.

harap ustaz dapat memberikan pandangan.

terima kasih.